RSS

61.8.1. – ULASAN PADA PELAJARAN UMUM.

08 Jul

Satu keadaan yang biasa wujud dalam kalangan ahli yang tamat silat ialah keberadaan mereka dalam persilatan dan persatuan adalah tidak kekal lama. Seperti yang saya katakan, berdasarkan pengalaman, ijazah ketiga dengan majlis yang lebih meriah, kadang kala merupakan klimaks pada para penuntut. Selalunya, setelah pelajaran umum, ramai yang ‘menghilangkan diri’. Kalau dikaji, banyak alasan boleh kita peroleh. Semuanya ada kaitan juga dengan tujuan asal mereka bersilat. Kalau setakat mengikut kawan, biasanya mereka tidak kekal lama. Ada had penglibatan mereka. Cukup masa maka mereka akan meninggalkan persilatan dan persatuan.

Mungkin pada mereka yang tersangat minat dengan persilatan SC akan terus melibatkan diri dalam persatuan. Ada peranan yang boleh dimainkan seperti menjawat satu-satu jawatan atau menjadi pembantu Jurulatih. Walau bagaimanapun, peranan tersebut adalah terhad. Bukan semua ahli yang baru tamat berpeluang untuk menjawat sebarang jawatan. Maka akhirnya terpaksa juga mereka meninggalkan persatuan dan persilatan.

Mereka yang kekal berterusan dalam persatuan, ada kemungkinan boleh menambahkan pengetahuan silat dari masa ke masa. Dalam hal ini, bagaimana pula mereka yang telah meninggalkan persilatan setelah tamat silat. Kita mungkin ada pelbagai pandangan bagi maksud mengulas sifat mereka yang meninggalkan persilatan dan persatuan. “Setakat itulah habuan mereka. Apa yang mereka belajar maka itulah habuan yang mereka dapat.” Kesimpulan mudah.

Kita perlu akui, mereka yang telah tamat silat maka bolehlah digolongkan sebagai ahli silat walaupun tidak lagi menjadi ahli persatuan. Bila ditanya mereka silat yang pernah dipelajari, mereka tetap akan mengatakan, Silat Cekak. Oleh itu, pasti kita berharap bahawa mereka yang mendakwa pernah belajar SC akan dapat melambangkan sifat diri mereka sebagai pesilat SC. Pergantungan mereka pada SC sebagai silat yang boleh dipertanggungjawabkan pada diri sendiri, diharapkan berterusan sepanjang masa. Secara langsung, mereka boleh menjadi faktor utama untuk berkempen mencari ahli baru atas sifat kepercayaan mereka pada persilatan SC.

Hatta, berdasarkan situasi dan harapan itulah, menjadi tanggungjawab kita untuk mempastikan penuntut yang dilahirkan setelah tamat SC adalah benar-benar telah menguasai persilatan SC. Konsep ‘touch’up’ setelah tamat silat seperti yang saya bincangkan terlebih dahulu, adalah salah satu usaha yang amat penting untuk tujuan tersebut. Bukannya mempelajari pelajaran gerak silat lain secara berfokus, melainkan menjadikan gerak-gerak tersebut sebagai alat dalam konsep ‘touch up’ itu.

Saya yakin, setelah mereka diberi pelajaran khusus dan berfokus selama enam bulan, kebolehan mereka sebagai pesilat boleh bertanggungjawab untuk diri sendiri. Seperti yang dikata, pelajaran utama berkaitan pertahanan dan serangan telah diperoleh. Oleh itu, pelajaran umum adalah merupakan ‘touch up’ bagi memperbaiki mana-mana kekurangan dan meningkatkan mana-mana kelebihan yang ada. Bila mereka meninggalkan persilatan SC maka sempurnalah sifat mereka sebagai ahli Silat Cekak yang boleh menguasai persilatan SC berserta kefahaman persilatan itu sendiri. Maka barulah mereka boleh diharap untuk menjadi ‘agen’ publisiti bagi menambahkan bilangan ahli-ahli baru.

Berbalik pada pelajaran umum yang dikendalikan Jurulatih. Sebelum wujud sukatan pelajaran umum secara rasmi, buah-buah yang tersenarai sememangnya telah ada dalam pengetahuan Jurulatih ketika itu. Cuma tidak disusun sedemikian rupa dalam bentuk senarai khusus. Seperti yang dikatakan, buah-buah itu bukanlah menjadi fokus utama. Para penuntut tidak perlu menguasai gerak buah-buah tersebut. Sebaliknya buah-buah asing itu dijadikan sebagai alat untuk menambah atau meningkatkan lagi kemahiran gerak penuntut yang sedia ada.

Misalannya seperti yang saya sentuh terdahulu. Penguasaan pelajaran tumbuk serang akan diuji dengan buah-buah umum yang ada dalam pengetahuan Jurulatih. Penuntut tak perlu belajar buah-buah tersebut. Buah-buah itu bukan fokus utama. Fokus utamanya ialah kemahiran menggunakan tumbuk serang hingga ke peringkat sukar dikesan lawan. ‘Makam peluru berpandu’. Tak boleh dikesan melalui mata kepala.

Begitu juga dengan serangan tapak silat. Zaman dulu-dulu, kita tidak menghafal gerak tapak tersebut. Perkara pentingnya ialah penguasaan kemahiran serang tapak itu. Ada formulanya. Semuanya bergantung pada kedudukan kaki, tangan dan gerak umpan lawan. Kalau kemahiran itu telah dikuasai, tidak kiralah apa jenis gerak tapak pun; semuanya akan dapat diatasi berdasarkan formula yang diutamakan dalam pembelajaran tersebut. Maknanya gerak kedudukan tapak-tapak tersebut adalah sebagai alat untuk memahirkan formula serangan tapak.

Sebaliknya, jika tumpuan diberi pada pembelajaran senarai gerak-gerak tapak tersebut, maka jadilah pelajaran itu sebagai berfokus. Kena belajar gerak-gerak tersebut terlebih dahulu secara satu per satu. Hal yang demikian boleh menjadikan pelajaran itu sebagai pelajaran gerak secara hafalan tanpa diberi tumpuan utama pada aspek kemahiran berdasarkan prinsip atau formula menyerang tapak. Banyak masa yang terlibat.

Ketika zaman Ustaz, aspek kualiti amat ditekankan dalam persilatan Cekak. “Silat Cekak amat mementingkan aspek kualiti, bukannya kuantiti”. Itulah ungkapan yang sering diucapkan Ustaz sebagai amanah pada orang-orang kanannya satu ketika yang lalu. Masa itu, saya juga adalah merupakan orang kanan Ustaz berdasarkan kedudukan saya sebagai ahli jawatankuasa pusat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Masa itu!.

Berdasarkan kemahuan Ustaz yang mementingkan aspek kualiti, kami sering berbincang atas matlamat bagi meningkat dan mengekalkan kualiti para penuntut. Banyak kali juga diadakan perbincangan sesama kami yang merupakan orang-orang kanan persatuan. Dalam satu perbincangan di pejabat Jalan Putera, kami pernah melahirkan kerisauan tentang aspek kualiti penuntut seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Pelbagai cadangan dikemukakan sesama kami bagi maksud penyelesaian.

Maknanya, sejak dulu lagi aspek kualiti penuntut telah mula dibincangkan dan mula diberi perhatian. Telah dikesan tahap penguasaan pelajaran SC secara berkualiti yang semakin kurang. Itulah perasaan yang wujud dalam kalangan Jurulatih kanan ketika itu. Perbincangan juga meliputi hal-hal yang berkaitan dengan sikap penuntut yang cepat ‘menghilangkan diri’ setelah tamat pembelajaran silat. Kumpulan yang tamat ini terdiri dari dua golongan.

Pertamanya ialah golongan yang belum sempat menguasai kemahiran SC secara sepenuhnya. Mungkin mereka tidak berminat dengan penambahan pelajaran yang lebih sukar berbanding dengan pelajaran yang telah diikuti. Misalnya pelajaran senjata dan kaki. Pembelajaran itu memerlukan kecekalan hati dalam latihannya.

Keduanya ialah golongan yang telah menghabiskan semua pelajaran tapi tidak kekal lama dalam persatuan. Prinsip menghabiskan pelajaran adalah berdasarkan kemampuan ilmu SC yang ada pada Jurulatih berkenaan. Habis dapat pelajaran maka ‘ghaiblah’ mereka.

Maka berbincanglah pemimpin-pemimpin kanan persatuan secara berterusan. Malangnya, saya terpaksa meninggalkan ‘pusat’ setelah tamat pengajian di universiti. Ketika berada di cawangan, tumpuan saya adalah pada masalah cawangan. Tak cukup ruang dan masa untuk memikirkan masalah di pusat. Nampaknya, hal yang sama masih berterusan hingga sekarang. “Ada hulu ada parang; ada dulu, nampaknya ada sekarang”.

Saya tidak pasti, adakah kewujudan sukatan pelajaran umum secara khusus itu ada kaitannya dengan strategi yang kami pernah bincangkan. Strategi itu ialah usaha untuk menarik minat penuntut supaya kekal lama dalam persatuan dan usaha melahirkan penuntut SC yang benar-benar menguasai pelajaran SC. Baik dari segi fizikal mahupun dari segi kefahamannya. Saya tidak dapat membuat sebarang kesimpulan. Kurang pengetahuan.

Cuma, pada telahan saya sukatan pelajaran umum yang dikeluarkan itu adalah bagi membantu para Jurulatih untuk mengendalikan kelas latihan setelah tamat silat. Bukan semua Jurulatih yang bersifat kreatif dan inovatif dalam proses penyampaian ilmu dalam pelajaran umum. Dengan adanya sukatan pelajaran umum itu bolehlah membantu mereka mengendalikan kelas pelajaran umum. Perhatian penuntut boleh ‘ditarik’ tanpa terlalu cepat ‘menghilangkan diri’. Agaknya.

Pada pendapat saya, dalam konteks persilatan SC, konsep kualiti mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Penuntut yang berkualiti bukan setakat boleh menguasai bidang persilatan, tapi juga berkebolehan menguasai kefahaman persilatan SC yang ada. Maknanya pada saya, penuntut perlu menguasai gerak persilatan dan kefahaman pada falsafah dan konsep yang ada pada gerak persilatan. Kefahaman pada dua aspek itu adalah secara bersepadu dan perlu dikuasai penuntut setelah tamat silat. Jika penuntut yang tamat, gagal berbuat demikian, maka kuranglah sifat kualiti seperti yang diharapkan pada para penuntut yang telah tamat.

Kemungkinan besar, kewujudan sinarai pelajaran umum yang khusus adalah sebagai salah satu usaha untuk melahirkan penuntut yang berkualiti. Sejauh mana usaha-usaha tersebut benar-benar menepati matlamatnya. Saya kira, setakat ini tidak ada kajian khusus. Itu sebabnya senarai umum tersebut masih berkekalan hingga sekarang. Tak ada kajian maka tidak adalah pelarasan. Bila tidak ada pelarasan maka tidak adalah perubahan. Masih kekal berpanjangan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: