RSS

61.9.0. KENALI SILAT CEKAK – HABUAN SESAK.

18 Jul

Dalam tulisan-tulisan yang lalu, saya telah membuktikan betapa SC adalah kaya dengan sifat ketertiban dalam gerak persilatannya. Terdapat peraturan-peraturan tertentu dalam gerak SC. Maknanya, gerak SC adalah bersistem. Konsep sistem itu meliputi bidang seni pertahanan dan seni serangan. Para penuntut telah difahamkan akan kelebihan kedua-dua sistem itu dengan pembuktian yang nyata dalam pelajaran selama ‘enam bulan’. Setelah tamat pelajaran, terbuktilah kebenaran gerak yang diperoleh mereka. Boleh digunakan untuk menjaga diri.

Atas sifat ketertiban dan berperaturan gerak itulah maka lahir beberapa ungkapan yang menggambarkan falsafah, konsep dan prinsip Silat Cekak. Misalnya, ungkapan gerak tangan di tangan, gerak kaki di kaki. Kaki dan tangan mempunyai peranan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, peranan tersebut silih berganti apabila serangan yang dilakukan tidak mengikut adab. Ada sifat kekecualiannya berdasarkan peraturan yang ada itu.

Begitu juga dengan ungkapan badan umpama raja. Dua tangan dan dua kaki ada peranan atau tugas tersendiri. Atas prinsip peranan tangan dan kakilah maka badan boleh diumpamakan sebagai raja. Sebaliknya, atas sifat badan umpama raja juga maka tangan dan kaki perlu bertanggungjawab menjaga rajanya. Hal yang demikian menjurus kepada pembuktian betapa SC tidak mengelak ke kiri atau ke kanan. Tidak ada keperluan langsung gerak mengelak atau perbuatan langkah-melangkah dalam persilatan SC.

Walau bagaimanapun, badan tidak statik begitu saja sepanjang masa. Ikut situasi yang tertentu. Apabila pesilat menggunakan kaedah gelek, terdapat sedikit gerak badan. Namun begitu gerak tersebut tetap tidak dianggap mengelak kerana badan masih berada dalam posisi yang sama. Cuma, badan bergerak bagi membantu kaedah tetap SC yang ada.

Samalah juga dengan ungkapan berkaitan surat dan posmen. Para penuntut telah dididik cara mengatasi serangan senjata-senjata pendek. Ada cara yang tersendiri. Keyakinan diri pesilat dipupuk dengan mengkiaskan konsep senjata sebagai surat, tangan yang menghantar senjata sebagai posmen. Sekat posmen maka terbantutlah ketibaan surat. Walau bagaimanapun, mungkin dalam keadaan-keadaan tertentu, posmen sukar disekat. ‘Pakai motor berkuasa tinggi’. Ataupun mungkin surat tidak lagi dihantar posmen. ‘Guna email’. Apapun situasinya, persilatan SC tetap berupaya menghadapi sebarang kemungkinan atau sebarang perubahan yang berlaku. Sesungguhnya, Silat Cekak adalah sesuai sepanjang zaman. Geraknya sentiasa ‘hidup’ atas sifat kemudahlenturan dalam sistem geraknya.

Pada dasarnya, konsep pembelajaran SC menyimpulkan pelakuan gerak yang menjurus kepada sifat menang. Maknanya, penuntut SC ditanam dengan kefahaman bahawa persilatan SC mampu untuk mengatasi gerak silat lain. Kalau kita menunggu serangan maka kita berupaya menghalang serangan tersebut. Jika kita menyerang, memberi makna bahawa serangan kita itu akan membawa sifat keberkesanan. Malah, para penuntut SC ditanam dengan sifat yakin bahawa habis ‘koman’ pun kita akan seri dalam pergaduhan.

Dalam proses mencapai kemenangan pun, kita tetap ada peraturan. Seperti yang saya tegaskan terdahulu, walaupun sifat kita sedemikian rupa, kita tidak mengizinkan lawan kita ‘membuli’ diri kita. Mereka juga perlu beradab. Maknanya, kalau mereka menyerang pun, perlu beradab. Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan gerak pesilat SC akan menjadi luar dari kebiasaan. Habuan sesak. Prinsipnya ialah menang.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, istilah ‘kalau’ kerap kali diguna pakai. Tidak kiralah penggunaannya oleh pihak pesilat atau pun pihak Jurulatih. Kerap kali juga istilah itu dilambangkan dengan istilah-istilah lain yang sama maksudnya seperti ‘seandainya’ dan ‘sekiranya’. Semua istilah itu mengambarkan telahan atau jangkaan gerak yang bakal berlaku berdasarkan pendapat atau pandangan kedua-dua pihak. Pendapat dan pendangan itu pula adalah berdasarkan ilmu dan pengalaman seseorang. Prinsipnya, pendapat itu adalah berdasarkan andaian. Dalam hal ini, andaian yang timbul itu mungkin berdasarkan beberapa keadaan. Andaian gerak itu boleh timbul kerana pengetahuan penuntut yang kritis. Andaian juga boleh timbul berdasarkan pengamalan persilatan lalu yang dialami mereka.

Para Jurulatih juga kerap menggunakan istilah kalau dalam proses pengajarannya. Mereka juga mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Perbuatan tersebut boleh juga dijadikan sebagai satu usaha mereka untuk menguji kebolehan penuntut supaya mereka boleh berfikir secara kritis dalam proses penerimaan pelajaran. Hal yang demikian boleh meningkatkan kefahaman penuntut pada satu-satu gerak. Kefahaman gerak adalah penting. Sekurang-kurangnya kefahaman gerak yang jitu itu akan menyebabkan daya ingatan pada gerak berkenaan akan bekekalan lama.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, para penuntut mungkin akan mengeluarkan persoalan. “Kalau musuh kita buat macam ini, apa kita nak buat”. Kadang kala, persoalan yang sedemikian mungkin berdasarkan dua situasi. Pertamanya penuntut itu telah membuat andaian pada gerak yang lain. Keduanya, mungkin penuntut itu sengaja menguji ilmu dan kebolehan Jurulatih SC untuk mengatasi kemungkinan gerak.

Penggunaan istilah kalau dalam kalangan penuntut, secara langsung menuntut sifat ‘bersedia’ dalam kalangan Jurulatih. Kerap kali istilah ‘kalau’ digunakan untuk menjawab persoalan gerak yang ada pada diri penuntut. Persoalan gerak itu tidak terjawab pada pemikiran penuntut yang kritis berdasarkan falsafah, konsep dan prinsip gerak yang ada dalam persilatan SC. Ataupun mungkin persoalan itu timbul berdasarkan bandingan antara ilmu dan pengalaman persilatan yang sedia ada pada diri penuntut berkenaan dengan pelajaran SC yang baru diterima.

Berdasarkan beberapa situasi yang saya nyatakan di atas, saya cuba kaitkan dengan satu ungkapan yang pernah Ustaz lafazkan pada kami dulunya iaitu ‘Habuan Sesak’. Oleh itu, tulisan saya seterusnya ialah mengenai ungkapan ‘Habuan Sesak’. Kupasan ungkapan ini adalah berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz pada awal penglibatan dalam persilatan SC. Nampaknya, ungkapan itu semakin ‘tenggelam’ dari masa ke masa. Jarang diperkatakan.

Ungkapan yang dilafazkan Ustaz itu sangat menarik perhatian saya dari dulu hingga sekarang dalam konteks persilatan SC. Banyak perkara mengenai gerak dapat dikaitkan dengan ungkapan tersebut. Saya bincangkan ungkapan itu dalam Ungkapan Kesebelas.

UNGKAPAN KESBELAS:

Habuan Sesak.

Saya pernah menceritakan betapa satu ketika yang lalu, saya sering berbincang dengan Ustaz. Ketika berada di pusat, boleh dikatakan keseluruhan masa lega adalah diuntukkan bersama Ustaz; tolak masa kuliah dan masa tidur yang boleh dikira bilangan jamnya. Saya suka bertanya dan menimbulkan persoalan. Alhamdullilah, setiap pertanyaan dan persoalan saya itu ada jawapnnya. Maka bertambahlah ilmu pengetahuan mengenai persilatan SC pada diri saya.

Persoalan yang saya sering kemukakan adalah meliputi hal-hal yang berkaitan dengan persilatan dan kefahaman silat itu sendiri. Saya pernah ceritakan, kadang kala Ustaz terpaksa bersilat dengan saya untuk membuktikan satu-satu gerak itu. Tidak ada orang lain ketika itu.

Kadang kala, kita dapat rasakan bahawa gerak dalam SC seolah-olah bercanggah dengan konsep dan prinsip gerak dalam SC yang sedia ada. Saya kemukakan persoalan tersebut pada Ustaz. Maka lahirlah kata-kata penyelesaian dari mulut Ustaz sendiri. Termasuklah kata-kata yang dizahirkan secara beralas melalui konsep habuan sesak.

Ustaz pernah menegaskan bahawa dalam satu-satu keadaan yang tertentu atau tegasnya dalam situasi terdesak atau sesak, kita perlu melanggar peraturan atau kebiasaan yang sedia ada. Ustaz sendiri memberi contoh. Ketika isteri ‘cemas’ hendak bersalin, situasi adalah agak kelam-kabut sedikit. Dalam perjalanan ke hospital, mana mungkin kita ikut peraturan jalan raya sepenuhnya. Lampu merah mungkin perlu diredah. Kalau tidak, akan melibatkan faktor masa. Namun begitu, keselamatan diri tetap terpelihara. Bukannya melanggar peraturan secara hentam keromo sahaja. Maknanya, dalam proses melanggar peraturan atau kebiasaan, aspek keselamatan diri masih lagi sangat dititikberatkan. Sekurang-kurangnya sentiasa membunyikan hon kereta.

Ketika berada dalam hutan dan tidak ada sebarang bahan makanan, perlu ikhtiar untuk hidup. Kalau risaukan mati maka kena makan sesuatu yang boleh mengalas perut. Di situ juga lahirnya konsep habuan sesak. Kata tok guru, setakat keperluan meneruskan hidup, dibenarkan makan bahan makanan walaupun melanggar hukum. Dasarnya, jangan pula sampai ‘sedawa’. Bukan makan setakat keperluan lagi namanya. Orang Perak kata sifat sedemikian adalah kategori melantak. Bukan lagi mengalas perut.

Istilah habuan adalah bermaksud peluang atau tindakan yang boleh kita gunakan bagi satu-satu kepentingan. Manakala istilah sesak adalah merujuk kepada sesuatu situasi yang susah atau tersekat atau berada dalam situasi kekusutan untuk merungkai sesuatu perkara. Oleh itu, ungkapan habuan sesak membawa makna satu tindakan yang boleh kita lakukan bagi mengatasi situasi yang susah atau tersekat pada satu-satu ketika. Tindakan yang kita lakukan itu adalah bagi membolehkan kita merungkai permasalahan tersebut pada ketika itu. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: