RSS

15.0 MANUSIA TOKSID I

22 Sep

Bahagian Pertama

           Dalam mana-mana persatuan atau organisasi, kita selalu mendengar istilah pengampu, kaki bodek, kaki cucuk dan pelbagai istilah lagi. Malah, dalam persatuan kita pun istilah-istilah berkenaan tidak terkecuali daripada sebutan para ahli. Cuma, ditambah lagi dengan satu istilah yang berkaitan dengan guru iaitu taksub. Namun begitu, sama ada ketepatan istilah-istilah itu pada orang yang ’dituju’, banyak bergantung pada tafsiran, pemikiran, atau tanggapan positif atau negatif orang yang memberi gelaran.

Biasanya, istilah atau kata-kata tersebut adalah terpancar dari mulut manusia yang saya gelar sebagai manusia toksid. Kerap kali saya lihat, orang yang memberi gelaran pada orang lain adalah merupakan orang yang bersifat toksid. Umumnya punca hal yang demikian kerana diri sendiri telah terketepi. Maka mulalah mereka memberi gelaran pada orang lain sebagai usaha menyakitkan hati orang berkenaan. Di sinilah peranan kepemimpinan tertinggi amat penting bagi mengawal keadaan. Jika mereka sendiri bersengkongkol dengan situasi yang wujud itu, maka keadaan akan menjadi semakin parah. Hal yang demikian akan mengundang pepecahan dalam kalangan ahli.

Saya mempunyai pengalaman berhadapan dengan kumpulan-kumpulan toksid  semasa aktif dalam persatuan. Akibatnya saya pernah tersingkir pada peringkat pemulaan. Begitu juga saya berpengalaman melihat rakan-rakan yang tersingkir dari persatuan kerana peranan manusia-manusia toksid berkenaan. Nampaknya, konsep dengki atau iri hati dan khianat adalah merupakan satu penyebab besar yang menyebabkan hal yang demikian berlaku.

Hal yang berkaitan dengan guru silat, istilah taksub amat popular digunakan. Cuma, kita pun berasa celaru sama ada istilah taksub itu sesuai digunakan pada seseorang itu. Ada yang mengatakan orang itu taksub, tapi pada pemerhatian saya tidak sedemikian. Nampaknya, tafsiran taksub digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam persatuan kita. Semuanya berdasarkan tafsiran. Tafsiran itu ada kaitan dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki seseorang. Saya tidak akan menyentuh perkara tersebut lagi. Banyak tulisan saya yang terdahulu telah membincangkan hal yang demikian.

Sifat toksid itu adalah satu penyakit. Penyakit itu ada kaitan dengan perasaan kita. Semuanya kerana pemikiran negatif telah mengatasi pemikiran positif. Hal yang demikian menjadikan daya fikir kita mengecil kerana asyik memikirkan hal-hal yang buruk sahaja. Kebolehannya ’mengenakan’ orang yang tidak disukainya adalah merupakan satu kepuasan. Selagi diri tidak puas, maka perbuatan yang bersifat dengki khianat akan terus dilakukan. Itulah sifat tekal dan kesungguhan yang wujud dek kerana wujudnya penyakit tersebut dalam diri.

Perbuatan toksid itu dilakukan secara dua bentuk. Kalau dia pandai menulis, maka prinsip surat layang amat popular digunakan. Salinan surat adalah merata-rata. Namun begitu, pengenalan diri tetap disembunyikan. Inilah golongan manusia yang ’bertopeng di muka’. Mereka yang tidak pandai menulis, susunan kata-kata indah yang menyakinkan kerap kali digunakan, atau mereka akan mengadakan perbuatan yang berupa perangkap. Misi utamanya ialah orang yang didengki akan ’jahanam’ dan tidak menimbulkan saingan lagi pada dirinya lagi. Dalam hal ini, hanya manusia hebat sahaja yang boleh mengesan pelakuan mereka itu.

Apa yang saya perhatikan, manusia toksid itu hidup dalam penderitaan. Walaupun kita nampak riak mereka seperti biasa, sebenarnya wajah muka mereka menampakkan sifat derita. Mukanya sentiasa masam. Ketawa yang dikeluarkan hanya menampakkan sifat kepuraan. Kata-kata yang dikeluarkan menampakkan sifat sombong dan megah diri.

                Kesimpulannya pada saya, manusia toksid itu wujud ekoran beberapa sifat yang dimilikinya. Sifat-sifat itu dibangun subur dari masa ke masa dalam hatinya. Apabila telah sebati maka sifat itu menjadi nilai yang sebati. Maka itulah nilai dan sifatnya. Sekali tak mengata atau mengandu domba, maka bukanlah dirinya. Mungkin kita perlu tahu punca-punca yang menjadikan diri seseorang itu bersifat toksid.

Pada saya, faktor utamanya adalah kerana wujud perasaan menyampah dalam dirinya. Dalam bahasa pertuturan biasa, istilah menyampah membawa maksud getik atau meluat.  Perasaan itu timbul pastinya kerana menusia itu berlainan prinsip atau pegangan dalam dunia kehidupan sehariannya. Dalam istilah yang lebih ilmiah, menyampah membawa makna iri hati. Orang yang menyampah akan  memiliki perasaan demikian ketika bersama dengan orang berkenaan dalam satu-satu program yang berlangsung. Kalau tak bersua muka, mungkin perasaan tersebut tidak akan timbul. Nampaknya kemunculan manusia toksid ini adalah bermusim.

Manusia toksid juga boleh timbul akibat perasaan benci atau perasaan sakit hati yang timbul berpanjangan. Hati kalau sudah sakit maka ingatannya yang bersifat benci adalah berpanjangan. Perasaan tersebut akan berkekalan selagi hatinya tidak berasa puas untuk membuat tindakan. Ubat kepada sakit hati ialah tindakan menyakitkan hati orang berkenaan.

Perasaan benci atau sakit hati juga, erat kaitannya dengan perasaan dengki. Sifat dengki biasanya timbul kerana apa yang orang lain ada, tidak ada pada dirinya. Satu contoh yang paling mudah dalam pentas persilatan ialah dari segi hubungan antara guru dengan muridnya atau orang kanannya. Oleh sebab seseorang itu kurang dihubungi berbanding dengan orang lain, maka orang yang kerap dihubungi oleh guru akan dijadikan bahan cemuhan kerana kewujudan perasaan dengki. Perasaan dengki itu hanya boleh dikurangi atau diubati dengan satu tindakan yang kita tafsirkan sebagai perbuatan khianat.

Selain daripada itu, manusia toksid juga boleh timbul akibat perasangka buruk dalam kalangan diri seseorang itu. Perasaan benci atau menyampah atau dengki yang timbul itu adalah akibat kekurangan maklumat yang sebenar. Hati manusia toksid jenis ini lebih rela membina prasangka buruk dari masa ke masa tanpa mendapatkan penjelasan sepenuhnya. Biasanya, setelah diberi penerangan atau penjelasan maka manusia toksid ini akan berubah pandangan dan dapat mengikis sifat prasangka buruk yang berkenaan. Tapi tetap tak kekal lama sebab nilai toksid telah tertanam begitu lama dalam dirinya.

Orang-orang yang bersifat negatif sering menghasilkan sifat toksid. Hidup mereka tidak tenteram. Masa lega atau masa rehat atau masa tidurnya sering terganggu kerana perasaan buruknya pada orang lain, agak menebal. Mereka selalu mengalami mimpi-mimpi ngeri yang menakutkan. Tidur mereka tidak cukup dan hal yang demikian menjadikan diri mereka terus dirundung malang dari masa ke masa. Maka akan lahirlah manusia yang tidak stabil dalam kehidupannya. Selalunya, mereka bersifat murung.

Oleh itu, setelah kita tahu akan sifat dan punca kelahiran menusia toksid, maka berhati-hatilah. Jauhi diri daripada menjadi golongan penyebar fitnah yang amat dikutuk Tuhan. Sesungguhnya, salah satu sebab pepecahan kita tempoh tahun yang lalu adalah kerana wujudnya manusia toksid dalam persatuan kita. Bersambung.

 
Comments Off on 15.0 MANUSIA TOKSID I

Posted by on 22/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.