RSS

Monthly Archives: June 2013

61.7.2. KENALI SILAT CEKAK –Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.

Seperti yang saya nyatakan, dalam proses pembelajaran SC, ramai penuntut yang tertanya-tanya tentang pelajaran kaki. Hal yang demikian kerana keseluruhan pelajaran SC adalah berkaitan dengan penggunaan tangan. Rupa-rupanya, pelajaran kaki telah diberi penekanan semasa pembelajaran umum. Setelah dapat pelajaran tersebut maka fahamlah kami akan ungkapan Ustaz, “Bila tangan digunakan tangan pula balasan, jika kaki, kakilah balasan tanpa menggunakan tangan menepis; tidak menggunakan tangan menepis serangan kaki”.

Dalam tulisan seterusnya saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang pelajaran umum yang berkaitan dengan penggunaan kaki. Jikalau semasa proses pembelajaran SC, masa yang banyak telah diberikan pada kemahiran tangan tetapi kali itu dalam pelajaran umum, pelajaran kaki pula diberi tumpuan. Pelajaran Umum adalah berkaitan dengan pelajaran setelah tamat silat. Namun begitu ramai juga yang mentafsir tamat silat sebagai tamat pembelajaran silat. Terus ghaib. Ada juga yang tidak sempat mengambil tumbuk serang. Sebenarnya, setelah ijazah yang ketiga, banyak lagi pelajaran yang boleh dipelajari.

Secara amnya, terdapat dua bentuk pembelajaran umum yang berfokus. Pertamanya ialah memahirkan buah-buah yang telah diperoleh supaya tindakan pada buah-buah itu dilakukan secara tepat dan tangkas. Keduanya ialah mempelajari pelajaran tambahan SC yang tidak ada dalam pelajaran ‘enam bulan’. Misalnya pelajaran senjata dan serangan kaki.

Ketika itu tidak ada sukatan pelajaran umum yang ditetapkan. Oleh itu, pelajaran umum di kelas saya tidak terikat pada apa-apa ketentuan pelajaran. Semuanya bergantung pada pembawaan Ustaz yang dibantu oleh Jurulatih kanannya. Hal yang demikian menyebabkan kami mempunyai masa untuk memberi fokas pada satu-satu latihan gerak persilatan SC. Keadaan itu saya rasakan amat sesuai. Kami telah diberi kebebasan untuk memperbaiki kelemahan diri dalam gerak silat di samping pembelajaran beberapa aspek pengetahuan gerak SC yang baru.

Semasa saya menjadi Jurulatih di pusat pun, senarai umum masih belum ada. Pengendalian kelas-kelas umum adalah berdasarkan kreativiti para Jurulatih. Semasa saya berhijrah ke kampung dan membuka cawangan di Ipoh, baru kedengaran tentang wujudnya senarai buah-buah umum yang perlu dipelajari. Tak salah saya sekitar akhir tahun tujuh puluhan. Maknanya, penciptaan senarai buah-buah umum tersebut adalah satu perkembangan baru; mungkin sebagai usaha untuk memantapkan sistem pembelajaran umum. Saya difahamkan senarai itu berkekalan hingga sekarang. Usianya telah ‘tua’. Tak ada pelarasan pulak oleh penghobi pelarasan.

Walau bagaimanapun, saya tidak pernah terikat dengan senarai tersebut ketika mengajar umum. Hal yang demikian adalah berdasarkan pengalaman saya menerima pelajaran umum tanpa ada senarai tertentu dan pengalaman saya sebagai Jurulatih yang mengajar umum tanpa ikatan pada senarai pelajaran yang dikeluarkan.

Saya difahamkan, kerana wujudnya senarai tersebut, latihan berfokus pada satu-satu kemahiran dalam SC telah terabai. Misalnya, para penuntut kekurangan masa untuk memahirkan tumbuk serangnya. Penyediaan senarai buah-buah umum telah ‘memaksa’ para penuntut mempelajari buah-buah silat lain. Setelah belajar baru diajar ‘gerak membunuh’ atas prinsip memotong; bukannya atas sifat melatih tumbuk serang. Sepatutnya, kalau tumbuk serang, buah-buah itu tidak perlu dipotong. Tak sempat pun nak buat buah. Syaratnya, tumbukan mesti ‘menjadi’. Nampaknya, banyak masa terbuang begitu saja bagi menguasai gerak yang asing tersebut.

Saya mengimbau kembali tentang pelajaran umum di kelas saya. Seperti biasa ketika itu, prinsip pelajaran umum ialah kebebasan latihan gerak-gerak yang ada dalam persilatan SC. Bentuk latihan adalah terbahagi dua. Pertamanya ialah meningkatkan kemahiran gerak yang sedia ada. Gerak itu telah diperoleh ketika proses pembelajaran SC. Misalnya, tumbuk serang, pelajaran enam tolak enam dan buah-buah jatuh dan potong yang kurang kemas. Latihan adalah bebas mengikut keperluan individu.

Oleh itu, konsep latih tubi sangat dititikberatkan dalam pelajaran umum berdasarkan keperluan penuntut. Jurulatih adalah berperanan sebagai pemudah cara. Mereka bertindak sebagai ‘pakar rujuk’ apabila terdapat persoalan gerak yang dihadapi penuntut. Para Jurulatih tersebut lebih mengenali kebolehan anak didik mereka. Maka mudahlah Jurulatih itu ‘membangunkan’ kebolehan para penuntut.

Tumpuan kedua dalam pelajaran umum ialah menambahkan pengetahuan tentang isi pelajaran SC yang tidak diajar ketika proses pembelajaran enam bulan. Misalnya, pelajaran senjata dan kemahiran kaki. Rupa-rupanya pembelajaran tersebut amat penting bagi melengkapkan kefahaman secara keseluruhan tentang pelajaran SC dari segi falsafah, konsep dan prinsipnya. Maknanya, setelah mempelajari pelajaran umum, kefahaman penuntut pada ungkapan-ungkapan yang ada dalam SC telah menjadi semakin jelas.

Dalam tulisan ini saya akan menerangkan bentuk pembelajaran tentang kemahiran menggunakan kaki. Pada masa itu, pelajaran menggunakan kaki mempunyai dua prinsip utama. Pertamanya, pelajaran kaki dalam sistem membela diri. Keduanya kebolehan mengatasi pengunaan kaki oleh pihak lawan ketika SC menyerang. Dalam sistem membela diri, ada dua jenis latihan iaitu secara berdiri dan secara duduk. Sama seperti latihan senjata tongkat.

Dalam pelajaran asas kaki secara berdiri, tumpuan sepakan adalah di bahagian bawah. Kaki kiri dan kaki kanan pesilat memainkan peranan penting untuk mengatasi serangan kaki tersebut. Sebabnya, kawasan sepakan itu adalah kawasan pengawalan kaki. Susah bagi saya menerangkan cara tangkisan yang menggunakan kaki itu secara tulisan. Umumnya, kalau menggunakan kaki kanan pesilat, cara masuk seakan-akan Kuntau Kanan Gantung. Ada sambungannya. Kalau kaki kiri yang digunakan sebagai tangkisan, cara masuknya adalah menggunakan kaedah gelek. Ada caranya. Tidak bermalam langsung.

Hal yang demikian maka lengkaplah kefahaman kami atas maksud ungkapan tersebut iaitu, ‘Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.’ Cuma, seperti yang saya timbulkan, jika serangan kaki itu melampaui kawasan yang dihadkan dan memasuki kawasan tangan, maka tangan akan memainkan peranan untuk mengatasi serangan yang dijaga oleh tangan.

Oleh itu terdapatlah kepelbagaian dalam menghadapi serangan kaki dari pelbagai aras. Pasangan akan menggunakan pelbagai cara sepakan. Penuntut diasuh secara berani untuk mengambil sepakan tersebut dengan tepat dan tangkas. Semuanya berdasarkan aras sepakan. Kalau sepakan pada aras bawah, maka kaki yang memainkan peranan untuk mengatasi sepakan tersebut. Kalau sepakan memasuki kawasan tangan maka tanganlah yang memainkan peranan untuk mengatasi sepakan kaki tersebut. Misalnya, jenis sepakan bahagian rusuk, sepakan layang di bahagian tengah dan sepakan layang di bahagian tengkok. Termasuk sepakan secara berganda dan sepakan terbang.

Kefahaman kami pada ungkapan tersebut bertambah jelas apabila satu lagi jenis pembelajaran sepakan kaki telah diajar pada kami. Menunggu serangan kaki secara duduk tahyat. Pasangannya akan menyepak bahagian tengkok. Pesilat akan mengambil sepakan tersebut menggunakan tangannya. Walaupun pesilat duduk rendah, sepakan kaki tetap diambil menggunakan tangan kerana sepakan itu memasuki kawasan tangan. Manakala kaki pesilat akan bertindak pada kaki pasangannya. Semuanya berlaku dalam proses yang serentak.

Syarat mengambil sepakan, pesilat diingatkan supaya tengkok sentiasa berada dalam posisi asal. Kepala pesilat jangan sesekali beralih sama ada banyak atau sikit, atas alasan takut. Mesti berani. Jika kepala beralih maka bahagian tengkok akan terdedah pada bahaya yang amat sangat. Kaki kiri pesilat akan bertindak pada kaki kiri pasangan yang bertapak. Pelajaran sepak sedemikian membuktikan, kalaupun kita berada pada kedudukan yang rendah, cara mengambil serangan kaki masih bergantung pada kawasan yang diserang.

Perkembangan berikutnya, dalam satu majlis pelarasan zaman PA, kami diarah supaya pelajaran tangkisan kaki dengan kaki ditiadakan. Saya tak pernah ikut arahan itu kerana bukannya datang secara langsung dari Guru Utama. Mana mungkin teori ungkapan yang kita bincangkan itu ada, tapi perbuatan praktisnya ditiadakan. Tentulah para penuntut yang kritis akan tertanya-tanya. Penuntut yang tak berani bertanya akan berterusan bergelumang dengan seribu persoalan dalam pemikiran sahaja. Saya tidak tahu perkembangan pelajaran tersebut ketika ini.

Setelah mahir dengan gerak mempertahankan diri dari serangan kaki, para pesilat akan dilatih membuat serangan dalam konteks pasangannya menggunakan kaki. Maknanya, penuntut akan diajar dengan kaedah mengatasi tindakan kaki pasangannya tatkala pesilat menyerang. Pasangan pesilat akan membuat pelbagai jenis sepakan sama ada bahagian bawah, rusuk, sepakan layang di bahagian tengah dan sepakan layang di bahagian tengkok.

Semasa Cekak menyerang, sekali lagi konsep, “Gerak tangan di tangan, kaki di kaki’, diguna pakai. Hal yang demikian, jika tindak balas gerak kaki pasangannya di bahagian bawah, maka kaki persilat yang menyerang akan memainkan peranannya. Jika kaki pasangannya bertindak di kawasan tangan, maka tangan pesilat yang menyerang akan memainkan peranannya. Maka fahamlah kami akan ungkapan yang sering diucap Ustaz. “Bila tangan digunakan tangan pula balasan, jika kaki, kakilah balasan tanpa menggunakan tangan menepis; tidak menggunakan tangan menepis serangan kaki”
Sekian saja perbincangan tentang pelajaran kaki.

Sila lihat gambar di bawah. Gambar lama sebelum berpecah. Timbul perbincangan. Nak ambil cara mana. Guna tangan atau guna kaki. Nampaknya, serangan tangan dah masuk kawasan kaki. Tapi ada pulak kata guna tangan. ‘Hantam sajalah Labu’. Prinsipnya, kalau penumbuk dah bermalam, apa pun tak boleh buat. Apa cara pun tak mungkin boleh dilakukan. Perlu amalkan konsep makan gerak dalam gerak. Kesimpulannya, lebih baik hebatkan tumbuk serang daripada belajar buah orang lain. Buah sendiri dan ada. Buat apa nak tengok buah orang lain. Jaga aje buah sendiri. Kalau tumbuk ‘menjadi’ tak ada perbahasan nak potong buah cara mana. Tak sempat pun makan secara turun ke bawah. Terus rebah.

20130630-181712.jpg

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on 30/06/2013 in Persilatan

 

61.7.1. KENALI SILAT CEKAK –Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menerangkan betapa SC amat mementingkan sifat tertib, beradab dan mengikut peraturan dalam gerak persilatannya. Seperti mana yang saya tegaskan bahawa sifat ini adalah bersesuaian dengan sifat budaya tinggi yang ada dalam masyarakat Melayu. Malah, melalui gerak persilatan, sifat tertib, adab dan bersopan adalah salah satu ciri utama yang sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut SC dari masa ke masa.

Semasa saya masih dalam proses menuntut SC, hati saya tertanya-tanya tentang pelajaran kaki. Sebabnya, pelajaran silat yang saya pelajari sebelum ini memperlihatkan kehebatan menggunakan kaki. Sebaliknya, dalam SC tidak ada pelajaran kaki. Tak ada sepak-menyepak atau tendang-menendang. Keseluruhan pelajaran SC selama ‘enam bulan’ adalah berdasarkan penggunaan tangan.

Ustaz telah menegaskan betapa penggunaan tangan adalah lebih utama dan lebih berkesan berbanding dengan penggunaan kaki. Orang yang menggunakan kaki akan menyebabkan kedudukannya tidak stabil. Hanya satu kaki yang menongkat badan. Dalam pelajaran SC, terdapat cara bagi membuktikan kenyataan tersebut. Para penuntut akan peroleh pembuktian ketika pelajaran umum.

Sehinggalah tamat, barulah pelajaran kaki diperkenalkan dalam kalangan penuntut. Ketika itu barulah kami faham tentang peranan tangan yang amat penting, berbanding dengan peranan kaki. Walau bagaimanapun peranan kaki masih diguna pakai dalam hal gerak yang berkaitan dengan kaki. Oleh itu, konsep, “Tangan Di Tempat Tangan, Kaki Di Tempat Kaki”, telah memperlihatkan sifat tertib atau kesopanan atau adab yang diamalkan dalam persilatan SC.

Walaupun persilatan lain mungkin tidak mementingkan adab atau tertib sepertimana yang kita amalkan, persilatan SC tetap dengan prinsip gerak tangan dan kaki tersebut. Itulah juga salah satu keistimewaan silat kita. Beradab dan bersopan.

Satu lagi tafsiran pada ungkapan tersebut adalah merujuk pada peranan atau tanggungjawab anggota tangan dan kaki. Hal yang demikian adalah dalam konteks persilatan bagi memelihara tubuh badan yang diamanah pada kita. Dalam sistem pertahanan SC, bahagian pusat ke atas, diawasi oleh tangan dengan empat kaedah yang tertentu. Semuanya adalah mengikut aras serangan yang dilakukan lawan. Manakala bahagian pusat ke bawah adalah diawasi oleh kaki.

Nampaknya, sempadan pemisah kawasan atas dan bawah adalah pada bahagian pusat. Bahagian pusat berbeza makna dengan pusat. Bahagian pusat merujuk sifat kawasan sekitar pusat. Ada juga yang mentafsir akan perenggan pemisah ialah di bahagian kemaluan. Saya tidak ada minat untuk berbincang persoalan pendapat tersebut dalam tulisan ini.

Peranan tangan atau kaki di bahagian atau di kawasan-kawasan tersebut adalah berdasarkan gerak semula jadi jangkauan pergerakan tangan dan bahagian lutut yang merujuk pada kaki. Kalau tangan pendek, pastilah jangkauan tangan ke bahagian bawah adalah terhad. Jika dipaksa lakukan, maka badan terpaksa membengkok. Pergerakan yang terpaksa. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan mereka yang mempunyai tangan yang panjang. Begitu juga dengan ukuran kaki yang juga berbeza antara sesama pesilat.

Dalam konteks peranan atau tanggungjawab, ada kawasan-kawasan tertentu yang dijaga oleh tangan dan kaki. Kalau diibaratkan sebuah kerajaan, badan adalah merupakan kerajaan pusat. Di bawah kerajaan pusat ada kerajaan negeri yang mengawasi negeri masing-masing. Setiap negeri tidak akan mencampuri urusan negeri yang lain. Masing-masing ada kuasa autonominya.

Mungkin juga kita boleh merujuk sifat anai-anai. Ada pembahagian tugas dalam kalangan ketua dan pekerjanya. Tugas pemaisuri adalah bertelur sepanjang masa. Dalam kalangan pekerja pula, terdapat aspek pelbagai dalam pembahagian peranan. Ada yang mencari makanan, ada yang memproses makanan dan ada yang menjadi askar dan sebagainya.

Dalam konteks persilatan, ungkapan tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki, memperlihatkan peranan atau tanggungjawab anggota tangan dan anggota kaki yang telah ditentukan tugas atas sifat gerak semula jadi. Jika tangan lawan yang menyerang maka tanganlah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kawasannya. Begitu juga dengan peranan kaki. Jika kaki lawan yang datang menyerang maka kaki pesilat itu sendiri yang berperanan untuk menghadapi serangan tersebut sebagai maksud menjaga kawasan jagaannya.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya, sifat yang sedemikian adalah merupakan konsep gerak yang hanya terdapat dalam persilatan Silat Cekak. Itulah salah satu keistimewaan persilatan kita.

Malah, ketika kita menyerang pun, SC juga sangat mementingkan adab dan sifat gerak semula jadi. Kita tidak menyerang menggunakan kaki kerana itulah adab budaya tinggi masyarakat Melayu yang terdapat dalam persilatan Silat Cekak. Tambahan pula gerak kaki yang melebihi pusat akan memaksa gerak. Hal yang demikian tentunya bertentangan dengan sifat gerak semula jadi.

Mungkin ada yang akan membuat persoalan berdasarkan ungkapan itu. Dalam keadaan-keadaan yang tertentu, serangan kaki nampaknya ditepis oleh tangan. Adakah prinsip itu menyanggahi konsep ungkapan tersebut. Cuba kita renungkan hal yang tersebut dalam kupasan saya berikutnya.

Saya telah nyatakan dalam tulisan terdahulu betapa anggota tangan dan kaki dalam persilatan SC ada tanggungjawab atau ada peranannya. Dari segi gerak semula jadi, anggota-anggota tangan dan kaki berperanan menjaga kawasan-kawasan anggota badan yang tertentu. Berdasarkan prinsip pertahanan dalam SC, apa saja yang menceroboh masuk ke kawasan tangan dan kaki, maka adalah menjadi kewajipan tangan dan kaki itu sendiri untuk mempertahankan kawasan masing-masing.

Hal yang demikian membawa makna, jika serangan itu berbentuk serangan tangan, maka tanganlah yang menangkisnya. Tidak mendatangkan masalah. Kalau kaki pula yang menyerang ke kawasan tangan maka kewajipan tanganlah yang menangkis serangan tersebut. Sebabnya adalah mudah. kawasan yang diserang itu adalah kawasan tangan.

Begitu juga kalau kaki yang menyerang kawasan kaki. Maka kakilah yang bertanggungjawab mempertahankan kawasannya. Hatta kalau tangan pula yang menyerang kawasan kaki maka tidak hairanlah jika kaki juga yang bertanggungjawab untuk menangkis serangan tersebut.

Seperti yang selalu saya tegaskan, Silat Cekak adalah silat yang beradab atau silat yang ada peraturan. Ada tatasusilanya. Penuh dengan sifat tatatertib. Kita bersilatpun atas sifat beradab dan berdisiplin. Jika ada musuh yang berhadapan dengan kita dalam keadaan tidak tahu adab atau tidak tahu peraturan maka munasabahlah kita melayan mereka dalam sifat gerak yang tidak beradab. Hal yang demikian supaya memberi pengajaran dan peringatan pada mereka. ‘Datang beradab maka beradablah sambutannya. Jika datang secara tidak beradab maka sifat sedemikianlah yang diberi atas dasar memberi kesedaran supaya beradab di masa-masa yang seterusnya’.

Teringat masa tamat silat dulunya. Kami diberi peluang untuk menguji kebolehan yang ada pada Silat Cekak. Secara rela, Ustaz menyambut baik tujuan kami tersebut untuk menguji kebolehan Guru Utama. Salah seorang rakan saya membuat serangan secara gerak membawah. Serangan dimulakan dengan tari silat yang tersangat rendah. Hampir mencecah tanah. Ketika menyerang dengan kehebatan kakinya, Ustaz telah menggunakan gerak kakinya untuk mengatasi gerak serangan tersebut.

Perbuatan Ustaz itu jelas membuktikan pada saya ketika itu bahawa serangan yang dilakukan di bahagian bawah, akan diatasi oleh kaki. Begitu juga tatkala serangan membawah melibatkan tangan. Kaki juga memainkan peranannya. Hal yang demikian kerana bahagian bawah adalah kawasan ‘jagaan’ kaki.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa ungkapan gerak tangan di tangan, kaki di kaki adalah merupakan sifat gerak yang amat istimewa yang ada dalam silat kita. Lambang adab atau ketertiban yang tinggi dalam persilatan SC. Kita sentiasa menghormati sifat gerak yang sedemikian. Tatkala kita menyerangpun, sifat tersebut sentiasa menjadi amalan.

Walau bagaimanapun, apabila sifat itu tidak dihormati musuh, maka SC akan bertindak berdasarkan sifat lawan yang bercanggah gerak dengan apa yang diamalkan SC. Atas sifat memberi pengajaran. “Orang yang mengikut peraturan jangan dibuli tak tentu hala. Buruk padahnya.”

Berdasarkan dua tafsiran yang saya kupas dalam tulisan ini, membuktikan bahawa SC adalah sejenis silat yang kaya dengan adab sopannya. Sifat yang sedemikian akan membina satu peradaban yang tinggi dalam persilatan Silat Cekak. Sifat ego atau bangga diri yang tidak diingini, sentiasa dihindari dalam kalangan penuntutnya. Namun begitu sifat rendah diri itu umpama duri sembilu. Jangan dipijak tak tentu hala. Buruk padahnya. Bersambung.

Sila lihat dua keping gambar di bawah. Ada maksudnya tentang pembahagian tugas untuk mengawasi kawasan masing-masing.

20130626-203540.jpg

20130626-203611.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 26/06/2013 in Persilatan

 

61.7.0. KENALI SILAT CEKAK –Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menulis tentang pembelajan SC yang memberatkan penggunaan senjata pendek. Konsep surat dan posmen adalah merujuk kupasan yang demikian. Malah, pembelajaran parang lading yang merupakan senjata rasmi SC adalah juga untuk menghadapi serangan senjata pendek. Hal yang demikian telah dinyatakan Ustaz sendiri dalam majalah Dewan Masyarakat “..ajaran menggunakan parang lading bila menunggu serangan yang menggunakan senjata pendek. Serangan ke atas pihak lawan tidak dibuat kerana Seni Silat Cekak mempunyai prinsip serangan lebih berbahaya daripada menyerang.”

Ada yang membuat persoalan. Bagaimana pula jika musuh menggunakan senjata panjang. Bagaimana penuntut SC berupaya menghadapinya. Hal yang demikian pernah ditimbulkan di zaman Ustaz lagi. Saya akan membincangkan perkara tersebut dalam tulisan yang lain berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz. Tunggulah saat dan ketikanya. Cuma, bacalah secara fikiran yang terbuka.

Dalam tulisan-tulisan yang terdahulu, saya juga telah menulis tentang gerak SC adalah seolah-olah berlaku dalam satu gerak. Walaupun segerak, hakikatnya terdapat beberapa gerak secara berturutan. Semuanya berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Hal yang demikianlah menyebabkan pandangan mata kasar seolah-olah berlaku gerak SC dalam satu gerak sahaja. Saya juga telah menyentuh, betapa gerak yang pelbagai jika dilakukan dalam satu saat dan ketika yang sama maka semuanya dikira sebagai satu gerak. Dalam gerak yang pelbagai, hanya satu gerak sahaja yang boleh ‘menjadi’, ataupun semua gerak boleh jadi tidak menjadi. Itu sebabnya hakikat gerak kita adalah secara berturutan. Semuanya berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Tersangat cepat. Prinsip berturutan itu melambangkan gerak tertib yang ada dalam persilatan Silat Cekak.

Istilah tertib yang ada dalam SC melambangkan sifat gerak yang mengikut peraturan dan sangat teratur serta rapi. “Yang dahulu kita dahulukan dan yang kemudian kita kemudiankan”. Misalnya dalam serangan tangan. Semua gerak serangan tangan musuh, kita dahulukan dengan tepisan. Kemudiannya akan diikuti dengan gerak-gerak lain seperti pukulan dan kuncian. Gerak kita tidak bersifat gopoh. Semuanya dilakukan secara tertib. Satu persatu.

Kita boleh mengaitkan sifat ketertiban itu sebagai sifat pelajaran yang meliputi keseluruhan prinsip persilatan SC. Hal yang demikian melambangkan wujudnya sistem dalam proses pengajaran dan pembelajaran Silat Cekak. Istilah sistem pula adalah merujuk cara atau kaedah yang teratur untuk melakukan sesuatu. Dalam sistem itu terdapat falsafah, konsep dan prinsip yang mempunyai makna tersurat dan tersirat.

Saya selalu menyentuh tentang prinsip yang terkandung dalam sistem yang ada dalam SC. Pembelajarannya adalah bermula dari susah kepada mudah dan dari banyak kepada sedikit. Ada pemeringkatan dalam proses pembelajarannya. Akhirnya kita akan dapat membuat kesimpulan gerak yang ada dalam SC. Kebenaran gerak yang kita pelajari itu akan memudahkan kita memahami keputusan gerak dalam SC. Berdasarkan kupasan tersebut, jelas pada kita akan sifat pelajaran SC yang tersusun rapi. Hal yang demikian melambangkan sifat tertib dalam proses pembelajaran SC dalam kalangan penuntutnya.

Saya juga telah menyentuh dalam ungkapan yang lalu tentang konsep gerak. Silat ialah gerak. Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki. Pembelajaran SC ialah memahami gerak tangan dan kaki. Pelajaran kita adalah berfokus. Ada cara kita menggunakan tangan dan kaki untuk menghadapi musuh. Cara itu adalah merupakan peraturan. Maka peraturan itu juga adalah merupakan adab. Maknanya ada adab kita menggunakan tangan dan ada adab kita menggunakan kaki. Maka lahirlah ungkapan berikut yang berkaitan dengan adab penggunaan kaki dan tangan dalam persilatan Silat Cekak. Ungkapan itu akan saya huraikan dalam konteks Ungkapan Kesepuluh. “Tangan di tempat tangan. Kaki di tempat kaki”.

UNGKAPAN KESEPULUH:

Tangan Di Tempat Tangan, Kaki Di Tempat Kaki.

Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan ungkapan tersebut dalam konteks kefahaman saya bersilat dalam persilatan SC. Saya rasa, bolehlah dibuat renungan dan perkongsian ilmu bagi menambahkan kefahaman kita dalam SC.

Ungkapan itu tidak asing dalam kalangan pengamal SC. Hal yang demikian kerana falsafah yang ada di sebalik ungkapan itu adalah juga merupakan bentuk kefahaman yang dipupuk Ustaz dalam kalangan anak muridnya. Ustaz sering bercakap tentang ungkapan itu. Malah, dalam bentuk tulisan, Ustaz pernah menyentuh tentang ungkapan itu dalam majalah Dewan Masyarakat.

“Bila tangan digunakan tangan pula balasan, jika kaki, kakilah balasan tanpa menggunakan tangan menepis; tidak menggunakan tangan menepis serangan kaki”.

Pada kefahaman saya, kita boleh lihat betapa cantiknya susunan kata yang mempunyai falsafah di sebalik ungkapan itu. Apabila ada serangan tangan musuh maka serangan itu akan disambut oleh tangan pesilat. Begitu juga dengan serangan kaki yang akan disambut pula dengan kaki. Itulah prinsip adab dalam konsep tindakan gerak kaki dan tangan yang diamalkan dalam persilatan SC. Konsep adab itu melambangkan peraturan menggunakan kaki dan tangan.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menghuraikan konsep ‘badan umpama raja’. Kewibawaan raja akan sentiasa dipertahankan oleh askar-askarnya yang berlambangkan kaki dan tangan. Masing-masing telah ada pembahagian tugas. Sifatnya adil. Tangan dengan tangan dan kaki dengan kaki. Dalam konteks persilatan SC, kaki akan menghadapi musuh yang bersamaan sifat dengannya. Begitu juga dengan tangan yang akan bertindak pada serangan yang juga sama sifat dengannya.

Bagi maksud huraian seterusnya, saya membuat kesimpulan bahawa ungkapan tersebut boleh membawa kepada dua tafsiran. Pertamanya merujuk pada adab atau peraturan. Keduanya adalah merujuk pada peranan atau tanggungjawab. Dalam tulisan ini saya akan membincangkan kefahaman saya yang pertama itu terlebih dahulu.

Sebagai pengamal SC, kita perlu memahat kefahaman bahawa silat itu ialah gerak. Yang bergerak adalah kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki. Gerak tangan dan gerak kaki itu, ada peraturan-peraturannya. Kita boleh merujuk makna berperaturan itu sebagai cara sebenar kita menggunakan tangan dan kaki dalam pelakuan gerak dan adab penggunaannya dalam budaya tinggi bangsa kita.

Saya juga telah menegaskan betapa gerak SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Bukannya gerak yang dibuat- buat. Dalam konteks persilatan, gerak tersebut adalah merupakan gerak seni. Hal yang demikian membawa makna pergerakan tangan dan kaki adalah berdasarkan pergerakan semula jadi gerak kedua-dua jenis anggota badan tersebut. Kita tidak mereka-reka gerak atau memaksa gerak yang tertentu pada tangan dan kaki. Kebolehan menggunakan tangan dan kaki secara sempurna akan melambangkan ketinggian adab seseorang. Mereka yang beradab menggunakan kaki dan tangan adalah bermaksud mempunyai tingkah laku yang halus dan bersopan.

Dalam adab masyarakat Melayu, pelakuan yang baik selalunya dikaitkan dengan tangan kanan. Misalnya, pelakuan makan. Begitu juga dengan perbuatan memberi dan menerima. Manakala perbuatan yang dianggap ‘kurang baik’, akan digunakan tangan kiri. Misalnya, membasuh anu selepas membuang air besar, memegang benda-benda yang kurang menyenangkan dan sebagainya.

Peraturan yang ditentukan pada penggunaan tangan kiri dan kanan adalah melambangkan sifat tertib. Gerak yang bersopan santun dilahirkan melalui sifat gerak yang beradab. Hal yang demikian melambangkan sifat tanda hormat. Ada tatasusilanya. Sifat beradab adalah merupakan sifat budaya tinggi orang-orang Melayu. Sifat ini juga melambangkan sifat sopan santun. Bangsa Melayu sememangnya terkenal dengan sifat kesopanannya. Lambang tersebut terjelma dalam persilatan orang-orang Melayu. Sifat budaya tinggi orang-orang Melayu telah mempengaruhi bidang persilatan Silat cekak yang merupakan salah satu cabang budaya Melayu.

Masyarakat Melayu dulu-dulu sangat sensitif pada dua perkara. Pertamanya kaki dan keduanya penyapu. Kedua-dua benda tersebut perlu digunakan dengan betul. Kalau terkena penyapu, dikatakan boleh membawa sial. Terpaksalah mereka meludah penyapu tersebut sebagai cara untuk menghindari sial. Itulah kepercayaan yang ada dalam konteks budaya masyarakat kita. Begitu juga dengan penggunaan kaki. Masyarakat kita sangat sensitif dengan kaki. Kalau menunjuk sesuatu dengan menggunakan kaki, biadap namanya.

Dalam konteks persilatan dulu-dulu, mengangkat kaki melebihi pusat adalah dianggap biadab. Kita boleh lihat dalam persembahan silat permainan. Jika kaki diangkat, tangan akan mengampu kaki tersebut sebagai sifat beradab. Gerak kaki yang tinggi tetap dihindari. Malah, berdasarkan sifat gerak semula jadi, kaki tidak boleh diangkat tinggi. Jika melebihi parasnya, terpaksalah menggunakan kekuatan. Hal yang demikian akan menyanggah sifat semula jadi pergerakan manusia.

Berdasarkan perbincangan di atas, terbuktilah pada kita betapa SC amat mementingkan sifat tertib, beradab atau mengikut peraturan. Hal yang demikian adalah merupakan sifat budaya tinggi yang sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut SC sepanjang masa. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 24/06/2013 in Persilatan

 

61.6.2. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan bahawa zaman dulu-dulu, pemberatan pelajaran penggunaan senjata adalah berdasarkan senjata-senjata pendek. Semasa saya menjadi Jurulatih di pusat pun, pelajaran umum adalah menekankan penggunaan senjata pendek. Malah, semua persembahan SC adalah berdasarkan senjata pendek iaitu pisau dan tongkat ataupun cota. Termasuk persembahan, lawan yang menggunakan dua pisau dan dua tongkat. Hal yang demikian adalah bertepatan dengan ungkapan yang saya bincangkan dalam tulisan ini. Surat hanya perlu disekat secara menyekat posmen yang menghantar surat tersebut.

Kalaulah surat yang mula-mula disekat dan kemudiannya baru disekat posmen, nampak penyanggahan pada ungkapan tersebut. Susah kita hendak menjelaskan maksud ungkapan itu. Kecualilah jika kita menghubungkan konsep surat bukan sebagai suatu senjata, melainkan sebagai penumbuk manakala siku sebagai posmen. Tafsiran sendiri.

Saya mengimbau kembali latihan senjata semasa saya belajar dulu. Sebagai maksud berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Selepas ijazah potong, kami tertunggu-tunggu akan pelajaran potong. Pengetahuan mengenai pelajaran itu langsung tidak ada. Kami hanya diuar-uarkan betapa pelajaran potong adalah merupakan satu tingkat pelajaran yang lebih tinggi. Boleh mengatasi kehebatan buah-buah jatuh. Masanya tiba. Tetapi, harapan yang menggunung tidak tiba. Sebaliknya kami diperkenalkan dengan satu pelajaran yang asing dalam konteks pembelajaran tangan kosong. Pelajaran itu juga dinamakan sebagai pelari pisau.

Sepanjang ingatan saya, hanya sebiji sahaja buah pelari pisau yang diajar pada kami. Buah yang diguna pakai ialah buah Gayung Patani sahaja. Teknik buah Gayung Patani dalam pelajaran pelari pisau adalah berbeza dengan buah Gayung Patani dalam pelajaran buah jatuh. Dalam pelajaran pisau, gerak mengambil buah itu adalah secara makan gerak dalam gerak. Tak boleh tunggu-tunggu gerak. Tidak bermalam gerak sebelum bertindak.

Hal yang demikian tentunya berbeza ketika pelajaran Gayung Patani semasa pelajaran buah jatuh. Kita menunggu gerak tindak balas lawan. Gerak kita adalah secara bermalam tetapi dalam keadaan siap sedia. Menanti tindak balas lawan. Kecuali sepakan kaki yang kita larang. Cepat tindak balas lawan maka begitulah cepatnya tindakan balas yang kita lakukan pada mereka.

Perkembangan pelarasan berikutnya, menyaksikan pemberian buah menghadapi serangan pisau ditambah menjadi dua. Termasuk buah Pasung Kemanga. Dasarnya, semua buah itu menggunakan kaedah gelek. Mungkin kaedah itu lebih praktis dalam konteks penuntut SC baharu sahaja menguasai pelajaran Kaedah. Pengamalan menepis serangan tumbukan masih baru berputik. Belum matang. Selalu tersasul ketika menepis. Kalau Kaedah A, biasanya angin yang ditepis. Oleh itu, gerak gelek lebih sesuai buat penuntut yang masih baru. Buah-buah pisau yang lain, hanya dipelajari semasa pelajaran umum.

Teringat peristiwa Ustaz pernah ‘turun padang’ dalam salah satu kelas SC yang saya kendalikan. Kebetulan kelas malam itu ialah pelajaran potong. Secara kebetulan juga, Ustaz tidur di cawangan setelah ijazah potong pada malam sebelumnya. Ustaz tidak balik selepas ijazah. Hal yang demikian adalah merupakan satu kebiasaan Ustaz setiap kali majlis ijazah di cawangan saya. Kemungkinan besar Ustaz boleh berbuat demikian kerana kelas-kelas SC di luar Kuala Lumpur tidak banyak. Kalau tak salah saya, cawangan luar cuma ada di Perak, Pahang, dan Pulau Pinang.

Saya kira para penuntut bernasib baik menerima pelajaran pelari pisau dari Ustaz sendiri. Selepas menerima buah Gayung Patani sebagai buah pelari pisau, Ustaz menunjukkan pula gerak aplikasi penggunaan pisau. Ustaz menyuruh dua orang penuntut meletakkan pisau di rusuknya di bahagian sisi kanan dan kiri. Maknanya, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi sebelah kiri. Sepantas kilat, Ustaz mengambil Kaedah A secara gelek pada salah seorang penuntut yang menggunakan pisau itu. Dengan kaedah yang tepat, pisau yang terhunus di tangan pesilat itu menghala kepada pesilat yang seorang lagi.

Kaedah yang ditunjuk Ustaz adalah bertepatan dengan ungkapan yang diucapkan. Tumpukan perhatian pada punca gerak pisau tersebut. Sekat ‘posmen’ terlebih dahulu maka matilah punca gerak tersebut. Jangan ambil kira surat yang ada di tangan.

Oleh sebab Ustaz sendiri yang ‘menurunkan’ pelajaran tersebut, gerak itu dijadikan latihan pada para penuntut di kelas-kelas yang terlibat dengan pelajaran pelari pisau di bawah kelolaan saya; di samping buah Gayung Patani. Dua pelajaran sahaja sudah mencukupi bagi menepati syarat pelajaran pelari pisau. Hal yang demikian menguatkan lagi pembuktian kepada ungkapan, “Tangan Umpama Posmen, Senjata Umpama Surat. Sekat Posmen Maka Tersekatlah Surat”.

Menyentuh serangan pisau dalam tulisan ini, saya tidak boleh melupakan rakan seangkatan yang sangat mahir menggunakan pisau. Pasangan Tombei dan Nordin. Mana-mana pertunjukan SC yang melibatkan persembahan senjata pisau, pasti akan melibatkan mereka. Ketika itu persembahan senjata hanya terhad pada penggunaan pisau dan tongkat. Termasuk dua pisau dan dua tongkat. Persembahan tongkat panjang belum ada. Tak ada idea lagi pada kumpulan pelarasan utama. Ilham belum datang.

Komitmen pasangan tersebut sangatlah hebat. Terkenang satu persembahan di Padang Kota, Pulau Pinang. Dalam keadaan yang tidak stabil, pasangan tersebut masih boleh meneruskan persembahan. Tidak stabil kerana terlebih pukulan. Selepas persembahan, kami mendapatkan mereka. Setelah tenang lama, barulah pulih ingatan salah seorang daripada mereka. Begitulah komitmen mereka bagi meneruskan persembahan walaupun terpaksa berhadapan dengan rintangan. Saya difahamkan, kini salah seorang dari mereka telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya. Amin.

Berbalik semula kenangan semasa saya menuntut dulunya. Pelajaran pisau tidak diajar secara terperinci dalam pelajaran umum. Kemungkinan besar akibat kekangan masa. Mungkin juga kesediaan penuntut untuk menerima pelajaran tersebut, tidak mencukupi. Baru tamat. Pelajaran secara ekspres. Hanya tiga bulan bagi menghabiskan semua sukatan pelajaran. Cuma, tahun berikutnya, mereka yang terlibat dengan persembahan SC, berpeluang mengambil kesempatan mempelajari buah-buah pisau yang menggunakan kaedah yang pelbagai.

Bukan semua penuntut yang berminat dengan pelajaran pisau. Lebih-lebih lagi pada mereka yang sememangnya takut pada penggunaan senjata tajam. Nampaknya, mereka berpuas hati setakat pelajaran SC yang diberi. Tak berlatih senjata pisau pun tak mendatangkan kesan pada mereka. Tak terasa apa-apa kekurangan dalam pembelajaran SC. Walau bagaimanapun, dari segi tanggungjawab persilatan, pembelajaran SC telahpun merangkumi pengetahuan tentang pelajaran pisau tatkala pembelajaran potong yang lalu. Maknanya pelajaran senjata pisau telah diajar pada semua penuntut. Bagi maksud mendalami pelajaran senjata pisau, terpulang pada kehendak penuntut. Ada juga dalam kalangan penuntut yang membuat latihan sendiri. Hal yang demikian meliputi latihan bagi mengaplikasikan kaedah lain mengambil serangan pisau berdasarkan arah tikaman. Atas, tengah, sisi dan tikaman bawah.

Tumpuan pelajaran senjata ketika peringkat umum di kelas saya, lebih pada pembelajaran tongkat pendek. Kami gelar pelajaran itu sebagai pukulan cota. Ketika itu penggunaan cota adalah sangat meluas dalam kalangan pengawal keselamatan. Oleh itu, pengetahuan tentang wujudnya penggunaan senjata tongkat pendek telah ada dalam pengetahuan para penuntut. Tongkat panjang sebagai senjata, langsung tak popular.

Ada dua bentuk latihan yang dilakukan. Satu, dalam keadaan berdiri dan satu jenis latihan lagi adalah dalam keadaan duduk. Posisi duduk, kami gelarkan sebagai duduk ‘macam orang kalah judi’. Sepontan timbulnya istilah duduk sedemikian. Duduk dalam keadaan kaki menegak. Manakala kedua-dua tangan berada di belakang untuk mengampu badan.

Dalam keadaan berdiri, buah-buah yang ada sekarang adalah merupakan pelajaran yang biasa dipraktikkan pada masa itu. Arah serangan adalah sama dengan serangan pisau. Lain aras serangan maka lainlah buah yang digunakan. Dalam masa yang sama, kami berlatih menggunakan dua tongkat secara pelajaran petua. Sistem dua tongkat bermaksud pesilat dan pasangannya menggunakan tongkat. Pembelajarannya hanya terhad pada tongkat. Tidak melibatkan pisau.

Manakala dalam keadaan duduk, tumpuan diberi pada satu jenis serangan sahaja. Lawan akan memukul di bahagian kepala pesilat yang sedang duduk. Dalam proses gerak yang segerak, kaki kiri pesilat akan menyepak pelipat lawan diikuti dengan gerak kaki kanan pesilat yang diletakkan pada siku tangan kanan lawan yang memukul. Kaki itu juga akan menerjah bahagian rusuk lawan. Perkara penting, pesilat jangan sesekali mengelak akan kepalanya. Dalam gerak itu kaki yang merupakan posmen perlu disekat terlebih dahulu. Maka surat yang berupa tongkat akan terhalang daripada sampai ke destinasinya.

Penggunaan senjata panjang seperti tongkat panjang, parang dan pedang tidak pernah dijadikan latihan ketika itu. Hatta dalam pertunjukan SC. Sesuailah maksud kefahaman yang kami terima daripada Ustaz tentang konsep ‘posmen dan surat’. Semuanya bergantung pada penggunaan senjata pendek dari serangan pihak lawan. Seperti yang dikata, ilham menggunakan senjata panjang belum menjelma lagi dalam fikiran ‘pakar’ penyelaras utama SC ketika itu. Hatta, senanglah kami memberi penekanan akan konsep yang bertepatan dengan prinsip, ‘surat dapat disekat secara menyekat kehadiran posmen.’ Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 20/06/2013 in Persilatan

 

61.6.1. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan maksud ungkapan itu dalam dua tafsiran berdasarkan bentuk kefahaman yang berlainan. Secara tersurat dan secara tersirat. Secara tersurat, konsep posmen dan surat adalah berkaitan dengan senjata pendek yang dihantar lawan melalui serangan tangan. Senjata itu dianggap surat manakala tangan yang menghantar dikiaskan sebagai posmen. Prinsip menepis tangan adalah merupakan perkara utama. Jika tangan berjaya ditepis maka badan akan terselamat dari sebarang kemudaratan senjata yang dihantar.

Nampaknya, kupasan konsep ini secara faham selapis cuba diluaskan berdasarkan tafsiran, kefahaman dan huraian lain. Ada yang mengkiaskan penumbuk sebagai surat dan siku sebagai posmen. Kebenarannya, konsep posmen dan surat adalah berkaitan penggunaan senjata pendek. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa tidaklah menjadi kesalahan jika konsep ini diaplikasikan dalam pelbagai situasi yang lain asalkan kita faham asal usul timbulnya konsep tersebut.

Fahaman tersirat atau fahaman berlapis menuntut kita mencari dan memahami punca gerak sebelum bertindak. Punca gerak itulah merupakan asas atau perdu kepada gerak-gerak yang lain. Kalau diibaratkan punca gerak itu sebagai posmen, maka posmenlah yang memainkan peranan penting membentuk jaringan komunikasi dengan pihak lain. Tanpa posmen, semua jaringan komunikasi itu akan tergendala. Oleh itu, posmenlah punca segala-galanya dalam konteks hubungan tersebut.

Pada kefahaman saya, konsep punca gerak juga dapat dikaitkan dengan hakikat gerak. Pada pengertian istilah, hakikat membawa makna kebenaran atau kenyataan. Sifat hakikat adalah sesuatu yang sebenar-benarnya dalam konteks sifat yang tertentu. Mencari kebenaran adalah merupakan satu punca ilmu. Alatan kerusi, meja, almari dan katil adalah merupakan perabut yang mempunyai nama yang pelbagai. Kebenarannya, semuanya diperbuat daripada kayu. Itulah hakikat perabut.

Kita sering mendengar kiasan dalam pepatah tentang pemberian bantuan kepada orang miskin. Daripada memberi ikan, lebih baik diberi alat menangkap ikan untuk menjamin keselesaan hidup yang berpanjangan. Pada mereka yang memerlukan bantuan; kalau diberi ikan, akan hanya berupa penyelesaian jangka pendek. Tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar. Penyelesaian pada punca masalah itu adalah sesuatu yang lebih baik dan lebih praktikal.

Begitu juga dengan sifat pening kepala atau sakit demam. Penyakit-penyakit itu mungkin berupa gejala pada satu penyakit yang tertentu. Kalau setakat menghilangkan pening, mungkin punca pening terus ada. Tak akan hilang. Misalnya penyakit darah tinggi. Kalau penyakit itu yang diubati, gejala penyakitnya akan hilang terus. Hanya ahli perubatan yang dapat mencari punca penyakit tersebut.

Sifat mencari punca gerak adalah salah satu pelajaran yang amat penting dalam pembelajaran Silat Cekak. Kita dapat memintas atau menghalang gerak lawan kerana kefahaman kita yang memberatkan punca gerak. Pelajaran mengenai punca gerak ini adalah bersepadu dengan pelajaran SC. Penyampaiannya adalah secara tidak langsung dan secara tidak disedari oleh para penuntut. Mereka yang boleh berfikir sahaja akan dapat memahami konsep punca gerak yang dipupuk pada gerak mereka sendiri.

Konsep punca gerak ini dapat dilihat sama ada dalam sistem pertahanan mahu pun dalam sistem serangan persilatan kita. Dalam sistem pertahanan, saya telah sentuh dalam perbincangan di atas. Serangan pihak lawan adalah berpunca dari gerak tangan dan gerak kaki mereka. Kalau tangan yang menyerang maka tepisan atau tangkisan tangan yang merupakan punca gerak pada serangan tangan adalah jelas. Kaedah yang empat adalah bertepatan dengan prinsip mematikan punca gerak yang ditimbulkan tangan itu.

Begitu juga dalam sistem serangan kita. Dalam pelajaran potong, punca gerak lawan menangkis tumbukan kita adalah dari gerak tangannya sendiri. Punca gerak itu yang kita matikan. Tidak perlu risau akan apa yang hendak dibuat oleh pihak lawan ketika kita melepaskan tumbukan. Memati akan punca gerak itu membawa makna bahawa semua gerak susulan yang dirancang lawan tidak akan menjadi.

Ketika kita menyerang dengan menggunakan tumbuk serang, prinsip yang sama adalah diambil kira. Kita akan dapat mengetahui punca gerak lawan sama ada dari gerak kaki atau gerak tangannya. Punca gerak itulah yang memberi isyarat kepada gerak badan atau gerak-gerak lain yang mereka rancangkan. Menguasai punca gerak akan membolehkan kita membuat tindakan secara memintas gerak lawan dengan tepat.

Jika lawan bertapak, kemahiran menguasai punca gerak akan memberi banyak kelebihan pada tindakan gerak pengamal SC. Hal yang demikian menyebabkan hantaran tumbukan kita adalah secara strategik. “Kalau pintu rumah sengaja dibuka, lebih baik masuk melalui tingkap. Jangan terperangkap”. Sebabnya ialah kita tahu akan punca gerak yang bersifat mengumpan. Maka mudahlah kita membuat keputusan untuk mematikan gerak lawan. Itulah salah satu kelebihan yang ada dalam persilatan SC. Mengkaji punca gerak. Hanya berkesan pada mereka yang memahaminya.

Setelah saya tamat silat, barulah saya faham betapa mengelak badan ketika serangan senjata, banyak mudaratnya. Pada ketika itu juga barulah saya faham akan keperluan menangkis serangan senjata dalam keadaan badan yang statik. Tidak melangkah untuk mengelak badan. Patutlah Ustaz beria membuktikan betapa pentingnya tepisan senjata dilakukan tanpa mengelak. Itulah kefahaman yang terhasil ekoran pertemuan saya dengan Ustaz satu ketika yang lalu. Kalau tangan kosong yang menyerang telah pasti kenanya, apatah lagi jika pengamal SC menggunakan senjata.

Arkian, tidak hairanlah jika pelajaran pisau diperkenalkan sebagai tanda isyarat ketika mula pelajari buah potong. Pelajaran itu juga dikenali sebagai ‘pelari pisau’. Kadang-kadang kita terfikir kenapa diperkenalkan pelajaran pisau ketika pelajaran potong. Tidak juga senjata-senjata lain. Tak kiralah senjata tongkat atau senjata-senjata lain. Latihannya juga adalah terhad jangka waktunya. Malah, pelajaran pisau juga diperturunkan melalui beberapa buah yang tertentu. Pelajaran berkenaan tiba-tiba muncul di tengah pelajaran. Setelah diperkenalkan pelajaran pisau, pembelajaran tangan kosong secara potong pula yang diteruskan. Tinggallah pelajaran pisau di ‘pertengahan jalan’. Hingga masuk pelajaran buah umum baharulah pelajaran senjata dilatih semula.

Sekurang-kurangnya kita boleh membuat kesimpulan. Pelajaran pisau perlu dilatih sebelum penuntut SC diperkenalkan dengan pelajaran serang terutamanya pelajaran tumbuk serang. Apabila penuntut menguasai tumbuk serang, kita khuatir gerak tumbukannya akan mempengaruhi gerak tikaman senjata. Parah jawabnya kerana kemungkinan besar pesilat tidak dapat mengawal gerak serangan. Alangkah bahayanya gerak yang sedemikian kepada pasangan latihannya itu. Pada pandangan saya, situasi yang sedemikianlah menyebabkan pelari pisau diperkenalkan terlebih dahulu sebelum pelajaran serang. Hal yang demikian adalah sebagai petanda bahawa tikaman yang dilakukan oleh pengamal SC adalah berkesan dan sangat berbahaya.

Atas sifat badan kita tidak mengelak ketika lawan melakukan serangan bersenjata, membawa makna betapa pentingnya gerak tepisan dilakukan secara mantap, penuh keyakinan dan secara kesungguhan. Kebenaran yang dituntut ialah tidak ada sebarang kesalahan langsung ketika melakukan gerak tepisan. Lebih-lebih lagi jika tepisan tersebut menggunakan kaedah A tanpa ada sebarang sifat gelek. Kalau tepisan tangan kosong memerlukan ketepatan dan ketangkasan, apatah lagi jika serangan bersenjata dilakukan pihak lawan. Konsep segerak yang saya bincangkan dalam tulisan terdahulu, memerlukan kemantapan gerak. Konsep segerak itu pula perlu dilakukan dalam proses gerak lawan.

Jelaslah pada kita betapa latihan menggunakan senjata perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Tidak kiralah sama ada menggunakan pisau atau tongkat. Sifat utamanya ialah senjata pendek. Hatta mulakan latihan secara menggunakan senjata pendek terlebih dahulu. Jangan gopoh mempelajari senjata-senjata panjang jika penguasaan senjata pendek masih belum mantap.

Secara praktisnya, senjata pendeklah yang mudah dibawa oleh musuh-musuh masyarakat. Boleh disorok di bahagian-bahagian badan. Saya tak pernah nampak orang membawa parang secara terselit di mana-mana bahagian badan. Nampak janggal. Melainkan tujuan mereka ingin menebas di hutan. Ataupun membawa tongkat panjang sebagai senjata. Orang-orang tua sahaja yang bertongkat panjang. Habis panjang pun sebagai tongkat mengampu badan. Masih kategori pendek. Tak pernah tengok orang yang bertongkat secara menggunakan tongkat panjang.

Hal yang demikian menyebabkan latihan menggunakan senjata pendek adalah lebih praktikal dilakukan dalam kelas-kelas latihan kemahiran. Kebolehan mengatasi serangan senjata pendek boleh dijadikan satu kebanggaan. Boleh dijadikan satu kemegahan. Bukannya kebolehan mengatasi serangan senjata panjang. Penggunaan senjata panjang hanyalah sebagai maksud memuaskan hati penonton yang menyaksikan persembahan. Misalnya tongkat panjang. Saya sendiripun tidak pernah diberi latihan secara menggunakan tongkat panjang, pedang, tombak atau sebagainya dalam kelas-kelas latihan SC. Tak ada pemberatan langsung. Tidak praktikal dalam konteks penggunaan senjata dalam masyarakat harian kita. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 17/06/2013 in Persilatan

 

61.6.0. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

Saya terkenang peristiwa tatkala berjumpa Ustaz buat pertama kalinya untuk mengetahui tentang Silat Cekak dengan lebih mendalam. Peristiwa berlaku pada tahun 1975. Pertemuan itulah yang membawa kepada pembukaan kelas SC di Universiti Malaya. Itulah kelas SC yang pertama kali dibuka di pusat pengajian tinggi. Selepas itu diikuti dengan pembukaan kelas SC di ITM Shah Alam dan seterusnya di pusat-pusat pengajian yang lain.

Dalam pertemuan pada suatu malam itu, saya datang bertiga. Termasuk En Abu Hamid. Manakala di pihak Ustaz hanya seorang orang kanannya yang turut bersama iaitu En. Ghazali. Beliau juga merupakan Setiausaha Agung, Persatuan Silat Cekak ketika itu. Dalam pertemuan pada malam itu, banyak perkara yang dibincang. Pemberatan isi perbincangan ialah mengenai Silat Cekak. Pada satu-satu ketika, Ustaz terpaksa berpasangan dengan En Ghazali bagi membuat penerangan dan penjelasan mengenai SC apabila melibatkan pembuktian secara praktikal.

Salah satu isi perbincangan pada malam itu adalah berkaitan dengan penggunaan senjata. Penekanan Ustaz adalah penggunaan senjata pisau dan cota yang begitu popular penggunaannya dalam kalangan masyarakat. Istilah cota adalah bermakna tongkat yang dirujuk pada kayu pendek yang digunakan sebagai senjata. Ada kalanya dipanggil dengan istilah belantan. Penggunaan keris, wali, kerambit atau tongkat panjang adalah sangat kurang popular dalam konteks masyarakat. Sama ada untuk tujuan baik atau sebaliknya. Kalau ada berita yang berkaitan dengan kes-kes jenayah, akan dikaitkan dengan pisau. Tak pernah dengar penggunaan keris atau wali atau kerambit. Maka tidak hairanlah jika penekanan perbincangan pada malam itu adalah berkisar pada penggunaan pisau dan tongkat.

Dalam masa perbincangan tersebut, maka lahirlah ungkapan Ustaz yang berhubung kait antara surat dengan posmen. Maka dalam perbincangan seterusnya dalam tulisan ini, saya akan bincangkan ungkapan itu sebagai ungkapan yang kesembilan berkaitan konsep surat dan posmen tersebut.

UNGKAPAN KESEMBILAN:

Tangan Umpama Posmen, Senjata Umpama Surat.
Sekat Posmen Maka Tersekatlah Surat.

Sebelum saya menyentuh tentang konsep posmen dan surat, terlebih dahulu saya akan menceritakan pengalaman pertama saya tatkala mendengar penerangan Ustaz mengenai Silat Cekak. Banyak perkara baru yang berkaitan dengan bidang persilatan silat Melayu. Boleh dikatakan bahawa penerangan Ustaz secara umum tentang SC pada malam itu adalah begitu asing daripada pengetahuan saya yang ada. Perkara baru.

Selama ini pengetahuan silat yang ada pada saya, menyimpulkan bahawa pergerakan silat yang wujud adalah terbahagi kepada dua. Satu ialah silat permainan atau silat pulut atau silat pengantin. Manakala satu lagi ialah silat tempur. Silat pulut ada buah dan tarinya dan sering kali diiringi dengan muzik. Namun begitu, jenis silat berkenaan kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang-orang muda. Hal yang demikian kerana ketika itu pengaruh filem tentang seni bela diri dari Hong Kong adalah hebat sekali. Macam tak terlawan silat Melayu berdasarkan persembahan hebat seni bela diri yang ditayangkan melalui filem-filem tersebut.

Demi kecintaan yang kekal pada silat Melayu, silat bercorak tempur mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu. Ketika itu, silat tempur yang popular ialah Lincah dan Gayung. Kedua-dua silat itu sentiasa bersaing dalam proses menaikkan semangat masyarakat Melayu supaya mereka berbangga dengan seni bela diri orang-orang Melayu yang telah lama wujud ketika itu. Secara umumnya, prinsip gerak kedua-dua seni bela diri tersebut adalah lebih kurang sama sahaja. Ada gerak pertunjukan yang dikenali sebagai gerak pentas. Gerak silat-silat itu masih terikat dengan budaya seni bela persilatan Melayu. Masih ada tari silat, sifat langkah-melangkah dan kedudukan secara berkuda-kuda.

Seperti yang saya katakan terdahulu, penerangan Ustaz tentang SC adalah begitu asing dengan pengetahuan silat yang sedia ada dalam pemikiran saya. Rupa-rupanya, dalam proses perkembangan persilatan Melayu yang sebegitu rupa, maka muncul pula Silat Cekak yang menyanggah gerak silat yang sedia ada dalam pesilatan Melayu. Banyak sifat keluarbiasaan dari kebiasaan gerak silat yang ada. Begitulah kesimpulan saya apabila mendengar penerangan Ustaz mengenai Silat Cekak.

Timbul sifat ingin mengetahui tentang SC secara lebih lanjut dan secara lebih mendalam. Sifat gerak luar dari kebiasaan gerak yang diceritakan Ustaz mengenai Silat Cekak membuktikan keistimewaan yang ada pada silat Cekak itu sendiri. “Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya.”

Banyak persoalan yang saya timbulkan pada malam itu. Semuanya dijawab Ustaz secara teori dan secara praktikal melalui teman Ustaz yang ada pada malam itu. Sedikit sebanyak penerangan Ustaz telah manarik perhatian saya. Banyak ungkapan yang diucap Ustaz bagi menghuraikan falsafah, konsep dan prinsip Silat Cekak.

Salah satu persoalan yang saya timbulkan ialah mengenai penggunaan senjata. Ustaz membuat penerangan secara praktikal. Saya berasa kagum atas kemampuan SC menghadapi serangan senjata. Tak mengelak ke mana-mana arah. Badan tetap statik sahaja. Tangan yang memainkan peranan membuat tangkisan. Namun begitu, hati kecil saya tetap berkata-kata. Bukan mudah untuk menghadapi serangan tersebut dalam keadaan badan berada sedemikian sifatnya.

Sistem menangkis serangan pisau atau sebarang senjata dalam SC tentunya berbeza dengan persilatan Melayu yang sedia ada. Serangan senjata lawan mudah diatasi mereka kerana faktor elakan yang merupakan gerak berkesan untuk menyelamatkan tubuh badan dari kecederaan atau kemudaratan. Tikamlah atau pukullah sebanyak mana sekalipun. Sifat melangkah yang ada akan dapat menyelamatkan diri dari terkena tikaman atau pukulan.

Nampaknya, sifat gerak yang sedemikian tidak ada dalam SC. Gerak persilatan SC tidak mengelak ke kiri atau ke kanan atau ke mana-mana arah elakan. Dalam keadaan badan tidak bergerak, pengamal SC perlu mengatasi serangan senjata. Situasi itulah yang menyebabkan hati berkata-kata. Bukan mudah untuk berbuat gerak yang sedemikian. Itulah persoalan yang timbul dalam pemikiran saya. Mungkin guru saja yang berkemampuan berbuat demikian. Adakah anak muridnya juga akan berkebolehan seperti mana yang Ustaz lakukan.

Kerut di muka saya dibaca Ustaz. Saya yakin bahawa keraguan saya itu telah terpancar pada muka. Nampaknya, hal yang demikian telah memberi petanda kepada Ustaz untuk memberi keyakinan seterusnya kepada saya. Sekali lagi Ustaz membuktikan kelebihan SC menghadapi serangan senjata tanpa perlu membuat elakan. Secara berpasangan dengan orang kanan Ustaz yang ada pada malam itu, Ustaz memperhalusi lagi gerak menghadapi senjata secara penerangan dan secara praktikal. Maka lahirlah ungkapan yang saya nyatakan di atas bagi memahamkan lagi keraguan yang timbul di hati saya.

Pembuktian secara teori, dijelaskan Ustaz melalui konsep posmen dan surat. Saya yakin bahawa penggunaan istilah posmen dan surat, ada kaitan dengan suasana dan tuntutan masa itu. Ketika itu peranan posmen menghantar surat adalah merupakan komunikasi yang sangat berkesan. Umumnya, perkhidmatan pos sahaja yang berperanan sebagai saluran yang ada. Penggunaan E mail atau facebook masih belum ada lagi. Maka kiasan Ustaz tersebut mudah difahami dalam konteks situasi ketika itu. Mudah difahami dan mudah dijadikan kiasan. Senang faham.

Pada fahaman selapis, surat yang dibawa posmen pastinya gagal dihantar pada penerima jika proses penghantarannya digagalkan. Maknanya, jika posmen itu sendiri disekat dari berbuat demikian maka kerja buatnya akan gagal. Tak perlu ternanti-nanti ketibaan surat untuk bertindak. Jangan pedulikan surat. Ambil kira posmen yang menghantar surat.

Dalam konteks persilatan, jika ingin menyekat ‘penghantaran’ senjata pendek maka sekat saja tangan yang menghantarnya. Kita tidak perlu memberi tumpuan pada senjata yang dihantar. Bukan perkara utama. Tangan yang ‘menghantar’ senjata itulah merupakan perdu gerak yang utama. Punca gerak dari tanganlah yang perlu dipintas terlebih dahulu. Dalam hal ini, kaedah yang ada dalam pelajaran SC adalah mampu untuk berbuat demikian. Dapat menepis atau menangkis serangan tangan lawan yang bersenjata.

Kalau difahamkan secara berlapis, ungkapan Ustaz itu memberi makna yang tersendiri. “Cari punca gerak dan bertindaklah pada punca gerak tersebut”. Jangan pedulikan ‘ranting’ gerak. Itulah kesimpulan ungkapan itu pada saya. Jika punca gerak dapat ‘dimatikan’, maka gerak kita seterusnya akan tetap menjadi. Tidak ada halangan besar lagi.

Tumbukan atau senjata yang ‘dihantar’ pada kita adalah berpunca dari tangan. Oleh hal yang demikian menyebabkan keperluan kita memberi fokus pada tangan yang menjadi punca gerak tersebut. Jika punca gerak dapat diatasi maka gerak-gerak yang lain akan dapat disekat. Gerak-gerak yang lain itulah yang saya maksudkan sebagai ranting-ranting gerak. Itulah gerak pelbagai yang boleh dibuat akibat punca gerak yang tidak disekat. Jika punca gerak dapat dimatikan maka gerak-gerak yang lain akan kecundang begitu sahaja. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 13/06/2013 in Persilatan

 

61.5.2. KENALI SILAT CEKAK – Sambungan Badan Umpama Raja.

Pegangan Konsep Makan Gerak.

Seperti yang saya katakan, perasaan sakit telah diterima sebagai sebahagian daripada pekej pembelajaran SC. Tak ada sifat komplain pun. Itupun, rasa sakit itu akan hanya timbul jika pembelajaran Kaedah dilakukan secara bersungguh dan secara tepat dan benar. Maknanya, tidak ada unsur-unsur mengelat atau unsur-unsur untuk ‘menyelamatkan diri’ ketika berlatih. Dalam proses pembelajaran Kaedah, tumbukan pasangan mesti tepat ke bahagian yang dikehendaki. Jangan dilayang-layangkan tumbukan.

Saya sentiasa mengingatkan para Jurulatih yang membantu saya dalam pengendalian kelas-kelas latihan. Atas dasar pentingnya pelajaran Kaedah maka timbullah kesedaran untuk memberi latihan gerak tepisan tangan secara secukupnya pada para penuntut. Buatlah latihan secara bersungguh atas kebenaran gerak yang sepatutnya. Teknik mengambil Kaedah biarlah betul. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam kebanyakan tulisan yang lalu.

Zaman saya belajar dulu, pembelajaran Kaedah dilakukan secara ‘bersungguh’ tanpa gopoh. Walaupun pembelajaran kami hanya memakan masa selama tiga bulan, pelajaran Kaedah tetap disampaikan dalam empat kali latihan silat. Setelah wujud penguasaan mantap pada Kaedah, tidak hairanlah pelajaran-pelajaran berikut, ada yang disampaikan secara berganda. Melibatkan penurunan lebih daripada satu buah pada masa-masa yang tertentu.

Corak pengajaran sedemikian sentiasa saya kekalkan semasa mengendalikan kelas-kelas latihan SC di cawangan saya. Para Jurulatih sangat memainkan peranan penting ketika proses penurunan pelajaran Kaedah. Saya mengambil pendekatan, setiap penuntut perlu berlatih dengan Jurulatih sehingga Jurulatih itu berpuas hati atas kebolehan dan penguasaan pelajaran anak didiknya. Setelah berpuas hati, baharulah pesilat dibenarkan berlatih dengan pasangannya.

Saya imbau kembali corak latihan Kaedah yang pernah saya lakukan dalam kelas-kelas latihan SC. Mula-mula tangan pesilat diletakkan di dada Jurulatih. Untuk Kaedah A, Jurulatih akan membuat penerangan tentang kelebihan Kaedah A tersebut. Setelah itu baru diterangkan cara atau teknik mengambil kaedah berkenaan dalam keadaan tangan pesilat masih berada di dada Jurulatih.

Buatlah penerangan secara teliti. Ambillah masa yang panjang untuk membuat penerangan berdasarkan keupayaan kefahaman penuntut. Setiap pesilat diberikan penerangan. Kalau ada dua puluh pesilat maka penerangannya adalah sebanyak dua puluh kali. Jangan pulak hanya sekali penerangan untuk dua puluh pesilat. Biar mereka berkali-kali mendengar penerangan sedemikian. Kalau dah diulang-ulang beberapa kali, pasti akan terpaut dalam pemikiran mereka.

Setelah Jurulatih berpuas hati bahawa pesilat yang dipandunya telah benar-benar faham maka Jurulatih itu memulakan proses penurunan ilmu Kaedah A. Tangan Jurulatih pula diletakkan di dada pesilat. Kaki kanannya juga turut berada di hadapan dalam keadaan situasi tumbukan. Kita tidak menggalakkan pesilat yang menumbuk Jurulatih. Bukan itu maksudnya penurunan ilmu. Yang nak belajar menepis bukannya Jurulatih, tapi pesilat itu sendiri. Oleh itu, Jurulatihlah yang berperanan membuat tumbukan.

Apabila Jurulatih itu berpuas hati dengan tepisan Kaedah A dalam keadaan tangan Jurulatih masih statik di dada pesilat maka barulah Jurulatih akan membuat tumbukan. Ketika itu, jika ada soalan penuntut, layanlah pertanyaan mereka itu terlebih dahulu. Pada peringkat awal tumbukan, keadaan kaki kanannya masih tidak bergerak. Masih berada di hadapan. Hanya tangan yang dihayun ke dada pesilat. Buatlah secara berulang-ulang hingga timbul kepuasan pada kedua-dua pihak. Jurulatih dan pesilat.

Sekali lagi apabila Jurulatih berpuas hati dengan teknik tepisan yang sedemikian maka baharulah Jurulatih itu membuat tumbukan sebenar secara kaki kanan ditarik untuk bermula gerak dari belakang dan maju ke depan. Pelahan-perlahan dan kemudian laju, lajuu dan semakin lajuu. Kalau pesilat seakan ‘fumble’ mengambil buah, Jurulatih akan memperlahankan semula tumbukan hingga pesilat akan berada dalam momentum yang sepatutnya. Maka barulah dimulakan balik tumbukan secara laju dan laju.

Setelah pesilat itu mengambil buah Kaedah A, dia perlu tunggu untuk melihat pasangannya pula mengambil buah Kaedah berkenaan. Sekali lagi Jurulatih akan membuat penerangan yang sama dan gerak tumbukan yang sama. Tanpa jemu. Setelah pasangannya ‘mendapat’ buah berkenaan baharulah pesilat itu berpasang untuk membuat latihan. Ketika itu jika ada Jurulatih lain bersama-sama mengendalikan kelas maka pasangan berkenaan akan berlatih di bawah pengawasan Jurulatih tersebut. Jika pasangan pesilat bertambah maka terpaksalah pembantu jurulatih mengawasi secara keseluruhan ketika Jurulatih utama menurunkan pelajaran Kaedah.

Setelah semua proses penurunan Kaedah selesai, biarlah para pesilat membuat latihan. Jika ada yang membuat soalan, layan dengan sepenuh hati. Dalam satu-satu ketika, Jurulatih boleh berlatih bersama pesilat secara menjadi pasangan kepada pesilat berkenaan. Hanya Jurulatih yang membuat tumbukan. Apabila hampir tamat masa kelas berkenaan, barulah dibuat barisan. Bilanglah berkali-kali dengan momentum bilang secara perlahan kepada laju dan terus laju. Cara pengajaran Kaedah-Kaedah tersebut berterusan dengan Kaedah B, C dan D.

Setelah habis kesemua pelajaran Kaedah, malam latihan berikutnya adalah merupakan malam ujian. Maksudnya, ‘Ujian Kaedah’. Ketika ini saya pastikan ramai Jurulatih atau pembantu Jurulatih yang ‘turun padang’. Setiap penuntut akan diuji pada semua pelajaran Kaedah yang diperolehnya. Biasanya setiap pesilat akan melibatkan lima hingga sepuluh minit ujian. Semuanya bergantung pada kemampuan diri pesilat itu sendiri.

Dalam konteks ujian, saya sentiasa ingatkan para Jurulatih. Pada dasaranya, kita boleh menaikkan atau menambahkan keyakinan para penuntut pada pelajarannya. Kita juga boleh melunturkan keyakinan anak didik kita pada pelajaran yang diperolehnya. Semuanya banyak bergantung ketika proses ujian berlangsung.

Prinsipnya, untuk menguji kebolehan penuntut, pastikan mereka boleh membuat gerak kaedah. Sesuaikan tumbukan kita dengan kebolehan mereka yang masih di peringkat pengenalan untuk menguasai pelajaran Silat Cekak. Kalau para penuntut gagal membuat tepisan, maka sukarlah kita membuat penilaian atas kebolehan mereka mengambil kaedah. Jangan sesekali para Jurulatih mengambil sikap bangga diri tatkala para penuntut gagal mengambil tumbukan mereka. Syok sendiri, semacam tumbukan diri sendiri yang menjadi. Pada hal, kelemahan penuntut mengambil kaedah melambangkan kelemahan Jurulatih itu sendiri dalam proses penurunan pelajaran Kaedah.

Setelah ‘tamat’ kaedah, kefahaman gerak tepisan para pesilat perlu ‘disuburkan’ dari masa ke masa. Kefahaman mereka ditanam dengan kefahaman gerak benar yang berkaitan dengan Kaedah. Silat adalah gerak. Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki. Maka fahamilah gerak tangan dan gerak kaki secara mendalam. Tidak kiralah apa nama silat Melayu sekalipun. Semua gerak persilatan yang ada tetap berdasarkan pergerakan tangan dan kaki. Sesungguhnya, pembelajaran SC adalah secara berfokus. Hal yang demikian telah membuka jalan untuk para penuntutnya mengkaji pergerakan tangan dan kaki.

Soal kemenjadian kemampuan diri untuk mengatasi gerak dua tangan dan dua kaki pihak lawan adalah terserah pada Yang Maha Kuasa. Itulah kefahaman yang sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut. Seperti yang pernah saya tegaskan bahawa, ‘yang bagi gerak itu adalah Yang Empunya Gerak’. Sifat berdukacita atas kelemahan yang wujud pada diri, tidak pernah dijadikan halangan. Kemenjadian gerak kita ada puncanya. Ketentuan Yang Maha Esa. Perkara utama ialah latih dan terus berlatih. Akhirnya tetap berserah pada Allah. Hal yang demikian adalah merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan Jurulatih untuk menebalkan daya keyakinan dalam kalangan anak didiknya.

Seiring dengan fahaman ‘dalaman’, kefahaman tentang gerak Kaedah itu sendiri perlu disuburkan dari masa ke masa. Sentiasa ingatkan mereka. Ambillah Kaedah dalam keadaan penumbuk pasangan tidak bermalam. Geraklah dalam proses gerak pasangan. Makan gerak dalam gerak. Tetapi, jangan sampai memudaratkan badan diri sendiri. Sikit-sikit perkara biasa. Jangan sampai bekas tumbukan penuh di dada.

Di samping itu, perhatikan gerak mereka. Tepisan pesilat mesti mementingkan aspek ketepatan, ketangkasan dan dilakukan secara mantap dan bertenaga. Latihlah anak didik kita hingga mereka benar-benar menguasai prinsip-prinsip yang dinyatakan itu.

Begitulah kepentingan pelajaran Kaedah yang diajar kepada para penuntut. Pembelajaran perlu secara tenang dan jangan gopoh untuk menghabiskan semua kaedah yang ada. Pastikan para penuntut benar-benar dapat menguasai Kaedah dengan tepat dan benar. Banyak faedahnya pada pembelajaran jangka panjang. Jika Kaedah mantap maka pelajaran-pelajaran berikutnya akan dapat dikuasai secara mantap. Itulah aspek kualiti yang kita tanam dalam kalangan anak didik kita dari masa ke masa.

Kalau tangan dapat memainkan peranan mantap untuk menepis sebarang serangan, maka kemudaratan pada tubuh badan pasti dapat dielakkan. Maka benarlah ungkapan betapa tubuh badan umpama raja kerana tangan dan kakinya yang merupakan faktor penentu utama, telah dapat memainkan peranan secara sempurna. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 10/06/2013 in Persilatan