RSS

Monthly Archives: November 2011

21.6 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VII

Menyentuh tentang kumpulan majoriti ini, satu kekurangan kumpulan ini ialah kurangnya keyakinan dan mereka merasakan diri mereka dalam keadaan harga diri yang rendah. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti punca kerisauan mereka hingga menyebabkan kurangnya keyakinan diri tersebut. Jika punca kerisauan itu dapat diatasi, hal yang demikian akan membolehkan kita memberi motivasi dan menyokong segala usaha yang mereka lakukan. Secara langsung, kita akan mengadakan ikatan rapat dengan mereka. Maka tidaklah mudah kumpulan-kumpulan lain untuk mempengaruhi  mereka.

Kita juga boleh melibatkan mereka dalam aktiviti secara kumpulan di bawah pemimpin yang kita lantik. Mereka diletakkan sebagai pelaksana dan bukannya ketua atau pemimpin pasukan berkenaan. Hal yang  demikian akan memberi kekuatan dan keyakinan pada diri mereka untuk melaksanakan tugasan yang diberi. Secara langsung, mereka dapat ’dikawal’ dari dipengaruhi oleh ahli-ahli yang berkepentingan diri untuk mendapatkan kuasa di peringkat pusat seperti yang pernah berlaku.

Selain dari keadaan-keadaan yang saya bincangkan di atas, kita juga boleh menggunakan sedikit tekanan untuk menyedarkan tanggungjawab yang diberikan pada mereka. Tekanan tersebut mungkin berbentuk amaran atau berbentuk ancaman akan diadukan pada guru. Mereka tidak suka dengan ’ancaman’ yang berkenaan. Hal yang demikian adalah disebabkan sifat mereka sendiri yang tidak suka pada masalah dan tekanan. Pada kumpulan ini langkah kita tersebut lebih berkesan berbanding dengan kumpulan kedua kerana gertakan akan berakhir dengan penentangan. Lebih-lebih kagi mereka mempunyai pengikut yang boleh menyokong tindakan mereka.

Akhirnya ialah kumpulan keempat yang suka menentang. Boleh dikatakan bahawa mereka akan menentang setiap perubahan yang kita ingin lakukan. Mereka bukannya pemimpin kerana mereka tidak ada pengikut. Bukan setakat kita yang meluat dengan tingkah lakunya malah orang-orang lain pun tidak menggemarinya. Kita masih boleh berbincang dengan mereka tapi jangan membuang masa melayan karenah  mereka. Pilih individu tertentu dan libatkan mereka dalam aktiviti tertentu. Kalau gagal berbuat demikian, ketepikan mereka langsung dalam kegiatan organisasi kita. Akhirnya, biar mereka sendiri mengundur diri. Tidak ada apa yang rugi.

Dalam persatuan SC yang pernah saya pimpin, kumpulan ini wujud ada kaitannya dengan bidang persilatan. Hati mereka menghadapi delima. Satu keadaan mereka ingin belajar SC, tapi dalam satu-satu keadaan yang lain, hati mereka seakan-akan menolak pelajaran SC itu sendiri. Hal yang demikian menyebabkan sifat mereka mula menentang atas apa yang kita lakukan dalam pembelajaran SC. Semuanya mereka komen. Semuanya tak betul. Penentangan mereka yang pada mulanya adalah berkaitan dengan pelajaran SC, akhirnya melarat pada persatuan. Mereka memberi komen pada semua aktiviti persatuan secara negatif.

Walau bagaimanapun, mereka terus berada dalam kelas atas sifat mempelajari SC. Saya dapat perhatikan betapa mereka dapat tamat di cawangan-cawangan lain dalam suasana kehadiran mereka itu umpama memikul biawak hidup. Pemerhatian saya itu berdasarkan perbualan dengan pemimpin cawangan berkenaan. Mereka telah berjaya memporak-perandakan hubungan sesama ahli. Malah, kewujudan mereka di satu-satu cawangan itu telah memberi sumbangan pada pepecahan sesama ahli.

Namun begitu, di cawangan saya, kumpulan ini dengan segera saya nyahkan dari terus berada lama. Akan tetapi usaha-usaha tersebut bukan mudah untuk dilakukan. Hal ini demikian kerana ada kaitannya dengan tanggungjawab kita sebagai Jurulatih atau Penyelia Kelas. Mereka membayar yuran dan mengalami proses ijazah. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita menyampaikan amanah Guru Utama iaitu penurunan ilmu SC.

Di sinilah delima saya pada satu ketika yang lalu. Kalaulah ikatan mereka semasa berada dalam persatuan hanya terhad pada kegiatan persatuan, maka mudahlah kita membuat tindakan penyingkiran atau pergantungan atau sebagainya. Sebaliknya, kehadiran mereka ada kaitan dengan silat. Keadaan serba salah timbul kerana satu segi ialah tanggungjawab kita menyampaikan ilmu SC. Satu segi yang lain, kehadiran mereka telah tidak menyenangkan hati kita. Mereka ’mengganggu’ kewibawaan kita sebagai Jurulatih atau Penyelia Kelas dalam proses penurunan ilmu. Banyak persoalan dan karenah yang sengaja ditimbulkan mereka. Hal yang demikian menjadi satu ancaman pada kewibawaan kita dari kaca mata para penuntut kita sendiri. Sudah tentu para penuntut kita ingin mengetahui sejauh mana kita berupaya mengatasi masalah tersebut.

Dalam hal ini, saya ada beberapa pengalaman ketika menghadapi kumpulan ini. Saya rasa elok juga saya bincangkan dalam tulisan ini beberapa pengalaman saya bersama mereka, buat tatapan kita bersama.

Pada satu ketika yang lalu, terdapat beberapa ahli baru yang ingin belajar SC kerana ingin mengetahui rahsia yang ada dalam SC. Banyak sebab yang menjadikan mereka bersifat demikian. Salah seorang dari mereka pernah ditewaskan oleh rakannya yang pernah belajar SC. Kemasukannya dalam SC bukan kerana ingin mendalami ilmu SC, sebaliknya ingin mengetahui kelebihan yang ada dalam SC.  Perhatiannya untuk mendapatkan ilmu SC bukanlah secara  jujur. Keadaan iini berlaku kerana hatinya tidak mudah menerima bulat-bulat akan apa yang ingin kita sampaikan. Pembuktian kita atas kelebihan dan keistimewaan yang ada pada setiap buah itu, dipandang sinis sahaja. Tentunya keadaan yang demikian tidak menyenangkan kita. Penuntut itu menganggu proses penyampaian ilmu yang ingin kita sampaikan.

Ada juga antara mereka yang memasuki SC untuk menambahkan ilmu dalam persilatan Melayu. Mereka terdiri dari Jurulatih persilatan lain. Oleh sebab SC dikatakan hebat, mereka inginkan kepastian dan pembuktian. Tindakan mereka itu, secara langsung boleh menambahkan ilmu mereka sendiri. Saya yakin bahawa mereka bukannya belajar SC kerana ingin menguasai dan mendapatkan pelajaran SC secara ikhlas. Saya tidak bertanya tentang sebab-sebab yang mendorong mereka masuk SC. Tetapi saya yakin dorongan tersebut mungkin melalui pembacaan, berita yang disebarkan atau melalui rakan-rakan rapat mereka sendiri. Saya mempunyai pengalaman menghadapi penuntut yang bersifat demikian.

Salah seorang dari mereka adalah pemegang tali hitam satu seni bela diri dari luar negara. Pekerjaannya hanyalah mengajar seni berkenaan sepenuh masa. Banyak kelas pelajaran seni bela dirinya di merata tempat. Kebanyakannya budak-budak sekolah. Seorang lagi adalah jurulatih utama satu seni silat Melayu yang amat terkenal ketika itu. Oleh sebab ada misi mereka yang tertentu maka tumpuan mereka pada pelajaran SC adalah sambil lewa sahaja. Biasanya, mereka suka ’mengumpul’ buah. Sekali ambil  buah ada kalanya sampai tiga dan empat buah. Kehadiran ke kelaspun lewat kerana ikut suka hati. Tentunya  hal yang demikian telah menganggu perjalanan kelas. Ada ketikanya, ketika Jurulatih menurunkan buah, mereka mengkritik dan mencuba. Hal yang demikian memaksa saya supaya sentiasa ada sepanjang kelas silat berlangsung. Satu kelebihan saya ialah, mereka masih menghormati saya sebagai penguasa kelas. Cakap saya tidak dibantah. Namun begitu, pada Jurulatih lain, nampak sangat belangnya.  Bersambung.

Advertisements
 
Comments Off on 21.6 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VII

Posted by on 29/11/2011 in Persilatan

 

21.5 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VI

Mendapatkan kerjasama dari kumpulan pengikut jenis kedua ini boleh dilakukan dengan cara berbincang dengan mereka dari peringkat awal, sebelum rancangan kita itu dihebahkan pada orang lain. Kita boleh dapatkan maklumat dan pendapat mereka terlebih dahulu. Tentunya mereka akan berasa diri mereka dihargai kerana diberi perhatian sewajarnya. Apabila hati mereka berpaut pada usaha-usaha yang kita lakukan, pasti mereka akan memberi sokongan yang padu secara berterusan. Hal yang demikian akan memudahkan kita memberi tanggungjawab pada mereka.

Namun begitu, apabila diberikan tanggungjawab, jangan lupa agar kita selalu berhubung dengan mereka. Jangan dibiarkan mereka bekerja berdasarkan fikiran mereka sahaja. Sentiasalah dapat maklumat atas apa saja kerja yang mereka lakukan. Secara langsung, akan memaksa mereka untuk sering berhubung dan bergantung hubungan dengan kita. Hal yang demikian akan memudahkan kita memberi kebebasan secara terpimpin semasa mereka menjalankan tugasan yang diberi. Sumbangan yang mereka berikan tetap bermakna pada kita. Hal yang demikian juga akan memberi sumbangan yang bermakna  pada organisasi atau persatuan yang kita pimpin agar berjalan dengan berkesan dan mantap.

Sebaliknya, jika mereka dibiarkan bebas mengeluarkan fikiran dan mengambil tindakan sendiri dalam persatuan, maka persatuan berkenaan akan mengundang masalah yang tersangat besar. Semakin lama maka semakin mereka berjauhan dengan kepemimpinan tertinggi yang ada. Mereka terus bertapak dalam kalangan pengikut mereka. Malah, pengikut mereka mungkin berkembang luas dari masa ke masa. Hal yang demikian kerana mereka bebas bergerak dan dapat menumpukan perhatian sepenuh masa untuk menyebarkan pengaruh mereka sendiri. Pada hal, dalam masa yang sama, kepimpinan tertinggi persatuan asyik menumpukan perhatian menggerakkan persatuan dan persilatan supaya persatuan dan persilatan itu terus berkembang. Dalam hal ini, masa yang ada tersangat terhad pada kepimpinan tertinggi berbanding dengan golongan pemimpin tak rasmi ini yang ada banyak masa untuk menyebarkan pengaruh mereka dalam kalangan ahli-ahli.

Saya berpengalaman menyaksikan perkembangan dan perluasan pengaruh golongan pemimpin tak rasmi dalam kalangan ahli-ahli kita di beberapa cawangan seluruh negara. Hal yang demikian kerap berlaku selepas kepimpinan bertukar tangan kepada Pak Ak dan seterusnya pada En. Mat. Pada masa Ustaz, kumpulan ini tidak berani menyebarkan pengaruh atas alasan kehebatan mereka. Lebih-lebih lagi semua ahli tetap menganggap Ustaz sebagai terhebat dan tiada tandingan dan saingannya dalam kalangan anak didiknya sendiri. Kalau adapun yang berbuat demikian, tindakan mereka itu tidak kekal lama. Sepanjang ingatan saya, Cuma ada dua tiga ’tokoh’ SC yang sanggup berbuat demikian. Termasuklah ”Mat Dua Puluh Satu”.

Selepas kepimpinan Guru Utama Ustaz Hanafi, ada dalam kalangan golongan ini yang diberi kepercayaan oleh Guru Utama menjadi wakil guru pada  zon-zon tertentu atau di pusat-pusat pengajian tinggi yang tertentu. Ketika itulah mereka menyebarkan pengaruh mereka. Kegiatan ahli-ahli dihadkan atas kebenaran mereka. Maka jadilah arahan yang dikeluarkan oleh Guru Utama, perlu disahkan pelaksanaan di tempat mereka  oleh pemimpin tak rasmi berkenaan.  Malah, jika ingin melibatkan ahli-ahli yang mereka pimpin, perlu mendapat kebenaran dari pemimpin tersebut walaupun pada aktiviti yang dipersetujui oleh Guru Utama ketika itu. Begitulah hebatnya cengkaman mereka pada ahli-ahli yang mereka pimpin. Semuanya dilakukan bukan atas dasar adat dan adab, tapi berdasarkan kepada kepentingan peribadi. Saya rasa, isi perbincangan saya ini telah diketahui umum oleh ahli-ahli kita di satu masa lalu. Pernah saya tulis dalam blog yang lalu.

Hari berganti hari. Pengaruh pemimpin kumpulan kedua ini dalam persatuan semakin berleluasa pada satu ketika yang lalu. Ikatan guru pada mereka tersangat rapuh. Kawalan sepenuhnhya pada tindak tanduk mereka semakin gagal. Guru yang ada menyedarinya tapi hanya dapat merintih atas suasana yang ada. Nasi telah menjadi hangit. Susah dibetulkan. Hinggalah pada satu saat dan ketika maka mereka berjaya menyusun strategi menjatuhkan guru. Kedudukan mereka adalah teguh kerana mendapat sokongan pihak yang berkuasan dalam persatuan yang ada.

Saja saya ingat-ingatkan kembali sebagai catatan sejarah. Semuanya sudah tidak bererti lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sejarah pepecahan telah dan tetap berlaku. Tidak mudah, malah mustahil untuk kembali sedia kala seperti masa kehebatan SC di suatu zaman dulu iaitu di zaman Ustaz Hanafi.

Kumpulan ketiga ialah golongan majoriti. Biasanya ahli kumpulan ini mewakili enam puluh peratus sifat ahli-ahli yang ada dalam satu-satu persatuan atau dalam satu-satu organisasi. Kumpulan ini tidak berminat dengan kuasa yang ada. Mereka hanya berminat untuk menunaikan tanggungjawab dalam keadaan tidak suka menghadapi sebarang masalah. Mereka tidak suka perbalahan kerana mereka lebih suka  hidup dalam dunia selamat. Mereka berhati-hati pada perubahan kerana tidak yakin dengan perubahan tersebut. Perubahan akan menyebabkan mereka sendiri perlu berubah. Itu yang tidak disukai mereka.

Dari segi perubahan, mereka sering risau akan keupayaan diri sendiri kerana kurang keyakinan diri. Apatah lagi untuk memimpin orang lain ke arah perubahan tersebut. Hal yang demikian menyebabkan mereka boleh berubah berdasarkan pengaruh para pemimpin atau rakan-rakan yang ada di sekeliling mereka. Itu sebabnya, kumpulan pemimpin tak rasmi akan menumpukan perhatian untuk menyebarkan pengaruh dan pemikiran mereka pada kumpulan majoriti itu. Dengan cara yang bijaksana maka kumpulan ini mudah dipengaruhi.

Kebijaksanaan kumpulan pemimpin tidak rasmi mempengaruhi kumpulan majoriti ini, banyak bergantung pada kebolehan berkomunikasi berkesan, mesra dan meyakinkan. Kumpulan majoriti yang kadang kala bersifat lalang ini akhirnya akan mudah dipengaruhi dengan satu pendekatan yang berstrategik. Dalam konteks SC, janganlah dihairankan betapa senangnya kumpulan ini bertukar guru persilatan dek kerana perbezaan persatuan. Satu perubahan sikap yang amat malang sekali akibat pengaruh dari mereka yang berkepentingan diri. Itu sebabnya saya selalu merapatlan diri dengan mereka ketika memimppada satu ketika yang lalu. Jika ada sebarang majlis yang mereka anjurkan seperti kenduri kendara, pasti akan saya hadir bersama. Memenangi hati mereka akan membawa banyak faedahnya pada kita.

Walau bagaimanapun, kumpulan ini masih lagi boleh diberi tanggungjawab melaksanakan tugas melalui dua cara. Pertamanya, yakinkan mereka dan ’pegang’ mereka supaya berada dalam satu saf perjuangan yang sama dengan kita. Jangan biarkan mereka dipengaruhi oleh orang lain. Wujudkan suasana mereka sentiasa merujuk dan berpaut pada nasihat dan arahan kita. Keduanya ialah dengan cara mendapatkan sokongan dari pemimpin atau rakan-rakan yang mereka rapat. Hal yang demikian kerana mereka mudah terpengaruh dengan pemimpin atau rakan-rakan yang rapat dengan mereka tersebut. Oleh itu, mudahlah usaha-usaha kita untuk mengikat mereka. Walau bagaimanapun dalam hal ini, pastikan pemimpin atau rakan-rakan rapat mereka itu adalah ’orang kita’. Jika tidak, susahlah bagi kita mempengaruhi mereka. Bersambung.

 
Comments Off on 21.5 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VI

Posted by on 23/11/2011 in Persilatan

 

21.4 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN V

Saya anggap perbincangan saya dalam tajuk ini sangat penting dalam usaha-usaha kita memimpin persatuan SC dengan hebat dan berkesan. Kita mengharapkan agar persatuan SC yang terbentuk dapat bertahan dengan lama. Inilah hasrat Ustaz setiap kali cawangan-cawangan baru dibuka. Kalau sudah dibuka kelas, biarlah bertahan lama. Jangan jatuh umpama buah nangka yang jatuh ke tanah. Kita tidak mahu  berlakunya pepecahan dalam persatuan yang boleh membantutkan perjuangan kita untuk mengembangkan SC dengan meluas. Bukan setakat dalam negara kita sahaja, malah meliputi negara-negara luar yang ramai penghuni Melayu Islam.

Sejarah perkembangan SC dipenuhi peristiwa malang apabila kepimpinannya bertukar tangan. Selepas Ustaz, silat kita bergolak hingga berpecah. Walaupun kita mendakwa bahawa Silat Cekak tidak berpecah kerana masih bersumberkan pusaka Ustaz Hanafi, namun begitu pepecahan persatuan telah menyebabkan pepecahan dalam persilatan. Walaupun kita cuba menafikannya, hakikatnya pepecahan dalam persilatan tetap berlaku. Persatuan baru pastinya akan mencari-cari identiti baru. Oleh sebab persatuan yang berpecah itu berasaskan persilatan, maka persilatan itu sendiri perlu berubah untuk identiti baru. Itulah kenyataannya.  Saya tidak berminat untuk berbincang tajuk ini lagi. Banyak perkara yang saya sentuh dalam blog Sepakminang.

Walau bagaimanapun, peranan pengikut adalah amat penting bagi mempastikan persatuan yang terbentuk itu berada dalam keadaan stabil. Kestabilan persatuan erat kaitannya dengan kebijaksanaan mengurus dan memimpin persatuan dan para pengikutnya. Uruslah dan pimpinlah para pengikut dengan sebaik-baiknya. Kenali mereka dengan sedalam-dalamnya agar kita berupaya membuat telahan yang merupakan satu petanda dalam pengurusan. Janganlah lagi pisang berbuah banyak kali. Yang berpecah tak mungkin akan  bersatu kembali. Pepecahan akan berterusan dalam keadaan seadanya. Cuma, jangan ditambah pepecahan baru.

Sekurang-kurangnya dalam penulisan ini dapat dijadikan panduan atau rujukan agar pepecahan seterusnya dapat dikawal dan disekat dari terus berlaku. Sepanjang kepemimpinan saya di cawangan silat atau pada organisasi yang saya pimpin, sikap para pengikut yang berada di sekeliling saya, sangat diberi perhatian. Nasihat Ustaz sentiasa saya jadikan panduan. Saya tidak rela ’kejatuhan’ saya dek kerana pengikut saya yang ada. Biarlah kejatuhan dalam persatuan saya kerana diri saya sendiri. Baru saya puas hati.

Dalam hal ini, saya berpegang pada  satu teori yang berdasarkan pada empat jenis kumpulan manusia yang berada di sekeliling kita. Kumpulan manusia tersebut boleh berada dalam mana-mana persatuan atau dalam mana-mana organisasi. Kita perlu memahami sifat manusia sekeliling kita yang berupa pengikut kita sendiri dalam persatuan atau organisasi yang kita pimpin. Hal yang demikian amat bermakna agar hubungan antara kita sebagai pemimpin dengan pengikut yang kita pimpin terjalin secara berkesan dan lebih mendatangkan faedah. Bukan mudah kita menjalin ikatan dalam persahabatan untuk maksud mencapat matlamat persatuan kalau kita tidak tahu akan isi hati pengikut kita secara mendalam.

Kumpulan  pengikut pertama ialah kumpulan setia atau saya kenali mereka sebagai kumpulan perintis dan pencipta. Mereka adalah merupakan pengikut yang sentiasa positif dan sanggup bersama dalam apa keadaan sekalipun. Susah sama ditanggung dan senang sama dinikmati. Hati dan perwatakan mereka menampakkan keikhlasan. Kumpulan ini sentiasa sukakan perubahan dan sentiasa memberi sumbangan pada perubahan yang kita lakukan. Budaya kerjanya berlainan dari yang lain dan mereka tidak tahu untuk membantah.

Pada golongan ini saya selalu libatkan mereka sejak awal perancangan. Idea mereka amat bernas dan serius untuk melaksana sesuatu kerja. Hal yang demikian memudahkan kita berbincang dengan mereka. Kita boleh dapatkan komitmen dan kepakaran yang mereka ada tanpa mereka mengharapkan sebarang pulangan dari kita. Mereka tidak mengharapkan sanjungan atau pujian. Segala kerja yang dilakukan adalah berdasarkan prinsip tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kalau dibandingkan dengan watak Abu, pastinya sifat perwatakan Abu Bakar ada tersemai dalam kalangan mereka.

Bilangan mereka tidak ramai. Dalam cawangan saya dulu, bilangan mereka adalah seramai empat orang. Inilah kumpulan yang saya anggap sebagai sehati dan sejiwa. Setiap rancangan yang kami rancangkan, kami bincang bersama. Masing-masing bersedia dan menerima setiap pembahagian kerja yang kami rancangkan  bersama. Kerja yang dirancang pasti ditunaikan segera tanpa risau kegagalannya. Setiap masalah yang timbul, masing-masing dapat selesaikan atas tanggungjawab yang diberi. Bila berjumpa, kami berbincang tentang tindakan yang telah diambil. Bukannya masih berbincang tentang tindakan yang perlu diambil. Hal yang demikian menjadikan kerja-kerja dapat dilakukan dengan cepat dan menurut waktunya. Istilah-istilah kepenatan, sungutan, rungutan dan pelbagai istilah negatif lain, tidak ada dalam perbendaharaan kata kami.

Saya rasa, dalam kepimpinan persatuan, para Penyelia Kelas atau para Jurulatih, berilah perhatian pada golongan ini. Seringlah berbincang dan adakan ikatan persahabatan yang erat dengan mereka dan dalam kalangan mereka. Masalah persatuan atau persilatan tidak ada rahsia sesama kita. Insyaallah, persatuan dan persilatan yang dipertanggungjawabkan pada kita akan sentiasa berada dalam puncak kecemerlangan.

Kumpulan kedua pengikut kita adalah terdiri dari mereka yang sering kali dianggap sebagai  pemimpin tidak rasmi dalam organisasi kita. Mungkin dapat disamakan dengan watak Abu Sufian agaknya. Kemungkinan besar mereka berada dalam lapisan pengurusan pertengahan atau lapisan pelaksana. Mereka dianggap sebagai pemimpin tidak rasmi kerana mereka mempunyai pengikut atas satu-satu kepentingan. Mungkin kerana hobi bermain golf yang sama atau atas satu-satu persamaan yang membolehkan mereka bersatu pendapat dan bersatu kepentingan.

Para pengikut dari kumpulan ini mempunyai sifat atau perwatakan mereka yang tersendiri. Dalam setiap perbincangan, kumpulan ini selalu memikirkan kesan dan tidak mudah untuk menjalankan tugas seperti mana kumpulan pertama. Mereka sering kali membuat andaian-andaian negatif yang boleh membantutkan perancangan. Kalau kumpulan pertama, kita dapat berbincang bagi menjadikan perancangan sebagai kenyataan, akan tetapi perbincangan dengan kumpulan kedua ini boleh menyebabkan perancangan kita terbantut dan rancangan kita sukar menjadi kenyataan. Semuanya gara-gara pelbagai masalah yang dicipta dalam perbincangan. Hal yang demikian bagi menunjukkan sifat mereka yang hebat dan berpengetahuan. Seolah-olah mereka juga bertindak demikian sebagai pesaing kita yang memimpin persatuan atau memimpin satu-satu organisasi itu.

Mereka rasakan bahawa diri mereka juga layak untuk bergelar pemimpin. Namun, kuasa sebagai pemimpin atau sebagai ketua tidak ada pada mereka. Maka berlagaklah mereka seolah-olah diri mereka juga sebagai ketua atau sebagai pemimpin utama. Walau bagaimanapun, kerjasama dari mereka masih dapat diperoleh kerana  mereka bersedia membantu kita  jika kena gaya tarikannya dan jika kita beri peluang dan ruang pada mereka. Bersambung.

 
Comments Off on 21.4 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN V

Posted by on 20/11/2011 in Persilatan

 

21.3 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN IV

’Abu Sufian’ merujuk pada watak pengikut yang memberi penentangan pada peringkat awal tapi akhirnya menurut segala arahan atau perancangan yang ada. Pengikut jenis ini juga bersifat pemimpin secara tak rasmi yang ada pengikutnya. Wujudnya pengikut pemimpin itu adalah atas satu-satu kepentingan. Kemungkinan kepentingan itu sama ada atas bersifat perniagaan langsung atau atas sifat pelbagai jenis kepentingan yang lain. Apapun, pengikut yang lahir itu lebih banyak bergantung pada pemimpin berkenaan atas kelebihan perwatakan yang dimiliki oleh pemimpin itu.

Kelebihan pemimpin jenis ini ialah sekali tunduk pada kebenaran maka beliau akan terus akur dan menegakkan kebenaran tersebut. Kalau pemimpin ini menentang pada satu-satu perancangan, maka berterusanlah dia menentang bersama-sama dengan para pengikutnya. Dalam hal ini, oleh kerana kehebatannya ada kaitan dengan pengikut setianya, maka pengikut kumpulan ini tidak dapat melarikan diri dari sifat kepentingan diri yang sama dengan pemimpinnya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan perwatakan kumpulan ini. Jika tersilap langkah, mereka akan menentang pucuk pimpinan yang ada. Hal yang demikian kerana mereka mempunyai para pengikut setia yang sentiasa memberi penghormatan dan pengharapan pada kepimpinan ABU jenis ini.

Perwatakan Abu Talib merujuk pada watak pengikut yang masih setia pada pucuk pimpinan. Sifat mereka adalah tidak membantah arahan dan perancangan tetapi tidak menyertai perancangan atau arahan yang diberi. Sifat pengikut jenis ini tetap tidak menentang sebarang perubahan atau sebarang perancangan yang dikemukakan. Mereka tetap memberi kerjasama dan memberi galakan serta sokongan yang padu. Cuma, kerjasama dan galakan yang diberi adalah untuk menggerakkan orang lain, bukannya untuk diri sendiri. Hal yang demikian kerana diri mereka sendiri tidak berupaya mengikut atau menyertai arahan yang diberi tersebut. Cakap tak serupa bikin. Suruh orang lain berbuat sesuatu tapi diri sendiri tidak berupaya berbuat demikian.

Sifat mereka yang tidak menyertai perubahan atau perancangan yang dikemukakan, ada kaitan dengan kepentingan diri. Mungkin kepentingan diri tersebut ada kaitan dengan maksud jaga hati. Ramai yang menurut kawan dan bukannya menurut kenyataan. Dalam satu-satu persatuan atau organisasi itu, mereka lebih bersifat mencari ’jalan selamat’. Kedua-dua pihak mungkin ada kaitan atau pertalian dalam konteks hubungan. Bagi menjaga hubungan tersebut, maka tindakan yang sedemikian banyak memberi erti bagi diri mereka sendiri.

Berbeza pula dengan perwatakan Abu Jahal. Watak ini melambangkan sifat penentangan dalam semua segi. Tidak ada kelebihan atau kebaikan pada setiap perancangan pada kaca mata mereka. Semuanya dipandang dari sudut kelemahan dan keburukan. Orang jenis ini begitu bongkak dan bersifat sombong dengan merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Mereka menolak kebenaran tapi menegakkan kedustaan. Sifat yang demikian adalah lahir dari sifat tinggi diri. Mereka berasa diri mereka adalah terunggul dan pendapat merekalah yang terbaik dan boleh dipakai. Itulah anggapan mereka.

Kita boleh mengesan sifat-sifat golongan ini yang begitu bongkak. Dalam pergaulan seharian, mereka memilih-milih kawan. Sifat mereka yang memandang rendah pada orang lain boleh juga dikesan melalui cara mereka bersalam. Pastinya bersalam secara ’layang’ tanpa  merenung mata atau bertentang muka. Nada suara ketika bercakap adalah tinggi. Seolah-olah mereka saja yang layak bercakap pada tajuk-tajuk perbualan berkenaan. Kita boleh bayangkan tentang kesan kewujudan mereka dalam persatuan atau organisasi yang kita pimpin. ”Duri dalam daging”, ”Gunting dalam lipatan.”

