RSS

61.12.2. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

20 Sep

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan betapa pentingnya kita memiliki strategi yang tepat dan lengkap dalam proses mengembangkan SC. Strategi itu perlu memberatkan tuntutan, karenah, sifat dan sikap generasi muda yang sedia ada sekarang. Kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk menyebarkan SC pada mereka dalam situasi persaingan SC yang berlainan persatuan. Kita yakin bahawa SC yang kita amalkan adalah benar dan sah. Pewarisnya sah dan ilmu SC yang dibawanya juga adalah sah. Pada pandangan saya, jika orang lain memilih persilatan SC selain daripada SC yang kita amalkan, terasa betapa ruginya mereka tersebut. Belajar dari punca yang tidak sah dari sudut mandat persilatan.

Untuk merancang strategi yang tepat dan lengkap, kita perlu sensitif dengan sifat dan sikap masyarakat yang merupakan pelanggan utama kita, bakal penuntut SC. Pemikiran mereka juga perlu diambil kira dari segi proses penyampaian silat ini. Hal yang demikian akan banyak membantu usaha-usaha kita menyebarkan persilatan SC secara meluas dan berkesan.

Generasi sekarang mempunyai perbezaan pendapat, sikap dan cara berfikir yang amat berbeza, berbanding dengan generasi yang terdahulu. Hal yang demikian adalah merupakan satu kenyataan yang sering diperkatakan. Dengan cara memahami generasi muda sekarang maka akan memudahkan kita membuat perancangan. Hal yang demikian mungkin ada persamaannya dengan perbezaan pemikiran dalam kalangan generasi yang berlainan sejak dulu lagi. Ketika itu juga perbezaan pemikiran dalam kalangan masyarakat telah memberi kesan pada perkembangan Silat Cekak dulunya.

Pada zaman dulu-dulu, sekitar tahun dua puluhan, telah terdapat dua jenis kumpulan pemikir dalam masyarakat kita yang digelar dengan nama Kaum Tua dan Kaum Muda. Pengaruh pemikiran mereka tersangat besar pada masyarakat Melayu. Lahirnya gelaran kumpulan-kumpulan itu ada kaitan dengan pemikiran para cendiakawan Islam dalam konteks hukum agama. Pengaruh mereka juga telah memberi kesan pada perkembangan dunia persilatan tanah air.

Istilah Kaum Muda dan Kaum Tua tidak merujuk pada umur; melainkan pada cara berfikir. Mungkin orang berkenaan berumur lima puluhan. Akan tetapi corak pemikirannya lebih kritis dan kreatif maka orang itu bergelar Kaum Muda.

Kaum Tua adalah merupakan kumpulan yang mempertahankan sesuatu yang lama. Mereka melihat sejarah atau masa lampau sebagai sumber inspirasi dan sesuatu yang perlu dipertahankan. Mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak dalam masyarakat. Sikap mereka adalah negatif pada pembaharuan dan perubahan. Pengaruh mereka dalam kalangan masyarakat Melayu adalah tersangat kuat. Bukan senang untuk membuat perubahan.

Manakala Kaum Muda adalah gelaran yang diberi oleh Kaum Tua pada mereka yang cuba membawa ciri-ciri baru berdasarkan ajaran sebenar dalam agama. Mereka juga dikenali sebagai kumpulan yang mempunyai pemikiran reformasi. Mereka inginkan perubahan pada amalan yang selama ini diwarisi masyarakat sejak zaman berzaman. Amalan itu dikatakan tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Dari sudut sejarah, aliran Kaum Muda telah bermula dalam abad 17 dan 18 iaitu merujuk pada peranan Muhammad bin Abdul Wahab. Ramai rokoh yang berfaham pada pembaharuan. Pemikiran tokoh-tokoh itu telah mempengaruhi ulama’ Melayu yang menuntut di Timur Tengah. Dr Burhanuddin Al-Hilmi dan Zaaba sendiri merupakan antara tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran Kaum Muda ketika itu.

Perkembangan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda ini berdasarkan tiga gelombang utama. Pertamanya sekitar tahun 20an dan 30an. Gelombang kedua sekitar tahun 40an dan 60an manakala gelombang ketiga berlaku sekitar tahun 70an.

Pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda digambarkan melalui penulisan-penulisan berbentuk novel, majalah atau rencana-rencana dalam akhbar. Sepanjang ingatan saya berdasarkan pelajaran yang saya terima ketika di universiti, ada banyak hal yang menyebabkan perbezaan pendapat antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada dasarnya, perbezaan pendapat itu lebih menjurus pada amalan-amalan yang dianggap tidak sesuai dalam agama. Misalnya soal bacaan talqin, niat dalam sembahyang yang menyebut ‘Usolli”, aktiviti Tahlil arwah pada si mati dan sebagainya.

Dalam tahun 70an, wujud kecenderungan untuk tidak terikat diri dengan mana-mana mazhab. Saya difahamkan bahawa Perlis adalah negeri yang tidak terikat dengan sebarang mazhab. Mungkin mereka yang pernah berjemaah Subuh di masjid dalam negeri Perlis boleh merasakan kelainan dari segi amalan ibadat yang sering kita lakukan. Saya tidaklah berminat untuk membincangkan hal yang tersebut.

Perbezaan pendapat dan daya pemikiran golongan-golongan tersebut ada juga berkait dengan tabiat masyarakat dari segi simpanan wang. Kaum Tua menentang penyimpanan wang di bank. Soal keselamatan wang tidak diambil kira. Tuhan ada. Memadailah disimpan di mana-mana. Menuntut di sekolah-sekolah Inggeris adalah ditentang sama sekali. Takut jadi kristian. Begitu juga dengan proses perkahwinan yang perlu dialami bakal pengantin melalui proses adat. Semua sikap yang ada itu adalah bertentangan dengan pemikir baru yang digelar sebagai Kaum Muda.

Pertentangan kedua-dua golongan itu tersangat hebat. Adat dan budaya Melayu juga telah dijadikan asas rujukan utama. Nampaknya konflik pemikiran golongan-golongan tersebut memberi kesan pada pentas persilatan dan ilmu-ilmu megah yang ada dalam masyarakat Melayu. Mungkin faham Kaum Muda dan Kaum Tua masih ada dalam masyarakat Melayu sekarang. Walau bagaimanapun, pertentangan pendapat antara kumpulan tersebut tidak begitu popular lagi.

Pada pendapat saya, tidak hairanlah jika timbul pelbagai pendapat sebagai riaksi atas pembelajaran silat. “Apa guna belajar silat kalau orang lain menggunakan pistol. Lebih baik berserah pada Tuhan dari membuang masa belajar silat.” Satu bentuk pemikiran Kaum Tua walaupun usianya muda. Sifat menyerah pada Tuhan tanpa ada usaha. Orang yang tertarik dengan kata-kata tersebut juga boleh dianggap cenderung pada pemikiran Kaum Tua, walaupun masih muda.

Saya yakin, pemikiran yang ada dalam persilatan Silat Cekak adalah mirip pada pemikiran Kaum Muda. Kesimpulan saya berdasarkan ilmu pengetahuan yang saya peroleh ketika menuntut di Universiti. Saya tidak pernah berbincang dengan Ustaz. Walau bagaimanapun Ustaz pernah melibatkan diri dalam kegiatan politik seperti SEBERKAS. Berdasarkan sejarah, pertubuhan itu juga adalah merupakan terjemahan pemikiran Kaum Muda; seperti mana kegiatan pertubuhan lain seperti API dan AWAS yang merupaskan sayap parti politik ketika itu.

Berdasarkan pemikiran saya, tidak hairanlah kita meletakkan salah satu perjuangan persilatan kita ialah menentang amalan-amalan berbentuk kurafat dan tahyol. Amalan-amalan tersebut tersangat popular dalam persilatan Melayu yang lain. Saya pernah menceritakan pengalaman saya melibatkan diri dengan persilatan Melayu lain. Ada upacara membuka gelanggang secara menyembelih ayam. Meminta kebenaran bumi dan langit untuk memulakan latihan silat dan pelbagai upacara lagi.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan apa yang ada dalam SC. Ustaz telah membuat tapisan pada amalan songsang supaya tidak ada dalam SC. Saya pernah menulis hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Saya petik kembali tulisan Ustaz dalam majalah Dewan Masyarakat, Oktober 1973.

“ ..Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun, dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar dengan peraturan agama Islam”

Ustaz menambah pada perenggan yang lain:

“Saya juga telah menganalisa amalan dan buah-buah seni Silat Cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur di dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan aqidah agama Islam khususnya. Jadi saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan…”

Dalam SC, upacara menerima ahli adalah ringkas. Tidak terikat dengan budaya atau amalan yang boleh bertentangan dengan agama. Silat kita tak ada mandi minyak. Seperti yang dikata Ustaz. “Kita mandi semuanya menggunakan air. Tidak kiralah mandi sunat atau mandi wajib. Tak ada asal mandi minyak. Pengaruh agama lain yang suka mandi minyak”.

Ketika para ibu bapa berminat anaknya belajar silat, SC membuka ruang bagi mempastikan kerisauan ibu bapa pada ilmu-ilmu yang bertentangan dengan agama tidak ada dalam SC. Saya pernah menceritakan tentang dakwaan seorang yang mendakwa adiknya mempelajari ilmu salah dalam SC hingga menyebabkan pemikiran adiknya ‘sewel’. Ustaz telah membuktikan bahawa pembawaan yang ada dalam SC tidak terikat dengan amalan-amalan yang bertentangan dengan agama. Kalau ada pemikiran yang ‘sewel’, ada sebab lain yang menjadi faktor penyebabnya.

Sesungguhnya adat persilatan yang ada dalam SC amat berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Pasti selamat. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 20/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: