RSS

61.10.2. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

14 Aug

Seperti yang saya jelaskan, bentuk hubungan antara murid dengan guru, ada adabnya. Dalam konteks persilatan, adab melambangkan cara seseorang murid berkelakuan dalam situasi berhadapan dengan guru silatnya sendiri. Orang yang beradab memiliki tutur kata yang halus dan budi pekerti yang halus. Budaya tinggi.

Zaman saya dulu, Ustaz berperanan utama untuk menunjuk ajar tentang adab berguru. Pemikiran Ustaz banyak dilahirkan melalui penerangan atau percakapan Ustaz seharian. Pemikiran Ustaz itu dilanjutkan secara disebar luas oleh orang-orang kanan Ustaz dalam kalangan penuntut. Semuanya dilakukan secara lisan sama ada secara formal dalam satu-satu program khas atau secara tidak formal sebagai sisipan percakapan dalam kelas-kelas latihan. Para Jurulatih juga turut memainkan peranan penting. Malah, boleh dikatakan bahawa para Jurulatih adalah merupakan golongan terpenting dalam konteks penyebaran pemikiran Ustaz dalam kalangan penuntut SC.

Ketika itu tak ada lagi susunan pantun seperti yang ada sekarang untuk menggambarkan pemikiran Ustaz. Walau bagaimanapun, pantun yang wujud kemudiannya adalah jelas untuk melambangkan pemikiran Ustaz. Dalam tulisan ini saya akan menggunakan pantun yang ada bagi menggambarkan percakapan Ustaz pada tempoh masa yang lalu. Dalam konteks pertalian guru dengan muridnya, terdapat dua rangkap pantun yang jelas mengenainya.

Saya pernah menulis tentang bentuk pantun yang ada. Setiap ayat dalam setiap rangkap pantun itu, mempunyai makna yang tersendiri. Tidak ada pembayang dan maksud. Semuanya bermaksud. Secara langsung, ayat-ayat dalam rangkap-rangkap pantun tersebut telah menghuraikan pemikiran Ustaz secara tepat dan jelas dalam konteks hubungan murid dan guru dari segi persilatan. Dalam dua baris ayat yang pertama dalam rangkap pantun itu, Ustaz menulis seperti yang berikut.

“Taat ke guru membawa berkat. Sedikit belajar banyak yang dapat.”

Dalam ayat pertama, ada dua perkataan yang penting. Taat dan berkat. Istilah taat ialah sentiasa menurut perintah, patuh dan tidak mengingkari arahan atau perintah tersebut. Manakala istilah berkat ialah manfaat dan hasil. Berkat juga membawa makna restu atau perkenan daripada Allah yang mendatangkan kebaikan kepada seseorang. Dalam persilatan SC, restu merujuk pada kebenaran atau persetujuan daripada Guru Utama yang mempunyai hak untuk membenarkan seseorang menyampaikan pelajaran SC.

Usaha tersebut mendatangkan kebaikan kepada penyebar ilmu persilatan SC itu sendiri. Lagi banyak masa dan tenaga digunakan untuk maksud penyebaran ilmu SC maka lagi banyak pertambahan ilmu SC pada diri sendiri. Yakinlah. Atas keizinan-Nya, terlorong bagi kita untuk mendapat atau menambahkan lebih banyak ilmu dalam persilatan SC. Itulah keberkatan juga namanya.

Dalam konteks persilatan, konsep taat adalah meliputi dua bidang utama. Bidang-bidang itu ialah bidang persilatan SC dan keduanya ialah bidang hubungan guru dan murid. Kedua-dua bidang tersebut adalah bersepadu. Cuma, dalam tulisan ini saya huraikan seolah-olah terpisah. Kebenarannya, kedua-dua bidang itu tidak boleh berpisah.

Bidang persilatan Silat Cekak adalah merujuk pada pelajaran SC. Kalau kita betul-betul ingin menguasai pelajaran silat yang diwarisi pada guru yang sah, maka taatlah atau ikutlah segala arahan guru itu. Jangan banyak soal dan jangan banyak menimbulkan persoalan. Berilah kepercayaan sepenuhnya pada pengajaran guru sebab segala arahannya tentang gerak silat, ada sebab dan ada tujuannya. Setelah kita menguasai segala pelajaran SC, jangan pulak diubah-ubah pelajaran tersebut secara sesuka hati tanpa pengetahuan guru. Hal yang demikian kerana konsep menurut perintah atau arahan dalam bidang persilatan adalah merupakan satu proses yang berterusan. Maknanya, setelah tamat silatpun, segala arahan atau perintah guru yang berkaitan dengan gerak persilatan SC sebelumnya, perlu dipatuhi dan ditaati. Itulah secara umum tentang konsep taat pada guru dalam bidang persilatan seperti yang saya faham dari Ustaz.

Bidang yang kedua adalah merujuk pada bidang hubungan antara murid dengan gurunya dalam hal-hal yang berkaitan dalam dunia kehidupan seharian. Murid perlu rapat dengan guru. Kalau hubungan rapat, secara langsung, wujud ikatan rapat antara guru dan muridnya dalam semua perkara. Kita merelakan guru membentuk sikap dan peribadi kita. Biasanya, arahan guru adalah berbentuk nasihat. Nasihat guru itu adalah berdasarkan ilmu dan pengalamannya. Banyak manfaatnya jika kita patuh dengan nasihat yang diberikan.

Oleh itu, berilah satu penghormatan yang tinggi pada guru. Hormati guru dengan penuh ikhlas. Letakkan guru pada satu kedudukan yang mengatasi orang lain dalam organisasi persilatan. Hanya kita yang bertaraf murid kepada guru, layak berbuat demikian. Mana mungkin ahli-ahli persilatan lain boleh berbuat demikian. Maknnya, dalam konteks persilatan, kalau kita tidak meletakkan guru pada satu kedudukan yang tinggi, siapa lagi yang boleh berbuat demikian.

Jika kita memahami konsep taat pada guru tersebut dan mengamalkannya maka hal yang demikian akan memudahkan guru menambahkan pengetahuan anak muridnya dari masa ke masa. Penambahan ilmu itu adalah secara berterusan tanpa wujud sebarang prasangka atau ragu-ragu. Setiap persoalan yang dikemukakan, akan dilayan guru. Huraian yang diberi adalah secara sepenuh hati. Maknanya tak ada ilmu yang ‘disimpan’. Habis semua ilmu ‘dilepaskan’ pada anak muridnya. Sesuailah dengan ayat dalam pantun, ‘Sedikit belajar banyak yang dapat.’

Pada pihak murid silat, hubungan mereka dengan dengan guru, perlu dalam suasana ikhlas. Juga tidak ada prasangka buruk terhadap guru. Persoalan yang ditimbulkan adalah semata-mata ingin mendapatkan penjelasan dan menambahkan ilmu atas tujuan untuk memudahkan penyebaran SC. Jangan ada langsung niat untuk ‘mengambil alih’ peranan atau cuba mengambil alih tugas guru.

Ustaz mengingatkan anak muridnya, “Jika menderhaka menjadi mudarat. Semua ilmu tiada yang lekat.”

Konsep menderhaka adalah merujuk pada sifat yang tidak setia pada gurunya dalam perjuangan menegakkan kedaulatan SC. Biasanya konsep menderhaka dalam konteks persilatan ialah berbentuk penentangan pada orang yang banyak jasanya memandu seseorang di dunia dan akhirat. Kita selalu merujuk istilah derhaka pada kedua ibu bapa dan guru. Tak pernah pulak saya dengar konsep menderhaka pada kawan atau sahabat. Kalau bergaduh atau berpisah sesama rakan, penggunaan istilah menderhaka adalah tidak tepat walaupun prinsip atau bentuk penentangan yang wujud adalah sama.

Saya berpendapat, sifat menderhaka pada guru boleh dilambangkan dalam tiga situasi. Pertamanya sifat menentang yang terdetik di hati. Orang jenis ini pandai berpura-pura. Kalau bersilat, anggota badan seolah-olah menerima secara mengikut pelakuan atau arahan dari segi gerak. Namun begitu, hatinya berkata-kata. Tak dapat menerima gerak yang ada. Penerangan tentang gerak persilatan pun tidak dapat diterima secara rela. Begitu juga dengan bentuk nasihat yang lain. Hati dipaksa menerima nasihat atas alasan untuk terus berada dalam persilatan SC. Hubungan dengan guru atau jurulatih adalah ‘tawar’. Tidak menampakkan kemanisannya. Jurulatih yang berpengalaman akan berupaya mengesan jenis penuntut yang sedemikian. Penentangan atau penolakan pada pelajaran yang wujud dalam hatinya tetap terpancar melalui air muka yang ditunjukkannya.

Keduanya, sifat menderhaka pada guru dilambangkan melalui tutur kata. Menentang arahan guru secara terbuka. Kalau dalam silat, mereka membuat komen membantah secara terang-terangan. Macam-macam komen cacian sebagai tanda menolak SC. Orang jenis ini selalu berpura-pura ketika bersama dengan persilatan SC. Depan guru nampak baik. Tak nampak sifat menentang. Di belakang guru, terpancar sifat ‘busuk hati’. Macam-macam komen negatif dilemparkan pada guru. Tidak kiralah pada ilmu guru berkaitan silat atau hal-hal yang lain.

Mungkin juga dari segi silat, mereka menerima dan mengakui kelebihan pelajaran SC. Sebaliknya, dari segi peribadi guru, mereka menolak kewibawaan dan kebolehan guru. Pada ketika yang tertentu, mungkin mereka menyusun strategi untuk menaikkan diri secara merendah-rendahkan kebolehan guru sendiri.

Ustaz pernah menceritakan pengalamannya bersama murid silat yang bersifat demikian. Peristiwa berlaku sebelum Ustaz berhijrah ke Kuala Lumpur. Guru dicaci tapi ilmu yang guru beri tetap disanjungi. Apabila mereka memperoleh kuasa untuk mengembangkan SC, beberapa pelajaran telah disimpan. Tidak disampaikan pada penuntut yang lain. Ketika itu juga mereka menyusun strategi untuk menyingkir guru sendiri. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu.

Ketiganya, sifat menderhaka dilambangkan pada tindakan yang dilakukan. Tindakan itu adalah secara nyata. Bukan setakat tutur kata tetapi juga dalam perbuatan dan tindakan. Sifat menghormati dan mentaati guru telah hilang. Malah, mereka berani menentang guru secara terang-terangan. Salah satu daripada tindakan mereka ialah menubuhkan persatuan silat yang baru. Persatuan sahaja yang baru. Akan tetapi, pelajaran silatnya masih sama seperti mana yang mereka peroleh dari guru.

Kesimpulannya, konsep menderhaka pada guru bukan setakat tindakan yang dilakukan, malah meliputi tutur kata dan perasaan dalam hati. Kita akan sambung lagi pada tulisan berikutnya.

 
Leave a comment

Posted by on 14/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: