RSS

61.12.0. KENALI SILAT CEKAK – KESIMPULAN.

13 Sep

Sebenarnya, ada banyak lagi ungkapan yang memperlihatkan rupa bentuk Silat Cekak. Misalnya, “Silat Cekak ialah Silat Akhir Zaman”. Saya pernah menyentuh ungkapan itu secara sepintas lalu dalam tulisan-tulisan yang terdahulu. Maknanya, Silat Cekak adalah merupakan keputusan silat. Itulah kesimpulan silat dalam kalangan silat-silat yang ada. Ungkapan ini semakin kurang diperkatakan. Apatah lagi setelah kita berpecah. Telah banyak kumpulan Silat Cekak yang dinaungi oleh pelbagai persatuan. Walau bagaimanapun, istilah Cekak masih diguna pakai.

Dalam tuilisan ini, memadailah saya kupas sebanyak tiga belas ungkapan berdasarkan perbincangan tentang persilatan dalam tajuk mengenali Silat Cekak. Angka ganjil. Mungkin terdapat pelbagai cara lain untuk memperkenalkan SC. Selain daripada ungkapan yang dibincangkan, pantun-pantun Ustaz juga boleh menggambarkan persilatan Silat Cekak.

Penerangan tentang SC sentiasa dilakukan dari masa ke masa. Pada saya, dari segi persilatan kesahan satu-satu penerangan itu perlulah dari orang yang ada mandat berbuat demikian. Mandat hanya ada pada seorang yang terlantik sebagai guru. Kesahan dalam satu-satu percakapan dalam SC mestilah dari guru yang sah. Kesimpulannya, percakapan yang sah mestilah datang dari orang yang ada kesahannya sebagai guru. Dalam SC, kita kenali guru itu sebagai Guru Utama. Itulah maksud konsep kesahan dalam persilatan. Bukannya persatuan. Yang kita ceburi ialah persilatan bukannya persatuan sebagai matlamat utama. Kalau tak ada silat maka tidak adalah persatuan silat. Kalau nak berpasatuan tanpa silat, banyak lagi persatuan yang ada.

Kini mula terdapat pelbagai perbezaan dalam pelbagai persatuan SC yang ada. Perbezaan itu termasuklah soal mandat guru, asal usul persilatan, cara penyampaian silat dan macam-macam lagi. Saya percaya, satu masa nanti, cara berpakaian juga akan berbeza. Beza warna dan mungkin beza bentuk berpakaian. Sekarang pun, falsafah, konsep dan prinsip persilatan SC juga telah mula menunjukkan perbezaannya antara pelbagai persilatan SC yang berbeza persatuan itu. Pada hal, semuanya sepancar iaitu dari satu Guru. Nampaknya, lagi lama maka lagi ketara perbezaan-perbezaan tersebut.

Saya pernah menulis betapa En. Mat pernah memandang berat akan perbezaan dalam gerak persilatan. Sebenarnya, perbezaan gerak persilatan telah bermula di akhir zaman Ustaz. Hal yang demikianlah menyebabkan adanya majlis pelarasan pelajaran SC. Pelarasan itu dihadiri sendiri Ustaz. Maknanya, setiap perubahan atau pelarasan yang dilakukan adalah di bawah pengetahuan Guru Utama.

Dalam zaman PA, nampaknya perbezaan pendapat tentang gerak-gerak dalam SC semakin ketara. Ketika itu, telah wujud ‘manusia pandai’ dalam persilatan SC. Kadang kala perubahan itu dilakukan tanpa pengetahuan Guru Utama. Saya katakan demikian kerana PA sendiri pernah melahirkan perasaan kecewanya pada saya. Hal yang demikian pernah saya tulis dalam tulisan yang lalu.

Saya tidak nafikan, pernah di zaman PA ada perkeliling yang diedarkan tentang pelarasan satu-satu gerak. Perkeliling itu ditandatangani oleh Guru Utama sendiri. Cuma, pelarasan itu secara surat dan saya ragu-ragu siapa yang berada ‘di belakangnya’. Misalnya pelarasan tentang penggunaan tumit atau hujung kaki. Arahannya tersangat longgar. Ada kekecualian. Saya perturunkan isi arahan surat tersebut. Salinan asal, saya sertakan secara lampiran di akhiran tulisan ini.

——————————————————————————-

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia,

29 Januari 1992.

Kepada:

Penyelia,
Kelas Silat Cekak.

Tuan,

PER : KAEDAH MEMBUAT BUAH KEPUTUSAN GAYONG FATANI
DAN KEPUTUSAN SENDENG ATAS

Seperti yang sedia maklumi oleh sebahagian penyelia kelas dan tenaga pengajar baru-baru ini, di mana terdapat sedikit kekeliruan tentang kaedah membuat buah keputusan Gayong Fatani dan keputusan Sendeng Atas, samada untuk memusing badan perlu menggunakan tumit atau hujung kaki.

Mesyuarat LPT yang bersidang pada 26hb. Januari 1992 telah membuat keputusan yang berikut:-

“Untuk memusing badan di dalam menyambut serangan musuh maka pusingan tersebut hendaklah menggunakan tumit. Namunpun begitu penggunaan tumit ini janganlah sangat keterlaluan hingga menyebabkan kehilangan keseimbangan badan (mesti rasa selesa semasa membuatnya). Bagi mereka yang tidak dapat menggunakan tumit kerana sesuatu perkara misalnya terseliuh, cacat dan sebagainya maka kelonggaran menggunakan hujung tapak kaki adalah dibenarkan”.

Sekian untuk panduan semua tenaga pengajar.

Terima kasih.

Yang benar,

…………………………………
(ISHAK BIN ITAM)
Guru Utama Silat Cekak.

s.k. Setiausaha LPT,
Pengerusi J/Kuasa Kerja LPT.

Itu baru satu contoh perbezaan dalam gerak SC. Ada banyak lagi. Arahan surat tersebutpun tidak ‘kuat’. Longgar. Pada saya, arahan Guru Utama itu tidak mutlak. Tak ada kata putus. Masih ada kelonggaran. Arahan pada gerak tumit, tapi diarah jangan keterlaluan bagi mengelak ketidakseimbangan. Kalau takut-takut tak ada kesimbangan, mana ada keselesaan. Pada hal, arahan tetap arahan. Pada saya, arahan Guru Utama adalah merupakan kata putus. Tak ada longgar-longar. Semua penuntut SC mesti ikut. Dalam SC, ada konsep dan prinsip habuan sesak. Bukan amalan tetapi keperluan pada saat dan ketika yang tertentu. Hal yang demikian tidak berlaku. Kita boleh nampak kelemahan dari segi arahan. Pada saya, terkesan kuasa lain ‘di belakang’ arahan tersebut. Nampak tak ada kuasa. Hebat lagi Setiausaha kerjanya.

Ada yang bertanyakan saya kenapa saya tidak menimbulkan persoalan pada arahan tersebut secara terbuka. Saya ada alasan yang tersendiri. Perkara pentingnya, saya tidak mahu berbalah. Saya faham apa yang saya lakukan sebagai penyampai amanah atas ilmu yang Ustaz perturunkan.

Fahaman saya yang diterima dari Ustaz telah dikembangkan di cawangan sendiri. PA sedia maklum akan hal tersebut. Cuma, setelah tidak bergiat lagi secara langsung dalam pengajaran di kelas, saya fikirkan lebih baik saya sebarkan fahaman yang selama ini saya pertahankan untuk berkongsi bersama dengan ahli-ahli persilatan SC yang lain. Sekurang-kurangnya dapat membuka minda para pembaca supaya bersifat kreatif dalam tindakan.

Ketika En Mat menerima mandat sebagai Guru Utama, perbezaan pendapat ini telah disentuh dalam ucapan dasarnya pada 1 Muharam 1411. Saya pernah menulis hal ini. Saya petik sedutan ucapan beliau dalam majlis perjumpaan tenaga pengajar SC tersebut.

“….Kadang kala ada satu buah yang dibuat berlainan cara tangkapan dan pergerakan kakinya. Perbezaan ini bukannya perbezaan pokok kaedah sesuatu buah itu. Perkara ini berlaku kerana di masa Allahyarham memberinya kadang-kadang berbeza mengikut tempat dan masa. Namun pun begitu perkara ini pernah dibincangkan dengan Allahyarham di dalam kursus-kursus Jurulatih dan beliau telah membuat keputusan tentang cara bagaimana yang perlu diutama dan diresmikan. Perkara-perkara ini semua telah direkod dan dimasukkan di dalam buku panduan pengajaran dan diberitahu di dalam kursus-kursus yang diadakan. Oleh yang demikian sekiranya ada di antara saudara saudari yang tidak berkesempatan mengikuti kursus Jurulatih tersebut, janganlah menganggap bahawa cara yang ditunjukkan sekarang di dalam buku panduan ataupun di masa kursus-kursus itu adalah tidak betul. Saudara dan saudarilah yang perlu mengikut cara yang telah diputuskan itu. Dengan cara ini sahaja kita dapat menseragamkan kaedah-kaedah pengajaran Silat Cekak supaya apa yang didapati oleh jenerasi-jenerasi baru adalah sesuatu yang asal dan yang terbaik.”

Walau bagaimanapun, SC telah berpecah. Arahan Guru utama adalah terhad pada persilatan yang ‘dikuasainya’. Apabila SC berpecah pada gelombang kedua, maka arahan Guru utama semakin terhad. Hal yang demikian akan menyebabkan dunia persilatan SC akan terus berbeza dalam pelbagai aspek antara persilatan yang berlainan guru. Mungkin satu masa nanti, seseorang yang bergelar pakar dalam persilatan SC, perlu menguasai kesemua perbezaan yang ada dalam dunia persilatan Silat Cekak. Baru boleh membezakan antara yang asli dengan yang bersifat tiruan. Bersambung.

20130913-090059.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 13/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: