RSS

61.9.4. KENALI SILAT CEKAK – HABUAN SESAK.

01 Aug

Saya perlu tegaskan bahawa pegangan saya tentang ilmu tepisan pada tongkat panjang adalah berbentuk petua; bukannya pelajaran dan tidak perlu buat pertunjukan. Itulah pegangan saya sejak dulu lagi. Ketika mengendalikan kelas di cawangan, saya terus mempertahankan pendapat itu berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz. Oleh itu, semua perbincangan dalam tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman lalu. Cuma, baru ketika ini saya kemukakan pendapat saya secara umum untuk menambah pengetahuan pembaca.

Seperti yang saya tegaskan, walaupun tepisan tongkat panjang telah dijadikan pelajaran, saya tidak pernah menjadikan pelajaran itu sebagai pelajaran dalam kelas atau sebagai persembahan SC di cawangan saya. Lagi pun, tidak ada dalam kalangan anak didik saya yang pandai bermain tongkat panjang. Setakat pukulan biasa, kurang menarik. Tidak ada keistimewaan persembahan. Saya sendiri tidak berminat dengan bentuk persembahan tongkat panjang. Sekurang-kurangnya saya menghormati rakan saya yang memberi ilmu tentang tongkat panjang hingga kami memperoleh petua bagi menghadapi serangan senjata tersebut.

Pegangan sedemikan adalah kerana saya faham akan asal usul ilmu tersebut. Ilmu petua. Kalau ilmu bertaraf petua, lebih baik dirahsiakan dalam kalangan ahli. Pengetahuan petua adalah khas untuk penuntut SC sahaja sama ada berdasarkan keperluan individu atau keperluan kumpulan. Tidak sesuai dipertontonkan kepada orang ramai.

Walau bagaimanapun, ketika saya mengepalai pusat latihan di Universiti Malaya, kami pernah mengadakan persembahan SC menghadapi serangan tongkat panjang. Konsep persembahan tersebut ialah kebolehan SC mengatasi serangan tongkat panjang berdasarkan kaedah yang sedia ada dalam SC. Konsep surat dan posmen tetap menjadi perdu utama. Oleh itu, saya dan rakan mahir dalam silat tongkat itu telah bersetuju untuk menyusun corak serangan yang sesuai dengan kaedah SC. Kaedah yang diambil lebih banyak berdasarkan kaedah gelek.

Kalau merujuk pada tulisan saya yang lalu, pelajaran kaedah gelek banyak diguna pakai pada buah-buah keputusan dari persilatan lain. Oleh itu, saya aplikasikan kaedah tersebut dengan bentuk serangan yang dilakukan oleh pasangan saya itu. Terpaksa berpakat supaya serangan tongkatnya tidak akan melibatkan keperluan tepisan pada tongkat. Hal yang demikian kerana pegangan saya adalah jelas dan tetap. Tepisan pada tongkat adalah ilmu petua yang tidak boleh dipertontonkan pada orang ramai. Rahsia Silat Cekak.

Sepanjang pengetahuan saya, kamilah pasangan yang mula-mula sekali membuat persembahan tongkat panjang dalam sejarah pertunjukan SC. Ketika itu pasukan dari ibu pejabat pun tak ada idea lagi untuk berbuat sedemikian. Kami berupaya membuat persembahan kerana ada guru silat tongkat panjang yang belajar bersama saya. Idea datang daripadanya. Setelah kawan saya itu menamatkan pengajian maka tidak adalah lagi persembahan tongkat panjang dari pusat latihan yang saya ketuai.

Saya lampirkan bersama dua keping gambar semasa kami membuat persembahan tongkat panjang sekitar tahun 1976. Kami pun baru tamat. Umur saya sekitar dua puluh dua tahun. Gerak kepantasan tetap ada. Namun begitu, ketepatan mengambil buat mungkin ada sedikit kelemahannya.

Dalam tulisan seterusnya, saya ingin berkongsi pengalaman tentang punca timbulnya persembahan tongkat panjang dari pusat latihan Universiti Malaya. Banyak kenangan manis yang berkaitan dengan persembahan tongkat panjang.

Setelah tamat SC, kami mempunyai perasaan bangga pada kelas kami sendiri. Pertamanya, kelas kamilah merupakan kelas pertama bertapaknya SC di pusat pengajian tinggi. Tidak hairanlah pada pandangan saya, Ustaz memberi perhatian berat dalam kelas kami itu. Keduanya, kami berasa bangga kerana Ustaz sendiri yang mengendalikan kelas latihan SC dengan dibantu Jurulatih kanannya. Ketiganya, Ustaz memuji para penuntut kelas saya yang mempunyai keunikan ketika belajar SC. Banyak persoalan silat yang sering kami timbulkan. Ustaz melayan kesemua persoalan kami hingga kadang kala banyak masa diuntukkan memberi penerangan dan penjelasan daripada latihan silat.

Seperti yang pernah saya tulis, tindak tanduk kami itu mungkin tidak menyenangkan Ustaz. Banyak masa ‘terbuang’ berbanding dengan keperluan latihan. Maka diperkenalkan latihan secara barisan. Sebelum itu, kami bebas berlatih. Tak ada barisan. Bila ada barisan maka kuranglah bercakap. Kena ikut arahan berlatih secara berpandu.

Sifat ‘bangga’ pada kelas kami itulah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk menonjolkan kebolehan kami sendiri ketika membuat persembahan di Univerisiti Malaya. Tidak kiralah dalam majlis mencari ahli-ahli baru atau untuk membuat persembahan atas jemputan yang tertentu. Maknanya, setiap persembahan di Univerisiti Malaya, kami sendiri yang melakukan persembahan. Tidak melibatkan ahli dari pusat. Tugas saya selaku ketua ketika itu ialah meminta izin dan restu dari Ustaz. Sebagai pemulaan, bentuk pertunjukan SC kami telah dipertontonkan pada Ustaz terlebih dahulu. Persetujuan Ustaz umpama pemberian lesen untuk kebebasan kami mengadakan pertunjukan seterusnya. Ustaz menaruh kepercayaan pada persembahan kami. Saya ‘kontrak’ bab senjata. Mereka yang lain ditetapkan pada satu-satu persembahan yang tertentu.

Atas sifat ingin membuktikan kehebatan, kami perlu membuat pertunjukan yang istimewa. Maka lahirlah idea dari sahabat saya supaya memasukkan satu persembahan cara mengatasi serangan tongkat panjang. Kami berbincang tentang bentuk serangan agar menepati kaedah yang sedia ada dalam pelajaran SC. Konsep petua mengatasi serangan tongkat panjang tidak perlu dipertontonkan. Seperti yang saya tegaskan, kaedah menghadapi serangan tongkat panjang adalah berdasarkan kaedah yang sedia ada. Konsep surat dan posmen tetap dipertahankan. Ilmu petua tentang cara menghadapi serangan tongkat panjang tetap merupakan satu rahsia dalam kalangan ahli sahaja.

Perbincangan tentang persembahan tongkat panjang adalah perlu kerana penggunaan senjata panjang tidak ada dalam pelajaran kami. Bentuk persembahan tongkat panjang adalah berdasarkan tari sebenar silat tongkat panjang. Sungguh menarik kerana ditarikan oleh pengamal persilatan berkenaan. Persembahan kami itu mendapat perhatian ramai. Itulah sejarah persembahan tongkat panjang yang kami cipta buat pertama kalinya. Selepas itu, tidak ada lagi persembahan sedemikian.

Seperti yang dikatakan, saya tidak berminat dengan persembahan tongkat panjang. Kena berpakat persembahan bagi mengelak melakukan kaedah ‘petua sesak’ dalam gerak persembahan berkenaan. Petua Ustaz yang diberi tempoh hari, saya simpan dalam perhatian dan hanya diterangkan pada anak didik yang bertanya. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menjadikan petua tersebut sebagai pelajaran dalam kelas. Samalah juga dengan petua serbuk lada yang diberi Ustaz.

Nampaknya serangan tongkat panjang telah mula dijadikan pelajaran ketika zaman PA. Ilmu tersebut yang berupa petua pada mulanya telah dijadikan pelajaran dan pertunjukan. Itulah salah satu daya usaha yang dilakukan oleh pakar penyelaras yang sering membelakangkan Guru utama. PA sendiri menegaskan bahawa pembelajaran yang meluas dalam kalangan ahli itu adalah di luar dari pengetahuannya.

Maknanya, petua yang berguna untuk habuan sesak telah dijadikan pelajaran biasa. Tidak sesak lagi. Hal yang yang demikian tentunya bertentangan dengan konsep habuan sesak. Oleh sebab timbul keperluan pakar penyelaras untuk menjadikan petua itu sebagai pelajaran maka tidak hairanlah konsep surat dan posmen telah berubah tafsiran. Surat tidak lagi dianggap senjata melainkan surat dan posmen adalah merupakan unsur yang sama. Surat ialah penumbuk dan posmen ialah siku. Haru biru.

Kesimpulannya, perbincangan saya di atas telah menekankan hubung kait antara petua dengan situasi habuan sesak. Petua adalah merupakan ilmu yang sangat berguna ketika kita berada dalam keadaan sesak. Kalau berhadapan dengan situasi yang mendesak, maka bertindaklah berdasarkan kebolehan bersilat yang seadanya. Guna akal fikiran. Bertenang.

Ada dalam kalangan penuntut yang suka menimbulkan persoalan berdasarkan jangkaan. Maka banyaklah persoalan yang dikemukakan dengan menggunakan istilah ‘kalau’ pada pemulaan ayat. Oleh itu, jawablah seadanya. Misalnya, kalau diserang lawan, tengok dulu apa yang ada di hadapan kita. Kalau ada batu, apa salahnya batu itu dibaling pada lawan kita sebagai mukadimah menghadapi lawan. Ada juga yang membuat petua secara melawak. ‘Ludah dulu ke muka lawan. Ketika ludah kita ‘ditepis’, lakukan tindakan’. Atau, berilah jawapan yang sesuai dengan makna ‘kalau’.

Terkenang kelas umum yang saya hadir di ITM. Kelas itu merupakan kumpulan pertama penuntut ITM yang mempelajari SC. Para penuntutnya juga bersifat kreatif dan kritis. Timbul juga persoalan. “Bagaimana kita menghadapi serangan kalau kita sedang berbaring.” Saya tidak menjawab persoalan tersebut. Sebaliknya, mereka sendiri yang mereka gerak untuk menangkis serangan secara berbaring berdasarkan kaedah SC yang sedia ada. Logik geraknya. Masih berdasarkan konsep dan prinsip persilatan SC.

Nasib baik juga pengetahuan tentang menangkis serangan secara berbaring tidak diketahui oleh pakar penyelaras. Kalau mereka tahu, tentu telah dijadikan pelajaran dalam senarai buah umum. Pelajaran menghadapi serangan secara berdiri telah sedia ada. Secara duduk pun telah ada. Cuma, cara berbaring belum ada. Nasib baik. Nasib baik. Nasib baik tak jadi pelajaran. Sekian untuk tajuk ini.

20130801-051645.jpg

20130801-051725.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 01/08/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: