RSS

61.12.3. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

22 Sep

Dalam tulisan yang lalu saya telah katakan bahawa pemikiran yang ada dalam persilatan Silat Cekak adalah mirip pada tuntutan pemikiran Kaum Muda. Istilah mirip tidak bermaksud SC adalah terpengaruh dengan pemikiran Kaum Muda. Mungkin perkembangan pemikiran yang berlaku itu adalah secara kebetulan sahaja. Yang pastinya, pembawaan yang ada dalam SC adalah bersesuaian dengan tuntutan perubahan dalam masyarakat ketika itu. Ustaz telah berupaya merancang pembaharuan dalam SC seperti kata-kata Ustaz yang saya petik dalam tulisan yang lalu. Maknanya, dalam konteks pembaharuan dan perubahan, sesungguhnya prinsip itu wujud dalam persilatan SC. Perkembangan yang berlaku dalam SC itu turut memenuhi kehendak pemikiran generasi muda dalam masyarakat pada masa itu.

Ketika itu fahaman pembaharuan telah meluas dalam masyarakat Melayu. Adat yang bertentangan dengan agama sangat diambil berat oleh masyarakat terutama generasi muda. Mereka tidak berminat dengan adat-adat yang bertentangan dengan agama. Nampaknya, pembaharuan yang ada dalam SC yang merupakan hasil pemikiran yang ada pada Ustaz, amat sesuai dengan perkembangan pemikiran yang berlaku tersebut.

Cuma, jangan sesakali kita menganggap Ustaz terlibat dalam pertentangan pendapat antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Tak ada bukti dan tak ada kajian. Seperti yang dikatakan, saya pun tidak pernah membincangkan hal yang demikian dengan Ustaz. Akan tetapi, dalam tulisan yang lalu pernah saya tulis tentang seorang bukan ahli yang inginkan penjelasan Ustaz tentang bacaan niat “Sahaja aku…atau Usolli sebelum sembahyang.” Fahaman yang ditentang Kaum Muda.

Jawapan Ustaz mudah dan ringkas. Kalau sebelum sembahyang, kalau nak baca apa pun tidak mendatangkan masalah. Tak terlibat pun dengan hukum ketika mengerjakan sembahyang. Konsep sahaja juga merujuk pada perbuatan yang tidak ada kepentingan. Ustaz mempunyai cara pemikiran tersendiri. Mudah difahami dan mudah diterima akal.

Tulisan ini membuat kesimpulan bahawa perubahan yang wujud dalam persilatan SC sangat bersesuaian dengan generasi baru yang inginkan perubahan dan pembaharuan ketika itu. Pembawaan SC senang diterima sama ada dari segi adat dan adabnya, bahkan juga isi pelajarannya yang bersistem. Semuanya berpijak di bumi nyata. Sistem pelajarannya adalah ‘logik’ dan munasabah untuk digunakan sepanjang masa. “Apa yang ditunjuk dalam persembahan SC maka itulah yang dipelajari dalam pelajarannya”. Hal yang demikian amat berbeza dengan persilatan jenis ‘gerak tempur’ dalam kalangan silat Melayu.

Pada pandangan saya, oleh sebab adanya ‘pembaharuan’ dalam persilatan SC maka tidak hairanlah SC begitu mudah bertapak di pusat-pusat pengajian tinggi. Sesuailah pemikiran para siswazah dengan apa yang ada dalam SC. Hal yang demikian termasuklah pemikiran tentang gurunya, adat dan adab persilatan serta bentuk pelajaran yang diberi pada para penuntut.

Malah, sepanjang pemerhatian saya, SC lebih banyak berkembang di bandar-bandar berbanding dengan kampung. Kalau bertapak di kampung pun, masih lagi kedudukannya dipinggir bandar. Umumnya, kebanyakan penuntutnya adalah terdiri dari mereka yang berpelajaran. Kepimpinan persilatan SC juga mula diambil alih oleh mereka yang berpelajaran dan mempunyai kedudukan dalam perjawatan kerajaan atau swasta.

Tidak hairanlah jika kita berupaya mengadakan ujian secara bertulis. Saya rasa, SC adalah merupakan silat Melayu yang pertama mengadakan ujian secara bertulis. Murid kena ada pengetahuan sama ada secara membaca atau mengikuti syarahan bagi mendapatkan fakta sebelum menduduki ujian. Hal yang demikian amat berbeza dengan persilatan Melayu lain. Kebanyakan ujian yang dilakukan adalah berdasarkan pergerakan silat. Terdapat juga ujian berbentuk psikologi seperti bertapa, mandi minyak atau lain-lain bentuk ujian yang memerlukan keyakinan.

Dalam SC, matlamat ujian adalah jelas. Dari aspek keyakinan, kita ada ujian secara amali. Manakala dari segi ilmu pengetahuan, kita ada ujian bertulis. Teori dan amali akan melengkapkan kebolehan persilatan seseorang penuntut secara teruji dan berkesan. “Berbuat satu-satu perbuatan tanpa ilmu pengetahuan, kurang memberi kesan”. Gerak dalam persilatan SC bukannya gerak hafalan; sebaliknya gerak yang dilakukan adalah gerak yang terancang.

Kini, cara pemikiran masyarakat semakin canggih, semakin berubah dan telah diberi tafsiran baru. Pengenalan nama Kaum Muda dan Kaum Tua sudah tidak popular lagi. Telah ada pengenalan tentang budaya pemikiran masyarakat kita secara rujukan baru. Kita mungkin biasa mendengar tentang generasi ‘X’ dan Generasi ‘Y’. Pemikiran mereka juga bukannya diukur pada faktor umur, tapi lebih merujuk pada sifat, sikap dan daya pemikiran mereka sendiri.

Generasi ‘X’ selalunya merujuk pada pemikiran generasi lama. Generasi dulu-dulu. Pada zaman saya, istilah generasi ‘X’ masih terpakai. Pada dasarnya, Generasi ‘X’ ialah generasi menurut perintah. ‘X’ melambangkan pelekap yang menutup mulut. Sifat tidak berani membantah atau tidak mahu membantah kalaupun tak setuju. Ikut arahan tanpa banyak soalan atau persoalan. Golongan ini tidak berminat dengan perubahan. Ikut sahaja tanpa banyak karenah.

Kalau dalam konteks persilatan, penyampaian pelajaran pada golongan ini tak jadi masalah. Terima sahaja tanpa banyak membantah. Apa yang disuap maka itulah yang ditelan. Tak payah pilih-pilih apa yang boleh ditelan.

Saya pernah menulis betapa generasi berikutnya mula berubah. Pengenalan sistem pelajaran yang menekankan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis telah melahirkan generasi baru yang berfikiran baru. Mereka dikenali sebagai generasi ‘Y’. Setiap sesuatu perlu dibuktikan sebab-musababnya. Generasi ‘Y’ selalu menggunakan perkataan ‘Why”. Mereka tersangat suka pada perubahan dari masa ke masa. Tak suka cara lama yang kekal sepanjang masa.

Salah satu sifat mereka, sesuatu yang baru bukan mudah untuk diterima begitu sahaja. Ada persoalannya. “Kenapa”. Itulah soalan yang kerap ditanya. Mereka inginkan pembuktian sebelum menerima satu-satu pelajaran. Bukan semua yang disuap boleh ditelan begitu saja. Selera mereka tidak sama dengan selesa si tukang suap. Kalau disuap ikan, akan ditanya kenapa tidak ada ayam. Itulah sifat semula jadi yang wujud dalam kalangan mereka. Berfikiran kreatif dan kritis tanpa mudah menerima sesuatu secara begitu saja.

Oleh itu, dalam persilatan SC, bentuk penyampaian pelajaran dalam kalangan mereka memerlukan pembuktian untuk memenuhi sifat dan sikap mereka. Macam-macam soalan dan persoalan yang boleh ditimbulkan mereka. Jangan kita bersifat marah. Kena layan. Hal yang demikianlah menyebabkan para Jurulatih perlu mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas dalam silat.

Pada saya, kita perlu berhati-hati tatkala mereka menambah satu perkataan lagi menjadikan rangkai kata, ‘Why Not”. Dalam persilatan SC, hal yang demikian akan mendorong perubahan dalam prinsip, konsep dan falsafah SC kalau kita tidak sensitif. Kalau SC tidak ada tari silat, ‘kenapa tidak’ (why not) kita lakukan perubahan. Kita perkenalkan tari silat dalam bentuk yang tersendiri. Maka mungkin akan terbentuk tari dalam SC. Kerana rangkai kata ‘Why not’ juga mungkin akan menyebabkan berlaku lagi beberapa perubahan berdasarkan pemikiran logik mereka. Masyarakat generasi mereka akan mudah menerima segala perubahan tersebut. “Kenapa tidak”. Mereka boleh mengubah sesuatu berdasarkan logik.

Dalam konteks masyarakat, kita perlu ada strategi untuk berhadapan dengan generasi ini dan strategi untuk mendapatkan minat mereka mempelajari SC. Mungkin hal yang demikian tidak begitu bermasalah dalam SC kerana barisan kepimpinan SC yang ada juga adalah terdiri dari generasi ‘Y’. Hal yang demikianlah pada saya, wujud keperluan betapa pentingnya orang-orang lama duduk bersama dalam barisan kepimpinan yang ada bagi maksud perseimbangan pemikiran agar falsafah, prinsip dan konsep yang ada dalam SC tidak akan tersasar dari landasan yang sepatutnya.

Kini dan masa-masa akan datang, akan lahir satu lagi bentuk generasii baru. Tidak lagi generasi ‘X’ dan generasi “Y”. Kali ini akan muncul generasi “Z”. Generasi ini mempunyai watak yang tersendiri dan menyimpang jauh dengan pemikiran generasi ‘X’ dan mungkin dekat sikit dengan generasi ‘Y’.

Generasdi ‘Z’ adalah generasi yang ‘zzzz’. Suka tidur siang dan berjaga malam. Kalau di zaman saya, golongan ini sangat terpencil dan dikenali sebagai golongan ‘musang’. Berjaga malam. Siang mengantuk, malam berjaga. Ketika ini, mereka berjaga malam kerana segala kemudahan ada di waktu malam. Mereka bermain komputer dengan facebook dan sebagainya pada sebelah malam. Ada pula siaran langsung perlawanan bola sepak di tengah malam. Merekalah penonton setianya. Malah, banyak permainan yang aktif di waktu malam. Misalnya permainan futsal. Boleh tempah gelanggang pada waktu larut malam.

Oleh itu, satu masa nanti strategi kita mungkin berubah berdasarkan tuntutan sifat dan sikap generasi baru tersebut. Kita perlu berusaha untuk menghadapi perubahan tersebut. Pakar-pakar kumputer amat diperlukan dalam barisan kepimpinan kita. Hal yang demikian kerana segala maklumat tidak perlu secara surat menyurat. Memadai penggunaan laman sesawang atau sebagainya.

Kelas-kelas SC mungkin boleh dirancang di sebelah malam hingga larut malam. Ikut giliran. Ada yang bermula pada pukul lapan malam. Ada yang bermula jam sebelas malam dan mungkin juga satu hari nanti kelas SC akan bermula pada pukul dua pagi atau tiga pagi.

Apa yang penting ialah sesuaikan strategi kita dengan tuntutan pemikiran yang wujud dalam masyarakat kita sekarang. Pemikiran masyarakat yang sentiasa berkembang dari masa ke masa. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 22/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: