RSS

16.0 PEMBANGUNAN DIRI I

05 Oct

Bahagian Pertama

Saya selalu mengingatkan ahli-ahli yang saya pimpin agar sentiasa perkayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan dapatkan seberapa banyak pengalaman. Ilmu pengetahuan yang banyak beserta dengan pengalaman yang luas akan menjadikan diri kita sebagai pemimpin, akan lebih dihormati oleh orang-orang yang kita pimpin. Lebih-lebih lagi jika kita memegang jawatan sebagai seorang Jurulatih. Dengan ilmu dan pengalaman yang banyak akan menjadikan peranan kita lebih berkesan untuk memimpin anak didik kita dalam dunia persilatan.

Kehebatan kita akan menyebabkan kita dapat membangunkan mana-mana ahli yang kita pimpin. Secara langsung persatuan atau organisasi yang dimanahkan kepada kita akan terus berkembang dengan pesat. Konsep kehebatan ’lebah’ akan memberi makna kerana ke mana sahaja kita berada, pasti tempat itu akan ’bersemarak’. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan konsep ’lalat’ yang ’menjahanamkan’ apa saja yang melibatkan dirinya. Saya telah menyentuh perkara ini dalam tulisan yang terdahulu.

Oleh itu, saya selalu sarankan anak didik saya supaya sentiasa membangunkan diri dengan pelbagai saluran yang ada. Tidak ada ruginya jika kita menghabiskan masa untuk membangunkan diri menjadi manusia hebat dalam apa saja lapangan yang diceburi.

Kadang-kadang saya terasa risau juga melihatkan pembangunan diri ahli-ahli SC yang terutamanya memegang jawatan sebagai Jurulatih. Mungkin kerisauan saya itu berdasarkan perbandingan antara situasi dulu kala dengan apa yang wujud ketika ini. Walau bagaimanapun, dalam tulisan ini saya akan membincangkan beberapa langkah yang kita boleh ambil bagi mempastikan diri kita terus menerus berkembang dari segi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang sangat bermakna dalam dunia persilatan. Hal yang sama juga boleh kita lakukan jika kita juga memegang jawatan penting dalam mana-mana persatuan atau organisasi yang kita terlibat.

Bagi mempastikan diri kita terus berkembang dan membangun, minda yang proaktif sangat bermakna. Jangan tunggu orang lain menyogok ilmu tanpa kita sendiri berusaha memberi ruang agar mereka memasukkan ilmu kepada kita. Apa yang penting ialah kita perlu sentiasa bersifat positif. Jangan terlintas langsung perkara-perkara negatif dalam proses mendapatkan ilmu. Semua ilmu yang diberi adalah bermakna. Cuma, sesuaikan ilmu tersebut dengan sikap dan nilai diri kita sendiri. Minda yang proaktif akan menjadikan seseorang itu berterusan mencari ilmu dan menambahkan pengalaman agar teori yang diberi dapat dibuktikan secara praktikal.

Dalam persilatan SC, bahan-bahan tulisan agak terhad. Namun begitu, terdapat beberapa artikal yang boleh dijadikan rujukan dan bahan bagi menambahkan ilmu pengetahuan. Seiring dengan bahan-bahan tulisan yang berkaitan dengan SC, jangan lupa membaca buku-buku yang berkaitan dengan persilatan lain. Hal yang demikian akan membolehkan kita membuat perbandingan. Secara langsung pemikiran kita diasuh agar bersifat kreatif dan kritis.

Di samping ilmu pegetahuan yang boleh ditambah melalui pembacaan, jangan lupa menambah luas pengalaman yang ada. Bergaullah dengan mereka yang berpengalaman luas dan banyak. Secara langsung pengalaman yang luas itu dapat dikongsi bersama walaupun dalam situasi yang berbeza. Daripada tidak ada pengalaman sebenar, bersandarkan pengalaman orang lain boleh juga diambil kira. ”Tiada rotan, akarpun berguna.”

Pengalaman yang lebih efektif adalah secara penglibatan sempurna diri kita sendiri. Libatkan diri dalam semua aktiviti terutama yang berkaitan dengan guru utama. Dengar baik-baik. Perkara yang dibincangkan atau dibualkan, jadikan panduan dan sempadan. Jangan terpegun dengan cara percakapannya. Sesungguhnya kebolehan bercakap adalah sifat semula jadinya. Pentingkan isi daripada gaya percakapan.

Selain daripada itu,  ilmu pengetahuan yang ada perlu dimantapkan melalui latihan yang berterusan. Corak latihan yang sedemikian akan menambahkan kemahiran kita dalam bidang yang kita ceburi. Hal yang demikian akan membangunkan diri kita dalam konteks kehebatan diri dari masa ke masa.

Pepatah kita ada mengatakan bahawa, ”Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.” Begitu juga dengan peribahasa, ”Di mana ada kemahuan maka di situ ada kejayaan.”

Oleh itu, sifat ’sentiasa berkehendak’ perlu ada dalam pemikiran kita. Itulah yang dinamakan sebagai nafsu kemenjadian. Orang yang ’menjadi’ dalam lapangan apapun yang diceburinya adalah hasil dari nafsunya yang hebat untuk kemenjadian sesuatu. Segala kerja yang dilakukan adalah dilakukan dengan bersungguh hati tanpa bertangguh. Hal yang demikian akan menyebabkan diri seseorang itu akan terus membangun dan bertambah hebat dari masa ke masa.

            Kemahuan ada kaitan dengan semangat untuk mendapatkan sesuatu. Menambahkan semangat pada diri kita secara langsung kita akan berusaha untuk menaikkan aura dalam diri kita. Jika diri kita mempunyai auranya yang tersendiri maka pasti kehebatan akan dapat dicipta dengan jayanya. Aura yang ada pada kita boleh dipindahkan pada ahli-ahli yang kita pimpin. Oleh itu, hebatkan aura kita agar mereka yang kita pimpin akan turut sama menjadi hebat.

Untuk menaikkan semangat atau aura kita dalam apa-apa bidang yang kita ceburi, terdapat pelbagai cara. Salah satu cara yang penting ialah sikap kita yang memerlukan sifat proaktif. Kita perlu sedar diri. Di manakah kedudukan kita. Kelemahan yang wujud hendaklah diperbaiki segera. Biasanya, orang yang sedar diri akan mudah untuk menambahkan ilmu pengetahuannya. Orang yang tidak sedar diri, selalunya bersifat ego dan sukar menerima kenyataan atau pengetahuan lain.

Selain dari itu, kita perlu sedar tentang matlamat kita menceburi satu-satu lapangan atau satu-satu minat. Dengan adanya matlamat yang jelas, akan memudahkan kita mengerakkan diri untuk mencapai apa saja yang dimatlamatkan. Matlamat akan menggerakkan diri kita untuk berusaha sepanjang masa.

          Dalam proses mencari ilmu itu, berilah keutamaan pada aspek yang difikirkan tersangat penting apabila perlu membuat pilihan. Misalnya antara ilmu berbentuk kefahaman, misalnya ilmu mengenal diri dengan ilmu persilatan. Dalam hal ini, berilah keutamaan berdasarkan matlamat yang kita ada. Mana satu yang lebih diberi keutamaan. Lihat faktor-faktor masa, wang ringgit atau pengorbanan tenaga yang diperlukan. Hal yang demikian tidak akan membebankan pemikiran kita dalam proses menambah ilmu dan pengalaman. Dalam konteks membuat pilihan, konsep berfikir untuk ’untung’ pada diri sendiri perlu ada. Kita lebih tahu akan keperluan yang patut ada pada diri kita.

Oleh itu, libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan untung atau manfaat. Hal yang demikian akan menjimatkan masa dari terbuang tanpa memberi apa-apa makna pada diri kita sendiri. Secara langsung, kita akan dapat membangunkan diri kita dalam apa-apa lapangan yang kita ceburi berdasarkan keperluan. Sekian dan bersambung lagi.

 
Comments Off on 16.0 PEMBANGUNAN DIRI I

Posted by on 05/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: