RSS

61.10.1. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

08 Aug

Dalam mukadimah tulisan yang lalu, saya menyimpulkan bahawa Ustaz sangat memandang berat aspek hubungan antara guru dengan anak muridnya. Anak muridnya sama ada orang kanan atau murid ‘biasa’, mempunyai pengaruh pada organisasi persilatan. Malah, orang kanan juga akan mempengaruhi kewibawaan guru. Dalam perbualan dengan Ustaz, pernah disentuh betapa salah satu faktor ‘tertewasnya’ para pendekar dulu kala, ada kaitan dengan orang kanannya sendiri.

Dalam tulisan-tulisan yang lalu, saya pernah menyentuh tentang peranan orang-orang kanan yang cuba ‘menjatuhkan’ Ustaz. Nampaknya, apa yang pernah berlaku di zaman Ustaz, turut juga dirasai Guru Utama kita. Sebelum pepecahan pada gelombang kedua, orang-orang kanan tersebut amat rapat sekali dengan Guru Utama. Seolah-olah merekalah para pembela guru yang tidak ada tolok banding kesetiaannya. Sokongan mereka dikatakan tersangat kuat. “Direbus tak empuk, direndam tak lemas”.

Hinggakan percakapan dan tulisan saya yang berbentuk komen pada persilatan dan persatuan, pernah dijadikan alasan untuk maksud ‘penyingkiran’ dari persilatan dan persatuan Silat Cekak. Namun begitu, lakonan mereka berakhir dalam keadaan yang menghairankan. Guru Utama pula yang cuba disingkirkan dari persilatan dan persatuan. Satu masa, Guru Utama ‘diangkat’ sebagai pewaris Silat Cekak tetapi di masa yang lain mereka berusaha menjatuhkan guru yang dilantik. Umpama permainan sepak takraw.

Kalau setakat peyingkiran keahlian guru dari persatuan, mungkin ada alasannya. Akan tetapi apabila Guru Utama cuba disingkir dari persilatan maka itulah satu tindakan yang saya anggap menyimpang dari kefahaman persilatan yang diasuh Ustaz. Mudah melupakan pengajaran yang ditinggalkan Ustaz dalam konteks ‘hubungan sebenar’ antara guru dengan muridnya. Ada yang mengatakan bahawa guru yang ada bukanlah guru mereka. Guru mereka ialah Ustaz Hanafi. Saya berpandangan, dari segi persilatan, pewaris sah SC adalah juga perlu diiktiraf sebagai guru iaitu guru persilatan SC yang menjadi pewaris silat berkenaan.

Namun begitu, kewujudan sifat kita yang seolah-olah bertentangan pendapat dengan guru, kadang kala membuktikan ketulusan dan keiklhasan kita dalam hubungan dengan guru. Sifat berterus terang. Ketika itu kami diasuh Ustaz supaya sentiasa bercakap benar. Lebih-lebih lagi dalam konteks persilatan SC. Apa yang diluahkan melalui mulut adalah merupakan isi hati yang sebenarnya. Tak perlu disimpan melainkan perlu diluah untuk mendapat penjelasan. Sifat yang sedemikian adalah merupakan ciri-ciri kejujuran dan keikhlasan. Itulah sifat orang yang bercakap benar. Kita perlu berhati-hati dengan orang yang mempunyai pemikiran yang kritis. Jangan mudah membuat kesimpulan pada dirinya.

Teringat kisah lama. Satu ketika apabila saya pernah menentang usul menjadikan Guru Utama, Ustaz Hanafi sebagai Presiden seumur hidup. Saya mungkin dianggap golongan kiri. Namun begitu, orang yang dianggap kiri terus kekal. Sebaliknya orang yang dianggap kanan telah menjadi golongan pemecah yang amat handal dalam persilatan SC. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu.

Saya tersangat yakin, jika kita sentiasa bercakap benar, guru akan merujuk sesuatu perkara pada kita bagi mendapatkan pendapat atau pandangan. Tentunya perkara tersebut adalah berkaitan dengan perkara penting. Hal yang demikian kerana kita bercakap berdasarkan apa yang ada dalam hati dan fikiran. Tidak berpura-pura ketika memberi pendapat. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah menyentuh hal yang demikian. Ustaz pernah bertanyakan pendapat saya. Pertamanya tentang pelawaan seorang guru silat yang terkenal mempelawa Ustaz menerima ‘ilmu cindai’ dari guru berkenaan. Saya memberi pendapat yang membangkang. Satu ketika yang lain Ustaz pernah mendapatkan pandangan saya sama ada sesuai atau tidak Ustaz memiliki senjata pistol. Saya juga membangkang berdasarkan alasan yang tertentu.

Saya berpendapat, jika Ustaz menerima ‘ilmu cindai’ dari guru silat berkenaan, akan membolehkan guru silat itu mendakwa Ustaz sebagai anak muridnya. Hal yang demikian akan mempengaruhi nama baik persilatan SC. Bagitu juga jika Ustaz memiliki senjata pistol. Kebetulan ketika itu tersebar berita tentang guru silat yang terkenal telah kehilangan senjata pistolnya ketika tidur. Heboh satu negara. Mana mungkin guru silat yang handal mengalami kejadian yang sedemikian. Pandangan saya menegaskan betapa pentingnya kita menghindari risiko atas perkara yang kurang berkepentingan pada persilatan. Nampaknya, Ustaz tidak ada masalah dengan pendapat yang saya beri.

Saya tetap berpegang teguh pada pemikiran Ustaz yang sangat menekankan pertalian hubungan antara guru dan murid dalam suasana telus dan ikhlas. Itulah pemikiran yang berupa pengajaran yang ditinggalkan Ustaz. Pengajaran itu dilambangkan dalam ungkapan yang sedang kita bincangkan. Maka dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya tentang ungkapan tersebut. Hal yang demikianlah yang membolehkan saya terus kekal taat pada guru yang merupakan pewaris sah Silat Cekak. Saya berasa bangga pada diri saya sendiri yang masih mengamalkan pengajaran Ustaz berkaitan pertalian hubungan guru dengan anak muridnya.

Tegasnya, hubungan guru dengan anak muridnya perlu atas konsep pertalian yang teguh. Mesti ada ikatan. Istilah Pertalian itu bermaksud hubungan yang tersangat rapat. Pertalian juga bermaksud ikatan yang erat dalam hubungan guru dengan muridnya. Kalau ibarat keretapi, boleh digambarkan ‘ada ikatan’ antara sesama gerabak keretapi dengan kepala keretapi. Ada ‘cangkuknya’.

Pertalian atau ikatan hubungan yang erat antara guru dan anak muridnya ada syarat yang tertentu atau ada prinsip yang tertentu. Syarat dan prinsip itu juga dinamakan adab dan boleh dikiaskan pada konsep gerabak keretapi tersebut. Jika tidak tahu adab maknanya seseorang itu bersifat biadab. Perbicaraan saya adalah berdasarkan ingatan pengalaman saya pada huraian yang diberi Ustaz.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga prinsip utama pelakuan adab dalam proses hubungan kita dengan Guru Utama. Pertamanya, kita jangan mendahului guru dalam apa perkara pun yang berkaitan dengan persilatan atau persatuan. Dalam bidang persilatan misalnya, kalaupun telah ada satu-satu persetujuan dalam perbincangan dengan LPT sekalipun, mereka tidak berhak menyatakan keputusan itu melainkan Guru Utama yang berhak berbuat demikian.

Begitu juga dalam bidang persatuan. Walaupun telah ada keputusan bersama tentang satu-satu dasar dalam mesyuarat, pengisytiharan keputusan itu adalah merupakan hak Guru Utama. Kalau ingin keluarkan perkeliling maka perkeliling itu hanya boleh ditanda tangan Guru Utama. Itulah contoh mudah adab hubungan murid dengan guru dalam bentuk pengurusan.

Kita ambil contoh yang lain. Kalau setakat mengeluarkan surat untuk memanggil mesyuarat, itu adalah kerja jawatankuasa. Bidang tugas yang telah ditentukan oleh peraturan berpersatuan. Sebaliknya kalau ingin melantik seseorang sebagai ahli jawatankuasa atas sifat satu penghormatan maka surat itu juga perlu ditanda tangan oleh Presidennya. Walau pun telah ada keputusan jawatankusa yang dipengerusikan Presden, adab perlu dijaga sebab persatuan kita adalah persatuan silat yang penuh dengan adab. Maka perlulah kita sentiasa beradab dalam setiap aspek, termasuk dalam pengurusan persatuan.

Teringat saya surat-surat arahan yang saya terima semasa memimpin persatuan SC di cawangan. Mana-mana arahan berbentuk dasar persatuan atau dasar persilatan yang tidak ditandatangani Presiden merangkap Guru Utama, tak pernah saya pandang serius. Mana yang sesuai dengan cawangan, saya ikut. Walaupun saya dianggap ‘kiri; tapi itulah fahaman tentang adab yang saya fahami dan amalkan.

Adab yang kedua ialah peranan mutlak GU untuk menentukan dasar persatuan atau dasar persilatan. Hanya Guru Utama yang berhak membuat dasar. Lebih-lebih lagi dasar-dasar yang berkaitan dengan persilatan. Orang-orang kanan GU sendiri tidak ada hak menentukan dasar. Kalau mereka terlebih dahulu ‘bersuara’ tentang satu-satu dasar maka hal yang demikian adalah menyimpang dari tatasusila atau adab sebagai orang kanan. Kalau dikiaskan dengan keretapi, hanya kepala kereta sahaja yang ada hak akan bunyi hon untuk memberi amaran atau arahan. Mana mungkin gerabak keretapi diberi peranan sedemikian.

Prinsip ketiga ialah keperluan berada atas satu landasan perjuangan yang sama. Pemikiran anak murid mesti selari dan selaras dengan pemikiran Guru Utama. Jangan ada sifat amalan bertentangan pendapat walau sedikit pun. Hala tuju Guru Utama adalah merupakan hala tuju anak muridnya. Lihatlah kiasan pada gerabak keretapi tersebut. Semua gerabak berada di belakang kepala keretapi atas landasan yang sama. Semuanya tersusun ke arah destinasi yang ditentukan. Kalau sampai, maka keseluruhan gerabak yang diketuai kepala keretapi itu akan sampai bersama.

Keseluruhan proses gerak gerabak itu dikiaskan Ustaz dengan kata-kata,” Kalau kepala keretapi bergerak sesekian kilometer maka kesemua gerabak perlu bergerak dalam kelajuan yang sama.” Perjalanan gerabak mesti sama. Tak boleh terdahulu dan tidak boleh terkemudian. Semuanya mesti bergerak berdasarkan susunan yang ada.

Dalam perjuangan persilatan dan persatuan SC, semua ahli mesti tahu peranan masing-masing berdasarkan bidang tugas yang diberi. Tidak perlu menonjol diri untuk membuktikan kehebatan diri. Jalankan peranan yang telah diberi. Itulah peranan yang menjadi pegangan hakiki saya berdasarkan kefahaman saya bersama Ustaz.
Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: