RSS

61.10.3. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

18 Aug

Dalam tulisan yang lalu saya telah menghuraikan pemikiran Ustaz tentang konsep gerabak keretapi dalam pantun yang berkaitan. ‘Kepala keretapi amat penting untuk menarik gerabak ke destinasi yang ditetapkan atas landasan yang jelas dan benar’. Semua gerabak adalah dalam keadaan bertaut antara satu dengan yang lain dan ‘merelakan’ gerabak-gerabak itu ditarik kepala keretapi. Semuanya akan sampai ke matlamat yang dituju secara berstruktur.

Kalau dikiaskan dalam konteks persilatan, konsep gerabak dan kepala keretapi itu menggambarkan persefahaman yang ada antara guru dan anak muridnya. Masing-masing tahu akan tanggungjawab berdasarkan bidang tugas yang diuntukkan. Hal yang demikian akan membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam organisasi persilatan tanpa ada sifat menonjol diri dan berkepentingan diri. Secara langsung, hal yang demikian juga akan memudahkan guru memandu anak muridnya dengan lebih berkesan dalam bidang persilatan dan dalam kehidupan seharian. Ustaz menegaskan kesan dari situasi yang berkenaan. “Taat ke guru membawa berkat. Sedikit belajar banyak yang dapat.”

Pertalian dan ikatan antara guru dengan murid akan menjadi rosak jika muridnya mula ‘meragam’. Sifat menentang guru mula berputik dalam kalangan mereka dan semakin berkembang dari masa ke masa. Ustaz telah mengingatkan anak muridnya dengan ayat dalam rangkap pantun, “Jika menderhaka menjadi mudarat. Semua ilmu tiada yang lekat.”

Saya telah membincangkan konsep menderhaka dalam tulisan yang lalu. Konsep menderhaka adalah meliputi bidang persilatan dan bidang hubungan antara murid dengan guru. Cuma, kita mesti dapat membezakan antara sifat menderhaka atau menentang dengan sifat menegur secara kritis; satu sifat yang melambangkan sifat ikhlas dan jujur. Ustaz menegaskan dalam pantunnya bahawa kesan atas sifat menderhaka atau menentang guru akan memberi kesan yang buruk pada murid itu sendiri. Hal yang demikian ditegaskan dalam ayat yang berbunyi, “Jika menderhaka menjadi mudarat”. Secara tegasnya, kesan menderhaka atau sifat menentang, dilambangkan ustaz dengan rangkai kata, ‘menjadi mudarat’.

Dalam konteks persilatan, konsep mudarat membawa dua makna yang tersendiri. Pertamanya, mudarat melambangkan sesuatu yang merugikan diri sendiri. Dalam bidang persilatan, rugi pada diri sendiri bermakna tertutuplah ruang bagi penuntut itu untuk menambahkan ilmu persilatan SC dari masa ke masa. Proses pembelajaran lanjutan telah terhenti. Berdasarkan pengalaman saya, ilmu yang ‘pukal’ dalam SC adalah terletak di hujung pelajaran. Lagi lama kita berada dalam persilatan SC, lagi banyak ilmu seni yang boleh diperoleh. Oleh sebab hubungan dengan guru telah terputus maka proses untuk menambah pengetahuan dalam persilatan SC, juga turut terputus. Amat merugikan diri sendiri.

Konsep mudarat juga melambangkan kegagalan seseorang dalam bidang yang diceburi. Maknanya, dalam persilatan SC maka gagallah diri penuntut itu untuk menjadi seorang pesilat yang benar-benar hebat secara menguasai kesemua pelajaran yang ada dalam persilatan SC. Maka konsep semangat juang dilambangkan pada ibarat, ‘pegang bara api hingga sampai menjadi debu’ tidak membawa makna jika menderhaka terhadap guru. “Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”, turut gagal pada amalan pembelajaran murid berkenaan.

Ustaz menegaskan pada saya, setiap perbuatan yang baik itu biarlah berkekalan sepanjang masa. Jangan sekerat-sekerat. Tidak tetap pendirian. Kalau dah mula, buatlah sampai habis. Kalau dah pilih guru, biarlah berkekalan. Sebelum pilih, fikirlah masak-masak. Jangan jadi umpama lalang. Hilang pendirian.

Kedua-dua konsep mudarat yang saya bincangkan di atas disimpulkan Ustaz dalam ayat terakhir pantun berkenaan. “Semua ilmu tiada yang lekat.”

Pada pandangan saya, rangkai kata ‘semua ilmu’ adalah meliputi ilmu persilatan dan ilmu petua yang diberi Ustaz. Termasuk nasihat yang telah diberi dari semasa ke semasa.

Saya juga berpandangan, konsep ‘tiada yang lekat’ membawa tiga makna yang tersendiri. Pertamanya, kesemua ilmu itu mula hilang secara beransur-ansur. Keduanya, konsep itu membawa makna ilmu yang ada pada penuntut yang menderhaka mula bercelaru antara gerak sebenar dengan gerak-gerak khayalan yang mula timbul dari masa ke masa. Keaslian gerak silat mula berubah-rubah dan tidak asli lagi. Ketiganya, ilmu yang ada itu tidak lagi boleh dijadikan ‘teman setia’ ketika berada dalam situasi yang memerlukannya.

Pada pandangan saya, ketiga-tiga sifat tersebut adalah bersebab. Banyak sebab yang menjadikan hal yang berkenaan berlaku. Pertamanya, oleh sebab hubungan dengan guru telah terputus maka secara langsung tempat rujukan yang benar juga turut ‘hilang’. Orang yang meninggalkan gurunya bermakna juga meninggalkan para sahabat yang berada dalam perguruan berkenaan. Oleh itu, peluangnya untuk berlatih dan mengingat semula segala pelajaran yang diberi guru, turut hilang. Maka tinggallah ilmu yang ada hingga ‘berkulat’.

Pada mereka yang masih berminat dengan persilatan SC, tentunya akan meneruskan amalan secara bersendirian. Oleh sebab tidak ada rujukan dan tidak berpeluang membuat latihan maka terbukalah ruang pada dirinya untuk membuat keputusan berdasarkan pemikiran sendiri. Hal yang demikian akan menyebabkan ilmu SC yang ada pada dirinya itu mula hilang keasliannya. Gerak SC yang asal dan asli bercampur aduk. Maka ilmu silat SC yang sebenar akan mula pudar dan hilang keseniannya.

Maka tidak hairanlah Ustaz menegaskan bahawa menderhaka terhadap guru akan memberi kesan buruk pada diri sendiri. Kesan buruk itu diistilahkan sebagai membawa mudarat. Segala ilmu yang diturunkan guru akan ‘lekang’ atau hilang secara beransur-ansur dari masa ke masa.

Dalam konteks persilatan juga, murid perlu sentiasa menaruh harapan dan kepercayaan kepada guru bagi memperoleh ilmu persilatan dan ilmu-ilmu yang berkaitan. Oleh itu, pegangan dan ikatan kita pada guru yang sebenar guru adalah tersangat penting. Dalam tulisan yang lalu saya menegaskan betapa dalam situasi persilatan SC yang pelbagai persatuan dan gurunya yang pelbagai, memerlukan kita membuat pemilihan yang tepat. Oleh itu, berpeganglah pada rujukan persilatan; bukannya persatuan.

Ustaz memberi panduan untuk memilih guru. Huraian Ustaz itu telah dilambangkan pada pantun yang ada sekarang. Ustaz menegaskan betapa seorang guru yang bersifat guru akan mempengaruhi anak muridnya. Oleh itu, bergurulah dengan guru yang sebenar-benar guru. “Alang-alang belajar maka belajarlah ilmu dari orang yang mempusakai ilmu tersebut. Barulah ada keberkatan dalam pembelajaran ilmu itu”.

Konsep guru telah dinyatakan Ustaz dalam pantunnya, “Sebenar guru ada hakikat. Dikuat pula amalan syariat. Ditambah pula ilmu makrifat. Berpakaian pula dengan isyarat”.

Keseluruhan pantun tersebut menggambarkan betapa pentingnya kita berguru pada guru yang sebenar guru. Jika tidak, kita akan menjadi pengikut pada manusia yang hanya mendakwa dirinya guru; pada hal bukan merupakan guru yang sebenar guru. Cakapnya tak serupa bikin. Menyeru orang lain berbuat baik dalam keadaan diri bergelumang dengan penipuan dan pendustaan. Selurang-kurangnya penipuan dan pendustaan dalam konteks persilatan.

Konsep sebenar guru perlu memiliki empat sifat ilmu yang utama iaitu hakikat, syariat, makrifat dan isyarat. Dalam istilah selapis, hakikat bermaksud ilmu kebenaran atau kenyataan sesuatu. Konsep makrifat adalah merujuk pada ilmu mengenali hal kerohanian pada peringkat yang tertinggi atau sempurna. Syariat adalah merujuk pada amalan dalam Islam manakala isyarat merujuk pada pergerakan anggota badan sebagai tanda atau alamat.

Saya tidak berminat untuk membincangkan konsep ilmu-ilmu tersebut dalam bentuk tulisan. Memadai bagi saya menggambarkan guru yang sebenar guru itu berdasarkan kefahaman bersepadu yang ada pada saya atas rujukan pada ilmu-ilmu tersebut. Semuanya adalah berasasakan kefahaman saya mentafsir percakapan Ustaz ketika Ustaz menyentuh hal yang berkaitan.

Pada pandangan saya, seorang guru yang sebenar guru dalam konteks persilatan SC, bukan setakat hebat dalam bidang persilatan tetapi juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang agama. Segala sesuatu adalah dihubungkan pada kekuasaan Tuhan yang berkuasa pada semua perkara. Hubungan ‘rapat’ dengan Tuhan adalah selari dengan perbuatan yang dianjurkan agama. Sekurang-kurangnya tanggungjawab mengerjakan suruhan Tuhan seperti sembahyang, berpuasa dan sebagainya; adalah merupakan perbuatan yang bersebati dengan dirinya.

Saya rasa, kita mungkin ada pengalaman bersama orang yang mendakwa sebagai guru silat yang hebat dan suka bercakap agama. Sebaliknya, lemah mengerjakan suruhan Tuhan seperti sembahyang dan yang lainnya. Cakap tak serupa bikin. Pada pendapat saya, sesuailah dengan kata-kata Ustaz dalam pantunnya, “Sebenar guru ada hakikat. Dikuat pula amalan syariat.

Pengetahuan pada guru yang sebenar guru adalah sempurna. Guru dapat memikirkan sesuatu secara mendalam dan mengetahui benar-benar akan satu-satu perkara itu. Hal yang demikian secara langsung menjadikan guru itu ada ‘ump’nya. Ada penggerunnya. Kita sendiri boleh merasai sifat gerun yang dimilikinya. Perasaan gerun itu tidak boleh dilahirkan melalui kata-kata. Sesuailah dengan huraian Ustaz dalam ayat pantunnya, “Ditambah pula ilmu makrifat. Berpakaian pula dengan isyarat”.

Semoga kita memahami tentang kriteria seorang guru sebagaimana yang dimaksudkan Ustaz. Tentunya berdasarkan kefahaman saya berguru dengan Ustaz. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: