RSS

61.6.0. KENALI SILAT CEKAK – Sekat Posmen.

13 Jun

Saya terkenang peristiwa tatkala berjumpa Ustaz buat pertama kalinya untuk mengetahui tentang Silat Cekak dengan lebih mendalam. Peristiwa berlaku pada tahun 1975. Pertemuan itulah yang membawa kepada pembukaan kelas SC di Universiti Malaya. Itulah kelas SC yang pertama kali dibuka di pusat pengajian tinggi. Selepas itu diikuti dengan pembukaan kelas SC di ITM Shah Alam dan seterusnya di pusat-pusat pengajian yang lain.

Dalam pertemuan pada suatu malam itu, saya datang bertiga. Termasuk En Abu Hamid. Manakala di pihak Ustaz hanya seorang orang kanannya yang turut bersama iaitu En. Ghazali. Beliau juga merupakan Setiausaha Agung, Persatuan Silat Cekak ketika itu. Dalam pertemuan pada malam itu, banyak perkara yang dibincang. Pemberatan isi perbincangan ialah mengenai Silat Cekak. Pada satu-satu ketika, Ustaz terpaksa berpasangan dengan En Ghazali bagi membuat penerangan dan penjelasan mengenai SC apabila melibatkan pembuktian secara praktikal.

Salah satu isi perbincangan pada malam itu adalah berkaitan dengan penggunaan senjata. Penekanan Ustaz adalah penggunaan senjata pisau dan cota yang begitu popular penggunaannya dalam kalangan masyarakat. Istilah cota adalah bermakna tongkat yang dirujuk pada kayu pendek yang digunakan sebagai senjata. Ada kalanya dipanggil dengan istilah belantan. Penggunaan keris, wali, kerambit atau tongkat panjang adalah sangat kurang popular dalam konteks masyarakat. Sama ada untuk tujuan baik atau sebaliknya. Kalau ada berita yang berkaitan dengan kes-kes jenayah, akan dikaitkan dengan pisau. Tak pernah dengar penggunaan keris atau wali atau kerambit. Maka tidak hairanlah jika penekanan perbincangan pada malam itu adalah berkisar pada penggunaan pisau dan tongkat.

Dalam masa perbincangan tersebut, maka lahirlah ungkapan Ustaz yang berhubung kait antara surat dengan posmen. Maka dalam perbincangan seterusnya dalam tulisan ini, saya akan bincangkan ungkapan itu sebagai ungkapan yang kesembilan berkaitan konsep surat dan posmen tersebut.

UNGKAPAN KESEMBILAN:

Tangan Umpama Posmen, Senjata Umpama Surat.
Sekat Posmen Maka Tersekatlah Surat.

Sebelum saya menyentuh tentang konsep posmen dan surat, terlebih dahulu saya akan menceritakan pengalaman pertama saya tatkala mendengar penerangan Ustaz mengenai Silat Cekak. Banyak perkara baru yang berkaitan dengan bidang persilatan silat Melayu. Boleh dikatakan bahawa penerangan Ustaz secara umum tentang SC pada malam itu adalah begitu asing daripada pengetahuan saya yang ada. Perkara baru.

Selama ini pengetahuan silat yang ada pada saya, menyimpulkan bahawa pergerakan silat yang wujud adalah terbahagi kepada dua. Satu ialah silat permainan atau silat pulut atau silat pengantin. Manakala satu lagi ialah silat tempur. Silat pulut ada buah dan tarinya dan sering kali diiringi dengan muzik. Namun begitu, jenis silat berkenaan kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang-orang muda. Hal yang demikian kerana ketika itu pengaruh filem tentang seni bela diri dari Hong Kong adalah hebat sekali. Macam tak terlawan silat Melayu berdasarkan persembahan hebat seni bela diri yang ditayangkan melalui filem-filem tersebut.

Demi kecintaan yang kekal pada silat Melayu, silat bercorak tempur mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu. Ketika itu, silat tempur yang popular ialah Lincah dan Gayung. Kedua-dua silat itu sentiasa bersaing dalam proses menaikkan semangat masyarakat Melayu supaya mereka berbangga dengan seni bela diri orang-orang Melayu yang telah lama wujud ketika itu. Secara umumnya, prinsip gerak kedua-dua seni bela diri tersebut adalah lebih kurang sama sahaja. Ada gerak pertunjukan yang dikenali sebagai gerak pentas. Gerak silat-silat itu masih terikat dengan budaya seni bela persilatan Melayu. Masih ada tari silat, sifat langkah-melangkah dan kedudukan secara berkuda-kuda.

Seperti yang saya katakan terdahulu, penerangan Ustaz tentang SC adalah begitu asing dengan pengetahuan silat yang sedia ada dalam pemikiran saya. Rupa-rupanya, dalam proses perkembangan persilatan Melayu yang sebegitu rupa, maka muncul pula Silat Cekak yang menyanggah gerak silat yang sedia ada dalam pesilatan Melayu. Banyak sifat keluarbiasaan dari kebiasaan gerak silat yang ada. Begitulah kesimpulan saya apabila mendengar penerangan Ustaz mengenai Silat Cekak.

Timbul sifat ingin mengetahui tentang SC secara lebih lanjut dan secara lebih mendalam. Sifat gerak luar dari kebiasaan gerak yang diceritakan Ustaz mengenai Silat Cekak membuktikan keistimewaan yang ada pada silat Cekak itu sendiri. “Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya.”

Banyak persoalan yang saya timbulkan pada malam itu. Semuanya dijawab Ustaz secara teori dan secara praktikal melalui teman Ustaz yang ada pada malam itu. Sedikit sebanyak penerangan Ustaz telah manarik perhatian saya. Banyak ungkapan yang diucap Ustaz bagi menghuraikan falsafah, konsep dan prinsip Silat Cekak.

Salah satu persoalan yang saya timbulkan ialah mengenai penggunaan senjata. Ustaz membuat penerangan secara praktikal. Saya berasa kagum atas kemampuan SC menghadapi serangan senjata. Tak mengelak ke mana-mana arah. Badan tetap statik sahaja. Tangan yang memainkan peranan membuat tangkisan. Namun begitu, hati kecil saya tetap berkata-kata. Bukan mudah untuk menghadapi serangan tersebut dalam keadaan badan berada sedemikian sifatnya.

Sistem menangkis serangan pisau atau sebarang senjata dalam SC tentunya berbeza dengan persilatan Melayu yang sedia ada. Serangan senjata lawan mudah diatasi mereka kerana faktor elakan yang merupakan gerak berkesan untuk menyelamatkan tubuh badan dari kecederaan atau kemudaratan. Tikamlah atau pukullah sebanyak mana sekalipun. Sifat melangkah yang ada akan dapat menyelamatkan diri dari terkena tikaman atau pukulan.

Nampaknya, sifat gerak yang sedemikian tidak ada dalam SC. Gerak persilatan SC tidak mengelak ke kiri atau ke kanan atau ke mana-mana arah elakan. Dalam keadaan badan tidak bergerak, pengamal SC perlu mengatasi serangan senjata. Situasi itulah yang menyebabkan hati berkata-kata. Bukan mudah untuk berbuat gerak yang sedemikian. Itulah persoalan yang timbul dalam pemikiran saya. Mungkin guru saja yang berkemampuan berbuat demikian. Adakah anak muridnya juga akan berkebolehan seperti mana yang Ustaz lakukan.

Kerut di muka saya dibaca Ustaz. Saya yakin bahawa keraguan saya itu telah terpancar pada muka. Nampaknya, hal yang demikian telah memberi petanda kepada Ustaz untuk memberi keyakinan seterusnya kepada saya. Sekali lagi Ustaz membuktikan kelebihan SC menghadapi serangan senjata tanpa perlu membuat elakan. Secara berpasangan dengan orang kanan Ustaz yang ada pada malam itu, Ustaz memperhalusi lagi gerak menghadapi senjata secara penerangan dan secara praktikal. Maka lahirlah ungkapan yang saya nyatakan di atas bagi memahamkan lagi keraguan yang timbul di hati saya.

Pembuktian secara teori, dijelaskan Ustaz melalui konsep posmen dan surat. Saya yakin bahawa penggunaan istilah posmen dan surat, ada kaitan dengan suasana dan tuntutan masa itu. Ketika itu peranan posmen menghantar surat adalah merupakan komunikasi yang sangat berkesan. Umumnya, perkhidmatan pos sahaja yang berperanan sebagai saluran yang ada. Penggunaan E mail atau facebook masih belum ada lagi. Maka kiasan Ustaz tersebut mudah difahami dalam konteks situasi ketika itu. Mudah difahami dan mudah dijadikan kiasan. Senang faham.

Pada fahaman selapis, surat yang dibawa posmen pastinya gagal dihantar pada penerima jika proses penghantarannya digagalkan. Maknanya, jika posmen itu sendiri disekat dari berbuat demikian maka kerja buatnya akan gagal. Tak perlu ternanti-nanti ketibaan surat untuk bertindak. Jangan pedulikan surat. Ambil kira posmen yang menghantar surat.

Dalam konteks persilatan, jika ingin menyekat ‘penghantaran’ senjata pendek maka sekat saja tangan yang menghantarnya. Kita tidak perlu memberi tumpuan pada senjata yang dihantar. Bukan perkara utama. Tangan yang ‘menghantar’ senjata itulah merupakan perdu gerak yang utama. Punca gerak dari tanganlah yang perlu dipintas terlebih dahulu. Dalam hal ini, kaedah yang ada dalam pelajaran SC adalah mampu untuk berbuat demikian. Dapat menepis atau menangkis serangan tangan lawan yang bersenjata.

Kalau difahamkan secara berlapis, ungkapan Ustaz itu memberi makna yang tersendiri. “Cari punca gerak dan bertindaklah pada punca gerak tersebut”. Jangan pedulikan ‘ranting’ gerak. Itulah kesimpulan ungkapan itu pada saya. Jika punca gerak dapat ‘dimatikan’, maka gerak kita seterusnya akan tetap menjadi. Tidak ada halangan besar lagi.

Tumbukan atau senjata yang ‘dihantar’ pada kita adalah berpunca dari tangan. Oleh hal yang demikian menyebabkan keperluan kita memberi fokus pada tangan yang menjadi punca gerak tersebut. Jika punca gerak dapat diatasi maka gerak-gerak yang lain akan dapat disekat. Gerak-gerak yang lain itulah yang saya maksudkan sebagai ranting-ranting gerak. Itulah gerak pelbagai yang boleh dibuat akibat punca gerak yang tidak disekat. Jika punca gerak dapat dimatikan maka gerak-gerak yang lain akan kecundang begitu sahaja. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 13/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: