RSS

61.7.1. KENALI SILAT CEKAK –Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.

26 Jun

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menerangkan betapa SC amat mementingkan sifat tertib, beradab dan mengikut peraturan dalam gerak persilatannya. Seperti mana yang saya tegaskan bahawa sifat ini adalah bersesuaian dengan sifat budaya tinggi yang ada dalam masyarakat Melayu. Malah, melalui gerak persilatan, sifat tertib, adab dan bersopan adalah salah satu ciri utama yang sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut SC dari masa ke masa.

Semasa saya masih dalam proses menuntut SC, hati saya tertanya-tanya tentang pelajaran kaki. Sebabnya, pelajaran silat yang saya pelajari sebelum ini memperlihatkan kehebatan menggunakan kaki. Sebaliknya, dalam SC tidak ada pelajaran kaki. Tak ada sepak-menyepak atau tendang-menendang. Keseluruhan pelajaran SC selama ‘enam bulan’ adalah berdasarkan penggunaan tangan.

Ustaz telah menegaskan betapa penggunaan tangan adalah lebih utama dan lebih berkesan berbanding dengan penggunaan kaki. Orang yang menggunakan kaki akan menyebabkan kedudukannya tidak stabil. Hanya satu kaki yang menongkat badan. Dalam pelajaran SC, terdapat cara bagi membuktikan kenyataan tersebut. Para penuntut akan peroleh pembuktian ketika pelajaran umum.

Sehinggalah tamat, barulah pelajaran kaki diperkenalkan dalam kalangan penuntut. Ketika itu barulah kami faham tentang peranan tangan yang amat penting, berbanding dengan peranan kaki. Walau bagaimanapun peranan kaki masih diguna pakai dalam hal gerak yang berkaitan dengan kaki. Oleh itu, konsep, “Tangan Di Tempat Tangan, Kaki Di Tempat Kaki”, telah memperlihatkan sifat tertib atau kesopanan atau adab yang diamalkan dalam persilatan SC.

Walaupun persilatan lain mungkin tidak mementingkan adab atau tertib sepertimana yang kita amalkan, persilatan SC tetap dengan prinsip gerak tangan dan kaki tersebut. Itulah juga salah satu keistimewaan silat kita. Beradab dan bersopan.

Satu lagi tafsiran pada ungkapan tersebut adalah merujuk pada peranan atau tanggungjawab anggota tangan dan kaki. Hal yang demikian adalah dalam konteks persilatan bagi memelihara tubuh badan yang diamanah pada kita. Dalam sistem pertahanan SC, bahagian pusat ke atas, diawasi oleh tangan dengan empat kaedah yang tertentu. Semuanya adalah mengikut aras serangan yang dilakukan lawan. Manakala bahagian pusat ke bawah adalah diawasi oleh kaki.

Nampaknya, sempadan pemisah kawasan atas dan bawah adalah pada bahagian pusat. Bahagian pusat berbeza makna dengan pusat. Bahagian pusat merujuk sifat kawasan sekitar pusat. Ada juga yang mentafsir akan perenggan pemisah ialah di bahagian kemaluan. Saya tidak ada minat untuk berbincang persoalan pendapat tersebut dalam tulisan ini.

Peranan tangan atau kaki di bahagian atau di kawasan-kawasan tersebut adalah berdasarkan gerak semula jadi jangkauan pergerakan tangan dan bahagian lutut yang merujuk pada kaki. Kalau tangan pendek, pastilah jangkauan tangan ke bahagian bawah adalah terhad. Jika dipaksa lakukan, maka badan terpaksa membengkok. Pergerakan yang terpaksa. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan mereka yang mempunyai tangan yang panjang. Begitu juga dengan ukuran kaki yang juga berbeza antara sesama pesilat.

Dalam konteks peranan atau tanggungjawab, ada kawasan-kawasan tertentu yang dijaga oleh tangan dan kaki. Kalau diibaratkan sebuah kerajaan, badan adalah merupakan kerajaan pusat. Di bawah kerajaan pusat ada kerajaan negeri yang mengawasi negeri masing-masing. Setiap negeri tidak akan mencampuri urusan negeri yang lain. Masing-masing ada kuasa autonominya.

Mungkin juga kita boleh merujuk sifat anai-anai. Ada pembahagian tugas dalam kalangan ketua dan pekerjanya. Tugas pemaisuri adalah bertelur sepanjang masa. Dalam kalangan pekerja pula, terdapat aspek pelbagai dalam pembahagian peranan. Ada yang mencari makanan, ada yang memproses makanan dan ada yang menjadi askar dan sebagainya.

Dalam konteks persilatan, ungkapan tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki, memperlihatkan peranan atau tanggungjawab anggota tangan dan anggota kaki yang telah ditentukan tugas atas sifat gerak semula jadi. Jika tangan lawan yang menyerang maka tanganlah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kawasannya. Begitu juga dengan peranan kaki. Jika kaki lawan yang datang menyerang maka kaki pesilat itu sendiri yang berperanan untuk menghadapi serangan tersebut sebagai maksud menjaga kawasan jagaannya.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya, sifat yang sedemikian adalah merupakan konsep gerak yang hanya terdapat dalam persilatan Silat Cekak. Itulah salah satu keistimewaan persilatan kita.

Malah, ketika kita menyerang pun, SC juga sangat mementingkan adab dan sifat gerak semula jadi. Kita tidak menyerang menggunakan kaki kerana itulah adab budaya tinggi masyarakat Melayu yang terdapat dalam persilatan Silat Cekak. Tambahan pula gerak kaki yang melebihi pusat akan memaksa gerak. Hal yang demikian tentunya bertentangan dengan sifat gerak semula jadi.

Mungkin ada yang akan membuat persoalan berdasarkan ungkapan itu. Dalam keadaan-keadaan yang tertentu, serangan kaki nampaknya ditepis oleh tangan. Adakah prinsip itu menyanggahi konsep ungkapan tersebut. Cuba kita renungkan hal yang tersebut dalam kupasan saya berikutnya.

Saya telah nyatakan dalam tulisan terdahulu betapa anggota tangan dan kaki dalam persilatan SC ada tanggungjawab atau ada peranannya. Dari segi gerak semula jadi, anggota-anggota tangan dan kaki berperanan menjaga kawasan-kawasan anggota badan yang tertentu. Berdasarkan prinsip pertahanan dalam SC, apa saja yang menceroboh masuk ke kawasan tangan dan kaki, maka adalah menjadi kewajipan tangan dan kaki itu sendiri untuk mempertahankan kawasan masing-masing.

Hal yang demikian membawa makna, jika serangan itu berbentuk serangan tangan, maka tanganlah yang menangkisnya. Tidak mendatangkan masalah. Kalau kaki pula yang menyerang ke kawasan tangan maka kewajipan tanganlah yang menangkis serangan tersebut. Sebabnya adalah mudah. kawasan yang diserang itu adalah kawasan tangan.

Begitu juga kalau kaki yang menyerang kawasan kaki. Maka kakilah yang bertanggungjawab mempertahankan kawasannya. Hatta kalau tangan pula yang menyerang kawasan kaki maka tidak hairanlah jika kaki juga yang bertanggungjawab untuk menangkis serangan tersebut.

Seperti yang selalu saya tegaskan, Silat Cekak adalah silat yang beradab atau silat yang ada peraturan. Ada tatasusilanya. Penuh dengan sifat tatatertib. Kita bersilatpun atas sifat beradab dan berdisiplin. Jika ada musuh yang berhadapan dengan kita dalam keadaan tidak tahu adab atau tidak tahu peraturan maka munasabahlah kita melayan mereka dalam sifat gerak yang tidak beradab. Hal yang demikian supaya memberi pengajaran dan peringatan pada mereka. ‘Datang beradab maka beradablah sambutannya. Jika datang secara tidak beradab maka sifat sedemikianlah yang diberi atas dasar memberi kesedaran supaya beradab di masa-masa yang seterusnya’.

Teringat masa tamat silat dulunya. Kami diberi peluang untuk menguji kebolehan yang ada pada Silat Cekak. Secara rela, Ustaz menyambut baik tujuan kami tersebut untuk menguji kebolehan Guru Utama. Salah seorang rakan saya membuat serangan secara gerak membawah. Serangan dimulakan dengan tari silat yang tersangat rendah. Hampir mencecah tanah. Ketika menyerang dengan kehebatan kakinya, Ustaz telah menggunakan gerak kakinya untuk mengatasi gerak serangan tersebut.

Perbuatan Ustaz itu jelas membuktikan pada saya ketika itu bahawa serangan yang dilakukan di bahagian bawah, akan diatasi oleh kaki. Begitu juga tatkala serangan membawah melibatkan tangan. Kaki juga memainkan peranannya. Hal yang demikian kerana bahagian bawah adalah kawasan ‘jagaan’ kaki.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa ungkapan gerak tangan di tangan, kaki di kaki adalah merupakan sifat gerak yang amat istimewa yang ada dalam silat kita. Lambang adab atau ketertiban yang tinggi dalam persilatan SC. Kita sentiasa menghormati sifat gerak yang sedemikian. Tatkala kita menyerangpun, sifat tersebut sentiasa menjadi amalan.

Walau bagaimanapun, apabila sifat itu tidak dihormati musuh, maka SC akan bertindak berdasarkan sifat lawan yang bercanggah gerak dengan apa yang diamalkan SC. Atas sifat memberi pengajaran. “Orang yang mengikut peraturan jangan dibuli tak tentu hala. Buruk padahnya.”

Berdasarkan dua tafsiran yang saya kupas dalam tulisan ini, membuktikan bahawa SC adalah sejenis silat yang kaya dengan adab sopannya. Sifat yang sedemikian akan membina satu peradaban yang tinggi dalam persilatan Silat Cekak. Sifat ego atau bangga diri yang tidak diingini, sentiasa dihindari dalam kalangan penuntutnya. Namun begitu sifat rendah diri itu umpama duri sembilu. Jangan dipijak tak tentu hala. Buruk padahnya. Bersambung.

Sila lihat dua keping gambar di bawah. Ada maksudnya tentang pembahagian tugas untuk mengawasi kawasan masing-masing.

20130626-203540.jpg

20130626-203611.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 26/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: