RSS

Monthly Archives: June 2012

40. 3. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

          Tulisan kali ini masih membincangkan tentang proses saya menerima dan menambahkan ilmu daripada Ustaz. Saya tidak menyentuh tentang isi ilmu pengetahuan yang diperoleh. Ada perkara yang boleh ditulis dan ada perkara yang tidak boleh ditulis. Ada ilmu pengetahuan yang Ustaz buat tegasan. ”Saya terima secara empat biji mata maka sekarang saya turunkan secara enam biji mata. Jangan khabar pada orang.” Enam biji mata sebab ada seorang lagi kawan saya. Bila ada penegasan yang sedemikian bermakna satu larangan pada saya supaya tidak membincangkan hal-hal yang berkaitan. Mana-mana ilmu pengetahuan yang saya peroleh tanpa ada penegasan berbentuk larangan, baharulah berani saya perkatakan. Itupun lebih baik secara lisan daripada bentuk tulisan.

          Satu lagi kaedah saya memperoleh ilmu ialah melalui peruntukan masa bersama Ustaz. Selesai kuliah, saya akan berkunjung ke rumah Ustaz yang merupakan pejabat silat di Lorong Haji Sirat. Masa adalah bukan penghalang kepada saya walaupun saya berada di tahun tiga yang merupakan tahun akhir. Hal yang demikian adalah kerana, kursus yang saya ambil hanya enam subjek sahaja. Peperiksaannya pula hanya di akhir tahun. Sistem semester belum diperkenalkan lagi. Dari awal tahun hingga akhir tahun, tidak ada peperiksaan. Hanya kertas kerja berbentuk esei yang perlu dibuat dan dibentangkan di kelas tutorial. Sebagai mahasiswa, sudah tentu saya ’pandai menyesuaikan’ diri dengan tuntutan berkenaan. Tak ada masalah. Semuanya beres.

Masa yang banyak dapat diuntukkan pada SC. Selesai kuliah, saya akan terus berada di pejabat silat. Malam baru balik ke rumah. Kalau ada kelas malam, saya akan bersembahyang di pejabat. Hal yang demikian telah membolehkan saya menemani Ustaz untuk keluar ke mana-mana yang dikehendakinya apabila diajak, terutama di waktu petang. Kerap kali saya dibawa ke rumah Pak Wan. Di situ Ustaz selalu bersembang soal agama dan prinsip hidup. Tambahan pula saya difahamkan bahawa Pak Wan pernah belajar pondok. Oleh itu perbualan mereka adalah lancar. Banyak perkara yang baru pada pemikiran saya. Sungguh bertuah. Saya dengar sahaja. Tak pandai nak mencelah. Sekali-sekali tumpang senyum apabila mereka ketawa. Kalau bersembang tentang silat, tentunya saya boleh turut serta. Sepanjang ingatan saya, bersama Pak Wan, Ustaz hanya menyentuh soal-soal agama dan pegangan hidup. Tak pernah menyentuh soal persilatan. Namun begitu, saya dikira bertuah kerana dapat tumpang ’sekaki’.

Ketika tertentu sebelah petang, kerap kali juga saya dibawa Ustaz ke kedai makan Pak Husin di Kampung Baru. Keberadaan saya di rumah Ustaz pada waktu petang, setelah kuliah berakhir, membolehkan saya berpeluang mengikut Ustaz. Saya difahamkan bahawa peranan Pak Husin dalam perkembangan SC di peringkat awal adalah sangat besar sekali. Anak-anak beliau ramai yang belajar dengan Ustaz. Ada yang menjadi Jurulatih. Ketika berada di kedai itu, Ustaz juga akan bercakap pada satu-satu tajuk yang berkaitan dengan agama. Isi percakapannya ialah berkaitan dengan kehidupan dan boleh dijadikan pegangan dalam hidup. Kadang kala saya sukar memahaminya kerana terdapat istilah-istilah yang begitu asing pada saya. Hal yang demikian telah menyebabkan timbulnya inisiatif saya untuk merujuk buku-buku agama. Secara langsung perbuatan yang demikian telah menimbulkan minat untuk membuat rujukan bagi meneguhkan kefahaman saya dan memudahkan saya menerima dan memahami percakapan Ustaz di masa-masa seterusnya.

Saya teringat satu peristiwa sewaktu berada di kedai tersebut. Pada masa itu terdapat seorang penulis terkenal yang selalu menulis tentang kerajaan yang berada di langit atau di planet lain. Beliau adalah bekas pejuang politik Islam dan beralih angin pada penulisan. Anak beliau ada yang menjadi ahli SC. Tapi dikatakan tak ’ngam’ dengan bapanya. Sebelum itu Ustaz pernah membuat komen tentang penulisannya pada saya. Kebetulan pulak pada petang itu, kami bertemu dengannya di kedai Pak Husin,.

Meja kami amat berdekatan. Ustaz hanya menyahut tegurannya, tapi tidak bersembang. Sebaliknya, Ustaz memulakan percakapan dengan saya atas tajuk, ‘arif dan bijaksana’. Saya percaya penulis berkenaan mendengarnya. Dan saya juga yakin bahawa percakapan Ustaz itu sememangnya ditujukan pada beliau. Saya mendengar sahaja. Banyak pengetahuan baru yang saya peroleh.

Kaedah Ustaz yang berkenaan bukanlah asing bagi saya. Ketika berada di cawangan, kaedah yang sama berlaku juga. Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur selepas majlis ijazah, kami membawa Ustaz bersarapan pagi di kedai nasi lemak yang amat terkenal di Ipoh. Semalamnya Ustaz tidur di tempat kami. Ketika kami hendak makan, datang taukeh kedai menyampuk perjumpaan kami. Tangannya memegang rokok. Pakaiannya tidak kemas. Hanya bersinglet. Nampak sangat sengkeknya. Ustaz langsung tidak memandangnya. Sebaliknya Ustaz memulakan percakapan atas tajuk, ‘adab dan kesihatan’. Saya yakin bahawa percakapan Ustaz itu ditujukan pada orang berkenaan. Kami hanya mendengarnya sambil menyentuh hidangan. Akhirnya, taukeh kedai berkenaan berlalu dengan sendirinya. Agaknya terasa sangat. Walau bagaimanapun,  hal yang berkenaan memberi peluang bagi kami mendapatkan ilmu pengetahuan tentang kehidupan. Terasa puas mendengar isi percakapan Ustaz.

Di situ juga Ustaz membacakan amalan yang patut kami amalkan untuk kesejahteraan diri. Kebetulan saya membawa buku catatan. Dengan segera saya hulurkan pada Ustaz untuk menulis amalan berkenaan. Alhamdulillah. Kekal hingga sekarang catatan tulisan Ustaz dalam buku saya. Lengkap dengan tandatangan Ustaz dan ada tarikhnya iaitu 22.11.81. Satu kenangan berharga buat diri saya.

Sengaja saya tuliskan dua peristiwa berkenaan bagi  mengenangkan proses saya mendapatkan ilmu. Isi percakapan yang disampaikan adalah secara sepontan, sebagai riaksi pada situasi yang ada. Ustaz suka berbuat demikian bagi menambahkan pengetahuan kami berdasarkan situasi dan kenyataan yang benar.

Saya juga teringat ketika Ustaz mengajak saya berjalan-jalan di  Jalan Chow Kit. Banyak lorong yang dilalui. Setelah berjalan ke sana sini, kami minum di kedai kopi. Di situ Ustaz akan memberi komen tentang apa yang saya alami dan lalui sebentar tadi. Tentunya tentang dunia kehidupan yang mempunyai pelbagai cabaran. Saya mendengar sahaja dan cuba memahami antara isi perakapannya dengan dunia realiti yang baru dialami. Maka banyak ilmu pengetahuan berharga yang diperoleh untuk menjalani kehidupan di dunia ini.

Ada ilmu yang saya peroleh untuk menegaskan pengetahuan yang sedia ada. Saya pernah menceritakan pengalaman saya diketepikan daripada mendapatkan ilmu menengah. Pada hal, Ustaz pernah berjanji memberinya pada saya setelah tamat pengajian  pertama. Saya  catat dalam buku harian. Tapi sekarang entah mana letaknya. Namun begitu, sampai ketikanya saya diketepikan oleh penguasa persatuan. Pemilihan peserta hanya seramai dua puluh satu orang sahaja. Tak boleh lebih dan tak boleh kurang. Begitulah kuatnya fahaman nombor ketika itu. Kegiatan nombor ekor masih belum ada.

Hal yang demikian menyebabkan saya merajuk dan cuba menjauhkan diri dari persatuan. Pada masa  itu saya menyewa di Kampung Baru di Jalan Raja Abdullah, bersama rakan-rakan. Termasuk abang saya yang akhirnya juga mempelajari SC.  Ustaz sering datang ke rumah. Ustaz tak naik, tapi membunyikan hon kereta ajak saya keluar. Di suatu malam, Ustaz mempelawa saya berbuka puasa di rumahnya iaitu rumah persatuan. Saya menurut sahaja. Saya menemui Ustaz di sebelah petang, hari puasa berkenaan. Di sana hanya ada seorang anak Pak Husin. Tak sebut nama sebab ketika ini dah jadi geng CM. Saya difahamkan Ustaz bahawa ahli berkenaan telah lama bersama Ustaz. ”Untuk maksud pemulihan”,  difahamkan Ustaz pada saya. Bulan puasapun Ustaz memasakkan makanan untuknya. Ada strategi Ustaz rupa-rupanya. Tak dapat nak luaskan cerita.

Ustaz membawa saya ke pasar Ramadan. Cari bahan berbuka puasa. Ustaz mempelawa saya memilih makanan. Kemudiannya kami balik ke rumah persatuan, menantikan azan. Selesai makan dan bersolat sama, kami berbual. Ketika itulah Ustaz menegaskan pengajarannya tentang prinsip taatkan guru, ibu dan bapa. Hanya mereka yang tidak ada perasaan iri hati, hasad dengki dan bersifat khianat. Sebaik-baik kawan, pastinya perasaan itu timbul. Sekurang-kurangnya terdetik di hati.

Pesanan Ustaz tersebut telah memberikan kekuatan. Hal yang demikian menyebabkan saya ’berpatah balik’ untuk meneruskan perjuangan dalam SC. Sesungguhnya pengajaran yang ada dalam SC benar-benar akan memberi makna jika kita melalui proses kehidupan tersebut. Rupa-rupanya, sebaik-baik kawan, apabila menjadi musuh maka permusuhan itu akan menjadi berlipat kali ganda. Kalah tindakan ’si hantu raya’. Langsung kita tak sangka walaupun pernah berikrar di hadapan Guru Utama. Ijazah pertama.

Tidak hairanlah betapa sesama kawan dulunya dalam SC, bila berpisah persatuan,  masing-masing akan berusaha sedaya upaya untuk menjahanamkan kawan yang dulunya akrab dan sehati sejiwa. Langsung saya tak percaya akan pelakuan tersebut. Nampak sangat buruk dan busuknya hati manusia. Untuk bergaul mesra, jauh sekali. Kalaupun senyum, sumbeng belaka. Ketara sangat sifat berpura-pura. Memang tak percaya. Dulunya amat baik dan amat mesra. Rupa-rupanya  perasaan iri hati sentiasa ada sesama rakan kita.  Beringat dan berjaga-jaga. Pesanan Ustaz pada saya benar-benar memberi makna. Itulah salah satu ilmu kehidupan yang diturunkan pada semua.  Nampak sangat benar akan kata-kata Ustaz tentang hubungan sesama kawan. ’Berpatah arang dan bukannya carik-carik bulu ayam’. Lebih-lebih lagi ketika pepecahan berlangsung dengan jayanya di kedua-dua gelombang pepecahan sesama kita. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 28/06/2012 in Persilatan

 

40. 2. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

           Dalam tulisan yang lalu, saya telah golongkan ilmu yang ada dalam SC kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah berkaitan dengan gerak fizikal dan kumpulan kedua ialah ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan kefahaman. Kedua-dua ilmu tersebut adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Saya berpendapat, pembahagian secara tersebut akan memudahkan pemahaman kita. Tak payah fikir banyak-banyak. Hal yang penting ialah ilmu yang ada dan penerimaan ilmunya. Semua ilmu dalam SC adalah bersabit dengan silat itu sendiri. Tanpa silat, mana mungkin kita diketemukan dengan ilmu-ilmu yang lain dan berkaitan tersebut.

Saya sentiasa berpegang pendapat dan membuat kesimpulan bahawa semua ilmu yang ada dalam SC adalah berkaitan dengan silat. Malah, ilmu yang berkaitan dengan kekuatan dan kehebatan ’anu’ pun ada kaitan dengan silat. Kita biasa dengan istilah ’penumbuk jantan’. SC bersifat amat berani dan hal yang demikian melambangkan sifat kejantanan. Dengan menggunakan kaedah penumbuk jantan, kita juga bersifat anak jantan. ”Berani memberi ruang badan kepada lawan tanpa ada apa-apa perisai pertahanan”. Sangkaan lawan kita ialah berasa mudah untuk menewaskan kita sebagai pengamal SC. Kaki yang lurus dikatakan tiada kekuatan, penumbuknya yang selamba, dikatakan tiada pengawasan dan benteng pertahanan. Umpama burung merpati yang mudah ditangkap. Tapi, cubalah tangkap.

Sifat jantan juga ada terletak pada anu kita. Ada masa lembut dan ada masanya garang. Cuba bayangkan kehebatan kelakian seseorang yang bersilat, tapi anunya lemah. Hebat di kelas tapi malang di ”gelanggang”. Nampak ada kekurangan. Pada hal, SC juga berlambangkan keras dan lembut. Ada masanya pengamal SC  bersifat lembut dan boleh bertolak ansur. Ada masanya juga pengamal SC akan bersifat keras dan tidak mudah bertolak ansur. Tidak hairanlah seperti yang pernah saya tulis, betapa lambang SC dulunya melambangkan penumbuk dan tangan terbuka. ”Keras dan lembut”. Itulah juga sifat jantan namanya.

Sebagai seorang lelaki yang bergelar jantan, sifat yang berkenaan perlu mencakupi keseluruhan aspek diri kita. Silatpun hebat, benda yang ada pada kita pun hebat. Gerak dan tindakan mestilah bersifat jantan yang mencakupi dua jenis pergerakan itu. Oleh itu, bersesuaianlah sifatnya dengan prinsip penumbuk jantan, silatnya jantan dan orangnya jantan. Hal yang demikian membuktikan, sesuatu ilmu yang berkaitan dengan kejantanan, ada perkaitan sesamanya. Walau bagaimanapun, segala-galanya bermula dari gerak silat yang bersifat jantan. Tidak hairanlah dalam SC, wujudnya ilmu menjantankan si jantan. Maka ilmu itu juga ada perkaitan dengan silat. Mungkin kalau kita tidak belajar SC, kita kurang mengambil berat akan sifat-sifat jantan yang lain.

Silat dan penumbuk, sudah sah jantannya. Bagaimana pula dengan pengamalnya. Juga mesti jantan. Kalau pengamalnya perempuan, bagaimana pulak ya. No Komen. Sesuaikan dengan tuntutan. Itu sebabnya dalam tulisan awal, saya katakan bahawa tulisan ini adalah merujuk diri saya yang berjenis jantan.

Penerangan yang meleret-leret dan panjang lebar ini  saja saya tulis bagi mengaitkan betapa semua ilmu yang ada dalam SC adalah berasas atau berkaitan dengan gerak silat itu sendiri. Tak kira sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Itu baru satu contoh sahaja. Contoh seperti itu senang ingat. Hal yang demikianlah menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa semua ilmu yang ada dalam SC adalah bersepadu iaitu kesepaduan antara gerak fizikalnya dengan pemikiran dan kefahamannya. Hal yang demikian adalah kerana ilmu pemikiran dan kefahaman dengan ilmu pergerakan dua kaki dan dua tangan, ada perkaitan yang tidak boleh dipisahkan.

         Ilmu pengetahuan dalam SC juga saya peroleh dari Ustaz melalui situasi tak formal. Pelajaran yang diperoleh banyak menampung ilmu pengetahuan sedia ada. Boleh dikatakan bahawa pelajaran tak formal ini telah dapat melengkapkan ilmu pegetahuan yang diterima secara formal. Saya sangat beruntung kerana hubungan Ustaz dengan saya ketika itu adalah rapat dan Ustaz mudah didekati.

Ketika saya mula-mula belajar SC, Ustaz duduk berseorangan di rumah persatuan di Lorong Haji Sirat. Kemudiannya, apabila pejabat persatuan berpindah di Jalan Putera, Kampung Baharu, Ustaz masih lagi duduk berseorangan dalam satu bilik. Hal yang demikian memudahkan kami berhubung terus dengan Ustaz. Setelah saya berpindah ke Ipoh dan membuka cawangan, barulah terdengar Ustaz berpindah ke rumah baru dan tinggal bersama keluarganya.

Pembelajaran secara tak formal berlaku secara berterusan dalam tiga suasana yang berbeza. Pertamanya ketika saya berada di Kuala Lumpur dan Ustaz mendiami pejabat di Lorong Haji Sirat dan Jalan Putera. Keduanya ialah semasa saya berada di cawangan Perak dan meneruskan perjuangan untuk meluaskan perkembangan SC. Ketiganya ialah semasa Ustaz telah berpindah bersama keluarganya, mendiami rumah sendiri di Taman Keramat. Saya selalu menziari Ustaz.

Semasa SC beroporasi di Lorong Haji Sirat, saya berada di tahun akhir, universiti. Walau bagaimanapun, hal yang demikian tidak menghalang penglibatan aktif saya  dalam SC. Lebih-lebih lagi ketika itu saya dilantik sebagai Jurulatih.  Tumpuan tugasan saya ialah di kelas Universiti Malaya. Kelas itu tetap diadakan setiap petang Sabtu dan Ahad. Habis kelas, saya akan singgah di pejabat silat dan berjumpa Ustaz. Ketika yang tertentu, saya juga akan mengendalikan kelas-kelas pada waktu malam. Tumpuannya lebih banyak di UPM, Gombak dan Selayang. Habis kelas, seperti biasa saya akan terus berada di pejabat silat untuk bersama dengan Ustaz.

Ustaz suka berbual waktu tengah malam. Kebiasaannya Ustaz akan tidur terlebih dahulu dan berjaga kemudiannya. Kami tetap setia menunggu. Habis kelas, kami akan sampai ke pejabat dalam lingkungan sebelas atau dua belas malam. Ketika sampai, kebiasaannya Ustaz telah tidur. Kami terus menunggu di ruang tamu, menghadap biliknya. Apabila Ustaz bangun dari tidur, Ustaz akan keluar bilik dan bertemu kami. Mulalah perbualan berdasarklan tajuk sepontan. Hal yang demikian juga adalah merupakan satu cara saya menambahkan ilmu pengetahuan.   Kalau ‘bernasib baik’, banyak juga petua yang diperoleh.

Saya tiada masalah untuk tunggu. Kebetulan juga pada masa  itu, En Zainal yang juga dikenali sebagai ‘Yang’, tinggal sehaluan perjalanan dengan saya. Ketika itu saya menumpang duduk di rumah sepupu, di kem Mindef. Manakala Yang tinggal di hujung perjalanan jalan Gurney. Kebetulan pula saya dan Yang dalam satu kumpulan yang sama mengajar kelas SC. Hal yang demikian memudahkan kami untuk bersama berada di pejabat silat.

