RSS

61.7.0. KENALI SILAT CEKAK –Gerak tangan di tangan, kaki di kaki.

24 Jun

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menulis tentang pembelajan SC yang memberatkan penggunaan senjata pendek. Konsep surat dan posmen adalah merujuk kupasan yang demikian. Malah, pembelajaran parang lading yang merupakan senjata rasmi SC adalah juga untuk menghadapi serangan senjata pendek. Hal yang demikian telah dinyatakan Ustaz sendiri dalam majalah Dewan Masyarakat “..ajaran menggunakan parang lading bila menunggu serangan yang menggunakan senjata pendek. Serangan ke atas pihak lawan tidak dibuat kerana Seni Silat Cekak mempunyai prinsip serangan lebih berbahaya daripada menyerang.”

Ada yang membuat persoalan. Bagaimana pula jika musuh menggunakan senjata panjang. Bagaimana penuntut SC berupaya menghadapinya. Hal yang demikian pernah ditimbulkan di zaman Ustaz lagi. Saya akan membincangkan perkara tersebut dalam tulisan yang lain berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz. Tunggulah saat dan ketikanya. Cuma, bacalah secara fikiran yang terbuka.

Dalam tulisan-tulisan yang terdahulu, saya juga telah menulis tentang gerak SC adalah seolah-olah berlaku dalam satu gerak. Walaupun segerak, hakikatnya terdapat beberapa gerak secara berturutan. Semuanya berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Hal yang demikianlah menyebabkan pandangan mata kasar seolah-olah berlaku gerak SC dalam satu gerak sahaja. Saya juga telah menyentuh, betapa gerak yang pelbagai jika dilakukan dalam satu saat dan ketika yang sama maka semuanya dikira sebagai satu gerak. Dalam gerak yang pelbagai, hanya satu gerak sahaja yang boleh ‘menjadi’, ataupun semua gerak boleh jadi tidak menjadi. Itu sebabnya hakikat gerak kita adalah secara berturutan. Semuanya berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Tersangat cepat. Prinsip berturutan itu melambangkan gerak tertib yang ada dalam persilatan Silat Cekak.

Istilah tertib yang ada dalam SC melambangkan sifat gerak yang mengikut peraturan dan sangat teratur serta rapi. “Yang dahulu kita dahulukan dan yang kemudian kita kemudiankan”. Misalnya dalam serangan tangan. Semua gerak serangan tangan musuh, kita dahulukan dengan tepisan. Kemudiannya akan diikuti dengan gerak-gerak lain seperti pukulan dan kuncian. Gerak kita tidak bersifat gopoh. Semuanya dilakukan secara tertib. Satu persatu.

Kita boleh mengaitkan sifat ketertiban itu sebagai sifat pelajaran yang meliputi keseluruhan prinsip persilatan SC. Hal yang demikian melambangkan wujudnya sistem dalam proses pengajaran dan pembelajaran Silat Cekak. Istilah sistem pula adalah merujuk cara atau kaedah yang teratur untuk melakukan sesuatu. Dalam sistem itu terdapat falsafah, konsep dan prinsip yang mempunyai makna tersurat dan tersirat.

Saya selalu menyentuh tentang prinsip yang terkandung dalam sistem yang ada dalam SC. Pembelajarannya adalah bermula dari susah kepada mudah dan dari banyak kepada sedikit. Ada pemeringkatan dalam proses pembelajarannya. Akhirnya kita akan dapat membuat kesimpulan gerak yang ada dalam SC. Kebenaran gerak yang kita pelajari itu akan memudahkan kita memahami keputusan gerak dalam SC. Berdasarkan kupasan tersebut, jelas pada kita akan sifat pelajaran SC yang tersusun rapi. Hal yang demikian melambangkan sifat tertib dalam proses pembelajaran SC dalam kalangan penuntutnya.

Saya juga telah menyentuh dalam ungkapan yang lalu tentang konsep gerak. Silat ialah gerak. Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki. Pembelajaran SC ialah memahami gerak tangan dan kaki. Pelajaran kita adalah berfokus. Ada cara kita menggunakan tangan dan kaki untuk menghadapi musuh. Cara itu adalah merupakan peraturan. Maka peraturan itu juga adalah merupakan adab. Maknanya ada adab kita menggunakan tangan dan ada adab kita menggunakan kaki. Maka lahirlah ungkapan berikut yang berkaitan dengan adab penggunaan kaki dan tangan dalam persilatan Silat Cekak. Ungkapan itu akan saya huraikan dalam konteks Ungkapan Kesepuluh. “Tangan di tempat tangan. Kaki di tempat kaki”.

UNGKAPAN KESEPULUH:

Tangan Di Tempat Tangan, Kaki Di Tempat Kaki.

Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan ungkapan tersebut dalam konteks kefahaman saya bersilat dalam persilatan SC. Saya rasa, bolehlah dibuat renungan dan perkongsian ilmu bagi menambahkan kefahaman kita dalam SC.

Ungkapan itu tidak asing dalam kalangan pengamal SC. Hal yang demikian kerana falsafah yang ada di sebalik ungkapan itu adalah juga merupakan bentuk kefahaman yang dipupuk Ustaz dalam kalangan anak muridnya. Ustaz sering bercakap tentang ungkapan itu. Malah, dalam bentuk tulisan, Ustaz pernah menyentuh tentang ungkapan itu dalam majalah Dewan Masyarakat.

“Bila tangan digunakan tangan pula balasan, jika kaki, kakilah balasan tanpa menggunakan tangan menepis; tidak menggunakan tangan menepis serangan kaki”.

Pada kefahaman saya, kita boleh lihat betapa cantiknya susunan kata yang mempunyai falsafah di sebalik ungkapan itu. Apabila ada serangan tangan musuh maka serangan itu akan disambut oleh tangan pesilat. Begitu juga dengan serangan kaki yang akan disambut pula dengan kaki. Itulah prinsip adab dalam konsep tindakan gerak kaki dan tangan yang diamalkan dalam persilatan SC. Konsep adab itu melambangkan peraturan menggunakan kaki dan tangan.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menghuraikan konsep ‘badan umpama raja’. Kewibawaan raja akan sentiasa dipertahankan oleh askar-askarnya yang berlambangkan kaki dan tangan. Masing-masing telah ada pembahagian tugas. Sifatnya adil. Tangan dengan tangan dan kaki dengan kaki. Dalam konteks persilatan SC, kaki akan menghadapi musuh yang bersamaan sifat dengannya. Begitu juga dengan tangan yang akan bertindak pada serangan yang juga sama sifat dengannya.

Bagi maksud huraian seterusnya, saya membuat kesimpulan bahawa ungkapan tersebut boleh membawa kepada dua tafsiran. Pertamanya merujuk pada adab atau peraturan. Keduanya adalah merujuk pada peranan atau tanggungjawab. Dalam tulisan ini saya akan membincangkan kefahaman saya yang pertama itu terlebih dahulu.

Sebagai pengamal SC, kita perlu memahat kefahaman bahawa silat itu ialah gerak. Yang bergerak adalah kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki. Gerak tangan dan gerak kaki itu, ada peraturan-peraturannya. Kita boleh merujuk makna berperaturan itu sebagai cara sebenar kita menggunakan tangan dan kaki dalam pelakuan gerak dan adab penggunaannya dalam budaya tinggi bangsa kita.

Saya juga telah menegaskan betapa gerak SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Bukannya gerak yang dibuat- buat. Dalam konteks persilatan, gerak tersebut adalah merupakan gerak seni. Hal yang demikian membawa makna pergerakan tangan dan kaki adalah berdasarkan pergerakan semula jadi gerak kedua-dua jenis anggota badan tersebut. Kita tidak mereka-reka gerak atau memaksa gerak yang tertentu pada tangan dan kaki. Kebolehan menggunakan tangan dan kaki secara sempurna akan melambangkan ketinggian adab seseorang. Mereka yang beradab menggunakan kaki dan tangan adalah bermaksud mempunyai tingkah laku yang halus dan bersopan.

Dalam adab masyarakat Melayu, pelakuan yang baik selalunya dikaitkan dengan tangan kanan. Misalnya, pelakuan makan. Begitu juga dengan perbuatan memberi dan menerima. Manakala perbuatan yang dianggap ‘kurang baik’, akan digunakan tangan kiri. Misalnya, membasuh anu selepas membuang air besar, memegang benda-benda yang kurang menyenangkan dan sebagainya.

Peraturan yang ditentukan pada penggunaan tangan kiri dan kanan adalah melambangkan sifat tertib. Gerak yang bersopan santun dilahirkan melalui sifat gerak yang beradab. Hal yang demikian melambangkan sifat tanda hormat. Ada tatasusilanya. Sifat beradab adalah merupakan sifat budaya tinggi orang-orang Melayu. Sifat ini juga melambangkan sifat sopan santun. Bangsa Melayu sememangnya terkenal dengan sifat kesopanannya. Lambang tersebut terjelma dalam persilatan orang-orang Melayu. Sifat budaya tinggi orang-orang Melayu telah mempengaruhi bidang persilatan Silat cekak yang merupakan salah satu cabang budaya Melayu.

Masyarakat Melayu dulu-dulu sangat sensitif pada dua perkara. Pertamanya kaki dan keduanya penyapu. Kedua-dua benda tersebut perlu digunakan dengan betul. Kalau terkena penyapu, dikatakan boleh membawa sial. Terpaksalah mereka meludah penyapu tersebut sebagai cara untuk menghindari sial. Itulah kepercayaan yang ada dalam konteks budaya masyarakat kita. Begitu juga dengan penggunaan kaki. Masyarakat kita sangat sensitif dengan kaki. Kalau menunjuk sesuatu dengan menggunakan kaki, biadap namanya.

Dalam konteks persilatan dulu-dulu, mengangkat kaki melebihi pusat adalah dianggap biadab. Kita boleh lihat dalam persembahan silat permainan. Jika kaki diangkat, tangan akan mengampu kaki tersebut sebagai sifat beradab. Gerak kaki yang tinggi tetap dihindari. Malah, berdasarkan sifat gerak semula jadi, kaki tidak boleh diangkat tinggi. Jika melebihi parasnya, terpaksalah menggunakan kekuatan. Hal yang demikian akan menyanggah sifat semula jadi pergerakan manusia.

Berdasarkan perbincangan di atas, terbuktilah pada kita betapa SC amat mementingkan sifat tertib, beradab atau mengikut peraturan. Hal yang demikian adalah merupakan sifat budaya tinggi yang sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut SC sepanjang masa. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 24/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: