RSS

61.11.1. KENALI SILAT CEKAK – RASMI PADI; MAKIN BERISI MAKIN TUNDUK.

05 Sep

Saya katakan dalam tulisan lalu bahawa sifat merendah diri itu telah diterjemahkan dalam ikrar kita. ‘Tidak boleh mencaci silat Melayu asli yang lain’. Pada pendapat saya, kalau tidak disekat sifat sedemikian dalam ikrar yang sedia ada, kecenderungan penuntut SC untuk mencaci persilatan Melayu yang lain sememangnya ada. Hal yang demikian boleh berlaku kerana banyak perkara atau situasi yang ada dalam proses pembelajaran SC boleh memberi kecenderungan pada penuntut untuk berbuat demikian.

Sebagai pengamal Silat Cekak, kita akui bahawa gerak yang ada dalam persilatan Silat Cekak adalah bernas, tepat dan ringkas. “straight to the point”. Tidak memerlukan muzik dan tari. Tak ada mukadimah gerak. Kalau nak tunggu, SC akan tunggu. Kalau nak serang, SC mampu berbuat demikian. Para penuntut ditanam dengan satu kefahaman yang jitu. Perkara utamanya ialah penguasaan gerak. Mesti nak menang. Habis koman pun mesti seri. Hal yang demikianlah menyebabkan para penuntutnya begitu yakin pada kelebihan dan keistimewaan yang ada pada SC.

Saya berpendapat, keyakinan yang wujud itu jika tidak dikawal, boleh membawa kecenderungan untuk memandang rendah pada seni bela diri yang lain. Pastinya kecenderungan sedemikian adalah hasil perbandingan antara pelajaran SC yang baru diamalnya dengan seni bela diri lain yang dilihatnya. Mulut akan berasa ‘gatal’ untuk membuat komen. Maka komen itu pastinya bersifat melebihkan pelajaran silat yang sedia ada dengan apa yang dilihat. Dari situlah mungkin lahirnya perasaan merendah kebolehan gerak orang lain. Hal yang demikian, secara langsung akan menjadikan dirinya bersifat ego, bongkak dan bangga diri. Sifat itu adalah bertentangan dengan apa yang dipupuk Guru Utama.

Saya pernah menulis, konsep persembahan ketika zaman saya adalah lebih banyak berbentuk memberi penerangan dan kefahaman. Ketika itu SC dalam proses perkembangannya di seluruh negara. Oleh itu, saya rasa tidak ada sifat menonjol kebolehan dalam persembahan yang memungkinkan sifat sombong dan bangga diri. Corak persembahan kita adalah terkawal. Bukan semua pelajaran boleh ditunjuk. ‘Tunjuk sikit-sikit. Tak beria-ria sangat’. Selalu kita akhiri ayat, “Kalau nak tahu lebih lanjut, sila belajar.” Hal yang demikian adalah merupakan satu bentuk motivasi bagi membolehkan para penonton mempelajari Silat Cekak. Jika mereka tidak mahu belajar, tidak mendatangkan masalah pada kita. “Tak ada habuan”. Kata-kata semangat yang tertanam pada pengamal SC.

Kadang-kadang terlintas di fikiran saya secara membandingkan kehebatan SC dengan makanan yang dikatakan sedap atau lazat. Makanan yang dikatakan lazat akan tetap lazat jika dihidangkan dalam jumlah atau kuantiti yang terhad. Kalau kuantitinya berlebihan, akan hilang kelazatannya. Kenyang sangat. Jadi muak.

Saya juga pernah menulis betapa pembentukan peribadi yang merendah diri adalah hasil sukatan pelajaran SC yang tersusun rapi. Lagi lama kita berada dalam persilatan SC maka pembentukan peribadi yang merendah diri umpama padi, akan lebih berkesan. Pemikiran kita pada gerak semakin matang. Penuntut yang tamat telah difahamkan dengan maksud kesimpulan gerak. Pelajaran SC itu sendiri berupaya membentuk sifat rendah diri. Pelajaran potong boleh memberi pengajaran pada para penuntut. “Jangan kira buat orang. Orang lain pun boleh buat kita”.

Penuntut SC ditanam dengan kefahaman bahawa betapa hebat gelaran satu-satu gerak persilatan itu, yang bergerak tetap tangan dan kakinya. Pelajaran SC adalah menumpukan pengkajian pada gerak tangan dan kaki. Pelajaran yang berfokas. Hal yang demikian telah mematangkan pemikiran kita tentang gerak. Orang yang matang dalam gerak, tidak mudah ‘melatah’ atau ‘terpesona’ dengan gerak-gerak bela diri lain yang ada. Kita yakin dengan pelajaran SC yang sedia ada.

Secara langsung, kefahaman yang sedemikian akan menjadikan kita lebih bersifat tenang. Orang yang bersifat tenang inilah yang boleh menjadikan dirinya bersifat rendah diri dan tidak sombong tak tentu hala. Sesuailah dengan lambang persilatan kita yang menekankan ungkapan, “Rasmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk”.

Itu sebabnya pada zaman Ustaz, persatuan kita tidak pernah mengisytiharkan bilangan ahlinya secara terbuka. Ketika persilatan lain yang bertaraf kebangsaan megah mengisytiharkan bilangan ahlinya, SC tetap mendiamkan diri. Menurut Ustaz, ahli persatuan tidak sama dengan ahli silat. Kalau seseorang itu telah berdaftar sebagai ahli persatuan maka layaklah dirinya dipanggil ahli persatuan Silat Cekak. Mungkin ahli berkenaan hanya belajar sekerat jalan. Pengenalan ahlinya tetap sama. Hakikatnya, sebagai ahli silat, penuntut itu tidak layak dipanggil sebagai ahli silat jika tidak menamatkan pengajian silatnya.

Ustaz pernah menceritakan satu peristiwa yang ada kaitan dengan pengisytiharan bilangan ahli persatuan. Ustaz telah mencadangkan yuran persatuan silat yang bergabung dengan PESAKA adalah berdasarkan bilangan ahli. Maknanya, persilatan yang mengisytiharkan ahlinya berjumlah beratus ribu akan terpaksa membayar yuran beratus ribu juga kalau berdasarkan seringgit bagi setiap ahli. SC tidak pernah mengisytiharkan ahlinya. Oleh itu tak ada masalah membayar sumbangan yuran berkenaan jika cadangan diterima. Walaupun cadangan Ustaz ditolak, tapi kecoh juga semasa berbahas.

Peristiwa tersebut memberi pengajaran buat diri kami semua. Panduan memimpin persatuan. Jangan kita bersifat megah ‘tak tentu hala’. Mudah orang lain mempergunakan gelagat kita itu untuk merendahkan diri kita sendiri.
Itu sebabnya, dalam tulisan-tulisan lalu saya selalu tegaskan betapa SC yang dibawa ustaz penuh dengan sifat tertib, adab dan sopan. Tidak bermegah dengan sewenang-wenangnya untuk mendabik dada. Sifat kita sentiasa menunjukkan sifat hormat seperti mana isi pelajaran persilatan Silat Cekak yang dipelajari. Gerak yang hebat bukannya milik kita. Gerak itu kepunyaan Yang Empunya Gerak.

Orang yang merendah diri adalah orang yang mengenali dirinya sendiri. Mereka telah melalui selok-belok kehidupan hingga sampai ke satu peringkat mengenali diri. Ustaz telah membandingkan mereka ini umpama sebiji buah kelapa. Setiap lapisan buah kelapa melambangkan sifat manusia yang tersendiri. Lapisan kelapa itu terdiri dari kulit, sabut, tempurung, isi dan akhirnya peringkat isi kelapa yang boleh diproses hingga menjadi minyak kelapa. Sampai ke peringkat minyak maka banyak gunanya. Bersifat peranan yang pelbagai. Minyak kelapa tersebut boleh digunakan dalam berbagai-bagai kegunaan. Boleh memasak, boleh mandi, malah boleh dibuat mengurut.

Kalau dibandingkan dengan manusia, sifat manusia juga akan berkembang berdasarkan kematangan dirinya dalam satu-satu bidang yang diceburi. Semuanya bergantung pada ilmu dan pengalaman dalam kehidupan. Lagi lama hidup maka lagi banyak ilmu dan pengalamannya. Ilmu dan pengalaman akan membentuk sikap dan akhirnya terbentuklah nilai diri yang berkekalan.

Kita boleh mengkiaskan sifat buah kelapa itu dalam konteks persilatan. Saya akan cuba membincangkannya berdasarkan kefahaman pada percakapan Ustaz satu ketika dulu.

Tatkala menceburi alam persilatan SC misalnya, tentunya ilmu yang ada tentang silat hanya setakat ‘kulit’ sahaja. Belum dapat mendalami ilmu SC dengan sepenuhnya. Ketika ini kita sukar berbincang kerana pengetahuan yang terhad. Lebih bayak mendengar daripada bercakap. Apabila pelajaran SC yang dipelajari bertambah dari masa ke masa maka pemikiran penuntut mungkin akan ‘bercabang’. Sukar membuat kesimpulan dan ketetapan pada ilmu yang dituntut. Fikirannya mungkin akan berserabut macam sabut kelapa.

Pada peringkat ini, kalau penuntut itu ‘tak tahan’ akan dugaan yang ditempuh, akan mendorongnya berhenti belajar. Takut gila isim. Boleh menjadikan fikiran bercelaru. Bukan kerana ilmu yang bercelaru tetapi cara fikirannya bercelaru. Banyak faktor yang menjadikan hal yang demikian. Sekurang-kurangnya adalah kerana pertentangan atau penolakan antara ilmu baru dengan ilmu yang sedia ada. Ilmu yang sedia ada sukar menerima ilmu baru yang dipelajari itu.

Kalau penuntut itu faham dan menerima ilmu persilatan SC yang baru dipelajari maka berlaku proses menyesuaikan diri dengan ilmu itu. Maka mulalah penuntut itu membentuk identiti diri yang baru dalam dunia persilatan. Ketika ini, kalau kurang pertimbangan atau bimbingan maka keyakinan yang terbentuk boleh menyebabkan timbul sifat yang tidak boleh ‘bertolak ansur’. Pantang orang bercakap tentang SC. Dia akan tegas membuktikan keyakinannya pada SC hingga ke peringkat sanggup bertry.

Macam tempurung kelapa yang melambangkan sifat keras hati. Mungkin, orang-orang yang bersifat keras hati ini, kalau mengajar silat, ‘parah’ jadinya pada para penuntut. Kalau bertanya, dianggapnya mencabar. Tak boleh berbincang langsung. Pembuktian kehebatan SC adalah secara gerak silat. Alamat penuntutnya menerima ‘habuan’. Lagi kuat suara ‘aduh’ yang dijerit penuntut maka lagilah puas hatinya.

Sampai ke satu peringkat, kematangannya semakin bertambah. Pengetahuan dan pengalamannya juga bertambah. Hal yang demikian membantu proses kematangannya. Sentiasa berfikiran panjang. Boleh dibawa berunding. Sampailah ke satu peringkat, tindakan dan percakapannya lebih bersifat rasional dan berhati-hati. Akhirnya sifat yang ada, dapat menjadikan dirinya sebagai tempat rujukan. Boleh berbincang untuk meleraikan permasalahan sebagai maksud menambahkan keyakinan ahli- ahli SC. Itulah bandingan sifat yang dikiaskan dengan kemenjadian minyak kelapa.

Kalaulah mereka diberi kepercayaan untuk melaksanakan satu-satu kewajipan, pasti dilakukan dengan baik dan sempurna. Dalam konteks persilatan, mereka tidak mudah melatah, apa tah lagi bersifat baran. Kalau diberi cawangan untuk dijaga maka cawangan itu akan terus berkembang dengan mengutamakan kebajikan ahli. “Kebajikan ahli didahulukan, Kebolehan bersilat diutamakan”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: