RSS

Monthly Archives: July 2012

40.13 PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ

Setelah selesai perbuatan menarik semangat di Telaga Tujuh dan Makam Mahsuri tersebut, kami menerima arahan supaya ke Melaka untuk menarik semangat di makam Hang Jebat pula. Arahannya, ’perlu sampai ke Melaka sebelum Subuh’. Masa telah petang. Betul-betul kerja gila. Kenalah terburu-buru untuk sampai ke Melaka. Namun begitu, kami turutkan saja dalam keadaan ingin mendapatkan ilmu dan pengalaman. Sampai ke Ipoh pun telah tengah malam. Perjalanan ke Melaka melibatkan waktu pagi sekitar satu pagi. Kita dapat bayangkan betapa keletihan menguasai diri kami. Nasib baik En. Fuad masih boleh memandu keretanya ke sana.

Sekali lagi kami membuat ’kerja gila’. Menarik semangat pahlawan lama-lama. Kadang kala hati tetap berkata-kata. Kami berbincang sesama kami. Bukan tentunya mayat mereka ditanam di kubur berkenaan. Contohnya, Makam Mahsuri. Saya difahamkan oleh penjaga kubur berkenaan, mayatnya ditanam di tempat lain. Makam yang ada itu hanyalah simbolik sahaja. Kemungkinan juga perkara yang sama berlaku di makam Hang Jebat. Jadi, semangat apa yang kami tarik. Entahlah. Kesimpulan kami, ”Lantaklah. Ikut saja. Bukannya ada rasa apa-apa.” Tapi rambut ketika ini, rambut masih tak putih. Itu agaknya kesan yang ada. Astagfirullah!.

Sebenarnya ada banyak gambar tentang aktiviti kami tersebut. Tapi habis dibakar isteri yang berasa sangat marah selepas saya mula mengalah daripada mempelajari ilmu yang ada pada guru itu. Namun begitu, ada juga gambar yang terlepas. Cuma, saya siarkan dua keping gambar sahaja. Satu, menunjukkan saya sedang menarik semangat di makam Mahsuri dan satu lagi bersama En Fuad di makam Hang jebat sebelum ’berbolen’ badan untuk menarik semangat. Lain-lain gambar, tak sesuai nak tunjuk.

Semakin lama maka semakin banyak ilmu yang dipelawa oleh guru berkenaan kepada kami. Beliau telah memberi kepercayaan penuh kepada kami yang dianggapnya sebagai orang kanan. Pelawaan dan arahannya, tidak pernah kami bantah. Ikut sahaja walaupun hati mula ’berkata-kata’. Pengorbanan wang adalah tidak terkira. Itu, belum lagi diukur tentang pengorbanan masa dan tenaga serta perasaan orang rumah.

’Orang rumah’ mula merungut dan mula membantah atas perbuatan kami itu. Rungutan tersebut mula menapak di jiwa kami. Kami mula sedar bahawa kehebatan guru berkenan adalah kerana tipu dayanya dan kerana adanya kapit-kapit di sekelilingnya. Tekaan kami itu rupa-rupanya benar. Kami dipelawa untuk berdamping rapat dengan kapit beliau. Saya tak pasti dengan rakan-rakan saya yang lain. Dah lupa. Adakah mereka setuju mendapatkan pengalaman yang sama. Tapi, saya ingin mencuba. Rakan-rakan saya yang sama menuntut, tidak melarang. Walau bagaimanapun, kami tetap bertekad. Dalam keadaan apa sekalipun, sembahyang lima waktu jangan ditinggal sama sekali. Saya yakin bahawa itulah amalan yang tetap bersabit menyelamatkan kami.

Saya diberi ayat-ayat berbentuk seruan untuk mendapatkan jin, dibaca sebelum tidur. Tapi saya tambah lagi akhiran bacaan dengan amalan biasa saya iaitu ’tiga kul’. Itulah saranan Ustaz pada saya sebelum tidur. Nampaknya, tak datang pun benda berkenaan. Tapi malamnya selalu mimpi seram. Akhirnya guru berkenaan mengarahkan saya supaya mewujudkan suasana ’hitam’. Tidur mestilah berpakaian hitam, cadar hitam, bantal hitam serta kelambu pun hitam. Ketika itu tidur masih lagi berkelambu. Ikutkan hati maka ingin saya turuti. Tapi, isteri saya mula pandai membantah. Itulah pertama kali beliau berani membuat bantahan. Emak sayapun turut membantah. Akhirnya terpacul kata-kata yang kurang senang di mulut mereka tentang penglibatan saya dalam kegiatan itu.

Tatkala kami bertiga berbincang tentang masa depan kami dalam kegiatan menuntut ilmu megah, rupa-rupanya mereka juga turut mengalami bantahan isteri. Cuma, mereka tidak bercerita. Apabila saya memulakan cerita tentang perasaan tak puas hati isteri, maka apa lagi! Mereka juga berceritakan hal yang sama. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengundur diri. Kebetulan ketika itu kami dipelawa untuk mendapatkan ilmu “Pahat Biji Mata.” Namun begitu, perasaan dan hati kami mulai tawar. Bukan kami yang hebat tapi kapitnya yang hebat, ataupun ada tipu muslihat lagi di sebalik ilmu berkenaan. Elok juga tak ambil ilmu itu. Entah berapa lagi yang kena bayar. Tapi, tak dapatlah nak bercerita tentang ilmu pahat bijik mata kerana tak ada pengalaman mengenainya.

Walau bagaimanapun, bukan senang untuk berpisah dengan guru berkenaan. Banyak rahsia curangnya yang kami ketahui. Tentunya tidak mudah beliau melepaskan kami begitu sahaja. Sebelum itu saya selalu berpesan pada rakan-rakan supaya pandai-pandailah menyimpan hasrat berkenaan. Jangan tunjukkan riak muka yang membolehkan guru itu mengesan. Dalam hal yang berkenaan, saya dan En Fuad boleh berbuat demikian. Namun begitu sahabat saya, Encik Mahadi tidak boleh menyimpan perasaan di hati. Beliau lebih suka berterus terang dan tidak pandai berpura-pura. Secara jujur beliau menyatakan hasrat untuk mengundur diri. Apa lagi! Wujudlah perasaan tak puas hati guru berkenaan. Lebih-lebih lagi apabila saya bertindak membuka pekung di dadanya apabila berpisah.

Selepas kami berpisah dengan guru berkenaan, saya sentiasa berasa bersalah atas hal-hal yang berkaitan dengan orang lain. Tentunya peranan saya sebagai pembantu bomoh memberi saham yang tidak begitu menyenangkan diri. Setakat mendapatkan ilmu secara berkumpulan, tidak ada perasaan bersalah. Hal yang demikian kerana apa yang berlaku adalah atas kerelaan kami sendiri. Tidak ada kena mengena dengan orang lain. Mungkin ada sedikit kesalahan kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Selalu meninggalkan mereka bagi bersama dengan guru berkenaan.

Saya telah bertekad untuk menemui orang-orang tertentu di kampung yang kami pernah lawati untuk maksud pengubatan. Saya ceritakan pada mereka tentang cara pengubatan guru berkenaan yang menggunakan kapit. Banyak yang tipu dari benarnya. Harapan saya agar berita tersebut mudah disebarkan. Saya perlu berbuat demikian kerana kepercayaan mereka pada bomoh berkenaan ada kaitan dengan diri saya sebagai seorang guru. Mereka menganggap, tak akan bomoh berkenaan menipu kerana ada pembantunya yang merupakan seorang guru. Hal itulah yang merungsingkan saya hinggakan saya bertekad bertindak demikian. Tindakan saya tersebut memuncakkan lagi perasaan guru berkenaan untuk membalas dendam pada kami bertiga.

Selalu saya nyatakan pengajaran pada anak didik saya. Janganlah kita mudah percaya atas kebolehan seseorang mengatasi satu-satu penyakit. Teringat kata-kata Ustaz. Jika benarlah mereka berupaya mengubati satu-satu penyakit, pastinya kehidupan mereka akan kaya raya dengan rumah yang bertingkat. Ustaz memberi satu contoh iaitu sakit kencing manis yang ramai pengidapnya. Kalau berupaya menyembuhkan penyakit berkenaan, pastinya akan menjadi jutawan. Akan tetapi kalau sekadar mengawal penyakit dengan cara berpantang, tentu ramai yang boleh melakukannya.

Kami bernasib baik kerana mempunyai para pengikut sendiri, ahli-ahli silat. Ketika kami menuntut, kelas SC masih berjalan. Tapi, tumpuannya ialah kelas kemahiran. Pengambilan ahli-ahli baru ditangguhkan sementara waktu. Nampaknya pelbagai cara balas dendam secara tak nampak telah dilakukan guru berkenaan. Untuk berdepan atau bersemuka, tentunya tidak berani. Dia tahu bahawa kami ada pengikut silat tersendiri. Pernah pada satu ketika, beliau menghantar anak buahnya mengintip kelas yang kami kendali. Terhendap-hendap mencari ruang mengintip. Saya sedar perbuatan itu kerana ternampak gelagat mereka. Tapi saya buat-buat tak tahu. Cukup masa, mereka belah dengan sendirinya. Rasa-rasanya mereka tak berani nak buat apa-apa. Setiap kali latihan, ramai juga anak didik saya yang ada. Antara mereka, ada juga yang gila-gila.

Saya pernah menulis dalam blog yang terdahulu betapa beliau berusaha melepaskan kapit-kapitnya sewaktu kami berlatih silat. Satu malam, kelihatan asap berbentuk kabus yang berada atas kepala kami. Tempat-tempat lain, tak ada. Kami menyedarinya. Pelik juga. Bukannya perasaan tapi satu kenyataan. Kabus berkenaan jelas kelihatan kerana ada lampu panjang. Tapi kami buat-buat tak tahu dan meneruskan latihan silat. Lama-lama kapit tersebut ’boring’ agaknya. Langsung lesap.

Satu malam yang lain, saya terima lain dugaan. Malam silatpun. Latihan berakhir hingga masuk lingkungan pagi. Bila masuk tidur, ’soh’ tidurnya. Tiba-tiba saya terjaga kerana anak saya menjerit-jerit tak tentu hala. Teringatkan kain putih kita. Banyak jasanya. Esoknya emak saya memberitahu. Beliau ternampak makhluk yang besar, hitam warnanya yang menembusi dinding anjung rumah. Tapi lembaga itu hanya melewati rumah dan terus keluar secara menembusi dinding dapur. Hebat juga dugaannya. Tapi tak berani nak buat apa-apa agaknya. Hanya sekadar cuba menakut-nakutkan saja.

Misi kapit yang dihantar sering kali menemui kegagalan. Lama-lama, beliau jemu agaknya. Tak ada lagi dugaan yang saya hadapi. Tapi, saya sentiasa beringat. Kami bersyukur kerana dapat menjauhkan diri daripadanya. Nasib baik kami belajar secara berkawan. Dapatlah kami berbincang-bincang dan mengawasi penglibatan kami dari masa ke masa. Kalau menuntut seorang diri, tentulah cabarannya lebih hebat. Oleh itu, jika ada dalam kalangan ahli-ahli yang ingin mendapatkan pengamalan secara sedemikian, belajarlah secara berkawan. Tapi, jangan lupa kebenaran dari guru sebelum belajar. Itupun kalau nak lama dalam persatuan. Kalau tidak, tentunya akan ditendang dari persatuan.

Biasanya, ketika menuntut, kita selalu lupa diri. Lebih-lebih lagi jika ilmu berkenaan ’menjadi’. Kita mungkin lupa sebab-sebab kemenjadiannya. Kalau menuntut seorang diri, kemungkinan besar kita akan terus menerus hanyut dalam dunia perasan dan perasaan tanpa boleh kembali lagi di bumi nyata dengan mudahnya. Cakap-cakap orang lain mungkin akan diketepikan begitu saja. Lebih-lebih lagi nasihat isteri atau kedua ibu bapa. Perasaan ego pasti akan menguasai diri. Percakapan kita mungkin menjadi kasar dan mungkin derhaka pada kedua ibu bapa kerana sifat membantah. Namun begitu, menuntut secara berkawan dan ada persetujuan untuk mengawasi sesama sendiri, kita sentiasa berada dalam dunia berfikir tentang kemenjadian sesuatu yang luar biasa. Lebih selamat.

…Bersambung.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on 31/07/2012 in Persilatan

 

40. 12. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

Dalam masa kami mencari-cari punca tak lut dek senjata api, kami dipelawa untuk menguji kekebalan badan dari senjata tajam seperti parang dan pedang. Ada juga bayarannya. Kami ikutkan sahaja. Harganya tidak semahal ilmu senjata api. Ketika itu masyarakat kita memang terkenal dengan minat kekebalannya. Teringat saya ketika Peristiwa ’13 Mei’ yang lalu. Ketika itu saya bersekolah di Sungai Patani. Terdapat seorang yang hebat ilmu kebalnya. Ramai yang mengambil ilmu daripadanya. Termasuklah diri saya. Umur ketika itu cuma belasan tahun. Baru Tingkatan Empat.

Setiap hari dalam satu jangka masa, beratur orang ramai memanjang dari luar rumahnya lagi. Tunggu giliran. Wang pengkerasnya ikut suka hati. Tapi, tentu tak akan ada yang berani bagi seringgit dua. Semua orang boleh nampak. Disedianya satu bakul panjang tempat mengisi duit sebagai pengkerasnya. Rasanya dua kaki tingginya. Bertimbun juga duitnya walaupun pemberian secara ikhlas. Rasa-rasanya mengambil masa berhari-hari untuk kutipan sebanyak itu. Warna merah lebih banyak dari warna biru. Mereka yang mengambil ilmu, turut diuji terus. Tapi ditetak di bahagian lengan sahaja. Saya juga ditetak. Terasa hebat atas keyakinan yang ada ketika itu. Sepuluh ringgit juga melayangnya.

Maka kini, sekali lagi saya berpeluang mendapatkan ilmu kebal senjata tajam. Tapi kali ini tidaklah menghairankan saya kerana pernah ada pengalamannya. Namun begitu, ketika ujian dijalankan, terasa pula gerunnya. Kali ini, mereka yang diuji dikehendaki berdiri. Tangan, kaki dan peha dicantasnya. Selepas itu orang yang diuji disuruh bengkokkan badan umpama sedang rukuk. Dipancungnya leher. Itulah bentuk ujian yang ada. Apabila tiba giliran saya, kecut perut juga. Semasa hendak dipancung, terasa-rasa macam kepala akan berpisah dari badan. Walau bagaimanapun, semuanya selamat. Tak cedera apa-apa. Cuma terdapat bekas tetakan atau pancungan.

Sekali lagi kami berbincang bagi mengetahui kebenaran ilmu luar biasa berkenaan. Senjata yang digunakan bukannya tumpul. Telah teruji ketajamannya. Hentakan dan libasannya juga amat ketara. Bukannya perlahan. Terasa juga hentakannya. Tapi, persoalannya, bagaimana kulit manusia berupaya menahan tetakan parang dan pedang yang tajam itu. Teringat juga ketika orang ramai mengambil ilmu kebal di Sungai Patani dulunya. Ada juga yang terluka. Tapi sikit saja. Namun begitu, apabila diuji seorang diri di rumah, terdengar berita ada yang masuk hospital. Rupa-rupanya ada cara tetakannya. Kamipun tak berani menguji sesama sendiri. Silap gayanya, hospitallah tempat istirahatnya. Walau bagaimanapun pada anggapan kami, tetakan tersebut ada caranya yang membolehkan kekebalan. Kalau nak tahu, bawa saja pengkerasnya. Sudah menjadi adat kita menuntut. Nak buat macam mana. Mesti ada habuannya.

Sekali lagi kami terfikir. Macam mana agaknya ketika orang ’kebal’ itu berjuang di medan perang. Kemenjadian kekebalannya adakah pasti menjadi ataupun tidak. Banyak dipengaruhi perasan dan perasaan. Itulah hakikatnya. Tak ada bukti kehebatan mereka. Ada yang mengamuk, tapi sekerat jalan kerana ”dah jalan”. Pelbagai alasan yang diberi bagi membuktikan ilmu yang ada, tidak salah. Yang salah ialah pengamalnya.

Dalam sejarah Melayu, ada juga diceritakan tentang semangat orang-orang kita berjuang. Ada contohnya. Kehebatan Tun Perak mengalahkan askar-askar Siam adalah kerana strateginya. Di depan musuh, di belakang anak bini yang perlu dipertahankan. Oleh itu tidak ada alasan takut, melainkan terus maju bagi menewaskan lawan. Ketika Melaka diserang Portugis, pelbagai cara dilakukan bagi menaikkan semangat juang orang-orang Melayu. Dikatakan bahawa salah satu cara berkenaan ialah membacakan kisah-kisah pahlawan Islam seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali dan sebagainya. Maka timbullah semangat untuk meneruskan perjuangan. Semangat yang timbul dapat mengatasi lawan.

Nampaknya, dalam kalangan mayarakat kita, prinsip semangat sangat diutamakan untuk maksud perjuangan. Dalam hal yang berkaitan dengan ilmu luar biasa tersebut, nampaknya peranan semangat juga amat besar untuk menimbulkan perjuangan yang hebat. Namun begitu, tujuan berjuang tidak jelas. Kepastian kemenjadiannya juga tidak jelas. Hal yang demikianlah yang selalu kami fikirkan tentang perjuangan yang bakal menempah kemalangan. Mereka diberi pengharapan yang tidak pasti jadinya. Akan tetapi, mereka tetap yakin dengan ilmu kebal yang diperoleh.

Mereka saja yang yakin. Tapi, Si Pemberi ilmu sendiripun tak tentu keyakinannya. Dalam bahasa yang agak kasar ialah, ”mereka tidak sedar diri mereka telah tertipu.” Peranan kapit mungkin ada. Kapit saja yang hebat, bukannya mereka. Itulah kesimpulan saya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya sahaja. Setakat ini, itulah juga keyakinan saya tentang ilmu luar biasa yang berbentuk kebal senjata.

Satu lagi pengalaman lampau ialah ilmu bertapa untuk menajamkan atau ’memasinkan kebatinan’ yang ada. Setelah beberapa lama menuntut ilmu megah, kami diarah untuk bertapa di Pulau Dayang Bunting, Pulau Langkawi. Ketika itu, pulau berkenaan tidak semaju sekarang. Pengangkutan bot atau kapalnya pun jenis lama. Kapal kayu. Jadualnya tak ikut masa. Maka kamipun menyewa sebuah bot ke sana dari Kuala Perlis. Ketika itu, waktunya melewati tengah malam. Kami beranikan diri sebab tidak ada pilihan. Mesti sampai pagi di Pulau Langkawi. Bila difikirkan sekarang, nampak sangat kerja orang gila. Tidak langsung pedulikan keselamatan diri. Nasib baik Allah masih pelihara. Kalau tidak, hanya tinggal nama sahaja. Agaknya.

Ketika itu pelabuhan Langkawi tidak seindah sekarang. Bila bot berlabuh, tepaksa berjalan melalui bot-bot lain yang sedang berlabuh untuk naik ke darat. Lantas kami menuju ke masjid. Masih gelap, tapi orang tak ada. Mungkin mereka telah selesai sembahyang agaknya. Nak cari suiz lampu pun tak jumpa. Kami sembahyang di luar sahaja. Saudara Fuad yang mengimamkannya. Antara kami, bacaannya lebih sedap. Selesai sembahyang, cuaca cerah. Baru kami sedar, rupa-rupanya kami sembahyang secara membelakangi kiblat. Macam tak percaya. Pada hal, di masjid ada banyak panduannya. Macam mana boleh jadi sedemikian. Kemudiannya baru kami faham bahawa itulah petunjuk dari Allah pada mereka yang buat kerja tak berapa betul agaknya. Tapi lambat sedar. Nak buat macam mana. Masih mencuba mencari pengalaman dan kebenaran. Nak membenarkan perbuatan kami tersebut. Kami hanya ketawa.

Kami berlima ke Pulau Dayang Bunting. Selain dari kami bertiga, guru itu ditemani pembantunya. Kami menyewa sebuah bot ikan. Kami diarah berpakaian hitam. Nasib baik ketika itu tidak ramai pelancong di sana. Mungkin Pulau Langkawi belum lagi diisytiharkan pelabuhan bebas cukai. Jadi, tidaklah terasa malu sangat. Tak ramai mata memandang. Namun, seorang dua yang memandang, teramat malu juga rasanya.

Sampai di Pulau Dayang Bunting ialah di waktu senja. Kapal yang kami sewa, berpatah balik. Takut berada di pulau itu lama-lama. Itulah katanya. Maka ketika itu, hanya kami berlima sahaja yang ada di sana. Berjalanlah kami melalui hutan yang ada. Sesampai saja di sebuah tasik yang dikenali sebagai Tasik Dayang Bunting, terdapat seketul baru yang besar. Atas batu berkenaan terdapat kesan telapak tangan. Rasa-rasanya tiga kali ganda telapak tangan kita. Tiba-tiba guru berkenaan dimasuki sesuatu. Bertukar nada suara dan bahasa pertuturannya. Berbahasalah dia membuat penerangan. Dikatakan bahawa kesan telapak tangan itu adalah merupakan bekas telapak tangannya satu ketika dulu yang pernah bertapa di situ. Kami diam sahaja. Tak tahu nak komen apa. Hal yang demikian kerana itulah pertama kali kami sampai ke sana. Pembangunannya belum ada lagi. Kebetulan tahun sudah saya pergi ke Pulau Dayang Bunting. Sungguh berbeza pembangunannya, umpama langit dengan bumi.

Pada sebelah malamnya maka kamipun ’bertapa’. Ketika itu hanya ada titi kecil yang dibina atas tasik itu. Hanya titi sahaja yang ada. Sekeliling tasek itu hanya diliputi hutan. Maka bertapalah kami atas titi berkenaan. Kebetulan pula bulan mula jatuh dalam bulan berkenaan. Oleh itu, suasana amat gelap. Kedengaran bunyi suara binatang. Tak tahu jenis apa. Tapi macam suara harimau kumbang. Terasa gerun juga. Semangat berkawan telah mengatasinya. Kalau ’kena’ maka ada kawannya. Tak tidurlah kami sampai ke pagi. Asyik mengamal ayat yang diberi. Macam cerita P. Ramlee. Terkenang sekarang, sungguh geli hati. Apa yang dapat, tentunya rahsia diri. Walau bagaimanapun, pengalaman tersebut amat menarik sekali. ”Pengalaman bertapa menurut jejak Si Ramlee”.

Sarapan pagi kami hanyalah roti bertemankan air kosong yang kami bawa dari pulau besar. Makan malam pun roti bertemankan ikan sardin tin dan air kosong. Rasa muak juga. Bukannya dimasak. Makan mantah-mantah tanpa ada bahan-bahan lain. Tapi, apa kan daya dan nak kata apa lagi. Kerana semangat menuntut ilmu, segala perasaan tak puas hati hanya dikesampingkan saja. Nak buat macam mana. Hanya terima seadanya. Setelah berserapan, guru berkenaan menyelap lagi. Menjadi ’sheikh’ yang lainnya. Arahannya ialah menyuruh kami ’menarik semangat’ di Telaga Tujuh dan menarik semangat di Makam Mahsuri.

Apa nak buat, ikut saja arahannya. Nak bantah pada siapa. Bukan guru yang mengarah. Orang yang mengarah, tak nampak rupa. Hanya dengar suara melalui guru yang ada. Entah di mana duduknya. Maka bersiaplah kami. Bot yang kami sewa hanya datang mengambil kami hampir tengah hari. Sakit jiwa dibuatnya kerana berada di satu tempat yang tidak ada apa-apa. Duduk termenung saja mendiamkan diri. Tak ada mood nak bercakap.

Setelah makan tengah hari di Pulau Langkawi, kami pun berangkat ke Telaga Tujuh dan seterusnya ke Makam Mahsuri. Maka di situ, ditariklah semangat yang ada. Adalah cara dan bacaannya. Di ruangan ini susah nak cerita. Setelah ditarik semangat, tak tahu nak cakap tentang perubahan yang terjadi. Disuruh tarik semangat, maka kamipun tariklah semangat. Entah semangat apa. Nasib baiklah orang tak ada kecuali penjaga makam dan penjaga telaga berkenaan. Walaupun penonton kami hanya seorang saja, namun perasaan malu kami tetap ada. ”Seorang guru sekolah yang membuat kerja gila”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 29/07/2012 in Persilatan

 

40. 11. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

Pada satu malam yang lain, kami dipelawa guru untuk mendapatkan batu cincin. Dikatakan bahawa batu berkenaan akan diberi oleh orang ghaib. Khasiatnya amat berguna. Boleh digunakan untuk mengubati berjenis penyakit dan boleh membawa pelbagai kebolehan pada diri. Pada malam berkenaan, kami datang bertiga. Rupa-rupanya ramai orang lain yang ada bersama untuk mendapatkan batu cincin yang dikatakan berharga. Kesemua kami duduk di luar rumah. Kawasannya amat luas. Suku padang bola. Cukup masanya, guru berkenaan keluar dari rumah. Jam menunjukkan hampir tengah malam. Beliau duduk atas kerusi, manakala kami disuruh duduk di atas tanah berpasir secara beratur. Ada kira-kira sepuluh orang ramainya dalam tiga barisan.

Suasana hening sepi. Kelihatan mulut guru kumat-kumit membaca sesuatu. Saya memerhatikannya dengan penuh tumpuan. Beliau telah berada dalam dunia separuh sedar kerana suaranya telah berubah dan bahasanya pun berubah. Tiba-tiba, kedua-dua tangannya menyambar sesuatu di udara. Batu cincin rupanya. Maka kami pun bergilir-gilir mendapatkan batu cincin berkenaan. Sah jenisnya batu aked. Gebangnya bukan main, membuktikan khasiat batu berkenaan. Setelah selesai majlis, kami pulang bersama dalam sebuah kereta. Berbincanglah kami sambil ketawa kerana ketika peristiwa tersebut ada juga lucunya.

Terpancul kata-kata, ”Alangkah baiknya jika kita dapat batu permata. Tapi batu aked yang murah saja. Selungguk boleh dapat lima ringgit semuanya. Sekali pandang, terasa sia-sia dan buang masa. Menunggu hingga tengah malam bagi mendapatkan bukti supaya tidak sia-sia. Untuk dibuat cincin, pasti memerlukan suasa. Lebih mahal suasa daripada batu cincin yang ada. Itulah yang dikatakan sia-sia. Namun begitu, kerana tujuan nak tahu, ada juga faedahnya. Dapat pengalaman dan pengetahuan berharga tentang ilmu megah yang diagungkan oleh sesetengah orang kita. Rupa-rupanya banyak yang tipu daripada yang nyata. Kalau tak alami, macam mana nak cerita pada orang lainya.” Itulah antara lain, isi perbincangan kami.

Guru berkenaan juga mempunyai kebolehan membuat tolakan angin ketika dia diserang. Kerap kali beliau sendiri yang membuat persembahan, mencari ahli dalam kalangan masyarakat kampung. Disuruhnya pembantu beliau membuat serangan dengan menggunakan parang panjang. Bukannya tongkat panjang. Apabila mata parang berkenaan hampir mencecah dirinya, beliau membuat tolakan. Penyerang berkenaan akan terpelanting melayang. Kami hanya menyaksikan kebolehannya tapi tidak berminat belajar walaupun ditawarkan berbuat demikian. Hal yang demikian kerana kami telah ada pengetahuan yang diberi Ustaz. Lebih baik menurut kata-kata dan arahan guru kami yang sebenarnya. Lebih selamat. Itulah keputusan kami bersama.

Semakin lama maka semakin rapat hubungan kami dengan guru berkenaan. Bukan setakat guru itu saja, malah isterinya juga begitu mesra dengan kami. Hal yang demikian kerana hubungan baik yang kami pupuk adalah meliputi keluarganya juga. Pada satu ketika, kami dipelawa untuk mendapatkan ilmu kebal senjata. Maknanya tidak lut dengan tembakan senjata api. Mula-mula takut juga. Akhirnya kami bersetuju menerimanya. Namun begitu, mendapatkan ilmu berkenaan bukannya percuma. Banyak wang yang terpaksa disediakan. Empat angka. Apa nak buat. Sudah terlanjur memberikan persetujuan. Maka terpaksalah kami mengadakan jumlah yang diperlukan.

Kami bertiga diberikan ’benda’ sebagai pendinding buat pakaian diri. Sejenis batu yang ’ditarik’ dengan menggunakan kuasa ’sakti’. Ceritanya amat menarik. Kami bertiga diarah kapitnya yang masuk dalam badan guru itu, ke satu tempat di Ulu Kelang pada satu malam. Sekarang dah lupa lokasinya. Disuruhnya kami mengambil segumpal tanah di satu tempat yang dipandu guru itu. Masing-masing korek sendiri tanah itu dan disimpan dalam beg plastik hitam. Kemudiannya kami diarah simpan tanah berkenaan. Saya telah menyimpan tanah itu dalam peti ais di rumah. Rakan yang lain, saya tak tahu. Keesokannya kami disuruh bawa tanah itu ke gelanggangnya. Di situlah guru berkenaan menggunakan telapak tangannya untuk menarik sesuatu dari tanah itu. Macam megik nampaknya. Maka keluarlah sejenis batu sebesar telur burung puyuh. Dari mana datangnya batu tersebut. Siapa yang menghantarnya. Pada hal, saya sendiri yang menyimpan gumpalan tanah yang dikorek semalamnya. Hati berkata-kata. Lama-lama, baru faham sebabnya. Walau bagaimanapun, batu itulah yang dijadikan ‘pendinding’ buat kami. Pemakaiannya ialah di pinggang.

Pada satu malam, kami dibawa ke satu kawasan hutan yang jauh di pendalaman. Sungguh gelap keadaan hutan banat itu. Tambahan pula suasana sekitarnya sungguh sunyi dan sepi. Kawasan hutan yang terpencil. Mungkin menghindari kekecohan masyarakat sekitar. Hanya kedengaran suara-suara unggas dan binatang yang tak pasti. Cukup masanya maka kami dipelawa untuk diuji menghadapi tembakan senapang patah itu. Sasarannya ialah di bahagian belakang badan. Setiap orang diuntukkan dua peluru. Peluru yang pertama ditembak pada sebatang pokok. Berkecai kulit pokok berkenaan. Terasa gerun dan takut juga di hati. Tibalah masa peluru kedua ditembak ke badan kami. Di suruhnya kami berjalan ke depan lebih kurang dua puluh kaki jaraknya. Tanpa baju, membelakanginya. Badan terasa sejuk. Termasuk sejuk kerana takut. Hidup ke lagi!.

Perasaan ketika itu sungguh seram dan takut. Antara yakin dan tak yakin. Satu segi, melihatkan peluru pertama yang ditembak di pokok, alamat tak ada harapan. Satu segi yang lain, batu yang ”dijual” pada kami, boleh dijadikan sandaran. Dikuat pula dengan bacaan ayat-ayat tertentu. Tiba saat dan ketikanya. Saya dahulu, mendahului rakan-rakan yang lain. ”Phanggg”, bunyi tembakan. Terasa diri meluru ke depan. Tapi sempat mengelak dari menyembah bumi. Badan terasa amat pedih kerana melecur. Rakan yang lain meluru memeriksa. Tak tembus. Hanya kulit badan saja yang melecur. Hal yang demikian menambahkan semangat mereka untuk diuji berikutnya. Pengalaman mereka pun sama agaknya. Berani juga kami bertiga.

Selesai peristiwa berkenaan, kami balik ke rumah. Esoknya, kami berbincang akan ilmu yang luar biasa itu. Tentu ada rahsia di sebaliknya. Timbul pelbagai persoalan dalam perbincangan. Adakah ada jin yang menghalang peluru yang dilepaskan atau ada sebab-sebab lain yang di luar dari jangkaan pemikiran kami. Mendapatkan jawapan daripada guru itu pasti mustahil. Maka kami malas nak bertanya padanya. Kami menyusun strategi bagi mendapatkan jawapan melalui isterinya yang begitu baik dengan kami.

Lebih sebulan juga lamanya. Akhirnya rahsia kekebalan puluru itu terbongkar. Rupa-rupanya mengarut ceritanya. Tak boleh tulis dalam tulisan ini. Jumpa saya sendiri bagi mendapatkan bahan penjelasannya. Jangan lupa bawa pengkerasnya. Sebiji murtabak beserta dua tin air laici. Adat pengkerasnya.

Cuma, kami terfikir semasa berbincang. ”Apa akan terjadi pada mereka yang lain yang pernah mendapatkan ilmu yang sama dengan kami.” Setelah memperoleh ilmu berkenaan, tentulah mereka tidak lagi bersama guru itu. Keyakinan mereka pastinya tinggi setelah diuji seperti kami. Kasihan pada mereka. Kalau benar-benar terjadi peristiwa tembakan senjata, pastinya mereka berjuang sebagai orang yang pergi membunuh diri. Mati katak. Teringat kata-kata Ustaz tentang pejuang-pejuang yang bersandarkan pada semangat luar biasa dan tiada tentu jadinya. Apabila gugur di medan pertempuran maka banyak alasan yang diberi guru. ”Tak mandi wajib, atau tak ikut pantang atau tak ikut petua berjuang atau atau atau yang lain.” Hakikatnya, ilmu luar biasa yang diberi adalah tidak berpijak di bumi nyata. Tipu helah semata-mata. Memberi keyakinan yang berada dalam awang-awangan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/07/2012 in Persilatan

 

40. 10. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

Saya lebih suka menggunakan istilah ilmu megah untuk merujuk usaha-usaha kami mempelajari ilmu yang dikatakan ilmu batin pada masyarakat kita. Istilah ilmu megah lebih bersifat umum kerana puncanya pelbagai. Ada yang ’mengelat’ dan ada yang menggunakan kapit yang pelbagai jenis. Walaupun hakikat kemenjadiannya datangnya dari Allah, ’sabit’nya perlu dipersoalkan. Takut jadi syirik yang tak nampak. Pada saya, ilmu kebatinan lebih berpaksi pada ketuhanan dan ada kaitan antara hubungan kita dengan Allah. Itu sebabnya dalam kalangan ahli-ahli SC, kepercayaan ilmu batin dalam masyarakat kita, tidak mudah dipercayai begitu saja. Hal yang demikian kerana kita mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang maksud kebatinan. Kefahaman pukal yang diasaskan Ustaz Hanafi.

Maka bermulalah era bagi kami mendalami ilmu-ilmu megah atau ilmu luar biasa bangsa Melayu. Kalau tak silap saya, peristiwa tersebut adalah pada tahun 1983. Ketika itu umur saya sekitar tiga puluh dua tahun. Minat saya itu disertai bersama Setiausaha persatuan, En Fuad dan Bendahari Persatuan, En Mahadi. Kami bertiga adalah merupakan peneraju utama persatuan dan merupakan Jurulatih utama SC Cawangan Perak. Kalau mereka membaca kisah-kisah dalam tulisan ini, bolehlah terkenangkan peristiwa ketika bersama dulunya. Agaknya boleh jadi bahan ketawa.

Mendapatkan kerelaan guru menurunkan ilmu megahnya, bukanlah sesuatu yang senang atau mudah. Tindakan kami yang pertama ialah berusaha untuk mendapatkan kepercayaannya. Hubungan kena rapat. Perlu ada strategi. Dalam hal ini, bilangan penuntut yang kecil adalah penting. Jika bilangan kami sedikit, maka mudahlah bagi kami merapatkan diri dan mendapatkan kepercayaan dari guru tersebut untuk mencurahkan ilmunya.

Walau bagaimanapun, mustahil bagi saya untuk menuntut seorang diri. Seperti mana pesanan Ustaz, saya perlu berkawan. Dengan adanya kawan, akan memudahkan kami membuat perbincangan dan masing-masing boleh mengawasi antara satu sama lain jika terlanjur atau tersasar dari landasan. Hal yang demikian adalah kerana pembelajaran kami itu semata-mata untuk menambahkan pengetahuan dan untuk memberi pengertian atas apa yang pernah Ustaz cakapkan tentang ilmu luar biasa yang ada dalam masyarakat Melayu. Oleh itu, kepentingan diri untuk membolot semua ilmu, tidak timbul langsung.

Banyak pengalaman yang diperoleh semasa menuntut ilmu megah tersebut. Kadang-kadang menceritakan pengalaman itu, terasa akan kebodohan dan membuang masa. Kita sering membaca di dada akhbar betapa ramai yang tertipu kerana percayakan sesuatu yang luar biasa. Nampak semacam ada kebodohan mereka. ”Kerana sebentuk batu, boleh dibeli dengan duit beribu. Kerana percayakan percakapan atau tewas renungan, terpaksa mengeluarkan wang di bank, puluhan ribu banyaknya. Kerana tenungan mata juga, sanggup menggadai bodi yang ada. ” Banyak lagi kisah-kisah yang kita baca sama ada di dada akhbar atau melalui penyampaian kata-kata lisan. Kebiasaannya, perkara dibaca, disertai dengan perasaan merendah pada mereka yang kena. Nampak sangat kegagalan mereka menggunakan akal fikiran yang nyata.

Namun begitu, pada mereka yang ada pengalaman tentang hal-hal yang demikian, pelakuan berkenaan tidak menghairankan. Bukan kerana kebodohan atau tidak ada fikiran. Apabila pemikiran berada dalam khayalan dan pengharapan atau pemikiran dilayangkan tidak berada di bumi nyata, maka akibat yang demikian bukanlah asing jadinya. Seorang sahabat saya yang baru pencen, tinggi pelajarannya, habis duit ’dipukau’ orang, gara-gara pengharapan. Macam tak percaya. Akibat tak mahu berbincang. Sorang-sorang. Itu sebabnya saya diperingatkan. Belajar ilmu-ilmu yang luar biasa, perlu berkawan. Jangan pentingkan diri sendiri seorang sahaja. Berkongsilah pengalaman dan pengetahuan tersebut supaya diri tidak ’terkena’.

Walau bagaimanapun dalam tulisan ini, saya ceritakan juga pengalaman saya menuntut jenis ilmu megah tersebut. Jangan silap faham. Penceritaan dalam ruangan ini bukan untuk menunjukkan kebodohan kami. Hal yang demikian kerana kami belajar secara mengkaji dan kami menurut kata-kata dan arahan guru, semata-mata untuk melihat sejauh mana ilmu yang ada padanya benar dan hebat. Kami belajar secara sedar dan sentiasa berbincang menggunakan pemikiran untuk menilai sesuatu ilmu yang diterima. Itu sebabnya saya tidak berani belajar seorang diri. Banyak bahayanya.

Seperti yang pernah saya tulis dalam tulisan terdahulu, terdapat beberapa faktor asas yang perlu kita miliki bagi mendapatkan sesuatu ilmu dari mana-mana guru yang dituntut. Faktor-faktor itu ialah hubungan rapat dengan guru, minat, kesungguhan, ketabahan, penglibatan masa dan faktor kewangan. Dalam hal ini, minat, kesungguhan dan ketabahan, bukanlah sesuatu yang payah dipraktikkan. Hal yang demikian adalah kerana faktor-faktor tersebut adalah berkaitan dengan diri sendiri. Sememangnya telah wujud dalam diri kita jika ingin menambahkan ilmu. Cuma, hubungan rapat dengan guru adalah memerlukan strategi yang tertentu dan mesti berkesan. Manakala faktor wang dan masa memerlukan pengorbanan diri. Jangan banyak berkira. Kadang kala mencecah ribuan ringgit.

Salah seorang daripada guru berkenaan, sangat pandai mengubat. Cara ubatannya ialah menyeru sesuatu supaya masuk ke badan. Suara dan bahasanya bertukar pada jenis apa yang dipanggil. Pastinya bahasa Indonesia. Matanya tidak berkelip menandakan ”sheik tan” yang berkenaan telah memasuki tubuhnya. Ada masanya bersuara garang dan ada masanya bersuara halus. Nama seruan yang saya masih ingat, antaranya ialah ’Dang Dang Si Garang-Garang’. Nama yang menarik agaknya.

Saya pernah dilantiknya sebagai pembantu untuk mengubati pelbagai penyakit pelik yang dihadapi orang ramai. Maka berpakaian hitamlah saya sepanjang aktiviti tersebut di waktu malam. Hebat juga rasanya kerana diraikan oleh penduduk kampung yang ingin mengubat. Tapi, saya tetap berpijak di bumi nyata. Hanya mencari pengalaman sebagai seorang bomoh perubatan tradisional. Semakin hari maka semakin saya dipercayai guru sepenuhnya. Hinggalah ke satu malam, nak jadikan cerita. Saya agak tersentak apabila beliau sendiri menyuruh saya mengubati seorang pesakit. Seorang perempuan yang agak berumur. Diberinya sepuluh biji limau nipis. Menurut katanya, jika tujuh biji timbul dan tiga biji tenggelam, maka pesakit berkenaan dikatakan terkena buatan orang.

Disuruhnya saya mencampakkan limau berkenaan dalam baldi yang berisi air. Sebaik saja dicampakkan limau itu, kedudukan limau adalah seperti yang dikata. Tujuh timbul, tiga tenggelam. Pelik juga. Tiba-tiba, ’pesakit’ berkenaan melompat sambil berlari-lari dalam rumah. Bahasanya bertukar kepada bahasa orang asli. Kelam-kabut orang lain dibuatnya. Saya disuruh bertenang dan guru berkenaan membisikkan sesuatu ayat di limau yang lain sambil dibelah dua. Disuruhnya saya menangkap orang berkenaan dan menekan limau itu di kakinya. ’Menjadi rupanya’. Orang ramai memandang kagum terhadap saya. No komen akan perasaan saya ketika itu yang lengkap bersongkok hitam dan berpakaian hitam.

Kebolehan saya ’memulihkan’ pesakit, terasa pelik juga. Saya tidak pernah menuntut. Cuma diberikan limau dan dengan sedikit bacaan yang tertentu. Ada muslihat rupa-rupanya. Tapi saya ikutkan juga mengubati orang ramai yang berhajat. Pastinya di kampung-kampung pendalaman yang memang menebal kepercayaan pada makluk ghaib dan penyakit buatan orang. Hakikatnya, ramai yang terkena buatan orang. Perut maju ke depan.

Pengalaman menjadi bomoh juga menyebabkan saya berpengalaman menghalau ’saka’. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan ”saka”. Itulah peninggalan keluarganya yang boleh dianggap sebagai pesaka. Mungkin saka itu sendiri berasal daripada perkataan pesaka. Susah nak diukur sebagai harta pemilik kaum Bumiputera iaitu Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru. Saka tak termasuk dalam senarai harta. Hal yang berkenaan tentunya berbeza dengan hartanah, saham dan sebagainya yang sangat banyak dimiliki oleh kaum lain.

Tugas membantu guru menghalau saka, menyebabkan saya terpaksa menebal muka mencari tujuh air kolah masjid di merata tempat. Tugasannya nampak mudah, sebenarnya payah. Masjid sekarang mana ada kolah. Kebanyakannya berpaip. Ada yang tak payah putar kepala paip. Kena sentuhan tangan maka air akan keluar dengan sendirinya. Oleh itu, terpaksalah saya ke kampung-kampung kerana di situ ada masjid lama yang pastinya ada kolah buat mengambil air sembahyang.

Pada malam yang ditentukan bagi upucara menghalau saka, peranan saya semakin mencabar. Sebagai pembantu, maka saya diperah sungguh-sungguh untuk membantu. Peranan guru berkenaan hanya duduk mengarah. Lebih parah lagi, upucara menghalau saka perlu dilakukan pada waktu lepas tengah malam di kawasan hutan yang ada sungai. Bukan boleh ramai orang mengikut. Kami berdua sahaja. Saya pulak yang disuruhnya meletakkan ’benda’ di tempat berkenaan. Gelabahnya hati, tak terkira. Terasa bergeremang bulu roma kerana memikirkan hal yang bukan-bukan. Banyak pulak jejak kaki babi hutan. Silap gayanya boleh disondol babi hutan, gara-gara halau saka. Kalau masuk surat khabar, malu sungguh jadinya. Terkenang pada waktu sekarang, ketawa sendirian. Nampak sangat cerdiknya.

Seperti yang dikata, apabila kita menggunakan pemikiran bebas dan dapat berfikir secara rasional, akan nampak kelemahan diri seseorang. Namun begitu, kata-kata tersebut hanya boleh terjadi pada mereka yang tidak terlibat. Mereka yang terlibat dengan kegiatan berkenaan, sebenarnya pemikiran mereka telah tertutup dan tidak dapat berfikir lagi, malah tidak sempat berfikir lagi. Itu sebabnya berita-berita yang keluar mengenai golongan ini akan menyebabkan saya mengerti dan empati. Eloknya kita bersyukur kerana tidak diduga Tuhan dalam kegiatan seperti itu. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 23/07/2012 in Persilatan

 

40. 9. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

Mempelajari ilmu-ilmu ’megah’ atau ilmu yang luar biasa adalah memerlukan tindakan yang berhati-hati. Biasanya dalam mayarakat kita, ilmu megah tersebut dikenali sebagai ilmu kebatinan. Dalam tulisan ini saya akan cuba membincangkan ilmu-ilmu yang luar biasa itu berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya yang sedia ada. Pengetahuan dan pengalaman tersebut juga, ada yang diperoleh dari Ustaz dan ada yang diperoleh dari pengalaman berguru dengan orang lain atas kebenaran Ustaz sendiri. Oleh hal yang demikian, tafsiran saya pada ilmu luar biasa tersebut adalah berdasarkan pendapat dan kesimpulan saya sendiri. Sesaja berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk para ahli.

Pada kesimpulan saya, asas ilmu megah yang ada dalam kalangan masyarakat kita adalah pelbagai. Mungkin pengetahuan saya itu tidak sampai ke peringkat sebenarnya seperti mana yang ada dalam kalangan masyarakat kita. Saya tidak membuat rujukan sama ada secara bacaan atau bertanyakan pada ahlinya. Cuma, seperti yang dikatakan, saya menulis atas pengetahuan dan pengalaman yang ada saja setelah melaluinya pada satu ketika yang lalu.

Ada ilmu megah yang berdasarkan pada amalan ayat-ayat tertentu. Kaedah ini sangat popular dan tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Maka bacalah mereka dalam bilangan yang tertentu. Biasanya amalan tersebut dibuat selepas sembahyang. Siang malam asyik mengamal ayat. Ada yang mengamalkannya selepas waktu tengah malam. Ketika orang lain tengah asyik tidur lena. Pastinya amalan tersebut merupakan habuan mulut kerana asyik mengamal secara bacaan. ”Silap gayanya, jenis kumpulan ini akan jadi ’gila isim’.” Begitulah kata-kata Ustaz pada saya.

Pengamalan ilmu secara membaca tanpa usaha tangan dan kaki, biasanya banyak perasan. Seperti yang pernah dinyatakan Ustaz, mereka ini menumpukan perhatian pada kemenjadian ilmu yang diamal secara bacaan. Mereka yakin akan kemenjadiannya. Malah, mereka menuntut supaya ilmu itu mesti menjadi. Ada yang berpuasa beberapa hari. Ada yang lupa jadual makan dan minum. Ada yang mengamal bacaan hingga melepasi larut malam. Tak cukup tidur. Badan jadi letih. Lama-lama perseimbangan badan jadi tak tentu hala. Hal yang demikian akan mendorong berlakunya sifat yang kurang dapat mengawal fikiran. Diri akan lebih banyak dikuasai perasaan. Maka akhirnya wujudlah gejala yang dikenali sebagai gila isim. Itulah yang saya faham dari penerangan Ustaz yang panjang lebar tentang punca yang mengakibatkan gila isim tersebut.

Orang yang gila isim akan melakukan perbuatan yang tidak waras atau tidak normal. Hal yang demikian boleh kita lihat pada percakapan dan perbuatannya. Kalaulah tidak cepat dipulihkan, alamat buruk padahnya. Banyak kejadian yang luar biasa dilakukan mereka. Kawan saya yang sama-sama menuntut SC pun ada yang terlibat. Saya pernah menulis tentang perkara tersebut dalam blog terdahulu. Itu sebabnya Ustaz selalu berpesan pada saya. Setiap amalan ayat yang diberi, fahami maksudnya. Bacalah dalam keadaan menjiwai maksudnya itu. Jangan sesekali mengharapkan atau menuntut kemenjadiannya yang pasti dari Tuhan. Biadap namanya. Hak kemenjadian adalah hak Allah. Taraf diri sebagai hamba adalah menuntut kita meredai apa yang diterima tanpa mengharapkan sesuatu. Taraf kuli tetap menuntut ganjarannya. ”Kita bukannya kuli tetapi bertaraf hamba.” Itulah kata-kata yang difahamkan pada saya.

Ada yang menguasai ilmu megah tersebut melalui pemakaian tangkal di pinggang atau pemakaian tangkal di mana-mana bahagian badan. Dalam tulisan yang terdahulu ada dinyatakan betapa saya sendiripun pernah berbuat demikian. Pakai tangkal sepanjang masa. Berasa hebat dengan pemakaian tangkal di pinggang. Tangkal-tangkal itu diserahkan pada Ustaz. Satu daripada tangkal berkenaan dibukanya. Terdapat sekeping kertas putih separuh A4. Di atas kertas tersebut terdapat gambar rajah struktur badan manusia yang dilukiskan melalui huruf-huruf yang tertentu. Saya pun tak faham, melainkan Ustaz yang tersenyum melihatnya. Dulunya pun saya banyak perasan. Rasa-rasanya ada kehebatan luar biasa yang terjadi pada diri saya. Tapi tak ada bukti, cuma perasannya begitu. Itulah sebabnya timbul keyakinan dan kefahaman saya bahawa pemakaian tangkal tersebut boleh terarah kepada sifat dan perbuatan syirik. Ada yang kata, ”Dah Syirik” pun.

Ada juga antara mereka yang mempunyai kehebatan yang luar biasa kerana ada pengapitnya sama ada disedarinya atau pun tidak. Kadang kala pengapit ini diterima bersekali dengan amalan yang diberi. Ramai yang tidak menyedarinya. Begitulah peringatan Ustaz. Hinggakan ada yang menganggap orang yang berkebolehan luar biasa itu adalah ’Keramat’ kerana memiliki kebolehan yang luar biasa. Rupa-rupanya ada ’pembantu’ khasnya yang kita tak nampak. Tak kiralah agama apa pembantu berkenaan anuti. Jin Islam atau Jin Kafir. Hal yang demikianlah menyebabkan saya lebih berhati-hati.

Saya pernah nyatakan dalam tulisan terdahulu tentang pergaulan saya dengan guru-guru silat serata negeri. Mereka tidak lokek ilmu dan mudah berkongsi ilmu megah mereka dengan saya. Ketika saya bersama guru-guru silat berkenaan, banyak juga pengetahuan tentang jenis-jenis ’kapit’ yang ada. Terjadi satu peristiwa ketika saya bersama salah seorang dari mereka. Pada masa kami asyik berbual-bual, banyak soalan yang saya tanya. Jawapannya lewat diberi kerana ’ada’ yang berminat duduk bersama bersebelahannya. Soalan saya diajukannya pada yang berkenaan terlebih dahulu. Terdengar perbualan mereka tanpa saya faham bahasa yang digunakan guru berkenaan. Guru itu mengangguk-anggukkan kepala dan kemudian baru diterangkan butirannya pada saya. Hanya guru itu saja yang dengar perbualan kapitnya. Semuanya berlaku di depan mata. Memang susah nak percaya setakat penerangan sahaja. Adatnya, mustahil peristiwa itu lakonan biasa. ’Real’. Tapi itulah pengalaman berharga buat diri saya. Berbual dengan orang yang merujuk pada benda yang lain ketika ditanya.

Sebelum itu, guru silat berkenaan menunjukkan kehebatannya pada saya. Beliau tersangat kagum akan kehebatan kuda-kudanya. Diterangkan pada saya bersekali praktikalnya cara-cara untuk melatih kuda-kuda. Kaedahnya, duduk bertempoh terlebih dahulu. Kaki kiri dilipatkan di depan dan kaki kanan terlipat di belakang. Kemudian, bangkit dan beralih kaki kanan dilipat di depan dan kaki kiri menjadi terlipat di belakang tanpa bantuan tangan. Memang saya tak boleh buat sampai sekarang. Ditunjukkannya pada saya. Disuruhnya seorang menekan pelipatnya sampai jatuh. Guru berkenaan dapat menegakkan semula pelipatnya dan orang itu terpelanting. Cuma, terbayang pada ruang ligar pemikiran saya. Kalaulah kita cuba menjatuhkan pelipatnya tanpa ada sebarang pukulan, alamat tercirit jadinya. ”Dah dekat bulan Puasa. Simpan pemakannya. Aww.”

Berbalik pada cerita tentang jenis-jenis ’kapit’ yang ada. Menurut beliau terdapat tiga jenis peranan kapit yang ada. Jenis pertama, kapit berkenaan duduk sebelahnya. Kita tak nampak, tapi hanya mereka yang boleh berbual. Bahasanya pelik, bukannya bahasa kita. Jenis kedua adalah secara berbisik. Tak tahulah di mana duduknya. Agaknya mengangkang atas kepala. Maka senang berbisik. Agaknya juga tentu tuannya susah nak sembahyang. Terasa berat badan. Bukannya berat hati, tapi berat badan nak bangkit dari kedudukan duduk, sebab ada yang menumpang hingga menambahkan berat badan. ”Agaknya”, seperti yang pernah dikiaskan Ustaz.

Satu lagi jenis kapit adalah berperanan secara masuk dalam tubuh manusia. Terus bertukar wajah muka dan bertukar nada suara. Bahasanya pun bertukar. Biasanya bahasa Siam atau Indonesia atau bahasa orang asli. Tak pernah saya jumpa mereka ini berbahasa Inggeris atau Perancis atau Arab. Satu segi terasa pelik juga. Sama pelik dengan sifat pemain silap mata. Binatang yang keluar, sama ada arnab, ayam atau merpati. Tentulah ada muslihatnya. Tapi, tidak pelik pada yang tahu.

Oleh sebab ada sedikit pengetahuan dari ustaz, Ketika saya bersama dengan guru-guru silat tempoh masa yang lalu, menyebabkan saya hanya berminat menulis pemberian ilmu mereka daripada mengamalkannya. Saya yakin dan percaya bahawa kemenjadian ilmu-ilmu berkenaan adalah atas sifat luar biasa, tidak tentu puncanya dan tidak tentu sebabnya. Kalau berdasarkan pergerakan tangan dan kaki, kemenjadiannya adalah pasti. Banyak berlatih maka akan tinggi kemahiran menggunakan anggota tangan dan kaki. Namun begitu, kemenjadian sesuatu ilmu yang luar biasa itu, sukar diukur dari sebab yang ada. Banyak perasan dan sentiasa diselubungi oleh perasaan. Banyak pula risiko untuk belajarnya. Walaupun hakikat kemenjadiannya adalah dari Tuhan yang Esa, namun begitu apakah sabitnya. Perkara inilah yang perlu kita curigakan. Itulah pendapat saya hasil peringatan yang diberi dan kemudiannya diperingatkan pada anak didik saya.

Untuk lebih mamahami ilmu luar biasa atau ilmu megah yang ada dalam masyakarat Melayu, usaha secara praktis perlu ditempuhi. Itulah pendapat saya. Saya berbincang sesama rakan seperjuangan dalam SC. Setakat cakap sahaja atau setakat mendengar penerangan Ustaz sahaja, kurang memberi makna dan kurang keberkesanannya pada jiwa. Oleh hal yang demikian, saya juga telah memohon kebenaran Ustaz untuk kami melibatkan diri dengan pembelajaran ilmu berkenaan. Sekali lagi Ustaz tidak melahirkan bantahan. Satu pesanan yang sering diingatkan. ”Jangan tinggalkan sembahyang dalam apa keadaan sekalipun.”

Kami tidak mahu melibatkan ahli-ahli yang lain seperti mana mempelajari silat Melayu yang lain dulunya. Hal yang demikian kerana usaha-usaha untuk mendapatkan ilmu megah tersebut, memerlukan kerelaan guru yang dituntut untuk menurunkan ilmunya. Kalau dia tak rela atau tak sudi, jawapannya ialah akan gagallah usaha kami. Oleh itu, menuntut ilmu megah secara dalam bilangan yang sedikit akan memudahkan sifat rela guru berkenaan untuk menurunkan ilmunya. Lagi sikit bilangannya maka lagi baik. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 19/07/2012 in Persilatan

 

40. 8. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

Saya rasa, hampir setahun juga kami mendalami ilmu persilatan Melayu yang lain. Banyak pelajaran baru yang berguna bagi memantapkan penguasaan SC yang ada. Kesimpulan kami, selain daripada makna pukulan dalam SC, buah-buah tangkapan SC juga perlu diambil dengan cara kemas dan mantap. Jika tidak, mungkin akan menjadi habuan pada pergerakan silat lain. Kenyataan ini adalah berdasarkan pengalaman mencuba dan penglibatan dengan persilatan silat Melayu yang lain tersebut.

Dalam tulisan terdahulu ada diterangkan betapa silat-silat Melayu yang lain sangat mementingkan tangkapan atau kuncian. Buah potong pada tafsiran mereka diibaratkan melepaskan tangkapan atau kuncian. Hal yang demikian kerana tangkapan adalah merupakan gerak utama persilatan mereka. Tangkapan diertikan mereka sebagai kuncian. Mereka percaya, seseorang yang dikunci pasti akan tewas dalam pertarungan. Lawan tidak mungkin dapat melepaskan diri dari kuncian tersebut. Itulah kepercayaan yakin mereka. Keseluruhan pelajaran silat, mengarah kepada kuncian. Oleh sebab kuncian dianggap sebagai gerak yang sangat bahaya maka pelajaran khusus membuka kuncian adalah sangat diutamakan. Konsep membuka kuncian samalah pemberatannya dengan konsep memotong gerak pukulan lawan seperti yang ada dalam pelajaran kita. Itulah kesimpulan kami apabila berdamping rapat dengan pergerakan silat mereka.

Namun begitu, konsep memotong gerak dalam persilatan mereka adalah berbeza dengan SC. Pelajaran kita tidak ada tumpuan untuk membuka kuncian. Kalau tertangkap maka kelam kabut juga jadinya. Oleh hal yang demikian maka kita tidak membenarkan lawan menangkap atau membuat kuncian. Secepat kilat kita akan terus bertindak apabila tersentuh. Sama ada tangan yang dihulur tersentuh atau badan kita yang ditumbuk tersentuh, pasti kita akan bertindak tanpa ada sifat bertolak ansur dalam gerak. Tidak ada peluang bagi mereka untuk membuat tangkapan atau kuncian. Itulah keyakinan kita dan itulah perkara yang sepatutnya berlaku apabila kita berhadapan dengan persilatan yang berlainan perguruan.

Walau bagaimanapun, silat kita juga ada kuncian ke atas lawan. Kita selalu yakin bahawa tangkapan kita itu akan mematikan pergerakan lawan. Keyakinan kita itu berasaskan adanya pukulan di pemulaan gerak. Kalau lawan kita itu sesama perguruan, adatnya langsung tidak ada sebarang masalah. Kita boleh membuat tindak balas berikutnya. Pelajaran ‘Enam Tolak Enam’ sangat memberi makna. Hal yang demikian tentunya berbeza apabila kita berhadapan dengan pesilat dari perguruan lain. Lain silat maka lain tumpuan dan lain pergerakan mereka. Di sinilah kita perlu berwaspada dan sangat perlu berhati-hati. Seperti yang saya tegaskan bahawa kuncian adalah merupakan pelajaran utama mereka. Tidak ada satupun tangkapan buah-buah silat Melayu yang tidak boleh mereka buka dengan mudahnya. Itulah kelebihan seni silat Melayu. Kami bercakap demikian setelah melalui pengalaman secara langsung.

Dua perkara yang perlu kita berhati-hati ketika membuat kuncian ke atas mereka. Kita memerlukan gerak tindakan yang mantap, kemas dan pantas. Keduanya, apabila mereka ditangkap atau dikunci, waspada pada tindak balas mereka; sebab, membuka kuncian pada pelajaran mereka adalah sama dengan konsep potong yang ada pada kita. Ingat. Pelajaran silat-silat Melayu yang lain amat menitikberatkan aspek tangkapan atau kuncian.

Dalam perbincangan sesama kami tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan supaya kita sentiasa ambil berat atas setiap pelajaran yang diajar. Jangan cuba buat gerak secara sambil lewa kalau kita tidak mahu ‘diratah’ begitu saja. Kalau pelajaran itu telah ada, jangan diubah-ubah sesuka hati atau ditinggalkan begitu saja. Buruk padahnya. Kesimpulan yang kami dapat, jika menangkap tanpa ada sebarang pukulan atau membuat pukulan secara sambil lewa, alamat nahas jadinya. Itulah penekanan Ustaz pada saya. Saya yakin dan faham pesanannya dengan sepenuh hati. Cuma, percakapan saya pada anak didik saya semakin terbukti apabila mereka sendiri mengalaminya. Oleh sebab itulah mereka faham atas apa yang saya maksudkan dengan kepentingan pukulan dalam SC.

Dalam kelas-kelas kemahiran SC, segala aspek yang ada dalam pembelajaran SC, sangat saya titikberatkan. Sesungguhnya, Ustaz telah merangka sistem pelajaran yang kemas, pendekatannya mantap dan hebat. Pelajaran asas ada kaitannya dengan pelajaran jatuh. Kesinambungan antara asas dan jatuhan itu, perlu bersepadu tanpa mengubah di mana-mana bahagian pergerakan tersebut. Berdasarkan teori dan praktikal, rupa-rupanya setiap pergerakan yang ada dalam SC di peringkat asasnya lagi adalah membawa makna yang amat penting. Buatlah secara bersungguh hati.

Pengalaman bersilat dengan perguruan lain telah memantapkan kepercayaan bahawa sesungguhnya kita amat bertuah kerana Ustaz telah berjaya menurunkan satu sistem latihan dan pergerakan-pergerakan yang amat mantap dan berkesan. Lantas diyakinkan pada kita betapa SC boleh menghadapi sebarang seni bela diri yang lain. Keyakinan itu adalah berasas. Kalau keyakinan itu kita akui dan menerimanya maka lebih baik kita juga terima saja kesemua ajaran dan sistem pelajaran SC yang ditinggalkan tanpa perlu mengubah-ubah di mana-mana bahagian. Sesuailah dengan makna Pusaka Hanafi.

Kadang kala terasa risau juga dengan perkembangan yang ada sekarang. Kita mungkin bercelaru antara konsep latihan dan persembahan. Ada yang berpendapat bahawa latihan lain dan persembahan lain. Saya tak ada komen. Pada pendapat saya, berlatih silat adalah sama rentaknya sama ada untuk membuat persembahan atau latihan biasa persilatan. Tidak ada diskriminasi gerak semata-mata untuk menyedapkan mata atau hati penonton. Dalam latihan, musuh yang datang dikenakan pukulan pukal, maka dalam persembahanpun gerak yang sama diperlakukan. Tak ada sentuh-sentuh. Pukul betul-betul tapi tidaklah sampai memudaratkan pasangan. Sama saja gerak pukulannya dalam latihan dan persembahan.

Saya beri beberapa contoh. Misalnya buah Pertama. Tanpa pukulan, jangan diharap mudah membuat jatuhan. Kecualilah gerak berpakat. Yang risaunya, sampai ke sudah, pasangan kita mudah dijatuhkan bukan kerana kecekapan dan kehebatan kita, tapi kerana sifat sepakatan pasangan yang mengalah pada gerak. Ada yang kata, mula-mula kena pakat. Lama-lama baru buat betul. Eloklah! Diri diasuh dengan perbuatan berpakat. Itulah sebab agaknya lama-lama wujud pakatan bagi menjatuhkan kepimpinan.

Setelah jatuhan pada buah Pertama, ramai kalangan kita yang terburu-buru menganak pukulan sama ada dengan penumbuk atau sepakan kaki tanpa tahu sebab dan tanpa melihat gerak pasangan. Berhati-hatilah. Pelajaran asasnya ialah kedua-dua kaki berada di sisi badan pasangan kita yang telah dijatuhkan. Gerak berikutnya adalah berdasarkan gerak pasangan. Kebiasaannya gerak lawan kita dari persilatan lain amat pantang jatuh telentang. Mereka diajar supaya jatuh mengereng sambil berpaut pada apa yang ada. Di sinilah gerak menganak dalam pelajaran kita sangat diutamakan.

Kalau asas Kuntau Jatuh, pukulannya didagu, maka buatlah sedemikian rupa. Jangan diubah kedudukan pukulan tersebut semasa membuat jatuhan, semata-mata bagi memudahkan jatuhan. Kalau ada yang cuba mengubah kedudukan pukulan Kuntau Jatuh di bahagian dada atau di bahu kiri atau di bahu kanan, alamatnya tangkapan akan tak menjadi sempurna dan mungkin akan mengundang bahaya. Untuk maksud pertunjukan, meletakkan sasaran tangan di bahu mungkin akan menyebabkan jatuhan pasangan kita dalam keadaan mudah. Penonton akan bergembira dan berpuas hati, tapi malangnya kita yang akan rugi, ekoran mengubah sasaran pukulan semata-mata untuk memuaskan hati orang lain.

Setelah membuat jatuhan, pastikan kuncian dibuat secara kemas dan mantap tak kira sama ada dalam latihan atau ketika membuat persembahan. Hal yang demikian menjadikan kita bersikap tegas dalam gerak SC tanpa ada usaha mengubah-ubah gerak untuk kesenangan diri atau untuk memuaskan orang lain. Semuanya sama saja geraknya, sama ada semasa latihan ataupun persembahan.

Begitu juga dengan buah Hempuk. Kalau kaki pasangan kita disendal pada pelajaran asas, maka teruskanlah ketika membuat jatuhan. Ustaz menganjurkan kita berbuat demikian kerana ada sebabnya. Kegagalan berbuat demikian akan mengundang risiko yang amat besar ketika membuat jatuhan. Gerak silat Melayu, pantang jatuh meluru ke depan. Mereka akan membuat pusingan badan. Ketika itulah konsep kuncian secara guntingan kaki amat mereka sukai. Berhati-hatilah.

Sesungguhnya semua sistem pelajaran SC yang telah terbentuk di zaman Ustaz, ada maknanya. Ustaz bersilat dan memimpin SC atas pengalaman persilatannya yang banyak. Ustaz telah berkecimpung dalam pelbagai jenis silat Melayu yang lain. Hal yang demikian menjadikan pergerakan SC yang dipimpinnya mempunyai makna dan sebab-sebab yang tersendiri. Terimalah pergerakan tersebut tanpa diubah-ubah pergerakan di sana sini. Kemudian carilah pengertian pada setiap pergerakan yang ada dalam SC. Itulah sifat yang dinamakan sebagai mempusakai Pusaka Ustaz Hanafi.

Pengalaman yang kami lalui bersama, telah menyebabkan kami menghargai secara menitikberatkan semua pelajaran SC yang ada. Walau bagaimanapun, pada diri saya, hal yang demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan. Seperti yang dikatakan bahawa saya sering merujuk pada Ustaz. Tambahan pula saya sememangnya ada pengalaman dengan silat Melayu yang lain. Bandingan gerak silat memberi kesimpulan pada saya supaya membuat gerak SC dengan bersungguh hati. Ustaz juga telah menekankan pada saya betapa setiap gerak yang ada adalah membawa makna. Jangan ditinggalkan atau dibuat secara sambil lewa. Hal yang sama saya tegaskan juga pada anak diik saya. Percakapan saya itu lebih bermakna dan lebih berkesan apabila mereka juga mendapatkan pengalaman dan mengetahui tentang gerak-gerak lain dalam persilatan Melayu yang ada. Bersambung.

 

 
Leave a comment

Posted by on 16/07/2012 in Persilatan

 

40. 7. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

           Sesuatu yang mengejutkan saya ialah pernah sekali Ustaz berkunjung ke tempat kerja, di Felda Lasah, Sungai Siput Utara. Saya bertugas sebagai guru di sana. Ustaz adalah dalam perjalanan balik ke Kedah. Pada masa itu belum ada lebuh raya. Maka jalan masuk ke Felda tersebut adalah dalam laluan perjalanan Ustaz. Jauhnya dari simpang lebih kurang tiga puluh kilometer. Saya berasa terkejut kerana kunjungan Ustaz ke tempat kerja bukanlah sesuatu yang disukainya. Ustaz pernah menyatakan hal yang demikian. Walau bagaimanapun, saya rasa kunjungan Ustaz itu adalah disebabkan sesuatu yang penting. Saya adalah merupakan pemimpin pesilatan dan persatuan SC di Perak dan merupakan ‘wakil’ Ustaz bagi menyebarkan SC di cawangan.

Perbualan Ustaz lebih berfokus pada ilmu luar biasa yang mula mendapat tempat di hati masyarakat. Ketika itu telah muncul ilmu silat yang menggunakan kebolehan luar biasa. Tak perlu latihan fizikal, melainkan amalan ayat-ayat tertentu. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis pergerakan ilmu yang dikatakan berbentuk silat itu. Difahamkan bahawa ilmu luar biasa tersebut berkeupayaan menghadapi musuh secara tolakan angin ketika musuh menyerang. Tolakan tersebut akan membuatkan musuh terpelanting. Populariti  dan perkembangan ilmu demikian ada juga kaitannya dengan penglibatan seorang menteri pusat yang menaungi pergerakannya. Walau bagaimanapun, semakin  lama maka semakin pudar perkembangan ilmu tersebut. Ramai alim ulama yang tidak menggalakkan pengamalan ilmu itu. Lebih-lebih lagi setelah menteri berkenaan tidak lagi menjawat jawatan sebagai menteri.

Banyak perkara yang dipesan dan dibincang Ustaz. Saya difahamkan bahawa ilmu yang luar biasa tersebut tidak boleh dianggap sebagai silat, walaupun mereka mendakwanya sebagai silat. Sesuatu yang dinamakan silat adalah bermaksud keupayaan biasa pergerakan dua tangan dan dua kaki secara sedar. Hal yang demikian adalah berbeza dengan ilmu yang didakwa oleh silat tersebut. Kemenjadiannya tidak menentu.  Latihannya banyak bergantung pada amalan ayat.

Saya diyakinkan bahawa sesama ahli, sah jadinya ilmu tersebut. Akan tetapi, jika berlainan ahli, tak tentu jadinya dan terpaksa menanggung banyak risiko. Hal yang demikian kerana kemenjadiannya adalah mengharapkan sesuatu yang luar biasa dan bukannya atas usaha diri yang ada. Saya difahamkan juga bahawa banyak kali  ilmu berkenaan ‘tidak menjadi’ apabila diamalkan oleh ahli. Terkena serangan. Apabila ilmu tidak menjadi, apakah yang boleh disandarkan lagi. Untuk menghadapi serangan berdasarkan silat secara sedar, tidak mampu melakukannya kerana tidak ada dalam pelajaran. Mungkin itulah kelemahannya apabila terpaksa menghadapi musuh dalam keadaan tidak menentu sama ada ilmu tersebut benar-benar dapat dipertanggungjawabkan pada diri. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan seni silat yang menggunakan keupayaan  dua tangan dan dua kaki secara latihan yang berterusan.

Pesanan Ustaz sangat memberi makna besar kepada saya. Hal yang demikian kerana saya mempunyai ‘modal’ untuk mengeluarkan pendapat secara yakin terutamanya dalam kalangan anak didik saya. Malah, orang lain yang bertanyakan pendapat saya, mereka akan diberi penerangan seperti mana yang saya terima dari Ustaz. Ketika itu, salah seorang saudara saya sangat berminat dengan ilmu yang sedemikian. Di rumah saya jugalah diadakan persembahan satu daripada jenis silat berkenaan bagi mencari ahli-ahli baru. Saya tidak pernah mencampuri urusan mereka. Saya ada pegangan tersendiri. Walau bagaimanapun perkembangan silat berkenaan tidak mendapat sambutan hebat. Malah, sambutan di tempat saya tersangat hambar berbanding dengan sambutan di ibu kota, Kuala Lumpur. Lama-lama, lenyap begitu sahaja.

          Semasa saya berada di cawangan, pelbagai usaha telah saya jalankan untuk menambahkan ilmu persilatan pada diri saya sendiri. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah tulis betapa saya juga pernah mempelajari silat Melayu yang lain. Pelajarannya banyak memberi makna dari aspek bandingan antara silat Melayu yang ada. Minat saya mempelajari seni silat Melayu yang lain ada kaitannya dengan hala tuju yang dibawa Ustaz dalam bidang persilatan.

Ustaz pernah melahirkan hasrat untuk mendapatkan bangunan sendiri. Dengan adanya bangunan tersebut, Ustaz juga berhasrat untuk menubuhkan akademik silat. Saya difahamkan bahawa Ustaz akan mengundang guru-guru silat yang ada kaitan dengan nama-nama buah dalam SC untuk menurunkan ilmu silat mereka pada anak-anak murid SC. Sekurang-kurangnya ahli-ahli SC akan mempunyai pengalaman yang luas dalam persilatan Melayu. Kalau tak salah saya, dalam majlis perayaan SC seterusnya iaitu selepas Perayaan Sepuluh Tahun, Ustaz ada menjemput seorang guru silat untuk mengajar ahli-ahli SC dan seterusnya membuat persembahan berbentuk tarian silat. Guru itu tinggal di pejabat silat di Jalan Putera. Saya tidak boleh bercerita panjang kerana ketika itu saya telahpun berhijrah ke kampung. Cuma, ketika saya menziari pejabat silat, saya menyaksikan aktiviti yang berlangsung tersebut.

Tindakan Ustaz yang sedemikian, membuktikan bahawa Ustaz mempunyai pemikiran yang terbuka dalam persilatan silat Melayu. Hal yang demikian amat sesuai dengan perjuangannya sendiri yang mempastikan anak-anak muridnya sentiasa menghormati persilatan Melayu. Itu sebablah pada pendapat saya, kita berikrar untuk tidak mencaci silat-silat Melayu yang ada. Cuma, adab berguru adalah memerlukan kita mendapatkan kebenaran guru sebelum kita bertindak mendalami sesuatu ilmu dari guru yang lain.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, memohon kebenaran dari Ustaz bagi mempelajari sesuatu ilmu dari guru yang lain adalah amat penting. Kegagalan berbuat demikian akan menanggung risiko yang amat besar. Jika diketahui oleh mereka yang berfikiran sempit dan tertutup, pasti akan mengundang padah. Banyak fitnah dan tohmahan yang akan mengelilingi kita. Silap haribulan maka akan tersingkirlah kita dari persilatan SC. Hal yang demikian telah banyak terjadi. Tak kiralah apa jenis ilmu, asalkan ada kaitan dengan kelebihan luar biasa, ada kaitan dengan pakaian hitam atau ada kaitan dengan segala bentuk amalan fizikal atau amalan ayat, lebih baik berhati-hati. Ramai yang curiga. Malah, kalau menyertai pertandingan larian yang memerlukan berpakaian hitam pun, jaga baik-baik. Warna hitam selalu dikaitkan dengan ilmu persilatan. Kalau tanpa kebenaran, pasti banyak fitnahnya.

Walau bagaimanapun, sikap keterbukaan Ustaz telah saya manfaatkan sepenuhnya pada diri dan juga pada ahli-ahli SC di cawangan saya. Hal yang demikian telah mendorong saya menjemput beberapa orang guru silat untuk mengajar silatnya pada ahli-ahli lama yang setia pada SC. Ustaz telah dimaklumkan terlebih dulu tentang hasrat saya tersebut. Pada mereka yang terlibat dengan program tersebut, saya selalu peringatkan, ”Jangan buat sebarang komen pada ilmu persilatan yang diterima. Terima sahaja tanpa membanding-bandingkan dengan persilatan yang ada di hadapan guru yang mengajar.” Semua akur dengan pesanan saya. Sekurang-kurangnya ada tiga orang guru silat yang kami jemput dalam masa yang berlainan. Walau bagaimanapun latihan pada ahli-ahli baru tetap diteruskan kerana masa latihan adalah berbeza.

Peranan saya sebagai ketua dalam aktiviti berkenaan adalah  bagi mempastikan persilatan yang diterima akan memberi sumbangan bagi memantapkan persilatan SC yang sedia ada. Saya menganjurkan satu malam latihan khas untuk membincangkan pergerakan yang kami terima berbanding dengan persilatan SC. Kehadiran adalah wajib bagi semua yang belajar untuk membincangkan aspek kelebihan dan kekurangan dalam semua segi.

Sesungguhnya, pengalaman belajar silat-silat Melayu asli yang lain tersebut, banyak manfaatnya pada kita. Semua anak didik saya, mengakuinya. Kami semakin yakin dan faham akan tindakan Ustaz yang berhasrat untuk mendedahkan para ahli SC pada seni silat Melayu asli yang lain seperti yang saya nyatakan di atas. Perbandingan gerak antara silat kita dengan silat Melayu yang lain telah menyebabkan kita semakin kenal akan SC. ”Tak kenal maka tak cinta”. Apabila kita lebih mengenali SC maka secara langsung akan menyebabkan kita semakin ’cinta’ pada SC. Kecintaan tersebutlah menyebabkan kita akan terus-menerus berusaha dengan bersungguh hati untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat Melayu.  Kita berpendapat bahawa sungguh sayang sekali jika masyarakat Melayu tidak mempelajari SC. Silat yang benar-benar asli dan boleh bertanggungjawab pada diri sendiri.

Setelah belajar silat Melayu yang lain itu, barulah kita akan faham betapa penting dan bermaknanya, makna pukulan dalam SC. Barulah juga kita faham betapa Ustaz selalu menekankan aspek pukulan dalam SC. Teringat saya satu soalan yang pernah saya ajukan pada Jurulatih ketika saya sedang menuntut buah potong dulunya. Oleh sebab ’blok’ kita adalah pada pukulan, saya bertanya tentang cara kita melepaskan diri jika ditangkap oleh silat lain. Maka Jurulatih berkenaan menjawab, ”Jangan bagi dia tangkap”. Begitulah mudahnya jawapan beliau.

Walau bagaimanapun, jika kita berfikiran positif, jawapan Jurulatih berkenaan mempunyai makna yang mendalam. Jikalau kita ingin mengelakkan diri daripada ditangkap ketika bersilat, maka kita mesti berusaha menguasai gerak. Pergerakan kita perlu pantas dan bertindak yakin apabila kita melepaskan penumbuk atau menerima tumbukan. Hal yang demikian tentunya akan menyusahkan lawan kita untuk membuat tangkapan. Di sinilah peranan pukulan amat penting sekali. Sama ada kita diserang atau kita menyerang, pukulan Cekak tetap diutamakan. ’Mereka tidak ada, melainkan kita yang ada.’

Itulah keluarbiasaan kita. Ingatlah, “Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya. Sesuatu yang bersifat luar biasa, pasti  akan menghasilkan pencapaian yang juga bersifat luar biasa.”  Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 12/07/2012 in Persilatan