RSS

61.10.4. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

22 Aug

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menegaskan betapa pentingnya kita berguru pada guru yang sebenar guru berdasarkan kiasan ‘gerabak keretapi’. Ramai yang mendakwa sebagai guru persilatan SC. Ada dalam kalangan pengamal SC yang membuat persoalan. “Nampaknya, ‘steady’ aje individu yang mendakwa sebagai guru dalam persilatan SC. Tak hilang pun ilmu persilatan SC yang ada pada mereka walaupun menderhaka pada pewaris sah persilatan SC. Kalau muntahpun, benda lain yang keluar dari perut. Ilmu SC tetap kekal”.

Perbincangan saya dalam tulisan ini adalah dari segi adat berguru. Pegangan saya adalah jelas. Menentang guru yang menjadi pewaris sah, bermakna juga menentang guru yang mewariskan ilmu persilatan tersebut. Namun begitu, segala-galanya adalah ketentuan Tuhan. Allah yang berkuasa menentukan setiap kejadian. Dalam persilatan SC, guru yang banyak tentulah ada hikmahnya. Mungkin sebagai ujian pemikiran pada kalangan penuntut SC. Bukan semua penuntut boleh mencari guru yang sebenar guru dalam persilatan SC. Dalam agama kita pun ada pelbagai pemikiran. Misalnya, ada mazhab Syiah. Masih Islam. Masih lagi mengakui nabi terakhir ialah Nabi Muhammad S.A.W. Ramai juga pengikutnya. Kecualilah Ayah Pin yang mengaku jadi nabi. Akan tetapi, tetap ada pengikutnya. Orang terpelajar pun boleh ikut.

Kita perlu membuat ketentuan benar pada guru yang sebenarnya guru persilatan SC. Dalam hal yang demikian, Ustaz telah memberi garis panduan yang jelas mengenai guru yang sebenar guru. Selain daripada warisan yang sah dalam bidang persilatan, seorang guru yang sebenar guru dalam persilatan SC mesti menguasai empat perkara yang disebut dalam pantun Ustaz. Keempat-empat ilmu tersebut adalah berkaitan dengan pemikiran, pegangan dan tindakan. Semuanya adalah bersepadu. Berpakej.

Pada pandangan saya kita boleh menggunakan kriteria itu untuk menentukan guru persilatan SC yang sebenarnya seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Kesimpulan saya, dalam konteks persilatan Silat Cekak, tanpa penguasaan keempat-empat aspek ilmu tersebut maka orang itu tidak layak untuk meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Ustaz. Sekurang-kurangnya penegasan Ustaz itu dapat dijadikan garis panduan pada mereka yang masih benak tentang guru Silat cekak yang sebenarnya.

Nampaknya, kayu ukur menentukan kebenaran guru dalam persilatan Silat Cekak, dapat kita bahagikan kepada dua. Pertamanya dari segi persilatan. Siapakah pewaris sah Silat Cekak. Saya telah menjawab persoalan itu dengan bukti yang jelas dalam tulisan yang lalu. Jawapan saya adalah berdasarkan pengalaman berada bersama dalam suasana yang berlaku itu. Keduanya, lihatlah keperibadian guru tersebut berdasarkan pantun yang ditinggalkan Ustaz sebagai panduan hakiki. Penguasaan pada ilmu-ilmu yang Ustaz nyatakan dalam pantunnya adalah tersangat perlu. Saya telah menghuraikan maksud pantun itu dalam tulisan yang lalu. Dengan menggunakan fikiran yang sihat maka bolehlah kita membuat keputusan dan ketetapan tentang guru yang sebenar guru dan guru itu juga adalah mewarisi Pusaka Silat Cekak dari Ustaz Hanafi.

Saya tidak berminat untuk membincangkan konsep keempat-empat ilmu tersebut secara terperinci dalam bentuk tulisan. Lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan konsep hakikat dan makrifat. Kefahaman saya adalah untuk diri sendiri. Biarlah guru kita yang menghuraikan maksudnya secara terperinci. Namun begitu, saya tertarik dengan penguasaan ilmu yang berkaitan dengan konsep syariat dan isyarat. Kedua-dua konsep ilmu itu tersangat mudah bagi kita untuk dijadikan kayu ukur memilih mana-mana guru yang kita boleh berguru. Bukan setakat silat, juga meliputi ilmu-ilmu ‘megah’ yang lain.

Dalam tulisan yang lalu saya ada nyatakan tentang orang yang menganggap dirinya sebagai guru dan sering bercakap soal agama. Namun begitu, ramai antara mereka yang ‘lemah’ mengerjakan suruhan Tuhan seperti sembahyang dan yang lainnya. Cakap tak serupa bikin. Mereka boleh bercakap dari petang hingga ke malam. Langgar waktu Maghrib. Kecualilah faham Syiah yang menjamakkan Maghrib dengan Isyak. Belum lagi dilihat dari sikapnya pada sembahyang. Kalau waktu subuh, adakah dia ‘menunggu Subuh’ atau ‘Subuh yang menunggu dia’.

Saya selalu diingatkan Ustaz betapa pentingnya amalan sembahyang. Ada kesannya dalam konteks persilatan SC. Ada yang bermain istilah. Peribadi orang yang mengerjakan sembahyang tidak sama kesannya dengan peribadi orang yang membangunkan sembahyang. Apa pun, perbuatan sembahyang bolehlah dijadikan satu kayu ukur untuk menentukan sifat dan sikap orang yang mendakwa dirinya sebagai guru. Kemudian, lihatlah perwatakannya dalam mengerjakan syariat Islam yang lain. Malah, Ustaz pernah menerangkan kepada saya, kadang kalanya kalau nak berguru pada seseorang guru itu, kedudukannya ketika duduk pun boleh diambil kira. Mesti mengadap kiblat. Itulah petunjuk akan sifat guru yang sentiasa menjaga aspek penguasaan syariat.

Di samping itu, kita lihat sifat peribadinya. Guru yang menguasai konsep ilmu isyarat memperlihatkan sifatnya yang ‘mudah lentur’. Tidak panas baran atau marah tak tentu hala. Ada masa, riak mukanya memperlihatkan sifat gembira, suka, menerima, menolak, marah dan pelbagai sifat lagi berdasarkan situasi.

Seperti yang saya katakan, guru yang ada ilmu isyarat, ada ‘ump’nya. Ada penggerunnya. Kita sendiri boleh merasai sifat gerun yang dimilikinya. Perasaan gerun itu tidak boleh dilahirkan melalui kata-kata. Apabila kita berhadapan dengannya, kita sendiri boleh merasainya. Bukan bersifat takut, tapi lebih bersifat berhati-hati dalam tutur kata dan perbuatan. Semacam ada konteks antara kita dengan guru itu. Akan tetapi, kalau tak rasa apa-apa pun ketika berhadapan dengan seseorang guru itu, maka tak hebatlah guru berkenaan.

Oleh itu, jika kita ingin menjadikan kriteria yang empat itu sebagai panduan memilih guru, dua kriteria yang saya bincangkan di atas sudah memadai untuk menentukan sifat guru yang sebenar guru. Itulah pegangan saya tatkala ingin berguru dengan sesiapa pun bagi menambah ilmu persilatan SC yang ada.

Silat Cekak yang dibawa Ustaz tidak terhad pada pelajaran seni bela diri. Seiring dengan pelajaran gerak silat, penuntut SC akan dididik dengan sifat jati diri bagi membolehkan mereka mengenali keistimewaan diri yang ada pada diri sendiri. Selaku Guru Utama, Ustaz berkeupayaan membentuk peribadi anak muridnya. Tugasan ini nampaknya telah diwariskan pada pewaris mutlak Guru Utama yang ada sekarang. Saya pernah menulis tentang sifat jati diri dalam persilatan SC dalam tulisan yang terdahulu.

Istilah jati diri bermaksud ciri-ciri unik dan istimewa yang menjadi teras atau lambang keperibadian individu. Dalam persilatan SC, sifat jati diri itu sentiasa dipupuk dari masa ke masa. Pemupukan sifat jati diri itu membolehkan pembentukan ‘rupa bentuk’ penuntut Silat Cekak. Saya akan membincangkan keistimewaan sifat jati diri yang ada pada penuntut SC itu dalam empat sifat utama. Perbincangan adalah secara umum sahaja. Itulah antara sifat yang dikehendaki guru dalam kalangan anak muridnya.

Pertamanya dari segi budi bahasa. Sifat penuntut SC yang dipupuk, melambangkan adab dan budi pekerti yang halus. Kita ada pelbagai cara untuk memupuk sifat ini. Dalam persilatan, sekurang-kurangnya perbuatan bersalam adalah merupakan salah satu kebiasaan dalam kalangan penuntut. Bukan setakat ketika berjumpa sesama ahli silat, malah ketika mempelajari buah-buah dalam SC, para penuntut dikehendaki bersalam dengan Jurulatih sebagai tanda menerima amanah pelajaran SC. Ketika kita bergaul sesama rakan, ada adabnya. Apatah lagi ketika kita berhubung dengan para Jurulatih dan Guru Utama.

Sifat kedua jati diri yang ada dalam persilatan SC ialah aspek ketrampilan diri. Ketrampilan diri penuntut SC dapat dilihat pada dua aspek. Pertamanya ialah watak luaran penuntut. Satu contoh yang paling mudah ialah dari segi berpakaian. Dalam satu-satu majlis SC, para penuntut telah ditentukan jenis pakaian yang perlu dipakai. Termasuk juga majlis-majlis rasmi yang lain. Ada pakaian Melayu dan ada pakaian moden. Semuanya melambangkan ketrampilan para penuntut SC. Keduanya ialah kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tugas atau kebolehan penuntut menyelesaikan masalah yang dihadapi. Terserlah sifat cekatan iaitu pantas dan cekap bekerja atau melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Setiap amanah atau tanggungjawab yang diberi, akan dipikul atau disudahkan dengan penuh berkesan.

Sifat ketiga yang dipupuk Ustaz ialah sifat ketahanan diri. Tetap pendirian. Tidak berubah sikap umpama lalang yang ditiup angin. Terdapat ungkapan yang berkaitan dengan sifat ketahanan diri. Ustaz sering menghuraikan kiasan ikan di laut. Walaupun laut itu masin, ikan tetap tak masin. Kiasan ikan itu melambangkan sifat tegas dalam pelbagai situasi. Tidak berbolak-balik tanda tidak tetap pendirian.

Sifat jati diri yang keempat adalah berkaitan dengan kerohanian atau agama. Di samping bersilat, para penuntut SC telah diasuh dengan pelajaran agama sama ada secara formal atau secara tidak formal. Kita banyak menganjurkan aktiviti agama bagi menambah pengetahuan penuntut dalam bidang agama.

Ustaz pernah menegaskan pada saya betapa menjadi Guru Utama Silat Cekak bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Banyak cabarannya. Saya telah membincangkan peranan yang telah dimainkan oleh seorang guru yang bergelar sebenar guru seperti mana perbincangan saya di atas. Kalau setakat menjalankan tugas mengajar silat, mungkin bukan satu masalah besar. Ramai pembantunya. Sebaliknya, jika benar-benar jujur untuk memandu muridnya atas jalan yang benar dan selamat dunia dan akhrat, bukanlah calang-calang tugas. Perlu pegorbanan dan komitmen yang tinggi.

Berdasarkan perbincangan saya di atas, maka bolehlah kita membuat bandingan antara guru-guru yang mendakwa sebagai guru SC. Mana satu guru yang sebenar guru. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 22/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: