RSS

61.3.0. KENALI SILAT CEKAK – Konsep Gerak.

06 May

Kita selalu menggunakan istilah gerak ketika membincangkan tentang sistem pelajaran SC. Hal yang demikian meliputi pelajaran pertahanan diri dan pelajaran menyerang. Ketepatan gerak adalah memainkan peranan penting bagi menyokong penuh akan sistem-sistem berkenaan. Saya telah menegaskan bahawa gerak yang ada pada kita adalah gerak semula jadi manusia, berasaskan pemikiran yang tenang dan sihat. Hal yang demikian adalah berbeza dengan konsep gerak yang dibuat-buat. Gerak tersebut memerlukan tambahan tenaga dan kekuatan. Pelakuannya mengundang tekanan.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan juga tentang gerak tumbukan serang kita yang menjadi milik bangsa Melayu. Berdasarkan huraian Ustaz, konsep tumbukan serang kita telah menjadi amalan berzaman. Maknanya, ilmu tersebut adalah milik umum bangsa Melayu. Persilatan SC telah menjadikan gerak tumbukan itu sebagai pelajaran serangnya. Mungkin ada persilatan lain yang mengamalkannya. Walau apapun teorinya, yang pastinya gerak secara serangan tersebut telah menjadi amalan kita. Kuasailah pelajaran itu dengan sebaik-baiknya. Ketika membuat serangan, tekadkan serangan tersebut atas keyakinan menegakkan kebenaran. Kuasai gerak serang dengan mantap. Jangan ragu-ragu dan jangan buat tabik hormat. Bukan amalan persilatan kita. Hak tentera.

Dalam tulisan ini, saya akan cuba membincangkan tentang konsep gerak dalam pembelajaran dan pengajaran Silat cekak. Hal yang demikian ada kaitan dengan ungkapan seterusnya iaitu ungkapan yang keempat.

UNGKAPAN KEEMPAT.

Silat adalah Gerak. Yang bergerak adalah dua tangan dan dua kaki. Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak.

Pada tafsiran biasa, istilah silat adalah merujuk pada seni kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri. Dalam konteks silat tari atau silat pulut, istilah silat boleh merujuk pada seni permainannya. Ada yang mentafsirnya sebagai pencak.

Dalam SC, kita mempunyai kefahaman yang tersendiri. konsep silat pada kita membawa makna bahawa silat itu ialah gerak. Konsep itu adalah lebih ringkas dan lebih bermakna. Lebih praktis. Itulah tafsiran kita yang dikuatkan dengan penerangan yang teguh dan berfokus.

Maka lahirlah ungkapan tersebut yang mengandungi dua potong ayat yang menggambarkan kebenaran gerak pada kita. Itulah hakikat gerak berdasarkan satu rangkaian ungkapan. Kebenaran itu adalah merupakah satu falsafah. Falsafah tersebut memperlihatkan prinsip dan konsep gerak dalam Silat Cekak. Ungkapan itu juga menggambarkan corak dan rupa bentuk persilatan kita.

Dua potong ayat yang ada dalam ungkapan tersebut adalah bertunjangkan ungkapan bahawa, ‘Silat adalah Gerak’. Dua ayat yang berikutnya adalah berkaitan tetapi membawa maksud yang tersendiri. Dalam tulisan ini seterusnya, elok juga saya huraikan tafsiran tersebut berdasarkan sudut pendangan saya. Selalu saya tegaskan bahawa tafsiran saya adalah atas pengetahuan dan pengalaman saya sepanjang berada dalam persilatan Silat Cekak.

Perdu dalam ungkapan tersebut ialah Silat itu adalah gerak. Huraian gerak itu digambarkan dalam dua ayat yang berikutnya. Ayat pertama menegaskan bahawa , “Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki.” Manakala ayat yang kedua ialah “Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak”.

Kefahaman kita pada pengertian istilah gerak dalam SC adalah pelbagai dan berdasarkan sudut perbincangan yang juga pelbagai. Istilah denyut adalah tidak asing pada pegamal SC untuk menggambarkan gerak. Istilah denyut diumpamakan sebagai gerak silat yang halus. Bersifat seni yang diasaskan pada gerak semula jadi manusia. Pergerakan nadi, jantung dan ubun-ubun adalah juga dianggap sebagai denyut yang membawa kesan pada gerak.

Gerak juga boleh memberi maksud petanda. Konsep petanda membawa maksud tanda atau tujuan. Umumnya, petanda ini boleh ditafsir atau diukur melalui dua cara. Pertamanya ialah gerak hati atau perasaan hati kita. Orang dulu-dulu juga melihat perasaan hati atau gerak melalui denyut nadi dan jantungnya. Walau bagaimanapun, dalam SC, kita tidak bergantung pada gerak tersebut bagi menentukan tindakan. Ada petuanya yang tersendiri. Petua-petua yang berkaitan dengan ‘langkah selamat’, penggunaan nafas atau gerak ‘empat anasir’, mungkin tidak asing pada pengamal SC. Kita tidak bergantung pada petanda sedemikian bagi menyekat pergerakan kita. Dalam tulisan ini, saya tidak akan menyentuh petua-petua tersebut. Ada rahsianya. Sifat amanah.

Keduanya tafsiran petanda boleh dilakukan hasil tanda yang ditunjukkan oleh orang lain pada kita. Riak mereka akan menghasilkan gerak. Kita boleh mentafsir sama ada gerak yang terhasil itu akan memudaratkan kita atau pun sebaliknya.

Dalam konsep persilatan, konsep petanda amat bermakna. Perasaan atau gerak hati yang timbul pada kita boleh menentukan ketetapan kita sama ada ingin menyerang lawan atau berkeadaan menunggu serangan. Berdasarkan kefahaman atas pelajaran SC yang dipupuk selama ini, akan membolehkan kita membuat tafsiran tersebut secara automatik atau sepontan. Gerak hati yang berdasarkan pengetahuan dan pengamalan adalah lebih tepat berbanding dengan gerak hati yang diasaskan pada nafsu dan sifat marah atau panas baran. Tak ada ketenangan berfikir yang membolehkan ketepatan dalam tindakan.

Semasa bersilat, kita akan mudah menghadapi lawan berdasarkan tanda yang ditunjukkannya. Misalnya, kalau kedudukannya berkuda-kuda dengan gerak tangan yang terketar-ketar, membawa petanda kesudiannya menerima serangan kita. Serang saja. Jangan tunggu-tunggu. Buang masa.

Walau bagaimanapun, kefahaman gerak kita itu adalah berasaskan pada kehendak Allah. Konsep kehendak Allah membawa maksud, atas keizinan-Nya. Kalau Allah tidak mengizinkan maka kita tidak boleh bergerak.

Kita menerima hakikat kefahaman bahawa pergerakan kita dalam silat adalah berasaskan gerak dua tangan dan dua kaki. Maka lahirlah ungkapan yang begitu popular dalam SC. “Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki.” Pergerakan yang demikian adalah merupakan gerak semula jadi manusia.

Dalam konteks persilatan, gerak-gerak lain seperti kepala, badan atau bahu adalah berasaskan gerak tangan dan kaki. Tanpa bantuan gerak tangan dan kaki maka gerak-gerak anggota badan yang lain tersebut tidak membawa makna pada sistem pertahanan dan serangan dalam persilatan. Kalau bahu hendak digunakan sebagai senjata gerak, bantuan kaki perlu ada. Tanpa gerak kaki, akan mewujudkan gerak yang dibuat-buat. Macam orang yang kenan yang memperlihatkan keganjilan pada gerak geri atau perlakuan seseorang. Begitu juga dengan gerak kepala yang digunakan sebagai ‘senjata’. Keberkesanannya tidak bermakna jika kaki tidak melangkah.

Oleh itu, kefahaman kita pada gerak silat adalah jelas dan jitu. Semua jenis bela diri adalah berasaskan gerak tangan dan gerak kaki. Tidak kiralah sama ada bela diri tersebut merupakan persilatan Melayu atau bela diri yang diimport dari luar negara. Itulah perdu gerak anggota badan. Dalam konteks ini, pelajaran SC adalah berfokus. Pelajaran Silat Cekak adalah mengkaji pergerakan dua tangan dan dua kaki tersebut. Dalam sistem pertahanan diri dan sistem serangan, mematikan gerak tangan dan kaki ketika menunggu atau menyerang adalah merupakan tumpuan utama.

Kefahaman yang sedemikian menyebabkan gerak kita adalah ringkas dan padat. Kita tidak memerlukan gerak-gerak yang berangkai dalam usaha mengalahkan lawan. Itu sebabnya sifat langkah-melangkah tidak ada dalam SC. Apatah lagi jika gerak langkah-melangkah itu dilakonkan dalam bentuk tari. Walaupun hanya lakonan, perbuatan sedemikian boleh menggambarkan rupa bentuk persilatan. Menjadi gerak yang dibuat-buat atau direka-reka. Bukan itu maksud konsep gerak dalam persilatan SC. Kita risau, jika gerak tari dilakonkan secara berterusan tanpa ada pegangan dan kefahaman kukuh tentang konsep gerak dalam SC, akan merosakkan gerak asal yang ada dalam persilatan kita. Orang lain yang puas, kita yang rugi.

Kefahaman kita pada gerak silat dan pembelajaran yang berfokus pada tangan dan kaki, telah mengasaskan sifat keyakinan pada diri. Kita tidak hairan atau berasa gentar dengan nama yang diberi pada persilatan. Gelaran nama silat sebagai Cakar Harimau atau Cakar Singa atau Cakar Aminah, semuanya tetap menggunakan asas pergerakan tangan dan kaki dalam proses gerak yang dibentuk. Hakikatnya, yang akan bergerak tetap dua tangan dan dua kakinya. Kalaulah kehebatannya bergantung pada gerak kepala yang hebat sekali pun, masih lagi memerlukan bantuan gerak kakinya.

Hal yang demikian menyebabkan hati kita akan berasa tenang dan tidak mudah melatah. Kefahaman telah ada. Kemahiran menggunakan tangan dan kaki juga telah ada. Hal yang demikian adalah merupakan satu keistimewaan kita dalam aspek pendidikan SC. Itu sebabnya pengamal SC tidak perlu menonjolkan diri untuk memberitahu orang lain bahawa dirinya sebagai pengamal silat. Itu juga sebabnya kita jangan merendah-rendahkan persilatan lain. “Jangan mencaci, try tak apa”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 06/05/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: