RSS

61.8.0. – ULASAN PADA PELAJARAN UMUM.

04 Jul

Komen saya tentang pelajaran umum telah menarik perhatian beberapa penuntut. Mereka inginkan penjelasan lanjut berkenaan pengalaman saya dalam pembelajaran tersebut. Oleh itu saya lanjutkan sedikit perbincangan mengenai pelajaran umum. Semuanya berdasarkan pendapat saya. Rujukan saya adalah dalam zaman saya sahaja. Saya tidak membandingkan dengan apa yang ada sekarang.

Secara jujurnya, sejak saya mengendalikan kelas silat dulu-dulu, saya tidak terikat dengan sukatan pelajaran umum. Hal yang demikian bukanlah kerana sifat sengaja engkar. Sebaliknya, saya lahir sebagai pesilat SC dari sistem yang tidak ada pelajaran umum secara pembelajaran khusus. Tak ada sukatan pelajaran. Hal yang demikian menyebabkan saya lebih selesa dengan pelajaran yang seadanya pada saya dalam proses membangunkan kebolehan penuntut dalam bidang persilatan. Apa yang saya peroleh dari Ustaz maka itulah yang saya sampaikan kembali. Telah banyak kelas silat di cawangan saya yang habis tempoh pembelajarannya, sebelum adanya sukatan pelajaran umum.

Ikutilah perbincangan saya sebagai maksud perkongsian pendapat, ilmu dan pengalaman. Pendapat saya itu adalah merupakan pegangan saya dulu-dulu ketika mengendalikan kelas. Berdasarkan pengalaman, saya dapat membuat kesimpulan berikut. Pelajaran umum yang tidak terikat dengan apa-apa sukatan adalah lebih menjurus kepada suasana yang selesa untuk mengupayakan lagi pembangunan penuntut dalam pesilatan. Dalam keadaan tidak bergerak aktif lagi dalam pengendalian kelas, maka saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya buat renungan generasi baru dalam persilatan SC.

Dalam tulisan yang terdahulu saya ada membincangkan konsep pelajaran umum di zaman saya. Konsep pelajaran umum ialah kebebasan latihan gerak-gerak yang ada dalam persilatan SC. Pelajarannya tidak terikat pada apa-apa arahan formal. Faktor kreatif para Jurulatih mengendalikan kelas silat, memainkan peranan penting. Hal yang demikian tidak mendatangkan sebarang masalah kerana para Jurulatih lebih mengenali anak didiknya. Mereka tahu akan kelebihan dan kekurangan para penuntut silat. Oleh itu, bentuk pengendalian latihan adalah bercotak umum. Sesuailah dengan pelajaran umum. Namanya pun umum.

Istilah umum adalah merujuk pada sifat secara keseluruhan atau secara menyeluruh. Dalam konteks persilatan, pembelajarannya adalah luas. Tidak khusus pada satu-satu pembelajaran secara berfokus setelah tamat silat. Istilah umum juga bermaksud tidak terang, sukar difahami atau sulit. Dalam konteks persilatan, saya mentafsir pengertian istilah itu sebagai pembelajaran secara latih tubi berdasarkan pelajaran lalu yang kurang difahami atau sukar dikuasai oleh seseorang penuntut itu.

Tafsiran persilatan berdasarkan istilah umum itu adalah berdasarkan pengalaman saya yang telah mengikuti pelajaran umum yang dianjurkan Ustaz. Nampaknya, apa yang dipraktiskan dalam kelas-kelas umum dulunya adalah bertepatan dengan istilah umum yang saya bincangkan. Semuanya berpaksi pada keperluan setiap penuntut. Lain penuntut maka lain keperluannya dalam penguasaan gerak. Hal yang demikian menyebabkan latih tubi yang dilakukan adalah juga secara umum.

Misalnya, mereka yang lemah pelajaran enam tolak enam, akan meneruskan latihan hingga mereka menguasai pelajaran tersebut. Begitu juga pada mereka yang masih lemah dengan pelajaran tumbuk serang. Penuntut ini akan berterusan berlatih secara menguji tumbukan mereka melalui buah-buah umum yang ada. Buah-buah umum itu juga tidak merujuk pada buah yang tertentu. Dalam hal ini, tumbukan penuntut akan diuji berdasarkan keperluan gerak buah yang bersesuaian dengan keperluannya. Kalau tumbukannya menjadi, tidak pulak diuji dengan buah-buah yang turun ke bawah. Nahas jadinya.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah tegaskan bahawa proses pelajaran selama ‘enam bulan’ adalah secara khusus atau berfokus. Kefahaman penuntut juga adalah secara berfokus. Kefahaman secara menyeluruh tentang persilatan SC, hanya diperoleh melalui pelajaran umum. Oleh itu, berdasarkan pengalaman saya, setelah para penuntut melalui proses pelajaran umum maka barulah kefahaman mereka secara keseluruhan tentang SC terwujud.

Misalnya, konsep surat dan posmen hanya boleh difahami apabila pelajaran senjata pendek diperkenalkan pada para penuntut. Samalah juga dengan konsep gerak kaki di kaki dan gerak tangan di tangan, hanya boleh difahami setelah wujudnya pelajaran umum. Begitu juga dengan ungkapan-ungkapan lain. Itu sebab saya katakan, bentuk latihan yang ada dalam pelajaran umum itu sendiri adalah bertepatan dengan makna istilah umum yang memberi maksud keseluruhan atau secara menyeluruh.

Pada pandangan saya, pelajaran secara umum dalam pembelajaran umum setelah tamat silat adalah sangat bersesuaian sekali. Ketika itu, masa yang ada tersangat terhad. Tumpuan mula diberi mencari ahli-ahli baru untuk pembukaan kelas yang baru.

Berdasarkan pengalaman saya, ijazah ketiga dengan majlis yang lebih meriah, kadang kala merupakan klimaks pada para penuntut. Dari segi psikologi ada dalam kalangan penuntut yang berasa, lengkaplah pelajaran silat yang dituntut dari perguruan Silat Cekak. Pada dasarnya, telahan tersebut mungkin ada asasnya. Pengetahuan penuntut telah lengkap dengan ilmu mempertahankan diri dan ilmu menyerang. Ilmu mempertahankan diri dilambangkan melalui pelajaran khusus buah-buah jatuh. Manakala ilmu menyerang dilambangkan melalui pelajaran potong. Itulah perasaan yang wujud dalam kalangan penuntut. Aspek psikologinya.

Maka tidak hairanlah kadang kala kita dapat rasakan bahawa kehadiran penuntut ketika pelajaran umum, semakin malap. Bilangan ahli yang hadir adalah ‘timbul tenggelam’. Hal yang demikian menyebabkan kita mungkin mengeluarkan kata-kata, “Pelajaran berbayar boleh datang, tetapi bila tak payah bayar, kerap tuang dan tak ambil berat”. Malah, seperti yang saya katakan, ada dalam kalangan penuntut SC yang tidak ambil berat untuk mempelajari pelajaran tumbuk serang. Telah puas atau cukup dengan apa yang ada. Kurang berminat. Berada dalam situasi anti klimaks.

Atas faktor kesuntukan masa dan psikologi penuntut itulah, maka peranan Jurulatih yang mengendalikan kelas perlu bertindak tepat. Tindakan itu adalah secara berkesan untuk meningkatkan kefahaman anak didiknya dalam persilatan SC. Di samping itu, peranan Jurulatih juga adalah menambahkan pengetahuan anak didiknya bagi melengkapkan kefahaman menyeluruh tentang SC. Usaha yang sedemikian akan memberi makna yang tersangat besar pada anak didiknya. Pada mereka yang akan meninggalkan persatuan SC, maka mereka telah dibekalkan dengan ilmu asas pelajaran SC. Ilmu itu sangat memadai untuk menjaga diri.

Kalau diibaratkan dengan peranan tukang-tukang rumah atau tukang-tukang yang lain, konsep ‘touch ‘up’ adalah merupakan langkah terakhir yang amat penting. Prinsip kerja itu adalah merupakan usaha penambahbaikan bagi melengkapkan hasil kerja buatnya selama itu. Mana-mana yang kurang cantik, akan dicantikkan. Mana-mana yang kurang lengkap maka akan dilengkapkan. Akan tetapi jika kerja-kerja yang dilakukan berbentuk mengulang balik kerja-kerja yang telah dilakukan, malang sekali si tukang berkenaan. Banyak masa yang terbuang. Kalau ada perjanjian, pasti tukang itu akan didenda atas kelewatan menyiapkan kerja.

Saya imbau semula bentuk latihan pelajaran umum di zaman saya. Konsep latihan adalah terbahagi dua. Pertamanya ialah meningkatkan kemahiran gerak yang sedia ada mengikut keperluan individu. Gerak yang lemah akan ditingkatkan. Hal yang demikian, bertepatanlah dengan maksud istilah umum yang merujuk maksud tidak terang dan sukar difahami. Para penuntut akan membuat latihan secara latih tubi pada gerak-gerak yang masih belum dikuasai mereka sepenuhnya. Mana-mana pelajaran yang ‘tidak terang’ dan sukar difahami, akan diselesaikan pada masa tersebut.

Prinsip kedua dalam pelajaran umum ialah menambahkan pengetahuan tentang isi pelajaran SC yang belum diajar bagi melengkap pelajaran SC secara keseluruhannya. Hal yang demikian merujuk istilah umum yang bermaksud secara menyeluruh. Falsafah dan konsep yang ada dalam SC, akan mudah difahami secara menyeluruh setelah melalui proses pembelajaran pelajaran umum.

Oleh itu, jika ada senarai pelajaran tertentu dalam pembelajaran umum, maka bukanlah umum lagi namanya. Sudah jadi pelajaran khas. Lebih berfokus. Kalau menjadi pelajaran khas, maknanya semua orang kena ikuti pelajaran tersebut. Suka atau tak suka, boleh buat atau tak boleh buat, kena ikut. Hal yang demikianlah saya katakan sebagai sesuatu yang amat merugikan penuntut. Para penuntut tidak ada kebebasan untuk memperbaiki kelemahan gerak diri sendiri. Manakala para Jurulatih yang sangat memahami kebolehan anak didiknya tidak bebas untuk menambahkan satu-satu kemahiran pada mereka. Salah satu puncanya ialah faktor masa. Asyik menghabiskan sukatan pelajaran terlebih dahulu, sebelum pembukaan kelas baru.

‘Silap-silap gaya’, pelajaran yang berfokus semasa pembelajaran umum akan terus merugikan penuntut itu sendiri. Satu contoh mudah ialah pada mereka yang benar-benar telah menguasai tumbuk serang. Mereka akan diarah supaya ‘melupakan’ kebolehan tumbuk serang, semata-mata kerana keperluan mempelajari buah-buah silat lain yang tersenarai. Pada hal, kebolehan tumbuk serang yang sedia ada pada diri mereka tidak memerlukan pembelajaran buah-buah berkenaan.

Sepatutnya, mereka akan terus berlatih tumbukan tersebut hingga ke peringkat gerak tumbukan itu tidak dapat dikesan langsung. Itulah maksud pembangunan gerak penuntut yang berterusan. Kalau disuruh melupakan tumbuk serang dan membuat buah secara potong maka penuntut itu diasuh penguasaan gerak yang terbelakang. Hal yang demikianlah saya katakan sebagai sesuatu yang amat merugkan penuntut. “Pembangunan gerak penuntut yang terbelakang”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 04/07/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: