RSS

61.12.4. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

27 Sep

Saya selalu menegaskan bahawa persaing utama kita dewasa ini adalah datangnya dari persilatan Silat Cekak yang berlainan persatuan. Semuanya mendakwa bahawa persilatan yang dibawa adalah yang asli dan dari punca yang sah. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian saya, perasaan khianat lebih banyak cenderong kepada persatuan yang baru kita tinggalkan. Mereka sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menutup kelas-kelas SC yang kita jalankan. Kadang kala saya sendiri kurang faham. Kebanyakan mereka adalah merupakan orang kanan Ustaz. Sepatutnya, demi perjuangan dan Pusaka Hanafi, kelas-kelas SC yang sedia ada tidak perlu ‘dikacau’. Namun begitu, hal yang demikian tidak berlaku. Jelaslah pada saya, kepentingan diri mengatasi segala-galanya.

Walau bagaimanapun, kita yang mengetahui akan asal usul pecahan persilatan berkenaan boleh memberi ulasan dan pandangan. Saya rasa, kita akan berasa bersalah jika ramai yang terperangkap dalam proses mereka mencari persilatan SC yang asli. Belajar SC dari punca yang tidak sah. Saya pernah menegaskan bahawa sesuatu yang asli itu tidak mungkin sama dengan sesuatu yang tidak asli.

Tidak ramai bakal penuntut yang boleh menimbulkan persoalan tentang keaslian persilatan SC yang pelbagai persatuan itu. Walau bagaimanapun, kita patut rasa bertanggungjawab bagi mempastikan bakal penuntut SC benar-benar mempelajari SC yang asli. SC yang ada asal usulnya. Dari ‘sentuhan’ pewaris mutlak Silat Cekak. Hal yang demikian menyebabkan wujud keperluan bagi kita untuk menyebarkan SC yang diwarisi secara mutlak oleh Guru Utama kita. Kita perlu ada strategi yang sesuai, lengkap dan bertepatan dengan kehendak masyarakat semasa. Saya telah membincangkan hal yang tersebut dalam tulisan yang lalu.

Dalam keghairahan kita menyebarkan SC, jangan lupa beberapa aspek dalaman yang perlu diberi perhatian. Saya selalu memberi penekanan tentang aspek tersebut sejak dulu lagi. Semasa perjumpaan Jurulatih yang pertama selepas PA dilantik sebagai pemegang amanah Guru Utama, saya telah membangkitkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Saya telah keluarkan satu kenyataan sebagai edaran dalam kalangan Jurulatih ketika itu supaya dibuat perbincangan. Tak ada sambutan dari LPT ketika itu.

Tujuan saya berbuat demikian bagi mempastikan kita sentiasa memberi perhatian pada persilatan kita dalam proses penyebarannya. “Dalam proses kita mengejar kehidupan, jangan lupa masa depan anak-anak di samping keteguhan keluarga yang telah kita bangunkan”. Maknanya, dalam proses kita menyebarkan persilatan SC, jangan lupa menjaga kebajikan para Jurulatih dan sentiasa mengawal kualiti persilatan SC itu sendiri.

Saya berpandangan bahawa aspek kualiti perlu bersepadu dengan aspek kuantiti. Dalam keadaan persilatan kita terus berkembang, jangan lupa diberi perhatian untuk sentiasa menjaga mutunya. Tidak kiralah mutu pelajarannya, mutu pengurusannya dan mutu para penuntut itu sendiri. Saya rasa, dalam perkembangan persaingan yang sedia ada sekarang, aspek kualiti sangat bermakna di samping aspek kuantiti yang kita usahakan.

Dalam tajuk Kesimpulan ini, saya ingin memetik kembali cadangan saya tentang tumpuan yang patut diberi semasa proses perkembangan Silat Cekak. Bolehlah diberi perhatian. Walaupun hal yang demikian telah lama, akan tetapi bak kata orang, ‘perkara lama elok juga dikenang kembali dan diberi perhatian. Banyak gunanya untuk perkembangan kita seterusnya’.

Edaran asal saya adalah dalam satu muka surat, mengandungi empat perkara utama. Untuk tujuan perbincangan seterusnya dalam tulisan ini, saya bincangkan secara memetik kembali setiap isi perbincangan dengan ulasan dan penjelasan saya. Edaran asal ada saya sertakan dalam lampiran tulisan ini.

Beberapa Pandangan mengenai Peranan LPT

1. Mutu Pengajaran Pembelajaran

1.1. Setelah sekian lama Silat Cekak (SC) berkembang, sepatutnya soal atau teknik membuat buah tidak patut timbul. Jika timbul persoalan, LPT cepat-cepat buat keputusan dengan kata putus YM Guru Utama.
1.2. Dengan arahan YM Guru Utama, sila buat arahan kepada Jurulatih atau Penyelia Kelas. Jika ingin pelarasan, hanya panggil Jurulatih atau Penyelia. Tidak perlu memanggil semua peringkat tenaga pengajar semata-mata untuk berbaris dan dibuat pelarasan. Ini akan menimbulkan beberapa kesan:
i. Kedudukan Jurulatih/Penyelia
ii. Kepercayaan dari segi kepimpinan.

2. Kepekaan Terhadap Kajian Atas Silat Cekak.

2.1. Terdapat ahli-ahli silat lain atau orang yang berkaitan dengannya yang belajar SC. Ada yang menyebarkan hasil pelajaran ke pengetahuan silat mereka yang asal dan mereka membuat kajian.
2.2. Kita perlu peka dengan kajian mereka. Ini supaya kita tidak lalai dan sentiasa waspada. (Contohnya kajian mereka ke atas cara pelepas menangkap dan pukulan C).

3 Mutu Senarai Buah Kemahiran/Umum.

3.1. Buah-buah dalam senarai buah umum perlu disemak kembali. Dewasa ini terdapat beberapa teknik dan taktik pukulan, sepakan atau tendangan yang canggih dan mengelirukan.
3.2. LPT perlu peka dengan teknik-teknik terbaharu dan mencari kaedah penyelesaian. Pengetahuan ini perlu disibarkan kepada kelas.

4. Kebajikan Jurulatih.

4.1. Jurulatih adalah wakil guru atau persatuan. Jika mereka menghadapi masalah, terutamanya dari segi kesihatan, bantulah mereka; lebih-lebih lagi yang melibatkan wang ringgit.
4.2. Masa sihat, mereka telah berkurban untuk memperjuangkan SC. Apabila mereka sakit, perjuangkanlah kesejahteraan mereka.

Yang benar dan ikhlas,

(MOHD RAUHI BIN MOHD ISA)
Jurulatih
Merangkap
Penyelia Kelas,
Cawangan Ipoh.

Dalam tulisan seterusnya, saya akan huraikan maksud cadangan saya tersebut. Mungkin pandangan saya tersebut masih berguna pada masa sekarang. Bolehlah dijadikan panduan dalam proses perkembangan persilatan SC yang kita bawa. Bersambung.

20130927-094504.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 27/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: