RSS

Monthly Archives: November 2013

SENIGEDANG.WORDPRESS.COM

Saya ada mengatakan bahawa konsep penulisan saya seterusnya adalah berdasarkan isu-isu semasa yang ditimbulkan pembaca atau soalan-soalan yang ditanya atas satu-satu persoalan. Tentunya penulisan saya adalah berdasarkan sudut pandangan saya sendiri. Saya selalu menegaskan kenyataan ini bagi mengelak salah faham pembaca.

Saya bercita-cita untuk membuat blog baru untuk konsep penulisan yang baru. Nampaknya rakan sesilat dari Shah Alam dan Kulim telah memenuhi impian saya. Terima kasih bebanyak.

Maka terbentuklah blog Senigedang.wordpress.com. Hal yang demikian menjadikan kesemua blog yang terhasil untuk penulisan saya adalah sebanyak tiga. Saya bercita-cita mewujudkan empat blog kesemuanya mengikut tuntutan masa. Insyaallah jika diizinkan.

Maka tinggallah blog Lading Emas. Banyak bahan tulisan dalamnya untuk pengetahuan dan rujukan pembaca. Pandangan saya seterusnya dalam persilatan Silat Cekak dapat diikuti dalam blog baru. Seni Gedang. Istilah yang tidak asing lagi dalam medan ilmu megah masyarakat Melayu.

Bahan tulisan adalah berdasarkan isu atau soalan atau persoalan dari ahli-ahli yang mengenali saya. Isu-isu itu juga boleh berbentuk kenyataan yang dikeluarkan ahli dari masa ke masa. Saya akan mengulas kenyataan-kenyataan tersebut dari sudut pandangan saya.

Saya telah memulakan penulisan saya atas tajuk berkaitan dengan Jurulatih atau Tenaga Pengajar. Hal yang demikian adalah bersempena dengan majlis sambutan Hari Tenaga Pengajar baru-baru ini. Tahniah atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut. Semoga cita-cita kita untuk terus memantapkan perkembangan Silat Cekak yang diwariskan Ustaz pada Guru Utama kita akan terus beroleh kejayaan besar. Dengan sokongan para Tenaga Pengajar yang merupakan barisan hadapan persilatan kita, maka saya yakin usaha kita mendaulatkan Pusaka Hanafi akan tetap berjaya. Hebat Jurulatih maka hebatlah perkembangan SC. Kodi Jurulatih maka kodilah perkembangan persilatan kita.

Maka ikutilah tulisan saya seterunya dalam blog

www.senigedang.wordpress.com

“Selamat membaca”

 
Leave a comment

Posted by on 12/11/2013 in Persilatan

 

KONSEP PENULISAN SETERUSNYA.

Kepada peminat tulisan ini saya kurang menulis kali ini kerana kekangan masa akibat kerja-kerja lain. Apabila banyak kerja yang hendak dibuat, fikiran tidak berapa tenang. Maka idea kurang datang, seiring dengan minat menulis yang terhalang. Walau bagaimanapun minat menulis berdasarkan persilatan SC tetap ada.

Lebih daripada tiga puluh tahun saya telah menumpukan perhatian pada SC. Banyak masa ‘terkorban’ untuk SC. Maka adalah difikirkan satu keperluan bagi saya berkongsi segala ilmu dan pengalaman bersama pembaca. Itulah perjuangan saya yang ada dan termampu setakat ini.

Saya telah menulis banyak perkara tentang Silat Cekak. Asas penulisan saya adalah berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman seadanya yang pernah saya tempuh. Penulisan saya adalah berdasarkan ‘bahan pertama’; hasil pengalaman benar bersama Ustaz. Tak ada rujukan utama melainkan menulis secara IT. Ikut gerak sepontan atas ilmu dan pengalaman yang ada. Lintasan idea bukanlah direka-reka. Jarak masa yang melebihi tiga dasawarsa tentunya terkandung banyak cerita dan kisah. Cerita dan kisah benar.

Penulisan saya seterusnya adalah berdasarkan isu-isu semasa yang ditimbulkan pembaca atau soalan-soalan yang ditanya atas satu-satu persoalan. Tentunya penulisan saya adalah berdasarkan sudut pandangan saya sendiri. Saya selalu menegaskan kenyataan ini bagi mengelak salah faham pembaca.

Kalau kita menulis sesuatu secara ‘dekat’, perbincangan adalah berdasarkan sudut pandangan yang tersendiri. Lebih berfokas. Semuanya bergantung pada tumpuan yang diberi dan atas kemampuan berfikir. Misalnya, jika menulis tentang gajah dalam konteks secara berfokus, mereka yang menulis tentunya berdasarkan pada tumpuan atas pandangannya sahaja. Mereka yang berada di bahagian kepala gajah tentunya akan menulis tentang ‘akal’ gajah. Kecerdikannya dan kelebihan gajah.

Mereka yang berada di bahagian badan akan menulis tentang kekuatan dan kelebihan yang ada pada bahagian gajah berkenaan. Pastinya, fakta kulit gajah yang tebal menjadi bahan utama. Sukar lut dek senjata. Tembak pun tak tentu boleh merebahkannya. Sebaliknya, mereka yang berfokus di bahagian buntut gajah tentunya akan menulis tentang kelebihan punggung gajah yang mengeluarkan tahi gajah yang berkilo-kilo. Satu ketul boleh jadi satu kilo. Boleh dibuat baja.

Nampaknya, penulisan saya adalah berdasarkan tiga fasa. Pada fasa pertama, saya menggunakan blog Sepak Minang. Tumpuan tulisan adalah berkaitan dengan pepecahan yang dilalui persatuan kita. Semua pihak tetap menegakkan ‘kebenaran’ masing-masing. Dalam hal ini, saya cuba menulis berdasarkan kenyataan. Tak ada siapa yang mengupah. Semuanya berdasarkan isi hati saya yang ikhlas. Walau bagaimanapun, ramai juga yang menulis secara tidak rasional. Bukannya menulis berdasarkan isi hati, melainkan menulis berdasarkan isi perut. “Busuk’ punya tulisan.

Oleh sebab ramai yang sibuk dengan pepecahan persatuan, bidang persilatan mungkin terabai. Kepelbagaian persatuan akan mengundang kepada kepelbagaian gerak dalam persilatan SC. Sengaja berbeza tafsiran bagi memperlihatkan kewibawaan peneraju SC yang berpecah persatuan. Hal yang demikian, blog Sepak Minang juga memberatkan penulisan tentang gerak-gerak benar yang ada dalam SC. Saya telah menyentuh tentang pelajaran SC dari asas hingga ke peringkat umum. Fakta utamanya, asas penulisan adalah berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya bersilat seadanya dari zaman Ustaz hingga zaman terkini.

Fasa kedua penulisan adalah dalam blog yang baru. Lading Emas. Penekanan tulisan adalah berdasarkan aplikasi pelajaran SC dalam pengurusan organisasi atau pengurusan persatuan. Bidang pengurusan adalah melibatkan beberapa aspek perbincangan yang bersepadu. Aspek-aspek itu meliputi hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran, kepimpinan, komunikasi, motivasi dan penyelesaian masalah. Kesemua aspek itu telah saya sentuh secara terperinci; berdasarkan pengalaman saya mengurus satu-satu organisasi.

Sesungguhnya, ilmu SC yang dibawa Ustaz telah berupaya untuk menyelesaikan pelbagai persoalan dalam pengurusan. Kenyataan ini bukannya teori, melainkan kenyataan berdasarkan pengalaman. Saya mengharapkan pengalaman saya itu dapat dikongsi bersama dengan para pembaca. Boleh dijadikan panduan ketika mengurus diri, mengurus rakan dan mengurus kerja yang diamanahkan pada diri sendiri.

Seterusnya, dalam bidang persilatan beberapa perkara utama dibincangkan dalam penulisan di blog Lading Emas. Saya memberatkan perbincangan tentang Falsafah, Konsep dan Prinsip yang ada dalam persilatan Silat Cekak. Perbincangan saya adalah berdasarkan kefahaman yang diberi Ustaz. Bukan tafsiran sendiri. Sudut pandangan tetap dari pemikiran saya sendiri. Saya menekankan betapa pentingnya pengunaan istilah yang tepat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada pandangan saya, istilah-istilah itu perlu dihuraikan dengan penggunaan ayat-ayat yang betul dan jelas bagi mempastkan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan penuntut.

Maka, seperti yang dikata, penulisan seterusnya adalah dalam bentuk fasa ketiga. Fasa ini akan menekankan aspek umum perbincangan dalam lingkungan persatuan dan persilatan Silat Cekak. ‘Dah kira peringkat umum’. ‘Touch up’ di sana sini. Pelengkap dalam perbincangan tentang bahagian-bahagian yang pernah disentuh.

Sebenarnya, saya bercadang untuk buat blog baru supaya nampak akan pemisahan tentang konsep penulisan. Ganti blog Sepak Minang dan Lading Emas yang mempunyai konsep penulisan yang tersendiri. Malangnya, saya kekurangan pengetahuan untuk membuat blog baru. Selama ini blog yang terhasil adalah atas inisiatif rakan-rakan silat yang pernah menuntut atau menimba pengalaman persilatan dari saya. Walau bagaimanapun, kini pengasas kedua-dua blog itu telah ‘menghilangkan diri’.

Ketika ilmu SC mereka agaknya masih kurang, mereka sering berhubung dengan saya. Maka mudahlah saya buat ‘arahan’. Kini apakan daya. Ilmu mereka semakin tinggi. Maka tinggilah segalanya pada mereka. Dari hidung sampai ke kaki. Semuanya tinggi. Tak pernah berhubung lagi. Hal yang demikian terpaksalah saya tulis dalam blog seadanya.

Saya tidak berminat memberi ruang pada para pembaca membuat komen atas tulisan saya. Seperti yang dikata, tulisan saya adalah berdasarkan ilmu pengetahuan seadanya dan ditambah dengan pengalaman yang begitu lama dalam alam persilatan SC. Perbincanghan saya adalah berdasarkan sudut pandangan saya sendiri. Oleh itu, saya tidak perlu memberi ruang pada pembaca untuk membuat komen. Kalau nak komen tentunya berjela-jela atas sudut pandangan yang lain. Kalau komen itu berpaksi pada bahagian ‘buntut’ maka akan banyak ’baunya’. Tak membina dan tidak membawa sebarang makna. Komennya juga berdasarkan fahaman buntut. Tidak dapat menggunakan pemikiran berasaskan fakta.

Maka ikutilah tulisan seterusnya berdasarkan isu-isu yang ada. Kali ini saya akan menulis berdasarkan kelapangan waktu yang ada. Teruskan sesi perkongsian ilmu bersama saya. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 05/11/2013 in Persilatan