RSS

Monthly Archives: December 2011

22.3 KESIMPULAN KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN

          Kesimpulannya, kepimpinan dalam organisasi melibatkan semua peringkat. Kuasa bukan hanya kepunyaan pengurusan atasan, malah kepunyaan bersama dan kait-mengait. Mereka yang berada di bahagian pengurusan bawahan atau di bahagian pengurusan pertengahan, juga mempunyai kuasa. Jika mereka bersatu, pasti akan mendatangkan masalah pada pengurusan atasan atau kepimpinan tertinggi. Begitu juga sebaliknya. Berdasarkan kenyataan inilah maka kita jangan berasa hairan betapa seseorang itu yang disanjung dalam mana-mana persatuan atau mana-mana organisasi, jika tersilap langkah, orang itu akan diketepikan hingga ghaib begitu sahaja.

Dalam konteks persatuan kita, banyak contoh yang boleh diberi atau dinyatakan. Saya tidak akan menyentuh dengan teliti dalam tulisan ini. Kita sendiri boleh lihat betapa mereka yang berjawatan dan disanjung pada satu-satu ketika tapi akhirnya ada yang diketepikan dan dilupakan langsung.  Malah, contoh peristiwa yang dikaitkan dengan guru-guru dalam SC, juga melibatkan faktor berkenaan.  Cakap guru akhirnya diketepikan begitu saja. Timbul barisan penentang dari bawah yang mencabar kewibawaan guru. Itulah hukum persatuan yang tidak boleh dihindari.

Keberkesanan Kepimpinan bergantung pada jenis dan cara seseorang pemimpin itu menggunakan kuasa. Oleh itu, para Jurulatih yang memegang kelas atau penyelia kelas SC, perlu menyedari hakikat betapa pentingnya mereka berupaya menyebarkan pengaruhnya pada para penuntut. Keupayaannya berbuat demikian akan menjadikan dirinya akan dihormati dan arahan atau percakapannya akan dipatuhi oleh pelbagai pihak yang dipimpinnya. Milikilah pelbagai saluran untuk mendapatkan kuasa. Hal yang demikian  akan mendatangkan faedah yang besar pada diri mereka sendiri.

Itu sebabnya terdapat dalam kalangan Jurulatih dan kepimpinan di peringkat cawangan atau di pusat yang bersungguh-sungguh untuk membuktikan kehebatan diri dalam kalangan ahli. Tujuannya pasti inginkan penghormatan. Malangnya ada dalam kalangan mereka yang bertindak secara negatif. Untuk menghebatkan diri, terpaksa pula merendah-rendahkan orang lain. Malah, guru utama sendiri dijadikan sasaran bandingan untuk menunjukkan kehebatan mereka. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa ahli-ahli kita berupaya membuat penilaian sendiri bagi menentukan kehebatan seseorang itu dalam persilatan. Namun begitu ada juga dalam kalangan mereka yang bersifat benak. Kurang mengerti makna maknikam.

Dalam konteks kuasa, pelantikan seseorang itu sebagai Jurulatih adalah merupakan kuasa sah yang diberi mandat oleh Guru Utama. Pelantikannya tidak boleh disanggah oleh sesiapa. Guru berhak melantik sesiapa sahaja. Cuma, ada yang terlantik atas syor dari orang besar yang berkepentingan. Malang juga akhirnya.

Namun begitu, mereka yang telah dilantik sebagai Jurulatih maka hebatkan diri supaya para Jurulatih yang dilantik itu dapat dijadikan tempat rujukan, mempunyai maklumat yang luas tentang SC, memiliki moral yang tinggi, memiliki ilmu pengetahuan yang hebat, kemahiran yang mantap, mempunyai idea mengendalikan latihan dalam kelas  dan pengalaman yang luas dalam pelbagai aspek persilatan SC. Kepakaran dalam persilatan SC sama ada segi kefahamannya atau fizikalnya akan membolehkan dirinya sentiasa dihormati oleh semua ahli dalam persatuan. Secara langsung Jurulatih itu akan mempunyai kuasa dari aspek kepemimpinan dalam kelasnya sendiri.

Namun begitu, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian maka berhati-hatilah dalam tindakan. Jika tersilap langkah, hebat setakat manapun akhirnya akan membawa padah pada diri sendiri. Diri mungkin terketepi. Lebih-lebih lagi dalam suasana pepecahan yang ada sekarang. Tersilap langkah memilih guru atau berkiblatkan persatuan yang berlainan faham, maka diri akan terketepi sepanjang hayat. Oleh itu, saranan saya, buatlah tugasan silat seikhlas mungkin berdasarkan kefahaman yang telah diasaskan oleh Ustaz. Jangan langsung ada kepentingan diri.

          Seperti yang saya katakan, sifat-sifat murni yang ada pada seseorang pemimpin itu akan banyak mempengaruhi organisasi atau persatuan yang dipimpinnya. Terdapat banyak sifat yang boleh kita jadikan panduan. Seseorang Jurualtih itu perlu pandai menggunakan kuasa atau mandat persilatan tanpa menimbulkan syak wasangka pada penuntutnya. Jangan sesekali menyalahgunakan kuasa supaya diri sendiri tidak dikenali sebagai  gila kuasa.

Jalankan tugas yang diberi Guru Utama secara bersih, cekap dan amanah. Ketika menjalankan tugas Jurulatih perlu mempunyai kerelaan untuk menghadapi risiko dan mencuba aspek pengendalian kelas secara luar biasa untuk kebaikan para penuntutnya. Idea pengajarannya mestilah kreatif tapi masih mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Guru Utama. Jangan memandai-mandai.

Dari segi pergaulan, pupuk sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sama ada dengan para penuntut atau dengan sesama Jurulatih. Sentiasalah mengambil berat dan bertanggungjawab sesama ahli dalam satu-satu kelas. Jika ada antara mereka yang memerlukan bantuan, maka hulurkan bantuan tersebut secara ikhlas.

          Pengurusan yang dijalankan perlu sentiasa bersifat  bertimbangrasa dan mengambil pendekatan penyertaan dalam pengurusan. Jangan asyik mengarah tanpa sama-sama mencari arah bagi menjayakan sesuatu program. Kerelaan berkongsi kerja dan kuasa akan membolehkan suasana dalam  persatuan menjadi harmonis dan selesa. Stress akan dapat dikurangkan. Hal yang demikian akan memberi sumbangan yang besar pada kemajuan persatuan yang mereka ceburi.

          Sebagai Jurulatih yang memiliki peribadi yang tinggi, mereka mestilah menyedari kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Mereka akan dapat menjauhkan sifat ego kerana mempunyai emosi yang seimbang dan pandai bermesra. Hal yang demikian menjadikan diri mereka sentiasa memberi teladan yang baik  kepada ahli organisasi yang lain.

Tugas yang dimanahkan kepada mereka mestilah sentiasa dijalankan dengan sempurna. Fizikal mereka mesti sentiasa bertenaga, menggalak dan memberi sokongan serta sentiasa mengiktiraf dan menghargai setiap kemenjadian ahli atau penuntutnya. Hal yang demikian kerana dia menyedari tentang  kemajuan diri sendiri dan kemajuan penuntut-penuntut pimpinannya.

           Dalam setiap perbincangan, tidak menampakkan sifat sombong atau bongkaknya. Beliau sentiasa berfikiran terbuka dan mengalu-alukan nilai positif dalam kalangan penuntutnya. Hal yang demikian kerana beliau sendiri sentiasa mewujudkan mutu atau kualiti dalam kalangan penuntutnya sama ada hasil pekerjaan atau hasil pembelajaran silat.

Corak pengurusannya dalam kelas tidak mengongkong. Beliau tidak cuba sentiasa mengawal para ahli hingga menimbulkan ketegangan. Sikapnya yang sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina akan menjadikan dirinya akan bertindak dengan sabar dan adil  serta tidak pilih kasih. Itulah antara sifat yang kita inginkan apabila memandu para ahlinya dalam bidang persilatan SC. Sekian.

 
Comments Off on 22.3 KESIMPULAN KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN

Posted by on 29/12/2011 in Persilatan

 

22.2 KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN III

Pengaruh kita juga dapat dikuatkan jika kita ada hubungan yang baik dan akrab dengan tokoh-tokoh yang tertentu. Dalam prinsip kepimpinan, hubungan luas dan kebolehan berhubung dengan orang-orang yang hebat akan membolehkan seseorang itu mendapat pengaruh yang besar dalam satu-satu  organisasi. Pengaruh yang ada itu adalah merupakan satu kuasa yang boleh dimilikinya kerana mereka berkeupayaan mempengaruhi orang lain.

Hubungan yang luas akan  menjadikan dirinya disegani oleh ahli-ahli dalam organisasi tersebut. Secara langsung kata-katanya akan sentiasa diberi perhatian. Kejayaan berbuat demikian adalah merupakan satu kuasa yang telah ada dalam dirinya. Kita tentu berasa bangga jika Guru Utama kita mempunyai hubungan baik orang-orang kenamaan seperti para menteri. Lebih-lebih lagi dengan Perdana Menteri atau para pemimimpin tertinggi negara. Kebanggaan itu tentunya akan menebalkan lagi ketaatan dan penghormatan kita pada Guru Utama. Itulah telahan saya.

Itu sebabnya, dalam konteks organisasi atau persatuan SC, orang-orang kanan Guru Utama adalah merupakan orang-orang yang berpengaruh dan amat berkuasa. Sandarannya adalah berdasarkan hubungan yang rapat dengan Guru Utama. Kata-kata orang kanan ini mungkin merupakan kata-kata Guru utama. Oleh sebab itu, orang-orang kanan ini sentiasa dihormati dan segala arahan mereka sentiasa dipatuhi. Para ahli akan berasa segan, takut dan berhati-hati.

Dalam zaman Ustaz, orang-orang kanan ini amat bijak menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi para ahli bagi mencapai maksud atau matlamat persatuan. Kehebatan mereka mempengaruhi para ahli adalah merupakan satu kuasa yang ada pada mereka. Banyak aktiviti pusat yang dijalankan di peringkat cawangan dengan jayanya.

Walau bagaimanapun, dalam zaman guru-guru berikutnya, prinsip mempengaruhi cawangan masih berjalan dengan lancar. Banyak rekod yang tercipta hasil sokongan dari cawangan. Namun begitu ada ketikanya juga kelebihan penghormatan itu disalahgunakan. Kuasa yang ada membolehkan mereka memecat sesiapa saja yang dikehendaki mereka.  Saya ada pengalaman dalam hal ini.

Biasanya, orang-orang kanan yang mempunyai kelebihan untuk merapatkan diri dengan  Guru Utama adalah terdiri dari mereka yang berjawatan. Namun begitu, saya yakin bahawa Guru Utama juga membenarkan para ahli biasa untuk merapatkan hubungan dengannya. Cuma, sejauh mana anak-anak muridnya atau ahli-ahli biasa ini berjaya merapatkan hubungan dengan Guru Utama. Hubungan yang rapat itu adalah amat perlu, bukan setakat dapat menambahkan ilmu, tapi juga akan membolehkan diri sendiri dihormati atau disegani oleh ahli-ahli yang lain.

Dalam hal ini, saya selalu tegaskan betapa para Jurulatih atau pimpinan tertinggi cawangan perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan Guru Utama dan orang-orang kanan Guru Utama. Kebolehan mereka merapatkan hubungan tersebut amat besar maknanya terhadap penghormatan yang diberi oleh anak didiknya sendiri. Penghormatan dari anak didiknya adalah secara tidak langsung dan tanpa disedari.   Mereka benar-benar melihat akan peranan Jurulatih atau kepimpinan tertinggi tersebut  sebagai mewakili Guru Utama atau mewakili kepimpinan pusat. Penghormatan yang diberi itu akan memudahkan mereka menggunakan kuasa mengarah dan sebagainya.

Di samping itu, seseorang itu dapat mempengaruhi bagi mendapatkan penghormatan dari orang lain kerana dirinya memiliki moral yang tinggi, berperibadi mulia dan sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada orang lain. Mereka sentiasa dijadikan tempat rujukan ahli-ahli bagi mendapatkan sesuatu penerangan atau mendapatkan satu ketenangan. Secara langsung mereka akan berupaya mempengaruhi orang lain yang merujuk sesuatu. Secara langsung mereka ini mempunyai satu kuasa yang membolehkan orang lain mengikuti kehendak atau arahan yang diberikaan.

Peranan Guru Utama dalam perbincangan di atas, tidak boleh dinafikan keberkesanannya. Cuma, sejauh mana orang-orang kanannya atau para pemimpin di peringkat cawangan dapat memainkan peranan yang sedemikian. Saya rasa, ramai yang berkebolehan dalam peranan tersebut. Di peringkat pusat ada ramai tokoh yang berpengaruh kerana memiliki keperibadian yang tinggi. Ada juga yang bergelar Ustaz atas sifatnya yang mulia dan hebat. Namun begitu, ramai juga dalam kalangan golongan ini yang ’rosak’ akibat terlibat dengan politik silat. Kehebatan dan pengaruh mereka hanya berkesan pada persatuan yang mereka sokong.

Alangkah baiknya jika kumpulan ini bersikap dan bersifat dapat mengelak dalam politik SC. Pasti mereka akan dapat memainkan peranan sebagai orang tengah atau penenang dalam pergolakan yang berlaku dalam SC. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa dihormati dan disanjungi oleh para ahli.  Tapi apakan daya. Mereka juga bernafsu manusia dan bernafsu dunia atau mungkin bernafsu gajah. Kepentingan diri terpaksa juga diutamakan. Sekurang-kurangnya kepentingan memelihara hubungan sesama kawan hingga sanggup menghancurkan persilatan dan persatuan SC.

Begitu juga dengan mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran, latihan dan pengalaman yang luas dalam bidang persilatan dan kefahaman SC. Kumpulan ini juga adalah merupakan kumpulan yang sentiasa di hormati dan disanjungi. Pengaruh mereka dalam kalangan ahli adalah hebat dan berkesan. Kepakaran yang ada itu menyebabkan mereka berupaya mempengaruhi orang lain. Hal yang demikian kerana atas kebolehan itu, mereka akan dijadikan tempat untuk mendapat atau menambahkan pengetahuan SC dalam kalangan ahli. Secara langsung juga orang itu telah mempunyai kuasa yang tertentu kerana berupaya mengarahkan orang lain atau menjadikan orang lain mengikut arahan atau pandangan yang dikeluarkan.

Tidak hairanlah, kita dapat lihat betapa ada para pemimpin pusat yang cuba menonjolkan diri dalam aspek kehebatan ini. Mereka berusaha keras bagi membuktikan betapa diri mereka adalah pakar dalam bidang persilatan. Seboleh-bolehnya mereka ingin meletakkan diri mereka setaraf dengan Guru Utama. Tentunya selepas zaman Ustaz Hanafi. Masa Ustaz, tidak ada siapa pun yang berani menyaingi kehebatan Ustaz. Nak bersaingpun tak ada siapapun yang peduli. Kalau bersaing juga, maknanya akan terketepi.

Oleh sebab ingin menonjolkan diri sebagai ahli terhebat dalam SC, wujudlah kursus-kursus atau pelarasan pelajaran SC dalam kalangan ahli-ahli seluruh negara. Keselarasan buah yang pernah dibuat oleh Ustaz, cuba diselaraskan lagi. Maka terciptalah teknik-teknik baru dalam pelajaran SC. Ketika ini pun, dikatakan sistem penyampaian juga diubah-ubah mengikut pengetahuan sendiri.

Sejak zaman PA lagi sebelum berpecah, usaha-usaha tersebut dilakukan oleh kumpulan individu tertentu  bagi ’menjual’ kehebatan diri. PA sendiri terketepi dan tidak tahu wujudnya buah-buah yang diselaras. Beliau sendiri pernah melahirkan kekecewaannya itu pada saya. Rupa-rupanya perbuatan tersebut ada strateginya. Sekarang ini mereka berada dalam kumpulan yang tertentu. Ahli-ahli yang baru tetap mengkagumi kebolehan mereka. Pengaruh mereka begitu menebal dalam kalangan ahli-ahli baru tersebut. Mereka dihormati dan ditaati. Itulah kehendak dan hajat mereka. Apabila diri ditaati dan dihormati maka mudahlah mereka memberi arahan yang mudah dituruti tanpa ada apa-apa bantahan dari ahli. Itu juga dinamakan kuasa. Bersambung pada kesimpulan sikit minggu lagi.

 
Comments Off on 22.2 KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN III

Posted by on 13/12/2011 in Persilatan

 

22.1 KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN II

Jenis kuasa yang ada kaitan dengan kuasa sah ialah kuasa secara paksaan. Dengan kuasa yang ada, seseorang itu boleh memaksa orang lain melakukan arahan yang diberikan. Beliau bukan setakat boleh memberi pengiktirafan, malah beliau juga boleh menghukum berdasarkan kuasa yang ada atas jawatan yang disandangnya. Kumpulan ini kerap kali mendapatkan kerjasama orang lain secara mengamcam. Hal yang demikian akan menyebabkan orang lain mengikut perintah terutamanya pada mereka yang kecil anunya. Mereka tidak berani membantah. Lebih-lebih lagi pada mereka yang tidak mahu karenah. Main selamat.

Sifat kepimpinan demikian dalam SC banyak berlaku dalam zaman PA dan  awal zaman En Mat, sebelum kumpulan En Mat berpecah lagi. Ketika itu, mereka yang ada kuasa selalu menunjuk-nunjukkan kuasa yang ada untuk memaksa orang lain mematuhi segala arahannya.  Dulu, zaman Ustaz, orang ikut arahan kerana segan. Tapi kemudiannya orang lain ikut arahan kerana paksaan dan ketakutan dipecat atau diketepikan. Sengaja saya tidak mahu memberi contoh-contoh nama dalam tulisan ini. Guru Wawasan dan kuncu-kuncunya amat arif dalam bidang ini. Hinggakan ada juga dalam kalangan pemimpin cawangan yang berair dalam seluar sendiri. Kecut perut setiap kali bersua muka dengan mereka. Muhasabah diri selalaunya tidak menjadi. Takut dan kecut perut pada ketua berkenaan. Rasa-rasanya ada juga kepentingan diri yang menguasai diri.

Biasanya orang-orang ini yang suka memaksa, sukar mendapatkan sokongan secara suka rela dari para ahli. Hal yang demikian berlaku kerana para ahli sentiasa takut pada mereka.  Namun begitu, atas kuasa paksaan tersebut, kumpulan ini tetap ada pengaruh untuk menggerakkan orang lain melakukan pekerjaan atau arahan yang disuruh. Amat kurang yang membantah, gara-gara takut dipecat. Kepentingan diri juga namanya.

Sepanjang pengalaman saya, stail kepimpinan secara paksaan untuk mendapatkan pengaruh, bukanlah sifat Ustaz. Arahan yang dituruti ahli secara sukarela, bukanlah paksaan namanya. Walaupun para ahli menuruti arahan tanpa bantahan, itu menunjukan penghormatan yang diberi pada Guru Utama. Penghormatan itu adalah menunjukkan pengaruh yang kuat pada Guru Utama atas anak muridnya. Pengaruh itulah merupakan kuasa yang ada pada Ustaz tanpa dipaksa-paksa. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin kanan SC yang lain. Mereka ditaati kerana penghormatan yang diberi oleh para ahli.

         Selain daripada isi perbincangan di atas, seseorang itu juga akan mempunyai pengaruh pada orang lain jika dia berkemampuan memberi ganjaran sama ada dalam bentuk wang, perakuan atau pengiktirafan ataupun yang paling mudahnya ialah pujian. Keupayaannya berbuat demikian akan menjadikan orang lain bergantung harap dan terpaut hati padanya. Keadaan ini akan menjurus pada prinsip penghormatan dan ketaatan pada pemimpin. Konsep orang berbudi kita berbahasa dan ada ubi ada batasnya, ada budi maka ada balasnya adalah tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu. Jika budaya ini dapat dipraktikkan dalam proses kepimpinan kita, pastinya perbuatan kita itu akan meninggalkan kesan yang amat baik dan menggalakkan dalam hubungan ahli dengan pemimpinnya.

Secara langsung pemimpin itu boleh mempengaruhi para pengikut atau ahli-ahli yang dipimpinnya dalam pelbagai segi. Ahli-ahli yang dipimpin pasti akan memberi penghormatan secara langsung dan mungkin secara tidak disedari. Sebagai pemimpin, kita tidak perlu menagih penghormatan. Sebaliknya penghormatan itu akan lahir secara sendirinya dari para pengikutnya. Penghormatan yang ada memudahkan proses mempengaruhi. Itulah salah satu bentuk kuasa yang boleh dilahirkan kerana kelebihan yang ada pada dirinya.

Cuba kita lihat faktor ganjaran pada ahli yang boleh berlaku dalam konteks SC. Contohnya ialah peranan Jurulatih yang mungkin merangkap Penyelia Kelas. Untuk memberi wang sebagai ganjaran pada ahli, mungkin agak susah. Namun, ganjaran berbentuk menambahkan pengetahuan ahli dalam bidang persilatan boleh dilakukan. Ahli yang sedang belajar silat, pastikan mereka diberi petua-petua yang berkesan untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam penguasaan gerak. Manakala mereka yang telah tamat pembelajaran SC, ilmu mereka boleh ditambah dari masa ke masa melalui kelas-kelas kemahiran atau melalui kefahaman SC dengan lebih mantap. Hal yang demikian adalah lebih berfaedah jika dibandingkan ganjaran atau pengiktirafan melalui majlis-majlis jamuan atau makan-makan di kedai makan bagi menambat hati para ahli.

Oleh itu, para Jurulatih perlu sentiasa menambahkan pengalaman dan pengetahuan pada dirinya sendiri. Pengetahuan dan pengalaman itu amat berguna untuk dikongsi bersama dengan anak didiknya. Para ahli yang dididik dalam bidang persilatan, akan sentiasa menaruh harap pada Jurulatih berkenaan untuk menambahkan ilmu mereka. Kekurangan ilmu dan pengalaman dalam kalangan Jurulatih, mungkin akan menyebabkan anak didiknya berasa bosan atau jemu untuk terus berada dalam kelas-kelas kemahiran, misalnya.

Di samping itu, Jurulatih itu perlu sentiasa berada dalam suasana yang cekap dan tangkas.  Oleh sebab itu rajin-rajinlah berlatih supaya gerak yang ada pada dirinya sentiasa mantap dan berkesan hinggakan anak didiknya sentiasa menaruh keyakinan pada mereka. Hal yang demikian akan menjadikan para ahli yang dipimpin akan memberi penghormatan pada Jurulatih berkenaan. Hati mereka akan terpaut pada kepimpinan Jurulatih tersebut. Akhirnya, segala arahan yang diberi oleh Jurulatih berkenaan pasti akan dipatuhi tanpa rungutan  dan anak didiknya akan akur pada segala arahan tanpa ada sebarang bantahan.

Ustaz sendiri turun padang dalam kelas-kelas kemahiran. Ustaz melatih anak didiknya sebagai usaha untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman anak muridnya. Dalam proses  bimbingan Ustaz, kebolehannya sentiasa memperlihatkan ketangkasan Ustaz bersilat. Tumbukan serangnya pasti akan meraungkan penuntut yang kena. Konsep penumbuk ’tak nampak’ adalah jelas sekali. Hayunan kakinya pada pelipat sentiasa tepat dan padat. Geraknya sukar dijangka. Sebagai anak didik Ustaz, pasti mereka akan berasa kagum dan memberi penghormatan yang tertinggi pada dirinya sebagai guru Utama, merangkap pemimpin dalam semua segi.

Teringat satu peristiwa dalam kelas saya sendiri. Ustaz turun padang untuk bersama dengan anak didik silat saya dalam kelas silat. Ketika itu ialah pelajaran potong. Ustaz sendiri cuba menerangkan tentang prinsip mengambil buah potong pada seorang anak didik silat yang ada pengalaman yang luas dalam persilatan Melayu. Ketika Ustaz membuat buah, murid berkenaan cuba bertindak mematikan gerak Ustaz. Secepat kilat Ustaz dapat memintas gerak murid  berkenaan. Murid itu tergamam dan akhirnya terpegun. Bukan mudah untuk mengatasi gerak yang dibuatnya seperti yang dikatakannya pada saya kemudiannya.

Kehebatan Ustaz tersebut menjadi bualan. Semua murid SC di cawangan saya mengetahuinya. Berita itu tersebar luas di tempat-tempat lain. Kehebatan Ustaz itu menjadikan dirinya dikagumi dan diberi penghormatan. Pengaruh dan kepimpinan Ustaz semakin mantap. Kita menghormatinya bukan kerana jampi serapah atau ilmu yang ’dikenakan’ pada para ahli. Sebaliknya penghormatan anak murid pada Ustaz adalah atas kebolehan Ustaz yang hebat dalam pelbagai segi, sama ada bidang persilatan, pengurusan dan kepimpinan.

Walau bagaimanapun, malang juga pernah menimpa Ustaz. Pernah saya ceritakan betapa Ustaz ’diserang’ kerana dikatakan mengamal ilmu salah hingga menyebabkan ahli keluarganya yang menuntut SC dikatakan tak tentu arah. Semuanya gara-gara ketaatan murid berkenaan pada Ustaz. Tapi saya tetap yakin. Kewibawaan dan kehebatan Ustaz hingga Ustaz dihormati, bukanlah kerana jampi serapahnya. Sebaliknya, seperti yang dikatakan, kehebatan secara semula jadinya dalam pelbagai segi  telah menyebabkan Ustaz dihormati dan disegani oleh para penuntutnya.

Seseorang yang bermaklumat juga akan mempunyai pengaruhnya pada orang lain. Maklumat yang ada padanya pastinya maklumat yang penting dan diperlukan oleh pihak lain dalam menjalankan tugas. Keperluan atas maklumat itu akan memudahkan pemberi maklumat menegaskan pengaruhnya. Pengaruhnya atas orang lain itulah merupakan satu kuasa yang dimilikinya untuk menarik orang tersebut bekerjasama ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Dalam kelas-kelas SC, para penuntut bukan setakat inginkan ilmu persilatannya sahaja, malah mereka juga inginkan pengetahuan tentang asal usul gerak dan asal usul persilatan itu sendiri. Para Jurulatih yang berupaya mengungkai sebarang persoalan mengenai silat dan sejarah persilatan, tentunya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh para penuntut atau anak didik silatnya.

SC telah melahirkan tokoh-tokoh hebat sejak zaman Ustaz lagi. Kehebatan mereka bersilat dan kehebatan mereka memahami falsafah Silat Cekak, amat dikagumi. Kita dapat rasakan betapa kuah telah  tertumpah ke nasi.  Tak perlu saya sebutkan nama-nama mereka. Umum telah mengetahuinya. Penghormatan pada mereka bukan kerana jampi serapah, melainkan kehebatan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam persilatan SC.

Cuma malangnya, apabila kita berpecah, penghormatan pada tokoh-tokoh tersebut telah berbelah bahagi. Mereka hanya dihormati oleh ahli-ahli persatuan yang mereka berada dalamnya. Alangkah ruginya pada ahli-ahli persatuan SC yang berlainan persatuan. Keberkesanan ilmu SC pasti akan susut nilainya apabila perjuangan persatuan mengatasi perjuangan persilatan. Cukup setakat itu. Bersambung lagi.

 
Comments Off on 22.1 KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN II

Posted by on 12/12/2011 in Persilatan