RSS

61.10.0. KENALI SILAT CEKAK – KIASAN GERABAK KERETAPI.

05 Aug

Persilatan Melayu bukannya wujud begitu sahaja. Ada puncanya. Banyak teori yang membincangkan kewujudan silat. Umumnya, silat adalah lahir dari pemikir yang hebat. Ada orang yang berfikir. Tidak kiralah sama ada pemikirannya berupa ilham atau berdasarkan akal yang dianugerahi Tuhan. Pada saya, orang yang berfikir sentiasa menghasilkan pemikiran yang istimewa. Begitu juga dengan persilatan Silat Cekak. Ada asal usulnya. Ada pemikir gerak yang hebat hingga lahirnya Silat Cekak. Saya tidak akan menyentuh asal usul SC dalam tulisan ini.

Persilatan SC yang pelbagai dan sedia ada sekarang ini, senang dikesan asal usulnya. Masih terlalu awal akan sejarah penubuhan dan sejarah pergerakan persilatan itu. Hal yang demikian akan memudahkan kita mengetahui punca kewujudannya. Kita sendiri boleh menilai kebenaran penubuhan SC yang pelbagai dari sudut persilatan. Bukannya dari sudut persatuan. Tuntutan persilatan adalah tidak sama dengan tuntutan persatuan. Persilatan menuntut dan mementingkan pewaris yang sah. Manakala tuntutan persatuan adalah agak longgar. Sesiapa pun boleh dilantik sebagai guru asalkan menjadi ahli persatuan. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu.

Apa pun, kesemua persilatan SC yang ada sekarang ini adalah ‘sepancur’. Berpunca dari seorang pemikir yang hebat iaitu Ustaz Hanafi. Setakat ini, kesemua persilatan itu masih mengaitkan dengan kepimpinan Ustaz. Ketokohan Ustaz sentiasa dijadikan sandaran. Cuma, persoalannya ialah sampai bila semangat itu akan terus berkekalan. Sama-samalah kita saksikannya.

Pada pandangan saya, sesuatu yang asli tidak akan luntur sifatnya. Maknanya, sifat silat itu sendiri tidak akan berubah sama ada pelajarannya, kefahamannya, keazamannya atau pendiriannya. Silat yang asli itulah merupakan silat yang asal. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan persilatan SC yang tidak asli. Maknanya, silat yang palsu. Pudar sifatnya. Tidak ada asal usulnya dalam bidang persilatan SC. Penerajunya tidak ada alasan yang sah sebagai pewaris persilatan yang ditinggalkan Ustaz. Semuanya berselindung atas nama persatuan yang membolehkan pelantikan sebagai guru SC dan juga membolehkan mereka bergerak atas nama persatuan SC.

Persilatan SC yang berpecah-pecah telah diterajui oleh seseorang yang juga bergelar guru. Berdasarkan situasi yang wujud itu maka saya menyimpulkan akan adanya pengenalan guru yang tersendiri. Ada Guru Pewaris Mutlak, ada Guru Persatuan, ada Guru Kontrak atau, ada juga bakal Guru Wawasan. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah menyentuh betapa SC yang diterajui En Mat adalah merupakan guru persilatan SC yang asli. Guru Utama, En Mat Radzi adalah merupakan pewaris mutlak Silat Cekak. Kita beruntung kerana berada dalam persilatan SC yang dipimpinnya.

Saya yakin bahawa Guru yang kita pilih adalah lahir dari kata hati. Biasanya kata hati adalah bersifat benar. Nampaknya, ramai anak murid Ustaz yang tidak sanggup melanjutkan kata hati melalui sebutan mulutnya kerana kepentingan yang tertentu. Kepentingan diri. Ramai yang terpaksa berpura-pura antara kefahaman yang diberi Ustaz dengan tindakan yang dilakukan. Kata hati lain dan kata mulut lain. Sifat pembohong. Kepentingan diri adalah berselindung pada kehendak persatuan; bukannya atas kehendak persilatan.

Seperti yang saya katakan, kita amat bertuah kerana berada di bawah kepimpinan Guru Utama, En Mat Radzi. Saya telah buktikan betapa En Mat adalah merupakan pewaris mutlak Silat Cekak. Ketetapan memilih guru adalah penting. Dalam persilatan Silat Cekak, hubungan guru dengan anak muridnya tidak boleh berpisah atau dipisahkan. Hubungan antara guru dan murid perlu berada dalam suasana yang tulus dan ikhlas. Tidak ada kepentingan diri. Hal yang demikian sentiasa diingatkan Ustaz kepada kami dalam perbualan seharian dari masa ke masa sejak awal penglibatan kami dalam persilatan silat cekak.

Dalam tulisan ini, saya akan mengenang semula kata-kata Ustaz pada kami khususnya pada saya sendiri tentang konsep hubungan guru dengan anak muridnya. Perbincangan saya ini akan dilakukan dalam ungkapan yang berikutnya iaitu Ungkapan Kedua Belas atas tajuk, ‘Guru Ibarat Kepala Keretapi Manakala Muridnya Adalah Umpama Gerabak Keretapi”. Saya ringkaskan konsep ungkapan tersebut sebagai, “Kiasan Kepala Keretapi Dan Gerabak Keretapi”.

UNGKAPAN KEDUA BELAS. :

Kiasan Kepala Keretapi Dan Gerabak Keretapi.

Ungkapan kepala keretapi dan gerabak keretapi sering diucap Ustaz dalam perbualan dengan saya. Ustaz menekankan betapa pentingnya hubungan murid dengan gurunya. Kata-kata Ustaz itu telah tertanam di jiwa saya dan menjadi satu pemikiran yang saya gunakan ketika mendidik para penuntut di cawangan saya.

Pada pemerhatian saya, prinsip hubungan ini telah menjadi amalan dalam persilatan kita sejak dulu lagi. Sebab itulah saya katakan betapa pemilihan guru yang tepat dan benar sekarang ini adalah amat penting. Maknanya, guru yang pelbagai dalam persilatan Silat Cekak yang ada sekarang, menyebabkan kita perlu membuat ketetapan atas pemilihan Guru Utama yang sebenar. Hal yang demikian adalah bagi kita meneruskan kefahaman yang ditinggalkan Ustaz. Perdu utamanya, konteks guru dengan muridnya adalah tidak boleh dipisahkan. Itulah kefahaman yang disaran Ustaz.

Oleh itu, dalam tulisan ini, saya akan membincangkan kepentingan hubungan tersebut dalam konteks persilatan SC seperti mana yang diceritakan Ustaz. Sekali lagi saya tegaskan bahawa isi perbincangan saya adalah berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz. Semoga penulisan ini akan dapat dijadikan penambahan ilmu pada pemikiran kita sebagai pengikut Ustaz Hanafi yang meneruskan warisannya kepada pewaris SC yang sah, En Mat Radzi.

Berdasarkan kesimpulan pada percakapan Ustaz, ungkapan tersebut mengiaskan hubungan guru dan anak muridnya dengan kepala keretapi bersama dengan gerabak yang ditariknya. Pada dasarnya tanpa kepala keretapi, gerabak tidak akan bergerak atas landasannya. Sebaliknya, gerabak perlu merelakan ‘dirinya’ ditarik kepala keretapi dan mengikut sepenuhnya akan hala tuju dan kelajuan kepala keretapi itu sendiri. Jika kepala keretapi bergerak enam puluh kilometer satu jam maka gerabak itu juga akan bergerak atas kelajuan yang sama. Tidak lebih dan tidak kurang. Tidak ada istilah ‘setuju atau tidak setuju’ untuk bergerak setelah ada ‘ikatan’ antara gerabak dengan kepala keretapi tersebut.

Jika kepala keretapi rosak dan tidak bergerak maka keseluruhan gerabak itu juga akan berkeadaan sedemikian. Hal yang demikian membawa makna betapa besarnya peranan kepala keretapi. Tentunya peranan kepala keretapi adalah berbeza dengan peranan gerabak keretapi. Kalau gerabak keretapi rosak dan tidak boleh diguna pakai lagi maka gerabak itu akan diganti. Tidak boleh barada lagi bersama gerabak yang lain atas landasan yang sama. Boleh menganggu perjalanan. Itulah prinsip kaitan antara kepala keretapi dengan gerabak yang dibawanya.

Dalam konteks persilatan dan persatuan Silat Cekak, huraian Ustaz adalah mudah kami fahami. Seperti yang saya katakan, konsep persilatan dan persatuan adalah tidak boleh dipisahkan. Malah, persatuan adalah merupakan alat kepada perkembangan persilatan. Oleh itu, perbincangan saya tentang peranan guru dalam persilatan SC adalah merujuk peranan guru dalam persilatan dan persatuan. Ungkapan di atas adalah melambangkan konsep pertalian hubungan antara guru dan muridnya dalam persilatan dan persatuan. Konsep hubungan itu juga adalah merupakan asas penting penglibatan seseorang dalam persilatan Silat Cekak. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: