RSS

61.12.9. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

19 Oct

Hari Tenaga Pengajar yang diadakan saban tahun adalah amat terkesan sekali. Hal yang demikian kerana program itu telah memberi impak yang sangat besar untuk ‘menggerakkan’ para tenaga pengajar dalam persilatan SC. Sesungguhnya, program itu adalah merupakan satu langkah untuk memberi perhatian pada para Jurulatih. Jasa mereka sangat tinggi dan perlu dihargai. Tidak ternilai sumbangan yang mereka berikan. Cenderamata yang diperoleh bukanlah tukaran atas sumbangan tersebut, melainkan sebagai simbolik atas sikap keperihatinan pada mereka.

Dalam tulisan yang terdahulu saya pernah menulis tentang perasaan saya selaku Jurulatih tatkala menghadiri Hari Tenaga Pengajar setiap tahun. Hari tersebut sangat membawa makna. Terima amanat Ustaz. Itulah saat yang ditunggu-tunggu. Apatah lagi Ustaz ada menyebut nama-nama Jurulatih yang mewakili cawangannya. Woww! Sungguh bermakna. Terasa dihargai. Tersangat bangga.

Walau bagaimanapun, dalam proses perkembangan SC yang begitu pesat, keperihatinan yang jitu pada Jurulatih terpaksa berkurangan. Bukannya dirancang, melainkan atas tuntutan masa dan ketika. Suasana yang sedemikian amat ketara pada masa ‘pemerintahan’ selepas Ustaz iaitu di zaman PA. Perasaan kurang diberi perhatian itu timbul kerana masa selepas Ustaz perhatian pada Jurulatih semakin longgar. Itulah perasaan saya sebagai Jurulatih ketika itu. Terasa kekosongan. Kurang diambil peduli. Itulah juga perasaan kebanyakan Jurulatih.

Seperti yang dikatakan, saya yakin bahawa hal yang demikian bukanlah sesuatu yang disengajakan. Sebaliknya, perkembangan tersebut berlaku kerana telah bermulanya perubahan dalam sistem atau proses penyampaian SC itu sendiri yang berkembang tersangat pesat. Guru Utama ‘tak menang tangan’ untuk mempastikan semua kelas dapat diijazah dalam masa yang ditentukan. Kelas yang terlampau banyak menyebabkan timbulnya suasana yang berbeza dalam proses penyampaian pelajaran SC. Hal yang demikian telah menyebabkan beberapa perubahan telah berlaku dari kebiasaan yang ada. Tidak dapat dielakkan.

Perbincangan saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada pada saya sekian lama. Sesaja saya tulis sebagai kenangan sejarah untuk generasi muda yang ada. Mungkin perkara yang sama akan berulang atau mungkin berubah sebagai memenuhi tuntutan masa. Saya akan merujuk beberapa contoh perubahan yang berlaku akibat kehendak dan tuntutan masa tersebut. Perbincangan saya adalah merujuk situasi berlaku di cawangan saya sendiri.

Adat memotong ayam di kelas-kelas yang hendak tamat telah mula beransur hilang. Kehilangan pengalaman itu adalah secara beransur-ansur mengikut tuntutan masa. Pada mulanya ayam penunjuk dan ayam-ayam lain yang dibawa penuntut adalah disembelih di kelas berkenaan. Kemudiannya hanya ayam penunjuk sahaja yang disembelih. Ayam-ayam lain disembelih sendiri. Perkembangan berikutnya, ayam boleh diganti dengan daging. Akhirnya, ayam penunjuk itu akan dibawa siap bersama Guru Utama. Tidak perlu disembelih di kelas yang tamat itu. Hal yang demikian adalah disebabkan Guru Utama hanya boleh datang ketika waktu ijazah penamat sahaja. Tidak sempat untuk datang awal dan balik lewat sehari. Tuntutan ijazah di kelas-kelas lain adalah mendesak.

Suasana yang berubah itu secara langsung menyebabkan kebiasaan Guru Utama memberi syarahan atau ceramah secara tidak formal dalam kalangan kepemimpinan cawangan telah mulai hilang. Tak dapat dengar lagi ceramah atau syarahan secara berfokus. Oleh itu, secara langsung juga masa berhubung antara Guru Utama dengan pemimpin cawangan terutamanya Jurulatih di cawangan adalah tersangat terhad dan terbatas. Rasa tak puas bersama Guru Utama.

Saya percaya, suasana yang berlaku itu turut memberi kesan besar pada jiwa para Jurulatih lama yang telah biasa dengan suasana yang terbentuk di zaman Ustaz. Itulah juga perasaan saya sebagai Jurulatih ketika itu. Timbul perasaan betapa diri mula kurang diberi perhatian. Macam tidak dipedulikan. Selepas ijazah, Guru Utama terpaksa beredar dan bergegas ke tempat lain. Banyak permintaan dari tempat-tempat upacara ijazah lain dalam kategori ijazah yang berlainan.

Kadang kala Guru Utama tidak sempat untuk berbual, bertanya khabar dan mendapatkan gambaran tentang perkembangan SC di cawangan. Suasana itulah saya katakan sebagai hambar dalam konteks hubungan Jurulatih dengan Guru Utama. Terasa sangat. Hinggakan kami yang berperanan sebagai Jurulatih di cawangan, telah berbincang sesama sendiri. Betapa perhatian mulai kurang diberi. Kurang diambil peduli. Walau bagaimanapun, kami faham bahawa hal yang demikian tidak dapat dielakkan. Suasana persilatan telah berubah. Perkembangan SC semakin meluas. Guru Utama tetap satu. Dasar kita ialah tidak ada pembahagian kuasa dalam proses ijazah. Itulah salah satu keistimewaan yang ada dalam persilatan SC. Senang kawal. Kami sedar akan perkara tersebut. Cuma tuntutan hati kecil yang ingin dilayan. Hendakkan perhatian.

Maka tidak hairanlah timbul situasi untuk menuntut penjagaan kebajikan Jurulatih. Saya percaya tuntutan tersebut bukan isu utama melainkan tuntutan hati kecil yang tidak mampu bersuara. Sebarang usaha untuk menjaga kebajikan Jurulatih adalah berupa tuntutan untuk melayan tuntutan hati kecil yang ada dalam kalangan mereka.

Satu segi yang lain secara kebetulan, tabiat Jurulatih yang telah lama berkecimpung dalam persilatan SC juga mula berubah. Dari segi psaikologi, bila dah lama memegang satu-satu jawatan maka akan timbullah perasaan jemu. Lebih-lebih lagi jawatan secara sukarela. Malas nak turun kelas secara kerap. Lebih-lebih lagi ramai antara Jurulatih yang memegang tugas mengajar adalah juga merangkap menjalankan tugas yang lain. Ada yang menjawat jawatan dalam Jawatankuasa Pusat. Malah ada yang terlibat sebagai ahli LPT. Nampaknya, keutamaan lebih diberi pada pengendalian jawatan yang ditanggung. Tugas sebagai tenaga pengajar SC mula diberi pada generasi baru yang mula bergiat sebagai pembantu Jurulatih. Penurunan kuasa dalam kalangan Jurulatih.

Tambahan pula umur semakin bertambah. Walaupun semakin berpengalaman menyampaikan pelajaran SC, tenaga semakin kurang kerana umur yang bertambah setiap hari, bulan dan tahun. Ada yang mula ke depan perutnya. Nafas semakin pendek. Cepat penat. Hal yang demikian menyebabkan motivasi dalaman untuk turun ke kelas mulai berkurangan.

Seiring dengan umur yang bertambah, secara langsung menjadikan tanggungjawabnya pada keluarga turut bertambah. Anak-anak mulai membesar. Tanggungjawab isteri yang bertambah telah menuntut bantuan suami di rumah. Tidak hairanlah ada antara Jurulatih yang mulai ‘tergeliat’ dalam proses menyampaikan pelajaran di kelas-kelas SC.

Umur yang bertambah juga menyebabkan corak pemikiran juga turut berubah. Sifat mereka lebih cenderong untuk ‘memberi’ secara teori. Rajin bercakap. Kurang usaha untuk menunjuk secara praktis. Hal yang demikian menyebabkan mereka jarang turun ke kelas untuk mengajar secara praktis. Jika turun pun, lebih banyak memberi kuasa kepada pembantunya mengendalikan kelas. Kematangan dalam persilatan turut menyebabkan dirinya ingin dihargai dalam bentuk yang tertentu. “Orang tua’ lain caranya untuk dikendalikan. Mereka kurang suka menerima arahan seperti mana yang dialami ketika mereka muda.

Berdasarkan perbincangan saya di atas, tidak hairanlah timbul tuntutan dalaman supaya menjaga kebajikan para Jurulatih. Pengorbanan mereka perlu diberi perhatian.Merekalah kumpulan yang telah memainkan peranan sebagai pejuang di barisan hadapan dalam proses mengembangkan SC.

Kini, perjuangan tersebut telah tidak membawa makna pada para pejuang yang telah lama berkecimpung dalam persilatan SC. Sesungguhnya pepecahan yang berlaku dalam persilatan SC menyebabkan para Jurulatih tersebut menjadi mangsa. Perhatian pada mereka mula terabai. Ada yang melibatkan diri dengan pelbagai persatuan Silat Cekak yang berpecah itu. Namun begitu, penglibatan mereka adalah terhad. Sudah tua. ‘Pancat’ di sana sini.

Saya terkenang di cawangan saya. Jurulatih yang sama bergiat dengan saya, rata-rata telah berumur hampir enam puluh tahun. Ada yang mendekati umur tujuh puluh. Apabila berjumpa, terkenang juga kisah-kisah lama semasa bergiat dalam SC. Mereka telah berperanan sebagai Jurulatih silat yang mengembangkan SC pada awal sejarah perkembangannya. Ramai penuntut yang berjaya diberi pelajaran SC.

Perhatian pada mereka dalam konteks persilatan SC telah tidak ada. Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak berpihak pada mana-mana persatuan yang berpecah tersebut. Yang mereka ada hanyalah pengalaman bersama Ustaz.
Kita tidak dapat elak dari situasi yang berlaku tersebut. Mustahil satu-satu persatuan yang berpecah itu dapat memberi perhatian pada mereka. Adatnya, kalaulah kita tidak berpecah, sekurang-kurangnya mereka boleh dijemput dalam satu-satu majlis persilatan SC bagi meraikan sumbangan mereka seadanya. Tapi, apakan daya. Pepecahan kita telah menyebabkan tidak ada satupun persatuan SC yang berpecah boleh bertanggungjawab memberi perhatian pada mereka.

Maka hiduplah kenangan Silat Cekak dalam hati kecil mereka sepanjang masa. Sekali sekala, apabila tersiar berita tentang SC di dada akhbar maka terkenanglah kembali zaman penglibatan mereka dalam SC. Kenangan sebagai Jurulatih yang hebat bagi meneruskan kesinambungan pelajaran SC. Dulu. Bersemangat sementara dalam lingkungan hati kecil di ceruk ‘dunia’. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 19/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: