RSS

15.1 MANUSIA TOKSID II

22 Sep

Bahagian Kedua

Pepatah kita ada mengatakan bahawa musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Walaupun kita sentiasa menghindari musuh, namun, musuh tetap akan ada sama ada kita menyukainya atau tidak. Yakinkan diri kita bahawa orang-orang yang cemerlang mesti akan ada musuhnya. Orang-orang yang cemerlang pasti tidak disukai oleh semua pihak. Sekurang-kurangnya pesaingnya sendiri akan menjadi musuh. Dalam hal ini, orang-orang yang cemerlang perlu akui akan hakikat bahawa diri mereka yang cemerlang tetap akan menghadapi musuh yang pasti muncul pada bila-bila masa.

Begitu juga dengan mereka yang berada di puncak kejayaan. Pasti juga mereka akan menghadapi musuh-musuh yang tidak diundang. Tindakan dan riaksi musuh-musuh tersebut adalah dalam  pelbagai bentuk. Tapi perkara pastinya ialah mereka akan menjadi manusia toksid yang akan mengancam diri kita dan perkembangan persatuan atau organisasi yang kita pimpin.

Walau bagaimanapun, kita perlu akui betapa mereka yang berbuat ”baik” pun tetap akan ada musuh. Kebaikannya akan disalah anggap dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Semuanya berpunca dari sifat tidak senang hati. Lebih-lebih lagi musuh itu sememangnya mengidap penyakit sentiasa sakit hati. Itulah sifat manusia yang negatif dan mempunyai akal sempit atau akal kecil.

Berdasarkan perbincangan di atas, saya dapat simpulkan bahawa mereka yang mempunyai musuh adalah terdiri daripada orang-orang yang bersifat cemerlang. Orang-orang cemerlang ini adalah dari pelbagai golongan sama ada orang yang baik, hebat dan pastinya sedang berada di puncak kecemerlangan. Maknanya juga kalau kita ingin tahu sama ada kita orang yang cemerlang dan berada di puncak, maka kita perlu ada musuh. Musuh melambangkan kenyataan kehebatan kita.

Oleh sebab kehadiran musuh adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan oleh golongan cemerlang, maka kita perlu mengubah mindset kita tentang kewujudan manusia toksid yang selalu bertindak sebagai musuh kita. Oleh itu kehadiran mereka, jadikan peluang. Jangan marahkan kehadiran mereka yang membawa tekanan pada kita. Anggapkan bahawa kehadiran atau kewujudan mereka membawa banyak faedahnya pada diri kita. Berfikirlah secara pisitif walaupun hati kita akan berasa sakit. Jadikan ancaman sebagai peluang untuk perkembangan hebat diri kita.

Dalam hal ini, oleh sebab musuh adalah sesuatu yang tidak boleh kita hindari maka jadikan kehadiran mereka sebagai satu asset pada diri kita sendiri. Secara tidak langsung, dengan adanya manusia toksid itu, jadikan mereka sebagai alat untuk memotivasikan diri kita secara dalaman. Kita sedar bahawa kehadiran mereka tidak boleh dihindari tapi boleh disekat atau dikecilkan bilangannya. Hal yang demikian akan menjadikan kita sentiasa berada dalam suasana berhati-hati sama ada dalam tindakan atau dalam percakapan.

Tindakan berhati-hati akan menjadikan diri kita hebat.  Dalam keadaan kita memiliki musuh dan musuh-musuh itu terus menerus menyebarkan fitnah atau dakyahnya, kita akan sentiasa berhati-hati dalam meneruskan usaha atau kerja-kerja yang diamanahkan pada kita. Orang yang boleh terus bekerja, berfikir dan bertindak dalam keadaan sentiasa dikelilingi  masuh,  akan menjadikan dirinya sememangnya hebat.

Kehadiran musuh-musuh itu juga akan menyebabkan kita sentiasa sedar diri kita sebelum mengambil satu-satu tindakan. Apa saja yang kita lakukan, perlu dilakukan secara teliti dan melalui pemikiran dan tindakan yang strategik. Kita juga akan sedar bahawa apa saja yang kita lakukan akan ada pemerhati dan tukang komennya. Secara langsung kita juga akan sedar diri bahawa diri kita tidak sempurna. Hanya Allah yang sempurna. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita sentiasa berserah pada Tuhan bagi mempastikan keselamatan dan kesejahteraan diri kita.

Kita perlu memahami akan sifat-sifat golongan toksid ini. Kita berharap agar sifat-sifat mereka tidak diwarisi oleh ahli-ahli kita. Cuba kita lihat sifat-sifat manusia toksid dalam perbincangan tajuk ini. Sifat-sifat yang wujud itu akan berkesudahan dengan perasaan dengki dan khianat. Akhirnya golongan inilah yang bergelar sebagai golongan manusia toksid. Perbincangan tentang gejala manusia toksid akan membolehkan kita memperoleh pengetahuan agar diri kita terhindar dari menjadi manusia toksid yang sentiasa memporakperandakan persatuan atau organisasi yang terlibat.

Manusia toksid ini diasaskan oleh golongan manusia yang kurang berusaha. Mereka suka ’berkira’ apabila diberikan satu-satu tanggungjawab. Pada fikiran mereka, tidak ada orang lain yang boleh melakukan kerja-kerja tersebut. Pada anggapan mereka juga, jika tenaga mereka diperlukan maka orang itu perlu merayu dan merintih padanya. Namun begitu, apabila ada orang lain yang sanggup menjalankan tugas yang ditolak mereka maka mulalah diri mereka  memburukkan orang lain itu bagi mendapatkan kepercayaan semula.  Baru mereka sedar bahawa ada orang lain yang boleh menjalankan tugas. Bukan setakat diri mereka sahaja. Hal yang demikian tentunya tidak menyenangkan diri mereka.  Maka akhirnya mereka akan menjadi manusia toksid dengan menyebarkan fitnah bagi membuktikan diri mereka sahaja yang hebat.

Manusia toksid itu juga terbentuk hasil daripada golongan manusia yang penakut. Mereka tidak berani menghadapi cabaran dan tidak berani mengambil risiko dalam tugasan yang diamanahkan. Namun begitu, kelemahan itu cuba disembunyikan. Cara mudah yang diambil mereka ialah memperkecilkan orang lain agar sama dengan sifat penakut yang mereka ada. Hal yang demikian hanya boleh dilakukan dengan cara menyebarkan fitnah dan mengadu domba antara satu sama lain.  Maka jadilah orang itu sebagai manusia toksid yang sangat hebat fitnahnya. .

Manusia toksid ini rata-ratanya tidak mempunyai apa-apa kemahiran yang tertentu. Hal yang demikian akan menjadikan  mereka berasa rendah diri dan sentiasa rendah diri kerana berada dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai cara mengatasinya, jalan mudah yang boleh diambil ialah membuktikan betapa orang lain pula tidak ada kemahiran pada satu-satu tahap yang tertentu. Untuk membuat pembuktian berkenaan, tohmahan adalah satu langkah yang mereka jadikan pilihan.

Manusia toksid ini juga pada kebiasaannya pernah mengalami kekecewaan. Perasaan kecewa  yang dialami mereka menyebabkan mereka tidak mahu lagi menghadapi sebarang cabaran. Konsep ’belajar melalui kesilapan’ tidak dapat diamalkan mereka lagi. Mereka serik dengan kesilapan yang dialami hingga menyebabkan mereka tidak mahu menanggung risiko dalam pekerjaan yang boleh menyebabkan kekecewaan. Apabila ada orang lain yang tidak berwatak seperti mereka, tentunya akan menyebabkan mereka berasa iri hati dan tidak menyenangkan.

Selain daripada itu, manusia toksid terbentuk kerana kegagalan mereka memperoleh penghormatan dari orang lain. Orang lain tidak memberi penghormatan kepada mereka disebabkan pelbagai alasan. Hal yang demikian termasuklah perwatakan yang ada pada diri mereka yang tidak menyenangkan. Apabila orang lain memperoleh penghormatan, hatinya akan berasa cemburu dan timbul bibit-bibit rasa benci. Akhirnya akan mendorong diri mereka  memperkecilkan kebolehan orang lain agar orang yang berkenaan pun tidak akan dapat penghormatan seperti mana kegagalan mereka  mendapatkan penghormatan dari orang lain. Maka jadilah dia seorang manusia toksid.

Kurang kesedaran diri juga akan menyebabkan seseorang itu terjerumus menjadi manusia toksid. Orang yang tidak sedar diri, biasanya lupa akan dirinya. Dia tidak tahu di mana kedudukannya berada. Hinggakan ada yang berada dalam lapisan pengurusan bawahan yang berlagak umpama berada di lapisan pertengahan. Kita masih ingat betapa teruknya seseorang yang  bodoh sombong. Lebih-lebih lagi jika orang berkenaan merupakan golongan pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan arahan yang diberi.

Kurang kesedaran diri akan menjadi lebih parah jika bercampur dengan sifat yang melambangkan kurangnya didikan agama. Mereka tidak terdidik betapa umpat-mengumpat adalah merupakan perbuatan yang dilarang agama. Lebih-lebih lagi perbuatan mereka yang suka membuka aib seseorang. Kalau mereka mempunyai agama, pastinya perbuatan-perbuatan tersebut dapat dihindari.  Mereka berasa puas apabila dapat menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap seseorang itu. Terpaksalah mereka menyusun kata-kata palsu yang indah bagi mendapatkan kepercayaan orang lain atas penceritaan atau pembuktian mereka sendiri. Merekalah sejahat-jahat manusia yang asli toksidnya.

Oleh sebab manusia toksid akan sentiasa berligar-ligar di sekeliling kita, maka dalam hal ini, perbaikilah diri kita agar kita dapat membina perisai yang boleh menahan sifat-sfat manusia toksid itu daripada menghampiri atau meresapi diri kita sendiri. Hal yang demikian akan menjadikan kita bekerja atau menjalankan tugas secara berfokas dan dalam keadaan seronok dan selesa. Kita  tentunya tidak ada masa untuk memberi komen yang tidak tentu kebenarannya. Kebolehan menjauhi diri daripada menjadi alat manusia toksid yang lain, akan membolehkan kita menjadi manusia hebat dalam apa saja jawatan yang diamanahkan pada kita.

Diri kitalah sendiri yang boleh membuat perisai diri  agar kita tidak akan menjadi manusia toksid.  Oleh itu, kita perlu mempastikan diri agar sentiasa bermotivasi. Orang yang sentiasa bermotivasi akan menjadikan dirinya berfikiran positif. Jangan wujudkan sebarang ruang yang membolehkan mereka mempengaruhi diri kita. Hal yang demikian akan menghalang dirinya daripada menjadi manusia toksid.

Sambung lagi.

 
Comments Off on 15.1 MANUSIA TOKSID II

Posted by on 22/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: