RSS

61.12.6. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

07 Oct

Dalam tajuk kesimpulan ini seterusnya, saya akan membincangkan pandangan saya yang kedua tentang usaha-usaha untuk memelihara ‘kerahsiaan’ pelajaran persilatan SC yang diwarisi dari Ustaz.

Cadangan Kedua.

Kepekaan Terhadap Kajian Atas Silat Cekak.

1. Terdapat ahli-ahli silat lain atau orang yang berkaitan dengannya yang belajar SC. Ada yang menyebarkan hasil pelajaran ke pengetahuan silat mereka yang asal dan mereka membuat kajian.
2. Kita perlu peka dengan kajian mereka. Ini supaya kita tidak lalai dan sentiasa waspada. (Contohnya kajian mereka ke atas cara pelepas menangkap dan pukulan C).

Pada peringkat awal kemunculan SC, ramai yang tertarik untuk mengetahui tentang latar belakang persilatan tersebut. Saya berkata sedemikian kerana saya juga amat ingin mengetahui lebih lanjut tentang SC yang dikatakan berbeza dengan persilatan sedia ada yang saya pelajari dan saya ketahui.

Kebetulan ketika itu perkembangan pergerakan silat Melayu sangat meluas dalam masyarakat. Akhbar dan majalah sering memaparkan tentang perkembangan silat. Pertunjukan silat sering diadakan. Boleh dikatakan bahawa setiap majlis rasmi tentu ada persembahan silat. Pada pandangan saya, suasana persilatan dalam masyarkat Melayu ketika itu telah memberi kesan dalam proses perkembangan SC.

Tambahan pula, cara kepimpinan Ustaz yang menonjolkan SC, telah menarik perhatian masyarakat. Mereka sangat berminat dengan SC dan ingin mengetahui sejauh mana kelebihan yang ada pada SC. Oleh itu, usaha-usaha mengorek ilmu SC sentiasa dilakukan dari masa ke masa. Saya berpendapat, minat mereka berbuat demikian adalah kerana beberapa sebab.

Pertamanya, masyarakat telah difahamkan bahawa SC adalah sejenis silat teristimewa, lain daripada silat Melayu yang lain. Hal yang demikian adalah terbukti melalui penerangan yang diberi. Tidak ada tari-menari dan iringan gendang muzik silat. Faktor itu saja sudah cukup untuk menarik perhatian masyarakat bagi mengetahui secara lebih lanjut tentang SC. Tambahan pula, pertunjukan yang dipersembahkan tidak puas mata mereka memandang.

Pergerakan SC terlalu cepat. Setiap babak persembahan kadang kala kurang dari seminit. Tak sempat untuk mengesan pergerakan yang ditunjukkan. Hal yang demikian secara langsung telah menyebabkan mereka terus terdorong untuk mencungkil kelebihan SC.

Sepanjang pengetahuan saya, sekurang-kurangnya ada dua cara mereka mencungkil pengetahuan tentang SC. Pertamanya, dengan cara menghantar anak murid mereka sendiri untuk belajar SC. Saya berpengalaman dari segi ini. Dalam tulisan yang lalu, saya telah menulis hal yang demikian hingga menyebabkan saya terdorong mencari helah ‘memberhentikan’ mereka dari terus belajar.

Menyuruh mereka behenti secara langsung adalah merupakan satu perbuatan yang tidak patut. Saya berasa curiga atas pembelajaran mereka itu yang menunjukkan sifat tidak berminat untuk belajar secara serius. Lebih suka mengumpul buah. Hal yang demikian tentunya menyusahkan usaha-usha saya untuk memahamkan mereka tentang SC. Nampak jelas sifat mereka bukannya berminat untuk belajar SC, melainkan berminat mencungkil ‘rahsia’ yang ada dalam SC. Saya tidak mahu menanggung risiko. Gelagat yang ditunjukkan tidak menyakinkan bahawa mereka ingin mencari kebenaran.

Ada juga dalam kalangan mereka yang berhenti sendiri sebelum turun ke kelas. Terkenang peristiwa kemasukan seorang Jurulatih dari persilatan lain. Silatnya terkenal hingga kini dan bertaraf kebangsaan. Majlis telah diijazah Ustaz. Pada hari kelas pertama, beliau datang menyerahkan kembali kain putih. Tak sempat belajar pun. Alasannya, ketika tidur atas kain putih, ada lembaga yang datang. Isterinya nampak hingga menjerit. Atas desakan isterilah dikatakan sebab utama beliau berhenti dari terus mempelajari SC. Kesimpulan padanya, dikatakan bahawa SC tidak sesuai untuk dirinya kerana SC didakwanya ada ‘pakai’.

Terus terang saya katakan bahawa penarikan dirinya amat melegakan. Hal yang demikian kerana saya sendiri berasa ragu-ragu akan kemasukannya dalam SC. Mana mungkin seorang Jurulatih yang ada gelanggang sendiri, berminat belajar SC dari mula pelajaran. Biasanya orang jenis ini ada egonya. Pada anak didik saya, diterangkan bahawa kemungkinan besar lembaga yang datang itu adalah merupakan ‘kapitnya’ sendiri. Ketika itu persilatannya terkenal dengan dakwaan ada ilmu batin. Gurunya pun dicanang dalam akhbar boleh ditanam hidup-hidup. Tak hairanlah jika berlaku pertentangan antara amalannya yang sedia ada dengan ilmu persilatan SC yang baru diceburinya. Orang ego mana mungkin sedar diri.

Cara kedua mereka mendapatkan pengetahuan tentang SC ialah melalui anak buah mereka sendiri yang belajar SC. Ketika itu perkembangan SC di pusat-pusat pengajian adalah hebat kerana mendapat sambutan para siswa dan siswinya. Kita mudah menerima kemasukan mereka tanpa mengira latar belakang. Boleh dikatakan bahawa asal usul tempat mereka adalah dari pelbagai pelusuk negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Hal yang demikian memudahkan pelajaran SC diperoleh oleh sesiapa saja tanpa mengira latar belakang peribadi mereka.

‘Penguasaan’ kita pada ahli semakin longgar. Beberapa dasar yang tak bertulis terpaksa diubah. Satu contoh mudah ialah penggunaan baju silat. Kalau dulu, baju tersebut hanya untuk mereka yang telah tamat sahaja. Itu pun, kalau tak aktif akan dibeli balik oleh persatuan. Kemudiannya, penggunaan baju silat mula meluas. Ramai yang belajar selepas tamat putus hubungan. Ghaib bersama baju silat yang dibelinya kerana pernah membuat pertunjukan walaupun sekali. Oleh itu pada kebiasaannya, ilmu SC yang ada pada dirinya kurang memberi makna. Bila ditanya oleh mereka yang ada kaitan keluarga dengannya maka mudah diceritakan rahsia yang ada dalam SC.

Saya menyedari hal yang demikian tatkala saya berbual dengan seorang guru silat yang terkenal di Perak. Ketika itu saya mejawat jawatan Setiausaha Majlis Silat Negeri Perak. Hal yang demikian menyebabkan saya mempunyai hubungan rapat dengan guru-guru silat yang ada.

Guru berkenaan berfikiran terbuka. Beliau mengakui bahawa serangan SC adalah berkesan kerana tumbuk serangnya amat membantu. Saya terperanjat juga. Dakwaannya itu tidak menarik perhatian saya. Minat saya ialah ingin mengetahui cara dia mendapat pegetahuan tentang SC hingga membolehkannya membuat kesimpulan sedemikian.

Setelah berbual begitu lama, dia menceritakan bahawa pengetahuanya tentang SC diperoleh dari adiknya yang belajar SC di salah sebuah pusat pengajian tinggi.
Itu sebabnya ketika majlis penamat, pemberian buah serang perlu dilakukan secara berhati-hati. Konsep ‘tumbuk bodoh’ jangan mudah diperkatakan. Saya pernah menceritakan dalam tulisan yang terdahulu betapa ada Jurulatih yang menghadapi masalah ketika membuat serangan dalam majlis penamat. Tumbuk serangnya tidak menjadi. Penuntutnya telah mengetahui teknik serang terlebih dahulu. Pudar muka. Malu.

Itu baru satu contoh yang saya beri tentang cara SC mula ‘bocor’ kerahsiannya. Ada antara guru silat yang menjadikan cara pelepas tangkapan SC sebagai pelajaran dalam persilatannya. Saya tahu sebab bercampur dengan guru-guru silat tersebut. Semua buah tangkapan kita boleh ‘dibuka’ berdasarkan gerak pelajaran mereka.
Hal yang demikianlah menyebabkan saya ‘mendesak’ supaya kita mengambil berat akan perkembangan tersebut. Kita perlu lebih berhati-hati semasa menyampaikan pelajaran SC pada para penuntut. Kita juga mesti sensitif pada perkembangan yang berlaku tersebut ketika itu.

Saya sendiri amat mengambil berat akan perkembangan itu ketika menyampaikan pelajaran SC di cawangan sendiri. Cara mereka melepaskan tangkapan buah kita telah saya jadikan sebagai pelajaran dalam pelajaran umum. Saya ingin menyedarkan anak didik saya tentang aspek-aspek gerak kita yang mereka tafsirkan sebagai gerak kelemahan hingga membolehkan mereka membuat pelepasan pada kuncian yang kita lakukan.

Hal yang demikianlah juga menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa buah-buah kita tidak mudah dirungkai jika diambil secara kemas dan diiringi dengan pukulan. Saya menyedarkan anak didik saya bahawa gerak pukulan yang merupakan gerak istimewa kita jangan diambil mudah. Gerak pukulan kita adalah serentak kerana kita tidak mengelak dan kita juga menggunakan kaedah-kaedah yang tepat dan praktikal.

Pastinya, bentuk pukulan yang kita ada tidak ada dalam kebanyakan gerak persilatan Melayu yang lain. Saya sendiri ada pengalaman. Kebayakan tangkapan silat mereka adalah hasil gerak elakan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan gerak tangkapan yang kita lakukan. Perlu dimulai dengan pukulan.

Keistimewaan pukulan kita kurang mereka sedari. Oleh sebab pelajaran mereka memberatkan tangkapan maka pelepasan pada buah-buah SC adalah berfokus pada tangkapan yang dilakukan. Maknanya, yang dilepaskan ialah tangkapan dan bukannya pukulan. Mereka tidak ada pelajaran yang sedemikian.

Saya selalu menekankan betapa pentingnya kita mengambil berat pada gerak pukulan. Janganlah kita mengabaikan atau mengambil mudah kerana sikap itu akan menyusahkan kita ketika berdepan dengan mereka. Hal yang demikianlah juga menyebabkan saya cuba menarik perhatian para Jurulatih yang lain supaya menyedari akan perkembagan tersebut. Saya tidak pasti sejauh mana saranan saya itu dapat dikongsi bersama oleh Jurulatih yang lain. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 07/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: