RSS

61.9.3. KENALI SILAT CEKAK – HABUAN SESAK.

28 Jul

Dalam tulisan lalu, saya mengakhiri perbincangan dengan kenyataan pendapat bahawa ilmu petua tidak perlu dipertontonkan kepada umum. Itu adalah hak individu atau hak kumpulan atau hak penuntut SC sahaja. Orang luar tidak perlu mengetahuinya. Rahsia kita sahaja. Keistimewaan silat kita. Kelebihan silat kita. Keluarbiasaan silat kita.

Untuk memahami maksud saya itu, kita boleh bandingkan dengan hasil masakan. Katakan masakan nasi beriani. Kegemaran saya. Ramai tukang masak boleh buat nasi beriani. Akan tetapi, rasanya tak setanding dengan beriani Kampung Pelet. Berdasarkan cita rasa saya. Kalau ditanya tentang kelebihan beriani itu, tentu ada jawapannya. “Ada petuanya”. Mana mungkin petua itu diberitahu pada orang lain atau ditunjukkan cara membuatnya pada orang ramai. Habislah keistimewaan nasi beriani itu. Begitulah kuatnya rahsia ilmu petua yang ada.

Malah, saya pernah terbaca resepi masakan keluarga yang terhad sebaran ilmu pengetahuan mengenainya. Mungkin bahan campurannya diketuai umum. Namun begitu, cara mencampurkan bahan itu, bukan semua ahli keluarga berpengetahuan berbuat demikian. Ada rahsia dalam pemprosesan bahan resepi tersebut. Rahsia itulah juga dinamakan sebagai petua dalam penyediaan masakan itu. Contoh yang saya bincangkan, dapat dikaitkan dengan kefahaman kita tentang konsep petua dalam persilatan SC.

Perbincangan saya seterusnya adalah berdasarkan satu lagi pengalaman saya, berkaitan dengan petua penggunaan senjata panjang. Saya merujuk pada tongkat panjang. Saya mempunyai pengalaman tersendiri dalam prinsip menghadapi serangan tongkat panjang tersebut. Pengalaman itu menjadi pegangan saya dari dulu hingga sekarang. Tidak berubah.

Pengalaman tersebut bermula ketika saya belajar SC di peringkat awal penglibatan di pusat latihan Universiti Malaya. Saya pernah menceritakan betapa kumpulan yang belajar bersama saya dalam satu kelas SC adalah terdiri dari pelbagai latar belakang umur dan latar belakang persilatan. Ramai yang telah berumur. Ada pula dalam kalangan mereka yang bergelar guru silat.

Salah seorang daripada guru silat itu ialah guru silat tongkat panjang. Orang Terengganu. Saya tidak pasti umurnya. Yang pastinya, dia sudah berumur. Kalau tak silap, beliau adalah bekas guru sekolah yang melanjutkan pengajian di universiti. Kalau umur saya sekarang sudah melebihi enam puluh tahun, pasti ketika ini umurnya melebihi tujuh puluh tahun. Namun begitu, saya tidak lagi berjumpa dengannya selepas tamat pengajian.

Ketika bergaul dengannya, itulah pertama kali saya mengetahui tentang silat tongkat panjang. Baru saya sedar bahawa ada persilatan Melayu yang khusus bermain tongkat panjang. Hasil perbincangan dengan beliau, saya berpengetahuan tentang gerak tari silatnya termasuk gerak serangan tongkat panjang. Ketika tamat, kalau tak salah saya, beliau juga sepatutnya ‘bertry’. Tapi tak jadi berbuat demikian. Mungkin ada alasannya yang tersendiri.

Sahabat saya itu sering menceritakan tentang kelebihan silat tongkat panjangnya pada saya. Walaupun saya tidak menunjukkan minat tentang corak serangan tongkat panjangnya, dalam hati kecil tetap timbul perasaan ingin tahu tentang keupayaan persilatan berkenaan. Timbul persoalan dalam diri saya tentang cara SC menghadapi serangan senjata panjang.

Semasa saya belajar SC, dari mula pelajaran hingga pelajaran umum, tidak ada langsung pelajaran tentang serangan senjata panjang terutamanya tongkat panjang. Kami pun tidak banyak menimbulkan persoalan kerana dari segi penggunaannya adalah terhad. Tidak popular dalam pergaduhan. Hanya sekali-sekali kedengaran para perompak menggunakan senjata panjang iaitu pedang samurai. Kalau ada yang membawa tongkat panjang, kegunaannya hanya untuk ‘menampung’ badan. Penggunanya pun sudah tua. Lemah merata-rata. Oleh itu, desakan untuk mengetahui cara-cara mengatasi serangan senjata panjang tidak timbul langsung secara mendesak ketika itu.

Tambahan pula falsafah persilatan SC adalah menghadapi serangan senjata pendek. Konsep surat dan posmen adalah menjadi dasar utama. Kefahaman kami jelas. Pada kami, itulah salah satu kelebihan SC. Bukannya kelemahan. Pelajarannya adalah berfokus. Maknanya, senjata pendek adalah menjadi keutamaan pelajaran. Lebih praktikal untuk dipelajari penuntut SC. Habuan diri, bukannya habuan hiburan umum.

Walau bagaimanapun, akibat bergaul dengan ahli yang mahir tentang penggunaan tongkat panjang maka timbul persoalan dalam pemikiran. Saya telah diajukan persoalan menghadapi serangan tongkat panjang pada Ustaz. ‘Bagaimana SC menghadapi serangan senjata panjang, khasnya tongkat panjang’. Ustaz menjawab persoalan saya.

Dalam penerangan Ustaz itulah maka lahirnya petua menghadapi serangan tongkat panjang dalam situasi ‘Habuan Sesak’. Konsep habuan sesak telah dihuraikan Ustaz seperti mana yang saya tulis dalam awal tulisan. Ustazlah yang memberi contoh tentang situasi isteri sakit untuk melahirkan anak. Beberapa peraturan perlu dilanggar; tetapi dalam keadaan keselamatan diri tetap dijaga.

Dalam keadaan terdesak dan dalam situasi keperluan individu untuk merungkai kekusutan yang dihadapi ketika itu maka prinsip menghalang surat boleh dilakukan. Maknanya, ilmu petua itu membolehkan tongkat panjang ditepis terlebih dahulu. Hal yang demikian, konsep surat dan posmen boleh disanggah. Dasarnya ialah dalam keadaan terdesak atau dalam keadaan sesak. Namun begitu, keselamatan diri tetap diberi keutamaan. Tepisan pada tongkat itu tidaklah dilakukan sebarangan. Sekadar menyelamatkan diri dalam situasi yang ‘tegang’ ketika itu sahaja. Bukan pelajaran, tapi petua.

Walaupun Ustaz telah memberi petua menepis tongkat dalam keadaan terdesak, ilmu mengenainya itu tidak pulak dijadikan amalan dalam pembelajaran. Kalau menjadi pelajaran bermakna ilmu tersebut mesti dipelajari penuntut. Sepanjang saya bersama Ustaz semasa berada di kelas pusat, tidak ada langsung pelajaran tongkat panjang. Banyak kelas umum yang saya kendalikan di pusat, tidak langsung menyentuh pelajaran menepis tongkat panjang sebagai pelajaran. Malah, semasa majlis pelarasan bersama Ustaz, pelajaran tongkat panjang tidak langsung diberi keutamaan. Tak masuk langsung dalam perbincangan.

Pada saya, pelajaran menepis tongkat panjang tidak dijadikan pelajaran kerana taraf ilmu tepisan senjata tersebut adalah sebagai ilmu petua ketika terdesak. Bukan bertaraf pelajaran SC. Oleh itu, pembelajaran tongkat panjang dalam kelas-kelas latihan secara umum adalah tidak sesuai dengan falsafah persilatan Silat Cekak.

Ketika saya berada di Cawangan, baru terdengar akan gerak tepisan tongkat panjang telah dijadikan pelajaran. Itupun apabila ada penuntut dari UIA yang menyertai SC di cawangan saya. Baru saya sedar ilmu petua menepis tongkat panjang telah dijadikan bahan pelajaran. Walau bagaimanapun, saya tidak berminat menjadikan tepisan tongkat panjang sebagai pelajaran dan masih kekal dengan kefahaman saya seadanya dari dulu hingga sekarang.

Ketika saya mengendalikan kelas SC, kefahaman sedia ada tetap dikekalkan. Terdapat beberapa alasan. Pertamanya, ketika saya belajar dan mengajar SC di pusat, pelajaran tongkat panjang tidak ada. Malah, ketika majlis pelarasan antara Jurulatih SC bersama Ustaz, pelajaran itu tidak timbul langsung. Maknanya, pelajaran menepis tongkat panjang adalah merupakan pelajaran baru. Walau bagaimanapun, petua mengenainya telah lama ada dalam SC. Saya berpengetahuan mengenainya sejak tahun 1976. Selepas satu dasawarsa, nampaknya ilmu petua yang sedia ada telah dijadikan satu mata pelajaran.

Keduanya, prinsip menepis tongkat adalah bercanggah dengan konsep surat dan posmen. Ketika itu kefahaman konsep surat dan posmen adalah tegas atas prinsip SC menghadapi serangan senjata pendek. Apabila berhadapan dengan senjata panjang maka barulah kefahaman konsep tersebut ‘dilembutkan’ dalam situasi mendesak atau terdesak. Habuan sesak. Ada caranya. Ada petuanya. Maknanya, tepisan tongkat panjang adalah merupakan petua dan bukannya pelajaran. Kalau bertaraf petua dan berlaku dalam keadaan terdesak maka peraturan yang sedia ada boleh terkecuali. Hanya ketika itu sahaja. Habuan sesak.

Itulah kefahaman yang saya tanam dalam kalangan anak didik saya sebelum wujudnya pelajaran tongkat panjang. Kalaulah saya jadikan tepisan tongkat panjang itu sebagai pelajaran dalam kelas di cawangan saya, nampak sangat cakap saya yang berubah. Tidak tetap pendirian. Tak ada pegangan. Orang lain boleh membuat kesimpulan dalam hati mereka kerana tak berani cakap. “Umpama lalang yang tidak ada haluan diri dan tidak tetap pegangannya”.

Saya pernah mengutarakan hal yang demikian pada Guru Utama zaman PA. Nampaknya, PA sendiri tidak pasti macam mana tepisan tongkat panjang boleh dijadikan pelajaran dan dibuat persembahan. Maknanya ilmu yang selama ini bertaraf petua telah dinaik taraf atau diturun taraf sebagai pelajaran. Boleh dipertontonkan kepada orang ramai.

Pada saya, kemungkinan hal yang demikian berlaku adalah kerana kepala angin pakar penyelaras. Pandai-pandai menjadikan tepisan tongkat panjang sebagai pelajaran. Konsep petua diketepikan. Nasib baik mereka tidak ada pengetahuan tentang penggunaan petua serbuk lada. Jika mereka tahu, tentunya hembusan serbuk lada akan dijadikan persembahan dan pelajaran dalam kelas. Maka ramailah penuntut SC yang bermata merah. Mata jin. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 28/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: