RSS

15.2 MANUSIA TOKSID III

27 Sep

Bahagian Ketiga

Untuk memupuk sifat motivasi diri, terlebih dahulu kita perlu benar-benar memahami tentang matlamat persatuan atau matlamat organisasi kita. Matlamat tersebut akan mengarah cara kita bertindak atau melakukan sebarang pekerjaan. Matlamat yang jelas akan mendorong kita melakukan sesuatu perbuatan itu demi untuk kebaikan persatuan atau organisasi kita. Tidak wujud sebarang kepentingan diri yang boleh menghalang minat dan keikhlasan kita untuk terus berbakti  pada persatuan kita.

Kita tidak dapat menahan mulut kita daripada terus bercakap. Cuma, perkara yang penting ialah bercakaplah tentang hal-hal yang positif. Saya teringat kata-kata Tun Dr Mahathir yang pernah menulis, ”Rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa untuk berdebat mengenai sesuatu idea baru supaya idea itu tidak perlu dilaksanakan.” Di sinilah dapat kita lihat betapa kepimpinan secara mutlak amat perlu diamalkan bagi mempastikan kita banyak bekerja daripada banyak bercakap. Ustaz telah membuktikan kenyataan ini.

Kalau diikutkan perasaan, banyak perkara negatif yang boleh dicari-cari. Malah,  seronok untuk dibualkan. Pada hal, perkembangan yang tidak sihat itu tidak memberi sebarang makna bagi perkembangan dan pembangunan diri kita. Malah, perbualan yang bersifat negatif akan lebih banyak menyakitkan hati orang lain. Hal yang demikian akan mewujudkan suasana yang tidak selesa di tempat kita bekerja.

Oleh itu, bagi mempastikan diri kita tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif maka eloklah kita sentiasa bercakap hal-hal yang positif. Jika kita bertemu dengan mereka yang  bercakap dengan perkataan-perkataan negatif, kita akan ’melawannya’ dengan percakapan menggunakan istilah-istilah yang positif.

Manusia toksid selalunya lahir dari mereka yang iri hati dan mempunyai perasan benci yang amat menebal. Oleh itu, bagi mengelak diri kita bersifat demikian, lebih baik kita meletakkan diri kita sebagai orang yang penting dan sangat diperlukan tenaganya demi kebaikan persatuan atau organisasi. Dalam hal ini, kita perlu melibatkan diri kita dalam sebarang bentuk aktiviti atau tanggungjawab tanpa menunggu arahan. Kesediaan menjalankan sebarang tugas akan menjadikan diri kita terhindar daripada perasaan benci atau iri hati pada orang lain.

Kita perlu akui bahawa sebagai manusia biasa, kita sering kali merungut dan bersungut dalam satu-satu perkara. Pada orang yang positif, sungutan itu tidak menghalangnya daripada meneruskan sebarang tanggungjawab yang diletakkan di bahunya. Sungutan yang timbul lebih berbentuk mengurangkan stress dan tidak akan kekal pada dirinya. Sebaliknya, ancaman sungutan dan rungutan itu lebih banyak pada orang-orang yang bersifat negatif. Merekalah yang perlu diberi perhatian dan diberi motivasi dari masa ke masa.

Oleh itu, kita perlu memotivasikan orang itu. Secara langsung langkah kita tersebut akan dapat memotivasikan diri kita sendiri. Apabila seseorang itu bersungut atau merungut di hadapan kita, jangan sesekali mengiakan pendapatnya itu. Sebaliknya, bawa perhatiannya kembali  pada matlamat dan visi persatuan atau organisasi. Beri logik kenapa kita perlu berkorban masa dan tenaga untuk memajukan persatuan.

Dalam keadaan kita bersemangat untuk memotivasikan dirinya, secara langsung diri kita juga akan memperbaharui tekad untuk lebih bersemangat bagi membangunkan persatuan atau organisasi yang kita berada. Jika semangat ini sentiasa ada pada kita, saya yakin unsur-unsur toksid tidak akan dapat meresap dalam jiwa kita.

Kita juga perlu sentiasa mengakui atas segala kesilapan yang kita lakukan. Jangan bersifat mempertahankan diri. Sifat mempertahankan diri tidak digemari orang lain. Orang yang tidak mengakui kesilapan yang dilakukannya sangat banyak mencipta alasan. Semua alasan tersebut hanya bagi melepaskan diri. Pastinya dalam masa itu mereka akan menyalahkan orang lain. Itulah salah satu punca yang boleh menyebabkan timbulnya gejala toksid dalam diri kita sendiri.

Kalau kita berjaya menghalang diri kita daripada menjadi manusia toksid, maka langkah  kita seterusnya ialah mempastikan keupayaan kita untuk menghadapi manusia toksid itu pula. Dalam tulisan berikutnya saya sarankan beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi atau berhadapan dengan manusia toksid yang berada dalam persatuan atau organisasi kita sendiri.

Langkah kita yang utama ialah jaga gerak laku kita semasa berhadapan dengan manusia toksid. Jangan cepat melatah. Kuasai diri kita agar jangan cepat menunjukkan riaksi pada perbuatan atau percakapan mereka. Kita perlu sentiasa beringat agar jangan sesekali bertengkar dengan golongan manusia toksid. Malah, jangan ada sebarang riaksi dari kita yang boleh ditafsirnya sebagai menerima atau menolak percakapan atau pendapat yang mereka keluarkan. Mereka sentiasa menunggu riaksi kita. Sedikit riaksi yang kita berikan maka mereka akan mentafsirnya mengikut tafsiran yang mereka kehendaki. Kalau kita berjaya mengawal gerak laku kita, maka akan menghindari diri kita daripada dijadikan alasan atau dijadikan alat untuk menguatkan hujah mereka pada orang lain.

Oleh itu, semasa berhadapan dengan mereka, tunjukkan memek muka yang tenang. Jangan sesekali menunjukkan memek muka seolah-olah terkejut, marah atau bersifat terburu-buru. Mereka tersangat suka jika kita memberi sebarang bentuk riaksi. Lain yang kita maksudkan maka lain pula yang akan dikatakan mereka.

     Selain daripada menjaga gerak laku kita, pemikiran kita juga perlu dikawal. Mungkin kita boleh menerima pandangan mereka tapi tidak secara bulat-bulat. Kita boleh terima dengan memberi beberapa cadangan lain yang lebih membina. Dalam masa itu, jangan sesekali kita membuat keputusan. Keputusan perlu ditangguhkan pada lain masa. Biarlah mereka ternanti-nanti akan keputusan kita.

Perlu diingat juga, ketika mereka membuat komen pada orang lain, pastikan diri kita tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jangan buat sebarang komen yang boleh ditafsirkan kita menyebelahi pihak-pihak yang tertentu. Mereka pasti akan pergunakan komen kita itu.

Akhirnya, kuasailah jiwa kita sendiri ketika berhadapan dengan manusia toksid itu. Kita perlu banyak bersabar ketika berhadapan dengan mereka. Kalau diikutkan hati pastinya kita akan membalas kata-kata mereka dengan kata-kata yang boleh menyakitkan hati mereka pula. Tentunya hal yang demikian akan mengeruhkan suasana. Sebaik-sebaiknya, jika berkemampuan, berilah nasihat pada mereka supaya mengubah pelakuan busuk yang menghinggapi diri mereka.

Kalau kita gagal memberi nasihat atau tidak berupaya berhadapan dengan mereka, langkah yang terbaik boleh dilakukan ialah dengan cara meninggalkan tempat tersebut. Jangan duduk lama berhadapan dengan mereka. Lebih baik ’belah’ daripada mendengar syarahan mereka.

              Oleh itu, untuk mengatasi dan menyaingi manusia toksid maka bangunkan diri kita dengan ilmu pengetahuan. Pastinya penguasaan ilmu persilatan akan menjadikan diri kita lebih yakin dan cekal untuk menghadapi golongan manusia toksid yang banyak menimbulkan huru hara di muka bumi ini. Kita tentu ada pengalaman dalam SC. Sekian.

 
Comments Off on 15.2 MANUSIA TOKSID III

Posted by on 27/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.