RSS

61.9.1. KENALI SILAT CEKAK – HABUAN SESAK.

21 Jul

Gerak-gerak yang ada dalam SC bukanlah jenis gerak khayalan. Gerak kita tidak berpakat. Hal yang demikian kerana kita mempunyai sistem yang tersusun rapi. Kalau disuruh membuat persembahan secara sepontan, kita masih berupaya melakukannya.

Saya pernah menulis betapa kami dikunjungi seorang duta dari luar negara. Dikatakan dari Perancis. Ketika itu para Jurulatih sedang membuat latihan kemahiran. Kehadiran duta itu adalah di luar jangkaan dan kami tetap memberi sambutan. Ketika itu Ustaz sendiri yang mengendalikan latihan. Oleh sebab kedatangannya kerana ingin menyaksikan persembahan SC maka terpaksalah kami membuat persembahan secara sepontan. Tak ada susunan buah dan tidak ada susunan persembahan. Semuanya bergantung pada penerangan dan kehendak Ustaz yang juga dilakukan secara sepontan.

Kebolehan kita melakukan persembahan secara sepontan adalah kerana bentuk persembahan SC tidak jauh bezanya dengan latihan silat dalam kelas. Itu sebabnya kita boleh mengatakan bahawa gerak yang ada dalam SC adalah merupakan gerak yang berpijak di bumi nyata. Gerak kita bukan gerak khayalan, melainkan gerak kenyataan.

Bagi melengkapkan ilmu pada diri para penuntut SC, kita ada pelajaran petua. Pada pandangan saya, pelajaran petua diberi kepada para penuntut berdasarkan dua situasi. Pertamanya ialah petua yang diberi secara umum. Semua penuntut dapat. Biasanya petua tersebut adalah berkaitan dengan gerak persilatan. Misalnya, petua pukulan sejengkal. Satu situasi lagi ialah petua khusus yang diberi pada para penuntut yang terpilih. Kriteria atau asas pertimbangan pemilihan penuntut adalah berdasarkan kehendak Guru Utama. Maknanya, bukan semua penuntut akan memperoleh petua yang sama dari Guru Utama. Mengikut ‘habuan’ masing-masing.

Biasanya, petua umum yang berkaitan dengan pergerakan silat diberi kepada para penuntut selepas majlis ijazah. Contohnya, selepas ijazah pertama, para penuntut diberi petua tentang sepak kaki dan latihan tangan. Selepas ijazah kedua, ada petua pelari pisau. Manakala selepas ijazah ketiga ada petua ‘pukulan sejengkal’.

Petua tersebut diberi Guru Utama dari masa ke masa mengikut tuntutan keperluan. Pada masa itu pemberian petua tidak diberi secara formal. Maknanya, tak ada satu majlis khas untuk menurunkan petua. Mungkin hal yang demikian tentunya berbeza dengan suasana sekarang. Sepanjang pengetahuan saya, majlis petua secara rasmi itu telah bermula dari zaman PA. Seperti yang dikatakan, petua adalah hak guru. Oleh itu, terpulanglah pada Guru Utama untuk menentukan pemilihan masa yang difikirkannya sesuai. Guru Utama juga adalah berhak menentukan cara pemberian petua dan menentukan keperluan petua pada individu dan kesesuaian masa.

Apa pun cara, saya berpendapat bahawa petua adalah juga merupakan pelengkap ilmu persilatan Silat Cekak. Saya pernah menulis tentang petua dalam persilatan SC dalam satu tajuk khusus.

Dari segi istilah, petua adalah bermakna nasihat, petunjuk atau panduan yang amat berguna tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu dengan berkesan. Pastinya petua itu diberi oleh orang-orang yang sangat berpengalaman dalam satu-satu bidang. Dalam konteks persilatan, orang yang berpengalaman itu adalah merujuk pada Guru Utama. Hal yang demikian menunjukkan bahawa orang-orang lain dalam persilatan SC adalah tidak berhak menurunkan ilmu petua yang berkaitan dengan bidang persilatan.

Ilmu petua yang ada dalam pesilatan kita boleh ‘membuka luas’ pemikiran kita dalam gerak persilatan. Hal yang demikian juga akan membolehkan fikiran kita tidak terkongkong atau dalam keadaan pemikiran yang jumud, beku atau kaku. Oleh itu, kita boleh membanding dan membezakan antara petua dengan pelajaran yang sedia ada dalam pelajaran Silat Cekak.

Falsafah di sebalik konsep petua, ada kaitannya dengan konsep habuan sesak apabila kita menghadapi satu-satu situasi yang mendesak. Ketika terdesak, cara penyelesaiannya juga perlulah secara berkesan. Ketika itu kita tidak ada masa lagi untuk berfikir panjang. Pelajaran silat telah ada pada kita. Cuma, dari segi aplikasi, gerak silat itu memerlukan ketepatan dan kepantasan tindakan. Di situlah konsep petua turut memainkan peranan yang amat penting bagi menghadapi suasana yang terdesak itu.

Dalam tulisan ini, saya ingin memberi dua contoh pengalaman saya yang berkait dengan ungkapan habuan sesak. Pertamanya ialah petua menghadapi serangan secara beramai dan keduanya ialah petua menghadapi serangan senjata panjang. Bacalah bagi menambahkan pengetahuan dan pengalaman.

Petua pertama ada kaitannya dengan Silat Olahraga. Saya masih teringat atas satu pengalaman yang sangat menarik berkaitan dengan pertandingan Silat Olahraga peringkat kebangsaan. Pertandingan itu telah diadakan dalam tahun 1984. Itulah pertama kalinya pertandingan Silat Olahraga diadakan di peringkat tersebut. Semua persatuan silat di peringkat negeri telah menyertainya, termasuk empat persatuan silat yang berdaftar di peringkat kebangsaan. Termasuklah Persatuan Silat Cekak. Saya telah lupa tempat pertandingan tersebut. Walau bagaimanapun, dalam pertandingan itu, saya telah dilantik sebagai Ketua Pengadil dalam salah satu gelanggang pertandingan.

Ketika saya mengendalikan pertandingan, kebetulan pesilat yang bertanding ialah pesilat dari Persatuan Silat Cekak dan lawannya ialah pesilat dari salah satu persatuan silat lain yang terkenal juga di peringkat kebangsaan. Kebetulan juga ketika itu di gelanggang sebelah ialah pertandingan antara pesilat dari cawangan saya dengan pesilat dari Gayung Patani.

Suasana yang ada ketika itu menyebabkan saya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam gelanggang yang saya kendalikan. Mata di gelanggang sendiri manakala pendengaran sekali-sekali tertumpu di gelanggang sebelah. Hal yang demikian menyebabkan pemikiran menjadi celaru. Ketika mengumumkan keputusan pertandingan, saya telah tersilap membuat pengumuman dengan mengumumkan pesilat lain sebagai pemenang berdasarkan pengenalan sudut warna.

Kesilapan saya segera disedari kerana sudut warna pesilat yang saya isytiharkan sebagai pemenang tidak sama dengan bendera warna yang diangkat juri. Maka dengan segera saya membetulkan pengumuman dengan mengisytiharkan pemenang di sudut warna yang sebenar. Hal yang demikian menyebabkan pesilat dari Persatuan Silat Cekak yang pada mulanya telah diisytiharkan tewas, telah diisytiharkan semula sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut. Maknanya, pesilat dari pesilatan lain yang diisytiharkan sebagai pemenang, telah ‘ditarik’ balik pengisytiharan kemenangan tersebut.

Pada mulanya kesilapan saya itu nampaknya semakin reda. Semua pihak dapat menerima situasi itu kerana keputusan muktamat adalah di tangan juri. Tugas saya hanyalah mengisytiharkan pemenang. Rupa-rupanya tindakan saya itu tidak memuaskan hati persilatan yang kalah setelah mereka mengetahui bahawa saya juga adalah dari perguruan Silat Cekak. Perasaan marah mereka kembali membara.

Mereka mendakwa bahawa kesilapan saya itu adalah disengajakan untuk merendahkan maruah persilatan mereka. Peristiwa kecil telah menjadi besar. Mahaguru merekapun turut melenting. Mereka menuntut supaya saya memohon maaf secara rasmi. Walau bagaimanapun, saya tetap enggan berbuat demikian kerana saya telah memohon maaf ketika pengisytiharan keputusan pertandingan bagi kali kedua.

Sebenarnya suasana keseluruhan pertandingan ketika itu adalah tersangat ‘panas’ antara persilatan kita dengan persilatan mereka. Tidak hairanlah juga pada satu malam yang tertentu, Ustaz sendiri memakai jaket melambangkan kita juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam tulisan yang terdahulu saya pernah menceritakan tentang pertandingan Silat Olahraga tersebut. Suasana yang ada dalam pertandingan tersebut telah menyebabkan persatuan SC berasa tawar untuk melibatkan diri dalam pertandingan Silat Olahraga seterusnya. Ustaz tidak membenarkan SC masuk bertanding. Namun begitu, Ustaz tidak melarang penglibatan ahli untuk menganjurkan pertandingan.

Berdasarkan pengetahuan saya, ketika itu hubungan persatuan silat kita dengan persatuan silat itu adalah tidak baik. Hal yang demikian tidak menghairankan kerana hubungan yang tidak baik itu ada sejarah hitamnya.

Terdapat dua peristiwa yang mengeruhkan hubungan kita dengan persilatan berkenaan. Pertamanya ialah sejarah untuk berentap dengan mereka secara kemenangan berdasarkan patah, pengsan atau mati. Walau bagaimanapun, peristiwa itu tidak berlaku akibat permit yang ditarik balik pada saat-saat akhir. Keduanya ialah peristiwa persilatan berkenaan yang bersekongkol dengan pesaing persilatan kita untuk menjatuhkan SC dalam satu persidangan. Walau bagaimanapun, usaha mereka itu turut gagal akibat kecerdikan Ustaz menangani perbuatan tersebut.

Kedua-dua peristiwa itu telah menyebabkan hubungan kita dengan persilatan itu semakin renggang. Cuma, ketika ini ada cabang persilatan Silat Cekak yang mula berbaik dengan mereka apabila guru utama persilatan SC tersebut adalah sepusat sepusing dengan mahaguru persilatan tersebut. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 21/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: