RSS

Seni Silat Cekak

Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi adalah Seni Silat Cekak benar-benar diamalkan serta dianjur oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad baik dari segi kaedah pembelajaran, prinsip, konsep, falsafah, kefahaman dan pembawaannya.

Seni Silat ini dipercayai telah diamalkan oleh keluarga di-Raja dan Panglima-panglima Kanan Kesultanan Kedah seawal pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879). Guru yang terawal diketahui ialah Panglima Ismail yang dahulunya telah menurunkan Silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan pula Seni Silat ini kepada Encik Yahya bin Said (Pak Yah). Akhirnya Seni Silat Cekak ini telah diwariskan oleh Pak Yah kepada Ustaz Hanafi bin Ahmad pada 28 Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 H di Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Sejak dizahirkan kembali oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, maka bermulalah era baru bagi Seni Silat ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan yang begitu unik serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Seni Silat Cekak sebagai suatu pergerakan yang begitu disegani oleh rakan mahupun lawan, yang juga mampu terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat keseluruhannya.

Kini SCUH terus berkembang melalui cawangan-cawangan di peringkat negeri serta mempunyai kelas-kelas persilatannya yang aktif di hampir kesemua universiti dan pusat pengajian tinggi termasuklah di sebahagian besar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Anak ke-empat Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Syeikh Haji Md. Radzi bin Ustaz Haji Hanafi al-Qadahi kini menerajui pergerakan SCUH dan meneruskan perjuangan Seni Silat Cekak selaku Pewaris Mutlak.

http://silatcekakhanafi.org

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: