RSS

61.12.8. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

15 Oct

Cadangan Keempat.

Kebajikan Jurulatih.

1. Jurulatih adalah wakil guru atau persatuan. Jika mereka menghadapi masalah, terutamanya dari segi kesihatan, bantulah mereka; lebih-lebih lagi yang melibatkan wang ringgit.
2. Masa sihat, mereka telah berkurban untuk memperjuangkan SC. Apabila mereka sakit, perjuangkanlah kesejahteraan mereka.

Tulisan saya tentang tajuk ini adalah berdasarkan pandangan dan perasaan saya pada masa dulu-dulu; ketika menjadi Jurulatih. Pandangan itu lahir dari kata hati tatkala menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar persilatan SC. Saya membuat cadangan tersebut adalah secara jujur dan berterus terang. Hal yang demikian bagi menarik perhatian LPT agar kebajikan Jurulatih diberi perhatian dengan jelas dan bersungguh.

Saya lebih suka menggunakan istilah Jurulatih berbanding dengan istilah Tenaga Pengajar. Istilah ‘tenaga pengajar’ adalah bersifat umum. Seorang Jurulatih adalah merupakan seorang tenaga pengajar. Manakala seorang tenaga pengajar itu belum pasti bertaraf Jurulatih. Saya pernah membincangkan istilah tersebut dalam tulisan yang lalu.

Dalam konteks persilatan, saya berpendapat bahawa kebajikan Jurulatih adalah merujuk atau bermaksud sesuatu yang dilakukan bagi membawa kebaikan pada Jurulatih itu sendiri. Kebajikan Jurulatih sangat perlu diambil berat kerana kumpulan ini adalah merupakan barisan hadapan dalam perjuangan mendaulatkan persilatan Silat Cekak. Jika pejuang yang berada di barisan hadapan sentiasa diberi perhatian terutamanya dari segi kebajikan mereka, pasti perjuangan Silat Cekak akan sentiasa beroleh kemenangan.

Konsep kebajikan yang membawa kebaikan pada Jurulatih, saya bahagikan kepada dua. Pertamanya ialah penambahan ilmu pada Jurulatih dan keduanya ialah ambil perhatian pada mereka. Saya akan menghuraikan kedua-dua aspek kebajikan tersebut dalam tulisan seterusnya.

Pertamanya adalah berkaitan dengan penambahan ilmu pengetahuan pada diri Jurulatih dalam pelajaran persilatan Silat Cekak. Maknanya, dalam proses Jurulatih itu menyampaikan ilmu dan memupuk kebolehan anak didiknya, kebolehan Jurulatih itu sendiri perlu ditingkatkan. Kita tidak mahu konsep ‘lilin membakar diri kerana menerangi alam sekeliling’, dirujuk pada peranan para Jurulatih. Saban musim kelas, penuntut SC yang dididik Jurulatih akan ‘dikeluarkan’ dari masa ke masa. Daripada konsep tak tahu, para penuntut yang diididik mereka akan peroleh tahu. Ada antara mereka yang terus berlatih, berlatih dan berlatih hingga membentuk diri meraka benar-benar menguasai gerak persilatan SC.

Sebaliknya, ilmu persilatan para Jurulatih tidak bertambah kerana terus mengajar, mengajar dan mengajar, di samping tugas-tugas lain termasuk persembahan dalam pertunjukan silat. Sibuk mengajar. Ruang waktu pada mereka untuk menambah dan mendalami ilmu dalam persilatan adalah tersangat terhad kerana terikat dengan kelas-kelas pelajaran SC yang sedia ada. Maka ada antara mereka yang terpaksa ‘berlakon’ seolah-olah telah menguasai semua gerak yang ada dalam persilatan Silat Cekak.

Atas kesedaran itulah saya berpendapat bahawa LPT perlu menyusun pelbagai program untuk maksud menambahkan pengetahuan dan kebolehan bersilat dalam kalangan Jurulatih dari semasa ke semasa. Pelbagai program boleh dijalankan. Misalnya, salah satu program yang boleh dijalankan ialah sesi latihan bersama Guru Utama yang boleh diadakan pada waktu-waktu tertentu selama sehari suntuk. Malamnya bolehlah diadakan sesi interaksi bersama Guru Utama. Pengisian sesi itu boleh berupa amanat Guru Utama atau hal-hal lain yang difikirkan sesuai.

Perkara penting, kumpulkan semua Jurulatih dari setiap cawangan di satu tempat khas. Masa lega yang ada boleh digunakan mereka untuk berinteraksi atas hal-hal yang berkaitan dengan persilatan. Mereka juga boleh berkongsi pengalaman dalam proses kepimpinan mereka di cawangan. Banyak faedah yang akan mereka peroleh.

Kebajikan kedua yang boleh dilakukan ialah berkaitan dengan tuntutan peribadi para Jurulatih itu sendiri. Ambil perhatian atau beri perhatian. Banyak perkara yang boleh memberi kebaikan pada mereka. Misalnya, dari segi kesihatan, kalaulah ada Jurulatih yang sakit terlantar di rumah atau di hospital, pihak LPT mesti turun ziarah. Jangan dibiarkan dirinya ‘kesepian’ dalam konteks suasana persilatan. “Habis manis sepah dibuang”.

Dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan rasmi keluarga Jurulatih, wakil dari pusat tersangat perlu untuk libatkan diri atau turut serta. Misalnya majlis perkahwinan atau kematian ahli keluarga rapat dengan Jurulatih. Begitu juga dengan lain-lain upacara yang penting. Malah, dalam keadaan keperluan bantuan kewangan kerana satu-satu musibah, perlulah ‘pihak atasan’ memberi perhatian. Bantuan kewangan ini tentulah berbeza dengan tuntutan hutang yang ditanggung kerana ansuran kereta atau perkakas rumah. Hal yang demikian adalah merupakan tanggungjawab peribadi yang tidak perlu campur tangan LPT. Sebabnya persatuan kita bukannya lembaga kebajikan.

Saya berpendapat jika kebajikan para Jurulatih itu diberi perhatian, impak yang besar akan terhasil. Pastinya mereka akan berasa bahawa diri mereka sendiri tetap dan sentiasa dihargai. Saya yakin bahawa hal yang demikian akan menjadi pemangkin utama untuk mereka meneruskan usaha-usaha berikutnya bagi maksud penyebaran SC. Mereka akan sentiasa bermotivasi tinggi bagi meneruskan perjuangan. Hal yang demikianlah yang saya cuba sentuh dalam cadangan saya tersebut.

Dalam tulisan yang lalu, saya pernah menyentuh tentang pengalaman dan perasaan saya ketika menjadi Jurulatih di zaman Ustaz dan seterusnya di zaman PA. Menyingkap kenangan lama. Ketika itulah penglibatan saya dalam SC adalah secara maksimum. Saya tidak bermaksud untuk membandingkan pengalaman dan perasaan saya dengan suasana yang sedia ada. Luar dari pengetahuan saya kerana penglibatan saya telah kurang. Oleh itu janganlah menganggap saya membuat bandingan atau membuat kritikan.

Dalam zaman Ustaz, saya dapat rasakan betapa kebajikan para Jurulatih sangat diberi perhatian. Kebajikan itu saya rujuk pada dua prinsip yang saya bincangkan terdahulu. Konsep kebajikan itu memberi kebaikan, faedah dan perhatian pada para Jurulatih. Terasa akan diri sebagai Jurulatih yang dilantik Guru Utama tersangat dihargai. Terkesan penghargaan dan perhatian yang diberi.

Pada pegangan saya, Jurulatih adalah merupakan wakil guru untuk menyampaikan pelajaran SC dalam kalangan penuntut yang belajar. Ilmu pengetahuan yang ada pada mereka perlu mantap. Merekalah barisan utama dan pertama yang akan menghadapi cabaran ketika proses penyampaian ilmu SC itu berlaku. Maka pada saya, tidak hairanlah Ustaz sendiri memimpin kelas latihan dalam kalangan Jurulatih, sehari pada setiap minggu. Setiap hari Khamis, malam Jumaat. Konsep kelas itu boleh bermaksud kemahiran, pelarasan atau latih tubi. Hal yang demikian adalah bergantung pada keperluan atau tuntutan semasa. Kebiasaannya, latihan tersebut akan diiringi dengan penerangan berbentuk kefahaman bagi memantapkan kebolehan berlisan dalam kalangan Jurulatih.

Pada saya, program yang sedemikian memberi impak yang besar pada diri saya sendiri. Keyakinan saya semakin bertambah. Kelemahan gerak yang saya hadapi, telah dapat diselesaikan dalam kelas tersebut. Penerangan dari Guru Utama sendiri menjelaskan lagi persoalan yang sedia ada dalam diri.

Dalam kelas itu juga, interaksi sesama Jurulatih turut memberi impak yang besar dalam banyak hal. Saya dapat berbincang dengan rakan-rakan seperjuangan tentang banyak masalah sama ada isi pelajaran atau proses penyampaian pelajaran. Perbincangan adalah tersangat sesuai sebab semuanya berada dalam medan kepentingan yang sama. Medan persilatan Silat Cekak.

Dalam konteks persilatan, setelah saya balik ke Cawangan, hubungan dengan Ustaz masih berterusan. Ketika melawat kelas, Ustaz sendiri telah turut turun padang. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam banyak tulisan yang lalu.
Pengetahuan saya tentang ilmu persilatan sentiasa kemas kini. Ustaz sering berbincang tentang perkembangan persilatan semasa Ustaz singgah dalam perjalanan balik ke Kedah. Ketika majlis ijazah, Ustaz akan datang sehari awal dan balik sehari lewat. Banyak perkara yang dapat dibincangkan dan banyak masalah yang dapat dirungkaikan.

Aspek kebajikan yang menyentuh kepentingan peribadi adalah banyak sekali. Pihak LPT, malah persatuan juga telah merangka banyak program bagi menjaga kebajikan peribadi Jurulatih sendiri. Tidak perlu saya ceritakan di sini. Perkara penting yang saya ingin tekankan, aspek kebajikan yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan pada Jurulatih telah memberi impak dalaman yang amat besar pada diri Jurulatih itu sendiri. Selain daripada aspek keyakinan diri yang sentiasa terpupuk, para Jurulatih sentiasa berasa bahawa diri mereka adalah dihargai.

Sesungguhnya pada saya, hal yang demikian telah memberi kesan yang mendalam pada daya gerak dalaman diri saya sendiri. Saya sanggup berkorban wang ringgit, masa, tenaga, malah sanggup mengorbankan perasaan anak isteri semata-mata meneruskan perjuangan mengembangkan persilatan SC. Itulah salah satu kesannya apabila diri kita dihargai dan diberi perhatian tinggi. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 15/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: