RSS

14.2 KESERONOKAN BEKERJA III

11 Sep

Bahagian Ketiga

Saya telah tegaskan dalam tulisan terdahulu, betapa tugas yang diberi pada kita merupakan ketentuan Ilahi. Kita diberi amanah untuk memikul tugasan yang berkenaan. Kita tidak perlu merintih atau membebel tak tentu hala. Dalam hal ini, keseronokan  boleh ditimbulkan jika kita membetulkan fokas kita pada amanah berkenaan. Terimalah seadanya atas prinsip,  semuanya adalah kehendak Tuhan.

Oleh itu, jika kenyataan di atas kita terima dengan sepenuh hati, maka segala bentuk penyelesaian, mencari kekuatan atau kelebihan, merangka hala tuju, mengadakan  program-program, kesemuanya akan dilakukan berdasarkan perbuatan yang sebaik-baiknya. Dalam hal itu, tidak timbul langsung soal-soal yang bekaitan dengan sabotaj atau perbuatan yang cuba menggagalkan perancangan, baik secara sengaja atau secara tidak sengaja. Kehendak Tuhan perlu diterima. Pastinya suana yang timbul akan mewujudkan ketenangan dan diakhiri dengan keseronokan sewaktu menjalankan amanah yang diberi.

Kalau kita menerima amanah dengan penuh kerelaan dan percaya bahawa pelantikan kita pada hakikatnya telah ditentukan Allah, maka orang yang sedemikian akan sentiasa meningkatkan kualiti diri. Kualiti diri itu boleh ditingkatkan melalui pengkayaan ilmu pengetahuan dan kemahiran dari segi teknikal, komunikasi sama ada secara luaran atau secara dalaman.

Kualiti diri juga akan terserlah melalui penampilan dirinya. Di samping itu, hubungan dengan orang lain perlu sentiasa terpelihara dengan cara mewujudkan hubungan yang baik dan tidak merugikan. Semua pihak akan berpuas hati.

Orang yang cuba meningkatkan kualiti diri akan sentiasa belajar dari kesilapan. Kelebihan orang lain akan dijadikan panduan. Mereka akan terus mencari ilmu dan rajin membaca. Mereka percaya bahawa perbuatan yang berulang akan menambahkan kemahiran ( repetition is the mother of skills). Oleh itu, mereka akan terus mencuba sesuatu yang baru.

Perancangan yang dilakukan adalah secara strategik. Mereka akan memulakan sesuatu itu dari yang kecil kepada yang besar, dari yang mudah kepada sesuatu yang payah. Hal yang demikian akan menjadikan mereka sentiasa memikirkan sesuatu yang baik dalam pekerjaan. Pastinya hal yang demikian akan membawa keseronokan pada diri mereka sendiri dalam kerja-kerja seharian.

Menjawat jawatan yang disandang pasti akan menempuh pelbagai tekanan dan rintangan. Kita tidak terlepas daripada konsep birokrasi yang kerap kali akan menyusahkan kita. Atasilah halangan tersebut secara penuh hikmah dan penuh kesabaran. Kesabaran akan membantu pemupukan sifat  ketenangan dalam diri kita. Hal yang demikian akan menjadikan kita berasa selesa dalam pekerjaan. Oleh itu pasti akan wujud keseronokan ketika menjalankan tugas.

Saya selalu tegaskan pada rakan-rakan. Setiap yang negatif, jadikan cabaran. Atasinya dengan ketenangan dan jangan bersifat baran. Sebaliknya, perkara yang positif  jadikan dorongan untuk kita meneruskan tanggungjawab yang dimanahkan. Sebagai penjawat jawatan yang disandang, pastinya kita berkemampuan untuk menjangkakan perkara-perkara yang akan mendatang. Oleh itu, buatlah persediaan awal bagi menghadapi segala kemungkinan. Kita tidak akan berasa risau kerana segala-galanya telah dijangka dan kita telah ada perancangannya.

     Orang yang hebat selalunya menjadikan         masalah sebagai satu peluang. Tidak ada masalah yang tidak akan timbul dalam kehidupan seharian. Masalah adalah merupakan satu cabaran yang menguji ketahanan dan kehebatan seseorang. Dalam situasi itu, cabaran yang timbul dapat juga dijadikan satu ukuran untuk melihat kelemahan atau kekurangan diri, di sebalik kekuatan dan kelebihan diri untuk menyelesaikan masalah yang timbul itu.

Secara langsung banyak pengalaman yang kita peroleh melalui pengalamian yang sebenar. Dalam hal itu, kita akan menyusun strategi untuk melihat pelbagai alternatif penyelesaian. Hal yang demikian akan dapat membina keperibadian kita dalam kepemimpinan yang diamanahkan. Kita akan dapat mengasuh diri sendiri menjadi lebih matang dan lebih berpengalaman. Pastinya hal yang demikian akan memberikan keseronokan dan kepuasan bekerja.

Saya selalu tegaskan betapa tanggungjawab itu mengandungi dua konsep perkataan yang berbeza makna tetapi saling berkaitan. Perkataan ’tanggung’ membawa maksud tugas yang dimanahkan kepada kita. Manakala perkataan ’jawab’ memberi makna tugas yang dipikul merupakan amanah daripada orang lain kepada kita. Dalam hal ini, kita perlu memberi laporan dan menyediakan penjelasan apabila diminta.

Oleh itu dalam menjalankan tugas, tidaklah perlu bagi kita mewujudkan suasana bersaing dan membanding yang tidak sihat semata-mata untuk menonjolkan diri. Bekerjalah sebagai satu pasukan. Elakkan daripada penyakit PHD. Ramai yang mentafsirkan penyakit phd membawa makna perasaan hasad dengki yang berakhir dengan pebagai  penyakit tiga serangkai. ’P’ akan melambangkan pressure yang akan menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan timbulnya ’H’ iaitu heart atau jantung kita. Biasanya kedua-dua penyakit itu akan beriring dengan ’D’ iaitu diabetes. Tiga serangkai penyakit berkenaan akan menyerlah terutamanya bagi orang-orang yang ada perasan hasad dengki atau phd yang terlalu hebat.

Kalau kita berjaya menghindari sifat iri hati, maka wujudlah sifat bekerjasama antara sesama ahli dalam sesebuah organisasi itu. Sifat saling bekerjasama itu akan mengundang suasana keselesaan dalam pekerjaan. Hal yang demikian akan menimbulkan keseronokan pada kita untuk terus bekerja dan berusaha gigih dari masa ke masa.

Saya berasa yakin bahawa jika kita menolong orang lain maka Tuhan akan menolong kita melalui saluran-saluran atau orang-orang yang ditentukannya. Oleh itu, daripada kita memberi ulasan atau komen yang tidak membina pada orang lain, lebih baik kita terus membantu orang tersebut untuk menjalankan satu-satu kerja atau menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Insyaallah, Tuhan akan memberi laluan mudah kepada kita dalam kehidupan sehari-hari.

Di samping itu, keseronokan akan diperoleh jika kita sentiasa berlapang dada. Terimalah seadanya apa yang ada. Jangan merintih atau jangan merenget. Perbuatan merintih atau merenget akan membunuh kehebatan kita. Cari jalan untuk mengatasinya. Kalau kita telah berusaha, tapi gagal maka terimalah hakikat kegagalan tersebut. Jangan merintih. Belajarlah dari kesilapan. Susun strategi agar sebarang kelemahan atau perkara yang tidak sepatutnya  berlaku dapat dihindari dengan sepenuhnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, kesimpulannya, keseronokan banyak dipengaruhi oleh sikap atau pelakuan kita sendiri.  Kitalah yang berkemampuan untuk mencipta keseronokan. Kalau kita kata seronok maka seronoklah yang kita dapat. Sebaliknya, jika kita mencipta suasana yang tidak menyeronokkan maka itulah yang kita dapat. Sekian untuk tajuk ini.

 
Comments Off on 14.2 KESERONOKAN BEKERJA III

Posted by on 11/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: