RSS

61.12.1. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

16 Sep

Dalam tulisan yang lalu saya telah menyentuh tentang wujudnya perbezaan dalam banyak aspek dalam kalangan persilatan SC yang pelbagai persatuan. Malah, cara penyampaian SC juga turut berbeza antara persilatan SC. Misalnya, telah ada pembaharuan dalam proses penyampaian pelajaran dalam kalangan persilatan SC yang berbeza persatuan. Proses menyampaikan pelajaran adalah mengikut kumpulan buah. Nampaknya, penerangan tentang SC sentiasa dilakukan berdasarkan kefahaman sendiri. Mula berubah berdasarkan pembawaan mereka yang mengurus persilatan SC yang berlainan guru.

Seperti yang ditegaskan, dari segi persilatan, kesahan satu-satu arahan itu perlulah dari orang yang ada mandat berbuat demikian. Mandat hanya ada pada seorang yang terlantik sebagai guru. Dari segi pengurusan organisasi, itulah juga dinamakan sebagai punca kuasa. Dalam persilatan, kita hubungkan punca kuasa sebagai mandat atau kesahan mengeluarkan arahan. Kesahan dalam satu-satu percakapan dalam SC mestilah dari guru yang sah. Guru yang ada mandat.

Kesimpulannya, percakapan yang sah mestilah datang dari orang yang ada mandat dan kesahannya sebagai guru. Dalam SC, kita kenali guru itu sebagai Guru Utama. Itulah juga maksud konsep mandat atau kesahan dalam persilatan dan konsep punca kuasa dalam pengurusan organisasi.

Saya berpendapat, sesuatu arahan Presiden berdasarkan pengurusan persatuan adalah perlu berbeza dengan arahan Guru Utama berdasarkan persilatan. Arahan pengurusan persatuan bolehlah dilakukan secara surat menyurat atau perkeliling-perkeliling yang diedarkan pada setiap cawangan. Sebaliknya arahan yang berbentuk pelarasan buah tidak sesuai dilakukan secara surat. Arahan tersebut perlu secara lisan dan dibuktikan secara praktis. Baru ada konteks antara guru dan murid dalam pentas persilatan. Itulah pandangan peribadi saya.

Dari segi persilatan, kenyataan bertulis boleh menimbulkan pelbagai tafsiran. Perbezaan tafsiran dalam persilatan tidak banyak membawa faedah demi mengekalkan keaslian silat itu. Lagi banyak tafsiran maka lebih banyak perbezaan gerak dalam kalangan penuntut silat. Gerak persilatan perlu ada kaitan dengan pengekalan gerak yang asal atau asli. Silat yang asli membawa makna pelajarannya tak boleh dipinda-pinda. Jika dipinda maka hilanglah keasliannya.

Kalau pengurusan persatuan, perbezaan tafsiran atas satu-satu arahan, tak ada masalah besar. Kalau menimbulkan isu, boleh diubah peraturan yang ada. Tidak membawa kesan pada perkembangan diri ahi yang juga merupakan penuntut silat. Tidak pernah kita berbahas tentang keaslian satu-satu peraturan. Hal yang demikian kerana setiap arahan itu perlu disesuaikan dengan kehendak ahli. Suara majoriti.

Sebagai maksud perbincangan, saya rujuk semula salinan surat yang saya lampirkan dalam keluaran yang lalu. Isi surat tersebut boleh mengundang pelbagai tafsiran berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman seseorang. Sesaja saya tulis dalam tulisan ini bagi membuka minda para pembaca dan sebagai nasihat pada pengurusan persatuan yang sedia ada dalam melaksanakan satu-satu tindakan.

Dulu, apa yang saya dapat rasakan tentang arahan tersebut, tentu ada orang lain yang juga berperasaan demikian. Cuma, sama ada berani berterus terang atau tidak. Ketika itu, saya ‘menolak’ arahan itu secara ‘senyap’ berdasarkan kemampuan saya berfikir ketika itu. Penolakan arahan tersebut hanya untuk cawangan saya sahaja. Tidak pula saya cuba mempengaruhi cawangan lain. Cuba kita lihat ayat-ayat yang boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

i. Untuk memusing badan di dalam menyambut serangan musuh maka pusingan tersebut hendaklah menggunakan tumit.
ii. Namunpun begitu penggunaan tumit ini janganlah sangat keterlaluan hingga menyebabkan kehilangan keseimbangan badan (mesti rasa selesa semasa membuatnya).
iii. Bagi mereka yang tidak dapat menggunakan tumit kerana sesuatu perkara misalnya terseliuh, cacat dan sebagainya maka kelonggaran menggunakan hujung tapak kaki adalah dibenarkan”.

a. Dalam SC mana ada istilah yang menghubungkan gerak secara pusing badan. Istilah tepat ialah gelek badan. Istilah memusingkan badan banyak digunakan dalam tarian. Memusingkan badan bermakna memutar badan. Dalam proses memusingkan badan, kita memerlukan paksi yang membolehkan kaki melancar atau melicinkan pusingan badan itu. Hanya tumit kaki yang amat sesuai dengan perbuatan memusingkan badan. Teringat zaman dulu ketika jumpa duit syiling yang ‘hitam’. Saya akan menggunakan tumit untuk menggosok syiling itu di atas tanah. ‘Menggunakan tumit, menyenangkan pusingan’. Oleh itu, ayat tersebut membawa makna, tumit kaki adalah berperanan untuk memusing manakala hujung kaki pula berperanan untuk gelek badan. Satu bentuk tafsiran.
b. Diakui dari ayat yang kedua itu bahawa penggunaan tumit ada kecenderungan kehilangan keseimbangan badan. Arahan surat itu menasihati penuntut supaya perlu berhati-hati ketika menggunakan tumit; takut keterlaluan. Hal yang demikian menyebabkan pemikiran penuntut akan menjadi ‘bercabang’. Macam-macam kena ingat dalam proses membuat gerak. Oleh itu, mana mungkin boleh wujud keselesaan. Maksud keselesaan itu sendiri pastinya mengundang pelbagai tafsiran.
c. Arahan surat itu menegaskan bahawa penggunaan tumit kaki ada kekecualiannya. Diberi contoh seperti terseliuh, cacat dan sebagainya. Istilah ‘sebagainya’ akan membuka ruang bagi kekecualian yang pelbagai. “Termasuk sakit hati”.

Berdasarkan pandangan saya itu, arahan-arahan berbentuk pelarasan tentang gerak persilatan adalah tidak sesuai dibuat melalui surat-menyurat. Akan berlaku banyak tafsirannya. Maka tujuan asal arahan tersebut tidak akan tercapai. Arahan dari segi persilatan memerlukan ketegasan dan ketepatan. Lebih baik arahan itu dilakukan secara lisan dan diikuti dengan amali. Segala pertanyaan sepontan boleh dijawab dengan cepat. Kepelbagaian tafsiran akan dapat disempitkan. Hal yang demikian akan menyebabkan ketepatan menentukan gerak sebenar dapat dilakukan dengan penuh bertanggungjawab.

Saya juga pernah menyentuh tentang konsep pelarasan yang dibuat dari masa ke masa dalam tulisan yang lalu. Pada dasarnya, pelarasan adalah perlu bagi mengawal mutu persilatan. Cuma, pelarasan tersebut mestilah berdasarkan pada gerak yang telah diputuskan Guru Utama. Pelarasan yang dilakukan tidak boleh dibuat berdasarkan pendapat, ilmu dan latar belakang mereka yang membuat pelarasan.

Oleh itu, jika tidak ada pengawalan sudah tentu setiap kali ada pelarasan maka kerap kali juga berlaku perubahan. Tak ada pegangan kukuh pada gerak yang asal untuk dijadikan sebagai sumber pelarasan. Pelarasan adalah berdasarkan kebolehan seadanya pada penyelaras tersebut. Saya beri satu contoh berdasarkan pengalaman melihat pada situasi berikut.

“Terdapat Jurulatih yang menyelaras tidak dapat membuat buah jatuh tanpa mengubah kedudukan kaki kerana masalah perut yang tersangat maju ke depan. Hal yang demikian menyebabkannya perlu membuat langkahan selangkah ke depan”. Maknanya, penyelaras itu membuat gerak berdasarkan kebolehan diri.

Hal yang demikianlah boleh menyebabkan gerak persilatan SC akan berubah pada pandangan dan tafsiran penuntut. Ada dua keadaan yang menyebabkan perubahan tafsiran. Pertamanya, mungkin penyelaras akan mengeluarkan kenyataan, “Kalau tak boleh tekan lutut pasangan, bolehlah maju selangkah ke depan.” Ataupun, penerangannya mungkin tidak sama dengan perbuatan. Penerangannya betul, perbuatannya salah. Sifat pendengar adalah menjurus pada penglihatannya, bukan pendengarannya. Kita perlu berhati-hati atas sifat ‘cakap tak serupa bikin’. Boleh mengelirukan penuntut yang tak berani bertanya.

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan, ketika ini terdapat beberapa persatuan SC yang menaungi perkembangan Silat Cekak yang berlainan guru. Dalam perbagai persatuan, pelbagai guru dan pelbagai nama persilatan SC, tentu ada yang asli dan benar. Saya anggap, tulisan yang saya bincangkan dapat memberi sumbangan dalam proses kita meneguhkan kefahaman pada keaslian persilatan kita. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Sesuatu yang asli tentunya tidak sama dengan yang tiruan. Persilatan yang kita terlibat sekarang adalah diterajui pewaris sah persilatan Silat Cekak. Kita perlu berasa bangga atas hal yang demikian.

Persaingan SC dalam pentas pesilatan adalah antara kepelbagaian persatuan Silat Cekak itu sendiri. Kita selalu mendengar ungkapan, “Orang-orang Islam sendiri yang menjatuhkan maruah agama Islam. Orang-orang Melayu sendiri yang menjatuhkan maruah bangsanya sendiri”. Begitu juga dalam konteks persilatan SC. Pengamal SC sendiri yang menjatuhkan maruah Silat Cekak yang diasaskan Ustaz. Tidak hairanlah banyak usaha dilakukan untuk menutup kelas-kelas SC. Semuanya dilakukan oleh para penuntut SC. Tidak pernah saya dengar penuntut dari silat lain yang bermati-matian berusaha untuk menutup kelas-kelas SC.

Oleh itu, dalam usaha untuk meneguhkan perkembangan SC yang sah dan asli, kita perlu mengambil langkah yang betul dan tepat. Kita mesti ada strategi yang tepat dan lengkap bagi menarik minat bakal penuntut mempelajari Silat Cekak. Pada pandangan saya, alangkah ruginya para penuntut SC yang mempelajari Silat Cekak yang bukan asli tanpa mengetahui asal usul persilatan SC yang dipelajarinya. Tentunya diri mereka tertipu kerana mendapatkan pelajaran yang palsu. Dari perguruan yang tidak menentu. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 16/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: