RSS

61.6.1. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

17 Jun

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan maksud ungkapan itu dalam dua tafsiran berdasarkan bentuk kefahaman yang berlainan. Secara tersurat dan secara tersirat. Secara tersurat, konsep posmen dan surat adalah berkaitan dengan senjata pendek yang dihantar lawan melalui serangan tangan. Senjata itu dianggap surat manakala tangan yang menghantar dikiaskan sebagai posmen. Prinsip menepis tangan adalah merupakan perkara utama. Jika tangan berjaya ditepis maka badan akan terselamat dari sebarang kemudaratan senjata yang dihantar.

Nampaknya, kupasan konsep ini secara faham selapis cuba diluaskan berdasarkan tafsiran, kefahaman dan huraian lain. Ada yang mengkiaskan penumbuk sebagai surat dan siku sebagai posmen. Kebenarannya, konsep posmen dan surat adalah berkaitan penggunaan senjata pendek. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa tidaklah menjadi kesalahan jika konsep ini diaplikasikan dalam pelbagai situasi yang lain asalkan kita faham asal usul timbulnya konsep tersebut.

Fahaman tersirat atau fahaman berlapis menuntut kita mencari dan memahami punca gerak sebelum bertindak. Punca gerak itulah merupakan asas atau perdu kepada gerak-gerak yang lain. Kalau diibaratkan punca gerak itu sebagai posmen, maka posmenlah yang memainkan peranan penting membentuk jaringan komunikasi dengan pihak lain. Tanpa posmen, semua jaringan komunikasi itu akan tergendala. Oleh itu, posmenlah punca segala-galanya dalam konteks hubungan tersebut.

Pada kefahaman saya, konsep punca gerak juga dapat dikaitkan dengan hakikat gerak. Pada pengertian istilah, hakikat membawa makna kebenaran atau kenyataan. Sifat hakikat adalah sesuatu yang sebenar-benarnya dalam konteks sifat yang tertentu. Mencari kebenaran adalah merupakan satu punca ilmu. Alatan kerusi, meja, almari dan katil adalah merupakan perabut yang mempunyai nama yang pelbagai. Kebenarannya, semuanya diperbuat daripada kayu. Itulah hakikat perabut.

Kita sering mendengar kiasan dalam pepatah tentang pemberian bantuan kepada orang miskin. Daripada memberi ikan, lebih baik diberi alat menangkap ikan untuk menjamin keselesaan hidup yang berpanjangan. Pada mereka yang memerlukan bantuan; kalau diberi ikan, akan hanya berupa penyelesaian jangka pendek. Tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar. Penyelesaian pada punca masalah itu adalah sesuatu yang lebih baik dan lebih praktikal.

Begitu juga dengan sifat pening kepala atau sakit demam. Penyakit-penyakit itu mungkin berupa gejala pada satu penyakit yang tertentu. Kalau setakat menghilangkan pening, mungkin punca pening terus ada. Tak akan hilang. Misalnya penyakit darah tinggi. Kalau penyakit itu yang diubati, gejala penyakitnya akan hilang terus. Hanya ahli perubatan yang dapat mencari punca penyakit tersebut.

Sifat mencari punca gerak adalah salah satu pelajaran yang amat penting dalam pembelajaran Silat Cekak. Kita dapat memintas atau menghalang gerak lawan kerana kefahaman kita yang memberatkan punca gerak. Pelajaran mengenai punca gerak ini adalah bersepadu dengan pelajaran SC. Penyampaiannya adalah secara tidak langsung dan secara tidak disedari oleh para penuntut. Mereka yang boleh berfikir sahaja akan dapat memahami konsep punca gerak yang dipupuk pada gerak mereka sendiri.

Konsep punca gerak ini dapat dilihat sama ada dalam sistem pertahanan mahu pun dalam sistem serangan persilatan kita. Dalam sistem pertahanan, saya telah sentuh dalam perbincangan di atas. Serangan pihak lawan adalah berpunca dari gerak tangan dan gerak kaki mereka. Kalau tangan yang menyerang maka tepisan atau tangkisan tangan yang merupakan punca gerak pada serangan tangan adalah jelas. Kaedah yang empat adalah bertepatan dengan prinsip mematikan punca gerak yang ditimbulkan tangan itu.

Begitu juga dalam sistem serangan kita. Dalam pelajaran potong, punca gerak lawan menangkis tumbukan kita adalah dari gerak tangannya sendiri. Punca gerak itu yang kita matikan. Tidak perlu risau akan apa yang hendak dibuat oleh pihak lawan ketika kita melepaskan tumbukan. Memati akan punca gerak itu membawa makna bahawa semua gerak susulan yang dirancang lawan tidak akan menjadi.

Ketika kita menyerang dengan menggunakan tumbuk serang, prinsip yang sama adalah diambil kira. Kita akan dapat mengetahui punca gerak lawan sama ada dari gerak kaki atau gerak tangannya. Punca gerak itulah yang memberi isyarat kepada gerak badan atau gerak-gerak lain yang mereka rancangkan. Menguasai punca gerak akan membolehkan kita membuat tindakan secara memintas gerak lawan dengan tepat.

Jika lawan bertapak, kemahiran menguasai punca gerak akan memberi banyak kelebihan pada tindakan gerak pengamal SC. Hal yang demikian menyebabkan hantaran tumbukan kita adalah secara strategik. “Kalau pintu rumah sengaja dibuka, lebih baik masuk melalui tingkap. Jangan terperangkap”. Sebabnya ialah kita tahu akan punca gerak yang bersifat mengumpan. Maka mudahlah kita membuat keputusan untuk mematikan gerak lawan. Itulah salah satu kelebihan yang ada dalam persilatan SC. Mengkaji punca gerak. Hanya berkesan pada mereka yang memahaminya.

Setelah saya tamat silat, barulah saya faham betapa mengelak badan ketika serangan senjata, banyak mudaratnya. Pada ketika itu juga barulah saya faham akan keperluan menangkis serangan senjata dalam keadaan badan yang statik. Tidak melangkah untuk mengelak badan. Patutlah Ustaz beria membuktikan betapa pentingnya tepisan senjata dilakukan tanpa mengelak. Itulah kefahaman yang terhasil ekoran pertemuan saya dengan Ustaz satu ketika yang lalu. Kalau tangan kosong yang menyerang telah pasti kenanya, apatah lagi jika pengamal SC menggunakan senjata.

Arkian, tidak hairanlah jika pelajaran pisau diperkenalkan sebagai tanda isyarat ketika mula pelajari buah potong. Pelajaran itu juga dikenali sebagai ‘pelari pisau’. Kadang-kadang kita terfikir kenapa diperkenalkan pelajaran pisau ketika pelajaran potong. Tidak juga senjata-senjata lain. Tak kiralah senjata tongkat atau senjata-senjata lain. Latihannya juga adalah terhad jangka waktunya. Malah, pelajaran pisau juga diperturunkan melalui beberapa buah yang tertentu. Pelajaran berkenaan tiba-tiba muncul di tengah pelajaran. Setelah diperkenalkan pelajaran pisau, pembelajaran tangan kosong secara potong pula yang diteruskan. Tinggallah pelajaran pisau di ‘pertengahan jalan’. Hingga masuk pelajaran buah umum baharulah pelajaran senjata dilatih semula.

Sekurang-kurangnya kita boleh membuat kesimpulan. Pelajaran pisau perlu dilatih sebelum penuntut SC diperkenalkan dengan pelajaran serang terutamanya pelajaran tumbuk serang. Apabila penuntut menguasai tumbuk serang, kita khuatir gerak tumbukannya akan mempengaruhi gerak tikaman senjata. Parah jawabnya kerana kemungkinan besar pesilat tidak dapat mengawal gerak serangan. Alangkah bahayanya gerak yang sedemikian kepada pasangan latihannya itu. Pada pandangan saya, situasi yang sedemikianlah menyebabkan pelari pisau diperkenalkan terlebih dahulu sebelum pelajaran serang. Hal yang demikian adalah sebagai petanda bahawa tikaman yang dilakukan oleh pengamal SC adalah berkesan dan sangat berbahaya.

Atas sifat badan kita tidak mengelak ketika lawan melakukan serangan bersenjata, membawa makna betapa pentingnya gerak tepisan dilakukan secara mantap, penuh keyakinan dan secara kesungguhan. Kebenaran yang dituntut ialah tidak ada sebarang kesalahan langsung ketika melakukan gerak tepisan. Lebih-lebih lagi jika tepisan tersebut menggunakan kaedah A tanpa ada sebarang sifat gelek. Kalau tepisan tangan kosong memerlukan ketepatan dan ketangkasan, apatah lagi jika serangan bersenjata dilakukan pihak lawan. Konsep segerak yang saya bincangkan dalam tulisan terdahulu, memerlukan kemantapan gerak. Konsep segerak itu pula perlu dilakukan dalam proses gerak lawan.

Jelaslah pada kita betapa latihan menggunakan senjata perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Tidak kiralah sama ada menggunakan pisau atau tongkat. Sifat utamanya ialah senjata pendek. Hatta mulakan latihan secara menggunakan senjata pendek terlebih dahulu. Jangan gopoh mempelajari senjata-senjata panjang jika penguasaan senjata pendek masih belum mantap.

Secara praktisnya, senjata pendeklah yang mudah dibawa oleh musuh-musuh masyarakat. Boleh disorok di bahagian-bahagian badan. Saya tak pernah nampak orang membawa parang secara terselit di mana-mana bahagian badan. Nampak janggal. Melainkan tujuan mereka ingin menebas di hutan. Ataupun membawa tongkat panjang sebagai senjata. Orang-orang tua sahaja yang bertongkat panjang. Habis panjang pun sebagai tongkat mengampu badan. Masih kategori pendek. Tak pernah tengok orang yang bertongkat secara menggunakan tongkat panjang.

Hal yang demikian menyebabkan latihan menggunakan senjata pendek adalah lebih praktikal dilakukan dalam kelas-kelas latihan kemahiran. Kebolehan mengatasi serangan senjata pendek boleh dijadikan satu kebanggaan. Boleh dijadikan satu kemegahan. Bukannya kebolehan mengatasi serangan senjata panjang. Penggunaan senjata panjang hanyalah sebagai maksud memuaskan hati penonton yang menyaksikan persembahan. Misalnya tongkat panjang. Saya sendiripun tidak pernah diberi latihan secara menggunakan tongkat panjang, pedang, tombak atau sebagainya dalam kelas-kelas latihan SC. Tak ada pemberatan langsung. Tidak praktikal dalam konteks penggunaan senjata dalam masyarakat harian kita. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 17/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: