RSS

61.11.0. KENALI SILAT CEKAK – RASMI PADI; MAKIN BERISI MAKIN TUNDUK.

02 Sep

Dalam tulisan yang lalu, saya mengatakan bahawa dalam persilatan SC, ilmu yang ‘pukal’ adalah terletak di hujung pelajaran. Ilmu yang pukal adalah membawa makna ilmu yang bernas atau ilmu yang ‘berisi’. Ada keputusannya. Ada penyudahnya. Ada kesimpulan gerak. Hal yang demikian menyebabkan lagi lama kita belajar SC, terasa lagi sikit pelajarannya. Pelajaran yang sikit itu mempunyai kelebihan yang tersangat luar biasa. Saya rasa, mereka yang telah tamat dan menjiwai SC tentu memahami maksud tulisan ini.

Zaman saya dulu ada ungkapan yang sering dikatakan Jurulatih. ‘Kalau belajar setakat SRP maka pelajaran SRP sahaja yang dapat. Kalau belajar pelajaran hingga peringkat universiti maka pelajaran universiti yang dapat’.

Ungkapan itu menggambarkan betapa lagi lama kita berada dalam persilatan SC maka semakin bertambah pengetahuan kita dalam selok-belok persilatan Silat Cekak. Kita akan mudah memahami segala gerak yang ada. Itulah kesimpulan gerak yang kita peroleh. Hal yang demikian mungkin berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Lagi lama belajar maka lagi banyak pelajaran yang perlu dipelajari. Ada yang tak tamat-tamat. Akhirnya, kemungkinan diri sendiri yang tamat.

Kalau kita faham akan gerak persilatan yang ada dalam silat kita, tak banyak persoalan yang timbul. Bukan persoalan lagi yang penting untuk dibahaskan; sebaliknya perkara penting ialah usaha untuk menjiwai segala pelajaran yang ada agar bersebati dengan diri. Pada saya, itu sebabnya kita boleh perhatikan kelakuan mereka yang suka menimbulkan persoalan adalah terdiri dari mereka yang ‘belum sampai’ dalam satu-satu ilmu atau satu-satu bidang yang diceburinya.

Ustaz pernah membuat kiasan atau bandingan pada mereka yang bersifat demikian. Kiasan Ustaz dibandingkan; umpama enjin kereta. Selagi tidak sampai ke matlamatnya, enjen kereta itu akan terus berbunyi, tidak kira perlahan atau secara kuat. Bergantung pada ‘ccnya’ atau tempoh usia kereta tersebut. Apabila kereta itu telah sampai ke tempat yang dituju maka ejin kereta itu akan senyap. Tidak berbunyi lagi. Bukan kerana habis minyak; melainkan senyap ekoran suiz kereta telah dimatikan kerana telah sampai ke matlamat yang dituju.

Hal yang demikian merujuk sifat pengamal SC yang rendah diri. Tidak ego atau bongkak. Tidak ada isu atau persoalan yang hendak ditimbulkan. Semuanya telah terjawab dalam proses tempoh keberadaan yang lama dalam persilatan Silat Cekak. Pemikiran mereka banyak merancang bagi hala tuju seterusnya. Pemikiran yang berorientasikan tindakan. Bukannya persoalan. Itulah sifat orang-orang yang telah lama dan sentiasa bersama Guru Utama dalam perjuangan Silat Cekak.

Maka lahirlah ungkapan berikutnya yang sering dikatakan Ustaz. Ungkapan itu adalah sebagai bandingan akan sifat mereka itu. Saya akan bincangkan perkara yang berkenaan dalam ungkapan yang ketiga belas.

UNGKAPAN KETIGA BELAS.

Rasmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk.

Dalam tulisan seterusnya, perbincangan saya adalah kefahaman saya sendiri tentang ungkapan yang pernah diucapkan Ustaz dalam kalangan anak muridnya. Ketika awal penglibatan saya, Ustaz sering mengulas tentang ungkapan itu bagi maksud kefahaman dan pegangan anak muridnya. Saya berpendapat, konsep ungkapan Ustaz itu melambangkan ‘rupa bentuk’ penuntut SC yang ingin dilahirkannya. Kita boleh mengaitkan ungkapan itu dengan sifat jati diri yang sering dipupuk Ustaz dari masa ke masa. Pada kesimpulan saya, mereka yang memiliki jati dari dalam empat bidang yang dinyatakan dalam tulisan yang lalu, bermakna memenuhi ungkapan yang saya bincangkan dalam tulisan ini. ‘Makin Berisi Makin Tunduk’.

Dalam logo persatuan kita ada lambang pokok padi. Merujuk pada huraian dalam buku Silat Cekak terbitan zaman Pak Ak, sebelum kita berpecah, lambang padi itu ditafsirkan sebagai,” Segemal padi yang bererti silat ini lahir daripada masyarakat petani yang resminya makin berisi makin tunduk”.

Segemal padi maknanya sebanyak padi yang terdapat dalam secekak jari kita. Kalau berdasarkan tafsiran buku tersebut, ada dua sifat padi. Pertamanya, padi itu melambangkan bahawa Silat Cekak adalah lahir dari masyarakat petani. Keduanya, sifat padi ialah makin berisi makin tunduk.

Saya tidak berminat dengan tafsiran yang pertama. Ada dalam kalangan ahli yang menimbulkan persoalan. Satu segi dikatakan SC lahir di istana; pakaian raja-raja sebelum diperturunkan pada panglima di istana. Para pendekar istana yang bergelar. Panglima itu dan panglima ini. Gah namanya. Tapi, satu segi yang lain, ditafsirkan sebagai hak masyarakat petani pula. Pakaian Pak Mat Si Parang Tongkoi atau Pak Mail Gendang Perang.

Walau bagaimanapun, saya tak layan persoalan tersebut sebab tak pernah dengar tafsiran sedemikian dari Ustaz. Mungkin penulis buku itu ada mendengarnya. Tafsiran yang pernah saya dengar ialah tafsiran kedua tersebut, ”Makin berisi makin tunduk”. Tafsiran itulah yang akan saya bincangkan dalam tulisan ini.

Untuk memahami konsep ungkapan itu, kita perlu merujuk sifat tanaman padi. Bagi mereka yang pernah bersawah atau berada di sawah padi boleh melihat proses perkembangan padi sebelum matang dan setelah matang. Tentunya mereka akan dapat mengikuti perkembangan atau proses tumbuh besar padi tersebut hingga membolehkan padi itu tunduk. Kita boleh lihat sifat luaran pada padi yang matang. Padi yang semakin berat itu, akhirnya menyebabkan bahagian atas padi akan membongkok ke bawah.

Sebagai maksud kiasannya, semakin banyak ilmu atau semakin tinggi pangkat maka semakin merendah diri atau tidak menyombong diri. Bandingan seperti buah padi, makin berisi makin rendah atau makin tunduk. Selalunya kita membandingkan padi dengan lalang. “Jangan jadi seperti lalang, makin lama makin tinggi. Akarnya mencengkam bumi, lintuk liuknya menyakitkan hati”.

Jika kita umpamakan kehidupan kita, bolehlah kita maksudkan bahawa semakin sesorang itu berilmu maka semakin dirinya bersifat rendah diri. Sebabnya, dia tahu akan kekuasaan dan kehebatan Allah yang Maha Besar. Ilmu dan pangkat itu bukan hak dirinya. Hanya pinjaman sementara. Tidak ada yang perlu dibangga-banggakan hingga lupa asal usul penambahan ilmu dan ketinggian pangkat tersebut.

Sesuailah dengan kefahaman SC. Silat ialah gerak. Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak. Semakin jauh kita berada dalam SC, semakin kita insaf bagaimana semua gerak itu bermula. Gerak itu adalah hak Yang Empunya Gerak. Hakikatnya, tidak ada satu gerakpun milik kita. Semuanya milik Allah. Tanpa kehendak-Nya, maka kita akan ‘muflis’ dari segi gerak. Kaku. Tak boleh bergerak. Sifat inilah yang menjurus kepada sifat rendah diri dan tidak sombong atau sifat meninggi diri.

Falsafah kita itu telah digambarkan Ustaz dalam pantunnya. “Silat Cekak pada zahirnya, pengertian gerak pada batinnya”. Gerak itu ialah gerak dua tangan dan dua kaki. Hakikat gerak memberi kesimpulan pada kita bahawa gerak itu adalah hak Allah. Kita boleh berusaha untuk meningkatkan kecekapan bersilat secara berlatih bagi maksud kemahiran tangan dan kaki. Namun begitu, semuanya bergantung pada keizinan-Nya. Caranya, kita disaran supaya bersifat jujur. “Hendaklah mahir seluruh anggotanya, hendaklah jujur pada jiwanya”. Jujurlah pada diri, guru dan mereka yang berkaitan dengan kita. Dalam hal ini, perkara pokok ialah kejujuran pada Allah. Ikhlas. Jangan buat sesuatu atas kepentingan yang lain. Niat yang tak betul. Sekurang-kurangnya, bersilatlah bagi menjaga anggota tubuh badan yang dianugerahi Allah.

Dalam konteks persilatan, ungkapan itu tersangat indah. Semakin kita mendalami ilmu SC yang merupakan ilmu-Nya, terasa betapa rendahnya kebolehan kita. Hal yang demikianlah akan menyebabkan kita rasa rendah diri. Terasa lemah dari segi penguasaan gerak. Terasa macam selalu tak menjadi. Maka sesuailah dengan sifat kehambaan yang seharusnya ada pada setiap diri. Sifat mengharap dari Yang Empunya Gerak.

Pada satu ketika, penuntut SC diyakinkan dengan kebolehan pelajarannya. Orang yang menyerang pasti tertewas melalui kaedah-kaedah sedia ada. Begitu juga ketika Cekak menyerang. Terasa keyakinannya. “Dua campur dua pasti empat”. Akan tetapi, pada satu ketika yang lain, para penuntut dibuktikan bahawa kelalaian dan kealpaan akan membolehkan orang lain bertindak pada gerak yang kita kuasai.

Ada punca kemenjadian gerak yang sedemikian rupa. Hal yang demikian akan menjurus kepada lahirnya kesedaran bahawa betapa hebatnya gerak seseorang itu, akhirnya bergantung pada kekuasaan Allah. Hanya jika Allah izinkan. Maka hilanglah sifat bongkak atau tinggi diri. Ketika itulah kita perlu bersifat merendah diri. Hal yang demikian memerlukan sifat kita sentiasa menyerah dan mendekati pada-Nya. Tak perlulah kita bersifat sombong atau suka menghina orang lain. Hal yang demikian kerana jiwa kita tidak akan tenteram dan pemikiran kita berada dalam keadaan yang tidak aman. Sifat merendah diri itu diterjemahkan dalam ikrar kita. ‘Tidak boleh mencaci silat Melayu asli yang lain’. “Caci tak boleh. Try boleh”.

Orang yang suka mencaci adalah merupakan orang yang sombong diri dan memandang rendah pada orang lain. Sifat sedemikian adalah dilarang dalam SC dan bertentangan dengan sifat jati diri yang sentiasa disemai dalam kalangan penuntut SC dari masa ke masa. Cuma, sejauh mana usaha-usaha Ustaz itu telah dijiwai para penuntut SC. Tentunya kita ada pengalaman dalam persoalan tersebut. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 02/09/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: