RSS

61.11.2. KENALI SILAT CEKAK – RASMI PADI; MAKIN BERISI MAKIN TUNDUK.

09 Sep

Dalam tulisan yang lalu, saya ada menyentuh tentang bandingan padi dengan lalang. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak mudah melentuk umpama lalang”.

Bandingan tersebut adalah berdasarkan sifat pokok tersebut. Semakin lama, kalau padi menunduk, lalang pula akan bersifat menegak. Perbandingan itu adalah terhad pada sifat pokok yang semakin lama akan menonjolkan sifat yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, dalam konteks sekarang, ada juga pendapat yang menjadikan lalang sebagai contoh terbaik sifat ketaatan dan keteguhan pendirian. Bukan maksud menjadikan lalang sebagai bandingan, melainkan sebagai contoh beberapa sifat yang ada pada lalang. Semuanya berdasarkan cara berfikir dan apa yang difikirkan.

Perbezaan pandangan itu bukanlah perkara luar biasa. Tatkala masyarakat Melayu berbangga dengan watak Hang Tuah yang merupakan pendekar yang terbilang, timbul pula pendapat tentang kelebihan Hang Jebat. Semuanya bergantung pada pemikiran masyarakat dalam satu-satu masa. Kini, ada yang berpendapat bahawa sifat membela rakan bagi menegakkan semangat persahabatan, ada pada Hang Jebat. Tidak ada sifat mengampu. Lebih bersifat terus terang demi menegakkan kebenaran.

Demikianlah juga halnya dengan padi dan lalang. Tatkala padi dianggap lebih baik, ada juga sifat lalang yang boleh dijadikan contoh. Sifat lalang memainkan peranan penting dalam konteks ketahanan diri dan semangat setia dalam bidang yang diceburi. Maka ungkapan tersebut boleh dijadikan seperti sebutan berikut. “Contohilah lalang. Makin lama makin tinggi. Akarnya mencengkam bumi, lintuk liuknya menyebabkan orang dengki. Kalau jadi seperti padi yang tunduk ke bawah kerana berisi, cukup masa akan dihabisi buat kepentingan diri si penanam padi.”

Ungkapan itu memperlihatklan satu cara lain berfikir. Kita tidak mahu membandingkan diri kita dengan lalang. Sebaliknya kita boleh mencontohi sifat lalang dalam konteks penglibatan dan kesetiaan kita dalam persilatan SC. Cuba kita lihat cara pemikiran yang menjadikan lalang sebagai contoh ikutan.

Pokok lalang ada sifatnya tersendiri. Pokok itu terbahagi dua. Satu bahagian pada akarnya dan satu bahagian pada pokoknya. Dalam proses pertumbuhannya, lagi lama pokok itu tumbuh maka bahagian akarnya akan mencengkam bumi. Manakala bahagian pokoknya akan terus meninggi hingga boleh menghalang pemandangan. Sifat pokok ini sukar dihapuskan. Bakarlah pokoknya, akar lalang tetap bertapak dan akan tumbuh lebih subur dan lebih sempurna dari masa ke masa. Lagi bakar, lagi naik.

Sifat pokok lalang yang terus meninggi menandakan kehebatannya. Jalau dibandingkan dengan SC, semakin lama maka semakin popular SC. Kemasyhuran SC terus melonjak dan tidak boleh disekat-sekat lagi. Kalaulah Silat Cekak tidak berpecah persilatan dan persatuan, pastinya SC akan terus berkembang hingga ‘menutup’ kemasyhuran silat Melayu yang lain. Hal yang demikian akan mengundung sifat dengki pada orang lain. Itulah sifat SC yang boleh dikiaskan dengan pokok lalang.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan sifat padi. Lagi lama maka pokok padi akan menunduk. Tak kekal lama. Cukup masa akan dicantas orang. Hilang kemasyhurannya. Kena tunggu generasi pokok baru bagi menaikkan semula kemasyhuran padi. Mungkin kita dapat kiaskan, setelah sekian lama berada dalam persilatan, sahamnya akan jatuh. Sudah tua. Tak larat. Cukup tempoh, mereka akan dilupakan orang. Tinggalah kenangan ketika berada di zaman kegemilangan. Lagi lama maka orang lain lagi tak nampak. Tunggu masa untuk pupus. Bukan pupus begitu sahaja tapi digunakan demi kepentingan hidup orang lain.

Lalang adalah sejenis pokok yang amat sukar untuk dimusnahkan. Kalau dibakar pun, akan tumbuh semula. Kalau dipotong, tidak memberi bekas. Malah lebih subur dari sebelumnya. Lalang bukannya seperti rumput yang boleh dicangkul untuk memusnahkannya. Kalau diracun pun, belum tentu boleh berkesan. Boleh tumbuh semula.

Dalam konteks persilatan, sifat sedemikian melambangkan jati diri penuntut SC yang tidak mudah berputus asa atau patah semangat. Penuntut SC tidak mudah mengalah atau melarikan diri ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar. Pegangannya pada SC adalah teguh. Tidak mungkin berubah hati pada seni bela diri yang lain.

Sifat lalang mudah membiak atau berkembang. Seperti yang dikata, lalang amat sukar dimusnahkan. Pokok lalang amat mudah membiak secara banyak. Dari sekaki boleh jadi seela, serantai dan akhirnya boleh meluas hingga berbatu. Apa jenis tanahpun, tidak menjadi hal pada lalang. Malah, di celah-celah kawasan yang berbatu, lalang boleh tumbuh dengan megahnya. Bila lalang tumbuh maka pokok yang lain pula akan hilang begitu sahaja. Tidak dapat melawan atau menyekat kemaraan atau pembiakan lalang.

Begitulah juga hebatnya SC. Silat ini berkembang pesat tanpa mengira tempat. SC boleh bertapak di bandar, pekan, kampung, pusat pengajian tinggi atau di sekolah-sekolah. Pelbagai cara dilakukan bagi menyekat perkembangan SC, semuanya gagal. Tidak memberi kesan dalam proses perkembangannya. Sekali bertapak, terus berkembang.

Ketika SC bertapak di cawangan saya pun, ada juga yang menghalang, sampai membuat pengaduan di Majlis Agama. Alasan yang diberi ialah Ustaz membawa ajaran salah. Usaha tersebut gagal. Malah SC terus berkembang pesat di negeri Pertak. Cuma, perkembangannya agak terhad kerana kekurangan tenaga pengajar.

Apabila angin bertiup, lalang akan melentuk ke kiri atau ke kanan. Sifat yang sedemikian bukannya satu kelemahan. Proses lentuk-liuk itu melambangkan sifat yang tetap pendirian dan tidak mudah berubah. Hal yang demikian disebabkan betapa kuat sekali pun angin yang bertiup, lalang tidak akan terlepas daripada akar yang merupakan dasarnya. Dasar ini tidak berganjak sekali pun pokok lalang ditiup arus angin yang deras. Tiupan angin akan gagal menumbangkan pokok lalang yang tegak meninggi sekalipun tiupan angin berupaya menumbangkan rumah yang disangka teguh atau menumbangkan pokok yang dirasakan kukuh. Nampak sahaja macam lalang mudah ‘diratah’, hakikatnya tersangat payah untuk memusnahkannya.

Dalam persilatan, sifat lalang yang melentuk ke kiri dan ke kanan melambangkan sifat penuntut SC yang fleksibel. Kemudahlenturan. Nampak semacam tidak ada pendirian. Sifat itu tidak melambangkan sifat dalamannya. Walaupun pendiriannya nampak macam tak tetap, pegangannya pada dasar yang dipupuk Guru Utama adalah bersifat teguh. Cuma, mungkin orang yang sebegini tidak suka bertengkar atau berbahas. Sebab, dalam persilatan pertengkaran tidak ada penghujungnya. Kalau malas berbahas, lebih baik ikut sahaja angin rakan kita tersebut. “Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.”

Dalam persilatan SC, kita boleh bandingkan sifat penuntutnya yang mempunyai pegangan yang kukuh dalam persilatan. Maknanya, kalau berbincang dengan silat lain, fikirannya pasti tidak berganjak. Ada pegangan. Pegangan itu adalah dasar pemikirannya dalam persilatan. Tetap dengan kesetiaan pada persilatan SC. Kalau ada kelemahan, maka akan diatasinya berdasarkan ilmu yang seadanya dalam persilatan SC.

Orang yang tidak ada pendirian akan mudah mencari-cari persilatan yang lain. Maka masuklah dia dari satu silat ke satu silat yang ada. Tak ada nokhtah. Itulah manusia yang tidak ada pegangan yang kukuh pada kefahaman satu-satu silat. Inilah maksud jati diri yang tidak ada siifat ketahanan diri. Dirinya tidak tahan diuji. Boleh berganjak dan bertukar fikiran. Walaupun nampak semacam lalang bersifat lemah, mudah diredah atau dipijak-pijak tetapi kesannya amat hebat juga. Kalau silap gayanya, alamat badan terasa gatal. Miang lalang menyebabkan diri tidak tenteram. Kena mandi dan digosok dengan sabun. Kalau tidak, miang tak akan hilang.

Walau bagaimanapun, sifat lalang tetap membawa manfaat. Boleh buat atap. Boleh digunakan menjadi makanan binatang. Dikatakan lalang boleh menambahkan susu badan. Buat manfaat pada manusia. Minum susu boleh jadi kuat tenaga batin. Tak payah gosok anu.

Kadang kala sifat SC juga seperti lalang. Nampak macam senang ‘makan’. Berdiri macam tak melawan. Tak ada suara garang. Senyap macam takut melawan. Rupa-rupanya, bukan sedemikian sifat pengamal SC. Payah mengalahkannya. Macam burung merpati. Jinak-jinak merpati. Sukar ditangkap. Malah, menurut Ustaz, gerak merpati yang semacam lemah, sukar ditangkap helang yang dianggap tangkas dan hebat.

Ustaz telah berjaya menjadikan persilatan SC sebagai pentas untuk mengasuh keperibadian anak muridnya. Ramai anak muridnya yang nakal, pulih sedia kala seperti sifat yang sepatutnya sebagai manusia yang dikehendaki Allah. Maknanya, persilatan SC telah berupaya mengubah sifat penuntut yang mempelajari SC. Begitulah kesan pembelajaran SC. Banyak manfaatnya pada masyarakat. Memberi pengajaran yang berharga dalam proses menjalani kehidupan seharian.

Kini, SC mula mendapat tempat di hati masyarakat. Pernah saya ikuti drama yang menyebut dirinya mempelajari Silat Cekak. Maknanya, istilah Silat Cekak telah mula menetap di bibir mayarakat. Kalaulah SC tidak berpecah, alangkah hebatnya perkembangan persilatan Silat Cekak di bawah satu guru dan satu persatuan. Malangnya, sifat tamak manusia tidak boleh dihindari. Itulah peranan beberapa golongan orang kanan. Ada kepentingan diri di sebalik perjuangan.Pandai cari makan. Sekian unuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 09/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: