RSS

61.6.2. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

20 Jun

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan bahawa zaman dulu-dulu, pemberatan pelajaran penggunaan senjata adalah berdasarkan senjata-senjata pendek. Semasa saya menjadi Jurulatih di pusat pun, pelajaran umum adalah menekankan penggunaan senjata pendek. Malah, semua persembahan SC adalah berdasarkan senjata pendek iaitu pisau dan tongkat ataupun cota. Termasuk persembahan, lawan yang menggunakan dua pisau dan dua tongkat. Hal yang demikian adalah bertepatan dengan ungkapan yang saya bincangkan dalam tulisan ini. Surat hanya perlu disekat secara menyekat posmen yang menghantar surat tersebut.

Kalaulah surat yang mula-mula disekat dan kemudiannya baru disekat posmen, nampak penyanggahan pada ungkapan tersebut. Susah kita hendak menjelaskan maksud ungkapan itu. Kecualilah jika kita menghubungkan konsep surat bukan sebagai suatu senjata, melainkan sebagai penumbuk manakala siku sebagai posmen. Tafsiran sendiri.

Saya mengimbau kembali latihan senjata semasa saya belajar dulu. Sebagai maksud berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Selepas ijazah potong, kami tertunggu-tunggu akan pelajaran potong. Pengetahuan mengenai pelajaran itu langsung tidak ada. Kami hanya diuar-uarkan betapa pelajaran potong adalah merupakan satu tingkat pelajaran yang lebih tinggi. Boleh mengatasi kehebatan buah-buah jatuh. Masanya tiba. Tetapi, harapan yang menggunung tidak tiba. Sebaliknya kami diperkenalkan dengan satu pelajaran yang asing dalam konteks pembelajaran tangan kosong. Pelajaran itu juga dinamakan sebagai pelari pisau.

Sepanjang ingatan saya, hanya sebiji sahaja buah pelari pisau yang diajar pada kami. Buah yang diguna pakai ialah buah Gayung Patani sahaja. Teknik buah Gayung Patani dalam pelajaran pelari pisau adalah berbeza dengan buah Gayung Patani dalam pelajaran buah jatuh. Dalam pelajaran pisau, gerak mengambil buah itu adalah secara makan gerak dalam gerak. Tak boleh tunggu-tunggu gerak. Tidak bermalam gerak sebelum bertindak.

Hal yang demikian tentunya berbeza ketika pelajaran Gayung Patani semasa pelajaran buah jatuh. Kita menunggu gerak tindak balas lawan. Gerak kita adalah secara bermalam tetapi dalam keadaan siap sedia. Menanti tindak balas lawan. Kecuali sepakan kaki yang kita larang. Cepat tindak balas lawan maka begitulah cepatnya tindakan balas yang kita lakukan pada mereka.

Perkembangan pelarasan berikutnya, menyaksikan pemberian buah menghadapi serangan pisau ditambah menjadi dua. Termasuk buah Pasung Kemanga. Dasarnya, semua buah itu menggunakan kaedah gelek. Mungkin kaedah itu lebih praktis dalam konteks penuntut SC baharu sahaja menguasai pelajaran Kaedah. Pengamalan menepis serangan tumbukan masih baru berputik. Belum matang. Selalu tersasul ketika menepis. Kalau Kaedah A, biasanya angin yang ditepis. Oleh itu, gerak gelek lebih sesuai buat penuntut yang masih baru. Buah-buah pisau yang lain, hanya dipelajari semasa pelajaran umum.

Teringat peristiwa Ustaz pernah ‘turun padang’ dalam salah satu kelas SC yang saya kendalikan. Kebetulan kelas malam itu ialah pelajaran potong. Secara kebetulan juga, Ustaz tidur di cawangan setelah ijazah potong pada malam sebelumnya. Ustaz tidak balik selepas ijazah. Hal yang demikian adalah merupakan satu kebiasaan Ustaz setiap kali majlis ijazah di cawangan saya. Kemungkinan besar Ustaz boleh berbuat demikian kerana kelas-kelas SC di luar Kuala Lumpur tidak banyak. Kalau tak salah saya, cawangan luar cuma ada di Perak, Pahang, dan Pulau Pinang.

Saya kira para penuntut bernasib baik menerima pelajaran pelari pisau dari Ustaz sendiri. Selepas menerima buah Gayung Patani sebagai buah pelari pisau, Ustaz menunjukkan pula gerak aplikasi penggunaan pisau. Ustaz menyuruh dua orang penuntut meletakkan pisau di rusuknya di bahagian sisi kanan dan kiri. Maknanya, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi sebelah kiri. Sepantas kilat, Ustaz mengambil Kaedah A secara gelek pada salah seorang penuntut yang menggunakan pisau itu. Dengan kaedah yang tepat, pisau yang terhunus di tangan pesilat itu menghala kepada pesilat yang seorang lagi.

Kaedah yang ditunjuk Ustaz adalah bertepatan dengan ungkapan yang diucapkan. Tumpukan perhatian pada punca gerak pisau tersebut. Sekat ‘posmen’ terlebih dahulu maka matilah punca gerak tersebut. Jangan ambil kira surat yang ada di tangan.

Oleh sebab Ustaz sendiri yang ‘menurunkan’ pelajaran tersebut, gerak itu dijadikan latihan pada para penuntut di kelas-kelas yang terlibat dengan pelajaran pelari pisau di bawah kelolaan saya; di samping buah Gayung Patani. Dua pelajaran sahaja sudah mencukupi bagi menepati syarat pelajaran pelari pisau. Hal yang demikian menguatkan lagi pembuktian kepada ungkapan, “Tangan Umpama Posmen, Senjata Umpama Surat. Sekat Posmen Maka Tersekatlah Surat”.

Menyentuh serangan pisau dalam tulisan ini, saya tidak boleh melupakan rakan seangkatan yang sangat mahir menggunakan pisau. Pasangan Tombei dan Nordin. Mana-mana pertunjukan SC yang melibatkan persembahan senjata pisau, pasti akan melibatkan mereka. Ketika itu persembahan senjata hanya terhad pada penggunaan pisau dan tongkat. Termasuk dua pisau dan dua tongkat. Persembahan tongkat panjang belum ada. Tak ada idea lagi pada kumpulan pelarasan utama. Ilham belum datang.

Komitmen pasangan tersebut sangatlah hebat. Terkenang satu persembahan di Padang Kota, Pulau Pinang. Dalam keadaan yang tidak stabil, pasangan tersebut masih boleh meneruskan persembahan. Tidak stabil kerana terlebih pukulan. Selepas persembahan, kami mendapatkan mereka. Setelah tenang lama, barulah pulih ingatan salah seorang daripada mereka. Begitulah komitmen mereka bagi meneruskan persembahan walaupun terpaksa berhadapan dengan rintangan. Saya difahamkan, kini salah seorang dari mereka telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya. Amin.

Berbalik semula kenangan semasa saya menuntut dulunya. Pelajaran pisau tidak diajar secara terperinci dalam pelajaran umum. Kemungkinan besar akibat kekangan masa. Mungkin juga kesediaan penuntut untuk menerima pelajaran tersebut, tidak mencukupi. Baru tamat. Pelajaran secara ekspres. Hanya tiga bulan bagi menghabiskan semua sukatan pelajaran. Cuma, tahun berikutnya, mereka yang terlibat dengan persembahan SC, berpeluang mengambil kesempatan mempelajari buah-buah pisau yang menggunakan kaedah yang pelbagai.

Bukan semua penuntut yang berminat dengan pelajaran pisau. Lebih-lebih lagi pada mereka yang sememangnya takut pada penggunaan senjata tajam. Nampaknya, mereka berpuas hati setakat pelajaran SC yang diberi. Tak berlatih senjata pisau pun tak mendatangkan kesan pada mereka. Tak terasa apa-apa kekurangan dalam pembelajaran SC. Walau bagaimanapun, dari segi tanggungjawab persilatan, pembelajaran SC telahpun merangkumi pengetahuan tentang pelajaran pisau tatkala pembelajaran potong yang lalu. Maknanya pelajaran senjata pisau telah diajar pada semua penuntut. Bagi maksud mendalami pelajaran senjata pisau, terpulang pada kehendak penuntut. Ada juga dalam kalangan penuntut yang membuat latihan sendiri. Hal yang demikian meliputi latihan bagi mengaplikasikan kaedah lain mengambil serangan pisau berdasarkan arah tikaman. Atas, tengah, sisi dan tikaman bawah.

Tumpuan pelajaran senjata ketika peringkat umum di kelas saya, lebih pada pembelajaran tongkat pendek. Kami gelar pelajaran itu sebagai pukulan cota. Ketika itu penggunaan cota adalah sangat meluas dalam kalangan pengawal keselamatan. Oleh itu, pengetahuan tentang wujudnya penggunaan senjata tongkat pendek telah ada dalam pengetahuan para penuntut. Tongkat panjang sebagai senjata, langsung tak popular.

Ada dua bentuk latihan yang dilakukan. Satu, dalam keadaan berdiri dan satu jenis latihan lagi adalah dalam keadaan duduk. Posisi duduk, kami gelarkan sebagai duduk ‘macam orang kalah judi’. Sepontan timbulnya istilah duduk sedemikian. Duduk dalam keadaan kaki menegak. Manakala kedua-dua tangan berada di belakang untuk mengampu badan.

Dalam keadaan berdiri, buah-buah yang ada sekarang adalah merupakan pelajaran yang biasa dipraktikkan pada masa itu. Arah serangan adalah sama dengan serangan pisau. Lain aras serangan maka lainlah buah yang digunakan. Dalam masa yang sama, kami berlatih menggunakan dua tongkat secara pelajaran petua. Sistem dua tongkat bermaksud pesilat dan pasangannya menggunakan tongkat. Pembelajarannya hanya terhad pada tongkat. Tidak melibatkan pisau.

Manakala dalam keadaan duduk, tumpuan diberi pada satu jenis serangan sahaja. Lawan akan memukul di bahagian kepala pesilat yang sedang duduk. Dalam proses gerak yang segerak, kaki kiri pesilat akan menyepak pelipat lawan diikuti dengan gerak kaki kanan pesilat yang diletakkan pada siku tangan kanan lawan yang memukul. Kaki itu juga akan menerjah bahagian rusuk lawan. Perkara penting, pesilat jangan sesekali mengelak akan kepalanya. Dalam gerak itu kaki yang merupakan posmen perlu disekat terlebih dahulu. Maka surat yang berupa tongkat akan terhalang daripada sampai ke destinasinya.

Penggunaan senjata panjang seperti tongkat panjang, parang dan pedang tidak pernah dijadikan latihan ketika itu. Hatta dalam pertunjukan SC. Sesuailah maksud kefahaman yang kami terima daripada Ustaz tentang konsep ‘posmen dan surat’. Semuanya bergantung pada penggunaan senjata pendek dari serangan pihak lawan. Seperti yang dikata, ilham menggunakan senjata panjang belum menjelma lagi dalam fikiran ‘pakar’ penyelaras utama SC ketika itu. Hatta, senanglah kami memberi penekanan akan konsep yang bertepatan dengan prinsip, ‘surat dapat disekat secara menyekat kehadiran posmen.’ Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 20/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: