RSS

61.12.7. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

10 Oct

Cadangan ketiga.

Mutu Senarai Buah Kemahiran/Umum.

1. Buah-buah dalam senarai buah umum perlu disemak kembali. Dewasa ini terdapat beberapa teknik dan taktik pukulan, sepakan atau tendangan yang canggih dan mengelirukan.
2. LPT perlu peka dengan teknik-teknik terbaharu dan mencari kaedah penyelesaian. Pengetahuan ini perlu disibarkan kepada kelas.

Saya telah menekankan tentang tajuk buah-buah umum dalam satu tulisan yang terdahulu iaitu tajuk khas Pelajaran Umum; 61.6.0 hingga 61.8.3. Zaman awal saya dulu, tak ada senarai buah-buah umum. Semuanya bergantung pada kebolehan yang ada pada Jurulatih untuk membuka minda para penuntutnya dalam gerak persilatan SC. Kalau idea Jurulatih itu banyak, maka lamalah pelajaran umum dipelajari penuntut. Kalau Jurulatih itu kekurangan idea atau kurang berpengalaman maka pelajaran umum hanya lebih menekankan pelajaran kaki dan senjata pendek sahaja.

Apabila senarai buah umum dikeluarkan, falsafah dan konsep pelajaran umum semakin menyimpang dari tujuan asal. Hal yang demikian saya cuba menarik semula perhatian LPT supaya buat kajian.

Dalam tulisan ini saya tidak akan membincangkan lagi tajuk berkenaan, melainkan saya petik kembali semua tulisan yang berkaitan dengan Pelajaran Umum. Ada lebih dari lima belas muka surat. Bolehlah dijadikan bahan untuk menambah pengetahuan dan mungkin juga sebagai rujukan bagi mengenali persilatan SDC zam,an dulu-dulu. Berdasarkan sudut pandangan saya sendiri.

“Komen saya tentang pelajaran umum telah menarik perhatian beberapa penuntut. Mereka inginkan penjelasan lanjut berkenaan pengalaman saya dalam pembelajaran tersebut. Oleh itu saya lanjutkan sedikit perbincangan mengenai pelajaran umum. Semuanya berdasarkan pendapat saya. Rujukan saya adalah dalam zaman saya sahaja. Saya tidak membandingkan dengan apa yang ada sekarang.

Secara jujurnya, sejak saya mengendalikan kelas silat dulu-dulu, saya tidak terikat dengan sukatan pelajaran umum. Hal yang demikian bukanlah kerana sifat sengaja engkar. Sebaliknya, saya lahir sebagai pesilat SC dari sistem yang tidak ada pelajaran umum secara pembelajaran khusus. Tak ada sukatan pelajaran. Hal yang demikian menyebabkan saya lebih selesa dengan pelajaran yang seadanya pada saya dalam proses membangunkan kebolehan penuntut dalam bidang persilatan. Apa yang saya peroleh dari Ustaz maka itulah yang saya sampaikan kembali. Telah banyak kelas silat di cawangan saya yang habis tempoh pembelajarannya, sebelum adanya sukatan pelajaran umum.

Ikutilah perbincangan saya sebagai maksud perkongsian pendapat, ilmu dan pengalaman. Pendapat saya itu adalah merupakan pegangan saya dulu-dulu ketika mengendalikan kelas. Berdasarkan pengalaman, saya dapat membuat kesimpulan berikut. Pelajaran umum yang tidak terikat dengan apa-apa sukatan adalah lebih menjurus kepada suasana yang selesa untuk mengupayakan lagi pembangunan penuntut dalam pesilatan. Dalam keadaan tidak bergerak aktif lagi dalam pengendalian kelas, maka saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya buat renungan generasi baru dalam persilatan SC.

Dalam tulisan yang terdahulu saya ada membincangkan konsep pelajaran umum di zaman saya. Konsep pelajaran umum ialah kebebasan latihan gerak-gerak yang ada dalam persilatan SC. Pelajarannya tidak terikat pada apa-apa arahan formal. Faktor kreatif para Jurulatih mengendalikan kelas silat, memainkan peranan penting. Hal yang demikian tidak mendatangkan sebarang masalah kerana para Jurulatih lebih mengenali anak didiknya. Mereka tahu akan kelebihan dan kekurangan para penuntut silat. Oleh itu, bentuk pengendalian latihan adalah bercotak umum. Sesuailah dengan pelajaran umum. Namanya pun umum.

Istilah umum adalah merujuk pada sifat secara keseluruhan atau secara menyeluruh. Dalam konteks persilatan, pembelajarannya adalah luas. Tidak khusus pada satu-satu pembelajaran secara berfokus setelah tamat silat. Istilah umum juga bermaksud tidak terang, sukar difahami atau sulit. Dalam konteks persilatan, saya mentafsir pengertian istilah itu sebagai pembelajaran secara latih tubi berdasarkan pelajaran lalu yang kurang difahami atau sukar dikuasai oleh seseorang penuntut itu.

Tafsiran persilatan berdasarkan istilah umum itu adalah berdasarkan pengalaman saya yang telah mengikuti pelajaran umum yang dianjurkan Ustaz. Nampaknya, apa yang dipraktiskan dalam kelas-kelas umum dulunya adalah bertepatan dengan istilah umum yang saya bincangkan. Semuanya berpaksi pada keperluan setiap penuntut. Lain penuntut maka lain keperluannya dalam penguasaan gerak. Hal yang demikian menyebabkan latih tubi yang dilakukan adalah juga secara umum.

Misalnya, mereka yang lemah pelajaran enam tolak enam, akan meneruskan latihan hingga mereka menguasai pelajaran tersebut. Begitu juga pada mereka yang masih lemah dengan pelajaran tumbuk serang. Penuntut ini akan berterusan berlatih secara menguji tumbukan mereka melalui buah-buah umum yang ada. Buah-buah umum itu juga tidak merujuk pada buah yang tertentu. Dalam hal ini, tumbukan penuntut akan diuji berdasarkan keperluan gerak buah yang bersesuaian dengan keperluannya. Kalau tumbukannya menjadi, tidak pulak diuji dengan buah-buah yang turun ke bawah. Nahas jadinya.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah tegaskan bahawa proses pelajaran selama ‘enam bulan’ adalah secara khusus atau berfokus. Kefahaman penuntut juga adalah secara berfokus. Kefahaman secara menyeluruh tentang persilatan SC, hanya diperoleh melalui pelajaran umum. Oleh itu, berdasarkan pengalaman saya, setelah para penuntut melalui proses pelajaran umum maka barulah kefahaman mereka secara keseluruhan tentang SC terwujud.

Misalnya, konsep surat dan posmen hanya boleh difahami apabila pelajaran senjata pendek diperkenalkan pada para penuntut. Samalah juga dengan konsep gerak kaki di kaki dan gerak tangan di tangan, hanya boleh difahami setelah wujudnya pelajaran umum. Begitu juga dengan ungkapan-ungkapan lain. Itu sebab saya katakan, bentuk latihan yang ada dalam pelajaran umum itu sendiri adalah bertepatan dengan makna istilah umum yang memberi maksud keseluruhan atau secara menyeluruh.

Pada pandangan saya, pelajaran secara umum dalam pembelajaran umum setelah tamat silat adalah sangat bersesuaian sekali. Ketika itu, masa yang ada tersangat terhad. Tumpuan mula diberi mencari ahli-ahli baru untuk pembukaan kelas yang baru.

Berdasarkan pengalaman saya, ijazah ketiga dengan majlis yang lebih meriah, kadang kala merupakan klimaks pada para penuntut. Dari segi psikologi ada dalam kalangan penuntut yang berasa, lengkaplah pelajaran silat yang dituntut dari perguruan Silat Cekak. Pada dasarnya, telahan tersebut mungkin ada asasnya. Pengetahuan penuntut telah lengkap dengan ilmu mempertahankan diri dan ilmu menyerang. Ilmu mempertahankan diri dilambangkan melalui pelajaran khusus buah-buah jatuh. Manakala ilmu menyerang dilambangkan melalui pelajaran potong. Itulah perasaan yang wujud dalam kalangan penuntut. Aspek psikologinya.

Maka tidak hairanlah kadang kala kita dapat rasakan bahawa kehadiran penuntut ketika pelajaran umum, semakin malap. Bilangan ahli yang hadir adalah ‘timbul tenggelam’. Hal yang demikian menyebabkan kita mungkin mengeluarkan kata-kata, “Pelajaran berbayar boleh datang, tetapi bila tak payah bayar, kerap tuang dan tak ambil berat”. Malah, seperti yang saya katakan, ada dalam kalangan penuntut SC yang tidak ambil berat untuk mempelajari pelajaran tumbuk serang. Telah puas atau cukup dengan apa yang ada. Kurang berminat. Berada dalam situasi anti klimaks.

Atas faktor kesuntukan masa dan psikologi penuntut itulah, maka peranan Jurulatih yang mengendalikan kelas perlu bertindak tepat. Tindakan itu adalah secara berkesan untuk meningkatkan kefahaman anak didiknya dalam persilatan SC. Di samping itu, peranan Jurulatih juga adalah menambahkan pengetahuan anak didiknya bagi melengkapkan kefahaman menyeluruh tentang SC. Usaha yang sedemikian akan memberi makna yang tersangat besar pada anak didiknya. Pada mereka yang akan meninggalkan persatuan SC, maka mereka telah dibekalkan dengan ilmu asas pelajaran SC. Ilmu itu sangat memadai untuk menjaga diri.

Kalau diibaratkan dengan peranan tukang-tukang rumah atau tukang-tukang yang lain, konsep ‘touch ‘up’ adalah merupakan langkah terakhir yang amat penting. Prinsip kerja itu adalah merupakan usaha penambahbaikan bagi melengkapkan hasil kerja buatnya selama itu. Mana-mana yang kurang cantik, akan dicantikkan. Mana-mana yang kurang lengkap maka akan dilengkapkan. Akan tetapi jika kerja-kerja yang dilakukan berbentuk mengulang balik kerja-kerja yang telah dilakukan, malang sekali si tukang berkenaan. Banyak masa yang terbuang. Kalau ada perjanjian, pasti tukang itu akan didenda atas kelewatan menyiapkan kerja.

Saya imbau semula bentuk latihan pelajaran umum di zaman saya. Konsep latihan adalah terbahagi dua. Pertamanya ialah meningkatkan kemahiran gerak yang sedia ada mengikut keperluan individu. Gerak yang lemah akan ditingkatkan. Hal yang demikian, bertepatanlah dengan maksud istilah umum yang merujuk maksud tidak terang dan sukar difahami. Para penuntut akan membuat latihan secara latih tubi pada gerak-gerak yang masih belum dikuasai mereka sepenuhnya. Mana-mana pelajaran yang ‘tidak terang’ dan sukar difahami, akan diselesaikan pada masa tersebut.

Prinsip kedua dalam pelajaran umum ialah menambahkan pengetahuan tentang isi pelajaran SC yang belum diajar bagi melengkap pelajaran SC secara keseluruhannya. Hal yang demikian merujuk istilah umum yang bermaksud secara menyeluruh. Falsafah dan konsep yang ada dalam SC, akan mudah difahami secara menyeluruh setelah melalui proses pembelajaran pelajaran umum.

Oleh itu, jika ada senarai pelajaran tertentu dalam pembelajaran umum, maka bukanlah umum lagi namanya. Sudah jadi pelajaran khas. Lebih berfokus. Kalau menjadi pelajaran khas, maknanya semua orang kena ikuti pelajaran tersebut. Suka atau tak suka, boleh buat atau tak boleh buat, kena ikut. Hal yang demikianlah saya katakan sebagai sesuatu yang amat merugikan penuntut. Para penuntut tidak ada kebebasan untuk memperbaiki kelemahan gerak diri sendiri. Manakala para Jurulatih yang sangat memahami kebolehan anak didiknya tidak bebas untuk menambahkan satu-satu kemahiran pada mereka. Salah satu puncanya ialah faktor masa. Asyik menghabiskan sukatan pelajaran terlebih dahulu, sebelum pembukaan kelas baru.

‘Silap-silap gaya’, pelajaran yang berfokus semasa pembelajaran umum akan terus merugikan penuntut itu sendiri. Satu contoh mudah ialah pada mereka yang benar-benar telah menguasai tumbuk serang. Mereka akan diarah supaya ‘melupakan’ kebolehan tumbuk serang, semata-mata kerana keperluan mempelajari buah-buah silat lain yang tersenarai. Pada hal, kebolehan tumbuk serang yang sedia ada pada diri mereka tidak memerlukan pembelajaran buah-buah berkenaan.

Sepatutnya, mereka akan terus berlatih tumbukan tersebut hingga ke peringkat gerak tumbukan itu tidak dapat dikesan langsung. Itulah maksud pembangunan gerak penuntut yang berterusan. Kalau disuruh melupakan tumbuk serang dan membuat buah secara potong maka penuntut itu diasuh penguasaan gerak yang terbelakang. Hal yang demikianlah saya katakan sebagai sesuatu yang amat merugkan penuntut. “Pembangunan gerak penuntut yang terbelakang”.

Satu keadaan yang biasa wujud dalam kalangan ahli yang tamat silat ialah keberadaan mereka dalam persilatan dan persatuan adalah tidak kekal lama. Seperti yang saya katakan, berdasarkan pengalaman, ijazah ketiga dengan majlis yang lebih meriah, kadang kala merupakan klimaks pada para penuntut. Selalunya, setelah pelajaran umum, ramai yang ‘menghilangkan diri’. Kalau dikaji, banyak alasan boleh kita peroleh. Semuanya ada kaitan juga dengan tujuan asal mereka bersilat. Kalau setakat mengikut kawan, biasanya mereka tidak kekal lama. Ada had penglibatan mereka. Cukup masa maka mereka akan meninggalkan persilatan dan persatuan..

Mungkin pada mereka yang tersangat minat dengan persilatan SC akan terus melibatkan diri dalam persatuan. Ada peranan yang boleh dimainkan seperti menjawat satu-satu jawatan atau menjadi pembantu Jurulatih. Walau bagaimanapun, peranan tersebut adalah terhad. Bukan semua ahli yang baru tamat berpeluang untuk menjawat sebarang jawatan. Maka akhirnya terpaksa juga mereka meninggalkan persatuan dan persilatan.

Mereka yang kekal berterusan dalam persatuan, ada kemungkinan boleh menambahkan pengetahuan silat dari masa ke masa. Dalam hal ini, bagaimana pula mereka yang telah meninggalkan persilatan setelah tamat silat. Kita mungkin ada pelbagai pandangan bagi maksud mengulas sifat mereka yang meninggalkan persilatan dan persatuan. “Setakat itulah habuan mereka. Apa yang mereka belajar maka itulah habuan yang mereka dapat.” Kesimpulan mudah.

Kita perlu akui, mereka yang telah tamat silat maka bolehlah digolongkan sebagai ahli silat walaupun tidak lagi menjadi ahli persatuan. Bila ditanya mereka silat yang pernah dipelajari, mereka tetap akan mengatakan, Silat Cekak. Oleh itu, pasti kita berharap bahawa mereka yang mendakwa pernah belajar SC akan dapat melambangkan sifat diri mereka sebagai pesilat SC. Pergantungan mereka pada SC sebagai silat yang boleh dipertanggungjawabkan pada diri sendiri, diharapkan berterusan sepanjang masa. Secara langsung, mereka boleh menjadi faktor utama untuk berkempen mencari ahli baru atas sifat kepercayaan mereka pada persilatan SC.

Hatta, berdasarkan situasi dan harapan itulah, menjadi tanggungjawab kita untuk mempastikan penuntut yang dilahirkan setelah tamat SC adalah benar-benar telah menguasai persilatan SC. Konsep ‘touch’up’ setelah tamat silat seperti yang saya bincangkan terlebih dahulu, adalah salah satu usaha yang amat penting untuk tujuan tersebut. Bukannya mempelajari pelajaran gerak silat lain secara berfokus, melainkan menjadikan gerak-gerak tersebut sebagai alat dalam konsep ‘touch up’ itu.

Saya yakin, setelah mereka diberi pelajaran khusus dan berfokus selama enam bulan, kebolehan mereka sebagai pesilat boleh bertanggungjawab untuk diri sendiri. Seperti yang dikata, pelajaran utama berkaitan pertahanan dan serangan telah diperoleh. Oleh itu, pelajaran umum adalah merupakan ‘touch up’ bagi memperbaiki mana-mana kekurangan dan meningkatkan mana-mana kelebihan yang ada. Bila mereka meninggalkan persilatan SC maka sempurnalah sifat mereka sebagai ahli Silat Cekak yang boleh menguasai persilatan SC berserta kefahaman persilatan itu sendiri. Maka barulah mereka boleh diharap untuk menjadi ‘agen’ publisiti bagi menambahkan bilangan ahli-ahli baru.

Berbalik pada pelajaran umum yang dikendalikan Jurulatih. Sebelum wujud sukatan pelajaran umum secara rasmi, buah-buah yang tersenarai sememangnya telah ada dalam pengetahuan Jurulatih ketika itu. Cuma tidak disusun sedemikian rupa dalam bentuk senarai khusus. Seperti yang dikatakan, buah-buah itu bukanlah menjadi fokus utama. Para penuntut tidak perlu menguasai gerak buah-buah tersebut. Sebaliknya buah-buah asing itu dijadikan sebagai alat untuk menambah atau meningkatkan lagi kemahiran gerak penuntut yang sedia ada.

Misalannya seperti yang sentuh terdahulu. Penguasaan pelajaran tumbuk serang akan diuji dengan buah-buah umum yang ada dalam pengetahuan Jurulatih. Penuntut tak perlu belajar buah-buah tersebut. Buah-buah itu bukan fokus utama. Fokus utamanya ialah kemahiran menggunakan tumbuk serang hingga ke peringkat sukar dikesan lawan. ‘Makam peluru berpandu’. Tak boleh dikesan melalui mata kepala.

Begitu juga dengan serangan tapak silat. Zaman dulu-dulu, kita tidak menghafal gerak tapak tersebut. Perkara pentingnya ialah penguasaan kemahiran serang tapak itu. Ada formulanya. Semuanya bergantung pada kedudukan kaki, tangan dan gerak umpan lawan. Kalau kemahiran itu telah dikuasai, tidak kiralah apa jenis gerak tapak pun; semuanya akan dapat diatasi berdasarkan formula yang diutamakan dalam pembelajaran tersebut. Maknanya gerak kedudukan tapak-tapak tersebut adalah sebagai alat untuk memahirkan formula serangan tapak.

Sebaliknya, jika tumpuan diberi pada pembelajaran senarai gerak-gerak tapak tersebut, maka jadilah pelajaran itu sebagai berfokus. Kena belajar gerak-gerak tersebut terlebih dahulu secara satu per satu. Hal yang demikian boleh menjadikan pelajaran itu sebagai pelajaran gerak secara hafalan tanpa diberi tumpuan utama pada aspek kemahiran berdasarkan prinsip atau formula menyerang tapak. Banyak masa yang terlibat.

Ketika zaman Ustaz, aspek kualiti amat ditekankan dalam persilatan Cekak. “Silat Cekak amat mementingkan aspek kualiti, bukannya kuantiti”. Itulah ungkapan yang sering diucapkan Ustaz sebagai amanah pada orang-orang kanannya satu ketika yang lalu. Masa itu, saya juga adalah merupakan orang kanan Ustaz berdasarkan kedudukan saya sebagai ahli jawatankuasa pusat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Masa itu!.

Berdasarkan kemahuan Ustaz yang mementingkan aspek kualiti, kami sering berbincang atas matlamat bagi meningkat dan mengekalkan kualiti para penuntut. Banyak kali juga diadakan perbincangan sesama kami yang merupakan orang-orang kanan persatuan. Dalam satu perbincangan di pejabat Jalan Putera, kami pernah melahirkan kerisauan tentang aspek kualiti penuntut seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Pelbagai cadangan dikemukakan sesama kami bagi maksud penyelesaian.

Maknanya, sejak dulu lagi aspek kualiti penuntut telah mula dibincangkan dan mula diberi perhatian. Telah dikesan tahap penguasaan pelajaran SC secara berkualiti yang semakin kurang. Itulah perasaan yang wujud dalam kalangan Jurulatih kanan ketika itu. Perbincangan juga meliputi hal-hal yang berkaitan dengan sikap penuntut yang cepat ‘menghilangkan diri’ setelah tamat pembelajaran silat. Kumpulan yang tamat ini terdiri dari dua golongan.

Pertamanya ialah golongan yang belum sempat menguasai kemahiran SC secara sepenuhnya. Mungkin mereka tidak berminat dengan penambahan pelajaran yang lebih sukar berbanding dengan pelajaran yang telah diikuti. Misalnya pelajaran senjata dan kaki. Pembelajaran itu memerlukan kecekalan hati dalam latihannya.

Keduanya ialah golongan yang telah menghabiskan semua pelajaran tapi tidak kekal lama dalam persatuan. Prinsip menghabiskan pelajaran adalah berdasarkan kemampuan ilmu SC yang ada pada Jurulatih berkenaan. Habis dapat pelajaran maka ‘ghaiblah’ mereka.

Maka berbincanglah pemimpin-pemimpin kanan persatuan secara berterusan. Malangnya, saya terpaksa meninggalkan ‘pusat’ setelah tamat pengajian di universiti. Ketika berada di cawangan, tumpuan saya adalah pada masalah cawangan. Tak cukup ruang dan masa untuk memikirkan masalah di pusat. Nampaknya, hal yang sama masih berterusan hingga sekarang. “Ada hulu ada parang; ada dulu, nampaknya ada sekarang”.

Saya tidak pasti, adakah kewujudan sukatan pelajaran umum secara khusus itu ada kaitannya dengan strategi yang kami pernah bincangkan. Strategi itu ialah usaha untuk menarik minat penuntut supaya kekal lama dalam persatuan dan usaha melahirkan penuntut SC yang benar-benar menguasai pelajaran SC. Baik dari segi fizikal mahupun dari segi kefahamannya. Saya tidak dapat membuat sebarang kesimpulan. Kurang pengetahuan.

Cuma, pada telahan saya sukatan pelajaran umum yang dikeluarkan itu adalah bagi membantu para Jurulatih untuk mengendalikan kelas latihan setelah tamat silat. Bukan semua Jurulatih yang bersifat kreatif dan inovatif dalam proses penyampaian ilmu dalam pelajaran umum. Dengan adanya sukatan pelajaran umum itu bolehlah membantu mereka mengendalikan kelas pelajaran umum. Perhatian penuntut boleh ‘ditarik’ tanpa terlalu cepat ‘menghilangkan diri’. Agaknya.

Pada pendapat saya, dalam konteks persilatan SC, konsep kualiti mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Penuntut yang berkualiti bukan setakat boleh menguasai bidang persilatan, tapi juga berkebolehan menguasai kefahaman persilatan SC yang ada. Maknanya pada saya, penuntut perlu menguasai gerak persilatan dan kefahaman pada falsafah dan konsep yang ada pada gerak persilatan. Kefahaman pada dua aspek itu adalah secara bersepadu dan perlu dikuasai penuntut setelah tamat silat. Jika penuntut yang tamat, gagal berbuat demikian, maka kuranglah sifat kualiti seperti yang diharapkan pada para penuntut yang telah tamat.

Kemungkinan besar, kewujudan sinarai pelajaran umum yang khusus adalah sebagai salah satu usaha untuk melahirkan penuntut yang berkualiti. Sejauh mana usaha-usaha tersebut benar-benar menepati matlamatnya. Saya kira, setakat ini tidak ada kajian khusus. Itu sebabnya senarai umum tersebut masih berkekalan hingga sekarang. Tak ada kajian maka tidak adalah pelarasan. Bila tidak ada pelarasan maka tidak adalah perubahan. Masih kekal berpanjangan.

Konsep tamat silat dalam SC mungkin berbeza dengan silat-silat lain. Semasa saya tamat SC dulupun, terasa juga kejanggalannya dalam pemikiran saya. Hal yang demikian kerana saya pernah mempunyai pengalaman dengan persilatan lain dalam majlis tamat silat. Konsep tamat silat dalam persilatan tersebut adalah jelas. Tak ada lagi pelajaran selepas tamat silat.

Kalau berdasarkan istilah tamat, maknanya ialah habis atau selesai pelajaran. Sesetengah silat mengistilahkan tamat silat itu sebagai khatam silat. Semuanya telah selesai. Saya merujuk atas pengalaman saya yang lalu. Kalau pada mulanya ada majlis buka gelanggang sebagai tanda memulakan pelajaran maka akhirnya ada majlis penutup pelajaran sebagai tanda tamat atau khatam pelajaran. Ada majlis doa selamat. Kena keluarkan belanja menyediakan juadah pulut kuning. Majlis tersebut diadakan pada waktu malam. Selepas malam upacara itu, maka tutuplah gelanggang. Tak ada lagi pelajaran.

Ada juga dalam kalangan persilatan Melayu yang membuat ujian tertentu sebelum majlis tamat silat. Berdasarkan pengetahuan saya bersama guru-guru silat, terdapat pelbagai cara dilakukan dalam majlis tersebut. Pada kesimpulan saya, semua perbuatan menguji yang dilakukan adalah untuk menguatkan kecekalan dan ketabahan anak muridnya dalam satu-satu persilatan itu. Misalnya menyambut buah kelapa yang dibaling pada dirinya dalam keadaan gelap gelita. Ada juga persilatan yang membuat ujian secara mengarahkan anak muridnya melompat dalam lubang yang dipenuhi dengan cacakan buluh tajam. Macam-macam ujian lagi. Selepas ujian itulah maka akan diikuti dengan upacara tamat atau khatam silat. Hatta, habislah pembelajaran silat berkenaan. Ada kebolehan, bolehlah buka gelanggang.

Berdasarkan pengalaman saya juga, ada persilatan yang tak tamat-tamat pelajaran. Hanya gurunya sahaja yang tamat. Apabila saya bertanya pada guru silat berkenaan maka jawapannya mudah sahaja. “Menuntut ilmu itu tak ada penghujungnya”. Oleh itu, bertahun-tahunlah lamanya penglibatan ahli silat berkenaan dalam persilatan tersebut.

Berdasarkan pengalaman saya itulah maka ketika majlis tamat SC, terasa kejanggalannya pada diri saya. Hal yang demikian kerana konsep majlis tamat SC seperti sama dengan kebanyakan persilatan Melayu. Tapi ada perbezaannya. Dalam persilatan SC, ada upacara khas untuk majlis tamat silat. Majlis ijazahnya lebih ‘meriah’ berbanding dengan majlis ijazah sebelumnya. Kena bawa ayam dan buat majlis kenduri.

Kejanggalan saya itu ada asasnya. Rupa-rupanya ada pelajaran lagi selepas majlis tamat. Itu sebab saya katakan, pada sesetengah ahli, majlis penamat tersebut adalah merupakan klimaks pada diri mereka. Pada amalan kebanyakan silat, kalau dah tamat maknanya majlis penamat yang diadakan itu merupakan majlis penutup pembelajaran silat. Tak ada pembelajaran lagi. Pelajaranpun dah habis. Sudah khatam. Tidak hairanlah jika berlaku dalam kalangan penuntut SC yang ‘menghilangkan’ diri. Kemungkinan besar, konsep tamat itu telah tertanam kukuh dalam pemikiran mereka.

Majlis penamat Silat Cekak amat luar biasa. Menyanggah amalan biasa persilatan Melayu. Keluarbiasaan itu adalah merupakan salah satu keistimewaan silat kita. Selepas majlis penamat, masih ada pelajaran lagi. Kita gelarkan pelajaran itu sebagai pelajaran umum. Ketika proses pembelajaran umum itulah kita akan lebih menguasai kefahaman tentang keputusan SC atau hakikat gerak persilatan SC, secara muktamad. Tentunya hal yang demikian berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Mereka memperoleh kefahaman keputusan silat mereka sebelum majlis penamat persilatan tersebut.

Begitu juga dengan bentuk ujian silat yang sering ada dalam persilatan Melayu yang lain. Hal yang demikian juga adalah berbeza dengan persilatan SC. Ujian kita adalah selepas majlis tamat, Bentuk ujian adalah pada penuntut yang ‘berminat’ atau pada penuntut yang masih ragu-ragu atas pembelajaran yang diberi dalam tempoh enam bulan. Boleh ‘try’ untuk mempastikan kepuasan diri. Hal yang demikian adalah bagi membolehkan konsep ‘tahkik’ yang sering diperkatakan dalam persilatan SC boleh wujud sebagai pegangan penuntut. Maknanya, penuntut boleh membuat pengesahan atas kebenaran SC dengan bukti gerak yang kukuh. Hakikatnya, terbuktilah, benarlah dan sahihlah bahawa SC itu adalah sejenis silat Melayu yang boleh digunakan sebagai silat untuk menjaga diri.

Berdasarkan perbincangan tersebut, kita boleh membuat kesimpulan betapa pentingnya pelajaran umum dalam persilatan kita. Konsep umum tersebut telah saya bincangkan dalam tulisan-tulisan yang lalu. Oleh itu, pelajaran umum tersangat penting diberi perhatian serius bagi maksud pembangunan diri pesilat dalam persilatan SC.

Kalau difikirkan secara positif, senarai formal pelajaran umum yang dikeluarkan itu masih boleh diterima pakai. Namun begitu, penggunaan sukatan tersebut perlulah dilakukan secara berhati-hati. Mesti ada ilmu pengetahuan yang luas dalam pelajaran SC. Hal yang demikian kerana kewujudan sukatan umum dengan gerak-gerak tertentu yang disenaraikan boleh mempengaruhi perkembangan pembelajaran penuntut.

Saya pernah merujuk senarai pelajaran umum yang dikeluarkan itu. Terdapat dua puluh satu gerak yang disenaraikan. Agaknya perlu disusun dalam angka dua puluh satu. Angka dua puluh satu masih lagi dianggap angka keramat. Ada pelajaran potong buah-buah silat lain, serang tapak, pelajaran senjata, kaki dan ada juga buah terjun ke bawah.

Para Jurulatih bolehlah buat rujukan. Cuma, gunakan pelajaran tersebut untuk membangunkan kemahiran yang perlu dipupuk dalam kalangan anak didiknya. Pada saya, kesesuaian pelajaran tersebut pada kebolehan penuntut, perlu diambil kira. Maknanya, Jurulatih perlu menentukan terlebih dahulu jenis kemahiran yang dikehendaki. Kemudian barulah menjadikan buah-buah yang tersenarai sebagai alat untuk memahirkan kemahiran yang dihajati itu.

Seperti yang saya tegaskan, berdasarkan kesimpulan saya, jikalau penuntut dikehendaki mempelajari buah-buah yang tersenarai itu terlebih dahulu, maka pelajaran umum itu telah menjadi pelajaran khusus dan berfokus. Ekorannya, pembelajaran yang sedemikian kadang kalanya bersifat berulang.

Misalan yang selalu saya ulang-ulangkan ialah prinsip mengatasi buah-buah umum yang tersenarai berdasarkan gerak potong. Pelajaran potong bukanlah satu kemahiran yang baru. Telah diperkenalkan dalam masa enam bulan. Sebaliknya, para penuntut baru saja diperkenalkan dengan kemahiran tumbuk serang. Kalau pelajaran itu digunakan dalam keadaan potong, bermakna pelajaran itu menafikan kemahiran tumbuk serang yang baru dipelajari. Oleh itu pembelajaran yang dilakukan penuntut adalah merupakan satu kemahiran yang ‘terbelakang’. Sifat yang sedemikianlah saya maksudkan sebagai pelajaran yang tidak menjurus kepada pemupukan pembangunan kebolehan penuntut.

Kerap kali berlaku juga, pelajaran tambahan yang diajar, tidak cukup latihan. Hal yang demikian kerana faktor masa. Maka ilmu yang ada pada diri penuntut itu adalah berdasarkan apa yang ada seadanya dalam tempoh latihan tersebut. Semuanya bergantung pada ikatan pembelajaran yang ditentukan oleh sukatan umum yang dikeluarkan itu. “Dari segi pelajaran, semuanya telah dapat. Dari segi kebolehan dan kemahiran gerak, tak tentu dapat”.

Seperti yang dikatakan, banyak masa terbuang begitu sahaja semata-mata mempelajari buah-buah silat lain. Pembelajarannya tidak banyak membantu meningkatkan kebolehan pesilat itu sendiri dalam satu-satu kemahiran. Saya beri beberapa contoh lain dalam tulisan ini sebagai maksud berkongsi pengetahuan. Semua contoh adalah berdasarkan tafsiran saya sahaja di masa lalu. Masa dulu.

Dulu, dalam senarai umum itu, terdapat buah sepakan yang diarah mengatasinya secara rentap. Saya difahamkan, ketika pesilat menyerang, pasangannya akan menepis dan diikuti dengan sepakan kaki di bahagian rusuk. Pesilat diarah supaya menyentap tangan yang menepis bagi mengatasi serangan kaki tersebut. Walaupun pelajaran itu dikategorikan dalam pelajaran kaki, hakikatnya tidak ada kena mengena dengan kaki. Kalau tangan yang menepis maka tanganlah diatasi kerana tangan yang menepis itu adalah merupakan punca gerak. Tidak ada kena mengena langsung dengan kemahiran mengatasi penggunaan kaki. Kalau setakat kemahiran memotong, pelajaran itu telah pun diajar dalam pelajaran potong. Oleh itu, banyak masa terbuang kerana mempelajari buah yang tidak membangunkan kemahiran penuntut. Lagi pun, bukan senang mengangkat kaki. Lebih-lebih lagi pada golongan PMD. Kena berlatih mengangkat kaki telebih dahulu. Hilang masa berjam-jam.

Tambahan pula, kalaulah tangan yang diserang secara tumbuk serang dapat ditepis pasangan dan ada masa bagi pasangannya itu membuat sepakan, maknanya tumbuk serang itu pasti jenis bermalam. ‘Tumbukan yang tak menjadi’. Boleh hisap rokok letrik dua kali sedutan. Malang sungguh tumbukan serang yang bersifat sedemikian.

Oleh itu, saya selalu berpendapat, lebih baik tumpukan perhatian pada kemahiran tumbuk serang. Itulah pelajaran yang perlu dikuasai penuntut secara berkesan dalam sistem serangan. Buah yang tersenarai bolehlah dijadikan alat untuk memantapkan jenis tumbukan tersebut. Tak perlu belajar secara teliti buah-buah berkenaan. Pada saya, tersangat malang jika buah-buah itu pula dipelajari dengan teliti atas sebab untuk memotong. Maknanya, mengulang balik pelajaran potong. Banyak ruginya atas faktor pembangunan penuntut.

Berdasarkan penulisan yang lalu, saya sentiasa menegaskan betapa pentingnya prinsip kebebasan dalam pembelajaran buah umum. Pada kesimpulan saya, jika anak didik kita berterusan ‘disuap’ berdasarkan kehendak kita sendiri, akan membantutkan perkembangan kebolehan anak didik kita dalam persilatan SC. Kerap kali berlaku, pelajaran yang tersenarai itu diubah suai semata-mata untuk memudahkan anak suapan kita menelan bahan yang kita suap. Ubah suai gerak itu dilakukan tanpa mengetahui asal usul sesuatu gerak itu. Satu bentuk latihan yang juga amat merugikan.

Selama proses pembelajaran enam bulan, kita mungkin terikat dengan konsep suapan tersebut. Para Jurulatih mungkin tidak menggalakkan anak didiknya membuat pertanyaan. Apatah lagi membuat persoalan. Alasannya, tunggu dan tunggu masanya untuk memperoleh jawapan. Kalau bertanya, riaksi Jurulatih adalah tidak menyenangkan. Mungkin alamat ‘padah atau sakit’, jawabnya.

Oleh itu, setelah tamat silat selama enam bulan dan semasa pelajaran buah umum, berilah sedikit kebebasan kepada anak didik kita untuk bersilat atas dasar kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Asas pengetahuan dalam SC telah ada. Dengan kebebasan berlatih, kebolehan mereka akan dapat dipertingkatkan dari masa ke masa. Manakala kelemahan mereka akan boleh diperbaiki selama mana pelajaran umum masih ada.

Berdasarkan pegangan tersebut juga, saya mempunyai pembawaan tersendiri dalam proses mendidik para penuntut yang saya asuh. Baik dari segi pemupukan fizikalnya mahupun kefahaman persilatan SC. Saya yakin bahawa pembawaan tersebut ada asal usulnya. Semuanya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz.

Saya akui bahawa senarai buah-buah umum tersebut telah mendapat persetujuan dari Ustaz. Buktinya, dalam majlis pelarasan bersama Ustaz, senarai buah-buah tersebut turut dibincangkan. Majlis pelarasan itu telah dikendalikan ‘Jurulatih Kanan’. Ustaz telah bertindak sebagai pemerhati dan tempat rujukan. Walaupun saya mempunyai perbezaan pandangan dalam konsep penggunaan buah-buah yang tersenarai itu, saya tetap ikut majlis pelarasan tersebut. Hal yang demikian kerana majlis itu dihadiri Ustaz. Ada kesahannya.

Teringat saya ketika pelarasan buah Judo Banting. Timbul perbezaan pendapat tentang penggunaan kaki dengan tujuan menekan pelipat. Perbezaan pendapat itu adalah berkaitan dengan penggunaan kaki kiri atau kaki kanan. Pelarasan berkehendakkan penggunaan kaki kiri. Manakala pengetahuan saya bersama Ustaz, menekankan penggunaan kaki kanan yang lebih efektif. Masing-masing ada alasannya untuk menguatkan alasan. Ustaz memerhati sahaja perbincangan kami tersebut.

Sebenarnya, buah tersebut telah diubah suai bagi memudahkan pembelajaran penuntut. Sebelum disenaraikan, cara mengambil buah itu adalah dalam bentuk gerak yang lain. Dalam pelajaran umum dulunya, prinsip buah berkenaan ‘membenarkan’ diri pengamal SC ditangkap. Dalam keadaan yang sedemikian itu, iaitu kalau pesilat SC telah tertangkap maka apakah tindakan susulan yang boleh pesilat SC lakukan. Ketika itulah tindak balas kaki pesilat amat diperlukan.

Akan tetapi, apabila buah tersebut disenaraikan, perbuatan buah itu telah diubah suai dengan kehendak pakar penyelarasan. Hilang asal usul gerak buah tersebut. Buah yang sebenarnya adalah tidak sama dengan pelakuan buah yang telah diubah. Penuntut disuruh tumbuk dengan membenarkan tumbukannya disambut lawan. Di situ juga telah menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengan pelajaran SC. Tumbuk apa namanya itu jika mudah disambut lawan. Boleh lagi meletakkan tangan atas bahu. Mana mungkin tumbuk serang boleh dijadikan sedemikian. Saya rasa, bukan lagi tumbukan namanya, melainkan ketukan setelah diberi tabik hormat. Mana logik tumbuk serang boleh disambut pasangan.

Apa pun pandangan, pelarasan memaksa saya mengikuti pelajaran. Apabila timbul soal tindak balas kaki, sekali lagi tak nampak logiknya penggunaan kaki kiri. Itulah pandangan saya.

Waktu rehat, Ustaz memanggil saya. Diterangkannya pada saya. Antara ayat yang saya ingat, “Kalau guna tumbukan, musuh masuk; jab sahaja. Habis cerita. Tak perlu fakir nak guna kaki mana”. Maka fahamlah saya akan maksud kemahiran yang perlu ada, berbanding dengan kemahiran potong yang sedia ada. Bertambah fahamlah saya tujuan pembelajaran umum pada amalan saya yang sedia ada. Nampaknya, kita membuang masa mengatasi ‘ranting gerak’. Bukannya punca gerak. Pada hal, kemahiran pakai tumbuk serang akan menyebabkan buah tersebut tidak terpakai. Dalam prinsip menyerang, jika tangan boleh dihalang, satu lagi tangan boleh menyusur bagi mengatasi gerak lawan. Oleh itu, pembelajaran yang bercorak ‘ranting’ hanya akan mengganggu perkembangan peningkatan kebolehan anak didik kita.

Demikianlah juga dengan buah-buah lain. Misalnya buah Sendeng Tiga Alam. Saya tak pernah berlatih pun buah berkenaan dalam kelas umum. Tidak ada siapapun yang berani menguji tumbuk serang dengan menggunakan buah berkenaan. Saya sendiri pun tidak begitu berani menguji penuntut dengan menggunakan buah tersebut. Cari nahas. Bukannya ada brek tumbukan. Alamat nampak bintang. Akan tetapi kalau pelajaran potong yang diutamakan, terpaksalah pesilat mengubah suai tumbukannya. Maka bertengkarlah mereka antara penggunaan kaki atau tangan. Perbincangan ranting. Tak pernah berlaku dalam kelas-kelas yang saya kendalikan. Pelajaran terbelakang.

Satu contoh lagi ialah buah terjun ke bawah. Bukan nama sebenar buah itu. Sekadar gelaran untuk memudahkan ingatan. Oleh sebab geraknya terjun ke bawah maka buah itu dinamakan sebagai buah terjun ke bawah. Buah berkenaan ada sejarahnya. Teringat saya ketika kami tamat silat. Kami dibenarkan ‘mencuba’ dengan Ustaz. Sayalah dalam kalangan murid Ustaz ketika itu yang pertama berbuat demikian. Salah satu buah yang saya cuba dengan Ustaz ialah buah terjun ke bawah. Walau bagaimanapun, prinsip buah terjun ke bawah yang saya lakukan dulu adalah tidak sama dengan gerak buah yang terdapat dalam pelajaran umum yang rasmi. Telah ada penyesuaian oleh pakar penyelaras.

Teringat saya kisah lama dalam majlis penamat di kelas saya. Setelah kami mandi silat dalam ijazah terakhir, saya telah mendapat kebenaran Ustaz untuk menangguh kelas dalam masa seminggu. Kebetulan juga tempoh tersebut ada kaitan dengan cuti universiti. Dalam tempoh tersebut, kami akan mengulangkaji pelajaran silat yang asal untuk maksud ‘bertry’. Hal yang demikian adalah ekoran terkenangkan pelawaan Ustaz pada saya. “Belajar dulu dan kemudian boleh ‘try’”. Itulah kata-kata yang dilafazkan dalam pertemuan pertama saya dengan Ustaz. Kata-kata itulah juga yang mendorong saya membuka kelas SC di Universiti Malaya.

Saya balik ke Sungai Patani dan berjumpa guru silat saya yang asal. Beliau telah memberi beberapa buah yang ‘special’, untuk maksud menyerang kedudukan SC dan untuk menghadapi serangan SC. Salah satu buah tersebut ialah buah secara terjun ke bawah. Itulah buah yang pertama saya gunakan ketika betry dengan Ustaz.

Prinsip buah terjun ke bawah memerlukan teknik terjunan yang betul. Kalau tidak, buntut kita akan terjatuh macam jatuh buah nangka busuk. Buntut akan jadi lebam. Teknik sebenar yang saya lakukan agak berbeza dengan apa yang ada sekarang. Semasa menyerang tapak pesilat SC, gerakannya adalah secara terjun ke bawah. Dalam proses yang sedemikian, kedua-dua kaki akan memasuki celah kaki pesilat. Ketika menguakkan kaki pesilat SC, hentakan buntut dapat dikawal. Kaki pesilat akan terkangkang dan menyebabkan pesilat akan jatuh ke depan. Mudahlah membuat tindakan pukulan.

Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa pada kebenarannya, bukan semua orang boleh berbuat gerak yang sedemikian. Badan kena ringan. Kaki kena panjang. Perut kena kempis. Bayangkan kalau PMD yang membuat gerakan sedemikian. Retak anunya kalau terhentak tanpa kawalan.

Cara yang sedemikianlah saya lakukan pada Ustaz. Ustaz dapat mengatasinya. Prinsipnya, serangan di kawasan kaki maka kakilah yang digunakan Ustaz untuk mengatasi serangan yang sedemikian.

Saya difahamkan, oleh sebab gerak buah tersebut tersenarai dalam buah umum, terdapat penyesuaian bagi membolehkan semua penuntut membuatnya. Jadi atau tak menjadi, soal lain. Janji boleh jatuh ke tanah dengan harapan kaki pesilat boleh menerjah kaki dan lutut lawan. Hakikatnya, perubahan itu tidak menampakkan logik pada buah berkenaan dalam proses gerak terjunannya. Pasangan hanya boleh membuat buah itu jika gerak pesilat adalah ‘bermalam’. Tidak logik juga pesilat SC membiarkan keadaan itu ketika membuat serangan menggunakan tumbuk serang. Buang masa berlatih buah berkenaan.

Begitu juga dengan Sepak Minang. Cuba teliti gambar yang saya pernah siarkan dalam tulisan terdahulu. Berdasarkan pengalaman bersama ahli silat yang mewarisi silat berkenaan, tangan penyerang akan bertepuk di depan pandangan pesilat. Tujuannya ialah membuat kejutan. Ketika itu kaki penyerang akan membuat sepakan secara sepak tarik untuk mengena sasaran. Dalam proses tarik itulah tangan yang bertepuk akan membuat serangan pukulan.

Walau bagaimanapun, pakar penyelaras kita telah membuat penyesuaian pada serangan berkenaan. Arahannya, tepuk tangan di peha, baru buat sepakan. Hal yang demikian membolehkan jarak antara penyerang dengan pesilat berada pada kedudukan yang agak jauh. Maka mudahlah membuat tepisan tangan. Ada masa. Adakah itu gerak yang sebenarnya hinggakan begitu mudah membuat tepisan. Nampaknya, banyak latihan yang memakan masa atau membuang masa dalam proses membangunkan kebolehan penuntut. .
Sekian saja komen saya tentang pelajaran umum berdasarkan pandangan saya pada zaman dulu; ketika zaman saya. Perkembangan sekarang. Wallahu ‘alam”.

Berdasarkan pandangan saya tentang pelajaran umum pada ketika itu, saya cuba menarik perhatian LPT supaya sedar tentang peranan pelajaran umum pada kalangan penuntut. Pelajaran umum perlu dijadikan pelengkap pengetahuan penuntut pada SC. Hal yang demikian akan menjadikan penuntut yang ‘ditamatkan’ adalah benar-benar dapat menjadikan pelajaran silatnya sebagai ‘pengawal’ dirinya ketika perlu.

Buah-buah yang tersenarai adalah sebagai alat untuk memahirkan teknik-teknik yang sedia dalam SC. Malangnya, buah-buah itu dijadikan fokus pelajaran pula. Jadi pelajaran baru. Kena bvelajar buah-buah silat lain dengan ‘cantik dan betul’. Hal yang demikianlah saya anggap buang masa dan telah menyimpang dari tujuan asal senarai umum yang terbina. Bersambung dengan cadangan keempat.

 
Leave a comment

Posted by on 10/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: