RSS

61.12.5. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

03 Oct

Dalam tulisan ini saya mengulas kembali empat perkara yang saya beratkan dulu-dulu ketika saya menjadi Jurulatih Silat Cekak. Cadangan saya tersebut adalah merupakan hasil pemerhatian saya ketika itu. Ketika SC dalam proses berkembang dengan pesatnya. Sebagai Penyelia Kelas merangkap Jurulatih di cawangan, saya mempunyai pendapat dan pandangan bagi membantu proses perkembangan SC. Pendapat atau pandangan itulah yang saya cuba utarakan secara terbuka untuk maksud perbincangan dalam perjumpaan Jurulatih. Harapan saya, akan wujudlah budaya berbincang dan budaya berfikir dalam kalangan Jurulatih pada Hari Tenaga Pengajar. Mungkin perkara yang saya tekankan itu banyak faedahnya untuk maksud perbincangan atau perancangan sekarang.

Seperti yang selalu saya tegaskan dalam tulisan terdahulu, betapa wujudnya persaingan sesama persilatan Silat Cekak berdasarkan persatuan yang pelbagai. Mereka yang menuntut SC akan banyak dipengaruhi oleh strategi yang kita rancang. Saya berpandangan, dalam usaha kita menyebarkan SC, persilatan kita perlu teguh dan berada dalam satu kedudukan yang tinggi mutunya dalam semua segi. Mungkin cadangan saya berdasarkan empat perkara yang pernah saya utarakan dulu dapat membantu bagi memantapkan perisilatan kita.

Dalam tulisan ini saya perhalusi lagi perbincangan saya berdasarkan cadangan tersebut.

Cadangan Pertama

Mutu Pengajaran Pembelajaran

1. Setalah sekian lama Silat Cekak (SC) berkembang, sepatutnya soal atau teknik membuat buah tidak patut timbul. Jika timbul persoalan, LPT cepat-cepat buat keputusan dengan kata putus Guru Utama.
2. Dengan arahan YM Guru Utama, sila buat arahan kepada Jurulatih atau Penyelia Kelas. Jika ingin pelarasan, hanya panggil Jurulatih atau Penyelia. Tidak perlu memanggil semua peringkat tenaga pengajar semata-mata untuk berbaris dan dibuat pelarasan. Ini akan menimbulkan beberapa kesan:
i. Kedudukan Jurulatih/Penyelia
ii. Kepercayaan dari segi kepimpinan.

Ada dua perkara yang saya tekankan dalam cadangan tersebut. Cadangan pertama ialah tentang gerak silat yang mula berbeza antara sesama jurulatih yang ‘membawa’ persilatan SC. Maka dalam hal ini, kata putus dari Guru Utama secara tegas perlu dilakukan. Nampaknya, bukan senang berbuat demikian. Kalau dulu perbezaan gerak adalah dalam lingkungan satu guru. Akan tetapi kini, perbezaan gerak dalam persilatan SC secara amnya semakin ketara kesan dari situasi pelbagai guru. Saya telah membincangkan hal yang demikian dalam kebanyakan tulisan saya.

Cadangan kedua ialah bentuk atau cara pelarasan yang dilakukan. Saya menyarankan jika ada pelarasan, memadai dipanggil seorang Jurulatih kanan dari setiap cawangan peringkat negeri. Tak perlu dipanggil semua Jurulatih sama ada dari cawangan atau dari pusat-pusat latihan yang sama. Jurulatih yang dipanggil itu, apabila balik ke cawangan akan membuat pelarasan dengan Jurulatih yang lain. Biarlah wujud hanya satu arahan dari seorang wakil yang dipilih untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang telah diselaras. Kalau ada tiga atau lebih wakil maka akan wujud tiga atau lebih arahan. Saya berpendapat hal yang demikian adalah penting bagi mewujudkan suasana persilatan yang bermotivasi di setiap cawangan.

Saya pernah menulis betapa persilatan SC adalah bergerak secara berpersatuan. Ada organisasinya. Dalam mana-mana organisasi, ada dua perkara yang penting iaitu manusia yang ada dalamnya dan struktur organisasi itu sendiri. Manusia yang ada dalam setiap organisasi perlu diurus secara bijaksana. Menjadi ketua tidak menjadi masalah. Jika terlantik sebagai ketua maka jadilah dirinya sebagai ketua. Sebaliknya sebagai pemimpin perlu ada kemahiran tertentu. Seseorang ketua itu tidak semestinya boleh menjadi seorang pemimpin; sebaliknya seorang pemimpin itu boleh menjadi seorang ketua yang baik.

Struktur oraganisasi akan melambangkan hirarki dalam organisasi tersebut. Pada saya, hirarki adalah penting. Hal yang demikian melambangkan taraf berdasarkan sempadan kuasa yang ada pada setiap ahli yang telah diberi tanggungjawab untuk mengurus organisasi itu.

Dalam konteks persatuan SC, saya mencadangkan agar setiap cawangan peringkat negeri mempunyai seorang Jurulatih kanan. Salah satu Kriteria pelantikannya tentulah berdasarkan pada ilmu persilatannya dan kesetiaannya pada Guru Utama. Golongan mereka ini perlu diberi perhatian secara langsung oleh Guru Utama. Perjumpaan khas perlu diadakan. Sekurang-kurangnya setahun sekali di samping perjumpaan tenaga pengajar yang diadakan saban tahun.

Dalam perjumpaan itu bolehlah diadakan sesi perbincangan khas. Kelas latihan juga boleh diadakan dengan pengendalian dari Guru Utama. Itulah harapan saya tatkala menjadi Jurulatih di Cawangan. Kebetulan pula saya adalah merupakan Jurulatih kanan di cawangan. Lantikan dan gelaran sendiri. Hal yang demikian kerana pembantu saya yang sedia ada adalah dari kalangan yang saya didik. Sayalah yang menyampaikan amanah ilmu SC pada mereka. Secara langsung saya telah memainkan peranan penting dalam hirarki organisasi di cawangan sendiri.

Hari tenaga pengajar yang diadakan saban tahun adalah melibatkan semua tenaga pengajar sama ada bertaraf Jurulatih atau pembantu Jurulatih. Oleh itu, hal yang demikianlah menyebabkan perlu ada perjumpaan khas atau sesi khas antara Guru Utama dengan Penyelia Kelas dan Jurulatih Kanan dari setiap cawangan peringkat negeri.
Kalau ada pelarasaan atau peneguhan gerak dalam SC, eloklah dibincangkan dalam perjumpaan tersebut. Tidak perlu memanggil semua Jurulatih. Biarlah Jurulatih yang terpilih itu yang akan menyebarkan ilmu yang diperolehnya pada jurulatih lain di cawangannya. Pada saya, pengurusan yang sedemikian adalah terbaik pada satu-satu organisasi. Itulah pengalaman yang saya peroleh ketika memegang tampuk pengurusan dalam organisasi besar diperingkat negeri.

Dalam organisasi persilatan, hirarki perlu ada. Itulah gunanya struktur organisasi bagi memperlihatkan tanggungjawab dan batas sempadan akan kuasa yang diberi. Hirarki akan mewujudkan suasana hormat-menghormati dalam tuntutan berorganisasi. Bukannya kita membeza-bezakan tingkat taraf ahli berdasarkan sifatnya melainkan atas tangungjawab yang diberi padanya.

Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat di setiap cawangan perlu ada seorang jurulatih yang kanan bagi mengawasi perjalanan persilatan di cawangan. Sebaik-baiknya, Jurulatih itu juga adalah merupakan Pengerusi persatuan. Hubungan Jurulatih yang kanan itu dengan Guru Utama perlu tersangat rapat. Hal yang demikian akan memudahkan arahan, hasrat atau harapan Guru Utama dalam persilatan akan bertali arus dengan ahli-ahli persilatan yang lain. Sekurang-kurangnya Guru Utama ada orang harapan di setiap cawangan. Kesetiaan mereka teruji. “Direbus tak empuk, direndam tak mati”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/10/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: