RSS

61.3.1. KENALI SILAT CEKAK – Konsep Gerak.

09 May

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan tentang pengertian silat sebagai gerak. Perdu gerak kita adalah berasaskan pada gerak dua tangan dan dua kaki. Mahirlah pada anggota tangan dan kaki tersebut. Kemahiran dua tangan dan dua kaki akan memberi makna akan penguasaan kita dalam pelajaran SC. Kefahaman dan kemahiran yang kita miliki tentang gerak silat, memberi makna bahawa kita telah ‘sampai’ pada kefahaman tinggi. Pembawaan orang yang sedemikian adalah bersifat tenang dan tidak mudah melatah. Umpama kereta yang sedang bergerak ke arah destinasinya. Enjinnya berterusan bising selagi tidak sampai. Setelah sampai ke destinasinya, barulah enjin keretanya diam. Tidak berbunyi lagi.

Dalam tulisan berikutnya saya akan menyentuh ayat kedua yang menghuraikan maksud silat sebagai gerak. Ayat yang kedua adalah mengungkap, “Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak”. Ayat atau ungkapan kedua ini menghuraikan konsep gerak yang bersandar pada ketentuan Ilahi. Kita hanya boleh berusaha. Namun begitu, kemenjadian gerak adalah di luar pengawalan kita. Maka lahirlah sifat kebergantungan pada Yang Maha Berkuasa. Ternafi sifat bangga atau ego diri.

Kefahaman yang sedemikian adalah selari dengan sistem pembelajaran silat kita. SC mengajar sistem mempertahankan diri terlebih dahulu. Kaedah yang mula diperkenalkan adalah menepis serangan lawan. Setelah mahir dengan kaedah tepisan, para penuntut diperkenalkan buah-buah pukulan secara asas dan diikuti dengan buah-buah jatuh. Walau bagaimanapun, keyakinan boleh ‘buat’ orang, kembali luntur apabila masuk pelajaran potong. Rupa-rupanya, buah hebat yang diajar, ada kelemahannya. Tak boleh pakai. Maka timbullah ‘keinsafan’ diri betapa di sebalik kehebatan, ada kekurangannya. Dalam pembelajaran SC, cara tumbukan hanya diperkenalkan di akhir pembelajaran. Itupun setelah menjalani satu ijazah khas. Ijazah penamat.

Sesungguhnya, sistem pelajaran yang sedemikian memupuk sifat sedar diri dalam kalangan penuntut SC. Pelajaran yang boleh dipakai pada mulanya, rupa-rupanya tak terpakai pada kemudiannya. Namun begitu buah yang tak terpakai itu ada banyak gunanya dalam situasi yang tertentu. Saya telah menulis tentang aspek psikologi dalam pembelajaran SC dalam tulisan yang terdahulu. Walaupun keyakinan yang wujud dalam kalangan penuntut SC dilunturkan melalui sistem pelajaran yang tersusun begitu rupa, akhirnya sistem pembelajaran SC itu diakhiri dengan pemupukan keyakinan. Sebabnya ialah kita ada peluru berpandu yang boleh ‘dilancar’ mengikut destinasi yang ditentukan. Itulah salah satu kehebatan kita.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan persilatan lain yang mementingkan serangan di awal pembelajaran silat. Mereka diperkenalkan dengan cara tumbukan terlebih dahulu. Gerak tumbukan itu diulang-ulang secara latih tubi. Selepas itu maka diperkenalkan dengan buah-buah pukulan dan buah-buah tangkapan.

Kefahaman yang ada dalam SC menegaskan bahawa sifat kita bergerak adalah kerana Allah. Konsep kerana Allah seperti yang difahamkan Ustaz memberi makna yang tersendiri. Pertamanya, konsep itu berkait dengan tujuan melakukan sesuatu dan keduanya berkaitan dengan keizinan dari Allah untuk melakukan sesuatu. Berdasarkan kefahaman kedua itu, kalau Allah tidak mengizinkan, mustahil kita boleh menerima habuan mempelajari Silat Cekak. Kalau Allah tidak mengizinkan, mustahil kita dapat menguasai gerak dengan hebat dan mantap. Semuanya ketentuan Ilahi. Kerana-Nya. Nampaknya, kefahaman kita atas konsep kerana Allah adalah memberatkan atas keizinan-Nya. Itulah tafsiran dan pegangan saya dalam silat atas fahaman yang diasaskan Ustaz.

Hal yang demikian memupuk sifat yakin diri. Oleh itu, kita janganlah berasa risau atau rendah diri jika gerak kita tidak sehebat mana dalam persilatan SC. Yakinlah bahawa Allah akan berserta dengan orang yang benar. Berdirilah atas kebenaran tanpa dipengaruhi hawa nafsu. Gerak kita akan ‘menjadi’ ketika kita memerlukan kemenjadiannya. Segala-galanya adalah atas kehendak Allah.

Begitu juga dengan dakwaan handal yang ada pada lawan kita. Kehandalannya tidak akan memberi makna tanpa izin Allah. Buangkan perasan ego hingga berasa dapat mengalahkan semua orang. Orang yang bongkak selalunya diakhiri dengan sifat rugi. Asas kefahaman kita itu adalah berdasarkan ungkapan,“Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak”. Fahaman dan pegangan pada ungkapan itu boleh menambahkan keyakinan diri kita.

Kefahaman gerak yang jelas itu, membolehkan kita memiliki kefahaman tinggi dalam gerak persilatan. Oleh itu, ketika berhadapan dengan manusia ego atau manusia bongkak, hati kita lebih tenang. Kesabaran yang wujud bukan menandakan sifat bacul. Sebaliknya kesabaran itu memberi ruang kepada kita untuk menyusun strategi bagi mencapai maksud. Tidak timbul perasaan gentar atau perasaan takut melainkan lahir sifat kasihan atas manusia yang tidak sedar akan kebolehan dirinya; bahawa kekuatan dan kebolehan diri adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah.

Secara langsung, pegangan pada kefahaman ungkapan berkenaan menyebabkan jiwa kita sentiasa berada dalam keadaan tenteram. Sifat ego dan bongkak diri boleh dihindarkan. Hal yang demikianlah menyebabkan saya selalu membuat kesimpulan bahawa pengamal SC tidak menampakkan sifat sebagai pengamal silat. Tak payah kembangkan dada atau kepakkan tangan. Kalau orang lain tak tahupun kita bersilat, tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Kefahaman pada ungkapan atau ayat kedua itu juga akan membolehkan kita mendekatkan diri dengan Allah. Terasnya, Allah yang menentukan kehebatan gerak kita. Pantun Ustaz telah melambangkan pemikiran Ustaz dalam konteks hubungan kita dengan Allah.

Silat Cekak pada zahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggotanya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Konsep Silat Cekak pada zahirnya menuntut kemahiran seluruh anggotanya iaitu kedua tangan dan kaki. “Silat Cekak tersangatlah mudah”. Begitulah kefahaman yang dipupuk Ustaz. Manakala konsep pengertian gerak batin mempunyai kaitan dengan sifat memiliki jiwa yang jujur. Dalam konteks persilatan, jujurlah pada diri sendiri. Kalau jujur pada diri maka implikasinya, kejujuran pada diri itu akan meluas pada kejujuran yang lain. Hal yang demikian boleh berlaku seperti mana yang ditegaskan Ustaz, “Bagi mereka yang mendapat hidayah.” Oleh itu, carilah hidayah. Walau bagaimanapun, kita perlu belajar secara bersungguh hati dan bersifat jujur.

Kita boleh menyusun balik rangkap pantun di atas berdasarkan kefahaman berkait yang telah saya bincangkan.

Silat Cekak pada zahirnya,
Hendaklah mahir seluruh anggotanya.

Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Kita boleh menguasai gerak fizikal SC secara menguasai pergerakan tangan dan kaki. Namun begitu, penguasaan hakiki atas gerak berkenaan adalah atas ketentuan Ilahi. Para penuntut SC telah dianjurkan supaya peliharalah kejujuran jiwa kita atau roh kita daripada sifat-sifat yang terkeji. Jika aspek jiwa atau roh itu dipupuk secara betul dan bersungguh hati, Insyaallah kita akan menjadi persilat SC yang hebat. Pergerakan silat sentiasa ‘menjadi’.

Seperti yang telah saya simpulkan, kefahaman pada ayat kedua itu telah membolehkan kita mendekatkan diri dengan Allah. Maknanya, jalan mendekatkan diri dengan Allah telah ‘dibuka’ oleh SC dalam pemikiran penuntut. Asas pegangan kita ialah sehebat mana seseorang pesilat itu bersilat, geraknya tetap ditentukan Allah. Kalau Allah tidak mengizinkan, kehebatan geraknya tidak akan ‘menjadi’. Secara langsung, wujud kefahaman dalam SC betapa pentingnya para penuntut SC mendekatkan diri dengan Allah.

Oleh itu, pengisian pada kefahaman mendekatkan diri pada Allah, perlu dilakukan sendiri oleh para penuntut SC. Asas ruang kefahaman tersebut telah ada. Cuma perlu ada pengisian. Ada banyak cara yang boleh dilakukan mereka. Saya tidak akan membincangkan hal yang demikian dalam tulisan ini. Terpulanglah pada para penuntut SC untuk memenuhi ruang yang telah dibuka oleh SC itu. Kalau tak rajin mendengar, masih ada cara lain iaitu membaca. Buatlah pilihan sepatutnya.

Apapun, perdunya adalah mendekatkan diri pada Allah. Secara peribadi, Ustaz menegaskan pada saya. “Jangan tinggalkan langsung sembahyang”. Itulah pesanan peribadi Ustaz yang sentiasa menjadi pegangan saya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Secara langsung juga amalan yang berkekalan itu akan membolehkan kita mendapatkan gerak dari Yang Empunya Gerak. Saya tidak berminat untuk menghuraikan ungkapan itu. Akan jadi banyak tafsirannya.

Secara kesimpulannya, kefahaman SC menegaskan bahawa kebolehan gerak pada kedua tangan dan kaki boleh diusahakan. Penguasaannya akan bertambah hebat jika diusahakan secara bersungguh hati. Namun begitu, segala-galanya adalah bergantung pada kehendak Allah. Oleh itu, dekatkan diri pada Tuhan Yang Maha Esa. Insyaallah kita akan berjaya dalam persilatan SC yang kita ceburi. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 09/05/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.