RSS

61.12.9. KENALI SILAT CEKAK – PENUTUP.

23 Oct

Saya telah banyak menulis tentang prinsip, konsep dan falsafah Silat Cekak. Penulisan tersebut adalah berdasarkan kefahaman saya pada SC. Kefahaman itu pula adalah bersandarkan pada ilmu pengetahuan dan pengalaman saya sekian lama berada dalam pesilatan Silat Cekak.

Selalu saya tegaskan betapa penceritaan saya tentang SC adalah berdasarkan pada apa yang saya faham. Penegasan ini bermakna saya tidak bermaksud untuk bercanggah jika wujud pendapat yang berlainan. Semuanya adalah dari sudut pandangan saya. Berdasarkan ungkapan yang difahamkan Ustaz mengenai alam persilatan Silat Cekak maka saya terangkan kembali sebagaimana saya terangkan pada anak didik saya sekian lama.

Saya tidak berminat untuk membandingkan kefahaman saya tentang SC dengan kefahaman yang sedia ada sekarang. Tambahan pula persilatan SC telah berpecah. Penulisan saya hanya menceritakan apa yang saya faham tentang SC yang dulunya tidak berpecah. Berada di bawah satu kepimpinan. Kepimpinan Ustaz Hanafi. Saya juga tidak berminat membuat penghakiman pada mana-mana persilatan SC yang berpecah itu jika ada konsep dan falsafah SC yang berubah ketika ini. Masing-masing ada ‘pendayung’. Maka dayunglah mereka berdasarkan hala tuju yang ditentukan sendiri.

Saya akui akan hakikat tentang sesuatu itu pasti berubah apabila penguasaan pada SC telah bercambah. Kefahaman mereka akan berbeza akibat perubahan yang tidak dapat dielakkan. Kini, Silat Cekak telah dinaungi oleh pelbagai persatuan dengan gurunya yang berlainan. Lagi banyak persatuan yang menaungi bidang persilatan Silat Cekak maka lagi banyak perbezaan dalam gerak Silat Cekak yang dibawa mereka itu sendiri.

Dalam penulisan ini, saya tidak merujuk pada mana-mana persilatan SC. Perbicangan saya adalah umum atas nama SC. Hal yang demikian kerana semasa saya belajar pun pengenalan SC adalah satu. Oleh itu perbincangan saya adalah bersandarkan pada gerak yang satu pada nama SC yang satu. Pastinya, perbincangan adalah berdasarkan dari sudut pendapat saya sahaja. Kalau ada orang lain mempunyai sudut pandangan yang berbeza, buat blog sendiri dan tulis sendiri. Tak perlu membuat komen secara menumpang pendapat pada penulisan yang sedia ada; penulisan orang lain. Sifat membuat komen secara menumpang pendapat orang lain adalah umpama ‘dedalu yang sentiasa menangguk di air keruh’.

Cuba kita bincangkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh menyebabkan gerak pesilatan SC yang pelbagai itu boleh berubah. Saya merujuk secara bandingan pada SC yang saya pelajari dulunya. Pengetahuan tentang wujudnya perubahan dalam gerak SC adalah diperoleh apabila saya menerima penyertaan ahli-ahli SC dari kelas SC yang lain.

Persatuan Silat Cekak yang pelbagai telah menyebabkan muncul guru SC yang pelbagai. Dalam banyak-banyak guru tersebut pastinya ada seorang guru yang benar dan mutlak dalam penguasaan SC dari sudut persilatan. Saya telah membincangkan hal yang demikian dalam tulisan-tulisan yang lalu.

Dalam keadaan ini, perbezaan gerak dalam persilatan SC akan muncul apabila ‘guru palsu’ yang terlantik pastinya akan cuba menonjolkan kebolehan dan pengetahuannya yang tersendiri. Penonjolan ini tentunya berkaitan dengan gerak persilatan dan adat dalam proses menyampaikan ilmu itu sendiri. Saya telah menyentuh situasi yang berkenaan dalam tulisan yang lalu. Tidak hairanlah ada antara guru silat tersebut yang memansuhkan upacara ayam penunjuk dan sebagainya. Semuanya dilakukan bagi menonjolkan kewibawaannya yang tersendiri supaya menampakkan perbezaan dalam pembawaan Silat Cekaknya.

Gerak persilatan dan proses menyampaikan Silat Cekak itu sendiri mula berubah berdasarkan kehendak guru-guru tersebut. Saya juga telah menyentuh hal yang demikian dalam beberapa siri tulisan yang lalu. Oleh itu, maka berlakulah perubahan dalam persilatan SC mengikut guru yang memimpin persatuan SC yang sedia ada.

Keadaan semakin parah apabila guru-guru yang memimpin persilatan SC tersebut menyerahkan kuasa pengendalian persilatan kepada orang-orang kanannya. Maka tidak hairanlah berlaku lagi perubahan yang semakin melebar dalam kalangan pengamal SC yang berlainan persatuan itu.

Perkara pastinya, orang-orang kanan ini berkecenderungan untuk menyampaikan pelajaran berdasarkan tafisran dan kebolehan sedia ada yang ada pada dirinya. Dalam tulisan yang terdahulu saya telah menyentuh tentang pelbagai tafsiran yang dilakukan Jurulatih yang pada pendapat saya boleh menyalahi dari segi prinsip, konsep dan falsafah SC itu sendiri.

Saya pernah menyentuh betapa orang-orang kanan ini pernah membuat pelarasan secara membelakangkan guru. Maka hal yang demikian akan menyebabkan kecenderungan perbezaan gerak dalam kalangan Jurulatih akan semakin ketara. Secara langsung, perkembangan tersebut akan menyebabkan gerak persilatan akan berbeza-beza mengikut stail kepemimpinan Jurulatih itu sendiri.

Selalu saya tegaskan bahawa penerangan yang dilakukan adalah berdasarkan tafsiran yang sedia ada pada Jurulatih itu. Dalam hal ini, keberkesanan dan ketepatan isi pelajaran yang disampaikan adalah bergantung erat pada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada pada mereka.

Saya juga turut menyentuh tentang gerak SC yang berbeza, ada kaitan dengan cara pengajaran Jurulatih. Cara pengajaran itu tentunya dipengaruhi oleh kemampuan Jurulatih itu bersilat. Ada dalam kalangan mereka yang menyampaikan pelajaran tidak selari antara penerangan dengan perbuatan. Selalu saya tegaskan betapa penuntut lebih cenderung untuk melihat dari mendengar. Dalam hal yang demikian jika Jurulatih itu melakukan perbuatan yang berbeza dengan penerangannya, gerak perbuatannya yang akan diikuti penuntut. Itu sebabnya saya selalu menegasklan betapa pentingnya peranan Jurulatih. Merekalah yang akan menentukan gerak-gerak benar SC dapat dikekalkan sepanjang masa.

Saya yakin bahawa persatuan SC yang asal dan persatuan SC yang dipimpin oleh Guru Kontrak dan Guru Persatuan akan tetap berpecah. Saat dan ketika akan menentukannya. Pada ketika itu, akan banyak lagi guru dalam persilatan SC yang akan timbul. Hal yang demikian secara langsung akan menyebabkan pelajaran SC juga akan mula mengalami perubahan. Semuanya bergantung pada stail kepimpinan yang pastinya berbeza antara persatuan-persatuan yang berlainan pengenalan tersebut. Yang pastinya, semuanya tetap bersandar pada ketokohan dan kepimpinan Ustaz Hanafi.

Saya berpendapat, sekurang-kurangnya tulisan saya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan sandaran dalam alam persilatan SC. Sama ada pandangan saya boleh dipakai lagi atau tidak, bukanlah menjadi soal. Perkara pentingnya ada bahan rujukan sebagai bandingan antara gerak persilatan yang dulu-dulu berdasarkan pengalaman yang saya alami dengan gerak sekarang yang berlainan kepimpinan dan berlainan persatuan. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 23/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.