Bersama Ustaz hingga ke pukul berapa pun, tidak mendatangkan masalah. Jika ketinggalan bas yang terakhir, kami akan berjalan kaki. Sampai rumah hingga menjelang pagi. Walaupun keesokan harinya ada kuliah, hal yang demikian tidak mendatangkan masalah. Semangat menuntut ilmu telah mengatasi setiap halangan. Tidak ramai yang sanggup berbuat demikian. Kadang kala hanya saya dan Yang sahaja yang sanggup menunggu hingga Ustaz menyuruh kami balik. Banyak ilmu yang kami dapat. Ilmu-ilmu tersebut adalah sangat kami rahsiakan. Bukan senang nak dapat. Oleh itu lebih baik simpan sendiri daripada cerita pada orang lain. Begitulah sensitifnya kami pada ilmu yang diperoleh. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/06/2012 in Persilatan

 

40. 1. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

          Secara umumnya, saya berpendapat bahawa ilmu yang ada dalam SC dapat ditafsirkankan dalam dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah berkaitan dengan gerak fizikal dan kumpulan kedua ialah ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan kefahaman. Kedua-dua ilmu tersebut adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Gerak fizikal adalah merujuk pada pergerakan dua tangan dan dua kaki. Di sebalik pergerakan tersebut ada kefahamannya.

Kebiasaannya, ilmu fizikal ini diperoleh secara rasmi melalui pelajaran dalam kelas silat. Manakala ilmu yang tidak berkaitan dengan pergerakan dua tangan dan dua kaki boleh diperoleh secara meluas sama ada secara langsung dalam kelas-kelas latihan silat atau dalam situasi lain sama ada situasi rasmi atau tidak rasmi. Penerangan ilmu yang berkaitan pemikiran, tidak memerlukan bukti gerak fizikal. Oleh itu, penerangannya lebih meluas dalam pelbagai bentuk penerangan. Dalam tulisan ini perbincangan tentang ilmu dalam SC adalah merujuk pada kesepaduan kedua-dua ilmu itu.

Satu lagi bentuk ilmu yang diperoleh secara formal adalah melalui majlis-majlis berbentuk ucapan perasmian, syarahan atau ceramah daripada Ustaz. Saya selalu menghadiri majlis-majlis tersebut dengan sedaya upaya. Tanpa ada alasan. Banyak ilmu pengetahuan baru yang diperoleh. Pastinya Ustaz akan membuat rujukan sebelum bercakap. Sekurang-kurangnya Ustaz akan merujuk pada pengetahuan dan pengalamannya selama itu. Hal yang demikian menyebabkan isi percakapannya sangat menarik. Tidak jemu-jemu mendengarnya. Sesuatu yang berpijak di bumi nyata, pasti lebih berfaedah dan berkesan pada para pendengar. Kita boleh nampak betapa isi percakapan Ustaz itu lebih praktikal dan kelihatan jelas untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Saya sendiri amat tertarik dengan percakapan Ustaz. Lebih-lebih lagi, selama ini banyak masa  telah digunakan untuk memberi tumpuan pada pembelajaran semasa di sekolah dan kemudiannya pada kuliah di universiti. Pelajaran lain terutamanya yang menyentuh soal-soal agama, amat jarang diperoleh. Memperuntukkan masa untuk belajar agama, tentunya mustahil. Tidak ada ruang masa. Oleh itu, saya sediakan masa untuk mendapatkan ilmu seperti demikian. Sesungguhnya, menghadiri majlis-majlis berkenaan, banyak faedahnya. Ustaz telah membuka fikiran saya secara lebih luas dengan menyediakan asas yang kukuh bagi membolehkan saya mendalami pelbagai ilmu kehidupan seterusnya. Banyak perkara baru yang menyentuh soal kehidupan telah diperoleh. Hal yang demikian membolehkan saya menentukan apa ilmu yang perlu ditambah untuk masa-masa seterusnya.

Ustaz menggalakkan kami meluaskan pemahaman melalui saluran bacaan. Malah Ustaz sendiri pun rajin membaca dan mengesyorkan beberapa tajuk bahan bacaan yang dianggapnya sesuai. Sesetengah bahan bacaan tersebut adalah kitab-kitab lama yang bertulisan jawi lama. Dapat juga saya membelinya di kedai buku lama. Merangkak juga membacanya. Di samping itu, Ustaz juga membenarkan kami mengikuti pengajian agama terutamanya melalui orang-orang yang tertentu. Cuma, adab utamanya ialah memberitahu Ustaz terlebih dahulu. Pemberitahuan tersebut boleh dianggap sebagai meminta kebenaran dan restunya.  Saya rasa, Ustaz adalah seorang yang berfikiran terbuka dan berterus terang. Tiada masalah dalam soal mendapatkan kebenaran tersebut. Walau bagaimanapun, kegagalan berbuat demikian akan ’mengundang padah’. Bukannya dari Ustaz, tetapi dari ahli-ahli sekeliling yang berfikiran sempit dan tertutup.

Dalam persilatan kita ketika itu ada ahli-ahli kita yang saya anggap sebagai golongan ’tukang canang’. Fikiran mereka tertutup dan hanya berminat menabur fitnah.  Pada mereka, ”sekali sudah belajar SC, tidak perlu belajar apa-apa silat yang lain. Sekali dah berguru dengan Ustaz, tak perlu berguru lagi dengan orang lain. Sekali dah dengar syarahan Ustaz, maka tak perlu mendengar lagi syarahan orang lain.” Susah nak komen. Tapi saya tidak bersetuju dengan pandangan mereka tersebut. Boleh bercampur tapi tak boleh bersama lama-lama. Tak tahulah sekarang. Tapi dulunya memang wujud kumpulan itu.

Kalau seseorang ahli itu belajar tanpa memberitahu Ustaz dan diketahui oleh kumpulan itu, mereka akan membuat isu. Isu jahat. Pelbagai tafsiran dikeluarkan melalui pelakuan mereka supaya Ustaz tahu dan mengambil tindakan. Pegangan mereka, kalau dah belajar SC,  jangan belajar ilmu-ilmu lain. Pada mereka, ahli yang berbuat demikian perlu disingkirkan. Biasanya, kelemahan atau kekurangan ahli berkenaan dalam persilatan, akan dihubungkan penyebabnya dengan ilmu baru yang dipelajari tersebut. Hinggakan kalau terlupa buat buah pun, akan dihubungkan dengan ilmu baru itu.

Dalam hal ini, kalaulah kita tidak dapat sokongan dari Ustaz, maka alamat ’lenyaplah’ kita dari persilatan SC. Sepanjang ingatan saya ketika berada di sana, sekurang-kurangnya terdapat dua orang kawan saya yang telah berjasa pada perkembangan SC, menjadi mangsa. Mereka telah tersingkir begitu saja. Malas nak komen lanjut.

Dalam majlis yang dianjurkan persatuan SC, saya memberi tumpuan pada isi syarahan Ustaz. Bukannya pada gaya Ustaz berucap. Saya boleh memberi tumpuan kerana semua deria yang ada, dikerah untuk memberi tumpuan. Mata memandang Ustaz. Fikiran akan menangkap isi percakapan. Tangan akan mencatat. Oleh itu, mata tak mengantuk. Mulut tak akan berbual kosong dengan jiran sebelah.

Selesai majlis syarahan atau ceramah, saya akan berbual-bual dengan rakan-rakan yang ada. Berbincang balik atas isi percakapan. Kalau mereka berbincang tentang gaya syarahan atau kehebatan Ustaz bersyarah, saya selalunya diam sahaja. Tak mahu masuk campur. Akur sahaja. Sememangnya Ustaz hebat berbicara. Tak guna nak bincang-bincang lagi. Membuang masa. Sebaliknya, mengaplikasikan isi percakapan Ustaz dalam kehidupan harian adalah lebih memberi makna untuk dibincangkan. Tapi itu kata saya.

Ucapan Ustaz dalam satu-satu majlis rasmi juga adalah merupakan satu saluran penurunan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya. Kebiasaannya, ucapan yang diberi Ustaz ada kaitan dengan majlis-majlis khas secara kecil-kecilan. Misalnya majlis penamatan kelas. Kalau majlis besar-besar seperti sambutan Israq Mikraj, ucapan Ustaz adalah berbentuk syarahan atau ceramah. Ketika orang lain sibuk menguruskan majlis, saya tetap mendengar ucapannya.

         Mengadakan catatan adalah saya anggap sebagai suatu tindakan penting. Catatan boleh dibuat sama ada dalam buku khas atau dalam kertas yang boleh difailkan. Saya suka memilih buku sebagai bahan bukti catatan saya. Kita mudah lupa. Oleh itu catatan yang dibuat akan banyak membantu. Kadang kala terlupa bawa buku. Saya akan catat pada sebarang kertas yang ada. Kertas atur cara pun boleh. Kemudian baru saya salin balik pada buku catatan khas berkenaan. Sepanjang saya menuntut ilmu persilatan dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ‘kemegahan’, sentiasa saya catatkan dalam sebuah buku.

Menyentuh buku catatan tersebut, saya teringat ketika menjadi wakil negeri Perak dalam kursus Silat Olah Raga di Johor Baharu pada awal tahun lapan puluhan. Rasanya tahun lapan puluh tiga. Saya mewakili negeri Perak. Hebat juga pengiktirafan yang diberi oleh Jabatan Kebudayaan pada SC. Oleh sebab saya adalah Yang Di Pertua cawangan, merangkap Jurulatih SC, maka saya terpilih mewakili negeri Perak. Setiap negeri telah menghantar seorang guru silat. Kecuali silat yang didaftar di peringkat kebangsaan yang dibenarkan menghantar lebih ramai wakil mereka.

Percampuran dengan guru-guru silat, memberi banyak pengalaman dan faedah. Ramai guru silat yang telah berumur dan mereka mewakili pelbagai jenis silat. Ketika itulah saya memahami tentang cara-cara salah seorang guru silat berkenaan, berhubung dengan ‘kapit’nya. Macam-macam gaya. Namun begitu, mereka tak lokek ilmu. Banyak ‘ilmu megah’ yang saya dapat. Semuanya dicatat dalam buku catatan sebagai kenangan. Itu sebabnya apabila disebut buku catatan maka akan teringatlah peristiwa saya bersama dengan guru-guru silat dari negeri lain.

Saya cuba menimba ilmu megah tatkala bersama mereka. Ada ilmu yang diperoleh secara memberi  ‘pengkeras’ berupa ketayap, tikar sembahyang dan sebagainya. Ada ilmu yang diperoleh secara berjabat tangan berbentuk ijazah. Tidak kurang  juga ilmu yang diperoleh secara pemberian langsung tanpa ada sebarang upucara. Maka banyaklah ilmu yang diperoleh. Ibu Gayung, Pasak Bumi, Kipas Nandung dan lain-lain lagi, tak asing bagi saya. Tak ada pulak ilmu Bisik Semak. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah mengamalkannya. Setakat pengetahuan. Hal yang demikian kerana perasaan ragu-ragu yang ada pada diri saya. Ilmu megah yang luar biasa, tentu ada penyebabnya. Ustaz selalu memberi ingatan tentangnya. Saya berhati-hati. Ketika dirujuk pada Ustaz, hanya senyuman yang diberinya. Saya tidak berminat melanjutkan pertanyaan.

Kerap kali syarahan atau ceramah Ustaz, memerlukan penjelasan lanjut. Penjelasan tersebut hanya boleh diperoleh melalui pertanyaan seterusnya. Dalam hal ini, saya berhati-hati bertanyakan soalan. Biasanya, dalam majlis syarahan atau majlis ceramah, saya tidak akan bertanya soalan secara terbuka. Pertanyaan soalan akan membawa banyak implikasi. Mungkin soalan kita itu akan menyinggung perasaan atau membawa implikasi menduga. Saya cukup berhati-hati dalam hal yang demikian. Daripada menanggung risiko tafsiran orang lain, lebih baik jangan bertanya.

Walau bagaimanapun, persoalan yang ada tetap saya simpan dalam hati. Bukan maksud memendam perasaan. Ketika masa yang sesuai, saya akan bertanya Ustaz. Rupa-rupanya, keadaan yang demikian lebih bermakna dan membawa banyak faedah. Penerangan Ustaz lebih luas dan berkesan. Saya yakin, kalau dijawab dalam majlis-majlis rasmi, pasti jawapannya agak terhad dan terbatas. Banyak hal yang perlu diawasi. Sebaliknya bertanyakan soalan di ketika yang lain membolehkan saya mendapat penjelasan dengan lebih sempurna. Saya berbangga dan berpuas hati akan keadaan sedemikian. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 21/06/2012 in Persilatan