RSS

61.8.2. – ULASAN PADA PELAJARAN UMUM.

11 Jul

Konsep tamat silat dalam SC mungkin berbeza dengan silat-silat lain. Semasa saya tamat SC dulupun, terasa juga kejanggalannya dalam pemikiran saya. Hal yang demikian kerana saya pernah mempunyai pengalaman dengan persilatan lain dalam majlis tamat silat. Konsep tamat silat dalam persilatan tersebut adalah jelas. Tak ada lagi pelajaran selepas tamat silat.

Kalau berdasarkan istilah tamat, maknanya ialah habis atau selesai pelajaran. Sesetengah silat mengistilahkan tamat silat itu sebagai khatam silat. Semuanya telah selesai. Saya merujuk atas pengalaman saya yang lalu. Kalau pada mulanya ada majlis buka gelanggang sebagai tanda memulakan pelajaran maka akhirnya ada majlis penutup pelajaran sebagai tanda tamat atau khatam pelajaran. Ada majlis doa selamat. Kena keluarkan belanja menyediakan juadah pulut kuning. Majlis tersebut diadakan pada waktu malam. Selepas malam upacara itu, maka tutuplah gelanggang. Tak ada lagi pelajaran.

Ada juga dalam kalangan persilatan Melayu yang membuat ujian tertentu sebelum majlis tamat silat. Berdasarkan pengetahuan saya bersama guru-guru silat, terdapat pelbagai cara dilakukan dalam majlis tersebut. Pada kesimpulan saya, semua perbuatan menguji yang dilakukan adalah untuk menguatkan kecekalan dan ketabahan anak muridnya dalam satu-satu persilatan itu. Misalnya menyambut buah kelapa yang dibaling pada dirinya dalam keadaan gelap gelita. Ada juga persilatan yang membuat ujian secara mengarahkan anak muridnya melompat dalam lubang yang dipenuhi dengan cacakan buluh tajam. Macam-macam ujian lagi. Selepas ujian itulah maka akan diikuti dengan upacara tamat atau khatam silat. Hatta, habislah pembelajaran silat berkenaan. Ada kebolehan, bolehlah buka gelanggang.

Berdasarkan pengalaman saya juga, ada persilatan yang tak tamat-tamat pelajaran. Hanya gurunya sahaja yang tamat. Apabila saya bertanya pada guru silat berkenaan maka jawapannya mudah sahaja. “Menuntut ilmu itu tak ada penghujungnya”. Oleh itu, bertahun-tahunlah lamanya penglibatan ahli silat berkenaan dalam persilatan tersebut.

Berdasarkan pengalaman saya itulah maka ketika majlis tamat SC, terasa kejanggalannya pada diri saya. Hal yang demikian kerana konsep majlis tamat SC seperti sama dengan kebanyakan persilatan Melayu. Tapi ada perbezaannya. Dalam persilatan SC, ada upacara khas untuk majlis tamat silat. Majlis ijazahnya lebih ‘meriah’ berbanding dengan majlis ijazah sebelumnya. Kena bawa ayam dan buat majlis kenduri.

Kejanggalan saya itu ada asasnya. Rupa-rupanya ada pelajaran lagi selepas majlis tamat. Itu sebab saya katakan, pada sesetengah ahli, majlis penamat tersebut adalah merupakan klimaks pada diri mereka. Pada amalan kebanyakan silat, kalau dah tamat maknanya majlis penamat yang diadakan itu merupakan majlis penutup pembelajaran silat. Tak ada pembelajaran lagi. Pelajaranpun dah habis. Sudah khatam. Tidak hairanlah jika berlaku dalam kalangan penuntut SC yang ‘menghilangkan’ diri. Kemungkinan besar, konsep tamat itu telah tertanam kukuh dalam pemikiran mereka.

Majlis penamat Silat Cekak amat luar biasa. Menyanggah amalan biasa persilatan Melayu. Keluarbiasaan itu adalah merupakan salah satu keistimewaan silat kita. Selepas majlis penamat, masih ada pelajaran lagi. Kita gelarkan pelajaran itu sebagai pelajaran umum. Ketika proses pembelajaran umum itulah kita akan lebih menguasai kefahaman tentang keputusan SC atau hakikat gerak persilatan SC, secara muktamad. Tentunya hal yang demikian berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Mereka memperoleh kefahaman keputusan silat mereka sebelum majlis penamat persilatan tersebut.

Begitu juga dengan bentuk ujian silat yang sering ada dalam persilatan Melayu yang lain. Hal yang demikian juga adalah berbeza dengan persilatan SC. Ujian kita adalah selepas majlis tamat, Bentuk ujian adalah pada penuntut yang ‘berminat’ atau pada penuntut yang masih ragu-ragu atas pembelajaran yang diberi dalam tempoh enam bulan. Boleh ‘try’ untuk mempastikan kepuasan diri. Hal yang demikian adalah bagi membolehkan konsep ‘tahkik’ yang sering diperkatakan dalam persilatan SC boleh wujud sebagai pegangan penuntut. Maknanya, penuntut boleh membuat pengesahan atas kebenaran SC dengan bukti gerak yang kukuh. Hakikatnya, terbuktilah, benarlah dan sahihlah bahawa SC itu adalah sejenis silat Melayu yang boleh digunakan sebagai silat untuk menjaga diri.

Berdasarkan perbincangan tersebut, kita boleh membuat kesimpulan betapa pentingnya pelajaran umum dalam persilatan kita. Konsep umum tersebut telah saya bincangkan dalam tulisan-tulisan yang lalu. Oleh itu, pelajaran umum tersangat penting diberi perhatian serius bagi maksud pembangunan diri pesilat dalam persilatan SC.

Kalau difikirkan secara positif, senarai formal pelajaran umum yang dikeluarkan itu masih boleh diterima pakai. Namun begitu, penggunaan sukatan tersebut perlulah dilakukan secara berhati-hati. Mesti ada ilmu pengetahuan yang luas dalam pelajaran SC. Hal yang demikian kerana kewujudan sukatan umum dengan gerak-gerak tertentu yang disenaraikan boleh mempengaruhi perkembangan pembelajaran penuntut.

Saya pernah merujuk senarai pelajaran umum yang dikeluarkan itu. Terdapat dua puluh satu gerak yang disenaraikan. Agaknya perlu disusun dalam angka dua puluh satu. Angka dua puluh satu masih lagi dianggap angka keramat. Ada pelajaran potong buah-buah silat lain, serang tapak, pelajaran senjata, kaki dan ada juga buah terjun ke bawah.

Para Jurulatih bolehlah buat rujukan. Cuma, gunakan pelajaran tersebut untuk membangunkan kemahiran yang perlu dipupuk dalam kalangan anak didiknya. Pada saya, kesesuaian pelajaran tersebut pada kebolehan penuntut, perlu diambil kira. Maknanya, Jurulatih perlu menentukan terlebih dahulu jenis kemahiran yang dikehendaki. Kemudian barulah menjadikan buah-buah yang tersenarai sebagai alat untuk memahirkan kemahiran yang dihajati itu.

Seperti yang saya tegaskan, berdasarkan kesimpulan saya, jikalau penuntut dikehendaki mempelajari buah-buah yang tersenarai itu terlebih dahulu, maka pelajaran umum itu telah menjadi pelajaran khusus dan berfokus. Ekorannya, pembelajaran yang sedemikian kadang kalanya bersifat berulang.

Misalan yang selalu saya ulang-ulangkan ialah prinsip mengatasi buah-buah umum yang tersenarai berdasarkan gerak potong. Pelajaran potong bukanlah satu kemahiran yang baru. Telah diperkenalkan dalam masa enam bulan. Sebaliknya, para penuntut baru saja diperkenalkan dengan kemahiran tumbuk serang. Kalau pelajaran itu digunakan dalam keadaan potong, bermakna pelajaran itu menafikan kemahiran tumbuk serang yang baru dipelajari. Oleh itu pembelajaran yang dilakukan penuntut adalah merupakan satu kemahiran yang ‘terbelakang’. Sifat yang sedemikianlah saya maksudkan sebagai pelajaran yang tidak menjurus kepada pemupukan pembangunan kebolehan penuntut.

Kerap kali berlaku juga, pelajaran tambahan yang diajar, tidak cukup latihan. Hal yang demikian kerana faktor masa. Maka ilmu yang ada pada diri penuntut itu adalah berdasarkan apa yang ada seadanya dalam tempoh latihan tersebut. Semuanya bergantung pada ikatan pembelajaran yang ditentukan oleh sukatan umum yang dikeluarkan itu. “Dari segi pelajaran, semuanya telah dapat. Dari segi kebolehan dan kemahiran gerak, tak tentu dapat”.

Seperti yang dikatakan, banyak masa terbuang begitu sahaja semata-mata mempelajari buah-buah silat lain. Pembelajarannya tidak banyak membantu meningkatkan kebolehan pesilat itu sendiri dalam satu-satu kemahiran. Saya beri beberapa contoh lain dalam tulisan ini sebagai maksud berkongsi pengetahuan. Semua contoh adalah berdasarkan tafsiran saya sahaja di masa lalu. Masa dulu.

Dulu, dalam senarai umum itu, terdapat buah sepakan yang diarah mengatasinya secara rentap. Saya difahamkan, ketika pesilat menyerang, pasangannya akan menepis dan diikuti dengan sepakan kaki di bahagian rusuk. Pesilat diarah supaya menyentap tangan yang menepis bagi mengatasi serangan kaki tersebut. Walaupun pelajaran itu dikategorikan dalam pelajaran kaki, hakikatnya tidak ada kena mengena dengan kaki. Kalau tangan yang menepis maka tanganlah diatasi kerana tangan yang menepis itu adalah merupakan punca gerak. Tidak ada kena mengena langsung dengan kemahiran mengatasi penggunaan kaki. Kalau setakat kemahiran memotong, pelajaran itu telah pun diajar dalam pelajaran potong. Oleh itu, banyak masa terbuang kerana mempelajari buah yang tidak membangunkan kemahiran penuntut. Lagi pun, bukan senang mengangkat kaki. Lebih-lebih lagi pada golongan PMD. Kena berlatih mengangkat kaki telebih dahulu. Hilang masa berjam-jam.

Tambahan pula, kalaulah tangan yang diserang secara tumbuk serang dapat ditepis pasangan dan ada masa bagi pasangannya itu membuat sepakan, maknanya tumbuk serang itu pasti jenis bermalam. ‘Tumbukan yang tak menjadi’. Boleh hisap rokok letrik dua kali sedutan. Malang sungguh tumbukan serang yang bersifat sedemikian.

Oleh itu, saya selalu berpendapat, lebih baik tumpukan perhatian pada kemahiran tumbuk serang. Itulah pelajaran yang perlu dikuasai penuntut secara berkesan dalam sistem serangan. Buah yang tersenarai bolehlah dijadikan alat untuk memantapkan jenis tumbukan tersebut. Tak perlu belajar secara teliti buah-buah berkenaan. Pada saya, tersangat malang jika buah-buah itu pula dipelajari dengan teliti atas sebab untuk memotong. Maknanya, mengulang balik pelajaran potong. Banyak ruginya atas faktor pembangunan penuntut. Berambung.

 
Leave a comment

Posted by on 11/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: