RSS

61.10.5. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

28 Aug

Dalam tulisan yang lalu saya memberi pendapat akan sifat peribadi seorang guru yang sebenar guru. Seperti yang saya tegaskan, “Guru yang menguasai konsep ilmu isyarat memperlihatkan sifatnya yang ‘mudah lentur’. Tidak panas baran atau marah tak tentu hala. Ada masa, riak mukanya memperlihatkan sifat gembira, suka, menerima, menolak, marah dan pelbagai sifat lagi berdasarkan situasi”. Bila kita berhadapan dengannya, semacam ada konteks dalaman antara kita dengan guru tersebut. Maka wujudlah sifat hormat yang tinggi pada guru itu. Bukannya sifat taksub seperti mana yang sering dikaitkan oleh golongan pemecah SC apabila mengungkit sifat hormat murid terhadap Guru Utama sebelum berlaku pepecahan dalam persilatan kita.

Guru yang sebenar guru, ada auranya. Aura ialah perasaan halus yang menyelubungi diri seseorang, menyebabkan wujud ‘hubungan dalaman’ antara murid dengan gurunya. Kerana aura inilah maka berlaku macam-macam pelakuan murid untuk memperlihatkan sifat ‘kagum’ pada guru. Ada dalam kalangan anak murid SC yang sanggup meminum atau memakan sisa yang ditinggalkan Guru Utama. Nampaknya, itulah salah satu cara anak murid mengakui dan mengkagumi kehebatan guru. Ada pula yang memeluk guru sebagai satu cara untuk mendapatkan aura. Pada dasarnya semua pelakuan itu mengandungi seribu harapan agar kehebatan guru akan mengalir ke tubuhnya. Ambil berkat.

Apapun bentuk pelakuan yang dilakukan penuntut SC, pada kesimpulan saya semua perbuatan itu terbahagi dua sama ada berupa adat atau pun berupa adab. Pada saya, penghormatan secara adat adalah secara pelakuan luaran. Bukan berserta dengan hati. ‘Lakonannya’ adalah berdasarkan jawatan yang disandang atau sebagai memenuhi program yang dijalankan. Mungkin ketika itu baru tunjuk muka. Apabila habis program atau habis jawatan, maka hilanglah penghormatan tersebut. Kita dapat perhatikan betapa mereka yang mencium tangan guru di satu ketika, tapi kini menjadi penentang utama. Selama ini apa benda yang dicium.

Sebaliknya, jika berdasarkan adab, perbuatan hormat adalah ikhlas dan lahir dari dalam hati. Penghormatan bukanlah berdasarkan jawatan melainkan pada orang berkenaan. Maknanya, pengormatan pada Guru Utama bukan kerana jawatannya, melainkan kerana peribadinya. Walaupun kehilangan jawatan, penghormatan padanya tetap berkekalan. Kita boleh lihat betapa mereka yang mengormati Guru Utama, terus berkekalan menghormatinya walau pun pada satu ketika, Guru Utama cuba disingkirkan dari persatuan dan persilatan.

Ustaz juga menerangkan pada saya betapa guru yang sebenar guru dapat menjadi tempat rujukan untuk kalangan anak muridnya. Rujukan tersebut adalah dalam pelbagai aspek kehidupan seharian. Dalam hal yang demikian, ada sifat-sifat istimewa yang tertentu dimiliki guru berkenaan. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu.

Kalau kita berada dalam keadaan ‘tegang’, berjumpa dengan guru maka ketegangan itu akan mulai reda. Tatkala kita menghadapi masalah besar dan merungsing hati, apabila berkumpa guru maka kerunsingan itu akan reda. Masalah yang besar dapat dirungkaikan. Penerangan guru mudah difahami dan jelas akan maksudnya. Hal yang demikian akan menyebabkan kita berasa tawar untuk mendengar penerangan atau syarahan daripada orang lain.

Dalam budaya hidup kita, ada pepatah yang berbunyi, “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.” Pemikiran dan perwatakan guru akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan anak muridnya. Oleh itu bergurulah pada guru yang sebenar guru. Kalau boleh, kaji asal usul dan latar belakang guru itu. Watak yang lalu sedikit sebanyak akan mempengaruhi perwatakan yang sedia ada sekarang.

Ustaz selalu mengingatkan anak muridnya supaya mempunyai hati yang betul dengan guru. Sepanjang ingatan saya, ramai dalam kalangan pengikut Ustaz yang disingkirkan dari persatuan atau persilatan atau kedua-duanya sekali semasa zaman Ustaz. Hal yang demikian kerana peranan mereka sebagai pengikut telah tidak sesuai lagi. Jika dibiarkan, ‘penyakit’ yang ada pada mereka akan merebak dalam kalangan ahli yang lain. Ustaz telah bersifat tegas secara menyingkirkan mereka tanpa banyak bicara atau jaga hati setelah nasihat diberi beberapa kali. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu.

Gelagat ‘penyakit’ yang wujud di zaman Ustaz kembali wujud semasa zaman En Mat sebagai Guru Utama. Saya dapat membuat bandingan berdasarkan ciri-ciri pepecahan yang mula wujud sebelum pepecahan dalam gelombang pertama. Berdasarkan pengalaman dan pemikiran yang diasaskan Ustaz, saya dapat saksikan bibit-bibit pepecahan yang mula tumbuh sejak En Mat dilantik sebagai Guru Utama. Pernah saya kemukakan agar golongan tersebut disingkirkan segera. Lucunya, saya yang ‘terpeleo’t’. Walau bagaimanapun, golongan yang saya kenal pasti itulah, akhirnya memainkan peranan penting untuk pepecahan persilatan SC pada gelombang kedua.

Kenangan saya ini bukanlah berhasrat menimbulkan kekecewaan atau kekesalan, melainkan menceritakan peristiwa sejarah yang berlaku. Peristiwa sejarah itu ada kaitan dengan Ungkapan Ustaz tersebut yang berkaitan dengan kiasan keretapi. Pengalaman saya bersama Ustaz dan kefahaman saya atas huraian Ustaz itulah menyebabkan saya membuat ukuran tentang keperluan tindakan apabila pengikut mula ‘meragam’. Kalau satu gerabak keretapi tidak berfungsi dengan sebaik-baiknya maka gerabak itu akan mempengaruhi kelancaran gerabak yang lain. Maka sulitlah kepala keretapi itu ‘membawa’ gerabak-gerabak lain yang perlu ‘ditariknya’.

Seperti yang saya tegaskan, segala tanggungjawab bagi menentukan hala tuju persilatan dan persatuan adalah merupakan hak Guru Utama. Orang-orang kanan Guru Utama akan membantu menyusun strategi bagi mempastikan hala tuju itu mencapai matlamatnya. Manakala golongan barisan hadapan dalam persilatan dan persatuan SC akan menentukan segala perancangan yang dibuat akan mendatangkan hasil yang berkesan. Itulah perkaitan dan pertautan antara semua lapisan warga yang ada dalam persilatan dan persatuan SC,

Dalam hal ini kepercayaan, keyakinan dan pengharapan adalah perlu diletakkan pada Guru Utama. Dalam konteks persilatan dan persatuan SC, kita serahkan segalanya pada guru. “Kalau gerabak telah rosak maka perlulah gerabak itu dikeluarkan dari tautan keseluruhan gerabak tersebut”. Kalau masih berada dalam barisan gerabak maka akan mengangggu perjalanan barisan gerabak yang lain. Membantutkan kelancaran perjalanan.

Maknanya, kalau ahli mula menentang dan sering bercanggah peranan yang sepatutnya maka ahli yang berkenaan perlu dikeluarkan dari barisan perjuangan yang diketuai Guru Utama. Kalau mereka masih ada dalam persilatan dan persatuan, maka jadilah mereka umpama ‘duri dalam daging’ atau umpama ‘selimbau dalam daging’. Merekalah yang akhirnya boleh menjadi manusia toksid yang meresap dalam kalangan ahli yang lain bagi menjahanamkan persatuan dan persilatan.

Secara kesimpulannya, kita boleh katakan betapa pentingnya guru memandu kita dalam persilatan dan kehidupan harian. Oleh itu, kekalkan hubungan baik dengan guru kerana gurulah yang akan memandu kita. Umpama kepala keretapi, gurulah yang akan menentukan hala tuju perjalanan kita dalam dunia persilatan. Oleh itu berusahalah untuk sentiasa berada dalam ikatan yang teguh bersama guru.

Banyak cara boleh kita lakukan bagi mempastikan diri kita terus berkekalan dalam barisan perjuangan yang dipimpin Guru Utama. Dalam tulisan seterusnya saya kemukakan empat panduan untuk mengekalkan keberadaan kita dalam landasan yang dibawa guru. Perkara utama ialah memberi kepercayaan sepenuhnya pada Guru Utama. Percayalah sepenuhnhya bahawa guru kita mempunyai kewibawaan untuk memimpin persatuan dan persilatan Silat Cekak. Kepercayaan pada guru bermakna kita boleh jadikan guru sebagai panduan utama dalam menjalani proses kehidupan. Dari segi persilatan dan persatuan, semua arahannya perlu dipatuhi.

Dalam persilatan kita, banyak petua dan nasihat yang berkaitan dengan silat diberi dari masa ke masa. Amalkan petua-petua tersebut sebagai tanda kesetiaan kita pada guru. Tidak ada apa yang hendak diragukan. Dari segi kehidupan, segala nasihat yang diberi boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Hal yang demikian juga adalah merupakan satu bentuk kesetiaan dan penghormatan kita yang tidak berbelah-bahagi pada Guru. Dalam SC, banyak nasihat guru yang boleh dijadikan prinsip diri dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya latih diri supaya sentiasa bercakap benar. Jangan jadi manusia yang suka berpura-pura. Hal yang demikian bukanlah ajaran dan kefahaman yang ada dalam SC.

Sebagai murid silat, hanya kita yang berasa bangga dengan guru kita. Ahli-ahli silat lain tidak mungkin berbuat demikian. Oleh itu, pertahankan guru kita dalam apa keadaan sekali pun. Jangan jadikan kelemahan guru sebagai batu penghalang dari segi kesetiaan. Sebagai membalas jasa guru yang sentiasa memberi pengetahuan pada kita maka sebarlah ilmu yang ‘diturunkan’ itu pada orang lain. Guru tambah ilmu maka kita korbankan masa dan tenaga. Kalau zaman dulu, kosep murid menghambakan diri pada guru adalah merupakan adat kebiasaan yang ada.

Kesimpulan ungkapan yang saya bincangkan, sebagai gerabak keretapi, sentiasalah bertaut dengan kepala keretapi. Sebagai anak murid, sentiasalah berhubung dengan guru kita. Lakukan pelbagai usaha bagi mempastikan hubungan itu tidak terputus di mana-mana atau rosak di mana-mana bahagian. Saya telah cadangkan beberapa langkah bagi mempastikan tautan itu kekal buat selamanya. Teruskan perjuangan selagi bergerak kedua tangan dan kaki. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 28/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: