RSS

Monthly Archives: January 2013

58.8. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

Memahami ‘Buah Keputusan’ Dalam SC.

Gerak bela diri yang ada dalam masyarakat Melayu adalah dikenali sebagai silat. Banyak tafsiran tentang silat. Biasanya, silat dianggap satu seni permainan atau kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri. Dalam penggunaan bahasa harian, kalau silat digunakan sebagai permainan, selalunya gerak silat itu adalah merujuk sebagai silat pulut atau silat pengantin. Ada yang bergelar silat jatuh. Kalau jatuh maka dikira kalah dalam permainan silat tersebut.

Ramai tenaga pengajar persilatan tersebut. Mereka juga bergelar guru. Setiap kampung ada silatnya. Hal yang demikian adalah merupakan budaya hidup masyarakat Melayu. Penduduk kampung yang berkenaan sahaja yang mempelajari silat tersebut. Masyarakat Melayu dulu sangat berbangga dengan perkampungan mereka. Istilah kampung adalah merujuk pada penghuninya yang mempunyai pertalian darah. Tak kiralah bau-bau bacang atau bau-bau kuinin.

Zaman semakin berubah. Konsep kampung juga telah berubah. Istilah kampung mula merujuk pada kawasan. Masyarakatnya bercampur gaul. Pertalian darah bukan lagi menjadi ukuran petempatan. Hal yang demikian menyebabkan persilatan Melayu juga mula berkembang. Untuk berkembang, silat memerlukan persatuan.

Berdasarkan pengalaman dan pembacaan, saya berpendapat gerak persilatan orang Melayu itu asalnya bukan bernama. Kalau ingin berkembang atau menyebarkan ilmu silat bekenaan, mesti ada naungannya. Mereka ada pilihan sama ada bernaung di bawah persatuan yang sedia ada atau menubuh persatuan sendiri. Kalau tidak, akan menyalahi undang-undang. Untuk bergerak secara menumpang persatuan atau mempunyai persatuan yang tersendiri, silat itu perlu ada nama.

Maka lahirlah nama-nama pada persilatan berkenaan. Biasanya nama-nama persilatan itu adalah merujuk pada tempat atau pada nama-nama binatang. Adatnya, itu saja pengetahuan yang ada. Mudah dan ringkas. Maka wujudlah pelbagai nama silat Melayu.

Kita juga boleh buat perbincangan. Adakah nama Cekak telah sedia ada dan diterjemahkan pada pengertiannya yang pelbagai. Atau, adakah dari pengertian dan sifat serta bentuk geraknya, maka silat kita dinamakan sebagai Cekak. Bolehlah dibuat kajian.

Dalam persilatan SC, terdapat unsur-unsur buah atau penangkap semua keputusan silat-silat Melayu yang menjadi sebahagian pelajarannya. Apabila disebut silat-silat Melayu, bermakna kita merujuk pada gerak bela diri yang dipunyai orang-orang Melayu. Seperti yang dijelaskan Ustaz dalam majalah Dewan Masyarakat, Ogos 1973, “Tujuan mempelajari semua keputusan ini ialah supaya ahli-ahli dapat menangkis dengan mudah pertarungan walaupun lawannya menggunakan cara silat apa sekalipun.”

Kita harus faham bahawa Silat Cekak bukannya ciptaan Ustaz. Hal yang demikian bermakna, tidak ada sebarang usaha Ustaz menceduk gerak dari mana-mana persilatan Melayu yang ada sekarang. Segala isi pelajaran yang diwarisinya adalah dalam keadaan seadanya. Seperti yang ditegaskan Ustaz, “Jelas kini saya telah melahirkan silat Cekak yang selama empat puluh tahun terpendam di dada Yahya Said tanpa diketahui orang. Saya mengenengahkannya kerana kepentingan kebudayaan Melayu, menimbulkan pusaka Melayu yang asli lagi bertanggungjawab agar mutu silat ini dapat dibanggakan.”

Maknanya, sejak awal tahun sembilan belas puluhan, buah-buah keputusan tersebut telah sedia ada dalam pelajaran SC. Nama-nama buahpun adalah benar dan bukan direka-reka dengan pengenalan baru. Itulah pelajaran yang ada. Kalau difikir-fikirkan, sejak zaman ‘Si Tuah’ lagi, nama-nama buah silat dalam SC adalah seadanya. Bukan nama baru. Bukan ciptaan baru.

Terdapat enam buah SC yang bertaraf keputusan. Buah-buah itu ialah Gayung Patani, Sendeng Atas, Hentak, Pasung Kemanga, Terlak dan Lintau.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menegaskan betapa Ustaz telah membuat pelarasan setelah bergelar Guru Utama. Kebolehan yang ada pada diri Ustaz telah membolehkannya membuat kajian dan menapis gerak-gerak yang ada itu untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat. Tentunya tindakan Ustaz itu bagi melahirkan satu seni silat Melayu yang benar-benar bertanggungjawab dan boleh dibanggakan. Saya petik kembali kata-kata Ustaz, “Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini, saya tidak terus berpuas hati setakat itu sahaja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati, saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam”. Maka terimalah kita akan pelajaran SC yang ada sekarang ini dalam keadaan seadanya.

Setakat pengetahuan yang saya ada, buah keputusan yang terlibat dengan maksud pelarasan ialah Gayung Patani, Sendeng dan Lintau. Ustaz telah membuang pecahan buah Gayung Patani yang menggunakan kaedah memusing tangan. Tidak praktikal. Sesuai dengan gerak mainan. Buah Sendeng Bawah Kiri dan Kanan telah diketepikan kerana memakan waktu. Lambat. Manakala buah Lintau ditambah dengan pukulan di bahagian dada dan di tengkok hadapan. Walau bagaimanapun, menurut Ustaz, penambahan pukulan pada buah Lintau adalah atas pengesahan Yahya Said. Itulah pelajaran yang sedia ada yang dapat ‘dicungkil’ oleh Ustaz.

Ustaz sendiri menerangkan pada saya. Kalau Ustaz tidak mencungkil pukulan sebenar pada Lintau, maka pukulan Lintau adalah setakat di bahagian pinggang. Maknanya pada saya, ada pukulan yang cuba disimpan. Kalau Ustaz tidak mencungkilnya, maka pukulan itu akan terkubur begitu saja. Kebolehan mencungkil hanya ada pada anak murid yang berfikir. Kita selalu difahamkan betapa seseorang guru itu sering ‘menyimpan’ pelajaran. Bukan semua pelajaran disampaikan pada anak muridnya. Jelas pada kita bahawa pelajaran yang disimpan itu adalah ‘habuan’ pada anak muridnya yang boleh berfikir.

Saya pernah menceritakan tentang sifat menyimpan pelajaran di awal kepimpinan Ustaz sebagai Guru Utama. Zaman sebelum Ustaz berhijrah ke Kuala Lumpur. Sifat menyimpan pelajaran SC bukan untuk ‘habuan’ murid yang berfikir tapi sengaja menyimpan pelajaran untuk kepentingan diri. Saya difahamkan, ketika Ustaz berada di hospital, orang kanannya itu menunjuk ‘belang’. Buah-buah yang ada pukulan hebat dan istimewa, cuba disimpan. Tak diberitahu pada penuntut. Apabila Ustaz menyedarinya, akhirnya orang kanan tersebut telah disingkir dari persilatan SC. Tubuh silat baru.

Kita berharap, hal yang sama tidak akan berulang lagi ketika ini. Kalau ada pukulan, tunjukkan cara pukulan dan sasaran pukulan sebenar. Jangan buat mudah. Konsep simpanlah namanya juga. Tapi, orang tua-tua ada mengatakan, “Ada ulu ada parang, ada dulu maka ada sekarang.” Dulu telah berlaku maka sekarangpun mungkin boleh berlaku. Walau bagaimanapun, murid yang boleh berfikir tetap akan bertambah pelajarannya dari semasa ke semasa. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 31/01/2013 in Persilatan

 

58.7. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

Kiasan Kaedah Sebagai Rumah Buah.

Kalau kita membincangkan aspek keselamatan, sesungguhnya buah-buah SC akan mendatangkan kemudaratan jika dilakukan secara tidak berhati-hati. Walau bagaimanapun, kes yang berlaku adalah sangat terpencil. Umumnya, semua pesilat boleh menjaga diri. Umpama kata orang tua-tua, “Yang lelaki dah besar panjang dan yang perumpuan dah besar lebar.”

Sepanjang saya menjadi Jurulatih, hanya seorang penuntut yang mengalami kecederaan teruk. Tak salah saya, bahunya patah ketika pasangannya mengambil buah Pasung Kemanga. Ketika pasangannya menyentap tangan, penuntut berkenaan tidak seimbang dan bahunya jatuh terlebih dahulu. Patah tebu. Hal yang sama juga boleh berlaku apabila kita mengambil buah-buah yang bersifat jatuhan Kuntau jika tidak berhati-hati.

Pada pandangan saya, sesuatu pukulan yang melibatkan urat saraf, memerlukan pengawasan daripada Jurulatih. Pukulan Paras dan Lintau adalah mewakili sifat buah yang sedemikian. Kesannya boleh pengsan atau membawa maut. Itu sebabnya, dalam menyahut cabaran dari persilatan lain di satu masa lalu, SC meletakkan kalah menang adalah berdasarkan faktor patah, pengsan atau mati. Sesungguhnya, pukulan-pukulan yang ada dalam SC mampu berbuat demikian.

Jurulatih yang baik adalah Jurulatih yang boleh menerangkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku ketika membuat gerak pada setiap buah SC. Saya berasa bangga pada diri saya kerana merasa semua kemungkinan tersebut. Memang saya relakan diri untuk Ustaz membuktikan kehebatan setiap buah SC. Inginkan kebenaran akan kehebatan buah seperti yang didakwa. Cuma, mati dan patah yang tidak saya rasai. Setakat pitam atau terpinga-pinga, perkara biasa.

Pada saya, tidak dapat dinafikan betapa keupayaan seseorang Jurulatih itu akan banyak mempengaruhi penguasaan ilmu SC dalam kalangan anak didiknya. Sesuailah konsep gerabak keretapi yang akan ‘berlari’ seperti mana larian kepala keretapi tersebut. Kemas gerak Jurulatih maka akan kemaslah gerak para penuntutnya. Kalau pengajaran tidak bersungguh hati maka lahirlah anak didik yang kurang sifat kesungguhannya. Saya selalu mengulas akan hal yang demikian dalam tulisan-tulisan yang terdahulu. Oleh itu, para Jurulatih perlu perkayakan diri dengan segala aspek ilmu yang ada dalam SC. Hal yang demikian akan membolehkan mereka menyampaikan pelajaran secara berkesan tanpa membuat tambahan gerak atau penambahan penerangan secara suka-suka hati.

Ketika menyampaikan pelajaran asas buah Pertama, jangan lupa menegaskan kehebatan Kaedah A. Kaedah itu sangat diutamakan dalam SC kerana kaedah A adalah salah satu kelebihan yang ada dalam pelajaran kita. Menurut Ustaz, kaedah itu tak ada pada mana-mana persilatan Melayu yang lain. Kalau adapun bentuk tepisan berkenaan, tangannya telungkup bagi menolak serangan tangan lawan. Pergerakannya lambat dan terhenti kerana kebiasaannya pergerakan itu menunggu tindak balas lawan. Oleh itu, sifatnya suka bermalam. Bukannya cara kita. Kita sentiasa berpegang pada falsafah yang ada. ‘Makan Gerak Dalam Gerak.’

Kaedah kita, tangan telentang bagi menepis serangan lawan. Buah-buah yang menggunakan Kaedah A, hebat pukulan pemakannya. Cepat pula pergerakan atau tindak balasnya. Kita boleh buktikan kata-kata tersebut melalui gerak-gerak pukulan yang ada pada buah-buah yang diambil melalui Kaedah A. Tidak kurang juga dengan buah-buah lain yang menggunakan Kaedah yang berlainan. Buat betul-betul. Buatlah dengan sepenuh hati.

Kaedah-kaedah menepis dalam SC saya sifatkan sebagai ‘rumah buah’. Dari dalam ‘rumah’ itulah maka lahirnya gerak-gerak buah yang ada dalam SC. Akan tetapi jika ada yang membandingkan Kaedah sebagai tiang rumah atau dinding rumah atau rumah sembah atau tapak sembah atau sebarang bentuk pelambangan yang lain, buatlah. Perkara pentingnya ialah kita faham akan peranan Kaedah untuk menghasilkan buah-buah dalam persilatan SC.

Kita yakin bahawa dari kaedah, pelbagai bentuk pukulan atau buah yang amat berkesan dapat dihasilkan. Buahnya ringkas tapi amat berkesan. Begitu juga dengan Kaedah SC itu sendiri yang boleh dianggap mudah dan ringkas. Tapi, tersangat besar faedahnya. Atas keyakinan tersebutlah kita berani meletak syarat tegas untuk berentap dengan silat lain satu ketika lalu. Kita yakin bahawa penggunaan Kaedah yang ada, amat memberi manfaat pada pengamal SC. Tak banyak guna kekuatan. Geraknya selamba dan semula jadi. Namun begitu, jangan pula dipermudahkan pembelajaran Kaedah.

Sesungguhnya SC amat mementingkan Kaedah. Tanpa penguasaan Kaedah yang betul, maka buah-buah yang dibuat pasti tidak kemas dan tidak berseni. Menurut Ustaz, ketika kita menyahut cabaran untuk berentap dengan satu silat yang lain pada satu ketika lalu, penguasaan pada Kaedah amat penting. Persediaan latihan lebih banyak pada latihan Kaedah bagi memastikan penguasaannya mantap dan berkesan. Muktamad mematikan serangan lawan.

Saya pernah menulis bentuk latihan Kaedah tersebut. Ada dua perkara yang dipentingkan. Pertamanya ialah kepantasan tangan menepis sebarang bentuk serangan tangan dalam situasi yang sepontan. Keduanya ialah kemantapan badan yang tidak bergerak atau beralih kedudukan. Ada jenis latihan yang boleh dilakukan seperti yang diberitahu Ustaz. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan di blog yang terdahulu.

Oleh itu, kaedah yang empat itu perlulah diajar selama empat kali latihan. Jangan gopoh dan terburu-buru untuk meneruskan pelajaran lain selagi kaedah-kaedah itu tidak dikuasai sepenuhnya. Janganlah kita berasa jemu mengajar kaedah-kaedah tersebut untuk empat kali latihan. Hinggakan kita turut menganggap penuntut pun akan berasa jemu. Oleh sebab nak menambat hati mereka maka pelajaran yang sepatutnya diajar empat kali latihan telah menjadi dua atau tiga kali latihan. Amat merugikan para penuntut.

Setiap kaedah ada sifat dan penekanan penggunaannya. Latihan Kaedah boleh mendatangkan kemudaratan pada penuntut yang tidak cerdas dan cergas. Lengan dan bahagian atas siku mungkin lenguh dan menjadi biru apabila tumbukan kita ditepis dengan menggunakan Kaedah A. Tentu ada dalam kalangan penuntut yang bersungut. Katakan pada mereka. Hal yang demikian adalah buat sementara waktu. Namun begitu, jika Kaedah itu terus dilatih secara berterusan, rasa sakit atau warna biru di lengan akan hilang. Tangan akan menjadi mangli apabila pasangan kita membuat tepisan.

Walau bagaimanapun, sebagai Jurulatih kita perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang kesan latihan Kaedah. Setelah kesan sakit pada lengan berkurangan, rasa sakit akan beralih tempat ketika mereka berlatih Kaedah B dan C. Kawasan antara pergelangan tangan hingga ke siku adalah menjadi sasaran. Adatnya, tangan pesilat akan berasa sakit ketika membuat Kaedah B. Sebaliknya, kesakitan itu akan beralih pada pasangannya ketika membuat latihan Kaedah C. Jika ada dalam kalangan penuntut yang bersungut, kita tahu akan puncanya. Seterusnya, semasa mempelajari Kaedah D, pasangan pesilat akan berasa tenang kerana tidak sakit lagi. Sudah mangli.

Itulah pengalaman yang perlu ada pada penuntut SC. Kaedah SC nampak senang, tapi payah. Akhirnya tersangat mudah. Mula-mula sakit, lama-lama hilang sakitnya. Itulah situasi yang pasti wujud. Kalau pesilat tidak mengeluh rasa sakit, ada dua kemungkinan. Pertamanya kerana tak cukup latihan. Pelajaran Kaedah dilonggok dalam satu atau dua kali latihan. ‘Setakat ambil Kaedah’. Keduanya kerana tumbukan layang. Tak tepis pun tak kena sasaran. Kalau Kaedah tidak mantap maka buah-buah yang lahir dari gerak Kaedah itu kurang berseni.

Berhati-hati ketika memberi arahan. Amat mudah kita menegaskan pada penuntut ketika membuat Kaedah. “Kena atau sentuh baru ambil kaedah” atau “ Jangan pukul atau hentak tangan si penumbuk bagi kaedah B , C dan D. Nanti sakit.” Berdasarkan pengalaman, kata-kata tersebut susah diterima secara logik tanpa ada penjelasan yang jelas. Maka timbullah persoalan dalam fikiran para penuntut. Berhati-hatilah ketika membuat penerangan. Sampaikan saja pelajaran tanpa banyak membebel pada pemulaan pelajaran.

Mengajar kaedah perlu bersepadu dengan pengajaran cara melepaskan tumbukan. SC berdiri lurus dan menumbuk dalam keadaan berdiri tersebut. Perbandingan antara konsep ‘lurus’ dengan ‘kuda-kuda’ perlu berhati-hati ketika membuat penerangan. Hal yang demikian bagi mengelak penuntut kita bergerak secara robot. Konsep kemudahlenturan gerak perlu dimiliki oleh mereka.

Banyak gelagat tumbukan para penuntut yang perlu diperbetulkan. Ambil berat sikit. Jangan biarkan mereka melepaskan tumbukan ikut suka hati. Ada yang menumbuk untuk Kaedah C secara merendahkan kedudukan diri. Secara langsung, hal yang demikian akan mengundang sifat berkuda-kuda. Amat merugikan gerak pesilat. Ada juga dalam kalangan pesilat yang melepaskan tumbukan yang sengaja menyimpang dari sasaran. Maknanya, kalau pasangannya tidak menepis, tumbukannya pun tidak mengena. Pelihara kawan. Sebenarnya amat merugikan kawan. Tak rasa nikmat berlatih pelajaran Kaedah. Sekurang-kurangnya merasai nikmat sakit.

Saya tidak akan membincangkan kaedah melepaskan tumbukan dalam tulisan ini. Prinsip dan konsep tumbukan telah saya tulis dalam blog yang terdahulu. Buatlah rujukan untuk mengetahui cara-cara melepaskan tumbukan, sasaran tumbukan, pandangan mata dan gerak badan. Semuanya ada perkaitan. Apapun, dalam pembelajaran SC, segala-galanya bermula dari pelajaran Kaedah. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 28/01/2013 in Persilatan

 

58.6. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

Aspek Psikologi Pembelajaran SC.

Pada pendapat saya, pukulan pada buah Pertama tidaklah seberbahaya pukulan pada buah Paras, Lintau dan beberapa buah yang lain. Saya bertegas bahawa tidak ada sebab atau tak ada keperluan untuk menidakkan pukulan pada buah Pertama. Buah itulah pertama kalinya diperkenalkan pada para penuntut setelah mereka mempelajari Kaedah. Sesuatu yang pertama kali, pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam. “Itu sebabnya cinta pandang pertama tak akan mudah dilupakan sampai bila-bila”.

Teringat ketika saya masih belajar dalam kelas silat dulu. Keseluruhan penuntut kelas saya adalah terdiri dari mereka yang pernah belajar persilatan Melayu. Macam-macam nama silat yang mereka pelajari. Namun begitu, timbul minat di hati masing-masing untuk mengetahui tentang SC. Kebetulan pula pada masa itu, nama Silat Cekak mula muncul dalam situasi, ramai guru silat Melayu yang mengecam kemunculan SC.

Konvensyen silat Melayu yang diadakan di USM, telah mengenengahkan nama Ustaz Hanafi sebagai guru silat yang penuh ‘kontroversi’. Seorang guru silat yang berani menyentuh perasaan dan kebiasaan pesilatan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Timbul perselisihan atau perbahasan pendapat hingga berlarutan dan berterusan serta agak meluas antara Ustaz dengan golongan yang berlainan fahaman atau pendirian dalam persilatan Melayu. Medan akhbar dan majalah menjadi media utama. Misalnya perbahasan secara tulisan dalam majalah Dewan Masyarakat. Malah sering keluar artikal dalam Berita Harian tentang SC yang dianggap ‘melampau’ dalam saingannya dengan silat Kalimah.

Situasi yang ada ketika itulah yang menarik minat para siswa Universiti Malaya untuk memasuki Silat Cekak. Dari jumlah seramai lebih daripada lima puluh orang, hampir tiga suku daripadanya telah berumur. Rata-rata umur mereka melebihi tiga puluh tahun. Ramai juga yang telah mencecah umur empat puluhan. Latar belakang silat yang ada menyebabkan mereka memberi perhatian pada pembelajaran Silat Cekak.

Ketika pertama kalinya kami turun belajar silat, nampak kelainan pada SC. Tersangat mudah. Tak banyak karenah tentang adat istiadat persilatan berdasarkan kebiasaan silat Melayu. Sistem pembelajarannya juga tersangat mudah. Tak banyak gerak dan tak payah keluarkan suara. Senyap. Tumbuk pun senyap. Menangkis seranganpun senyap. Hanya kedengaran ‘tampar nyamuk’ ketika buat Kaedah A dan keluhan suara sekali sekala kerana sakit tangan menepis Kaedah B dan Kaedah C. Ada yang mengeluh kerana bukan tangan yang ditepis, tapi angin yang ditepis. Tampar angin. Kadang-kadang kedengaran suara ketawa kerana kesilapan penuntut membuat tepisan. Tepisan tak menjadi, badan yang kena.

Namun begitu, pada sesetengah rakan penuntut, lain pula tafsiran mereka. Bosan pun ada. Macam main-main. Tak ada apa-apa keistimewaan. Kalau belajar silat dulu, mengeluarkan suara boleh menimbulkan semangat. Tapi kali ini tidak ada. Asyik ‘tampar nyamuk’ untuk Kaedah A. Penggunaan Kaedah B, ok juga. Kaedah C dan Kaedah D, kurang faham tujuannya. Tak nampak sangat akan faedahnya. Mana ada orang tumbuk di bahagian bawah. Nampak buruk sifatnya. Bukannya ada kuda-kuda. Kalau ada kuda-kuda, cantik juga.

Kadang-kadang hal yang demikian merisaukan saya juga. Jika ada dalam kalangan rakan penuntut yang berhenti belajar, tentunya bilangan penuntut akan kurang. Kalau bilangan ahli semakin kurang, semangat belajar pun mungkin turut berkurang. Kerap kali saya cuba memujuk mereka supaya habis belajar. Jangan main sekerat-kerat. Tak sedap pun.

Walau bagaimanapun, setelah habis pelajaran Kaedah, kami begitu berminat hendak mengetahui tentang buah pukulan SC. Sebelum ini kami difahamkan Jurulatih SC yang ada bersama bahawa SC amat mementingkan pukulan. Satu pandangan yang berlainan dari kebiasaan dan amalan persilatan kami yang sangat mementingkan tangkapan. “Pukulan belakang kira. Tangkap dulu.”

Kami juga ingin mengetahui akan peranan Kaedah dalam proses membuat buah. Inginkan pembuktian. Gebang atau labun kah! atau satu kebenaran. Hal yang demikian kerana gerak SC tersangat asing bagi kami. Kurang peluang tengok kehebatan SC. Ketika itu, pertunjukan SC jarang dapat dilihat. SC belum popular lagi. Oleh itu gambaran tentang SC adalah tersangat kurang.

Sampailah saat dan ketika. Ustaz turun menunjukkan buah asas Pertama. Saya orang pertama mendapatkannya. Menanti gerak buah dalam debaran. Sangat berkeinginan mengetahuinya. Rakan-rakan yang lain memberi tumpuan dan perhatian. Tiba-tiba berbunyi suara. Wow! Satu pukulan yang tepat di rusuk kanan saya. Semua orang terpegun. Suasana senyap; melainkan suara saya. Bukan setakat itu sahaja. Ustaz terus menunjukkan pukulan cara lain. Tangan dibuka, tapi jarinya dilipat. Satu lagi pukulan hinggap di rusuk. Wow! Sakitnya. Bukan setakat itu saja lagi. Kali ini Ustaz menunjukkan pukulan cara lain. Tangan dibuka. Dibuatnya cucukan di bawah ketiak. Wow! Bunyi lagi. Sakitnya. Semuanya bunyi Wow!. Tak ada langsung bunyi Awww!

Semua rakan penuntut berasa kagum. Baru tahu. Baru nampak. “Hebatnya SC”. Sekurang-kurangnya timbul kesedaran bahawa pelajaran Kaedah yang pada mulanya dianggap macam tak ada apa-apa, rupa-rupanya, besar gunanya. Buah Pertama adalah merupakan ‘first impression’ kami pada SC, betapa pelajaran Kaedah dan buah SC yang mula diperkenalkan amat besar kesannya dijiwa. Sangkaan buruk pada Kaedah SC yang dianggap mudah, meleset begitu saja.

Tanggapan yang pertama itu membentuk perasaan yang berkesan dalam kalangan hati kami betapa SC adalah merupakan satu silat yang hebat. Semuanya atas perbuatan membuat pukulan pada buah Pertama. Timbul minat atau ghairah untuk mengetahui buah-buah seterusnya. Mulalah kami serius sikit untuk mempelajari SC seterusnya. Nampak akan standardnya.

Cuba kita kaji sistem pembelajaran SC yang disusun Ustaz sebegitu rupa. Dalam keadaan sakit di rusuk dan sakit di bawah ketiak ketika menjalani latihan buah Pertama, pelajaran SC ditenang kembali dengan pengenalan buah Gayung Patani. Lembut geraknya. Tenang sifatnya. Perasaan tegang mula reda. Kendur semuanya. Ingatkan kena lagi pukulan padu. Tapi lain jadinya. ‘Pujukan’ pada gerak.

Walau bagaimanapun, tanggapan yang mulai ‘reda’ itu, dikejutkan semula dengan kejutan pukulan Sendeng Atas. Woww lagi! Dalam keadaan perasaan yang kembali reda, tiba-tiba ada kejutan pada buah berikutnya. Walau bagaimanapun, pukulan-pukulan seterusnya pada buah yang ada, telah menjadi satu kebiasaan. Begitulah hebatnya sistem pembelajaran SC. Sistem yang telah diasas dan dimuktamadkan Ustaz.

Sebagai seorang ‘pengkaji’ silat dan peminat silat, saya dapat lihat betapa sistem pelajaran yang ada dalam SC adalah tersusun dengan kemas. Psikologi dalam sistem pelajarannya amat tinggi. Itulah kesimpulan pada kami. Daripada sifat kepercayaan yang semakin pudar pada SC, penuntut dikejutkan dengan pukulan pada buah Pertamanya. Hati tersentak. Kepercayaan dan keyakinan mula datang kembali. Kemudian tenang semula dengan pengenalan Gayung Patani, sebelum disentakkan fikiran pada buah berikutnya.

Sampailah ke peringkat pemikiran, para penuntut tak kisah tentang buah-buah berikutnya. Sama ada akan dapat pukulan yang hebat atau tidak, semuanya tidak mendatangkan masalah. Diri telah bersedia manakala hati dan perasaan sudah boleh menerima segala bentuk pelajaran seadanya.

Ketika berbincang sesama ahli, tersangatlah kami kagum dengan sistem yang sedemikian hasil pemikiran Ustaz. Saya pernah menulis betapa kumpulan penuntut kelas saya, hampir kesemuanya pernah belajar persilatan Melayu. Ada yang bertaraf Jurulatih dan ada yang bertaraf guru. Mereka dapat membandingkan antara ilmu yang mereka ada dengan sistem pelajaran SC yang baru dipelajari. Nampak akan keistimewaan SC.

Cubalah juga para pembaca buat kajian sendiri. Fikir sendiri. Kenapa Kaedah ABCD tidak dilatih secara turutan bersekali dengan buah-buah SC yang ada. Selepas buah Pertama dengan Kaedah A, sepatutnya diikuti buah Kuntau Jatuh dengan Kaedah B. Seterusnya Buah Kilas Depan dengan Kaedah C dan diikuti dengan Buah Hempuk untuk Kaedah D. Kemudiannya diikuti dengan buah-buah lain. Ataupun, kesemua buah dikumpul pada kaedah yang tertentu. Untuk Kaedah A, kumpulkan semua buah yang berkaitan. Begitu juga dengan Kaedah-Kaedah lain. Tentu ada sebab maka sistem pelajaran SC tidak disusun mengikut turutan Kaedah A, B, C dan D. Buatlah perbincangan sendiri. Hal yang demikianlah saya katakan sebagai aspek psikologi pendidikan yang tinggi dalam sistem pembelajaran SC.

Itu sebab juga saya mempertahankan betapa pukulan buah Pertama perlu diambil berat. Hal yang demikian adalah merupakan tanggapan pertama penuntut pada SC. Gunakan kesempatan untuk menegaskan bahawa SC bukannya silat main-main. Sistem pembelajarannya adalah secara berperingkat. Dari mudah kepada payah. Dari payah kepada senang. Dari banyak kepada sikit. Dari sikit kepada mudah.

Kalau tangan dibuka untuk maksud pukulan buah Pertama, hilanglah maksud tanggapan hebat pada sentuhan pertama itu. Tentunya, jeritan Wow! akan diganti dengan rasa geli ‘Awww’. Maka berkumandanglah bunyi-bunyi ‘Awww’. Cukup. Hari dah gelap. Hujan nak turun. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/01/2013 in Persilatan