Mereka selalu mendakwa bahawa diri merekalah pembela utama yang sah dan benar. Cuba kita bayangkan sifat Abu Jahal yang menentang kebenaran yang cuba dibawa oleh Rasullullah dalam perkembangan Islam. Abu Jahal menganggap fahaman akidah yang dibawa oleh Nabi kita adalah berbentuk ancaman pada kepercayaan masyarakat yang sedia ada. Bangkitlah watak Abu Jahal bagi membela kebenaran kepercayaan yang dianuiti masyarakatnya selama itu. Terpahatlah sejarah Abu Jahal dalam perkembangan Islam.

Bagaimana agaknya bandingan pada mereka yang cuba menegakkan kebenaran diri sebagai pembela kefahaman SC yang sedia ada. No komen. Banyak tafsirannya nanti.

Akhirnya timbul watak Abu Nawas yang merujuk pada sifat yang suka bermuka-muka. Di depan ketua, bukan main hebatnya bekerja. Sebaliknya di belakang ketua, nampak kelibatnya pun jauh sekali. Pandai ponteng dan pandai berpura. Dalam perbualan seharian, mereka tersangat suka menarik perhatian orang lain. Kadang kala, lawak yang dibuat bersifat ’bodoh’. Perkara kecil sering diperbesarkan. Semuanya gara-gara untuk mendapatkan perhatian. Maknanya, sifat utama golongan pengikut jenis ini adalah semata-mata inginkan perhatian. Mereka hendak dihargai sepanjang masa. Sekurang-kurangnya nama mereka disebut dalam setiap aktiviti atau perancangan yang dijalankan. Barulah hati mereka berasa puas dan dapat meneruskan pekerjaan. Jika gagal berbuat demikian, mereka pastinya akan merajuk atau mereka-reka cerita bagi membuktikan bahawa mereka masih hebat dan sentiasa diperlukan.

Berdasarkan perwatakan yang dibincangkan di atas secara ringkas, kita boleh mengawasi dan berhati-hati pada manusia pengikut yang berada di sekeliling kita. Sifat-sifat yang mereka tunjukkan membolehkan kita boleh membuat telahan dan pengawasan. Biasanya tafsiran kita  berdasarkan sifat yang ada pada mereka, tidak banyak bezanya. Hal yang demikian akan menjadikan kita berhati-hati agar persahabatan yang terjalin dengan mereka dapat pulangan dan faedahnya. Kalau berpisah sekalipun, kita tidak berasa kesal kerana kita tahu siapa mereka sebenarnya.

Ramai yang saya perhatikan dalam kalangan rakan-rakan yang ’kecundang’ semasa memimpin satu-satu organisasi kerana hasutan atau kerana  pengaruh pengikutnya  dalam pengurusan. Orang kanan kita juga adalah merupakan pengikut kita. Ustaz pernah menegaskan betapa pengikut-pengikut juga berperanan penting bagi menjatuhkan kepemimpinan organisasi berkenaan. Saya selalu berpandangan bahawa pemimpin yang terpengaruh besar dengan daya kepimpinan pengikutnya akan menghilangkan prinsip atau pegangan diri pemimpin berkenaan. Lebih malang lagi apabila pemimpin tersebut terhutang budi pada pengikutnya. Maksud terhutang budi itu adalah dalam pelbagai bentuk. Paling mudah maksud terhutang budi itu, misalnya  ialah apabila pengikut berkenaan sentiasa menjadi pembekal makanan atau pembekal rokok. Apabila terhutang budi maka diri pemimpin itu akan dikuasai oleh pengikut sedemikian.

Saya berpengalaman berkawan baik dengan seorang ketua dalam sebuah institusi yang hebat. Kehebatannya sentiasa dapat menghebatkan institusi atau organisasi yang dipimpinnya. Malang,  kehebatannya merudum di satu tempat terakhir beliau berkhidmat. Ramai yang membuat kesimpulan betapa ’kejatuhan kehebatannya’ adalah kerana tersilap mendapat pandangan. Beliau lebih banyak terhutang budi pada pengikut yang pandai bermuka-muka umpama Abu Nawas. Akibatnya, kepemimpinannya sering diperli dan dipandang rendah gara-gara berbentuk abu nawas juga kerana sering mendapat nasihat dari pengikut yang berfaham Abu Nawas. Bersambung.

 
Comments Off on 21.3 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN IV

Posted by on 14/11/2011 in Persilatan

 

21.2 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN III

’Abu Sufian’ merujuk pada watak pengikut yang memberi penentangan pada peringkat awal tapi akhirnya menurut segala arahan atau perancangan yang ada. Pengikut jenis ini juga bersifat pemimpin secara tak rasmi yang ada pengikutnya. Wujudnya pengikut pemimpin itu adalah atas satu-satu kepentingan. Kemungkinan kepentingan itu sama ada atas bersifat perniagaan langsung atau atas sifat pelbagai jenis kepentingan yang lain. Apapun, pengikut yang lahir itu lebih banyak bergantung pada pemimpin berkenaan atas kelebihan perwatakan yang dimiliki oleh pemimpin itu.

Kelebihan pemimpin jenis ini ialah sekali tunduk pada kebenaran maka beliau akan terus akur dan menegakkan kebenaran tersebut. Kalau pemimpin ini menentang pada satu-satu perancangan, maka berterusanlah dia menentang bersama-sama dengan para pengikutnya. Dalam hal ini, oleh kerana kehebatannya ada kaitan dengan pengikut setianya, maka pengikut kumpulan ini tidak dapat melarikan diri dari sifat kepentingan diri yang sama dengan pemimpinnya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan perwatakan kumpulan ini. Jika tersilap langkah, mereka akan menentang pucuk pimpinan yang ada. Hal yang demikian kerana mereka mempunyai para pengikut setia yang sentiasa memberi penghormatan dan pengharapan pada kepimpinan ABU jenis ini.

Perwatakan Abu Talib merujuk pada watak pengikut yang masih setia pada pucuk pimpinan. Sifat mereka adalah tidak membantah arahan dan perancangan tetapi tidak menyertai perancangan atau arahan yang diberi. Sifat pengikut jenis ini tetap tidak menentang sebarang perubahan atau sebarang perancangan yang dikemukakan. Mereka tetap memberi kerjasama dan memberi galakan serta sokongan yang padu. Cuma, kerjasama dan galakan yang diberi adalah untuk menggerakkan orang lain, bukannya untuk diri sendiri. Hal yang demikian kerana diri mereka sendiri tidak berupaya mengikut atau menyertai arahan yang diberi tersebut. Cakap tak serupa bikin. Suruh orang lain berbuat sesuatu tapi diri sendiri tidak berupaya berbuat demikian.

Sifat mereka yang tidak menyertai perubahan atau perancangan yang dikemukakan, ada kaitan dengan kepentingan diri. Mungkin kepentingan diri tersebut ada kaitan dengan maksud jaga hati. Ramai yang menurut kawan dan bukannya menurut kenyataan. Dalam satu-satu persatuan atau organisasi itu, mereka lebih bersifat mencari ’jalan selamat’. Kedua-dua pihak mungkin ada kaitan atau pertalian dalam konteks hubungan. Bagi menjaga hubungan tersebut, maka tindakan yang sedemikian banyak memberi erti bagi diri mereka sendiri.

Berbeza pula dengan perwatakan Abu Jahal. Watak ini melambangkan sifat penentangan dalam semua segi. Tidak ada kelebihan atau kebaikan pada setiap perancangan pada kaca mata mereka. Semuanya dipandang dari sudut kelemahan dan keburukan. Orang jenis ini begitu bongkak dan bersifat sombong dengan merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Mereka menolak kebenaran tapi menegakkan kedustaan. Sifat yang demikian adalah lahir dari sifat tinggi diri. Mereka berasa diri mereka adalah terunggul dan pendapat merekalah yang terbaik dan boleh dipakai. Itulah anggapan mereka.

Kita boleh mengesan sifat-sifat golongan ini yang begitu bongkak. Dalam pergaulan seharian, mereka memilih-milih kawan. Sifat mereka yang memandang rendah pada orang lain boleh juga dikesan melalui cara mereka bersalam. Pastinya bersalam secara ’layang’ tanpa  merenung mata atau bertentang muka. Nada suara ketika bercakap adalah tinggi. Seolah-olah mereka saja yang layak bercakap pada tajuk-tajuk perbualan berkenaan. Kita boleh bayangkan tentang kesan kewujudan mereka dalam persatuan atau organisasi yang kita pimpin. ”Duri dalam daging”, ”Gunting dalam lipatan.”

Mereka selalu mendakwa bahawa diri merekalah pembela utama yang sah dan benar. Cuba kita bayangkan sifat Abu Jahal yang menentang kebenaran yang cuba dibawa oleh Rasullullah dalam perkembangan Islam. Abu Jahal menganggap fahaman akidah yang dibawa oleh Nabi kita adalah berbentuk ancaman pada kepercayaan masyarakat yang sedia ada. Bangkitlah watak Abu Jahal bagi membela kebenaran kepercayaan yang dianuiti masyarakatnya selama itu. Terpahatlah sejarah Abu Jahal dalam perkembangan Islam.

Bagaimana agaknya bandingan pada mereka yang cuba menegakkan kebenaran diri sebagai pembela kefahaman SC yang sedia ada. No komen. Banyak tafsirannya nanti.

Akhirnya timbul watak Abu Nawas yang merujuk pada sifat yang suka bermuka-muka. Di depan ketua, bukan main hebatnya bekerja. Sebaliknya di belakang ketua, nampak kelibatnya pun jauh sekali. Pandai ponteng dan pandai berpura. Dalam perbualan seharian, mereka tersangat suka menarik perhatian orang lain. Kadang kala, lawak yang dibuat bersifat ’bodoh’. Perkara kecil sering diperbesarkan. Semuanya gara-gara untuk mendapatkan perhatian. Maknanya, sifat utama golongan pengikut jenis ini adalah semata-mata inginkan perhatian. Mereka hendak dihargai sepanjang masa. Sekurang-kurangnya nama mereka disebut dalam setiap aktiviti atau perancangan yang dijalankan. Barulah hati mereka berasa puas dan dapat meneruskan pekerjaan. Jika gagal berbuat demikian, mereka pastinya akan merajuk atau mereka-reka cerita bagi membuktikan bahawa mereka masih hebat dan sentiasa diperlukan.

Berdasarkan perwatakan yang dibincangkan di atas secara ringkas, kita boleh mengawasi dan berhati-hati pada manusia pengikut yang berada di sekeliling kita. Sifat-sifat yang mereka tunjukkan membolehkan kita boleh membuat telahan dan pengawasan. Biasanya tafsiran kita  berdasarkan sifat yang ada pada mereka, tidak banyak bezanya. Hal yang demikian akan menjadikan kita berhati-hati agar persahabatan yang terjalin dengan mereka dapat pulangan dan faedahnya. Kalau berpisah sekalipun, kita tidak berasa kesal kerana kita tahu siapa mereka sebenarnya.

Ramai yang saya perhatikan dalam kalangan rakan-rakan yang ’kecundang’ semasa memimpin satu-satu organisasi kerana hasutan atau kerana  pengaruh pengikutnya  dalam pengurusan. Orang kanan kita juga adalah merupakan pengikut kita. Ustaz pernah menegaskan betapa pengikut-pengikut juga berperanan penting bagi menjatuhkan kepemimpinan organisasi berkenaan. Saya selalu berpandangan bahawa pemimpin yang terpengaruh besar dengan daya kepimpinan pengikutnya akan menghilangkan prinsip atau pegangan diri pemimpin berkenaan. Lebih malang lagi apabila pemimpin tersebut terhutang budi pada pengikutnya. Maksud terhutang budi itu adalah dalam pelbagai bentuk. Paling mudah maksud terhutang budi itu, misalnya  ialah apabila pengikut berkenaan sentiasa menjadi pembekal makanan atau pembekal rokok. Apabila terhutang budi maka diri pemimpin itu akan dikuasai oleh pengikut sedemikian.

Saya berpengalaman berkawan baik dengan seorang ketua dalam sebuah institusi yang hebat. Kehebatannya sentiasa dapat menghebatkan institusi atau organisasi yang dipimpinnya. Malang,  kehebatannya merudum di satu tempat terakhir beliau berkhidmat. Ramai yang membuat kesimpulan betapa ’kejatuhan kehebatannya’ adalah kerana tersilap mendapat pandangan. Beliau lebih banyak terhutang budi pada pengikut yang pandai bermuka-muka umpama Abu Nawas. Akibatnya, kepemimpinannya sering diperli dan dipandang rendah gara-gara berbentuk abu nawas juga kerana sering mendapat nasihat dari pengikut yang berfaham Abu Nawas. Bersambung.

 
Comments Off on 21.2 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN III

Posted by on 12/11/2011 in Persilatan

 

21.1 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN II

Dalam tulisan ini saya cuba mengajak para pembaca sekalian memahami tentang perangai manusia pengikut yang wujud dalam mana-mana persatuan. Kefahaman ini berdasarkan pengalaman saya menghadiri kursus sama ada dalam atau luar negara. Kefahaman mengenainya akan banyak membantu apabila kita diberi tanggungjawab untuk memimpin persatuan,

Semakin lama maka semakin saya mengerti betapa pepecahan dalam satu-satu persatuan atau orghanisasi itu adalah merupakan perkara mesti. Hal yang demikian akan berlaku jika kepemimpinan atasannya tidak mengawal para pengikutnya  dengan sebaik mungkin. Dalam hal yang demikian, saya amat mengkagumi corak kepimpinan Ustaz yang berjaya mengawal ahli-ahlinya. Mungkin Ustaz tidak merujuk pada mana-mana teori kepimpinan yang ada. Kewibawaan Ustaz sendiri menjadikan kehebatannya. Corak kepimpinannya saya jadikan rujukan dalam pengurusan saya mengendalikan organisasi atau institusi yang dipertanggungjawabkan. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu.

Saya dapat simpulkan bahawa tindak balas pengikut atau ahli bagi satu-satu persatuan atau ahli bagi satu-satu organisasi itu banyak bergantung pada kepimpinan tertinggi. Jika kepimpinan itu dihormati atau ditakuti, gelagat ahli atau pengikut adalah lebih terkawal. Para pengikut yang ada tidak mudah menunjuk belang diri. Perangai buruk mereka lebih banyak tersimpan berbanding dengan perangai baik yang terpaksa dikeluarkan. Mungkin perangai baik tersebut adalah bersifat kepura-puraan kerana pemimpin atau ketua mereka amat digeruni atau ditakuti atau dihormati.

Walau bagaimanapun, sifat asli mereka tetap akan terserlah dari masa ke masa. Jika dapat dikesan awal maka mudahlah kepimpinan tertinggi itu membuat pelbagai tindakan, termasuk penyingkiran atau sebagainya. Jika gagal dikesan dari tahap awal, maka ahli berkenaan akan terus berkekalan menyebarkan pengaruh diri dan menunggu masa untuk menunjukkan belang.

Belang ahli-ahli yang hidup dalam suasana kepura-puraan sifat, mungkin ternyata apabila persatuan atau satu-satu organisasi itu  bertukar pemimpin. Jika pemimpin yang baru itu tidak menyamai atau dekat-dekat menyamai atau melebihi ketokohan atau kewibawaan pemimpon lama, maka ’gejala buruk’ pasti terjadi dari aspek kesetiaan. Hal yang demikian adalah terbukti berdasarkan pengalaman saya mengetuai banyak organisasi. Pengikut yang berkepentingan akan cuba sedayua upaya untuk menguasai pemimpin yang ada. Jika mereka gagal berbuat demikian maka mereka akan menimbulkan gejala penentangan. Jika tidak dibendung dengan segera, luka yang ada akan menjadi semakin parah. Akhirnya anggota badan terpaksa dipotong dan dipisahkan daripada anggota badan yang asal.

Begitulah kiasannya berbanding dengan persatuan. Apabila kegiatan dan tindak tanduk mereka tidak dapat dibendung atau dikawal, maka mereka akan terus berperanan sebagai pemecah belah. Banyak fitnah dan anggapan buruk disebarkan sebagai maksud mempersoalkan kepimpinan yang ada. Semakin lama maka semakin bertapak pengaruh mereka dalam pemikiran kalangan ahli-ahli yang lain. Maka wujudlah keadaan pecah belah yang berakhir dengan perpisahan persatuan. Diri pertualang akan dijadikan pemimpin baru. Mereka berasal dari golongan pengikut yang dapat melonjakkan diri melalui pelbagai strategi diri.

Dalam pengurusan persatuan atau organisasi, penekanan banyak diberi pada aspek kepimpinan tertinggi pengurusan. Banyak teori kepimpinan yang disogokkan pada peserta kursus untuk mengajar sifat pemimpin yang baik. Selalu disarankan pada peserta kursus betapa seorang pemimpin itu juga adalah bertindak sebagai ketua. Manakala eorang ketua itu tidak semestinya seorang pemimpin.

Walau bagaimanapun, sepanjang pengalaman saya, kita tidak banyak mendedahkan para ahli persatuan atau ahli satu-satu organisasi itu tentang peranan pengikut yang baik atau teori-teori kepimpinan yang perlu ada pada setiap pengikut. Kalaupun disentuh tentang peranan pengikut, sentuhan itu berbentuk lapisan hyang amat tipis tanpa ada penekanan yang khusus.

Persatuan  SC juga kerap kali mengadakan kursus-kursus pada ahli-ahlinya. Carilah peluang untuk mengadakan kursus yang menegaskan tentang peranan ahli-ahli sebagai pengikut persatuan dan pengikut persilatan. Tekankan adat dan adab dalam persilatan dan nilai dan etika  dalam persatuan. Dedahkan pelbagai teori tentang pengikut. Hal yang demikian akan membolehkan para ahli membuat bandingan antara teori yang ada dengan kenyataan diri mereka yang sebenarnya. Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya, hal yang demikian akan memberi banyak faedah pada keutuhan dan kemantapan satu-satu persatuan atau satu-satu organisasi itu.

Itu sebabnya kita perlu kenal pasti golongan-golongan pengikut yang ada bersama kita dalam mana-mana persatuan atau orghanisasi itu. Kita fahami perwatakan mereka sama ada mereka boleh membantu kita secara ikhlas dan berterusan ataupun tidak. Jika kita tidak memahaminya, kita akan tenggelam dengan perwatakan mereka yang mungkin berpura-pura atau bermuka-muka.

Dalam tulisan ini, saya akan cuba menyentuh tentang sifat-sifat para pengikut yang ada berdasarkan pengetahuan yang saya peroleh. Rupa-rupanya banyak teori tentang gelagat pengikut. Saya akan menyentuh beberapa pandangan yang ada buat renungan bersama. Bandingan sifat-sifat mereka dengan sifat yang ada pada diri kita. Mudah-mudahan hal usaha-usaha yang sedemikian akan menjadikan kita menjadi seorang pengikut setia yang hebat. Kehebatan pengikut akan menghebatkan ketuanya. Secara langsung, persatuan atau organisasi yang terlibat akan turut menjadi hebat.

Pengikut yang hebat sentiasa berperanan mempastikan sesuatu itu berlaku dalam organisasinya. Mereka mengambil bahagian dan penglibatan mereka adalah secara maksimum dan secara total. Pengikut biasa hanya melihat sesuatui itu berlaku. Penyertaan mereka tersangat kurang dan terhad. Semangat bekerja tidak ada. Mungkin mereka ini lebih banyak bercakap dan mengeluarkan pendapat daripada lebih banyak bekerja dan membantu rakan-rakan kerja yang lain. Manakala pengikut yang haprak sentiasa berasa hairan tentang apa yang berlaku dalam persatuan atau dalam organisasinya. Penyertaan mereka boleh dikatakan tidak ada langsung. Peranan mereka boleh dianggap sebagai pohon dedalu yang menumpang hidup pada pokok yang ada. Kerja ditolak langsung. Sebaliknya mereka lebih menyindiri dalam alam mereka sahaja.

Saya pernah mendengar syarahan tentang perwatakan ABU dalam teori pengikut dalam satu-satu institusi atau organisasi atau persatuan. ABU dihubungkan dengan individu yang pernah wujud dalam sejarah tamadun manusia. Abu Bakar dilambangkan sebagai seorang pengikut yang sentiasa menurut arahan ketuanya dan membenarkan segala perbuatan atau perancangan yang dilakukan ketuanya demi kebaikan organisasi. Pengikut bersifat demikian lebih banyak bekerja atau menjalankan tugas atau menjalankan arahan daripada banyak bercakap. Tugasan yang diberi akan dipikul dengan sepenuh hati tanpa ada sebarang bantahan atau rungutan. Jika ada dalam kalangan ahli-ahli lain yang merungut atau menimbulkan penjelasan, kumpulan ABU ini akan memberi penjelasan. Mereka akan merasionalkan tindakan pemimpin atau ketua mereka.   Bersambung.

 
Comments Off on 21.1 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN II

Posted by on 11/11/2011 in Persilatan

 

21.0 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN I

”Setiap pertemuan adalah bersyarat tapi setiap perpisahan itu adalah mutlak.

Saya amat tertarik dengan ungkapan tersebut yang diucapkan oleh sahabat saya dalam satu majlis persaraannya tempoh hari. Saya catatkan dalam buku harian saya akan maksud yang diungkapkannya itu. Huraiannya adalah dikaitkan dengan ’kehilangan’ pada sahabatnya yang sama-sama menunaikan tanggungjawab dalam organisasi yang sama. Ketika menunaikan tanggungjawab menjalankan tugas, beliau menekankan prinsip berani ketika menjalankan tugas. Dalam hal ini, menurut beliau soal diboikot setelah kehilangan jawatan adalah tidak mendatangkan masalah. Menurutnya lagi, pegawai-pegawai sekeliling yang menghormati atau menyanjung tinggi padanya adalah semata-mata kerana jawatan yang disandangnya. Itulah syarat persahabatan. Mereka kena hormat sama ada suka ataupun tidak.

Ditegaskannya sekali lagi betapa hubungan sesama rakan sekerja dalam satu organisasi adalah berdasarkan jawatan yang disandang. Maka itulah syarat mutlaknya. Apabila bersara maka syarat itu telah tiada lagi malah tidak ada gunanya lagi. Apabila bersara juga, maka akan berbaliklah hubungan sesama mereka pada asalnya semula. Kalau kerana jawatan dirinya dihormati, disanjungi atau dikenali, maka kerana jawatan yang telah tiada juga maka dirinya tidak lagi dipeduli atau dihormati. Itulah hakikat atau haknya. Mutlak; tanpa perlu  dipersoalkan lagi. Itulah maksud ”Setiap pertemuan adalah bersyarat tapi setiap perpisahan itu adalah mutlak.” Oleh itu tidak timbul soal boikot dan sebagainya kerana hukum alam telah berlaku.

Cuma, hubungan seterusnya adalah semata-mata berdasarkan konsep hubungan sesama manusia. Kalau seseorang itu ada pegangan agama, mungkin hubungan seterusnya lebih membawa makna. Pertemuan dan perpisahan akan dikaitkan dengan kehendak Allah. Orang-orang ini adalah berlainan pegangannya. Mereka sentiasa mengenepikan kepentingan diri. Hubungan mereka diasaskan pada keiklasan dan kejujuran. Maka berterusanlah mereka berhubung dari masa ke masa.

Saya dapat merasakan betapa ungkapan berkenaan dapat memberi makna yang amat besar pada kita dalam pelbagai situasi. Pertemuan kita adalah bersebab. Atas sebab itulah kita akan berpisah apabila hal-hal yang berkaitan dengan sebab itu telah tiada lagi. Kita boleh aplikasikan pada masa kita bekerja di jabatan yang sama atau ketika berada dalam persatuan yang sama. Malah perkara itu tetap berlaku ketika berada dalam perjuangan silat yang sama. Kita dapat rasakan hal yang sama pernah berlaku dalam persatuan SC kita. ”Kerana SC kita kita bertemu maka kerana SC-lah juga kita berpisah.”

Dalam perjuangan silat kita, setiap tahun kita sering melihat betapa ramai ahli yang meninggalkan persatuan atau organisasi yang diceburinya. Namun begitu ada juga yang terus berkekalan dan berterusan meneruskan tanggungjawab. Walau bagaimanapun, ada juga yang kekal dalam persatuan tetapi menjadi duri dalam daging atau bagai gunting dalam lipatan. Mereka tidak mahu mengundurkan diri semata-mata kerana kepentingan sesuatu. Sekurang-kurangnya mereka mendakwa betapa peranan mereka dikehendaki demi kepentingan persatuan atau organisasi berkenaan atau kerana kehendak seseorang atau orang tertentu. Dakwaan yang tiada bukti.

Oleh sebab itu mereka yang berkepentingan akan terus menerus berjuang bagi mengekalkan diri dalam organisasi berkenaan. Nampaknya, hal yang demikian amat berleluasa terutamanya dalam organisasi politik tanah air. Mereka masih ada pengikut. Jikalau tidak mendapat kepercayaan atau kuasa daripada kepemimpinan atasan sekalipun, mereka akan terus berada dalam organisasi berkenaan. Semuanya atas kepercayaan mereka masih ada pengikut setia lagi. Jadilah mereka kuman-kuman yang membawa penyakit pada organisasi berkenaan. Dalam istilah perjuangan, mereka dapat diistilahkan sebagai pertualang. Banyak karenah yang dilakukan hingga menjejaskan perjuangan organisasi berkenaan.

Dalam konteks perjuangan, golongan pertualang adalah terdiri dari mereka yang tiada pegangan. Prinsip hidup adalah umpama lalang. Mencari kesempatan untuk keuntungan dan kepentingan diri. Kerap kali mereka mengenengahkan diri umpama benar-benar memahami perjuangan ideologi. Hakikatnya ialah perjuangan kepentingan diri.

Dalam silat kita pun, manusia yang sama dan hal yang sama pernah dan sedang berlaku. Walaupun mereka tidak bersetuju dengan kepemimpinan atasan, mereka terus berada dalam persatuan bertopengkan perjuangan. Hakikatnya ialah kepentingan diri tanpa mereka sedari. Kita sukar menilai diri sendiri. Sebenarnya manusia sekeliling lebih mengerti dan berkebolehan untuk menilai diri kita.  Sekurang-kurangnya pada golongan tersebut dikatakan memperjuangankan maruah yang diketepikan. Tidak kurang juga yang meneruskan perjuangan dengan anggapan bagi membetulkan perjuangan yang telah menyimpang. Akhirnya kita berpecah secara besar-besaran. Dalam hal ini, banyak tulisan saya yang menyentuh soal ini dalam blog yang terdahulu.

Pertemuan adalah bersyarat bermaksud pertemuan kita itu  adalah bersebab dan berkaitan dengan sesuatu. Hal yang demikian membawa makna bahawa kalau tidak ada persilatan SC maka ahli-ahli yang berada dalam persatuan SC itu sendiri tidak mungkin boleh bertemu dan mengadakan hubungan persahabatan. Maka apabila berpisah atas pertemuan yang bersebab itu, maka perpisahan itu adalah tepat,  tidak berbelah bagi, tidak lagi bersyarat dan akan kekal selamanya. Kalau berpisah kerana tidak ada persefahaman atas dasar sebab tersebut, maka  konsep ’carik-carik bulu ayam’, tidak mungkin akan berlaku lagi. Malah kalau berpisah kerana memasuki persilatan yang lainpun maka orang itu tidak mungkin diterima kembali tanpa ada syaratnya yang tertentu.

Kalau kita memahami konsep pertemuan dan perpisahan yang saya nyatakan di atas, kita boleh gambarkan betapa SC yang berpecah belah itu tidak mungkin bersatu kembali. Dari segi adatnya, usaha-usaha penyatuan semula adalah sia-sia sahaja. Umpama tanah yang ditinggalkan waris tanpa sebarang wasiat. Gersang berterusan tanpa dapat berbuat apa-apa lagi. Tunggu saat dan ketika apabila tanah itu dirampas oleh pihak berkuasa. Maka tinggallah kenangan tentang warisnya di satu ketika yang lalu.

Begitulah suasana yang ada dalam persilatan kita. Lebih parah lagi, fahaman persatuan amat besar pengaruhnya berbanding dengan fahaman persilatannya. Kita mengenepikan prinsip betapa persatuan itu merupakan alat untuk mengembangkan silat. Sebaliknya, alat telah menjadi keutamaan. Mungkin orang sekarang tidak dapat membezakan antara tunjang atau perdu dengan rantingnya.

Persatuan yang berpecah telah mengundang pembentukan identiti yang baru. Apatah lagi persatuan yang berpecah itu diasaskan pada pepecahan gurunya. Pusaka Hanafi dijadikan sandaran bagi menunjukkan keaslian. Hakikatnya ialah perlu ada kelainan. Maka berlakulah perubahan sama ada pada kefahamannya atau pada persilatannya. Saya tak mahu komen banyak dalam hal ini. Tapi saya rasa diri berasa puas kerana telah menunaikan tanggunjawab dalam perjuangan. Saya cuba menulis berdasarkan kebenaran sama ada dari segi kefahaman mahupun dari segi persilatan. Sekurang-kurangnya ada bahan rujukan buat generasi yang akan datang.  Bersambung.

 
Comments Off on 21.0 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN I

Posted by on 10/11/2011 in Persilatan