RSS

Monthly Archives: May 2013

61.5.3. KENALI SILAT CEKAK – sambungan Tumpuan Mata.

Pegangan Konsep Gerak.

Dalam tulisan yang lalu saya telah menyentuh tentang tumpuan yang perlu dilakukan ketika kita bersilat. Tidak kiralah sama ada dalam proses menunggu serangan atau melakukan serangan. Pada pandangan saya, setelah tamat silat, pandangan kita pada lawan adalah secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, pandangan saya itu ada penegasannya. Ketika proses pembelajaran SC, tumpuan adalah secara berfokus. Hal yang demikian kerana pelajaran SC dalam jangka masa enam bulan adalah secara berfokus.

Saya lanjutkan lagi perbincangan. Cuba kita kenang kembali pengalaman ketika belajar SC dalam proses pembelajaran enam bulan itu. Kita boleh simpulkan bahawa semua pelajaran SC adalah berfokus. Hal yang demikian menyebabkan gerak kita pun berfokus. Dari pelajaran Kaedah kepada pelajaran asas dan seterusnya pelajaran jatuhan, potong dan serang. Pembelajaran yang berfokus menjadikan pandangan kita juga perlu berfokus.

Ketika pembelajaran Kaedah, pandangan kita berfokus pada bahu. Kita diarahkan supaya lihat bahu pasangan kita. Denyut bahu akan memberi isyarat pada pergerakan tangan. Hal yang demikian akan memudahkan tindakan gerak yang bakal kita lakukan. Tepisan lebih mantap dan berkesan.

Apabila masuk pelajaran buah asas dan jatuhan, penekanan tumpuan pada bahu lawan amat jarang diperkatakan. Semakin kurang arahan. Penuntut dilatih secara tidak langsung supaya memandang lawan secara keseluruhan. Tapi masih tertumpu di bahagian tengah badan. Gerak kaki yang berada di bahagian bawah tidak mendatangkan apa-apa tekanan kerana tindakan kaki tidak ada dalam pelajaran demikian.

Ketika itu para Jurulatih pun kurang memberi penekanan pada aspek tumpuan pandangan di mana-mana bahagian tubuh lawan. Matlamat utama ialah mematikan gerak serangan lawan melalui buah-buah jatuhan. Oleh itu, para penuntut mula melatih diri memandang secara meluas dan secara keseluruhan ketika berhadapan dengan lawan. Semuanya berlaku secara tidak langsung dalam proses pembelajaran berkenaan.

Apabila masuk pelajaran potong, pelajaran kita masih lagi berfokus. Tumpuan yang berfokus itu adalah kerana tertumpu pada gerak tepisan lawan. Tak perlu ada arahan supaya membuat tumpuan. Tumpuan adalah secara spontan. Hal yang demikian kerana gerak potong adalah berdasarkan gerak tepisan tangan lawan. Masih lagi tidak ada tindakan gerak dari kaki. Oleh itu, senanglah tumpuan diberi pada gerak bahagian tangan.

Dalam pelajaran tumbuk serang pula, kita difahamkan dengan maksud gerak lawan. Penuntut dididik agar sensitif dengan segala gerak yang bakal dilakukan lawan. Pandangan kita semakin meluas dan secara keseluruhan. Semua bahagian badan lawan dapat dirangkumkan dalam satu pandangan ketika kita melakukan serangan. Pandangan yang sedemikian menampakkan keseluruhan pergerakan lawan, sama ada bahagian kaki atau bahagian tangan.

Kalau badannya mengelak, kaki juga akan bergerak. Gerak kaki juga boleh memberi petanda arah gerak lawan, di samping gerak badannya. Kita perlu sensitif dengan gerak kaki tersebut. Kalau menepis tanpa mengelak, gerak tangan akan memberi petanda. Oleh sebab kita tidak tahu bahagian mana yang akan bergerak, maka tumpuan secara keseluruhan amat penting. Pandangan tidak boleh berfokus lagi. Banyak kelemahannya jika berbuat demikian.

Dalam pelajaran umum, tumpuan kita semakin meluas. Kita tidak dapat menentukan gerak tangan atau gerak kaki. Oleh itu tumpuan kita memerlukan pandangan secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, setelah enam bulan diasuh dengan pelbagai tempat pandangan dan tumpuan yang berfokus, telah banyak membantu kita untuk mengagak gerak lawan.

Dalam sistem mempertahankan diri, kita menunggu serangan lawan. Kita perlu membuat tafisran yang tepat pada gerak lawan sama ada lawan kita menggunakan serangan tangan atau serangan kaki. Tidak kiralah sama ada gerak kanan atau gerak kiri. Hal yang demikian, pandangan secara keseluruhan akan memberi banyak makna.

Begitu juga dalam sistem serangan. Lapangkan fikiran. Pandang secara keseluruhan. Jika kita berfokus pada satu-satu bahagian badan, akan memaksa keseluruhan fikiran tertumpu pada bahagian berkenaan. Hal yang demikian akan mengganggu gerak keseluruhan kita.

Ketepatan mengesan gerak lawan memerlukan latihan. Sesungguhnya, dalam proses pembelajaran SC, hal yang demikian sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut dari masa ke masa. Persembahan serangan empat penjuru dan serangan beramai-ramai adalah juga berbentuk simbolik betapa pengamal SC boleh menghadapi serangan lawan dari pelbagai sudut pandangan. Kepelbagaian sudut pandangan itu mengajar kita atau melatih kita untuk menghadapi serangan dalam pandangan atau tumpuan yang terhad. Kalau musuh berada di sisi, apa bahagian yang boleh dilihat. Tak nampak apapun bahagian badannya secara khusus. Namun begitu, kita masih ada pandangan secara keseluruhan. Apatah lagi di bahagian belakang. Apa pun tak nampak. Betul-betul mengharapkan deria rasa dan deria dengar bagi akal membuat tafsiran.

Kita boleh buat latihan sedemikian dalam kelas-kelas kemahiran. Sebagai maksud berkongsi pengalaman, saya beri dua contoh latihan yang sering saya jalankan untuk maksud tumpuan pandangan. Pertamanya latihan serangan empat penjuru. Dalam kelas kemahiran, saya buat lima penjuru. Tak masuk bahagian belakang. Tumbukan dari depan tak jadi masalah. Boleh nampak keseluruhan badan secara berdepan.

Tumbukan dari bahagian lain memerlukan pandangan keseluruhan. Misalnya serangan di bahagian sisi badan. Mesti ada daya taakulan yang hebat. Orang yang sebegini berupaya membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal. Penglihatan mata dan pendengaran telinga adalah alat untuk akal membuat pertimbangan. Tak perlu lihat mana-mana bahagian anggota badannya secara langsung atau secara berfokus. Tak boleh lihatpun secara tumpuan pada mana-mana bahagian. Biarlah akal yang mempengaruhi tindakan kita. Kemahiran taakulan boleh melatih penglihatan kita untuk melihat gerak lawan secara keseluruhan.

Bila sudah cekap, boleh dibuat latihan kedua. Jangan diatur serangan dari lima penjuru itu secara turutan. Serangan pasangan adalah bebas. Mereka akan berpakat untuk menentukan gerak dulu dan gerak kemudian. Kita uji kemahiran pesilat SC memahami gerak lawan. Prinsipnya, pesilat SC itu tidak dapat memberi tumpuan pada mana-mana anggota badan lawan secara tepat. Sebabnya ialah pasangannya tidak berada di depan. Kalaulah pesilat itu dapat mengatasi serangan lawan berdasarkan tumpuan secara keseluruhan, apatah lagi jika pasangannya berada di depan. Lagi mudah gerak pesilat SC untuk mengatasi gerak lawan.

Oleh itu, pandangan secara keseluruhan amat bertepatan dengan sifat gerak dalam SC. Selama enam bulan, para penuntut telah dilatih menggunakan prinsip pandangan berfokas berdasarkan pelajaran yang berfokas. Setelah tamat silat, para penuntut telah mendapat gambaran sebenarnya tentang corak dan bentuk persilatan SC. Hal yang demikian telah memberi kesan pada daya tumpuan kita pada lawan. Pandangan kita adalah secara keseluruhan. Namun begitu, pandangan secara keseluruhan itu adalah lebih strategik. Hal yang demikian adalah kerana pandangan keseluruhan itu adalah terbentuk dari hasil tumpuan yang berfokus ketika pembelajaran SC selama enam bulan. Pada saya, itulah salah satu kelebihan dan keistimewaa yang ada dalam SC.

Kita boleh ambil contoh yang mudah berdasarkan aktiviti pemanduan kereta. Ketika memandu, tumpuan mata kita tidak tetap pada satu-satu tempat. Misalnya, tumpuan pada kereta yang berada di hadapan. Sebaliknya, tumpuan kita adalah secara luas dan meluas. Tangan dan kaki kita akan bertindak berdasarkan riaksi yang berlaku di sekeliling. Jika berlaku satu-satu kejadian yang jauh di depan, kaki kita tahu menekan brek. Kalau gear kereta secara manual, tangan pula tahu untuk menukar gear. Semuanya berjalan secara serentak tanpa dipaksa-paksa. Secara automatik. Hal yang demikian kerana kita telah diasuh dalam masa pembelajaran memandu kereta akan kegunaan brek, gear dan sebagainya secara berfokus.

Begitulah keadaannya ketika kita bersilat. Tumpuan kita adalah meluas dan secara keseluruhan. Apabila berlaku satu-satu gerak yang mengancam dirinya, dalam proses gerak yang satu itu, pesilat SC boleh bertindak secara sepontan. Pengamal SC akan berupaya menangkis serangan kaki atau tangan jika dia menunggu. Ataupun, ketika menyerang, tindakan geraknya mampu untuk mengatasi gerak tangan atau gerak kaki lawannya. Kebolehan sedemikian bukanlah sesuatu yang pelik. Para pengamal SC telah diasuh dengan gerak-gerak yang berfokus itu dalam masa pembelajarannya. Semua gerak itu telah menjadi sebati dengan dirinya. Oleh itu gerak spontan yang terjadi adalah dalam dasar gerak yang telah diasaskan terlebih dahulu.

Kebolehan kita bergerak secara spontan boleh diasuh dari masa ke masa. Pandangan mata perlu dibantu oleh gerak panca indera kita yang lain bagi membantu akal kita membuat tafsiran gerak. Tidak kiralah sama ada dalam sistem pertahanan diri atau dalam dalam sistem serangan. Latihlah diri supaya memandang atau melihat secara keseluruhan gerak lawan. Tak perlu difokus pada mana-mana bahagian badan. Biarlah tindakan gerak kita berlaku secara semula jadi apabila diperlukan pada bahagian-bahagian yang tertentu.Sekian.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on 30/05/2013 in Persilatan

 

61.5.2. KENALI SILAT CEKAK – Tumpuan Mata.

Pegangan Konsep Gerak.

Berdasarkan tulisan lalu, jelas pada kita tentang kepentingan berada di bahagian belakang lawan. Prinsipnya, pandangan kita pada kedudukan lawan perlu jelas dan meluas. Tidak ada penghalang. Manakala pandangan lawan pada kedudukan kita perlu terhalang atas sifat kedudukan kita yang berada di belakang. Tapi, kalau dua-dua pesilat bagi belakang, sama-sama tak nampak. Bolehlah bersilat dalam gelap. Silat gelap.

Fahaman kita pada prinsip kedudukan di bahagian belakang lawan perlulah berlapis. Jangan berfaham selapis atau sehala. Lurus bendul. Kalau tidak, timbul pelbagai persoalan yang bukan-bukan. Misalnya pasti ada yang bertanya,, “kenapa pulak dalam pelajaran enam tolak enam, kedudukan kita berhadapan; bukannya di belakang.”

Semua persoalan anak didik kita, kena dijawab. Mungkin pada kita persoalan yang sedemikian adalah remeh. Tapi, pada mereka yang menimbulkan persoalan, tentunya menghadapi masalah pemahaman yang kronik. Jawapan kita perlu berhati-hati supaya tidak mengguris perasaan hati, walaupun persoalan yang ditimbulkan anak didik kita menyakitkan hati.

Kedudukan asal kita ketika menghadapi lawan adalah secara berdepan. Kecualilah lawan kita bagi belakang. Proses tindakan gerak kitalah yang memerlukan kedudukan yang menghalang pandangan lawan. Tidak kiralah sama ada dalam sistem serangan atau sistem mempertahankan diri. Konsep enam tolak enam ialah kembali kepada kedudukan asal.

Dalam fahaman biasa, kalau enam tolak enam maka jawabnya kosong. Kena kira semula. Maknanya kembali kepada kedudukan gerak mula iaitu berdiri secara berhadapan. Proses gerak boleh dimulakan semula sama ada hendak menunggu serangan atau memulakan serangan. Dalam proses itu, jika kita ingin ‘keluar’ dari ‘medan pertempuran’, prinsip enam tolak enam boleh diguna pakai. Kembali ke kedudukan asal. Mula balik dan seterusnya, seterusnya.

Ada yang bertanya, ketika menghadapi lawan, pandangan kita perlu ditumpukan pada bahagian mana. Persoalan itu kadang kala menjadi popular dalam proses kita memahami gerak. Dalam tulisan ini saya cuba membuat perbincangan berdasarkan pengalaman saya bersilat.

Ketika menghadapi lawan, ada yang kata pandang dada, ada yang kata pandang pusat, ada yang kata pandang bahu, ada yang kata pandang tangan dan macam-macam pandang lagi. Saya tak nak komen. Tak berani kata salah atau betul. Masing-masing ada alasannya.

Cuma, ramai yang berkata, berhati-hati pandang mata. Pandangan pada mata boleh mendatangkan mudarat. Banyak juga petua persilatan lain yang melarang ahli silatnya melihat mata ketika berhadapan dengan pihak lawan. Saya difahamkan tenungan pada mata boleh membawa kesan buruk. Pada mereka yang ada ‘kuasa tenungan’ boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Itu sebab agaknya, kes-kes yang melibatkan pukau adalah berpunca dari kuasa renungan mata. Oleh itu petua mereka, jangan pandang bahagian mata. Pandang pada tempat lain. Setakat ini tidak pernah dengar akan kesan buruknya memandang tempat-tempat lain pada kita. Kecuali pandang pusat lama-lama. Lain ingatan dan tafsirannya.

Samalah agaknya persoalan apabila ditanya,”Bila tengok wanita cantik, bahagian mana yang menjadi tumpuan”. Hal yang demikian tentunya bergantung pada individu yang tertentu atas kepentingannya. Mereka yang berminat pada muka, akan beri tumpuan pada muka. Jika berminat pada rambut, akan menumpukan perhatian pada bahagian rambutnya. Tapi kalau pakai tudung, alamat melepas. Kalau berminat pada bahagian pusat, maka pusatlah tempat tumpuannya. Bila waktu malam, apa yang dilihat maka itulah yang dapat dibayang. Bahagian-bahagian lain, tak tergambar langsung. Pada saya, tentunya saya suka meihat secara keseluruhannya. Dapat gambaran yang lebih luas. Macam mana agaknya tumpuan wanita pada lelaki. Tak boleh jawab.

Pandangan orang-orang buta juga adalah berfokus. Pandangan mereka adalah berdasarkan mata hati. Bahagian yang dipegangnya akan memberi kesimpulan tentang sesuatu objek. Kalau dicontohkan seekor gajah, bahagian yang dipegangnya adalah merupakan tumpuannya untuk memberi gambaran tentang gajah. Itulah tafsirannya bagi menggambarkan seekor gajah. Misalnya, kalau pegang ekor gajah maka digambarnya gajah itu seperti mana bahagian ekor yang dipegangnya. Kalau dipegangnya punggung gajah maka itulah gambaran gajah pada tafsirannya.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan orang yang celik. Pandangannya lebih meluas, meliputi seekor gajah yang mempunyai pelbagai anggota badannya. Mana mungkin ekor gajah atau punggung gajah dilambangkan sebagai gajah seperti mana gambaran yang diberi oleh orang buta. Maknanya, mata yang celik berkemampuan memberi gambaran yang sepenuhnya tentang sesuatu objek.

Saya ada terbaca artikal yang berkaitan dengan konsep fokus dalam pandangan. Dikatakan padangan orang lelaki tak sama dengan pandangan wanita. Pandangan orang lelaki lebih luas dan tumpuannya adalah secara keseluruhan. Kalau memandu kereta, bidang pandangannya lebih luas dan sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling. Berbeza dengan kaum wanita. Pandangan mereka lebih berfokus. Tumpuannya pun berfokus.

Itu sebabnya kalau mencari carum yang hilang, kaum wanita lebih cepat untuk mendapatkannya. Akan tetapi ketika memandu kereta, biasanya kita takut dengan pemandu wanita. Tak berani ikut belakang. Pandangan yang berfokus menjadikan sifat mereka tak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Ketika memandu, tumpuannya tertumpu di hadapan. Kalau nak memotong, tak peduli apa yang ada di kiri atau di kanan. Pakai redah. Itulah pendapat hasil pembacaan saya secara tidak langsung dalam satu tulisan dalam akhbar.

Pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz, sentiasa saya jadikan alasan bagi menjawab persoalan tumpuan pandangan pada lawan. Selalu saya tegaskan kepada anak didik saya. Setelah tamat silat, pandangan kita adalah secara keseluruhan. Pandangan kita perlu nampak semua pergerakan lawan.

Pandangan yang berfokus adalah dalam masa pembelajaran. Pandangan penuntut adalah berfokas pada satu-satu bahagian badan, bergantung pada sukatan pelajarannya. Hal yang demikian adalah sangat membantu pada para penuntut yang baru mula menceburi persilatan SC untuk memahami pergerakan lawan.

Walau bagaimanapun, pandangan yang sedemikian tidak menjadi satu amalan yang berterusan. Setelah tamat silat, pandangan kita adalah secara keseluruhan. Tumpuan yang berfokus akan mendatangkan kelemahan untuk memahami gerak secara keseluruhan. Tumpuan yang berfokas boleh menyebabkan kita mengarah tumpuan secara ‘paksa’ pada satu-satu tempat atau pada satu-satu bahagian. Tindakan yang sedemikian juga memungkinkan sifat alpa pada bahagian atau tempat yang lain. Saya akan menghuraikan huraian pendapat saya seterusnya dalam tulisan yang berikut.

 
Leave a comment

Posted by on 27/05/2013 in Persilatan

 

61.5.1. KENALI SILAT CEKAK – Sentiasa Di Belakang.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan tentang salah satu kefahaman gerak yang ada dalam SC iaitu “Satu Gerak Dalam Kiraan Saat dan Ketika”. Kefahaman yang sedemikian amat besar gunanya dalam pembelajaran SC. Itulah asas kefahaman yang perlu ada ketika kita mempelajari peringkat pembelajaran SC seterusnya. Berdasarkan pengalaman bersama Ustaz, kefahaman itulah yang ditanam terlebih dahulu sebelum pelajaran menengah diperturunkan.

Kefahaman pada konsep gerak itu juga memberi beberapa kesan pada sikap kita ketika melakukan gerak. Gerak-gerak yang bersepadu dalam satu gerak, perlu dilakukan secara tertib. Yang dahulu, perlu didahulukan. Yang kemudian perlu dikemudiankan. Aturan yang perlu dipatuhi. Jangan gopoh. Wujudkan kesetabilan diri ketika membuat gerakan. Saya telah memberi contoh ketika kita membuat buah-buah jatuhan.

Begitu juga dalam proses gerak serangan yang kita lakukan. Ketika membuat gerak potong, aturan pergerakan perlu ada. “Jangan kira nak potong sahaja”. Itulah ayat yang sering kita dengar dari Jurulatih yang tidak berpuas hati atas gerak pesilat yang gopoh. Tidak mengikut peraturan gerak. Gerak serangan tumbukan perlu ada tetapi mesti bersifat kemas dan teratur. Setelah memotong barulah ambil buah. Semuanya bergerak secara bersepadu tetapi tertib. Dalam satu proses gerak. Perbezaan antara setiap gerak itu tidak dapat diukur melalui mata kepala. Terlalu cepat. Macam kilat. Kiraan saat dan ketika.

Gerak yang satu atau gerak yang serentak itu juga membawa makna, jangan ada gerak yang bermalam. Saya maksudkan sebagai gerak yang terhenti di satu-satu saat dan ketika. Hal yang demikian akan mengganggu proses segerak dalam satu gerak. Sifat menyambung gerak yang terhenti itu akan menjadikan proses gerak yang lain. Maka hilanglah sifat gerak dalam satu proses gerak. Terbit pula sifat gerak dalam dua proses gerak. Walhal, prinsip segerak dalam satu proses gerak yang sama adalah amat penting bagi menguasai dan mengatasi gerak lawan.

Dalam tulisan seterusnya, saya masih membincangkan tentang proses gerak yang satu berkaitan dengan corak gerak yang dilakukan. Gerak itu adalah meliputi gerak kita mempertahankan diri atau gerak kita ketika melakukan serangan. Ungkapan yang berkaitan ialah kedudukan kita perlu sentiasa berada di belakang lawan. Ungkapan tersebut semacam satu prisnip yang perlu atau mesti ditekankan oleh setiap Jurulatih ketika menyampaikan pelajaran SC dalam kelas-kelas persilatan. Gerak yang sedemikian adalah merupakan salah satu prinsip gerak yang melambangkan persilatan SC. Penekanan pada gerak itu adalah secara bersungguh. Saya tidak fikir penekanan yang sama ada dilakukan dalam persilatan Melayu yang lain. Maka lahirlah ungkapan berikut dalam perbincangan saya pada ungkapan yang ketujuh.

UNGKAPAN KETUJUH:

Sentiasa Berada Di belakang Lawan.

Prinsip berada di bahagian belakang adalah merupakan kebanyakan gerak yang ada dalam SC. Ungkapan ini sering kali diuar-uarkan Ustaz ketika menerangkan tentang kedudukan yang sepatutnya kita berada setelah membuat gerak. Gerak sedemikian adalah meliputi gerak dalam sistem pertahanan diri atau sistem serangan. Kita perlu memahami maksud konsep ‘berada di bahagian belakang’.

Berada di bahagian belakang boleh juga disebut membelakangi bahagian badan pasangan kita. Cuma darjah atau peratus keberadaan di bahagian belakang perlu kita faham. Kalau tidak, maka kita akan terkeliru dengan maksud ungkapan tersebut.

Kita lihat sistem pertahanan diri kita. Semua kaedah SC telah membolehkan kita berada di bahagian bekakang pasangan kita. Kaedah-kaedah A, B, C dan D adalah ditolak ke dalam. Penolakan itulah yang membolehkan kita berada di bahagian belakang. Mungkin kefahaman rangkai kata bahagian belakang itu tidak sama dengan gambaran maksud rangkai kata kita secara terjemahan selapis.

Saya membuat kesimpulan bahawa maksud ‘berada di bahagian belakang’ membawa makna kita berada di bahagian atau di sudut yang menyulitkan pandangan pasangan kita. Tafsiran itu sangat memadai untuk mengatakan bahawa kedudukan kita telah berada di bahagian belakang pasangan kita. Dari sudut psikologi, sifat gerak kita yang sedemikian boleh menganggu daya tumpuan lawan kita pada gerak yang kita lakukan. Tumpuan pandangannya tidak sepenuhnya pada pesilat SC. Itulah kefahaman mudah kita pada ungkapan tersebut ketika membuat penerangan pada anak didik persilatan SC.

Rangkai kata di bahagian belakang adalah berbeza dengan istilah berdepan. Jika kita mengambil kaedah secara membangkang maka terjadilah kedudukan secara berdepan. Kedudukan yang sedemikian begitu asing dalam SC. Banyak alasannya. Pertamanya gerak itu adalah gerak sukan. Keduanya kita akan menghadapi risiko besar untuk mematikan gerak lawan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan gerak kaedah yang sedia ada terpakai dalam SC. Tepisan tangan lawan menjadikan kita berada di bahagian belakang.

Teringat penerangan Ustaz tentang gerak yang sedemikian. “Kenapa kita berada di bahagian belakang?”. Itulah pertanyaan Ustaz pada anak didiknya dalam kelas silat. Ustaz sendiri menjawab, “Kerana bahagian ini tak ada mata.”

Kami cuba memahami penerangan Ustaz itu. Percakapan secara kiasan. Memang tepat maksud Ustaz. Berada di bahagian belakang adalah bermaksud berada dalam satu posisi atau berada di bahagian yang menyulitkan pandangan lawan kita. Pandangannya akan terganggu. Hal yang demikian secara langsung akan mengganggu gerak tindak balas yang boleh dilakukan lawan kita. Posisi kita telah menyebabkan lawan kita tidak dapat bertindak dengan tepat. Sebaliknya, kedudukan itu sangat menguntungkan kita. Pandangan kita lebih luas dan tidak terganggu. Hal yang demikian juga sangat membantu kita untuk mematikan gerak lawan.

Kesemua buah jatuh yang berdasarkan Kaedah adalah dalam keadaan posisi yang kita tafsiran sebagai berada di bahagian belakang. Cuma, terdapat buah-buah keputusan yang menggunakan kaedah gelek yang menyebabkan kita berada di bahagian depan. Namun begitu konsepnya masih tidak berhadapan secara langsung. Kita ada cara untuk mengatasi masalah yang mungkin timbul.

Mungkin contoh yang sesuai ialah buah Sendeng Atas. Gerak buah ini boleh menimbulkan sedikit persoalan atau pertanyaan dalam kalangan penuntut ketika kita menerangkan konsep ungkapan ketujuh ini. Gerak kita mudah dilihat secara keseluruhan oleh pihak lawan. Walau bagaimanapun, gerak sedemikian ada pengawasannya. Tidak mendatangkan kemudaratan.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menegaskan betapa buah-buah keputusan ada keistimewaannya. Ada kelebihannya. Walaupun berdepan, gerak buah berkenaan ada dua keistimewaan atas pemakaiannya. Pertamanya, cara masuk adalah secara gelek. Badan kita mengereng setelah kaki kiri berada di belakang. Keduanya, pukulan buah berkenaan bukan senang diduga. Tak nampak. Tiba-tiba sampai di bawah dagu. Pukulan secara kejutan. Tentunya, tindakan gerak kita tersebut mengelirukan gerak lawan. Pada mereka yang mengambil buah “Sendeng Atas Lari Berbatu”, mungkin tidak akan memahami maksud tulisan saya ini.

Saya ada menyentuh tentang kelemahan yang mungkin dilakukan ketika membuat buah Pasung Kemanga. Cara gelekan yang melebihi 180 darjah akan menyebabkan kedudukan kita membelakangkan belakang lawan. Maknanya kita bagi bahagian belakang kita secara belakang bertemu belakang. Saya ingin menegaskan betapa gerak yang sedemikian adalah terkeluar daripada kefahaman gerak kita. Banyak buruk dari baiknya atas sifat gerak yang sedemikian.

Ketika kita membuat gerak, sering kali mata kita memerhatikan gerak lawan. Jangan leka. Kita sentiasa membuat penegasan sejak memperkenalkan sistem Kaedah dalam kalangan penuntut. Semasa membuat buah jatuh pun penekanan tersebut sentiasa diberi. Lebih-labih lagi ketika kita membuat buah Gayung Patani. ”Mata bertentang mata”. Itulah ungkapan yang sering ditegaskan. Buah berkenaan memerlukan sensitivisi kita atas gerak lawan. Tindakan kita adalah berdasarkan gerak lawan. Kita tidak tahu gerak apa yang dilakukan. Kecuali tegahan gerak angkat kaki yang telah kita syaratkan.

Begitu juga dengan sistem serangan kita. Setelah memotong, kita akan memintas untuk berada di bahagian belakang. Tidak kiralah sama ada kaki kita melangkah ke depan ataupun tindakan memotong secara kaki tidak melangkah ke depan. Asasnya, kedudukan kita mesti berada di bahagian belakang. Kedudukan kita yang sedemikian adalah banyak faedahnya. Kita telah berada dalam zon selamat yang teramat kurang akan risiko tindak balas lawan. Sebaliknya, kita boleh melakukan gerak berdasarkan peraturan yang ada seadanya dalam SC secara bebas.

Ungkapan yang kita bincangkan dalam tulisan ini memberi ingatan pada kita. Jangan benarkan lawan berada di bahagian belakang kita. Dan; jangan juga bagi belakang kita bertemu dengan belakang pasangan kita. Belakang bertemu belakang, lain ceritanya. Sampai Pasung Kemanga menjadi mangsanya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 23/05/2013 in Persilatan

 

61.5.0. KENALI SILAT CEKAK – Pegangan Konsep Gerak.

Saya telah banyak membincangkan betapa prinsip, konsep dan falsafah gerak adalah perdu utama kefahaman kita dalam persilatan Silat Cekak. Selalu Ustaz fahamkan saya, “Hal yang demikian adalah disebabkan hakikat Silat Cekak ialah silat gerak”. Gerak kita adalah berfokas dan kajian kita pada gerak lawan, juga berfokas. Hal yang demikian menyebabkan kita bergerak atas kefahaman. Ada sebab kita melakukan satu-satu gerak.

Oleh itu, sebagai pengamal Silat Cekak, fahamilah benar-benar akan setiap falsafah, konsep dan prinsip yang ada dalam gerak silat kita. Galakkan perbincangan dalam kalangan penuntut, terutamanya dalam kalangan Jurulatih dan Tenaga Pengajar. Boleh buat tajuk perbincangan ketika mengadakan kursus-kursus yang berkaitan dengan SC. Masukkan bersama tentang kefahaman yang ada dalam gerak persilatan SC di mana-mana atur cara program. Bukakan minda mereka. Galakkan perbincangan bagi membolehkan mereka menjawab pelbagai persoalan yang timbul dalam hati anak didik pesilat yang mereka bimbing.

Itulah salah satu cara yang amat sesuai bagi meneruskan kesinambungan ilmu pengetahuan dan pengalaman pada anak didik SC. Kebolehan bersilat secara fizikal amat perlu disertai bersama dengan kefahaman yang jitu tentang segala falsafah yang ada dalam persilatan SC. Hal yang demikian akan menjadikan para pesilat SC terutamanya para Jurulatih dan tenaga pengajar kita lebih berketerampilan secara keseluruhannya. Kebolehan fizikalnya mantap dan kefahamannya tentang persilatan SC juga amat hebat. Hebat sebagai pengamal SC yang hakiki.

Satu ketika lalu, wujud perbincangan dalam kalangan anak murid SC tentang konsep “kulit dan isi” dalam ilmu persilatan yang ‘ditinggalkan’ Ustaz. Ada dalam kalangan mereka yang berasa akan dirinya layak bagi meneruskan penyebaran ilmu yang ditinggalkan Ustaz itu. Salah satu perasaan layak itu nampaknya disandarkan pada kemahiran fizikal dan kefahaman pesilatan yang diasaskan Ustaz. Masing-masing mendakwa hanya diri mereka sahaja yang ada ‘kulit dan isi’. Manakala yang lain hanya ada kulit sahaja tanpa ada isi.

Berdasarkan perbincangan dengan mereka, saya membuat kesimpulan bahawa konsep kulit dilambangkan mereka sebagai gerak fizikal SC, manakala konsep isi dirujuk pada kefahaman yang ada dalam persilatan SC. Kefahaman itu juga diluaskan pada fahaman yang berkaitan dengan ilmu agama. Saya telah menulis hal yang berkenaan dalam tulisan yang lalu.

Ketika ini, perbincangan mengenai konsep kulit dan isi tidak banyak kedengaran lagi. Sudah tak popular. Keutamaan pelantikan guru lebih menjurus pada kehendak persatuan atau kehendak perjanjian. Itu sebabnya, sudah tidak ada pemberatan lagi pada perbahasan tentang konsep kulit dan isi. Namun begitu, saya yakin dan percaya bahawa perguruan kita yang merupakan waris mutlak Pusaka Hanafi tetap mengutamakan kemahiran fizikal dan kefahaman pesilatan SC secara bersepadu dan secara berterusan.

Dalam tulisan yang lalu, kupasan saya tentang gerak adalah berkaitan antara gerak persilatan diri pesilat dengan gerak pasangannya. Di situlah lahirlah konsep makan gerak dalam gerak. Tulisan kali ini masih membincangkan tentang gerak. Cuma gerak yang ditekankan adalah terhad pada gerak persilatan yang dilakukan oleh pesilat itu sendiri.

Asas perbincangan saya adalah berdasarkan beberapa ungkapan yang selalu dinyatakan Ustaz berkaitan dengan gerak yang kita lakukan. Ungkapan-ungkapan itu juga adalah menjadi dasar dan pegangan saya ketika meneruskan kesinambungan pembelajaran SC dalam kalangan anak didik persilatan SC yang saya bimbing.

UNGKAPAN KEENAM:

Satu Gerak Dalam Kiraan Saat dan Ketika.

Umumnya, pembelajaran SC terkandung sistem pertahanan diri dan sistem serangan. Saya telah menegaskan bahawa setiap sistem itu, terdiri daripada beberapa komponen gerak yang bersepadu. Tak boleh dipisah-pisahkan. Semua gerak itu berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Masih dalam satu proses gerak. Hal yang demikian menyebabkan kita nampak seolah-olah gerak yang berlaku itu dalam kiraan satu gerak. Itulah pandangan mata kasar kita.

Membincangkan tajuk ini secara tulisan tanpa ada penerangan secara praktis, nampak kesulitannya. Walau bagaimanapun, saya akan cuba membincangkannya dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

Konsep satu gerak dalam satu ketika membawa makna gerak yang berlaku adalah dalam satu proses gerak atas tujuan yang tertentu. Dalam satu gerak itu, mungkin ada beberapa gerak yang sukar dikesan secara mata kasar. Ustaz memahamkan saya bahawa mustahil berlaku dua gerak dalam satu ketika. Maknanya, pada pandangan biasa, seolah-olah berlaku satu gerak yang serentak pada satu ketika. Hakikatnya, gerak yang satu itu mempunyai beberapa gerak yang berkesinambungan. Bukannya kesemua gerak itu dilakukan secara serentak, melainkan secara berturutan dalam satu proses gerak dalam kiraan saat dan ketika.

Ustaz menegaskan lagi bahawa jika berlaku dua gerak dalam kiraan satu saat dan satu ketika yang sama maka gerak itu tetap dikira satu gerak. Mungkin juga kemenjadian gerak-gerak itu tidak ada kekuatan dan tidak memberi kesan. Cuba kita bayangkan gerak tumbukan yang melibatkan tumbukan dan langkah kaki secara serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama. Boleh cuba sendiri. Jika buat serentak dalam satu kiraan saat dan ketika, maka pergerakan yang berlaku itu agak janggal. Nampak macam gerak robot. Walaupun ada dua gerak iaitu gerak tangan dan gerak kaki, gerak-gerak itu dikira sebagai satu gerak jika dilakukan serentak dalam saat dan ketika yang sama. Kedua-dua gerak itu tidak ada kekuatan dan tidak ada keseimbangan.

Sebaliknya, jika ada turutan antara gerak kaki dan gerak tangan dalam satu gerak maka jelas memberi kesan pada serangan tangan tersebut. Maknanya, kaki perlu bergerak dahulu dan diikuti dengan gerak tangan. Seperti yang saya tegaskan, perbezaan gerak kaki dan gerak tangan tersebut adalah dalam dalam kiraan saat dan ketika. Nampak macam satu gerak. Hakikatnya ada dua gerak dalam proses gerak yang sama.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita perlu memahami sebenar-benarnya makna gerak yang berkaitan dengan konsep segerak. Konsep segerak itu membawa maksud bahawa gerak itu berlaku secara turutan tetapi dalam proses yang sama. Kita juga namakan sebagai gerak yang satu. Maknanya, dalam proses gerak itu terdapat beberapa gerak yang bersepadu. Nampak macam satu gerak.

Untuk memahamkan para penuntut saya, pernah saya kiaskan seperti bedilan meriam yang berterusan. Hal yang demikian boleh ditonton melalui filem-filem barat berkaitan peperangan. Kita boleh nampak peluru meriam yang dilepaskan satu per satu dalam satu proses pengeboman. Semuanya bertali arus. Kita nampak peluru-peluru itu dilepaskan kerana pergerakannya boleh dikira dalam kiraan saat melalui pandangan mata kepala.

Berbeza dengan gerak yang kita lakukan dalam persilatan. Perbezaan antara satu-satu gerak itu lebih cepat. Dalam kiraan saat dan ketika. Istilah kiraan saat dan ketika mungkin merujuk dalam kiraan satu atau dua saat. Itu sebabnya rangkai kata saat dan ketika adalah bersepadu dalam satu sebutan. Kita nampak seperti satu gerak. Hakikatnya banyak gerak yang bertali arus dalam proses gerak yang satu.

Ketika kita buat buah-buah jatuhan, konsep satu gerak dalam saat dan ketika adalah sangat penting. Kalau kita lihat persembahan SC, kita boleh lihat seolah-olah semua gerak buah yang dilakukan adalah secara serentak. Itu adalah pandangan umum kita. Sebenarnya dalam gerak yang serentak itu, terdapat beberapa gerak yang bersepadu dan bertali arus.

Cuba kita ambil contoh pada buah jatuhan Pertama. Dalam buah tersebut terdapat sekurang-kurangnya lima gerak. Mustahil kesemua gerak itu dapat dilakukan secara serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama. Semuanya secara turutan. Setiap turutan itu adalah terlalu singkat. Mungkin setengah saat atau satu saat pada setiap gerak. Oleh sebab sukar diukurlah maka dinamakan gerak dalam kiraan saat dan ketika.

Untuk membuat pukulan di rusuk, tangan pasangan perlu ditepis terlebih dahulu. Diikuti dengan jatuhan pelipat, pukulan secara tampar di lengan dan ditamat gerak dengan langkah kaki kiri ke depan. Kalaulah tepisan dan pukulan di rusuk dibuat secara serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama, kedua-dua gerak itu tidak akan menjadi. Mungkin tepisan akan gagal dilakukan atau tumbukan yang dilepaskan tidak ada kekuatan langsung. Prinsipnya, kalau dua gerak berlaku serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama, gerak-gerak itu dikira sebagai satu gerak. Apatah lagi jika tiga gerak cuba dilakukan serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama. Kesannya sama ada satu gerak saja yang menjadi atau kesemua gerak itu tidak menjadi langsung.

Berdasarkan perbincangan di atas, saya cuba menegaskan kefahaman kita bahawa dalam satu saat dan ketika yang sama, hanya satu gerak saja yang boleh dilakukan. Oleh itu, maksud serentak adalah bermakna kesinambungan beberapa gerak dalam gerak yang satu. Oleh itu, janganlah kita cuba membuat beberapa gerak secara serentak dalam kiraan saat dan ketika yang sama. Hal yang demikian adalah menyimpang daripada kefahaman yang ada dalam persilatan kita. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 20/05/2013 in Persilatan

 

61.4.1. KENALI SILAT CEKAK – Konsep Makan Gerak.

Mungkin ada faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi gerak, makan gerak dalam gerak. Misalnya aspek psikologi para pesilat itu. Kalau badan tak semiak, daya tumpuannya pada gerak akan terjejas. Ketika membuat latihan, semua gerak tidak menjadi. Badan menjadi lesu. Minat semakin kurang. Hilang semangat. Lebih cenderung sifat mengalah.

Walau bagaimanapun, prinsip-prinsip yang saya bincangkan pada tulisan lalu adalah dalam keadaan normal pesilat SC. Prinsip-prinsip itu juga merupakan asas utama bagi mempastikan kita dapat menguasai konsep gerak, “Makan gerak dalam gerak”. Pada kesimpulan saya, kelima-lima prinsip yang saya bincangkan dalam tulisan terdahulu adalah tersangat penting bagi maksud kemenjadian gerak. Kemahiran-kemahiran lain seperti konsep kejutan dan sebagainya hanyalah merupakan teknik sokongan untuk memantapkan gerak.

Hal yang demikian juga memberi makna wujudnya tuntutan pada para ahli untuk berusaha menguasai prinsip-prinsip tersebut. Hal yang demikian supaya konsep makan gerak dalam gerak bersebati dalam proses tindakan gerak mereka. Pada saya, mereka yang dapat menguasai gerak sedemikian baharulah sampai ke makam tahkik dalam gerak persilatan SC. Maknanya, mereka berjaya membuat pengesahan atas kebenaran gerak SC berdasarkan pembuktian yang kukuh.

Rajin-rajinkan diri supaya sentiasa berlatih silat agar prinsip ketangkasan akan bertambah dari masa ke masa. Ketangkasan yang terbina akan meghindari gerak bermalam. Gerak bermalam adalah merupakan musuh utama konsep gerak ‘makan gerak dalam gerak’. Pesilat yang tangkas adalah merupakan seorang pesilat yang cepat gerak gerinya, cergas dan pantas. Ada juga yang menggambarkan ketangkasan seseorang itu dengan istilah cekatan. Mudah memahami tujuan gerak dan cekap melakukan gerak yang dihajati.

Begitu juga dengan kekuatan diri yang amat membantu penguasaan makan gerak dalam gerak. Kekuatan lengan tangan sangat memberi kesan utama. Buatlah latihan bagi menguatkan lengan secara tekan tubi atau latihan mengangkat berat secara berulang. Kita boleh juga menarik spring bagi menambahkan kekuatan lengan. Bukan niat menambah ketulan otot, melainkan untuk menambahkan kekuatan supaya berada pada tahap yang diperlukan sebagai sifat normal manusia. Zaman saya dulu pun ada ‘punching bag’ di kelas silat untuk latihan kemahiran. Kegunaannya adalah untuk maksud sepakan kaki berdasarkan sepak SC. Pastinya perbuatan tersebut bagi menambahkan kekuatan sepakan. Banyak gunanya ketika membuat buah-buah dalam persilatan kita.

Di samping itu, awasilah bentuk tubuh badan. Jaga susuk badan terutamanya bahagian perut. Perut yang PMD mengundang nafas yang pendek. Anupun boleh terjadi pendek. Banyak ruginya dalam penguasaan gerak yang tepat dan tangkas. Begitu juga dengan berat badan. Berat yang berlebihan akan membantut gerak yang tangkas. Nafas akan terganggu. Cepat letih. Hal yang demikian perlu diambil berat oleh pengamal SC, terutamanya para Jurulatih.

Kita selalu mengabaikan diri kerana asyik memandu atau mengajar anak didik kita. Lupa akan peningkatan diri. Maka jadilah diri umpama lilin yang membakar diri kerana asyik menyinari suasana atas tuntutan pihak lain. Sebaliknya, saya selalu kiaskan diri supaya menjadi bak matahari yang sentiasa menyinari alam dalam keadaan diri terus mantap seadanya. Pada saya, setiap kali bilangan anak didik kita bertambah maka bertambah pula pengetahuan dan kehebatan kita. Amat malang sekali jika kebolehan kita sentiasa berada di takuk lama, selama-lamanya. Lebih buruk lagi apabila anak didik yang kita lahirkan lebih hebat daripada kehebatan kita yang sedia ada.

Dalam tulisan yang lalu, saya menekankan prinsip utama untuk menguasai konsep makan gerak dalam gerak. Untuk tulisan seterusnya, saya akan menghuraikan konsep gerak dalam makan gerak dalam gerak menunggu atau menyerang..

Cuba kita perhatikan konsep gerak makan gerak tersebut dalam sistem pertahanan diri kita. Kita lihat dulu dalam sistem kita menangkis serangan lawan. Kesepaduan prinsip jangan bermalam, ketepatan, ketangkasan, kekuatan dan stamina adalah perlu ada. Konsep makan gerak dalam gerak membawa makna tindakan gerak kita adalah dalam proses serangan lawan. Proses gerak bermakna belum terhenti gerak.

Penggunaan gerak ketika gerak tumbukan lawan terhenti maka banyak mudaratnya atas kita. Lambat menepis, jawabnya badan kita akan ‘merana’ kerana sifat kita tidak mengelak. Bayangkan jika serangan yang datang itu menggunakan senjata pendek. Rabak badan jawapannya. Tepisan yang lambat juga menjadikan tangan lawan akan bertambah berat. Banyak kekuatan dan tenaga yang amat diperlukan, dalam keadaan badan menjadi ‘parah’. Lawan kita juga boleh bertindak gerak dengan membuat susulan gerak yang lain.

Hal yang demikianlah, dalam pembelajaran SC, ada konsep ‘cecah baru ambil’. Jika gerak tepisan dilakukan dalam proses gerak serangan lawan, lahirlah konsep cecah. Gerak kita lebih mudah membuat tepisan dan seterusnya membuat susulan gerak yang lain. Hal yang demikian membawa makna bahawa istilah mencecah itu bererti tindakan gerak kita dalam proses gerak lawan. Kalau gerak telah berhenti di badan, bukan cecah namanya.

Cuba bezakan pengunaan ayat, “kena baru ambil” dengan “cecah baru ambil”. Ayat yang kedua, cecah baru ambil adalah bertepatan dengan maksud makan gerak dalam gerak. Kalau dah kena baru ambil, teruk jadinya pada badan. Macam orang tak bersilat. Bayangkan jika lawan menggunakan senjata.

Istilah cecah adalah bermaksud sekejap atau sedikit. Kalau guna istilah mencecah maknanya ialah kena sedikit pada bahagian kulit. Kalau percakapan biasa, maksudnya, ‘baru sentuh, bukannya sudah kena pukal atau sudah kena tepat’. Kalau dah kena pukal atau sudah kena tepat maka susahlah kita hendak bertindak balas. Kalau baru sentuh, menyenangkan kita bertindak. Oleh itu, fahamilah betul-betul konsep cecah dalam menghadapi serangan lawan.

Susulan gerak setelah tepisan, kita namakan sebagai buah-buah jatuhan. Nampak seolah-olah ada pemeringkatan antara tepisan dan buah jatuh. Pada hal, semuanya berlaku dalam satu arus atau satu pertalian gerak yang sama. Bersepadu dalam kiraan saat dan ketika. Kita membuat gerak dalam proses gerak yang dilakukan lawan. Jika bermalam, maka akan terputus pertalian antara tepisan dan buah jatuhan. Alamat lawan kita akan mudah bertindak balas.

Oleh itu, dalam proses lawan kita membuat serangan, kita perlu bertindak dalam gerak yang satu. Siap dengan tepisan dan pukulannya. Kebolehan dan kepupayaan kita mengatasi proses gerak lawan itulah bermakna kita telah sampai ke tahap makan gerak dalam gerak. Hal yang demikian akan menyebabkan gerak serangan lawan mudah diatasi atau dimatikan.

Dalam sistem serangan, kita juga perlu menerapkan penguasaan konsep makan gerak dalam gerak. Ketika saya mengajar SC dulunya, terdapat beberapa penekanan dalam pembelajaran pada anak didik saya. Penekanan itu adalah berkaitan dengan konsep makan gerak dalam gerak. Konsep itu diperkenalkan dari masa ke masa dalam kalangan penuntut sejak awal pembelajaran SC lagi.

Penekanan pertama saya ialah “prinsip SC mara ke depan dalam gerak yang satu”. Itulah namanya makan gerak dalam gerak. Hal yang demikian adalah disebabkan hakikat Silat Cekak ialah “silat gerak”.

Kemaraan SC dalam gerak yang satu adalah merupakan kesepaduan beberapa gerak. Dalamnya, terdapat gerak tumbukan, potong dan gerak mematikan gerak lawan melalui buah-buah yang dipakai. Semuanya bergerak dalam kiraan saat dan ketika. Bersepadu, seolah-olah dalam satu gerak sahaja pelakuannya.

Penekanan kedua saya ialah “sambil menyerang, Cekak dapat menangkap. Ikut kajian tidak ada satu silat yang seadanya, sekiranya menyerang silat itu dapat menangkap”.

Ungkapan itu hanya boleh dilakukan jika gerak serangan kita adalah dalam satu proses yang bertali arus. Kita ‘makan’ gerak lawan ketika kita bergerak dan lawan kita bergerak. Gerak kita tidak bermalam di mana-mana. Tak singgah di mana-mana ‘R&R’. Apatah lagi singgah untuk mencari ketenangan.

Penekanan ketiga ialah “ketika Cekak menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya”.

Ungkapan di atas terlalu kerap kita dengar. Kemenjadiannya pasti dalam konsep makan gerak dalam gerak. Mereka yang membuat kejutan secara tabik hormat, pasti mengundang gerak bermalam. Lebih-lebih lagi golongan fahaman ‘tukmaninah’. Konsep istilah itu sendiri menganjurkan sifat berhenti seketika. Berehat dan mencari ketenangan. Sifat yang sedemikian adalah bertentangan dengan konsep makan gerak dalam gerak.

Dalam sistem pembelajaran SC, saya sentiasa mengingatkan anak didik saya tentang aspek penekanan tersebut. Percakapan mengenai tiga penekanan itu sentiasa berulang-ulang hingga terpahat di hati mereka. Itulah prinsip utama gerak serangan dalam konsep makan gerak dalam gerak. Jadi, maknanya konsep makan gerak dalam gerak perlu ditekankan sejak awal pembelajaran lagi. Masa pelajaran kaedah lagi. Hal yang demikian supaya terpahat kefahaman tersebut di hati mereka apabila penuntut-penuntut SC telah tamat persilatan SC. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 16/05/2013 in Persilatan

 

61.4.0. KENALI SILAT CEKAK – Konsep Makan Gerak.

Nampaknya istilah ‘gerak’ tersangat kerap digunakan dalam kaedah kefahaman persilatan kita. Ungkapan-ungkapan yang memperlihatkan rupa bentuk SC kerap kali menggunakan istilah tersebut. Pada saya, sepatutnya kefahaman tentang gerak tentunya telah bersebati dalam pemikiran para penuntut SC. Istilah itulah yang sering diulang-ulang ketika proses penurunan ilmu SC. Dalam tulisan ini, saya lanjutkan lagi perbincangan berdasarkan istilah gerak. Ada istilah makan gerak dalam kefahaman gerak persilatan kita.

Seperti yang saya tegaskan bahawa gerak dalam SC adalah berasaskan pada gerak dua tangan dan dua kaki. Pada dasarnya, bila tangan digunakan lawan, tangan pula balasannya. Jika kaki digunakan lawan maka kakilah balasannya; tanpa menggunakan tangan menepis. Maknanya tak menggunakan tangan untuk menepis serangan kaki. Serangan SC lebih banyak menggunakan tangan. Itulah sifat gerak semula jadi yang ada dalam kalangan masyarakat Melayu. Sifat gerak yang sedemikian, ada dalam SC. Hal yang sedemikian membawa makna, SC mengamalkan juga gerak semula jadi yang ada dalam masyarakat Melayu dalam konteks persilatannya.

Sifat mempertahankan diri dan sifat serangan dalam SC, umumnya tidak menggunakan kaki. Tidak ada gerakan kaki secara tinggi. Pada kajian kita, hal yang demikian akan membahayakan diri sendiri. Adab gerak secara semula jadi menggunakan kaki dalam masyarakat Melayu, melarang perbuatan mengangkat kaki melebihi pusat. Biadab. Lagi pun, dari segi gerak semula jadi, jika kaki diangkat tinggi maka bermakna itulah pergerakan yang dibuat-buat yang memerlukan banyak tenaga dan kekuatan. Bukan semua orang boleh melakukannya terutama mereka yang PMD. Orang-orang jenis ini bukan setakat tidak ada kemampuan mengangkat kaki, sepak kaki pun payah.

Banyak tafsiran yang diberi pada istilah ‘silat’. Tafsiran itu adalah bergantung pada falsafah persilatan masing-masing. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Kita panjangkan lagi perbincangan mengenai konsep silat yang berkaitan dengan gerak. Ada yang mentafsir silat itu sebagai elat dalam permainan gerak. Ada yang kata silat itu ialah silap. Tersangat banyak tafsiran tentang maksud silat. Semua tafsiran itu adalah bergantung pada persilatan yang berbeza-beza. Umumnya, silat dianggap sebagai satu seni permainan atau kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan gerak menyerang dan mempertahankan diri.

Dalam SC, kefahaman kita adalah jelas. Silat adalah gerak. Yang bergerak adalah dua tangan dan dua kaki. Manakala gerak itu sendiri adalah ditentukan oleh Yang Empunya Gerak. Implikasi gerak yang sedemikian mendatangkan kelebihan pada persilatan SC. Pembelajaran kita adalah berfokas. Hal yang demikian juga menjadikan gerak persilatan kita ringkas dan padat. Tak ada langkah-melangkah. Kecualilah pada mereka yang suka memupuk sifat tari-menari. Perkara ringkas cuba dikembang-kembangkan dalam persilatan SC. Amat merugikan gerak SC. Hilang identiti SC yang merupakan silat gaduh. Saya tidak berminat untuk mengulas hal yang demikian secara panjang lebar.

Dalam konteks gerak, konsep ‘makan’ dalam rangkai kata makan gerak membawa maksud kebolehan atau pengupayaan menguasai gerak. Maknanya, kesan pembelajaran SC akan membolehkan atau mengupayakan pengamalnya mengalahkan atau mematikan gerak lawan. Kalau lawan menyerang, geraknya mudah diatasi. Begitu juga ketika Cekak menyerang. Dengan mudah juga gerak lawan dapat dimatikan. “Buatlah macam mana sekalipun, jamin boleh makanlah”. Begitulah maksud pengunaan istilah makan dalam percakapan harian.

Keyakinan kita adalah berasas. Hal yang demikian adalah kerana pelajaran SC mengandungi sistem pelajaran yang lengkap. Seperti yang selalu saya tegaskan dulu, ‘Seni Silat Cekak mempunyai kaedah-kaedah yang tetap, yang tidak boleh diubah-ubah dengan mempunyai buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap’. Oleh itu, mudahlah pada pengamal SC menguasai gerak orang lain.

Konsep makan gerak ini telah diperluaskan fahamannya dalam ungkapan ‘makan gerak dalam gerak’. Ungkapan yang mempunyai empat perkataan itu melambangkan kebolehan dan keupayaan para pengamal SC untuk menguasai gerak sama ada gerak diri sendiri ataupun gerak orang lain yang menjadi lawannya.

Dalam tulisan ini saya akan menghuraikan konsep makan gerak dalam gerak dan prinsip utama untuk menguasai konsep gerak tersebut. Maka, perbincangan saya seterusnya adalah berdasarkan ungkapan kelima yang berkaitan dengan ungkapan ‘Makan Gerak Dalam Gerak.’

UNGKAPAN KELIMA.

Makan Gerak Dalam Gerak.

Ungkapan tersebut membawa makna penuntut SC diasuh supaya berkebolehan menguasai gerak dalam proses gerak yang dilakukannya. Proses gerak itu meliputi gerak dalam sistem mempertahankan diri atau dalam gerak sistem serangan. Dalam proses gerak itulah timbulnya konsep makan gerak dalam gerak.

Konsep makan gerak dalam gerak ini memerlukan beberapa prinsip utama. Sebagai pengamal SC, bagi menguasai konsep makan gerak dalam gerak itu, mereka memerlukan penguasaan pada prinsip-prinsip tersebut. Kesemua prinsip itu adalah bersepadu. Cuma, dalam tulisan ini nampak macam berpisah-pisah. Hal yang demikian bagi memudahkan maksud perbincangan. Hakikatnya tetap bersepadu.

Perkara utamanya ialah gerak yang dilakukan jangan bermalam. Maknanya jangan terhenti di mana-mana gerak sama ada dalam proses mempertahankan diri ataupun ketika menyerang. Selagi sifat bermalam masih ada, maka selagi itulah konsep makan gerak dalam gerak gagal dikuasai dan dinikmati oleh pengamal SC. Saya rasa, kita sendiri boleh merasai sama ada gerak kita bermalam ataupun tidak. Ketika proses pembelajaran, peranan Jurulatih amat penting bagi mempastikan sifat gerak bermalam dihindari. Berilah perhatian pada prinsip ini. Kalau dibiarkan sifat bermalam wujud pada gerak para penuntut di awal pembelajaran, kita khuatir sifat itu akan terus berkekalan hingga tamat silat. Alangkah ruginya sifat sedemikian diwarisi penuntut SC hingga akhir pembelajaran.

Prinsip kedua ialah ketepatan. Jangan langsung berlaku ‘miss’ ketika membuat gerak tepisan atau pukulan dan kuncian. Mesti cun. Jika menyerang, tindakan kita itu tidak akan menyimpang daripada sasarannya. Tepat mengena sasaran. Tidak sempat lawan kita ‘melarikan diri’. Apatah lagi bertindak balas atas gerak yang kita lakukan. Jika menunggu serangan, gerak kita adalah tepat. Prinsip tangan yang datang maka tangan yang menepis tidak mendatangkan masalah. Ternampak kejituannya. Mantap. Susulan gerak pukulan yang berikutnya, juga tidak mendatangkan masalah. Tepat pada sasaran dan tepat cara pukulannya. Kegagalan dalam tindakan yang tepat akan menyebabkan rentak makan gerak dalam gerak itu akan terbantut. Tak menjadi sifatnya.

Ketiganya ialah ketangkasan. Sifat tangkas menuntut tindakan gerak kita yang cepat dan cergas. Ketika membuat buah jatuh, kesepaduan gerak kaedah dan buah jatuhan adalah menampakkan ketangkasan yang sukar dikesan lawan. Susah bagi mereka memintas ketangkasan kita itu. Apabila Cekak menyerang, ketangkasannya memintas tindak balas lawan jika ada, amat mengkagumkan. Lawan sukar membaca gerak kita kerana ketangkasan yang ada. Kiraan gerak kita adalah dalam saat dan ketika. Kalau gerak dalam kiraan minit, alamat merana. Tidak ada lagi konsep makan gerak dalam gerak.

Prinsip yang keempat ialah kekuatan. Kita merujuk kekuatan itu pada tindakan gerak yang dilakukan. Dalam hal ini, kekuatan yang perlu dikuasai adalah berdasarkan pada tahap yang sepatutnya ada pada kita. Kekuatan adalah perlu untuk mengambil kaedah dan ketika membuat jatuhan. Untuk menepis, perlu ada kekuatan. Untuk menjatuhkan lawan, juga memerlukan kekuatan. Kita sendiri boleh rasakan keperluan kekuatan itu. Misalnya, ketika membuat buah-buah jatuhan, kekuatan menjatuhkan pelipat lawan perlu ada. Begitu juga dengan sasaran jatuhan yang lain. Ketika kita menyerang, kekuatan juga perlu ada. Mengambil beberapa buah potong pun adalah memerlukan kekuatan. Misalnya potong Gayung Patani. Kita perlu ada kekuatan untuk menarik tangan lawan. Kegagalan kita memperoleh kekuatan yang sepatutnya, akan mengganggu gerak kita untuk menguasai konsep makan gerak dalam gerak.

Akhir sekali, jangan lupa stamina yang ada pada diri kita sendiri. Stamina adalah merujuk pada sifat daya tahan atau keupayaan diri yang membolehkan seseorang itu bertindak. Hal yang demikian juga adalah merupakan salah satu prinsip penting bagi kita menguasai konsep makan gerak dalam gerak. Maknanya, mesti ada tenaga. Prinsip tenaga adalah berbeza dengan prinsip kekuatan. Biasanya, faktor penafasan adalah amat penting sekali untuk menentukan tahap stamina seseorang. Mana mungkin kita dapat mengekalkan pergerakan secara pantas dan tangkas kalau nafas yang ada, tercungap-cungap atau berombak-ombak. Orang yang sebegini cepat penat. Kena nafas ikut mulut. Maka akan hilanglah tumpuannya pada matlamat menguasai gerak lawan. Hal yang demikian juga akan membawa makna terganggunya proses geraknya dalam memenuhi konsep makan gerak dalam gerak. Terbantut dalam proses gerak. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 13/05/2013 in Persilatan

 

61.3.1. KENALI SILAT CEKAK – Konsep Gerak.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan tentang pengertian silat sebagai gerak. Perdu gerak kita adalah berasaskan pada gerak dua tangan dan dua kaki. Mahirlah pada anggota tangan dan kaki tersebut. Kemahiran dua tangan dan dua kaki akan memberi makna akan penguasaan kita dalam pelajaran SC. Kefahaman dan kemahiran yang kita miliki tentang gerak silat, memberi makna bahawa kita telah ‘sampai’ pada kefahaman tinggi. Pembawaan orang yang sedemikian adalah bersifat tenang dan tidak mudah melatah. Umpama kereta yang sedang bergerak ke arah destinasinya. Enjinnya berterusan bising selagi tidak sampai. Setelah sampai ke destinasinya, barulah enjin keretanya diam. Tidak berbunyi lagi.

Dalam tulisan berikutnya saya akan menyentuh ayat kedua yang menghuraikan maksud silat sebagai gerak. Ayat yang kedua adalah mengungkap, “Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak”. Ayat atau ungkapan kedua ini menghuraikan konsep gerak yang bersandar pada ketentuan Ilahi. Kita hanya boleh berusaha. Namun begitu, kemenjadian gerak adalah di luar pengawalan kita. Maka lahirlah sifat kebergantungan pada Yang Maha Berkuasa. Ternafi sifat bangga atau ego diri.

Kefahaman yang sedemikian adalah selari dengan sistem pembelajaran silat kita. SC mengajar sistem mempertahankan diri terlebih dahulu. Kaedah yang mula diperkenalkan adalah menepis serangan lawan. Setelah mahir dengan kaedah tepisan, para penuntut diperkenalkan buah-buah pukulan secara asas dan diikuti dengan buah-buah jatuh. Walau bagaimanapun, keyakinan boleh ‘buat’ orang, kembali luntur apabila masuk pelajaran potong. Rupa-rupanya, buah hebat yang diajar, ada kelemahannya. Tak boleh pakai. Maka timbullah ‘keinsafan’ diri betapa di sebalik kehebatan, ada kekurangannya. Dalam pembelajaran SC, cara tumbukan hanya diperkenalkan di akhir pembelajaran. Itupun setelah menjalani satu ijazah khas. Ijazah penamat.

Sesungguhnya, sistem pelajaran yang sedemikian memupuk sifat sedar diri dalam kalangan penuntut SC. Pelajaran yang boleh dipakai pada mulanya, rupa-rupanya tak terpakai pada kemudiannya. Namun begitu buah yang tak terpakai itu ada banyak gunanya dalam situasi yang tertentu. Saya telah menulis tentang aspek psikologi dalam pembelajaran SC dalam tulisan yang terdahulu. Walaupun keyakinan yang wujud dalam kalangan penuntut SC dilunturkan melalui sistem pelajaran yang tersusun begitu rupa, akhirnya sistem pembelajaran SC itu diakhiri dengan pemupukan keyakinan. Sebabnya ialah kita ada peluru berpandu yang boleh ‘dilancar’ mengikut destinasi yang ditentukan. Itulah salah satu kehebatan kita.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan persilatan lain yang mementingkan serangan di awal pembelajaran silat. Mereka diperkenalkan dengan cara tumbukan terlebih dahulu. Gerak tumbukan itu diulang-ulang secara latih tubi. Selepas itu maka diperkenalkan dengan buah-buah pukulan dan buah-buah tangkapan.

Kefahaman yang ada dalam SC menegaskan bahawa sifat kita bergerak adalah kerana Allah. Konsep kerana Allah seperti yang difahamkan Ustaz memberi makna yang tersendiri. Pertamanya, konsep itu berkait dengan tujuan melakukan sesuatu dan keduanya berkaitan dengan keizinan dari Allah untuk melakukan sesuatu. Berdasarkan kefahaman kedua itu, kalau Allah tidak mengizinkan, mustahil kita boleh menerima habuan mempelajari Silat Cekak. Kalau Allah tidak mengizinkan, mustahil kita dapat menguasai gerak dengan hebat dan mantap. Semuanya ketentuan Ilahi. Kerana-Nya. Nampaknya, kefahaman kita atas konsep kerana Allah adalah memberatkan atas keizinan-Nya. Itulah tafsiran dan pegangan saya dalam silat atas fahaman yang diasaskan Ustaz.

Hal yang demikian memupuk sifat yakin diri. Oleh itu, kita janganlah berasa risau atau rendah diri jika gerak kita tidak sehebat mana dalam persilatan SC. Yakinlah bahawa Allah akan berserta dengan orang yang benar. Berdirilah atas kebenaran tanpa dipengaruhi hawa nafsu. Gerak kita akan ‘menjadi’ ketika kita memerlukan kemenjadiannya. Segala-galanya adalah atas kehendak Allah.

Begitu juga dengan dakwaan handal yang ada pada lawan kita. Kehandalannya tidak akan memberi makna tanpa izin Allah. Buangkan perasan ego hingga berasa dapat mengalahkan semua orang. Orang yang bongkak selalunya diakhiri dengan sifat rugi. Asas kefahaman kita itu adalah berdasarkan ungkapan,“Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak”. Fahaman dan pegangan pada ungkapan itu boleh menambahkan keyakinan diri kita.

Kefahaman gerak yang jelas itu, membolehkan kita memiliki kefahaman tinggi dalam gerak persilatan. Oleh itu, ketika berhadapan dengan manusia ego atau manusia bongkak, hati kita lebih tenang. Kesabaran yang wujud bukan menandakan sifat bacul. Sebaliknya kesabaran itu memberi ruang kepada kita untuk menyusun strategi bagi mencapai maksud. Tidak timbul perasaan gentar atau perasaan takut melainkan lahir sifat kasihan atas manusia yang tidak sedar akan kebolehan dirinya; bahawa kekuatan dan kebolehan diri adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah.

Secara langsung, pegangan pada kefahaman ungkapan berkenaan menyebabkan jiwa kita sentiasa berada dalam keadaan tenteram. Sifat ego dan bongkak diri boleh dihindarkan. Hal yang demikianlah menyebabkan saya selalu membuat kesimpulan bahawa pengamal SC tidak menampakkan sifat sebagai pengamal silat. Tak payah kembangkan dada atau kepakkan tangan. Kalau orang lain tak tahupun kita bersilat, tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Kefahaman pada ungkapan atau ayat kedua itu juga akan membolehkan kita mendekatkan diri dengan Allah. Terasnya, Allah yang menentukan kehebatan gerak kita. Pantun Ustaz telah melambangkan pemikiran Ustaz dalam konteks hubungan kita dengan Allah.

Silat Cekak pada zahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggotanya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Konsep Silat Cekak pada zahirnya menuntut kemahiran seluruh anggotanya iaitu kedua tangan dan kaki. “Silat Cekak tersangatlah mudah”. Begitulah kefahaman yang dipupuk Ustaz. Manakala konsep pengertian gerak batin mempunyai kaitan dengan sifat memiliki jiwa yang jujur. Dalam konteks persilatan, jujurlah pada diri sendiri. Kalau jujur pada diri maka implikasinya, kejujuran pada diri itu akan meluas pada kejujuran yang lain. Hal yang demikian boleh berlaku seperti mana yang ditegaskan Ustaz, “Bagi mereka yang mendapat hidayah.” Oleh itu, carilah hidayah. Walau bagaimanapun, kita perlu belajar secara bersungguh hati dan bersifat jujur.

Kita boleh menyusun balik rangkap pantun di atas berdasarkan kefahaman berkait yang telah saya bincangkan.

Silat Cekak pada zahirnya,
Hendaklah mahir seluruh anggotanya.

Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Kita boleh menguasai gerak fizikal SC secara menguasai pergerakan tangan dan kaki. Namun begitu, penguasaan hakiki atas gerak berkenaan adalah atas ketentuan Ilahi. Para penuntut SC telah dianjurkan supaya peliharalah kejujuran jiwa kita atau roh kita daripada sifat-sifat yang terkeji. Jika aspek jiwa atau roh itu dipupuk secara betul dan bersungguh hati, Insyaallah kita akan menjadi persilat SC yang hebat. Pergerakan silat sentiasa ‘menjadi’.

Seperti yang telah saya simpulkan, kefahaman pada ayat kedua itu telah membolehkan kita mendekatkan diri dengan Allah. Maknanya, jalan mendekatkan diri dengan Allah telah ‘dibuka’ oleh SC dalam pemikiran penuntut. Asas pegangan kita ialah sehebat mana seseorang pesilat itu bersilat, geraknya tetap ditentukan Allah. Kalau Allah tidak mengizinkan, kehebatan geraknya tidak akan ‘menjadi’. Secara langsung, wujud kefahaman dalam SC betapa pentingnya para penuntut SC mendekatkan diri dengan Allah.

Oleh itu, pengisian pada kefahaman mendekatkan diri pada Allah, perlu dilakukan sendiri oleh para penuntut SC. Asas ruang kefahaman tersebut telah ada. Cuma perlu ada pengisian. Ada banyak cara yang boleh dilakukan mereka. Saya tidak akan membincangkan hal yang demikian dalam tulisan ini. Terpulanglah pada para penuntut SC untuk memenuhi ruang yang telah dibuka oleh SC itu. Kalau tak rajin mendengar, masih ada cara lain iaitu membaca. Buatlah pilihan sepatutnya.

Apapun, perdunya adalah mendekatkan diri pada Allah. Secara peribadi, Ustaz menegaskan pada saya. “Jangan tinggalkan langsung sembahyang”. Itulah pesanan peribadi Ustaz yang sentiasa menjadi pegangan saya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Secara langsung juga amalan yang berkekalan itu akan membolehkan kita mendapatkan gerak dari Yang Empunya Gerak. Saya tidak berminat untuk menghuraikan ungkapan itu. Akan jadi banyak tafsirannya.

Secara kesimpulannya, kefahaman SC menegaskan bahawa kebolehan gerak pada kedua tangan dan kaki boleh diusahakan. Penguasaannya akan bertambah hebat jika diusahakan secara bersungguh hati. Namun begitu, segala-galanya adalah bergantung pada kehendak Allah. Oleh itu, dekatkan diri pada Tuhan Yang Maha Esa. Insyaallah kita akan berjaya dalam persilatan SC yang kita ceburi. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 09/05/2013 in Persilatan