RSS

61.8.3. – ULASAN PADA PELAJARAN UMUM.

15 Jul

Berdasarkan penulisan yang lalu, saya sentiasa menegaskan betapa pentingnya prinsip kebebasan dalam pembelajaran buah umum. Pada kesimpulan saya, jika anak didik kita berterusan ‘disuap’ berdasarkan kehendak kita sendiri, akan membantutkan perkembangan kebolehan anak didik kita dalam persilatan SC. Kerap kali berlaku, pelajaran yang tersenarai itu diubah suai semata-mata untuk memudahkan anak suapan kita menelan bahan yang kita suap. Ubah suai gerak itu dilakukan tanpa mengetahui asal usul sesuatu gerak itu. Satu bentuk latihan yang juga amat merugikan.

Selama proses pembelajaran enam bulan, kita mungkin terikat dengan konsep suapan tersebut. Para Jurulatih mungkin tidak menggalakkan anak didiknya membuat pertanyaan. Apatah lagi membuat persoalan. Alasannya, tunggu dan tunggu masanya untuk memperoleh jawapan. Kalau bertanya, riaksi Jurulatih adalah tidak menyenangkan. Mungkin alamat ‘padah atau sakit’, jawabnya.

Oleh itu, setelah tamat silat selama enam bulan dan semasa pelajaran buah umum, berilah sedikit kebebasan kepada anak didik kita untuk bersilat atas dasar kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Asas pengetahuan dalam SC telah ada. Dengan kebebasan berlatih, kebolehan mereka akan dapat dipertingkatkan dari masa ke masa. Manakala kelemahan mereka akan boleh diperbaiki selama mana pelajaran umum masih ada.

Berdasarkan pegangan tersebut juga, saya mempunyai pembawaan tersendiri dalam proses mendidik para penuntut yang saya asuh. Baik dari segi pemupukan fizikalnya mahupun kefahaman persilatan SC. Saya yakin bahawa pembawaan tersebut ada asal usulnya. Semuanya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz.

Saya akui bahawa senarai buah-buah umum tersebut telah mendapat persetujuan dari Ustaz. Buktinya, dalam majlis pelarasan bersama Ustaz, senarai buah-buah tersebut turut dibincangkan. Majlis pelarasan itu telah dikendalikan ‘Jurulatih Kanan’. Ustaz telah bertindak sebagai pemerhati dan tempat rujukan. Walaupun saya mempunyai perbezaan pandangan dalam konsep penggunaan buah-buah yang tersenarai itu, saya tetap ikut majlis pelarasan tersebut. Hal yang demikian kerana majlis itu dihadiri Ustaz. Ada kesahannya.

Teringat saya ketika pelarasan buah Judo Banting. Timbul perbezaan pendapat tentang penggunaan kaki dengan tujuan menekan pelipat. Perbezaan pendapat itu adalah berkaitan dengan penggunaan kaki kiri atau kaki kanan. Pelarasan berkehendakkan penggunaan kaki kiri. Manakala pengetahuan saya bersama Ustaz, menekankan penggunaan kaki kanan yang lebih efektif. Masing-masing ada alasannya untuk menguatkan alasan. Ustaz memerhati sahaja perbincangan kami tersebut.

Sebenarnya, buah tersebut telah diubah suai bagi memudahkan pembelajaran penuntut. Sebelum disenaraikan, cara mengambil buah itu adalah dalam bentuk gerak yang lain. Dalam pelajaran umum dulunya, prinsip buah berkenaan ‘membenarkan’ diri pengamal SC ditangkap. Dalam keadaan yang sedemikian itu, iaitu kalau pesilat SC telah tertangkap maka apakah tindakan susulan yang boleh pesilat SC lakukan. Ketika itulah tindak balas kaki pesilat amat diperlukan.

Akan tetapi, apabila buah tersebut disenaraikan, perbuatan buah itu telah diubah suai dengan kehendak pakar penyelarasan. Hilang asal usul gerak buah tersebut. Buah yang sebenarnya adalah tidak sama dengan pelakuan buah yang telah diubah. Penuntut disuruh tumbuk dengan membenarkan tumbukannya disambut lawan. Di situ juga telah menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengan pelajaran SC. Tumbuk apa namanya itu jika mudah disambut lawan. Boleh lagi meletakkan tangan atas bahu. Mana mungkin tumbuk serang boleh dijadikan sedemikian. Saya rasa, bukan lagi tumbukan namanya, melainkan ketukan setelah diberi tabik hormat. Mana logik tumbuk serang boleh disambut pasangan.

Apa pun pandangan, pelarasan memaksa saya mengikuti pelajaran. Apabila timbul soal tindak balas kaki, sekali lagi tak nampak logiknya penggunaan kaki kiri. Itulah pandangan saya.

Waktu rehat, Ustaz memanggil saya. Diterangkannya pada saya. Antara ayat yang saya ingat, “Kalau guna tumbukan, musuh masuk; jab sahaja. Habis cerita. Tak perlu fakir nak guna kaki mana”. Maka fahamlah saya akan maksud kemahiran yang perlu ada, berbanding dengan kemahiran potong yang sedia ada. Bertambah fahamlah saya tujuan pembelajaran umum pada amalan saya yang sedia ada. Nampaknya, kita membuang masa mengatasi ‘ranting gerak’. Bukannya punca gerak. Pada hal, kemahiran pakai tumbuk serang akan menyebabkan buah tersebut tidak terpakai. Dalam prinsip menyerang, jika tangan boleh dihalang, satu lagi tangan boleh menyusur bagi mengatasi gerak lawan. Oleh itu, pembelajaran yang bercorak ‘ranting’ hanya akan mengganggu perkembangan peningkatan kebolehan anak didik kita.

Demikianlah juga dengan buah-buah lain. Misalnya buah Sendeng Tiga Alam. Saya tak pernah berlatih pun buah berkenaan dalam kelas umum. Tidak ada siapapun yang berani menguji tumbuk serang dengan menggunakan buah berkenaan. Saya sendiri pun tidak begitu berani menguji penuntut dengan menggunakan buah tersebut. Cari nahas. Bukannya ada brek tumbukan. Alamat nampak bintang. Akan tetapi kalau pelajaran potong yang diutamakan, terpaksalah pesilat mengubah suai tumbukannya. Maka bertengkarlah mereka antara penggunaan kaki atau tangan. Perbincangan ranting. Tak pernah berlaku dalam kelas-kelas yang saya kendalikan. Pelajaran terbelakang.

Satu contoh lagi ialah buah terjun ke bawah. Bukan nama sebenar buah itu. Sekadar gelaran untuk memudahkan ingatan. Oleh sebab geraknya terjun ke bawah maka buah itu dinamakan sebagai buah terjun ke bawah. Buah berkenaan ada sejarahnya. Teringat saya ketika kami tamat silat. Kami dibenarkan ‘mencuba’ dengan Ustaz. Sayalah dalam kalangan murid Ustaz ketika itu yang pertama berbuat demikian. Salah satu buah yang saya cuba dengan Ustaz ialah buah terjun ke bawah. Walau bagaimanapun, prinsip buah terjun ke bawah yang saya lakukan dulu adalah tidak sama dengan gerak buah yang terdapat dalam pelajaran umum yang rasmi. Telah ada penyesuaian oleh pakar penyelaras.

Teringat saya kisah lama dalam majlis penamat di kelas saya. Setelah kami mandi silat dalam ijazah terakhir, saya telah mendapat kebenaran Ustaz untuk menangguh kelas dalam masa seminggu. Kebetulan juga tempoh tersebut ada kaitan dengan cuti universiti. Dalam tempoh tersebut, kami akan mengulangkaji pelajaran silat yang asal untuk maksud ‘bertry’. Hal yang demikian adalah ekoran terkenangkan pelawaan Ustaz pada saya. “Belajar dulu dan kemudian boleh ‘try’”. Itulah kata-kata yang dilafazkan dalam pertemuan pertama saya dengan Ustaz. Kata-kata itulah juga yang mendorong saya membuka kelas SC di Universiti Malaya.

Saya balik ke Sungai Patani dan berjumpa guru silat saya yang asal. Beliau telah memberi beberapa buah yang ‘special’, untuk maksud menyerang kedudukan SC dan untuk menghadapi serangan SC. Salah satu buah tersebut ialah buah secara terjun ke bawah. Itulah buah yang pertama saya gunakan ketika betry dengan Ustaz.

Prinsip buah terjun ke bawah memerlukan teknik terjunan yang betul. Kalau tidak, buntut kita akan terjatuh macam jatuh buah nangka busuk. Buntut akan jadi lebam. Teknik sebenar yang saya lakukan agak berbeza dengan apa yang ada sekarang. Semasa menyerang tapak pesilat SC, gerakannya adalah secara terjun ke bawah. Dalam proses yang sedemikian, kedua-dua kaki akan memasuki celah kaki pesilat. Ketika menguakkan kaki pesilat SC, hentakan buntut dapat dikawal. Kaki pesilat akan terkangkang dan menyebabkan pesilat akan jatuh ke depan. Mudahlah membuat tindakan pukulan.

Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa pada kebenarannya, bukan semua orang boleh berbuat gerak yang sedemikian. Badan kena ringan. Kaki kena panjang. Perut kena kempis. Bayangkan kalau PMD yang membuat gerakan sedemikian. Retak anunya kalau terhentak tanpa kawalan.

Cara yang sedemikianlah saya lakukan pada Ustaz. Ustaz dapat mengatasinya. Prinsipnya, serangan di kawasan kaki maka kakilah yang digunakan Ustaz untuk mengatasi serangan yang sedemikian.

Saya difahamkan, oleh sebab gerak buah tersebut tersenarai dalam buah umum, terdapat penyesuaian bagi membolehkan semua penuntut membuatnya. Jadi atau tak menjadi, soal lain. Janji boleh jatuh ke tanah dengan harapan kaki pesilat boleh menerjah kaki dan lutut lawan. Hakikatnya, perubahan itu tidak menampakkan logik pada buah berkenaan dalam proses gerak terjunannya. Pasangan hanya boleh membuat buah itu jika gerak pesilat adalah ‘bermalam’. Tidak logik juga pesilat SC membiarkan keadaan itu ketika membuat serangan menggunakan tumbuk serang. Buang masa berlatih buah berkenaan.

Begitu juga dengan Sepak Minang. Cuba teliti gambar yang saya pernah siarkan dalam tulisan terdahulu. Berdasarkan pengalaman bersama ahli silat yang mewarisi silat berkenaan, tangan penyerang akan bertepuk di depan pandangan pesilat. Tujuannya ialah membuat kejutan. Ketika itu kaki penyerang akan membuat sepakan secara sepak tarik untuk mengena sasaran. Dalam proses tarik itulah tangan yang bertepuk akan membuat serangan pukulan.

Walau bagaimanapun, pakar penyelaras kita telah membuat penyesuaian pada serangan berkenaan. Arahannya, tepuk tangan di peha, baru buat sepakan. Hal yang demikian membolehkan jarak antara penyerang dengan pesilat berada pada kedudukan yang agak jauh. Maka mudahlah membuat tepisan tangan. Ada masa. Adakah itu gerak yang sebenarnya hinggakan begitu mudah membuat tepisan. Nampaknya, banyak latihan yang memakan masa atau membuang masa dalam proses membangunkan kebolehan penuntut.

Sekian saja komen saya tentang pelajaran umum berdasarkan pandangan saya pada zaman dulu; ketika zaman saya. Perkembangan sekarang. Wallahu ‘alam.

20130715-053817.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 15/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: