RSS

61.9.2. KENALI SILAT CEKAK – HABUAN SESAK.

25 Jul

Kita teruskan perbincangan mengenai contoh petua khusus yang diberi Ustaz apabila berlaku suasana terdesak. Suasana yang terdesak itu adalah berkaitan dengan satu-satu kejadian yang khusus dan memerlukan tindakan segera. Tindakan tersebut perlulah bernas, tepat dan sangat berkesan. Dalam tulisan seterusnya saya sambung kembali suasana dalam kejohanan Silat Oleharaga yang memberi habuan pada saya mendapatkan petua khusus bagi mengatasi situasi yang berlaku berkaitan kejohanan tersebut.

Kesilapan saya mengisytiharkan pemenang dalam pertandingan Silat Olahraga itu, telah menyebabkan timbul satu suasana yang tidak menyenangkan. ‘Ketenteraman saya mula terganggu’. Nampaknya, mereka tidak mampu untuk mengambil tindakan secara langsung pada diri saya. Mereka sedar bahawa persilatan yang saya ceburi juga adalah merupakan pesaing utama mereka.

Walau bagaimanapun ketika balik, saya sedar bahawa kereta yang saya tumpangi telah diekori kereta yang lain. Ketika itu saya berempat bersama rakan dari cawangan saya. Kami bermalam di ibu pejabat Jalan Putera. Ketika kami membelok ke pejabat SC, kami dapat perhatikan kereta itu turut berhenti di selekoh masuk pejabat silat dan kemudiannya belalu dari situ. Jelaslah pada kami bahawa kami telah diekori. Pastinya oleh pesilat dari persilatan berkenaan. Memang termaklum pada ketika itu bahawa persilatan tersebut sentiasa bersifat ‘samseng’. Menongkat dunia.

Esok paginya saya menceritakan peristiwa yang terjadi pada Ustaz. Sememangnya Ustaz juga tidur di pejabat silat. Ada sebuah bilik khas untuk Ustaz. Saya bertanyakan tindakan yang paling bekesan untuk menghadapi situasi itu jika berlaku serangan secara beramai. Di situlah lahirnya konsep petua dalam situasi yang mendesak. Habuan sesak. Ustaz menegaskan penggunaan serbuk lada. Mudah digunakan dan mudah disimpan dalam mana-mana ruang. Ketika diperlukan, keluarkan dan tiup. Pada masa habuknya berselerak dan mengganggu mata pendengki kita, maka ketika itulah kita bertindak.

Nampak macam, ‘tak ada apa-apa’ petua yang diberi Ustaz itu. Tersangat mudah. Namun begitu, saya tidak dapat mencuba kerana ‘ancaman’ mereka mulai reda apabila timbul ‘ketegangan’ yang lain pada malam berikutnya dalam kejohanan tersebut. Isu saya tenggelam dek kerana isu baru yang timbul dan melibatkan persilatan berkenaan. Maklumlah, kalau dah bersifat ‘samseng’, perlu sentiasa cari ‘pasal’. Oleh sebab tidak ada peristiwa buruk yang berlaku maka tinggalkan petua itu sebagai satu ilmu pada diri saya. Habuan untuk diri saya.

Rupa-rupanya petua tersebut sangat berkesan apabila saya mengaitkan dengan beberapa kejadian yang berlaku dalam negara kita. Saya pernah membaca berita yang tersiar dalam akhbar dan mendengar berita dalam TV tentang banduan di Pulau Pinang yang berjaya melepaskan diri secara menggunakan serbuk lada. Tertewas pasukan keselamatan yang menggunakan senjata.

Secara kebetulan juga, dalam tahun ini tersiar lagi berita tentang banduan yang berjaya melarikan diri secara menggunakan serbuk lada. Kalau peristiwa pertama saya hanya mengikuti berita, tetapi kali ini saya buat catatan. Peristiwa menarik yang berkaitan penggunaan serbuk lada.

Dalam berita Harian Metro 8 Mei 2013, telah diberitakan bahawa beberapa banduan telah melempar serbuk lada ke muka pegawai keselamatan dan berjaya melepaskan diri dari sebuah van. Kejayaan mereka melepaskan diri adalah kesan penggunaan serbuk lada yang mengakibatkan mata pegawai keselamatan tersebut berasa pedih dan penglihatan mereka kabur. Hal yang demikian telah memudahkan para banduan itu berjaya melarikan diri.

Saya tidak berminat dengan peristiwa banduan melarikan diri, melainkan tersangat minat dengan cara mereka melepaskan diri. Saya teringat akan petua yang pernah Ustaz beri. Penggunaan serbuk lada. Rupa-rupanya tersangat berkesan penggunaannya dalam suasana yang terdesak. Saya hubungkan dalam konteks persilatan. Setelah sekian lama, terbukti jelas pada saya akan keberkesanan petua yang diberi Ustaz. Jelaslah pada saya, sesuatu petua yang diberi oleh orang yang berilmu ada kesahannya dan kebolehpercayaan sifatnya.

Terbuktilah juga bahawa petua berperanan untuk memenuhi nasihat, memberi petunjuk atau panduan yang amat berguna dalam keadaan yang terdesak atau sesak. Pengunaan atau pelaksanaannya akan membolehkan kita mencapai sesuatu hasrat bagi mengatasi satu-satu situasi secara berkesan. Sebagai ‘penerima’, berilah kepercayaan sepenuhnya pada ilmu petua yang kita peroleh. Kadang kala kita mendapat petua tanpa boleh mempraktikkannya. Tak ada kesempatan. Walaupun sesuatu yang bersifat teori sekalipun, hakikatnya, teori telah menjadi teori hasil pelbagai percubaan yang telah ‘menjadi’. Hanya orang yang berpengalaman dan berilmu pegetahuan dapat mengahasilkan ilmu petua yang sangat berkesan.

Berdasarkan pengalaman, saya berpandangan bahawa ilmu petua khusus yang disampaikan Guru utama adalah dipengaruhi oleh dua faktor besar. Pertamanya ialah untuk keperluan individu. Maknanya, seseorang yang diberi petua oleh Guru Utama adalah hak individu itu sahaja. Secara ‘empat biji mata’. Orang lain tidak perlu akan petua tersebut. Oleh itu, petua yang diperoleh secara khusus oleh seseorang itu hanya untuk diri sendiri dan tidak ada hak atau tanggungjawab langsung baginya untuk membuat sebaran. Tarafnya ialah satu kerahsiaan besar. ‘Mahal’ harganya. Hanya Guru Utama yang berhak sepenuhnya untuk ‘’menurunkan’ petua itu. Ada ‘keberkatannya’.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu, ada juga kumpulan penuntut yang mendengar sama tentang petua yang disampaikan atas keperluan bagi individu tertentu. Maknanya, orang tertentu yang menimbulkan persoalan dan memperoleh petua, rakan-rakan lain yang turut berada di tempat itu akan memperoleh pengetahuan atau ilmu tentang petua berkenaan. Maka beruntunglah kumpulan itu. Biasanya kerahsiaan petua itu ‘kurang besar’. Samalah contohnya dengan petua tentang penggunaan serbuk lada seperti mana yang saya bincangkan terdahulu. Dalam hal ini, penyebaran petua jenis tersebut adalah bergantung pada mandat yang ada pada seseorang itu. Misalnya mandat sebagai wakil guru dalam penyampaian ilmu kepada anak didiknya sendiri.

Satu lagi keadaan yang mempengaruhi pemberian ilmu petua itu ialah bergantung pada situasi yang tertentu. Kita mentafsirkan situasi itu sebagai keperluan yang mendesak. Keperluan itu adalah merujuk kepada suatu situasi yang susah atau tersekat atau berada dalam situasi kekusutan untuk merungkai sesuatu perkara.
Berdasarkan huraian saya di atas, saya mengatakan bahawa ilmu petua adalah pelengkap kepada pelajaran Silat Cekak.

Oleh itu, kita perlu membezakan antara sistem pelajaran SC dan petua dalam pelajaran SC itu. Semua penuntut boleh membuat gerak-gerak yang ada dalam pelajaran SC. Walau bagaimanapun, untuk menguasai ketepatan dan ketangkasan gerak itu, ada caranya. Ada petuanya. Semua penuntut boleh melakukan tumbukan serang. Akan tetapi, bagi mencapai ke tahap ‘peluru berpandu’, ada caranya, ada petuanya. Semua orang boleh berjuang dalam medan ‘pertarungan’. Akan tetapi untuk lebih berkesan akan pertarungan tersebut, perlu ada caranya. Perlu ada petuanya. Kalau tidak ada petua, satu minit akan tertewas dalam medan perjuangan. Pasangan kita pun boleh baca peper. Relax.

Saya berpendapat, ilmu petua tidak perlu dipertontonkan kepada umum. Itu adalah hak individu atau hak kumpulan atau hak penuntut SC sahaja. Orang luar tidak perlu mengetahuinya. Rahsia kita sahaja. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: